09 Julai 2012

Mejar (B) Yeap Keng Leng dalam Kenangan


Ini adalah antara perenggan yang saya catat dalam Facebook beberapa bulan yang lalu: “Saya rindu akan Bukit Langsat. Jikalau tuan/puan ada sedikit masa terluang dan ada sesuatu yang rasa-rasanya wajar dikongsikan dengan saya, apabila tuan/puan mengusahakan perkongsian itu, terima kasih yang setinggi-tingginya saya ucapkan. Entah mengapa, saya teringat akan Tuan Mejar (B) Yeap Keng Leng, Encik Ruslin Ekon dan beberapa orang yang lain.”

Hanya beberapa orang rakan sempat membaca catatan itu. Perbincangan berkisar pada rasa rindu dan kemudian berfokus pada perkataan “Bukit Langsat”. Nama yang saya ketengahkan dalam ayat terakhir perenggan yang di atas tenggelam. Saya mendapat maklumat bukan terkini tentang Tuan Mejar (B) Yeap Keng Leng melalui laman sesawang kampus Bukit Langsat.

Akhir bulan lalu saya bertemu dengan Ketua Jabatan Hal Pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Keningau, Tuan Mazlan Ngah. Dalam pertemuan singkat di sebuah hotel di Port Dickson itu kami bertukar-tukar khabar. Beliau memberitahu saya bahawa Tuan Mejar (B) Yeap Keng Leng menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Keningau tidak lama selepas beliau bersara pada hujung September 2011.

Mendiang Yeap Keng Leng adalah antara rakan bukan Islam yang akrab dengan saya. Kami tinggal sebangunan. Saya berasa dia terlalu baik sebagai rakan sebangunan. Kami kerap menaiki teksi bersama-sama untuk ke Kota Kinabalu dan dari Kota Kinabalu pulang ke Keningau. Dia juga kerap menemani saya apabila saya memandu kereta ke Kota Kinabalu.

Sebagai penjawat awam dan juga anggota tentera, kepatuhannya pada arahan ketua dan mereka yang lebih senior daripadanya tinggi. Hal ini terserlah dalam siri latihan bina semangat. Dia mematuhi arahan ketua dan rakan-rakan yang lebih senior daripadanya walaupun mereka tidak mempunyai latar belakang ketenteraan. Dia sentiasa mendapatkan pandangan ketua dan rakan-rakan atasan sebelum membuat sesuatu keputusan strategik walaupun sebenarnya dia lebih mahir dalam bidang itu.

Pada bulan Mei 1997, kami terpaksa membentuk pasukan untuk mencari seorang anak rakan kami yang mati lemas di sungai. Ketua organisasi kami pada masa itu wanita. Dia tidak mahu menjadi ketua gerakan itu. Saya mencadangkan nama Kapten Yeap Keng Leng bagi mengetuai gerakan itu. Kapten Yeap menolak dan bersama-sama dengan ketua kami “melantik” saya sebagai ketua gerakan itu. Kapten Yeap menyumbangkan fikiran dan tenaganya dengan sepenuh hati tanpa mengira masa sehinggalah urusan itu selesai. Itu adalah antara babak bantuannya kepada saya yang sukar saya lupakan.

Tuan Mazlan memberitahu bahawa mendiang dikebumikan di Kuala Kangsar. Anak sulungnya dikatakan menjadi pelajar di IPG Kampus Gaya, Kinabalu.

Lampiran 1
21 Tahun Mengukir Sejarah di Bukit Langsat
Oleh Mohd Firdaus bin Abd Salam, 23 September 2011

Wad Pembedahan Lelaki, Hospital Keningau sudah seperti rumah kedua beliau apabila disahkan menghidap penyakit kronik sejak awal tahun ini. Penyakit yang dideritainya memerlukan rawatan rapi. Beliau terpaksa melupakan tugas rasmi di institut sehingga tarikh perasaannya pada 19 September 2011. Warga Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Keningau yang diketuai oleh Puan Rujinah binti Miki, Pengarah IPG Kampus Keningau meraikan beliau di Hospital Keningau.

Semangat tentera wataniah yang sebati dengan Mejar (B) Yeap Keng Leng menjadikan beliau tabah dan terus berjuang dengan kudrat yang masih tersisa. Sambil menanggung kesakitan terbaring di atas katil, beliau masih mampu menyambut rakan-rakan dengan penuh ketenangan dan keceriaan.

Nyanyian lagu “Selamat Hari Jadi” membuka tirai majlis yang dimulakan pada jam 10 pagi itu, disusuli dengan ucapan pengarah dan tayangan video yang memaparkan perjalanan beliau sebagai seorang guru. Majlis berakhir dengan penyampaian cenderamata dan jamuan ringan yang turut dihadiri oleh wakil Pengarah Hospital Keningau.

Mejar (B) Yeap Keng Leng juga sempat menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua warga IPG Kampus Keningau. Seorang demi seorang yang bersalaman dengannya sempat dibisikkan agar sentiasa menjaga kesihatan dan memohon ampun dan maaf atas segala kesalahan yang pernah dilakukan.

Lampiran 2
Bercakap dengan Batu
Oleh Cikgu Isa, Januari 2000

Di institusi kami, pada setiap hari Rabu, semua anak murid pendidikan guru (istilah yang terdapat dalam Akta 174, Akta Institusi-Institusi Pelajaran [Tatatertib] 1976) dan pendidik guru memakai pakaian seragam. Ahli Pengakap berpakaian pengakap, ahli Bulan Sabit Merah beruniform putih macam pekerja hospital, ahli Pergerakan Puteri Islam berbaju kurung merah jambu dan begitulah seterusnya -- setiap pasukan dengan pakaian seragam masing-masing. Pendidik guru yang tidak menyertai mana-mana pasukan beruniform, boleh berpakaian rasmi biasa dan berkot.

Di bawah kelolaan Kapten Yeap, perhimpunan diadakan pada pukul 7.00 pagi, pada setiap hari Rabu. Murid pendidikan guru begitu segak dengan uniform masing-masing. Perbarisan cukup teratur. Ketika dibaluti uniform pasukan, disiplin mereka cukup tinggi. Kepatuhan mereka kepada ketua juga amat tinggi bagaikan kepatuhan para penyanyi wanita (gilapan RTM) membungkus tubuh mereka dengan telekung putih ketika solat.

Saya menyertai perhimpunan pertama pagi Rabu semester ini, juga perhimpunan pertama alaf ini. Saya hadir lima minit lebih awal -- mengatasi lebih kurang 30 orang anak murid pendidikan guru dan beberapa orang pendidik mereka. Anak murid pendidikan guru yang lambat itu tidak boleh masuk barisan. Mereka dibahagikan kepada dua kumpulan, lelaki dan wanita, dan berbaris memanjang di hadapan lapangan menghadap kumpulan perbarisan sebenar bagaikan orang salah menunggu hukuman.

Acara berjalan lancar. Sampailah ketikanya Pengelola berucap. Ucapannya pendek, padat, bernas dan disampaikan dengan suara yang lantang, bertenaga dan jelas. Beberapa kali dia berusaha mendapatkan sedikit respons lisan daripada anak-anak buahnya. Respons yang diperolehnya lembik -- hampir tidak kedengaran. Sebahagian besar daripada mereka tidak bersuara langsung!

Maka dia pun berkata, "... macam bercakap dengan batu!"


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Takziah daripada saya.