02 September 2009

Kata Ganti Nama Encik

Huraian tentang perkataan encik yang di bawah ini saya petik daripada buku Pelita Bahasa Melayu Penggal I – III Edisi Baharu karangan Pendeta Za‘ba. Buku ini diterbitkan kali pertama pada tahun 1941. Cetakan pertama edisi kedua diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2000. Saya memetik huraian ini secara verbatim.

(1) xxEncik (ﺍﻧﭽﻲﺀ) dalam tulisan terkadang dipendekkan En. (ﺍﺀ). Perkataan ini dipakai dalam tulisan ketika menyebut nama orang Melayu baik-baik (istimewa untuk orang lelaki), tetapi bukan bangsa raja atau sayid dan tiada berpangkat dato’, haji, atau lain-lain seperti Encik Ali, Encik Othman, Encik Abu Bakar.
xxxxxAdapun jika tiada disebut namanya itu bersama-sama, maka hanya apabila orang-orang di bawahnya atau orang-orang gajinya menyebut dia, seperti dikata “Encik berpesan, encik tak ada di rumah; ke mana, encik?"
Penggunaan Huruf

Kita menggunakan huruf besar bagi huruf pertama perkataan encik dalam dua situasi. Yang pertama, apabila perkataan itu berada di awal ayat. Yang kedua, apabila nama orang mengikuti perkataan itu. Hal ini terdapat dalam ayat 1 dan 2. Penulisan perkataan *Encik dalam ayat 3 dan 4 silap. Kita sepatutnya menggunakan huruf kecil pada perkataan itu.

1. Encik mesti hadir dalam acara itu.
2. Kai bertemu dengan Encik Anwar di Riau.
3. Saya yakin *Encik memahami maksud saya.
4. Saya bersedia untuk bersemuka dengan anak *Encik.

Encik untuk Lelaki dan Wanita

Kata “istimewa” dalam petikan di atas bermakna khusus. Jikalau berdasarkan petikan ini sahaja, kita dapat mengatakan Za‘ba mengkhususkan kata ganti encik untuk orang lelaki. Contohnya pun untuk lelaki sahaja, iaitu Encik Ali, Encik Othman, Encik Abu Bakar.

Namun, apabila kita meneliti penerangan beliau tentang penggunaan kata ganti cik, kita perlu mengubah pendirian ini. Menurut Za‘ba, cik ialah ringkasan daripada encikdan memakainya tetaplah hendak bersama nama khas itu sekali, baik dalam tulisan atau cakap mulut, baik pada lelaki atau nama perempuan; seperti Cik Ali, Cik Halimah, maka tiadalah dikata cik sahaja ….” Berdasarkan penjelasan ini, kita boleh menggunakan ungkapan Encik Halimah. Tegasnya, kata ganti nama encik boleh digunakan untuk lelaki dan wanita.

Dalam Ensiklopedia Bahasa Melayu, Profesor Emeritus Dr. Asmah Haji Omar pula menyatakan, cik ialah “bentuk lemah” atau kependekan bagi encik. Pendapat Asmah ini sama dengan pendapat Za‘ba.

Menurut Asmah lagi, sebelum tahun 1960-an encik dan cik boleh digunakan untuk lelaki dan perempuan. Cara menyapa hadirin ialah “encik-encik dan tuan-tuan”, tanpa membezakan lelaki dengan perempuan. Dalam perbualan tidak formal, biasanya digunakan cik untuk merujuk kepada lelaki, misalnya, Cik Ali dan sebagainya. Kata cikgu ialah bukti yang nyata bagi penggunaan kata cik yang neutral dari segi gender.

Ada banyak dialog dalam filem Melayu hitam putih yang menyerlahkan penggunaan kata ganti encik untuk wanita. Antara filem yang memperlihatkan lelaki menggunakan kata ganti nama encik untuk wanita termasuklah terdapat filem “Do Re Me” dan “Masam-masam Manis”. Di bawah ini ialah ayat contoh daripada filem “Do Re Me”.

5. Saya ni datang encik fasal nak minta sewa rumah.
6. Jadi saya fikir beginilah, encik.
7. Jikalau nampaknya keberatan, encik keluarlah.



Di bawah ini pula ialah ayat contoh daripada filem “Masam-masam Manis”. Enam ayat contoh menunjukkan pemandu teksi lelaki menggunakan kata ganti nama encik untuk wanita, iaitu penumpang teksinya. Satu ayat menunjukkan wanita menggunakan kata ganti nama encik sesama sendiri.

8. Encik berdua ini datang dari mana, ha?
9. Saya dengar tadi encik ke sini nak cari kerja.
10. Kerja apa, encik?
11. Kerjanya kurang baik sikitlah, encik.
12. Kerja kurang baik tu, kerja apa encik?
13. Encik Norkiah ini jadi guru.
14. Guru sekolah tu bagus, encik.



Antara filem yang memperlihatkan wanita menggunakan kata ganti encik sesama sendiri pula terdapat dalam filem “Madu Tiga”. Ayat contohnya termasuklah yang di bawah.

15. Sudahlah encik, jangan (ber)gaduh.
16. Encik ni siapa nak masuk campur?
17. Encik berdua nanti dapat malu.
18. Suami encik tambah malu.



Menurut Kamus Bahasa Melayu Nusantara, encik ialah panggilan (sapaan) kepada orang lelaki atau perempuan (bagi sesetengah orang) yang sederhana kedudukannya atau yang tidak dikenali. Berdasarkan takrif ini, nampaknya penggunaan kata ganti nama encik untuk wanita masih boleh digunakan pada masa ini dan pada masa hadapan.

Rumusannya, setelah membaca masukan ini kita mungkin sudah bersedia untuk menyapa rakan wanita dengan kata ganti nama encik seperti Encik Asmah, Encik Faridah dan Encik Marni. Namun, kita masih perlu berfikir dua atau tiga kali kerana hal itu di luar kebiasaan. Lagipun, Kamus Dewan Edisi Keempat masih mengkhususkan penggunaan kata nama encik itu untuk lelaki.

2 ulasan:

Mohd Ariffin - D20102046626 berkata...

Salam Ramadhan buat cikgu sekeluarga.

Di sini saya berikan 2 situasi. Pertama, saya bersetuju jikalau perkataan 'encik' digunakan bagi wanita dan lelaki. Bagi memperkayakan ilmu bahasa diri sendiri memang sesuai. Mungkin ini dapat diperdebatkan dalam kelas kuliah bahasa masing-masing.

Kedua, saya tidak bersetuju dalam konteks pendidikan sekolah. Sebagai guru bahasa malaysia di sekolah, perlua ada ketetapan penjelasan dalam kelas agar murid-murid tidak keliru. Daripada Tahun 1 kita mengajar murid-murid 'encik' hanya untuk lelaki sahaja. Lagipun dalam kementerian pelajaran pun rasanya tidak mengetahui hal ini.

Jadi, dalam soal mendidik murid di sekolah, ketetapan yang harus diambil ialah kita berpandukan KAMUS DEWAN BAHASA.

Terima kasih.

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Salam dan selamat meneruskan puasa.

Terima kasih atas ulasan cikgu. Pandangan cikgu mewakili pandangan umum. Pandangan umum ini juga menjadi pegangan para pendidik pada masa ini. Jikalau panjang umur, hal ini mungkin mendapat perhatian Tatabahasa Dewan Edisi Keempat dan Kamus Dewan Edisi Kelima. Kedua-dua sumber yang dijangka wujud itu mungkin meneruskan pegangan yang sedia ada atau mungkin juga mengubahnya.

Wallahuaklam. Wassalam.