Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M) ialah program khusus untuk membantu murid tahun satu menguasai kemahiran membaca dan menulis. Program ini bermula pada tahun 2006 dan dilaksanakan oleh guru Bahasa Melayu. Peruntukan masa bagi program ini ialah 19 waktu seminggu, iaitu dengan menggunakan masa Bahasa Melayu (12 waktu), Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (2 waktu), Pendidikan Muzik (2 waktu) dan Pendidikan Seni Visual (2 waktu).
Pada tahun 2006 itu, program ini bermula apabila murid tahun satu selesai mengikuti program transisi pada hujung Mac. Pada awal April pihak sekolah melaksanakan ujian penapisan. Murid yang gagal dalam ujian ini mengikuti KIA2M fasa pertama, iaitu dari mulai 9 April hingga akhir Julai.
Pada akhir bulan Julai itu juga pihak sekolah mengadakan ujian pelepasan. Murid yang berjaya dalam ujian itu meneruskan pelajaran seperti biasa. Murid yang gagal pula mengikuti KIA2M fasa kedua mulai awal Ogos hingga akhir Oktober. Ujian pelepasan seterusnya diadakan pada akhir Oktober hingga awal November. Murid yang berjaya dalam ujian itu mengikuti kelas biasa pada tahun 2007. Murid yang gagal pula mengikuti kelas pemulihan khas.
Saya dan beberapa orang rakan mendapat peluang untuk bersama-sama dengan guru sekolah bagi melaksanakan program fasa kedua. Saya berpasangan dengan Encik Mohd Firdaus. Kami mendapat dua masa seminggu. Kelas kami ialah Tahun Satu Cemerlang. Oleh sebab ada beberapa kekangan, terutamanya beban tugas rasmi yang bertali arus, Encik Mohd Firdaus hanya sempat ke sekolah pada bulan September.
Kali pertama Encik Mohd Firdaus ke sekolah adalah untuk melakukan tinjauan umum tentang murid, susun atur kelas dan kemudahan sumber pengajaran dan pembelajaran. Selain itu beliau juga perlu membina hubungan baik dengan pihak pengurusan sekolah, guru Bahasa Melayu dan guru KIA2M. Saya tidak ke sekolah kerana ada urusan rasmi di tempat lain.
Pihak sekolah tidak berjaya menunaikan janji untuk membekalkan profil murid. Kami membuat keputusan untuk memperoleh maklumat lengkap tentang murid sebelum memulakan sesi pengajaran. Atas beberapa pertimbangan, kami memutuskan untuk berinteraksi dengan murid. Jadi, pada minggu yang berikutnya kami ke sekolah dan masuk ke dalam kelas dengan tujuan itu.
Kami berbual-bual dengan murid untuk mengetahui latar belakang, prestasi lisan dan keupayaan kosa kata mereka. Kami mengadakan ujian untuk mengetahui takat kemahiran mereka membaca dan menulis. Sempat juga kami melakukan ujian pengamatan. Interaksi itu dan maklumat yang kami peroleh ternyata memudahkan kami melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran pada minggu seterusnya.
Saya berasa seronok dapat berinteraksi dengan murid. Demikian juga halnya dengan Encik Mohd Firdaus. Dia menyayangi kanak-kanak dan pandai mengambil hati mereka. Hal ini menyebabkan kami berusaha melakukan persediaan sebaik-baik yang mungkin sebelum masuk ke dalam kelas. Kami berjaya menyediakan beberapa jenis kad huruf, kad suku kata, kad perkataan dan kad gambar. Kami juga menyediakan lembaran kerja dan beberapa sumber yang lain.
Saya sendiri menghabiskan masa lebih kurang lapan jam untuk satu sesi pengajaran dan pembelajaran yang memakan masa dua jam. Encik Mohd Firdaus menggunakan masa lebih kurang empat jam, termasuk bersama-sama dengan saya untuk merancang langkah pengajaran dan menyediakan bahan sumber. Kami melakukan tugas ini di luar waktu tugas rasmi dengan rasa senang hati dan penuh minat.
Pada 12 September saya membaca berita yang menyatakan bahawa 85,000 murid tahun satu di negara kita belum menguasai kemahiran 2M. Pada masa itulah saya berfikir semula tentang KIA2M. Saya menulis respons panjang tentang perkara ini. Selepas itu saya membaca bahan lama tentang KIA2M yang terdapat dalam cakera padat komputer riba saya.
Hasilnya, di bawah ini saya lampirkan satu contoh aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Bahan ini ialah usaha saya bersama-sama dengan Encik Mohd Firdaus. Oleh sebab tujuan saya ialah untuk memperlihatkan aspek perkaedahan, format asal dan butiran am saya abaikan.
Saya sertakan juga catatan pascapengajaran bagi sesi itu. Saya berharap bahan ini dapat menjadi renungan warga pendidik. Jikalau ditemukan yang baik, manfaatkanlah. Jikalau silap, hindari dan baikilah.
Lampiran
Aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran
Tarikh: 10 Oktober 2006
Masa: 9.00 – 10.00 pagi
Langkah 1: 1.2.1 Menggerakkan tangan tanpa alat tulis untuk menghasilkan bentuk
(a) Meniru gaya guru membentuk tulisan huruf kecil (a, i, u) di udara sambil menyanyi.
(b) Meniru gaya guru membentuk tulisan huruf kecil (b, c, d) di udara sambil menyanyi.
(c) Membentuk huruf (a, i, u) dengan menggunakan plastisin.
Langkah 2: 1.1.2 Menyebut nama huruf kecil secara rawak (ulangan)
(a) Tunjuk cara menulis huruf (a, i, u) mengikut urutan yang betul.
(b) Menyambung titik-titik/mengikut bayangan huruf (a, i, u) untuk membentuk huruf. (Lembaran kerja 1)
(c) Tunjuk cara menulis huruf (b, c, d) mengikut urutan yang betul.
(d) Menyambung titik-titik/mengikut bayangan huruf (b, c, d) untuk membentuk huruf. (Lembar kerja 2)
Langkah 3: 1.7.1 1 Menyebut dan membunyikan huruf vokal a, i, u (ulangan)
(a) Menyebut nama dan membunyikan huruf vokal (a, i, u) yang ditunjukkan (kad/carta khas).
(b) Menyebut nama huruf kecil (b, c, d) yang ditunjukkan (kad/carta khas).
(c) Meletakkan gambar (ayam, ikan, udang) pada kad vokal saiz A4.
(d) Meletakkan gambar (baca, dada, cuci) pada kad vokal saiz A4.
Langkah 4: 2.2.1 Menulis suku kata terbuka KV dengan betul (ulangan)Menyalin perkataan KV-KV (baca, dada, dadu, cuci) berpandukan bayangan perkataan dan gambar. (Lembar kerja 3)
Catatan Pascapengajaran
1. Markah (M) diberi berdasarkan pemerhatian dan pemeriksaan lembaran kerja.
2. Prestasi murid secara keseluruhan rendah, iaitu 57%. Rachel mendapat skor terendah. Dia masih tidak dapat membezakan huruf b dengan d. Dia juga menunjukkan huruf b dan d secara terbalik dan paling lambat menyiapkan kerja. Dari segi tingkah laku dan kerjasama, Rachel terbaik. Bimbingan individu kali ini berfokus pada Rachel. Antaranya, kami membimbingnya untuk membentuk huruf dengan tepat.
3. Halangan yang sengaja diadakan dalam latihan terakhir (mengisi huruf i dalam perkataan cuci) hanya dapat dilaksanakan oleh murid apabila dibimbing oleh guru.
4. Asas perkaedahan ialah kaedah gabungan bunyi kata atau fonik, khususnya untuk vokal a, i, u. Murid pernah mengenal huruf dengan kaedah abjad. Oleh itu, nama huruf konsonan diberi keutamaan berbanding bunyinya. Pola pengajaran pula ialah huruf → suku kata → perkataan → latihan menulis. Kami menggunakan bahan bantu belajar dan aktiviti yang membolehkan murid menggunakan kecerdasan pelbagai. Hal ini nyata meningkatkan tumpuan perhatian mereka.
5. Kami akan meneruskan penggunaan warna untuk huruf vokal, iaitu a (merah), i (hijau), e (kuning), o (oren), dan u (biru). Kami juga akan meneruskan penggunaan kertas bergaris empat untuk menulis.
6. Vokal a perlu terus dilatih tubi dengan pelbagai cara seperti menyebut namanya, menyebut bunyinya, membentuknya dengan menggunakan plastisin atau kad tebuk sambil menyebut nama dan bunyinya, dan menulisnya dengan pelbagai peringkat. Konsonan b, c, d perlu terus digunakan di samping meningkatkan penggunaan konsonan lain seperti g, k, l, dan t. Kami berpendapat perkataan V-KV seperti "ibu" dan "ubi" boleh digunakan dalam pelajaran yang akan datang.
7. Papan putih perlu digantung dan digunakan untuk menunjukkan pergerakan alat tulis ketika membentuk huruf.
8. Aspek kebersihan diri pelajar, seperti mencuci muka dan tangan, sebelum belajar dan selepas menggunakan plastisin sudah diberi perhatian. Kami menyediakan kertas tisu dan bakul plastik.
9. Kami mendapat pengalaman yang banyak semasa merancang dan melaksanakan pengajaran hari ini. Kami semakin menyayangi pelajar, khususnya Rachel. Dia lambat dari segi kognitif tetapi sungguh memberangsangkan dari segi emosi. Kami juga menyayangi Renskye. Jari jemarinya masih berdarah akibat kudis/luka, namun dia terus menggunakan jari jemari yang cedera itu untuk menyiapkan kerja bertulis.
10. Prestasi pelajar adalah seperti yang di bawah.
Prestasi Pelajar Tahun 1 Cemerlang 2006
Pedoman Bahasa: | Semua | MIAR | DBP | DB | PB | DS | KNB | JPEG || Kesantunan | Salam || Jawi || Pautan: | Scribd | Cikgu | Jawi | IPGMKgu | KBBI | Munsyi || Profil Penulis | Hak Cipta || Puisi: Sambung-menyambung | Hanya Sulap | Kebun Kecil Bahasa || Kembali ke Laman Terkini || Pautan Istimewa: | Soal Jawab Bahasa | Pendidik | Persatuan Pendidik BM |
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
8 ulasan:
Salam.
Sedikit maklumat daripada cikgu adalah besar kesannya kepada murid-murid sekiranya dapat guru KIA2M melakukannya.
Namun, realiti beban guru terlalu banyak pada masa ini, jumlah 85 000 memang relevan.
Jika dalam satu kelas diletakkan 25 orang murid dan tugas lain dikurangkan, jumlah tersebut mungkin akan berkurangan.
Tetapi jumlah murid dalam sesebuah kelas sekarang ini 35-40 orang murid.
KIA2M dapat dijalankan juga tetapi penumpuan secara individu tidak dapat dilakukan.
Pengajaran bukannya 19 waktu dalam seminggu tetapi 38 (2 kelas). Ini menjadikan tugasan KIA2M semakin sukar.
Terima kasih
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih saya ucapkan kepada cikgu kerana memerikan respons bermaklumat. Apabila ditambah dengan pelbagai tugas lain, 38 waktu (16 jam?) memang membebankan. Masa untuk menganalisis prestasi murid dan menyediakan sumber yang dapat mengatasi masalah individu nampaknya amat terhad.
Jikalau cikgu ada data bagi daerah/negeri tentang jumlah guru KIA2M yang terbeban itu titipkan di sini untuk renungan kita bersama-sama. Saya belum memperoleh prestasi KIA2M bagi negara kita untuk tahun 2007 dan 2008. Jikalau cikgu ada data itu, saya mohon cikgu e-melkan kepada mohdisa_abdrazak@yahoo.com.
Marilah kita bersama-sama berfikir dan melakukan sesuatu usaha tentang perkara ini. Insya-Allah, saya berusaha menyebarluaskan hal yang berkaitan dengan perkaedahan, setakat yang saya ketahui dan mampu. Cikgu pula melakukan usaha yang berkaitan dengan pengurusan pendidikan untuk memastikan perkara ini berjalan dengan lancar.
Selamat meneruskan puasa dan selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf sekiranya terkasar bahasa dan keterlaluan dalam penulisan di blog ini.
Wallahuaklam. Wassalam.
Assalamualaikum wbt. dan Selamat Berpuasa kepada Tuan Haji Sekeluarga.
Catatan tuan mengingatkan saya kembali tentang penglibatan kita dalam program KIA2M di sekolah. Kita cukup maklum dengan cabaran guru melaksanakan program KIA2M seperti yang pernah kita saksikan dsn alami dahulu. Sehingga hari ini, ceritanya tetap sama. Malah, KIA2M semakin kurang diperkatakan, sebaliknya program-program pemulihan khas semakin mendapat tempat. Mungkin juga, jawatan guru pemulihan khas semakin diiktiraf dan latihan di IPG juga semakin banyak menghasilkan guru pemulihan termasuklah di sekolah kurang murid.
