01 Julai 2012

Huruf Jawi: Ye

Pedoman Bahasa (JPEG) 096, Jawi: Huruf Ye

Abjad Jawi terdiri daripada tiga puluh huruf Arab (yang sudah dimelayukan) dan tujuh huruf ciptaan orang Melayu. Lima huruf ciptaan itu ialah ca, nga, pa, ga dan nya sudah wujud sejak abad keempat belas Masehi. Dua huruf lagi, iaitu va dan ye dicipta pada abad kedua puluh. Huruf va dicipta dalam Konvensyen Tulisan Jawi di Terengganu pada tahun 1984. Huruf ye akan kita bincangkan dalam perenggan-perenggan seterusnya.

Huruf ye mula digunakan dalam Daftar Ejaan Rumi-Jawi (DERJ) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), cetakan pertama tahun 1988. Huruf itu digunakan sebagai padanan huruf e di akhir perkataan pinjaman daripada bahasa Inggeris seperti animisme, komunisme, mekanisme, nasionalisme dan patriotisme. Namun huruf itu tidak dimasukkan dalam abjad dan namanya juga tidak dinyatakan. Huruf itu hanya tersenarai sebagai abjad dalam daftar cetakan keenam tahun 1999 tetapi nama dan pedoman penggunaannya tidak dinyatakan.

Nama ye [y«], padanan Rumi dan pedoman penggunaannya terdapat dalam buku Pedoman Ejaan Jawi Bahasa Melayu DBP tahun 1996. Dalam buku itu dinyatakan bahawa “Vokal [e] pepet dilambangkan dengan huruf ye (huruf ya tanpa titik) apabila hadir di suku kata akhir terbuka.” Contoh yang diberikan ialah metode, nasionalisme, mekanisme dan lipase. Pedoman yang sama tercatat dalam Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi (DKBM) edisi pertama (2001) dan edisi kedua (2008). DKBM menggunakan lambang [e] bagi vokal tengah yang menjadi bunyi baku bagi huruf e pepet. Lambang rasmi e pepet dalam fonetik ialah [«]. Tegasnya, ye melambangkan e pepet di akhir kata dan bukannya e taling yang dalam DKBM dilambangkan [é].

Bentuk huruf ye sama dengan huruf ya. Bezanya, huruf ya mempunyai dua titik di bawah perutnya sedangkan huruf ye tidak mempunyai titik. Oleh sebab itu huruf ini dinamakan juga “ya tanpa titik”. Matlob dalam buku Pandai Jawi (2003: 34) menambah satu lagi nama, iaitu “ya leweh”. Leweh bermaksud cuai. Mungkin ya itu dianggap cuai kerana tidak menggunakan titik. Namun kita tidak pula dianggap cuai apabila kita menulis ya leweh tanpa titik kerana memang itulah sifat ye. Hamdan Abdul Rahman dalam bukunya Panduan Menulis dan Mengeja Jawi terbitan DBP tahun 1999 mengatakan nama sebenar ye ialah alif maqsurah.

Sesungguhnya bentuk huruf ye persis huruf alif maqsurah tetapi kedua-duanya sangat berbeza. Ya mempunyai empat bentuk, iaitu tunggal, awal kata, tengah kata dan akhir kata bagi melambangkan dua bunyi, iaitu [a] dan [e]. Alif Maqsurah mempunyai dua bentuk, iaitu tunggal dan di akhir kata bagi melambangkan bunyi [a] sahaja. Apabila kita mengeja perkataan seperti Musa, huruf alif maqsurah disebut [ya] (?). Huruf ye mempunyai dua bentuk juga seperti alif maqsurah tetapi melambangkan bunyi [«]. Sebagai rumusannya, ye tersendiri dan bukan kelainan huruf ya atau alif maqsurah.

Dalam DKBM (2001, 2008) huruf ye ialah huruf yang ke-36 daripada 37 huruf abjad Jawi. Di bawah subtajuk “Tulisan, Abjad dan Huruf” dalam DKBM Edisi Kedua (2008: 78 - 79) huruf ye dan nya tidak tersenarai. Hal ini jelas satu kesilapan. Namun, kedua-dua huruf itu tersenarai di bawah subtajuk “Bentuk Huruf dan Cara Penulisannya”. Kamus Dewan Edisi Keempat (KD4) pula mengatakan ye ialah “huruf ke-35 abjad Jawi”. Hal ini berlaku kerana KD4 tidak memasukkan ta marbutah sebagai abjad keempat. Jadi, dalam KD4 huruf abjad Jawi hanya 36.

Dari segi fonologi, huruf ye sewajarnya digolongkan sebagai vokal. Tegasnya, huruf ye bukan konsonan dan bukan diftong.

Ye jelas huruf ciptaan Melayu atas dua alasan. Yang pertama, nama ye ialah nama Melayu. Oleh itu nama “ya tanpa titik” dan “ya leweh” hendaklah diketepikan kerana dikaitkan dengan “ya”. Nama “alif maqsurah” juga disisihkan kerana itu huruf Arab yang mempunyai maksud dan bunyi yang tersendiri. Yang kedua, huruf ye melambangkan bunyi e pepet di akhir kata sahaja. Hal ini berbeza daripada huruf ya dan alif maqsurah.

Saya menjangka ada beberapa aspek lain huruf ini dapat menjadi bahan perbincangan. Mereka yang mengikuti seminar dan bengkel yang menatijahkan kemunculan huruf ini dijangka mempunyai beberapa maklumat yang menarik untuk dikongsikan. Peneliti buku sejarah tulisan Jawi seperti buku karangan Hashim Musa, Amat Juhari Moain dan Kang Kyoung Seock mungkin sudah menemukan isu lain berkaitan huruf ini. Guru Jawi, khususnya mereka yang mengajarkan Jawi di sekolah rendah, dijangka ada pengalaman yang tersendiri yang berkaitan dengan huruf ini. Perkongsian pengalaman dan dapatan itu saya alu-alukan.

Sebagai rumusannya, huruf ye menjadikan abjad Jawi bertambah lengkap dan sistem ejaan Jawi kita semakin mantap.

1 ulasan:

Gula "gulaley" Kapas berkata...

huruf ye wujud dalam daftar kata Kamus Dewan Edisi Empat...
http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=huruf+ye+jawi+kamus+dewan+edisi+empat

lihat juga...
http://ms.wikipedia.org/wiki/Tulisan_Jawi#Abjad_.D8.A7.D8.A8.D8.AC.D8.AF