Sabah Tempat Bermain
Apabila bercuti di Ranau, jarang-jarang amat saya duduk-duduk di rumah. Jikalau musim bersawah atau menuai, saya ke bendang untuk membantu mentua dan ipar-ipar. Isteri saya kerap ikut serta. Apabila bukan musim bersawah, saya ke sawah juga. Saya membersihkan kebun mentua di “pulau” sawah itu. Kerja yang mengasyikkan saya ialah menggemburkan tanah dan membuang akar lalang. Saya menanam ubi dan keladi di kawasan yang sudah dibersihkan.
Kadang-kadang saya berjalan-jalan di kebun getah dan hutan di atas bukit tidak jauh dari rumah mentua. Mula-mula ipar lelaki atau anak Tuan Haji Daud menemani saya. Kemudiannya, beberapa kali pula saya ke hutan di perbukitan itu bersendirian. Lazimnya kami membawa pulang pucuk paku. Ada dua kali Pak Cik Abdul Mumin mengajak saya ke kebunnya yang agak jauh. Dia memperkenalkan pohon tuhau. Beberapa batang pohon tuhau itu saya tanam di sebelah rumah mentua. Pohon tuhau itu membiak dan masih ada ketika saya pulang ke Ranau pada tahun 2010.
Pada waktu malam, jarang-jarang saya berada di rumah. Saya ke surau. Saya kerap menjadi iman di surau itu. Apabila ada kenduri, Tuan Haji Daud, iaitu iman surau dan juga Imam Daerah Ranau, meminta saya untuk membaca doa. Selepas itu, apabila ada kenduri, saya sentiasa membawa sebuah buku kecil. Apabila saya dikehendaki mengendalikan tahlil, saya merujuki buku itu. Atas permintaan Tuan Haji Daud juga, ada beberapa kali saya membaca khutbah Jumaat di surau itu.
Ada satu kegiatan meninggalkan kesan pada minat saya mencari ikan. Kegiatan itu berlaku dua bulan selepas saya berkahwin. Pak Cik Abdul Mumin mengajak saya mencari ikan di sebatang sungai di Tampios, kira-kira 70 kilometer dari Pekan Ranau. Hulu sungai itu di Kampung Tinonom. Ikut serta dalam kegiatan itu ialah Sawalin, Jahidin dan Lajim. Mereka guru sekolah rendah. Lajim anak Pak Cik Abdul Mumin. Dia mengajar di Sekolah Kebangsaan Tinonom, iaitu antara sekolah pedalaman yang tersukar perhubungannya di Ranau ketika itu. Lajim tahu selok-belok sungai yang menjadi tempat tujuan kami.
Kami ke kawasan sungai itu dengan kereta salun mewah berkuasa besar tetapi sudah tua milik Pak Cik Abdul Mumin. Kami bertolak pada awal pagi. Turapan jalan dari Nalapak hingga ke simpang Tampios kebanyakannya rosak. Jalan dari simpang itu ke Kampung Tampios bercampur-campur, iaitu berbatu granit kelabu, batu kelikir dan tanah liat tanpa batu. Selepas Kampung Tampios, kami mengikut jalan tanah liat syarikat kayu balak. Jalan itu berakhir di sungai dalam hutan. Menurut Lajim, dari situ dia menggunakan latisan di dalam hutan untuk ke Kampung Tinonom.
Sungai itu lebar. Oleh sebab pada masa itu musim kemarau, kedalamannya adalah antara paras betis dengan dada. Bahagian lubuk yang berbatu besar kelihatan lebih dalam. Hampir keseluruhan dasarnya terdiri daripada batu kecil dan besar. Airnya amat jernih dan secara umumnya mengalir perlahan. Di beberapa bahagian yang curam, air jernih dan sejuk itu mengalir deras. Di bahagian yang cetek, batu dan kawanan ikan jelas kelihatan.
Sawalin memikul enjin generator dari satu lubuk ke lubuk yang lain. Setiap lubuk terletak bersebelah atau di bawah batu-batu besar. Lajim dan Jahidin membantu beliau. Pak Cik Abdul Mumin membawa jala. Saya membawa bekas ikan.
Sawalin meletakkan generator di atas batu besar. Lajim bersedia dengan batang besi sebesar jari telunjuk dan kira-kura dua kaki panjangnya. Hujung batang besi itu disambung pada dua utas dawai elektrik yang berasingan. Panjang dawai itu kira-kira dapat menghubungkan dasar lubuk dengan generator. Jahidin menyambungkan hujung setiap dawai kepada sumber kuasa generator, satu positif dan satu lagi negatif.
Lajim masuk ke dalam sungai. Dia menyelam dengan menggunakan gogal. Dia meletakkan batang besi di dasar lubuk. Jarak antara besi itu kira-kira empat kaki. Setelah dia berada di atas batu, Jahidin menghidupkan enjin generator. Kata Pak Cik Abdul Mumin, ikan yang melintasi kawasan antara dua batang besi itu akan terkena renjatan elektrik dan pengsan. Ikan itu akan sedar dan lari apabila lambat ditangkap.
Setelah beberapa minit, enjin generator dimatikan. Sekali lagi Lajim menyelam. Dia timbul dan menghulurkan beberapa ekor ikan kecil kepada saya. Ikan itu jenis bersisik perak. Lebarnya lebih kurang dua jari.
Lajim berkata, “Ikan sedikit, cikgu! Rasanya orang kampung baru menangkap ikan di sungai ini.”
Kami menggunakan generator itu hanya tiga kali. Oleh sebab hasil tangkapan kami sedikit amat, Lajim dan Jahidin pergi menjala di kuala. Pak Cik Abdul Mumin, Sawalin dan saya berehat di satu kawasan lapang. Tidak lama kemudian, Lajim dan Jahidin kembali ke tempat kami. Mereka memperoleh beberapa ekor ikan baung akar. Ikan itu kami rebus. Kami makan nasi bekalan berlaukkan baung rebus itu dan sedikit ikan bakar.
Sesudah kami selesai menikmati makanan, beberapa orang kampung lalu di tempat kami. Pak Cik Abdul Mumin dan rakan-rakan saya berbual dengan mereka. Saya tidak memahami biji butir perbualan itu kerana mereka menggunakan bahasa Dusun.
Pak Cik Abdul Mumin memberitahu saya bahawa orang kampung itu baru kembali daripada mencari ikan di hulu sungai. Katanya, ikan sangat kurang kerana ada kumpulan baru mengadakan gerakan besar-besaran untuk menangkap ikan di sungai itu. Orang kampung itu hanya memperoleh beberapa ekor ikan. Seorang daripada mereka menawarkan seekor ikan yang beratnya kira-kira dua kilogram kepada saya. Harganya lima ringgit sahaja. Saya berasa harga itu berpatutan. Tanpa banyak soal, saya membeli ikan itu.
Kami pulang awal. Saya tiba di rumah sebelum masuk waktu solat zuhur. Isteri saya gembira kerana saya mendapat ikan besar. Mentua saya kelihatan lebih gembira. Dia menyatakan bahawa ikan yang saya bawa pulang itu ialah ikan pelian. Pada masa itu saya belum tahu nilai ikan pelian.
Mentua saya memanggang ikan itu. Isteri saya menyediakan sambal udang kering segar yang kami bawa dari Sandakan. Selepas bersolat zuhur, kami menikmati nasi hasil usaha mentua dan ipar-ipar saya. Nasi yang panas itu lekit dan wangi. Selain pelian panggang dan sambal pedas udang kering, dihidangkan juga sayur tutan rebus.
Saya makan cukup banyak. Nasi dan lauk semuanya sedap. Lauk tersedap ialah ikan pelian panggang. Isinya putih dan gebu. Bahagian tepi perutnya yang berlemak terasa sungguh enak. Bahagian putih seperti susu terasa lebih enak. Mentua saya tidak membuang sisik ikan itu. Saya cuba mengunyahnya. Ternyata sisiknya lembut, mudah dikunyah dan enak juga ketika ditelan!
Saya terlupa mengajak mentua saya makan. Tanpa ajakan saya, dia memulakan suapan ketika saya mencuci tangan sesudah kenyang. Mujurlah saya berada di rumahnya. Dia tuan rumah. Jikalau dia berada di rumah saya, rasanyalah, dia berkecil hati. Walau bagaimanapun, ikan pelian panggang itu besar. Baki yang saya tinggalkan cukup untuk dinikmati oleh lima atau enam orang, bukan sekadar mentua saya seorang.
Tidak beberapa lama kemudian, barulah saya tahu bahawa pelian dalam bahasa Melayu ialah ikan kelah iaitu ikan dalam genus Tordouronensis atau ringkasnya Tor. Genus Tor yang lazim ialah Tor spp., Tor tambroides dan Tor tambra. Kaki pancing menggelari kelah sebagai raja ikan air tawar. Dalam bahasa Inggeris nama umumnya ialah mahseer yang bermaksud tiger among fish. Di Sarawak, kelah dinamakan emperau. Seterusnya saya ketahui bahawa harga pelian tinggi. Di pasaran terbuka, lima ringgit yang saya bayar kepada orang kampung itu sepatutnya dikali dengan tiga puluh hingga empat puluh!
Minat saya untuk memburu ikan pelian timbul beberapa bulan sesudah saya menikmati pelian panggang itu. Sayangnya, ikan pelian tidak terdapat di Tasik Botong, iaitu tempat saya sesat bersama-sama Shamad. Ikan pelian tiada di Tasik Ladam Sukau, tempat saya memperoleh ikan terbanyak dalam sejarah kegiatan saya mencari ikan. Sudah tentu ikan pelian tiada di Sungai Batang, tempat saya menjala udang galah dengan Saroh. Ikan pelian lazimnya terdapat di sungai di pergunungan atau perbukitan, berjeram, berbatu-batu serta airnya jernih dan mengalir deras. Ikan itu terdapat di sungai-sungai di Ranau, Tambunan, Keningau, Tenom, Nabawan dan Pensiangan.
Pada hujung tahun 1981 saya dan dua orang anak Tuan Haji Daud, iaitu Saifuddin dan Hamzah, mencari ikan di hulu Sungai Sugut dalam Kampung Mangkapoh, Ranau. Kampung itu terletak kira-kira 90 kilometer dari Pekan Ranau dan dihubungi dengan jalan batu kelikir di kawasan yang berbukit bukau. Kami ke sana pada awal pagi dengan skuter, iaitu tiga orang satu skuter! Dari pagi hingga ke petang, usaha kami tidak berhasil. Pada sebelah malamnya, kami berburu di hutan Malinsau, tidak jauh dari Mangkapoh, dengan menggunakan senapang rakan Saifuddin. Kami memperoleh seekor pelanduk. Pada malam itu juga tuan rumah tempat kami menginap memasak sup pelanduk. Kami menikmati sup itu sebelum tidur.
Sebelum saya berburu di Malinsau, saya sudah mengikut Saifuddin dan Jahidin memburu di perbukitan Kananapon kira-kira lima kilometer dari Kampung Libang. Kami pulang dengan tangan kosong. Pada tahun 1982, sekali lagi saya berburu di bukit itu bersama-sama dengan Saifuddin, Hamzah dan Jahidin. Saya dan Hamzah sesat. Kami mudah keluar kerana Saifuddin memberikan isyarat dengan meniup laras senapang. Sekali lagi kami pulang dengan tangan kosong.
Demikianlah catatan kenang-kenangan tentang kegiatan mencari ikan dan berburu di Ranau dari tahun 1981 hingga tahun 1984. Pada masa itu saya tidak terfikir bahawa pada tahun 1990-an Ranau akan menjadi pusat kegiatan kedua saya mencari ikan di Sabah. Jikalau saya masih bernafas dan diberikan upaya oleh Allah Subhanahuwataala, insya-Allah, hal itu akan saya catatkan dalam himpunan kenang-kenangan yang lain.
Bersambung: Rezeki Mata
Apabila bercuti di Ranau, jarang-jarang amat saya duduk-duduk di rumah. Jikalau musim bersawah atau menuai, saya ke bendang untuk membantu mentua dan ipar-ipar. Isteri saya kerap ikut serta. Apabila bukan musim bersawah, saya ke sawah juga. Saya membersihkan kebun mentua di “pulau” sawah itu. Kerja yang mengasyikkan saya ialah menggemburkan tanah dan membuang akar lalang. Saya menanam ubi dan keladi di kawasan yang sudah dibersihkan.
1981: MIAR, Saifuddin dan Hamzah di Mangkapoh |

1 ulasan:
Semua berlaku sebelum saya lahir lagi.
Catat Ulasan