05 Ogos 2012

Keramat Bukit Tiga

Sepintas Lalu tentang Sastera Rakyat

Transkripsi penceritaan Haji Zubir bin Hamzah, 63 tahun, imam dan guru agama di Kampung Permatang Pasir, Linggi, Negeri Sembilan. Rakaman dilakukan oleh Mohd Isa bin Abd Razak pada 23 Januari 1978.

Saya mendapat cerita ini daripada arwah Haji Idrus bin Zainal dan Haji Mat Nor bin Sagi. Cerita mereka kepada saya begini:

Dahulu adalah kampung Permatang Pasir ini di belakangnya ada sebuah sungai. Sungai itulah pangkalan mudik orang-orang dari sungai Ujung, Rembau hingga sampai ke Melaka. Dan kapal kecil masuk di situ, dijadikan pelabuhan kecil, membawa dagangan. Jadi daripada antara sungai itu ke jalan raya iaitu kepada batu dua puluh dua suku ada satu permatang, jalan dibuat macam permatang, iaitu daripada pasir. Bahkan sampai hari ini Kampung Permatang Pasir ini adalah tanahnya berpasir belaka.

Dan di dalam mudik ke hulu dan mudik ke hilir itu, tidak tahu nama satu manusia yang telah menangkap udang di sungai itu, dengan takdir Tuhan dia telah ditangkap oleh buaya. Puas mencari tiada dapat, maka serbannya dijumpai oleh orang Kampung Permatang Pasir di satu sungai; sampai hari ini sungai itu dinamakan Sungai Serban. Bungkus nasinya dijumpai oleh orang di satu simpang sungai juga; sampai hari ini sungai itu dinamakan Kubur Nasi.

Dan tidak berapa hari daripada itu, terjumpalah pahanya sebelah iaitu berulang-alik, apabila alir pasang mudik ke hulu, apabila air surut ia mudik ke hilir. Kemudian diambillah oleh orang kampung ini. Kemudian ditanamlah pada bukit yang dinamakan Bukit Tiga. Sebab dinamakan bukit tiga adalah bukit itu tiga sederet. Satu daripadanya dikatakan orang Bukit Samak. Yang satu itu saya lupa namanya.

Kemudian daripada itu dibinalah oleh orang, dibuat macam kubu. Tatkala peperangan Rembau dengan Inggeris, jadi kubu itu disangka oleh orang Inggeris adalah kubu, maka ditembaknya. Sampai hari ini bahkan tembok itu pecah-pecah, ada yang patah-patah. Sampai hari ini ada kesannya.

Dan di atas kubur itu ada satu perigi batu iaitu sentiasa airnya ada. Menurut cerita orang tua-tua dulu, adalah penunggu Gunung Rembau itu dia suami isteri, kemudian berkelahi. Maka dia lari ke Tanjung Tuan. Tapak yang pertama adalah di Bukit Rembau, tapak yang kedua di Bukit Tiga, tapak yang ketiga adalah di Tanjung Tuan.

Beginilah cerita secara ringkas yang saya dapat tahu daripada buah mulut orang tua-tua yang saya sebutkan tadi.

Tiada ulasan: