Sabah Tempat Bermain
Rakan yang pasti masih di SMK Majakir ialah Mohamad Daud. Hanya dia yang berterusan berutus surat dengan saya. Dia sudah berpindah dari rumah sewa di Kampung Sungai Padang ke sebuah rumah guru dalam kawasan sekolah. Menurut Mohamad, SMK mengalami berbagai-bagai perubahan. Saya berharap perubahan itu termasuklah kewujudan surau.
Mulai tahun kedua, saya tinggal di Desa Siswa C. Desa siswa itu menghadap surau. Saya mengunjungi surau setiap hari. Selain bersolat, saya melaksanakan tugas sebagai anggota Biro Penerbitan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Sains Malaysia (PMIUSM). Dua tahun lamanya surau itu menjadi asrama dan bilik kuliah kedua bagi saya. Selama dua tahun itu saya mengalami proses tarbiah.
Hasil pentarbiahan itu, mula-mula saya bersongkok lipat. Kemudian saya berketayap. Rakan-rakan daripada kumpulan al-Arqam mengajarkan cara melilit serban. Saya membiasakan diri berserban pula. Saya menghadiri majlis ilmu pimpinan Ustaz Ashaari. Saya berasa seronok menyanyikan nasyid “Sepohon Kayu” bersama-sama hadirin sebelum majlis bermula. Pada waktu cuti semester, saya membonceng motosikal rakan untuk mendengar tazkirahnya di Sungai Penchala. Saya menghadiri ijtimak al-Arqam di suatu tempat di Kedah.
Rakan-rakan daripada Jemaah Tabligh pula menggalakkan saya berjanggut. Apabila anggota Jemaah itu menyampaikan taalim atau bayan, saya duduk di hadapan. Hasil tarbiah mereka, saya semakin tekal menunaikan solat berjemaah dan amat takut untuk melalaikan solat.
Kebanyakan penggiat PMIUSM mengikut aliran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Ulama Malaysia (PUM). Pemimpin ketiga-tiga pertubuhan itu dan pendakwah bebas bersilih ganti menghadiri berbagai-bagai acara di kampus kami. Antara pemimpin itu termasuklah Ustaz Ahmad Awang, Saudara Anwar Ibrahim dan Saudara Fuad Hassan. Pendakwah bebas yang kerap ke kampus kami ialah Ustaz Uthman El-Muhammady.
Semasa di USM, saya sempat mengunjungi Maahad Al-Ehya Al Shariff, Gunung Semanggol. Saya juga berkesempatan mengikuti ijtimak PUM di Bukit Mertajam. Di situ pertama kali saya mendirikan solat sunat tasbih. Solat itu dipimpin oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, seorang Ahli Parlimen dari Kelantan.
Malam itu saya tidur-tidur ayam kira-kira dua jam. Saya berasa amat mengantuk apabila terbangun untuk bersolat. Anehnya, apabila Tuan Guru memulakan tazkirah sebelum solat, rasa kantuk itu lenyap. Badan saya berasa segar. Mata saya terbuka luas. Saya menatap wajah ulama yang bermuka bersih dan tenang itu dengan asyiknya. Dia kerap kali memejamkan matanya ketika berbicara. Hati saya mencerap kata-katanya.
Selepas kuliah subuh oleh Tuan Guru juga, kami bersarapan. Tuan Guru bersila bersama-sama kami. Dia menggunakan pinggan ayan, sama dengan pinggan kami. Dia menikmati hidangan seadanya, sama dengan hidangan kami.
Kini, pemikiran dan perasaan saya sudah jauh berbeza daripada pemikiran dan perasaan ketika kapal terbang menuju ke Kuala Lumpur tiga tahun yang lalu. Tubuh saya semakin kurus, janggut saya semakin panjang dan saya kerap berketayap. USM bukan sekadar tempat untuk menggapai ijazah. USM bukan juga sekadar tempat yang mematangkan diri saya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan berpersatuan. Yang terpenting, USM menjadi madrasah perubahan sahsiah saya. Saya berharap Mohamad Daud dan rakan-rakan akan menerima kehadiran saya sebagai insan yang sudah berubah.
Saya sudah mengutus surat kepada Mohamad Daud. Dalam surat itu tarikh kepulangan saya ke Sabah sudah saya maklumkan. Nombor penerbangan ada saya catatkan. Saya juga menyatakan harapan agar Mohamad sudi menumpangkan saya di rumahnya sehari dua sementara saya menguruskan penempatan. Oleh sebab penerbangan saya dijangka tiba selepas pukul sepuluh malam, saya nyatakan bahawa dia tidak perlu menunggu saya di lapangan terbang. Saya akan menaiki teksi ke Papar.
Di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, sesudah menyelesaikan pemeriksaan dokumen perjalanan dan menerima bagasi, saya menolak troli ke pintu keluar balai ketibaan. Di atas troli itu terletak beg pakaian dan beg sandang yang sama ketika saya ke Pulau Pinang tiga tahun yang lalu. Mesin taip seperti dahulu juga, sebuah, tetapi sudah bertukar. Mesin taip lama saya tinggalkan di bilik Kelab Sastera. Ada sebuah beg sandang baharu berwarna hijau. Pada kulit beg itu tertulis perkataan al-Arqam. Beg itu mengandungi buku, kertas kerja, risalah, nota dan alat tulis.
Ketika saya menolak troli barang, dari jauh saya nampak wajah seorang lelaki yang cukup saya kenal. Dia bermisai tebal. Dia tersenyum menyambut ketibaan saya. Dia ialah Yusuf Sharif, rakan sekumpulan saya semasa di maktab. Dialah yang mendorong saya untuk menghasilkan rencana tentang penduduk Pulau Sialu. Saya pernah mengunjunginya di SMK Bongawan. Kami berpelukan.
Sambil Yusuf membimbit beg pakaian saya ke keretanya, dia menyampaikan beberapa maklumat. Katanya, Mohamad Daud ada urusan rasmi di luar Papar. Anak Mohamad bernama Abdul Jabar dan sudah berumur hampir tiga tahun. Pentadbiran baharu sekolah menetapkan bahawa mereka yang sudah berkeluarga dan tinggal di rumah guru dalam kawasan sekolah perlu memberi ruang kepada seorang guru bujang untuk tinggal di bilik kedua. Bilik kedua rumah Mohamad sudah ada penghuni. Dia meminta saya tinggal di rumahnya.
Saya mengucapkan terima kasih atas susah payahnya menjemput saya di lapangan terbang dan kesudiannya menumpangkan saya di rumahnya. Saya memberitahunya bahawa saya belum ada surat penempatan. Saya akan ke Pejabat Pelajaran Sabah untuk menguruskan penempatan saya esok. Saya memang suka ditempatkan di SMK Majakir. Walau bagaimanapun, hal itu terpulang kepada kebijaksanaan pihak yang menguruskan penempatan guru di Jabatan Pelajaran Sabah.
Yusuf berkata, “Di Majakir sudah ada tingkatan enam. Masih ada beberapa kekosongan untuk guru siswazah. Hang mintalah Jabatan Pelajaran Sabah tempatkan hang di sekolah asal.”
“Insya-Allah, saya akan usahakan,” kata saya.
Kami meninggalkan lapangan terbang sesudah hampir pukul sebelas malam. Yusuf memandu kereta kecil dua pintu dengan cermatnya. Kami melalui jalan yang kerap saya tempuhi pada suatu masa dahulu. Kegelapan malam menabiri pengecaman saya untuk mengingat tempat-tempat yang pernah saya lalui itu. Kami terus bertukar-tukar maklumat tentang perkembangan diri masing-masing.
Yusuf menyatakan bahawa dia sudah mempunyai dua orang anak. Kedua-duanya lelaki. Anak sulungnya berumur lebih sedikit dua tahun. Anak keduanya berumur setahun. Dia mengajar pada sesi pagi. Hasnah mengajar pada sesi petang.
Dia bertanya, “Hang anggota al-Arqam?”
Saya menjawab, “Bukan. Saya bukan anggota al-Arqam. Saya hanya orang yang simpati dengan perjuangan mereka. Saya mengikuti kegiatan mereka dan menyokong usaha mereka dalam bidang ekonomi.”
Yusuf bertanya lagi, “Jadi, hang pengikut tabligh?”
Saya menjawab, “Bukan juga. Saya menghadiri kegiatan mereka di surau dalam kampus sahaja.”
“Janggut hang panjang. Macam orang tabligh.”
Saya ketawa lalu berkata, “Saya sudah tua.” Namun, saya menyedari bahawa lawak saya itu janggal lalu saya menambah kata, “Hang tengok, rambut saya pun panjang. Di kampus, sukar untuk kita melihat mahasiswa yang berambut pendek. Besok, sebelum masuk ke pejabat Pengarah Pelajaran Sabah, saya gunting rambut dan rapikan janggut. Janggut saya akan tinggal sejemput macam orang ABIM.”
“Jadi, hang orang ABIM?”
“Bukan juga, Usup. Saya cuma menyokong dan mengikuti kegiatan ABIM.”
“Jadi, hang pendakwah bebaslah.”
“Bukan juga. Saya belajar dan mengamalkan ajaran agama.”
“Aku belum tengok hang merokok sejak tadi. Hang sudah berhenti merokok? Sejak di maktab, aku tengok hang sekejap-sekejap berasap, sekejap-sekejap berasap.”
Saya menjawab, “Saya tabik pada hang kerana hang memang tidak merokok. Baru lima bulan saya berhenti merokok. Mudah-mudahan kekal.”
“Lama itu. Saya yakin hang mampu bertahan.”
Kami tiba di Papar selepas pukul dua belas tengah malam. Yusuf mengajak saya terus naik ke atas rumahnya. Saya berkata bahawa saya ingin melihat-lihat kawasan sekolah dahulu. Sebenarnya itu alasan sahaja. Saya sudah ditarbiahkan agar tetamu memberikan masa yang sesuai kepada tuan rumah sebelum masuk ke dalam rumah. Orang perempuan dalam rumah itu mungkin memerlukan masa untuk mengenakan pakaian yang sesuai sebelum berhadapan dengan tetamu. Jikalau anak dara sedang berkemban, dia perlu diberi masa untuk menukar pakaian. Keluarga yang tidur di tempat yang kurang sesuai perlu dikejutkan dan beralih ke dalam bilik atau tempat yang terlindung. Tetamu yang berdiri di luar janganlah berada di hadapan pintu demi mengelakkan terpandang orang yang belum bersedia di dalam rumah. Lebih daripada itu, sekiranya ajakan tuan rumah selepas diberikan masa yang sesuai tawar, eloklah pergi ke tempat lain kerana ada kemungkinan orang di dalam rumah keberatan menerima tetamu.
Tarbiah yang saya alami benar. Yusuf mengambil masa yang agak lama di dalam rumah. Apabila Yusuf keluar, Hasnah yang berpakaian lengkap mengekorinya. Kedua-dua suami itu mengajak saya naik. Barulah saya senang hati.
Keesokannya, saya menaiki teksi yang terawal ke Kota Kinabalu. Di Kota Kinabalu, sesudah bersarapan, saya ke kedai gunting rambut bagi memendekkan rambut dan merapikan janggut. Kemudian saya menaiki teksi untuk ke Pejabat Pelajaran Sabah di Rumah Persekutuan, Sembulan. Pegawai yang bertanggungjawab dalam hal penempatan mencadangkan agar saya menjadi pensyarah Maktab Perguruan Kent. Saya menghargai tawaran beliau tetapi menyatakan bahawa saya lebih suka meneruskan tugas di sekolah lama, iaitu SMK Majakir. Saya memberitahu beliau bahawa di SMK Majakir saya sudah ada tempat penginapan.
Pegawai itu mendraf surat di hadapan saya. Kemudian dia meminta seorang kakitangannya menguruskan surat itu. Lebih kurang setengah jam kemudian saya menerima surat yang sudah ditandatangani oleh Encik Marcus Otigil bagi pihak Pengarah Pelajaran. Surat itu bernombor rujukan ED/BB/153/96 dan bertarikh 26 April 1979. Kandungan surat itu ringkas. Perenggan pertamanya berbunyi, “Adalah dengan ini saya diarahkan memaklumkan tuan bahawa penempatan tuan telah pun diatur ke Sekolah Menengah Kebangsaan Majakir, Papar.” Perenggan keduanya berbunyi, “Sukacita kiranya tuan dapat melaporkan diri untuk bertugas dengan seberapa segera yang boleh.”
Tajuk surat itu ialah “Penempatan Guru Siswazah ke Sekolah Menengah Kelulusan Universiti Malaya – BM/Sastera”. Saya memberitahu pegawai itu bahawa “Universiti Malaya” silap. Perkataan yang betul ialah USM. Beliau mengatakan bahawa hal itu tidak menjadi masalah kerana surat itu hanya arahan untuk melaporkan diri. Yang penting ialah surat pelantikan. Katanya, surat pelantikan akan dikirimkan kepada saya kemudian.
Saya melaporkan diri sebagai guru sandaran siswazah terlatih kepada Pemangku Pengetua SMK Majakir, Encik Wiliam Liew, pada petang hari itu juga. Tuan Pengetua, Encik Richard F. Tunggulou tiada. Dia bercuti atau berkursus. Jawatan guru siswazah saya itu bertaraf sandaran kerana keputusan peperiksaan tahun akhir USM belum diketahui.
Bersambung: (25) Ustaz Sangkut

Tiada ulasan:
Catat Ulasan