Cerpen: Batang
Transkripsi penceritaan Tuk Teh, 80 tahun, anak jati Kampung Permatang Pasir, Linggi, Negeri Sembilan. Rakaman dilakukan oleh Mohd Isa bin Abd Razak pada 24 Januari 1978.
Cerita mak aku, buaya ini dari zaman datuk nenek aku dulu. Dia ini buaya putih, Muhammad Dermit Tua namanya. Tempat tinggalnya di pusat Tasik Pauh Janggi. Jauh tempatnya itu, aku tidak tahu mana.
Transkripsi penceritaan Tuk Teh, 80 tahun, anak jati Kampung Permatang Pasir, Linggi, Negeri Sembilan. Rakaman dilakukan oleh Mohd Isa bin Abd Razak pada 24 Januari 1978.
Cerita mak aku, buaya ini dari zaman datuk nenek aku dulu. Dia ini buaya putih, Muhammad Dermit Tua namanya. Tempat tinggalnya di pusat Tasik Pauh Janggi. Jauh tempatnya itu, aku tidak tahu mana.
Aku tidak ingat asal usulnya. Tetapi, kata mak aku, yang aku ingat, buaya putih itu asalnya anak raja dua beradik. Seorang dikiraikannya ke darat, jadi beriang. Seorang dikiraikannya ke laut, jadi buaya. Yang beriang itu tidak ada apa-apa, tapi … jangan buat-buat … kalau ada ikan lubuk, selubuk habis dikerjakannya.
Kata mak aku, yang ke laut itu hendak dibela, hendak diberi makan. Pemakannya itu bertih semangkuk, telur sebiji, sirih dua kapur, pisang tiga bangsa, rokok pucuk dua batang, lilin sebatang.
Sekarang turun pada aku. Dulu, aku tak hendak mengambil. “Aku tak nak mengambek pada mak ni doh mak. Payah aku esok,” kata aku. Kata mak aku, “Kalau sakit anak-anak esok, katakan jelah pesombahan datuk nenek awak.” Itulah dia lekat pada aku.
Bagi makan itu tidak tetap. Bila sakit saja. Bilakah sakit dah parah benar, tidak boleh hendak diubat-ubat lagi, buatkanlah persembahan. Semuanya hendak elok-elok. Maklumlah anak raja. Hendak dulang, dialas dulang. Hendak bertih, beras hendak dibasuh. Telur yang elok. Pisangnya jangan pisang lain, pertama pisang emas, kedua pisang kelat, ketiga pisang raja; dua biji sebangsa; dipilih yang elok-eloknya. Semuanya hendak elok-elok. Makanan anak raja tak boleh dicuakan. Minyaknya hendak minyak wangi, tak mahu dia minyak lain.
Sudah siap semua itu, masukkanlah dalam dulang. Bakarlah kemenyan. Diserulah nama dia, “Anak raja memerintah di arus; yang diam di pusat Tasik Pauh Janggi; tolonglah bagi ilamat yang elok!”
Dan sudah serukan, pergilah hantar. Isikan dalam temiku. Benda-benda itu dihanyutkan ke laut. Layarkanlah ketika air mengarah ke hilir. Jangan biarkan mengikut ke hulu, tak mahu dia. Masa hantar itu mesti senyap-senyap. Tidak boleh bercakap. Masa letakkan itu katakanlah, “Assalamualaikum Muhammad Dermit Tua. Terimalah persembahan aku ini. Minta elokkanlah si ………. itu!”
Kemudian ambil air sungai itu, buat tanda menghantar. Air itu buat basuh muka, kaki, tangan si sakit itu.
Waktu mak aku dulu, beratus dihantarkannya. Selagi ada puak-puak awak yang kena, anak-beranak, cucu cicit, semua dihantarkannya. Baik kembung, baik apa. Puak orang lain tak mahu dia. Puak kita saja.
Boleh juga tangguh. Dibuat semperona. Benang semperona itu dihendakkannya putih, kuning, merah, tiga bangsa. Diikat pada tangan. Arwah Bang Seman dulu, baru tangguh saja, terus elok dia. Minta nasi dia hendak makan.
Ini, hari itu, ada orang minta buatkan. Dibuatnya: mangkuk sumbing, tempat bara tempurung, bekas bertih … semuanya tak elok. Itulah, marah dia. Berterabur semua benda-benda itu. Aku pun dah tak ingat masa itu.
Itulah, susah. Aku sudah lama hendak buangkan. Ini, kudis aku ini, tegah dek dialah itu … tak baik-baik. Puas berubat. Habis dukun di Permatang Pasir ini dah. Duduk pula di rumah anak aku, berulang ke klinik, tidak juga mahu baik. Dihadangnya. Pergi ke hospital, hendak potong mata aku yang tumbuh ini, dihadangnya juga. Di hospital itu, dua hari aku tak ingat. Itulah pula celakanya dia itu! Tak terdaya aku lagi dah. Minta orang buangkan, tidak ada juga orang yang mahu, tak ada yang sanggup. Pendeknya, berapa pun diminta orang, biarlah dibayar oleh anak cucu aku ini. Tetapi tidak ada yang mahu. Kalaulah orang tua Rahmat itu mahu buat sembahyang hajat saja … kata aku ….
Itu saja yang tahu atuk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan