24 November 2012

Berburu, Memukat dan Menjala

Sabah Tempat Bermain

Saya berkebun kecil-kecilan di belakang pangsapuri. Isteri saya kerap berada di kebun itu. Kami menyusun batas dan tanam-tanaman dengan cara yang dapat membendung hakisan dan mengekalkan struktur tanah di lereng bukit. Rumput di atas tebing kami jaga bagi mengelakkan tanah runtuh. Tanam-tanaman seperti peria, petola dan timun menjadi.

Selain berkebun, kami ke hutan di perbukitan tidak jauh dari pangsapuri. Kami mencari kayu pancang untuk tanam-tanaman di hutan itu. Dalam kegiatan itu kami menemukan beberapa rumpun buluh. Dari semasa ke semasa kami masuk ke hutan itu untuk mencari rebung. Kemudian kami menemukan pokok nangka tua dan beberapa pokok tarap liar. Seterusnya, selain rebung, kami mencari nangka dan tarap muda juga.

Minat kami berkebun dan ke hutan mendapat perhatian Tuan Syed Mokhtar. Dia rakan sepangsapuri kami. Dia dan keluarganya tinggal di tingkat pertama. Dia pensyarah Sains dan berusia akhir empat puluhan. Dia menganggotai satu pasukan perburuan. Rasanya, kegiatan kami berkebun dan keluar masuk hutan mendorong beliau untuk mempelawa saya bagi menyertai pasukan perburuannya.

Sebelum pertengahan tahun 1982, banyak kali juga Tuan Syed mengajak saya pergi berburu. Saya menolak pelawaannya dengan pelbagai alasan. Pada suatu masa, dia bersungguh-sungguh benar mengajak saya untuk ke hutan. Hati saya terbuka. Saya mengikutnya. Kami menaiki jip kecil dua pintu yang dipandu oleh rakannya. Seorang lagi rakannya yang bertindak selaku penembak, duduk di sebelah pemandu. Saya dan Tuan Syed terperosok di tempat duduk belakang yang sempit. Sepanjang perburuan pertama itu, saya berasa tidak selesa. Kami pulang dengan tangan kosong.

Selepas itu, lama juga Tuan Syed tidak mempelawa saya untuk pergi berburu. Beberapa bulan kemudian, barulah saya mengikut beliau berburu kali kedua. Kami berempat. Pemilik senapang dan penembak ialah Pak Cik Suradi bin Amat. Baru pada malam perburuan itu saya mengenalinya. Oleh sebab Tuan Syed menggunakan kata sapaan abang untuk Pak Cik Suradi yang berusia lima puluhan itu, saya juga memanggil beliau abang.

Turut bersama-sama kami ialah Saroh bin Amat. Dia ialah pekerja maktab dan adik kepada Pak Cik Suradi. Saya sudah biasa menjala dan memukat dengannya. Dalam kegiatan itu, dia pernah menceritakan kehebatan abangnya berburu.

Perburuan kali kedua itu berhasil. Kami memperoleh seekor pelanduk. Sebagai orang baharu dalam arena perburuan, hasil perburuan itu dihadiahkan kepada saya. Dalam perburuan ketiga, kami memperoleh seekor kijang. Dalam perburuan seterusnya kami memperoleh landak dan pelanduk. Tahu-tahu kegiatan berburu mula menghantui saya. Saya tetap pergi berburu bersama-sama Tuan Syed, Pak Cik Suradi dan Saroh walaupun ada beberapa kali kami pulang dengan tangan kosong.

Tuan Syed sudah lama berburu. Dia mempunyai kumpulan sendiri. Antara anggota kumpulannya ialah pekerja maktab yang bernama Bajut. Apabila saya mengikut Tuan Syed, Bajut tidak ikut serta. Lama-kelamaan, Tuan Syed meninggalkan kumpulan Bajut.

Pada peringkat awal perburuan bersama-sama saya, Tuan Syed meminjam atau menyewa kenderaan orang. Hal itu berlaku kerana kenderaan salun beliau sudah tua dan tidak sesuai digunakan untuk berburu. Apabila saya memiliki kenderaan salun jenis yang tahan lasak, kami keluar berburu dengan menggunakan kenderaan saya. Hanya sesekali kami berburu dengan menggunakan kenderaan lasak milik orang.

Kami berempat menjadi kumpulan yang serasi dan mantap. Sesekali, anak Pak Cik Suradi yang bernama Suratman, menyertai kami. Kegiatan mencari ikan dan berburu terus mewarnai kehidupan saya pada tahun-tahun seterusnya sehinggalah saya meninggalkan Maktab Perguruan Sandakan pada akhir bulan Disember tahun 1984. Keseronokan berburu itu akan saya perikan dalam beberapa nukilan seterusnya.

*******

Tidak lama selepas peristiwa sesat di hutan paya Kampung Sentosa Jaya, Shamad dan keluarganya berpindah ke sebuah rumah sewa di perkampungan atas air laut, kira-kira tiga kilometer dari maktab. Di situ, dia memulakan kegiatan memukat ikan, tidak jauh dari rumahnya. Sesekali saya mengikut dia memukat. Tanpa perahu, pergerakan kami terbatas. Beberapa bulan kemudian saya membeli sebuah perahu terpakai. Perahu itu disimpan di tambatan berhampiran rumah jiran Shamad. Kegiatan kami memukat bertambah kerap dan hasil tangkapan pun lumayan.

Tidak lama kemudian, saya memiliki kereta terpakai. Dengan kereta itu saya membawa Saroh dan anak lelakinya untuk memukat. Kadang-kadang kami ke laut tanpa kehadiran Shamad. Kami turut menjala udang di sungai yang memisahkan kelompok rumah di perkampungan atas air itu. Tidak lama kemudian saya membeli sebuah enjin sangkut lapan kuasa kuda. Enjin itu disimpan di rumah Shamad. Apabila kami turun memukat, Shamad atau Sarohlah yang memikul enjin itu ke tambatan. Hanya sekali dua Shamad dan Saroh membenarkan saya menjadi pemikul enjin. Dengan adanya enjin itu, jangkauan tempat kami memukat semakin luas.

Kegiatan Shamad ke laut terbatas di kawasan yang tidak jauh dari perkampungan atas air itu, termasuk di sebelah Pulau Nunuyan Darat dan pesisir pantai Sungai Anib. Sebaliknya, saya dan Saroh mempunyai dua tempat kegiatan lagi, iaitu Kampung Sungai Kayu dan Kampung Sungai Batang.

Kampung Sungai Kayu ialah kampung mentua Saroh. Kampung itu terletak 10 kilometer dari maktab dan hanya tiga kilometer dari Lapangan Terbang Sandakan. Lebih kurang sepuluh minit berjalan kaki dari rumah mentua Saroh, ada sebatang sungai kecil dalam kawasan hutan bakau. Apabila air betul-betul surut, kedalaman sungai itu adalah antara paras betis hingga paras dada saya. Ketika air surut itulah Saroh menebarkan jala dari atas kolek. Anak lelakinya mendayung. Saya menjala sesekali. Tugas tetap saya ialah mengutip udang dan memasukkannya ke dalam baldi. Tangkapan kami, termasuk ikan kecil, adalah antara satu hingga tiga kilogram.

Selain menjala, apabila hari masih siang dan air masih surut, kami juga memukat di perairan di sebelah muara sungai kecil itu. Ikan belanak terperangkap di kawasan perairan yang sebahagiannya berlumpur, beralur dan berlopak. Kedalaman air adalah antara paras buku lali hingga paras pinggang. Kami menggabungkan dua atau tiga utas pukat bermata kecil dan membentuknya menjadi satu bulatan.

Dengan menggunakan kayu bakau kecil dan panjang, kami memukul-mukul air dalam bulatan pukat itu dengan kuatnya. Ikan belanak terkejut dan bertempiaran. Kebanyakan ikan itu menyondol pukat dan terperangkap. Sebahagiannya berjaya melompati pukat. Lompatan beberapa ekor belanak tersasar dan termasuk ke dalam perahu. Pernah sekali seekor belanak yang terkejut melompat terlalu tinggi lalu menjunam ke dalam saku baju saya!

Tangkapan kami lazimnya lebih kurang tiga kilogram. Ada beberapa kali belanak yang kami peroleh melebihi sepuluh kilogram. Saya mengekhaskan tangkapan lumayan itu sebagai rezeki tambahan Saroh yang berpendapatan rendah. Bahagian saya banyak juga dan sebahagiannya menjadi rezeki jiran sepangsapuri.

Sesekali, pada waktu siang dan air mula pasang, kami berehat di rumah mentua Saroh sambil menikmati kopi o dan kudapan. Apabila air sudah agak lama pasang, kami ke kuala. Dua atau tiga utas pukat yang sudah disambung, kami labuhkan dalam bentuk separuh bulatan pada kelompok pokok bakau yang kelihatan seperti pulau apabila air pasang. Jikalau waktu pagi, tengah hari atau petang masih panjang, kami menunggu lebih kurang satu jam. Tangkapan yang kami peroleh kebanyakannya sejenis ikan bersisik kekuningan yang kelihatan seperti ikan selangat. Ada juga beberapa ekor belanak atau belanak besar. Saroh menamakan belanak besar itu andapong.

Sekali-sekala, apabila kami tiba di kelompok bakau itu sesudah air pasang penuh, kami melabuhkan rangkaian pukat dalam separuh bulatan juga. Dengan menggunakan kayu bakau kecil dan panjang, kami pukul air dalam kawasan separuh bulatan pukat itu sekuat-kuatnya dan berkali-kali. Ikan dalam kelompok bakau itu terkejut. Sudah tentu kebanyakan ikan itu berjaya melarikan diri melalui kawasan yang tidak dikelilingi oleh pukat. Lazimnya, antara tiga hingga tujuh ekor andapong terperangkap juga dalam pukat kami.

Di perairan kawasan bakau Kampung Sungai Kayu itu, kami tidak pernah menjala atau memukat sejurus sebelum waktu maghrib, apalagi pada waktu malam. Saroh menyatakan bahawa kebanyakan binatang berbisa di kawasan bakau, khususnya yang melingkar di atas pokok, giat pada waktu malam.

Sungai Batang pula ialah kampung Tuk Amat, iaitu ayah Saroh. Kampung itu terletak kira-kira 18 kilometer dari maktab. Di kampung itu ada sebatang sungai. Sebahagian hulu sungai itu mengalir dalam kawasan kebun Tuk Amat. Terdapat beberapa lubuk udang galah di sungai dalam kebun itu. Di situlah saya dan Saroh menjala.

Kami menggunakan umpan, iaitu beras yang digaulkan dengan belacan. Lazimnya umpan itu dikepal dengan tanah liat dan dicampakkan ke dalam lubuk. Adakalanya Saroh menaburkan umpan itu tanpa dikepal dengan tanah liat. Udang galah keluar daripada tempat persembunyian untuk menikmati umpan itu. Setelah beberapa ketika, kami menebarkan jala. Tebaran jarang-jarang kosong tetapi tidaklah banyak. Kami juga menjala di tempat lain sepanjang sungai itu untuk menambah tangkapan.

Ada dua perkara istimewa apabila kami menjala di Kampung Sungai Batang. Yang pertama, kami pulang setelah perut diisi. Paling tidak, kami pulang setelah menikmati kopi o dan kudapan. Sesekali kami pulang kekenyangan sesudah makan tengah hari atau makan malam selepas menunaikan solat maghrib. Sudah tentu hidangan itu air tangan ibu Saroh. Yang kedua, jarang-jarang kami pulang hanya membawa udang galah. Kerapnya Tuk Amat menyediakan ubi kayu, pisang atau kedua-duanya untuk cucu-cucunya, iaitu anak-anak Saroh. Sudah tentu ada bahagian untuk saya!

Sayangnya, rakan karib saya, Shamad @Ahmad Nurawi Abas tidak pernah mengikut kami ke Sungai Kayu dan Sungai Batang. Dia juga tidak pernah mengikut kami berburu. Walau bagaimanapun, dalam kegiatan menajur ikan haruan, Shamad kerap bersama-sama saya. Saroh pula hanya sekali dua sahaja mengikut saya dalam kegiatan itu.

Bersambung: Payau Jantan Berkutu

Tiada ulasan: