Sabah Tempat Bermain
Kenderaan yang paling kerap kami gunakan dalam kegiatan berburu ialah kereta salun saya. Hanya sekali kami menggunakan jip kecil pacuan empat roda dan kami pulang dengan tangan kosong. Ada dua kali kami menggunakan pikap dan kedua-dua kali itu kami pulang dengan tangan kosong juga. Ada sekali kami menggunakan lori dan dua kali kenderaan pacuan empat roda.
Penggunaan lori berlaku pada awal tahun 1984. Pak Cik Suradi, Tuan Syed Mokhtar, Saroh dan saya berburu di sebuah ladang koko kira-kira 70 kilometer dari maktab. Kami ke ladang itu dengan kereta salun saya. Pengurus ladang itu rakan Pak Cik Suradi dan Tuan Syed. Dia membenarkan kami berburu dengan menggunakan lori besar dan tua milik ladang. Pemandu lori ialah pekerja ladang. Kami bergerak ke dalam kawasan ladang selepas menunaikan solat maghrib.
Seperti biasa, Pak Cik Suradi dengan senapangnya, duduk di hadapan. Tuan Syed duduk di antara Pak Cik Suradi dengan pemandu lori. Saroh dan saya berdiri di belakang lori sebagai tukang suluh. Lori terlalu tinggi. Suluhan lampu tumpu terhad pada kiri dan kanan jalan yang terlalu hampir dengan lori. Apabila sudut suluhan dinaikkan sedikit sahaja, yang kelihatan ialah daun dan dahan koko.
Selepas kira-kira lima belas minit, lori mendaki bukit. Suluhan lampu tumpu saya menyorot tiga ekor landak di belakang timbunan kulit koko. Ketiga-tiga orang rakan yang duduk di hadapan tidak terlihat landak-landak itu kerana dilindungi oleh timbunan kulit koko yang lebih tinggi daripada busut jantan. Ketiga-tiga ekor landak itu terkejut dan berpusing-pusing kebingungan. Saya mengetuk bumbung lori. Lori berhenti. Saya terus menyuluh timbunan kulit kokok. Ketiga-tiga ekor landak itu masih berpusing-pusing tidak berketentuan.
Pak Cik Suradi mengambil masa untuk turun dari tempat duduk lori. Apabila dia berada di tanah, dia tercegat sambil memandang-mandang kawasan timbunan kulit koko yang saya suluh. Rasanya dia tidak nampak landak-landak itu. Ketika dia bertanya saya jenis binatang yang saya lihat, landak-landak itu sudah menghilangkan diri. Kami meneruskan perburuan dan akhirnya kami pulang dengan tangan kosong.
Perburuan dengan kenderaan pacuan empat roda yang pertama berlaku pada tahun yang sama. Kenderaan yang kami gunakan ialah jenis land cruiser dua pintu dan bahagian belakangnya terbuka. Pemandunya rakan Tuan Syed Mokhtar. Tuan Syed duduk di antara pemandu dengan Pak Cik Suradi. Saroh dan saya di belakang. Kami tiba di dalam hutan kira-kira setengah jam sebelum masuknya waktu maghrib. Jalan tanah merah kering tetapi tidak berdebu.
Di sebelah kanan saya, di suatu kawasan lapang, saya ternampak seekor rusa sedang meragut rumput. Tanduk rusa itu sudah ada cabang kecil. Saya segera mengetuk bumbung kereta. Malangnya, pemandu hanya memberhentikan kenderaan setelah saya berkata seakan-akan menjerit, “Ada rusa!” Rusa itu merenung saya dan Saroh beberapa saat. Kemudian rusa itu berpaling dan hilang daripada penglihatan kami. Pada masa itu barulah Pak Cik Suradi bertanya, “Di mana, cikgu?”
Kami meneruskan perburuan sehingga larut malam. Akhirnya, sekali lagi kami tiba di rumah dengan rangan kosong.
Perburuan dengan kenderaan pacuan empat roda kali kedua berlaku dalam bulan September atau Oktober tahun yang sama juga. Perburuan itu diatur oleh Tuan Syed Mokhtar. Beliau mengajak saya pergi ke rumah seorang anggota keselamatan. Namanya J. Dalam pertemuan itu, antara lain kami membincangkan masa, tempat dan kenderaan perburuan.
Pada masa itu Tuan Syed Mokhtar sudah bertugas sebagai pentadbir di sebuah sekolah menengah. Dia dan rakannya menjemput saya di pangsapuri maktab. Kenderaan yang kami gunakan ialah land rover lama dua pintu dan terbuka bahagian belakangnya. Pemandu land rover itu ialah anggota pasukan keselamatan yang sudah berumur, bertubuh tegap dan kelihatan garang. Tuan Syed duduk di antara pemandu itu dengan J yang berbadan besar dan bertugas sebagai penembak. Saya di bahagian belakang. Kami ke rumah Saroh. Saroh dan seorang anak lelakinya menyertai saya di belakang land rover itu. Pak Cik Suradi tidak ikut serta kerana ada urusan lain.
Kami melalui jalan ladang koko. Tuan Syed memaklumkan kehadiran kami kepada pihak pengurusan ladang. Saya mendirikan solat maghrib di ladang itu. Melalui jalan dalam ladang itu kami masuk ke dalam hutan. Rumput dan pokok-pokok kecil memenuhi jalan balak yang sudah lama ditinggalkan. Pemandu kenderaan kami cekap dan berani. Kenderaan itu meredah semak dengan menggunakan kuasa pacuan empat roda. Pada suatu ketika, jalan yang kami ikuti berakhir di sebatang sungai. Kenderaan itu berpatah, memasuki satu simpang dan mendaki bukit yang sangat tinggi.
Tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Pemandu menggunakan kuasa pemanduan empat roda tetapi pergerakan kenderaan terhalang oleh beberapa batang pokok yang tumbang. Kenderaan tidak mungkin berundur kerana bukit tinggi. Pemandu menggunakan kemahirannya dan berjaya memusingkan hala kenderaan. Kami menuruni bukit. Hujan mencurah-curah. Saroh, anaknya dan saya kesejukan. Beg sandang saya juga basah. Sehelai baju T dan kain untuk bersolat di dalam beg itu juga basah. Saya mula menggigil kesejukan.
Tidak lama kemudian kenderaan kami melalui jalan rata yang berlumpur. Pada masa itu kuasa pacuan empat roda tidak digunakan. Keempat-empat roda kenderaan terbenam. Walaupun kuasa pacuan empat rota sudah dipasang, kenderaan tidak mampu untuk bergerak. Tenaga manusia terpaksa digunakan. Enjin menjerit-jerit . Hujan sudah mula reda. Kenderaan bergerak perlahan tetapi bunyinya luar biasa. J mengangkat hujung ekzos dari dalam lumpur dan memasukkannya ke dalam bahagian belakang kenderaan.
Kenderaan berhenti kerana di hadapan ada jambatan daripada kayu bulat merentangi tali air. Kami meniti jambatan itu dan berdiri di jalan yang basah tetapi tidak berlumpur. J dan Saroh cuba menguji kekuatan kayu bulat yang dijadikan jambatan dengan beberapa cara. Terdapat empat batang kayu yang lilitannya lebih kurang sepemeluk. Setiap dua batang kayu berada berhampiran. Pemandu turun dari kenderaan. Dia memijak-mijak bahagian hujung setiap kayu itu. Dia berbincang dengan J. Kemudian dia masuk ke dalam kenderaan.
J berdiri beberapa meter dari jambatan, iaitu di hadapan kenderaan. Dia menggunakan kedua-dua belah tangannya sebagai isyarat untuk membantu pemandu membetulkan hala kenderaan. Kenderaan dengan kuasa pacuan empat roda bergerak perlahan-lahan. Tayar hadapan kenderaan mencecah hujung kayu bulat. J menunjukkan ibu jari ke atas. Saya menjangka kenderaan itu akan dipecut. Sangkaan saya meleset. Pemandu membiarkan kedua-dua belah tayar hadapan naik ke atas kayu bulat. J menunjukkan ibu jari ke atas lagi. Sebentar kemudian kenderaan betul-betul berada di atas jambatan dan terus bergerak dengan perlahan-lahan menuju ke arah kami. Saya melepaskan segumpal nafas kelegaan.
Saya berasa tenang apabila kenderaan meneruskan perjalanan. Jalan basah dan licin tetapi tidak berlumpur. Bunyi enjin kenderaan bagai raksasa yang cedera parah meraung kesakitan dalam gelap malam dan hujan renyai-renyai. Kenderaan dipandu laju apabila melalui jalan ladang koko yang berbatu kelikir. Raungan enjin kenderaan yang sudah kontot ekzosnya mencemari kesepian. Kesejukan terserap ke dalam darah daging. Gigilan tubuh saya berterusan.
Kami tiba di pondok kawalan. Palang besi pengadang jalan sudah diturunkan dan berkunci. Pemandu membunyikan hon bertalu-talu. Seorang lelaki berselimut kain pelekat keluar dari pondok kawalan. Tuan Syed Mokhtar memanggilnya om. Tuan Syed menyatakan bahawa kami berada dalam kawasan ladang atas kebenaran pihak pengurusan. Dia meminta si om membuka palang besi. Si om tetap enggan memenuhi permintaan Tuan Syed walaupun sudah dirayunya berkali-kali. Saya melihat keadaan itu dalam samar-samar lampu pondok kawalan dan suluhan lampu tumpu kenderaan kami. Gigilan saya menjadi-jadi. Saya hendak segera pulang dan berselimut!
Tuan Syed berbincang dengan pemandu kenderaan. J memijak-mijak tanah di antara turus palang besi berpemberat konkrit dengan pondok kawalan. Kenderaan menuju ke arah J. J memberikan isyarat agar kenderaan maju. Si om terus berdiri sambil memerhati perlakuan kami. Pemandu menggunakan kuasa pacuan empat roda dan cuba melepasi ruang sempit itu. Keempat-empat tayar kenderaan terbenam. Pemandu turun dari kenderaan dan menyatakan bahawa kenderaan itu tidak mungkin digerakkan lagi. Hujan masih renyai-renyai. Saya mula berfikir untuk merayu si om agar membenarkan kami berteduh di pondoknya.
Hanya beberapa meter dari pondok pengawal ada jentolak beroda bilah-bilah besi. Tuan Syed berkata, “Kalau ada Abang Suradi, traktor itu boleh digunakan.”
Saroh meminta lampu suluh dari anaknya. Dia menaiki jentolak dan menyuluh beberapa tempat di bahagian pemandu. Tidak lama kemudian dia membongkok. Saya terlihat ada sedikit percikan bunga api. Saroh berdiri dan membongkok lagi. Setelah beberapa lama, bunyi enjin jentolak itu menderam. Saroh memandu jentolak itu ke arah land rover. Pemandu land rover dan J bekerjasama dengan Saroh untuk menarik kenderaan kami itu ke atas jalan berbatu kelikir. Usaha itu berjaya.
Kami meninggalkan si om dalam keadaan terpinga-pinga!
Bersambung: Seminar Jawi dan Kempen Membaca

Tiada ulasan:
Catat Ulasan