10 Mei 2009

Item Objektif Aneka Pilihan (10)

Panduan Pembinaan Item Objektif Aneka Pilihan
Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

Masukan terdahulu
(1) Mukadimah dan Istilah Penting
(2) Jenis Item 1: Pernyataan Tidak Lengkap
(3) Jenis Item 2: Soalan Langsung
(4) Jenis Item 3: Negatif
(5) Jenis Item 4: Klasifikasi
(6) Jenis Item 5: Cantuman
(7) Jenis Item 6: Pilihan Terbaik
(8) Jenis Item 7: Mengesan Kesilapan
(9) Jenis Item 8: Kloz


1. Item
Secara am, setiap item aneka pilihan mesti
(a) sah, iaitu mematuhi Jadual Penentuan Ujian (JPU)*
(b) tepat, iaitu bertumpu pada satu perkara khusus
(c) bebas, iaitu tidak bergantung pada item lain
(d) tersendiri, iaitu tidak menjadi clue kepada item lain dalam kertas ujian yang sama
(e) jelas, iaitu maksudnya jelas (tidak taksa)
(f) berpedoman, iaitu ada arahan yang jelas untuk set item
(g) mudah difahami, iaitu aspek teknik dan bahasa terpelihara
(h) berkecuali, iaitu tidak berat sebelah dari sudut suku kaum, wilayah dan sebagainya

*Belakangan ini JPU dinamakan pula Jadual Spesifikasi Ujian (JSU). Mungkin esok atau lusa muncul pula nama lain.

2. Stem
Setiap stem perlu
(a) mengandungi tugasan khusus dan jelas
(b) mengutamakan pernyataan positif
(c) mengelakkan pernyataan dua penanda negatif
(d) terdiri daripada soalan langsung atau pernyataan tidak lengkap
(e) mengandungi maklumat yang mencukupi untuk calon membuat pilihan

Sebaik-baiknya, jumlah perkataan yang terdapat dalam stem lebih banyak daripada perkataan-perkataan dalam pilihan. Jikalau diperlukan garisan bagi pernyataan yang belum selesai, jangan letakkan garis itu pada pangkal tugasan. Jika terdapat lebih daripada satu garisan seperti pada soalan kloz, panjang tiap-tiap garisan itu hendaklah sama. Rajah dan jadual hendaklah dinamakan seperti Rajah 1 dan Jadual I .

3. Pilihan
Pilihan hendaklah
(a) menggunakan huruf besar agar berbeza daripada nombor item
(b) disusun dalam bentuk senarai menegak, bukan mendatar
(c) bersistem: disusun mengikut panjang pendek, abjad atau besar kecil nombor
(d) homogen atau setara iaitu sama jenis, sama maksud dan yang seumpamanya
(e) selaras dengan stem jika stem ialah pernyataan tidak lengkap
(f) padat: perkataan, frasa atau klausa yang sama tidak diulang; sebaliknya dimasukkan ke dalam stem
(g) mempunyai hanya satu petunjuk
(h) menggunakan huruf dan tanda baca yang sesuai dengan sifat stem
(i) mempunyai perbezaan yang minimum

4. Pengganggu
Pengganggu hendaklah
(a) berkaitan dengan stem
(b) munasabah, bukan percuma
(c) dapat menarik perhatian calon yang tidak mengetahui
(d) hampir-hampir betul tetapi bukan jawapan yang tepat

5. Petunjuk
Petunjuk semestinya
(a) hanya satu dan sememangnya jawapan yang dikehendaki
(b) tidak terlalu bertentangan dengan pengganggu
(c) tidak mengandungi clue
(d) tidak bersifat percuma

Penaipan soalan juga perlu diberi perhatian iaitu terdapat jarak yang sesuai di antara arahan dengan item, stem dengan pilihan, rangsangan dengan tugasan, cantuman dengan pilihan, dan baris dengan baris.

Pembinaan soalan objektif aneka pilihan memang rumit tetapi pemarkahannya cukup mudah dan mengambil masa yang pendek sahaja. Pemarkahannya bertambah pantas lagi dengan menggunakan komputer. Analisis item juga boleh dilakukan dengan komputer. Banyak lagi kelebihannya jika ditinjau dari sudut lain seperti kebolehan mengukur butiran khusus, kesahan dan kebolehpercayaan.

Elok juga kita fikirkan peruntukan kewangan dengan keperluan teknik. Keperluan teknik penggubalan item objektif memerlukan peruntukan kewangan yang besar. Misalnya pilihan perlu sejajar dari atas ke bawah dan saiz huruf perlu sesuai dengan peringkat ujian. Maka sukarlah kita menjimatkan kertas atau belanja mencetaknya. Mengorbankan teknik boleh mengurangkan kebolehpercayaan dan mutunya. Marilah kita fikirkan hal ini bersama-sama.

Perkongsian maklumat terkini atau khusus dari sudut pandangan sesuatu institusi sangat dihargai.

Tiada ulasan: