27 November 2012

Seminar Jawi dan Kempen Membaca

Sabah Tempat Bermain
Pada 13 Mei 1984, Persatuan Bahasa Melayu (PBM) maktab kami menganjurkan seminar kecil tulisan Jawi. Seminar itu membincangkan kertas kerja saya yang bertajuk “Tulisan Jawi sebagai Jiwa Bahasa Melayu”. Pembahas ialah Ketua Jabatan Bahasa, Encik Abu Bakar bin Mohamad. Perasmi ialah Naib Pengetua, Tuan Haji Muhammad bin Arshad. Beliau mewakili Pengetua Maktab Perguruan Sandakan, Tuan Haji Tajudin bin Hussein.

Dalam kertas itu saya mengemukakan tiga isu iaitu tulisan Jawi dalam sejarah bahasa Melayu, tulisan Jawi dalam kurikulum dan sikap masyarakat terhadap tulisan Jawi. Isu pertama merupakan isu pokok. Isu itu menepati tujuan utama seminar iaitu memberikan gambaran umum tentang betapa berharganya tulisan Jawi dan mendorong usaha mengagungkan tulisan itu semula.

Dalam bahagian awal kertas itu saya menafikan pendapat yang mengatakan bahawa tulisan ialah kulit sesuatu bahasa. Sebaliknya saya menyatakan bahawa tulisan ialah satu daripada takuk tanda kemajuan sesuatu kebudayaan. Semua masyarakat di dunia ini mempunyai bahasa tetapi bukan semua masyarakat mempunyai tulisan. Sesuatu kebudayaan dianggap tinggi apabila masyarakatnya pandai menggunakan tulisan. Kebudayaan yang tinggi disebut tamadun. Masyarakat bertamadun tidak menganggap tulisan sebagai perkara kecil.

Seterusnya saya nyatakan bahawa sejak abad ketujuh Masehi bahasa Melayu sudah menjadi bahasa perantaraan atau lingua franca tetapi belum menjadi bahasa persatuan atau bahasa baku. Pada masa itu juga bahasa Melayu belum menjadi bahasa ilmu dalam erti kata yang sebenarnya. Hal itu terjadi kerana pada tahap itu bahasa Melayu menggunakan berbagai-bagai tulisan seperti tulisan Pali dan tulisan Nagiri. Sistem tulisan itu tidak praktis, pengaruh Hindu-Buddha dan tulisan itu kurang berjaya menghidupkan bahasa Melayu.

Kemudian saya galurkan sejarah perkembangan bahasa Melayu sejak kemunculan tulisan Jawi pada abad ke-14. Saya jelaskan bukti yang menunjukkan tulisan Jawi berjaya menjadi jiwa bahasa Melayu pada abad-abad seterusnya hingga abad kedua puluh apabila tulisan Jawi “hidup berkelana di masjid, surau, pondok, di pinggir kurikulum sekolah Melayu dan agak subur sedikit di negeri-negeri Pantai Timur dan Utara Semenanjung.”

Dari segi kurikulum, antara perkara yang saya sentuh termasuklah hakikat bahawa pelajaran Jawi terdapat dalam kurikulum sekolah rendah terbitan 1970. Di sekolah menengah dan maktab perguruan pula, pelajaran Jawi diajarkan kembali secara rasmi sejak tahun 1973. Malangnya, pelaksanaan pengajaran bukan sahaja bersifat sambalewa bahkan ada guru mengabaikannya. Saya menyatakan perasaan kesal terhadap keadaan itu.

Selain itu, saya memuji Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kementerian Pelajaran Malaysia. Bawah penyelarasan BPG, semua maktab perguruan memperlihatkan kesungguhan untuk menghidupkan tulisan Jawi. Dalam program Kursus Perguruan Asas Tiga Tahun, semua pelajar diajarkan pelajaran Jawi. Peruntukan masa pelajaran itu relatif besar dan kesan pembelajaran dinilai dalam peperiksaan bertulis dengan peruntukan markah sebanyak lima belas peratus.

Seterusnya, berdasarkan rumusan berbagai-bagai seminar, kongres dan sebagainya, termasuk Konvensyen Tulisan Jawi di Terengganu pada bulan April tahun itu, saya berkeyakinan bahawa tulisan Jawi akan kembali menunjangi bahasa Melayu. Namun peranannya pada masa akan datang tidaklah sama dengan peranannya pada masa lalu. Saya menulis, “Kita menjangka tidak lama lagi tulisan Jawi sebagai tunjang, tulisan Rumi sebagai adik yang gagah, akan bersama-sama membina bahasa, sastera, budaya dan tamadun kita.” Sebagai kesimpulannya, saya meminta masyarakat menghargai tulisan Jawi kerana tulisan itu “sudah memainkan peranan yang cukup besar dan sangat penting untuk menjadikan bahasa Melayu bahasa yang berwibawa dalam semua bidang kehidupan kita.”

Sebelum itu, perasmi yang pernah bertugas sebagai pensyarah Seni Lukis menyatakan bahawa tulisan Jawi mempunyai nilai seni yang tinggi. Beliau juga menyatakan bahawa maktab kami akan berusaha untuk menggunakan tulisan Jawi pada papan tanda.

Pembahas kertas menyetujui sebahagian besar pendapat saya dan memuji kekemasan persembahan. Namun beliau menganggap isi kertas itu masih kurang. Katanya, penggunaan tulisan Jawi di luar Nusantara dan oleh kaum-kaum lain juga perlu diberikan perhatian. Beliau menambah, di Kelantan masih terdapat orang Cina dan orang India yang boleh membaca dan menulis Jawi.

Pembahas memuji golongan peniaga yang mengekalkan tulisan Jawi pada kertas keterangan barangan. Katanya, tulisan Jawi masih digunakan pada barangan tertentu sama ada yang dikeluarkan di Semenanjung, di Singapura mahupun di London. Akhirnya beliau menyimpulkan bahawa penindasan penjajah menjadi punca terabainya tulisan Jawi.

Antara rumusan seminar kecil itu termasuklah syor agar Kementerian Pelajaran Malaysia menjadikan bahasa Arab setaraf dengan bahasa Inggeris dalam kurikulum, sokongan terhadap rumusan Konvensyen Tulisan Jawi di Kuala Terengganu supaya pelajaran Jawi diberikan masa khusus di sekolah, permintaan agar BPG memperuntukkan markah sebanyak 20 peratus untuk menguji Jawi dalam peperiksaan Bahasa Malaysia Teras dan cadangan agar PBM meneruskan usaha memajukan tulisan Jawi dengan mengadakan peraduan dan sebagainya. Laporan pelaksanaan seminar itu berserta rumusannya disiarkan oleh akhbar Harian Ekspres pada 28 Mei 1984.

*******
Pada tahun 1984 itu juga Sabah mengadakan kempen membaca. Di Sandakan, pengisian utama kempen itu ialah pameran buku. Pameran itu berlangsung di Dewan Masyarakat Sandakan dari 19 hingga 26 Mei, iaitu beberapa minggu selepas berakhirnya pameran buku di Kota Kinabalu. Pameran itu dianggap sebagai pameran buku terbesar yang pernah diadakan di Sandakan dan di Sabah.

Saya mewakili maktab dalam jawatankuasa pelaksana. Kami tidak terlibat dalam proses pembuatan keputusan. Kami hanya menerima dan melaksanakan tugas yang sudah ditetapkan oleh Jawatankuasa Kempen Membaca Daerah Sandakan. Tugas persendirian saya ialah menulis teks ucapan pembukaan dan penutupan. Selain itu, saya menjadi penghubung antara jawatankuasa pelaksana dengan pasukan koir maktab. Rakan saya, Ngalimin Basri, memimpin pasukan koir dan mencipta lagu. Saya menulis lirik lagu itu seperti yang di bawah:

Membaca

Membaca, membaca
santapan jiwa
dahaga ilmu pengetahuan
akan hilang kerananya.

Dan kejahilan pun
menjauhkan diri
dari pembaca sejati.

Korus
Marilah kita bina
masyarakat membaca
berasa bangga
membaca di mana-mana.

Saya hanya anggota jawatankuasa pelaksana. Saya tidak memperoleh peluang untuk mencorakkan pameran itu. Saya sungguh terkilan kerana jumlah bahan bacaan berbahasa Melayu yang dipamerkan kira-kira sepuluh peratus. Lebih separuh bahan bacaan dalam bahasa Mandarin. Bakinya dalam bahasa Inggeris. Perasaan itu saya luahkan dalam sebuah rencana yang disiarkan oleh akhbar Berita Harian pada 23 Jun 1984 di bawah nama pena Sabari.

Saya menyatakan bahawa pameran itu meremehkan bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan negara kita, iaitu bahasa Melayu. Penganjur menggambarkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang sangat daif, iaitu hanya mampu duduk di bawah ketiak bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris. Citra bahasa Melayu sebagai bahasa yang gagah dan berkembang pesat dalam semua bidang ilmu dari peringkat tadika hingga ke universiti dikaburkan.

Pada saya, jikalau pihak penganjur mahu, seluruh ruang Dewan Masyarakat Sandakan itu boleh dipenuhi dengan bahan-bahan bacaan dalam bahasa Melayu. Dalam perenggan akhir rencana itu saya menyatakan harapan, “Mudah-mudahan perkara sumbang seperti ini tidak berlaku lagi apabila pihak tertentu di Sandakan menyahut seruan Pembantu Menteri Perkhidmatan Masyarakat Sabah, Puan Kolnah Ghani, supaya pameran buku dijadikan peristiwa dua tahun sekali di Sandakan.”

Demikianlah dua kegiatan saya dalam bidang kokurikulum. Kegiatan lain memang ada dan saya anggap sebagai biasa sahaja. Dua kegiatan ini dan cabaran yang saya hadapi dalam pertemuan khas pada akhir tahun 1980, saya anggap penting dan dapat menggambarkan pendirian saya sebagai pensyarah Bahasa Melayu di maktab perguruan.

Bersambung: Pulang Berlima

Tiada ulasan: