01 Ogos 2009

Istiadat Meletakkan Kalungan Bunga

Hari Pahlawan yang disambut setiap 31 Julai sejak tahun 1960-an. Kelmarin negara kita menyambut hari Pahlawan sekali lagi. Antara acara sambutan itu ialah istiadat meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan Negara oleh Perdana Menteri kita dan beberapa orang yang lain. Berita yang berkenaan dipaparkan di bawah ini. Di bawah berita ini terdapat beberapa lampiran untuk tatapan kita bersama.

Perdana Menteri Hadir Istiadat Letak Kalungan Bunga Hari Pahlawan

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat menghadiri istiadat meletak kalungan bunga sempena sambutan Hari Pahlawan 2009 di Tugu Peringatan Negara di sini.

Turut meletak kalungan bunga dalam istiadat pagi ini ialah Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Abdul Aziz Zainal, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Azizan Ariffin.

Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia Senator Datuk Muhammad Abdul Ghani turut meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan Negara.

Terdahulu C/Insp Mohamed Awang dan ASP Rose Baini Kassim mendeklamasi sajak bertajuk "Pahlawanku" sebaik sahaja tiupan "Last Post" bergema dan bendera Malaysia diturunkan.

Turut hadir ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, beberapa menteri kabinet, anggota Parlimen, serta pegawai kanan polis dan tentera.

Hari Pahlawan disambut bagi memperingati mereka yang terkorban demi mempertahankan negara, dan majlis kali ini dimulakan malam tadi dengan kehadiran Perdana Menteri ke majlis tahlil dan doa selamat di Masjid Negara di sini.

Hari Pahlawan yang disambut setiap 31 Julai sejak tahun 1960-an memberi peluang kepada rakyat menghargai pengorbanan anggota perajurit yang terkorban demi mempertahankan dan menegakkan kedaulatan negara.-- BERNAMA, 31 Julai, 2009 11:31 AM

Lampiran 1
Letak Kalungan Bunga di Tugu Peringatan Haram – JAKIM
Lihat http://mufti.perak.gov.my/isu/tugu_kenangan.pdf

Lampiran 2
Fatwa Negeri Pahang Darul Makmur

ENAKMEN PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM 1991 (Enakmen 3/91) FATWA DI BAWAH SEKSYEN 36

Fatwa berikut yang dibuat oleh Mufti Negeri di bawah subseksyen 36 (1) Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991 setelah diluluskan oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak menurut subseksyen 39 (6) Enakmen itu adalah disiarkan menurut subseksyen 36(2) Enakmen itu: “Meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan sempena upacara sambutan Hari Pahlawan dan upacara-upacara lain adalah haram dan hendaklah ditinggalkan.”

Lampiran 3
Fatwa Negeri Perlis Indra Kayangan

Berdoa di tugu peringatan adalah ditegah oleh syarak dan hukumnya haram kerana perbuatan seumpama itu termasuk di dalam larangan firman Allah, surah al Maidah ayat 90 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi dan al-ansab (menyembah berhala) dan al-azlam (bertenung nasib) adalah najis daripada amalan syaitan. Maka hendaklah kamu jauhkan daripadanya moga-moga kamu berjaya.”

Keterangan: “Al-Ansab” maknanya batu orang-orang jahiliah sembelih korban di sisinya dan beribadat kepadanya. Berdoa adalah ibadat, berdoa di batu tugu peringatan sama seperti orang-orang jahiliah beribadat di al-Ansab yang dimaksudkan dalam ayat 90 itu.

Lampiran 4
Fatwa Negeri Pulau Pinang

Bahawa haram tiupan dan bertafakur dengan menundukkan kepala selama 20 saat dengan meletakan kalung bunga di tugu, bacaan sajak yang boleh menimbulkan semangat kepahlawanan adalah diharuskan, tetapi dengan syarat tidak dilakukan di hadapan tugu, atau di dalam suasana yang dilarang oleh syarak kerana semua ini adalah upacara agama juga.

Lampiran 5
Gantikan Tugu Negara, Kata Mufti
Jimadie Shah Othman Aug 4, 08 7:09 pm

Malaysia tidak memerlukan Tugu Peringatan Negara kerana ia "mempunyai unsur-unsur keberhalaan" dan "bukan warisan kita", kata mufti Perlis Dr. Mohd Asri Zainul Abidin."

Ia (tugu itu) patut digantikan dengan perkara lain," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau diminta mengulas sama ada monumen bersejarah itu wajar dirobohkan kerana didakwa mempunyai unsur-unsur keberhalaan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Jumaat lalu, mufti itu menyarankan perdana menteri atau sesiapa sahaja yang terlibat dalam menyempurnakan istiadat meletak kalungan bunga di tugu berkenaan sempena Hari Pahlawan 2008 agar bertaubat kepada Allah.

Menulis di blognya bersama foto Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan kalungan bunga, Dr. Mohd Asri berkata: "Perbuatan mana-mana individu muslim sama ada pemimpin atau rakyat yang meletakkan kalungan bunga, tabik hormat dan bertafakur yang dilakukan untuk Tugu Negara adalah bercanggah dengan prinsip-prinsip akidah Islam yang anti kepada sebarang unsur keberhalaan.

"Perbuatan seperti itu seakan menjadikan tugu berkenaan berhala yang dihormati. Sekiranya pun pelakunya tidak mempunyai sebarang iktikad bahawa itu semua memberi manfaat dan mudarat, maka perbuatan itu adalah sia-sia dan bodoh. Ia tetap haram kerana meniru perbuatan musyrikin.

"Jika pelaku beriktikad itu memberikan kemanfaatan kepada keamanan, kedamaian roh mereka yang telah meninggal dunia, maka itu adalah perbuatan syirik yang jelas. Akidah Islam menentang sebarang unsur keberhalaan.

"Pemimpin atau sesiapa sahaja yang terlibat dalam perbuatan ini hendaklah bertaubat kepada Allah dan kembali kepada akidah Islam yang sebenar."

Khamis lepas, selepas perdana menteri, acara peletakan kalungan bunga disusuli panglima angkatan tentera Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal dan ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan.

Dr. Mohd Asri turut menyifatkan acara memperingati pahlawan di Tugu Negara sebagai tindakan untuk "mengalihkan pandangan" awam terhadap isu kebajikan keluarga-keluarga bekas tentera.

"Ia mengalihkan pandangan terhadap isu sebenar. Adakah dengan memberi penghormatan di Tugu Negara dapat membantu kaum keluarga pejuang kita? Adakah elaun, gaji, pertolongan terhadap ahli keluarga bekas pejuang terbela?" katanya hari ini.

Beliau menjelaskan, perbuatan memberi hormat kepada Tugu Negara adalah haram mengikut fatwa kebangsaan dan fatwa Perlis.

"Sebab itu sewaktu Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis menjadi Yang di-Pertuan Agong dulu, baginda tidak pernah berbuat demikian," katanya.

Diminta mengulas tentang jenis-jenis patung yang dibenarkan dalam Islam, beliau berkata, pada asalnya semua patung tidak dibenarkan tetapi terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama Islam.

Namun, katanya, unsur membesar-besarkan patung tetap tidak dibenarkan.

Patung jika digunakan untuk tujuan perubatan, penyelidikan dan pendidikan adalah dibenarkan, katanya.Ditanya tentang penggunaan patung untuk tujuan kesenian, beliau berkata, Islam tidak menghalang kesenian, tetapi mestilah ada batasnya.

Patung tidak boleh membesarkan objek asalnya atau imej yang dipatungkan, tambah Mohd Asri.

2 ulasan:

HBM Consultant berkata...

Salam.

Tugu Peringatan Negara yang tidak bersalah. Manusia yang sentiasa melakukan kesalahan sedangkan ia telah difatwakan sebagai salah. Setiap tahun isu ini dimainkan. Setiap kali itu jugalah ia tidak dipedulikan.

Selamat Hari Pahlawan kepada perajurit yang telah banyak berkorban.

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.

(1) Kita terapkan nilai patriotisme dengan bahan Hari Pahlawan di bilik darjah/kuliah. (2) Sabah sudah lama menggantikan patung Tunku Abdul Rahman dengan keris.

Selamat Hari Pahlawan kepada perajurit, termasuk ayahanda puan dan rakan saya yang kehilangan sebelah kakinya demi negara tercinta.

Wallahuaklam. Wassalam.