Pada hari Jumaat, 27 April 1979, saya mula bertugas sebagai guru sandaran siswazah terlatih. Tugas saya ialah mengajarkan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu untuk tingkatan lima dan Bahasa Melayu Kertas 2 (Kesusasteraan Melayu) untuk tingkatan enam. Pada hari itu saya sempat berkenal-kenalan dengan pelajar tingkatan lima. Tingkatan enam pula pertama kali diadakan di sekolah itu. Pihak sekolah masih mendaftarkan kemasukan pelajar dari seluruh Sabah.
Pada hari Sabtu dan Ahad saya mengetuai beberapa orang pelajar lelaki tingkatan enam menceriakan kelas yang akan mereka gunakan. Kelas itu terletak di aras atas asrama lama. Bangunan asrama lama itu sudah diubah suai dan dijadikan bilik darjah. Tugas utama kami ialah mengecat bahagian dalam bilik darjah. Kami juga membaiki kerusi dan meja yang rosak. Bahan dan alatan dibekalkan oleh pihak sekolah. Kami berasa seronok melakukan kerja itu sambil berbual dan berjenaka.
Kehidupan saya sebagai guru siswazah teratur. Saya menunaikan solat subuh di bilik atau di surau asrama lelaki. Selepas bersolat, saya membaca al-Quran dan terjemahannya. Hal itu saya lakukan secara tekal. Saya dapat menyelesaikan pembacaan itu pada bulan November. Saya mendapat gambaran menyeluruh isi al-Quran. Saya menandakan ayat tertentu dan membuat catatan tepi agar mudah dirujuk.
Saya berjaya menghafal beberapa ayat pilihan seperti ayat 117 surah al-Baqarah tentang maksud kebajikan, ayat 110 surah Ali ‘Imran tentang amal makruf nahi mungkar dan ayat kelima surah al-Jumu’ah tentang orang yang Yahudi yang mengingkari kerasulan Nabi Muhammad SAW. Dalam ayat itu Allah memisalkan orang Yahudi sebagai keldai yang memikul bendela. Nota kaki penterjemah berupa soalan, iaitu apakah bandingan yang sesuai untuk orang yang menggunakan nama Islam, membaca al-Quran dan menatap kitab tetapi tidak mengamalkan ajaran Islam? Jawapan bagi soalan retorik ini rasanya ialah keldai yang memikul bendela. Mudah-mudahan saya tidak termasuk dalam golongan keldai.
Saya bersarapan bersama-sama Yusuf. Selepas itu kami ke sekolah yang letaknya lebih kurang lima puluh meter dari rumah kami. Saya makan tengah hari bersama-sama Yusuf juga. Pada masa itu Hasnah sudah ke sekolah sesi petang. Selepas makan, saya berehat sebentar. Selepas itu saya mengemas kini buku rekod pengajaran dan membuat persediaan untuk pelajaran keesokannya. Rancangan mingguan sudah saya siapkan pada hari Sabtu atau Ahad.
Selepas bersolat asar, Yusuf ke padang bola. Saya pula ke gelanggang bola keranjang atau padang kecil yang terletak di antara rumah guru dengan bangunan sekolah. Di situ saya bermain bola enam sebelah ala futsal kini. Sesekali saya tidak ke gelanggang atau ke padang. Saya berkebun sebatas dua di belakang rumah.
Saya berhenti melakukan kegiatan petang kira-kira setengah jam sebelum masuk waktu maghrib. Saya bersolat maghrib dan isyak di surau asrama lelaki. Kegiatan tetap pada malam Jumaat ialah pembacaan surah Yasin. Pada malam-malam yang lain, ada kegiatan khusus seperti tazkirah dan penghafalan ayat al-Quran. Saya menyertai pelajar-pelajar lelaki menghafal ayat-ayat pilihan bawah bimbingan Ustaz Mahmud. Antara ayat itu termasuklah surah al-Nur ayat ke-31.
Kata ustaz, ayat itu ialah nas tentang kewajipan menutup aurat. Katanya lagi, perkataan aurat ialah istilah dan mesti difahami berdasarkan nas, tafsir al-Quran dan hadis yang berkaitan. Antara huraian beliau termasuklah penggunaan tudung. Katanya, tudung hendaklah longgar dan dilabuhkan hingga ke bawah dada. Pemakaian tudung mesti disertai oleh pakaian yang sesuai dari segi ketebalan, kelonggaran dan kelabuhannya. Wanita yang memakai baju T berlengan pendek belum sempurna penutupan auratnya. Penggunaan seluar ketat hingga menampakkan bentuk punggung, apalagi penonjolan tebing di bawah perut, juga merupakan contoh ketidaksempurnaan penutupan aurat. Saya tertarik dengan cara ustaz muda itu menyampaikan penjelasan. Dia menggunakan bahasa yang mudah difahami, bersahaja dan berseni.
Adakalanya, pada subuh Sabtu dan Ahad, saya bersolat di masjid Kampung Buang Sayang yang terletak lebih sekilometer dari rumah Yusuf. Untuk ke masjid itu saya mesti melalui jambatan pejalan kaki, iaitu anak jambatan kereta api yang merentangi Sungai Papar. Sesekali, selepas bersolat isyak, saya melakukan kegiatan yang bersesuaian dan beriktikaf. Saya pulang ke rumah selepas kuliah Subuh.
Pada suatu subuh, ketika melalui jambatan pejalan kaki itu untuk pulang ke rumah, saya tersadung dawai yang direntang di hujung jambatan. Alhamdulillah, malaikat membantu saya. Saya tidak cedera. Saya berasa hairan kerana tiada apa-apa halangan semasa saya melalui jambatan itu ketika ke masjid kira-kira sejam sebelum itu. Syaitan sempat membisikkan hasutannya. Kata syaitan, itu mungkin kerja pelajar tingkatan lima dari Kampung Buang Sayang yang selalu saya tegur dan pernah saya suruh keluar dari bilik darjah kerana kelakuan lencongannya. Hasutan syaitan itu tidak saya hiraukan. Saya berdoa agar Allah memberikan petunjuk kepada sesiapa yang merentang dawai itu. Saya doakan agar orang itu mematuhi perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.
Ustaz Muhammad Iyen |
Saya, Ustaz Mahmud dan beberapa orang pelajar lelaki pernah pergi ke Kampung Surati, yang terletak kira-kira dua kilometer dari sekolah kami, untuk mendengar ceramah agama. Ceramah itu diadakan pada malam cuti hujung minggu di sebuah dewan kecil. Penganjurnya ialah persatuan belia kampung itu. Penceramahnya ialah Ustaz Muhammad Iyen Atim. Beliau tenaga pengajar Sekolah Menengah Islamiah, Buang Sayang.
Ceramahnya menarik. Saya menganggap beliau antara pemidato handalan yang pernah saya temui. Isi ceramahnya bernas, tersusun dan padat. Bahasanya baku. Kosa kata yang digunakannya mudah difahami. Dia membumbui ceramahnya dengan kisah dan kiasan. Antara kiasannya termasuk udang galah dan ayam jantan yang diumpamakan sebagai sesetengah belia. Udang galah memiliki tombak yang tajam, sentiasa terhunus dan siap siaga untuk berhadapan dengan musuh. Sayangnya, apabila sesuatu terkena pada tombaknya, dia berundur. Ayam jantan pula memanggil anak bininya apabila terjumpa makanan. Apabila anak bininya datang, sang ayam jantan segera mematuk makanan itu untuk temboloknya sendiri.
Tidak lama selepas itu, sekolah kami pula menganjurkan ceramah. Penceramah undangan kami ialah rakan Ustaz Muhammad Iyen. Yusuf dan Hasnah bermurah hati menyediakan hidangan yang istimewa untuk kedua-dua orang pendakwah dari Indonesia itu. Saya dan Ustaz Mahmud turut menikmati hidangan.
Saya berkawan dengan semua ustaz di SMK Majakir. Saya juga berkawan dengan semua ustaz yang mengikuti kelas tambahan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Tunggal SPM. Saya menjadi tenaga pengajar kelas tambahan itu. Oleh sebab saya rapat dengan para ustaz, selalu berada di surau dan mungkin dilihat ada watak ustaz, banyak pelajar memanggil saya ustaz. Rasanya mereka tidak mengetahui bahawa saya ialah cikgu biasa kerana saya tidak bersemuka dengan mereka di dalam bilik darjah.
Cikgu yang dipanggil ustaz itu rapat dengan penggiat Persatuan Pelajar Islam. Sesekali dia melawati pelajar asrama lelaki diiringi oleh Pengerusi Persatuan Pelajar Islam. Tumpuan cikgu itu ialah pelajar tingkatan satu dan tingkatan dua. Dia berbual dengan mereka. Kadang-kadang dia berlawak. Lazimnya, para pelajar lain mengelilinginya. Ketika hendak berpisah, si cikgu berpesan agar para pelajar itu rajin belajar dan berterusan mendirikan solat. Dia juga mengajak mereka untuk menghadiri kegiatan di surau.
Sebagai guru yang dipanggil ustaz, saya tercabar untuk memperbaik diri. Pada cuti penggal kedua, saya mengikut Jemaah Tabligh keluar selama seminggu. Dari Papar, kumpulan kami ke masjid Tanjung Aru dan berdakwah di sana. Dari Tanjung Aru, kami ke masjid Putatan pula. Kami berada dua malam di masjid itu bagi melaksanakan usaha dakwah. Seterusnya, kami ke masjid Kampung Likas. Di situ saya dipilih untuk bercakap. Dalam istilah tabligh, percakapan itu disebut bayan. Berpeluh dingin juga saya ketika bercakap di hadapan hadirin yang kebanyakannya cendekiawan, termasuk mereka yang bergelar Datuk.
Dalam tempoh seminggu itu saya membaharui pengalaman seperti makan berkumpulan setalam, tertib tidur di dalam masjid dan amalan sunat yang lain. Hal itu pernah saya alami di Surau Desa Siswa C USM. Amalan bersama-sama kumpulan tabligh lebih teratur demi mendapat keredaan Allah. Pengalaman baharu pula termasuklah berjalan kaki dengan membawa beg pakaian dan peralatan memasak sambil berzikir. Kami berlatih untuk tidak memikirkan pandangan orang terhadap diri dan perlakuan kami. Pengalaman itu mengukuhkan jiwa hamba saya. Pengalaman lain ialah memasak makanan untuk kumpulan, berdakwah dari rumah ke rumah dan menyampaikan bayan. Natijah terpenting pegalaman itu, solat berjemaah saya lebih teratur. Dalam sebulan dua selepas menikmati pengalaman itu, saya berasa amat risau sekiranya lambat menunaikan solat.
Pada awal bulan Disember, saya mengikuti kursus dakwah selama seminggu di Sekolah Menengah Agama Islamiah yang terletak di hujung jambatan kereta api yang merentangi Sungai Papar dan di sebelah masjid Kampung Buang Sayang. Kursus itu dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri (BAHEIS) dan Angkatan Belia Islam Sabah (AKBIS). Antara urus setia kursus itu termasuklah senior saya di USM, iaitu Hashim Jeffrey. Dia ialah penggiat utama Jemaah Tabligh Sabah. Ketika saya keluar dengan jemaah itu, saya bertemu dengan Hashim di masjid Tanjung Aru.
Hashim Jeffrey |
Penceramah utama kursus itu ialah Ustaz Wan Mohamad bin Sheikh Abdul Aziz dari Terengganu dan Ustaz Mohamad Noh Gandut dari Johor. Saya merakam semua ceramah dengan menggunakan alat perakam kaset. Dalam kursus itu diadakan juga kegiatan dalam kumpulan yang dinamakan halakah. Ketua kumpulan dinamakan naqib bagi lelaki dan naqibah bagi perempuan. Halakah yang saya alami itu ada persamaannya dengan kegiatan usrah ABIM yang saya sertai kemudiannya.
Peristiwa yang menyebabkan saya berasa geli-geleman apabila mengenangnya ialah pemandangan ketika kami berwuduk. Oleh sebab bekalan air paip terputus, sebelum bersolat zuhur, semua penceramah dan peserta berwuduk di tebing Sungai Papar. Pada masa itu musim hujan. Air sungai penuh dan keruh. Ada bermacam-macam benda hanyut. Tiba-tiba, seorang peserta wanita menjerit. Dia menghalakan jari telunjuknya ke tengah sungai, kira-kira dua puluh kaki dari tepat kami berwuduk.
Saya nampak bangkai seekor khinzir putih hanyut perlahan-lahan. Keempat-empat kakinya yang pendek dan sudah bengkak menghala ke atas. Keseluruhan badannya kembung. Perutnya buncit dan hampir pecah. Terdengar bunyi hingar dalam kalangan peserta wanita.
Seorang penceramah berkata, “Teruskan berwuduk. Air ini banyak dan mengalir. Air ini suci.”
Kursus itu bukan sekadar meningkatkan pengetahuan saya tentang hal ehwal Islam bahkan memperteguh citra saya sebagai ustaz sangkut. Namun saya masih menghadapi masalah besar. Sebagai orang bujang yang sudah berusia 27 tahun, berbadan sihat dan sudah ada kemampuan kewangan untuk mendirikan rumah tangga, saya masih menghadapi kesukaran yang teramat sangat untuk mengawal mata apabila berselisih dengan dayang dan sumandak. Sesungguhnya panah syaitan sukar untuk ditangkis.
Rakan-rakan, termasuk Yusuf Sharif dan Mohamad Daud, kerap menggesa si ustaz sangkut agar segera meninggalkan zaman bujang. Si ustaz sangkut berkata, belum tiba masanya. Dia tidak memberitahu mereka bahawa dia sudah berusaha tetapi belum berjaya. Beberapa orang ustaz tulen menawarkan diri untuk membantunya. Dia mencipta berbagai-bagai dalih. Dia pasrah menanti ketentuan Ilahi.
Bersambung: (26) Mengepak Pergi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan