23 Julai 2012

Guru Jawi Dicabar (1)


Belajar Tulisan Jawi
Tiada rotan, akar pun berguna. Ketika itu aku berusia dua puluh tahun. Guru-guru di sekolah rendah itu menganggap aku sebagai rotan kerana dalam kalangan mereka hanya aku yang celik Jawi. Sebaliknya aku menganggap diriku sebagai akar kerana kebolehanku menulis Jawi tidak seberapa. Lagipun, pada masa itu baru beberapa hari aku bergelar guru tanpa latihan. Jikalau ada guru lain yang mahir menulis Jawi dan terlatih pula, khidmatku pasti tidak diperlukan.

Di sekolah itu, hanya aku orang Melayu. Guru-guru yang lain dan semua murid ialah suku kaum Kadazan. Jabatan Pelajaran Sabah melantik aku sebagai guru mata pelajaran Bahasa Malaysia. Guru besar menugaskan aku untuk mengajarkan mata pelajaran itu kepada murid tahun tiga, empat, lima dan enam.

Dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia Sekolah Rendah tahun 1970 terkandung pelajaran tulisan Jawi. Pelajaran Jawi itu hanya untuk murid tahun dua dan masanya sejam seminggu. Aku ditugaskan untuk mengajarkan pelajaran itu. Jadi, tahun 1972 itu ialah tahun pertama aku menjadi guru dan tahun pertama juga aku mengajarkan mata pelajaran Bahasa Malaysia, termasuk pelajaran Jawi.

Sebagai guru yang belum bertauliah dan belum berpengalaman, aku mengajarkan mata pelajaran itu dengan berpandukan buku teks sepenuhnya. Buku teks terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka itu bermula dengan memperkenalkan huruf tunggal mengikut susunan dan berdasarkan gambar. Contohnya, di halaman pertama ada huruf alif dan gambar ayam. Di halaman kedua ada huruf ba dan gambar batu. Begitulah seterusnya. Sepuluh tahun kemudian barulah aku mengetahui bahawa kandungan buku teks itu berasaskan kaedah abjad dan pandang-sebut. Ertinya aku pernah mengajarkan pelajaran Jawi dengan menggunakan kedua-dua kaedah itu.

Lapan tahun kemudian, iaitu sesudah aku bergelar guru siswazah terlatih, aku ditugaskan untuk mengajarkan tulisan Jawi lagi. Kali ini aku dikehendaki mengajarkan tulisan Jawi kepada guru pelatih Pendidikan Awal Kanak-kanak pengkhususan Pengajian Cina. Pada masa itu tulisan Jawi adalah sebahagian daripada kandungan sukatan pelajaran Bahasa Malaysia Teras di maktab perguruan. Keupayaan guru pelatih membaca dan menulis Jawi dinilai dalam peperiksaan berpusat. Dalam peperiksaan itu ada soalan menukarkan tulisan Jawi kepada tulisan Rumi dan sebaliknya. Keseluruhan ujian itu bernilai lima belas peratus.

Sekali lagi aku dianggap sebagai rotan kerana aku guru siswazah sedangkan ilmu dan kemahiranku masih sama seperti dahulu. Hanya pengalaman mengajar murid Kadazan di sekolah rendah itu sahaja kelebihanku. Apabila dibandingkan dengan dua orang rakanku yang berusia lima puluhan di maktab itu, ilmu dan kemahiranku tentang tulisan Jawi amat sedikit. Kedua-dua rakanku itu memang mengajarkan Jawi di kelas yang lain. Mereka memberikan masa sejam seminggu kepadaku di kelas Pengajian Cina itu sebagai pendedahan. Jadi aku menganggap tanggungjawab itu sebagai peluang untuk membaiki diri dan menambah pengalaman.

Semua pelajarku itu memiliki kelayakan asas Sijil Pelajaran Malaysia atau yang setaraf dengannya. Usia mereka awal dua puluhan. Mereka kelihatan matang kerana sudah berpengalaman mengajar sebagai guru tidak terlatih di sekolah Cina. Mereka buta Jawi. Aku menyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran yang kuanggap sesuai dengan latar belakang mereka dan kehendak sukatan pelajaran.

Aku mengajar berdasarkan buku Belajar Tulisan Jawi karangan Haji Abdul Razak Hamid dan Haji Mokhtar Mohd. Dom. Cetakan pertama buku itu adalah pada tahun 1977. Aku memiliki buku cetakan ketiga, tahun 1979. Buku terbitan Penerbit Fajar Bakti itu disusun berdasarkan 180 pelajaran yang pernah disiarkan secara bersiri oleh Televisyen Malaysia pada 5 Januari 1976 hingga 10 September tahun yang sama. Kandungan buku itu merangkumi semua butiran pelajaran Jawi dalam sukatan pelajaran yang berkenaan.

Kehadiranku dalam bilik kuliah pelajaran Jawi itu mendapat sambutan istimewa. Pelajar-pelajarku memberikan tumpuan perhatian yang tinggi pada penerangan dan bahan yang kusampaikan.

Setiap sesi pelajaran bermula dengan penjelasan ringkas berpandukan buku teks berserta contoh yang kutuliskan di papan hitam. Langkah ini diteruskan dengan perbincangan secara kelas. Langkah seterusnya ialah kegiatan menulis huruf dan perkataan. Pada masa ini mereka berusaha mendapatkan perhatian dan bimbinganku. Hasil kerja beberapa orang pelajar sempat kusemak pada masa itu juga. Hasil kerja pelajar-pelajar yang lain kusemak di luar bilik kuliah.

Bersambung.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tak sangka pernah satu ketika P&P Bahasa Melayu ada tulisan jawi.