Pelatih kita KPLI-KDC opsyen Pemulihan Khas (SKM) dan BM( Guru Pedalaman) hari ini menduduki peperiksaan akhir KISSM. Ini juga bermakna mereka (114 pelatih) telahpun menamatkan pengajian yang bermula sejak November 2007, yang tuan sendiri sempat mengajar mereka.
Tuan, ramai yang bertanya saya, bagaimana dapat menghubingi tuan haji. Justeru, jika tidak keberatan, tuan dapat memberikan no hp yang terkini untuk saya berikan kepada mereka.
Akhir sekali, selamat hari raya serta maaf zahir batin.
Wassalam
Firdaus
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Tuan Mohd Firdaus,
Terima kasih yang setinggi-tingginya saya ucapkan kepada tuan kerana sudi memerikan respons di sini. Maklumat yang tuan berikan menarik perhatian saya. Jikalau benar KIA2M kurang mendapat perhatian, hal itu sesuatu yang mendukacitakan.
Pada hemat saya, sukar untuk guru pemulihan khas (GPK atau guru pemulihan sahaja?) menangani 35% kanak-kanak yang tidak berpeluang mengikuti kelas prasekolah. Jumlah itu mungkin menjangkau 200,000 orang. Jadi KIA2M masih relevan.
Satu lagi cara mengatasi masalah ini ialah meningkatkan pengetahuan dan kemahiran guru Bahasa Melayu agar mampu mengajarkan bacaan asas dengan lebih berkesan. Mereka memerlukan kursus dalam perkhidmatan 4 – 8 minggu untuk mengajarkan bacaan asas.
Sudah hampir setahun saya tidak menggunakan telefon bimbit. Saya melakukan hal itu atas sebab peribadi. Pihak tuan boleh menghubungi saya melalui talian tetap yang akan saya berikan melalui e-mel. Namun, saya lebih suka berhubung melalui e-mel.
Terima kasih sekali lagi. Wassalam.
Respon kepada cikgu Firdaus.
Isteri saya juga seorang guru pemulihan. Kita bercerita tentang mata pelajran BM. Dalam kelas beliau seramai 19 orang murid pada awal tahun ini. Sehingga 2 hari lepas, beliau memberitahu kepada saya hanya seorang saja yang tinggal masih belum melepasi ujian pelepasan (selepas murid belajar dalam kelas pemulihan).
Pengajran KIA2M ini dapat dilaksanakan sebaiknya sekiranya guru KIA2m dikelaskan seperti guru pemulihan.
Kalau guru pemulihan:
(1) diberikan kuasa sepenuhnya dalam kelas tanpa ada gabungan kelas sesi pagi dan sesi petang,
(2) matapelajaran hanya diajar BM dan Matematik sahaja,
(3) ada peruntukan dari sekolah atau PPD,
(4) penglibatan pegawai sepenuhnya memantau ke sekolah,
(5) penumpuan khas dari pihak sekolah,
bilangan 85 000 ini dapat kita kurangkan. Road show oleh guru pakar dari SK Likas, saya melihatnya sangat baik. Jabatan Pelajaran Sabah begitu bersungguh-sungguh dalam hal ini.
Tetapi bagaimana dengan KIA2M? Kalau ia telah kurang diperkatakan, benarlah semua projek semasa adlah seperti melepaskan batuk ditangga sahaja.
Respon buat Tuan Haji.
Insyaallah, saya cuba dapatkan data tersebut tetapi mungkin dari beberapa sekolah sahaja termasuklah sekolah saya.
SELAMAT MENYAMBUT IDUL FITRI
Salam.
Cikgu Mohd Ariffin, terima kasih atas respons cikgu. Saya yakin cikgu amat prihatin tentang perkara ini. Terima kasih sekali lagi kerana sudi mengusahakan data yang berkaitan untuk renungan saya.
Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir batin.
Wassalam.
Catatan di sini http://www.facebook.com/home.php?ref=hp#!/roynie.gunic/posts/1453526235452?notif_t=feed_comment_reply mendorong saya membaca catatan ini semula. Kisah Ali, kudis, hingus dan lain-lain nampaknya belum saya nukilkan.
Catat Ulasan