03 November 2012

Mengepak Pergi

Sabah Tempat Bermain
Tingkatan enam di SMK Majakir pada tahun 1979 ialah ambilan pertama dan hanya satu kelas. Kebanyakan pelajarnya dari Pantai Barat Negeri Sabah. Ada juga sebilangan pelajar dari Pantai Timur seperti Tawau dan Semporna.

Teknik penyampaian yang kerap saya gunakan di kelas itu ialah forum, perbincangan dalam kumpulan dan soal jawab. Selain itu, sebagai guru muda yang belum terdedah dengan teknik pembelajaran yang pelbagai, saya terus menggunakan teknik lama, iaitu syarahan dan pencatatan nota. Tumpuan perhatian pelajar tinggi. Mereka giat bertanya. Perlakuan lencongan tiada sama sekali.

Semua pelajar wanita tingkatan enam itu bersopan santun tetapi serius dan jarang-jarang senyum. Kebanyakan pelajar dari Pantai Timur Sabah bertudung. Pada masa itu pemakaian tudung dianggap tambahan. Jadi, seorang pelajar wanita mengekalkan citra lamanya. Dia berambut panjang terurai melebihi paras bahu. Dia cuba memperlihatkan kemanjaannya. Saya tetap melayannya seperti pelajar-pelajar lain yang serius dan jarang-jarang senyum itu.

Para pelajar tingkatan lima yang mengikuti mata pelajaran Kesusasteraan Melayu pun baik. Ada beberapa orang pelajar lelaki nakal sedikit. Saya anggap mereka baik juga. Pada saya, ada beberapa orang pelajar perempuan yang tidak bertudung, terlebih manja dan terlebih senyum. Saya tetap melayan mereka seperti pelajar lain, persis layanan saya kepada pelajar lelaki. Memang ada garis halus, tetapi jelas, memisahkan perlakuan dan rasa hati pelajar dengan saya sebagai guru.

Keadaan kelas tingkatan lima bagi mata pelajaran Bahasa Melayu berlainan. Beberapa orang pelajar lelaki nakal. Seorang daripada mereka kerap berkelakuan lencongan. Saya menegurnya dengan cara yang baik. Pada suatu hari, dia tidak mengendahkan teguran saya. Saya berang. Saya mengarahkannya keluar dan berdiri di luar bilik darjah sehingga masa pelajaran selesai. Mulai hari itu, kelakuannya berubah.

Di kelas itu, selain teknik biasa seperti soal jawab lisan, menjawab soalan pemahaman dan mengarang, saya juga menggunakan beberapa teknik yang dapat meningkatkan tumpuan perhatian mereka. Teknik yang kerap saya gunakan ialah mencatat sesuatu yang diperdengarkan melalui pita rakaman. Mereka perlu mendengar dan menyalin petikan berita, resipi, pengumuman, seni kata lagu dan sebagainya. Penyemakan dilakukan oleh rakan sebaya. Kegiatan itu diikuti dengan perbincangan. Selain itu, saya juga menggunakan teknik main peranan seperti mesyuarat olok-olok yang peranannya sudah ditetapkan, lakonan bisu dan lakonan spontan.

Pelajar perempuan keturunan Melayu Brunei dan Kedayan; berpakaian kemas,  bertudung sopan. Mereka menjaga perlakuan dan pertuturan. Seorang dayang berwajah ayu, berwatak keibuan. Senyumannya hanya teragih sebagai sedekah apabila diperlukan. Si guru memberikan perhatian sebagai melayan fitrah insan.
*******
Selama enam bulan saya menerima gaji pokok $485.00 sebulan. Walaupun surat daripada USM yang mengatakan bahawa saya lulus Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kesusasteraan mulai 17 Mei 1979 sudah dihantar kepada Jabatan Pelajaran Sabah pada akhir bulan Mei, urusan pengubahsuaian gaji memakan masa. Sekali lagi rezeki saya tertangguh. Pengubahsuaian gaji pokok kepada $865.00 yang berkuat kuasa mulai 17 Mei 1979 dilaksanakan pada bulan November. Rezeki saya yang sewajarnya dikembalikan.

Perkhidmatan guru sebelum tahun 1974 adalah bawah tanggungjawab Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Di Semenanjung, Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) ditubuhkan pada 1 Januari 1974 dan mengambil alih tanggungjawab SPA. Di Sabah, SPP melaksanakan peranannya pada 1 Oktober 1977. Sejak tahun itu, guru-guru dari seluruh negara yang berkhidmat di Sabah tidak perlu diletakkan dalam jawatan kontrak selama lima tahun seperti sebelumnya, kecuali jawatan kontrak dalam konteks khas seperti untuk guru bukan warganegara. Walau bagaimanapun, SPP tidak menawarkan jawatan secara automatik. Calon mesti mengisi borang permohonan dan menghadiri temu duga. Saya juga menjalani proses yang sama.

Selain itu, saya memohon jawatan pegawai penyelidik di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) dan dipanggil untuk menghadiri temu duga. Penemu duga ialah Profesor Ismail Hussain dan Encik Kaman Othman. Suasana semasa temu duga menyenangkan. Hal itu terjadi kerana kedua-dua orang penemu duga masih mengingat nama saya dalam arena kesusasteraan. Selaku Setiausaha Kelab Sastera USM, saya pernah berurusan dengan Profesor Ismail dan melayan beliau sebagai tetamu undangan kami. Encik Kaman pula mengkaji perkembangan kesusasteraan di Sabah. Beliau menghadiri Seminar Penulis dan Penulisan di Sabah pada 3 hingga 6 Disember 1978 di Kota Kinabalu. Dalam seminar itu karya saya turut dibicarakan. Di akhir temu duga itu, mereka mengatakan bahawa calon yang berjaya akan menjalani kursus sebulan di Jepun sebelum memulakan perkhidmatan. Saya sangat gembira. Kegembiraan itu sebentar cuma. Saya segera menyedari bahawa saya mesti berkhidmat sebagai guru lebih enam tahun lagi.

Pada 20 Disember, saya menerima surat arahan pertukaran. Surat itu bertarikh 13 Disember 1979 dan ditandatangani oleh Jumali bin Kasan bagi pihak Pengarah Pelajaran Sabah. Perenggan pertama surat itu bermaksud, mulai 1 Januari 1980 saya ditukarkan ke Maktab Perguruan Sandakan. Pada masa itu pentadbiran maktab-maktab perguruan bawah Jabatan Pelajaran Sabah. Pihak jabatan berkuasa untuk mengarahkan guru sekolah bertukar ke maktab dan pensyarah bertukar ke sekolah. Belum ada sistem permohonan dan temu duga untuk menjadi pensyarah.

Arahan itu saya terima dengan rasa serba salah. Perasaan serba salah itu memang wajar muncul kerana secara terkumpul saya sudah bertugas di SMK Majakir selama dua tahun, sudah mempunyai banyak kawan, sudah betah dengan ragam pihak sekolah dan sudah dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat Papar, khususnya suku kaum Melayu Brunei, Bajau dan Kadazan. Saya sudah melakukan sedikit persediaan untuk tinggal di rumah sendiri. Sebahagian wang tunggakan gaji dan elaun yang terkurang dibayar selama enam bulan, yang saya terima pada bulan November, saya gunakan untuk membeli sebuah dapur gas, peralatan memasak dan pinggan mangkuk. Benda-benda itu tersimpan dalam bilik saya. Ringkasnya, saya sudah ada persediaan dari segi perasaan, fikiran dan kewangan untuk tinggal dengan seorang dayang, sumandak atau ustazah Papar.

Rasa serba salah itu berjaya saya nyahkan atas kesedaran bahawa perjalanan hidup insan sudah diatur oleh Khaliknya. Saya menganggap arahan pertukaran itu sebagai peluang untuk mendepani cabaran baharu. Seminggu kemudian, kelengkapan dapur yang masih dalam kotak atau bungkusan, sebuah televisyen bersepadu keemasan dan sedikit buku, diambil oleh sebuah syarikat untuk dihantar ke Maktab Perguruan Sandakan. Hal itu sesuai dengan kandungan perenggan kedua surat arahan pertukaran yang mengatakan bahawa segala perbelanjaan pertukaran itu ditanggung oleh Jabatan Pelajaran Sabah.

Pada pagi 29 Disember 1979, saya meninggalkan Papar. Mohamad Daud, isterinya, Melah, dan anak mereka, Abdul Jabar, mengiringi saya. Tambang kapal terbang dua hala dan sewa hotel dua malam untuk mereka, tanggungan saya. Yusuf meminta saya menganggap Mohamad Daud dan Melah sebagai mewakili dirinya dan Hasnah. Abdul Jabar mewakili anak-anak mereka, Hafiz dan Khairul. Saya menaki teksi dengan perasaan yang sayu.

Yusuf, Hasnah, Hafiz dan Khairul, terima kasih dan selamat tinggal! Cikgu, ustaz dan ustazah, terima kasih dan selamat tinggal! SMK Majakir, surau asrama lelaki dan masjid Kampung Buang Sayang, terima kasih dan selamat tinggal! Sumandak, awang dan dayang, terima kasih dan selamat tinggal! Selamat tinggal, Papar! Aku “Mengepak Pergi”:

Aku mengepak pergi
meninggalkan daerah datar bernama Papar
sambil mengingat sebait puisi
ternukil di asrama puteri:

Ya adib, ya akhi
syukran jazilan atas perhatian
bunga tidak seharum mana
sudah ditanda sang kumbang desa
ukhti tiada upaya mengubah suratan-Nya.

Aku membawa diri lagi
mengepak tetap dan pasti
ke daerah terluas Negeri di Bawah Bayu
tetap cekal walaupun sayu.

Aku meneruskan kembara
tekal memugar iman
terus menebarkan pengetahuan
pasrah pada suratan.

Aku sendirian lagi
memijak rumput di bumi
merenung bintang di langit tinggi
dengan cita dan citra tersendiri.

Dalam penerbangan ke Sandakan, Mohamad Daud leka melayan anaknya. Saya membuka buku nota lama. Saya menatap beberapa buah sajak yang ternukil semasa di universiti. Ternyata fikrah mahasiswa berbeza daripada fikrah guru siswazah, tetapi nadanya tetap sama. Sajak yang di bawah memberikan gambaran tentang hal itu.

Satu

Akukah batu pejal itu
lali oleh luluh hawa yang garang
berapa dasawarsa waktu
alam transisi dan vakum ini.

Pada jam berdetik satu
satu
takut bukan di kuburan
tetapi di pantai hitam.

Ke puncak Kinabalu?
bukan
di sana bulan terlalu rendah
kupilih lembah
aku tahu bulan terlalu tinggi
matahari pun membahang.

Aku tidak mengira detik jam satu
satu
semalam seterusnya bertanya
bertanya
pertanyaan ke berapakah ini?

Jam pun kadang-kadang mati
selalu sahaja tidak pasti
aku pasti hanya satu
satu.

Isa Razak
Batu Uban, Mac 1977

Tamat.

Bersambung: Sandakan, 1980 – 1984: (27) Pensyarah Permulaan

Tiada ulasan: