06 Ogos 2009

Ajakan Menggugurkan "Telah" dan “Akan”

Masukan yang berkaitan
Berhemat Menggunakan Perkataan "Telah"

Sulaiman Masri dan Ahmad Khair Mohd Nor mengajak pembaca bukunya untuk menggugurkan petunjuk kata lampau “telah” dan kata mendatang “akan”. Mereka menyampaikan ajakan itu dalam prakata buku Tatabahasa Melayu Mesra Pengguna Edisi Baharu (2006).

Menurut mereka, kedua-dua perkataan itu adalah antara pengaruh tatabahasa Inggeris dalam bahasa Melayu. Oleh itu kedua-dua perkataan itu perlu digugurkan daripada frasa dan ayat bahasa kebangsaan kita. “Telah” dapat digantikan dengan “sudah”. “Akan” dapat digantikan dengan “dijangka”, “bakal” atau “mungkin”. Contohnya adalah seperti yang berikut.

Saya telah makan. → Saya sudah makan.
Dia akan ke Melaka. → Dia dijangka ke Melaka.

Sekiranya masa dinyatakan dalam binaan ayat, mereka meminta agar pengguna bahasa Melayu menggugurkan “telah” dan “akan”. Contohnya,

Saya telah makan pagi tadi. → Saya makan pagi tadi.
Saya telah dilahirkan pada 10 Mei 1980. → Saya dilahirkan pada 10 Mei 1980.
Dia akan dilantik ke jawatan pengetua bulan hadapan. → Dia bakal (dijangka, mungkin) dilantik ke jawatan pengetua bulan hadapan.

***

Sudah makan?”
Sudah.”
“Lauk apa?”
“Ikan keli masak asam dan sayur peria.”

Ini ialah dialog lazim dalam kalangan orang kampung penulis. Mereka ialah penutur jati bahasa Melayu. Penulis belum pernah mendengar sesiapa bertanya “Telah makan?” dan jawapan “Telah”. Maknanya, pandangan Sulaiman dan Ahmad Khair dapat menjadi pegangan kita.

2 ulasan:

Unknown berkata...

Saya kagum sekali dengan usaha tuan menulis blog yang sangat bagus kandungannya seperti ini.

Teruskan saling menyokong blogger yang bagus dan santun bahasanya.

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Terima kasih, Tuan Hamim. Insya-Allah, kita berikan sesuatu yang kita mampu dan terbaik kepada khalayak.