20 November 2009

Beberapa Pandangan tentang Bahasa Kebangsaan

Beberapa hari ini saya menggunakan masa lapang untuk menyemak tajuk makalah dalam majalah Pelita Bahasa terbitan tahun 2007. Saya sempat membaca beberapa makalah. Antaranya termasuklah makalah “Taraf Bahasa Melayu dalam Perlembagaan” tulisan Tuan Mohd Pauzi Mahmad yang tersiar dalam majalah itu, keluaran Ogos. Ada dua isi makalah itu yang wajar saya kongsikan bersama-sama dengan para pembaca.

Perkara yang pertama berkaitan dengan tarikh pengistiharan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Menurut Tuan Mohd Pauzi, Majlis Undangan Persekutuan Tanah Melayu mengisytiharkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan pada bulan Mac tahun 1954. Hal ini bermakna, pengisytiharan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan berlaku lebih tiga tahun sebelum tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Perkara kedua berkaitan dengan Perkara 152 (1) dalam Perlembagaan Persekutuan. Menurut Tuan Mohd Pauzi, kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk dalam perkara sensitif dan tidak boleh dipersoalkan.

Beliau menulis, “Sesiapa yang mempersoalkan kandungan perkara itu boleh dituduh melakukan kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948, sebagaimana yang dipinda oleh Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970 atau melakukan kesalahan di bawah mana-mana undang-undang yang dibuat oleh Parlimen yang melarang persoalan seperti itu. Malah, ahli badan perundang-undangan yang menyoal kandungan perkara itu di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri tidak akan dilindungi keistimewaannya dan mereka boleh didakwa.”

Kedua-dua isi makalah itu ada kaitan dengan tulisan Profesor Dr. Haji Awang Sariyan dalam majalah Dewan Bahasa keluaran Oktober 2009. Dalam tulisannya yang berjudul “Bahasa Melayu Asas Kontrak Sosial”, beliau menjelaskan, pada waktu kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, orang Cina dan India menikmati pemberian taraf kerakyatan secara automatik. Sebagai imbangan terhadap nikmat itu, wujud empat perkara pokok sebagai kontrak sosial antara warganegara baharu dengan penduduk asal. Empat perkara pokok itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu

1. Kedudukan Raja-raja Melayu – Perkara 32 (1)
2. Agama Islam sebagai agama Persekutuan – Perkara 3 (10)
3. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi – Perkara 152 (1)
4. Hak istimewa orang Melayu – Perkara 153

Dalam satu artikelnya, Profesor Abdul Aziz Bari pula pernah menyatakan bahawa peruntukan di bawah Perkara 152 (1) itu tidak boleh dipinda oleh Parlimen kerana kata putus terletak di tangan Majlis Raja-Raja. Hal ini termaktub dalam Perkara 159 (5) Perlembagaan Persekutuan. Oleh hal yang demikian, kita yakin tiada sesiapa berani mempersoalkan Perkara 152 (1).

Ada wajarnya kita merenung kembali dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). PPSMI bertentangan dengan semangat Perkara 152 (1) itu. Tidak hairanlah apabila dikatakan bahawa PPSMI memperkosa Perlembagaan Persekutuan.

Oleh sebab itu, pada 21 Julai 2006, empat orang pelajar menyaman Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) kerana melaksanakan PPSMI. Pada 15 Februari 2009 pula, Gapena memfailkan laporan polis atas isu yang sama. Perkara ini menjadi dingin apabila pihak kerajaan mengumumkan bahawa PPSMI akan dimansuhkan mulai tahun 2012 dan kemudiannya diawalkan, iaitu mulai tahun 2011.

Selain PPSMI, penggunaan istilah “bahasa Malaysia” jelas berbeza daripada istilah yang tersurat dalam Perkara 152 (1) itu. Tentang hal ini, pihak Khidmat Nasihat Bahasa (KNB) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menegaskan,

“Selagi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu tidak berubah, maka nama rasmi bahasa kebangsaan negara Malaysia ialah bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, dalam konteks komunikasi sosial yang tidak rasmi, apabila merujuk kepada bahasa yang menjadi sistem komunikasi bersama rakyat Malaysia, istilah bahasa Malaysia boleh digunakan di samping istilah bahasa Melayu.”
Namun demikian, dalam Facebook (FB) ada satu catatan oleh pihak Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) menggunakan istilah “bahasa Malaysia”. FB BBK menyatakan bahawa “penggunaan istilah bahasa Malaysia dalam urusan rasmi kerajaan (ataupun gerakan BBK/DBP) adalah dibenarkan.”

Yang terkini, DBP menggunakan istilah “bahasa Malaysia” bagi Program Penerbitan Pakej Buku Teks Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Tahun 1 Mulai Tahun 2011. Kita yakin, istilah ini bersumber daripada Bahagian Buku Teks (BBT) KPM. Nampaknya, pada tahun 2011, lebih setengah juta murid tahun satu akan menggunakan buku teks yang memaparkan istilah “bahasa Malaysia”.

Kita berpendapat, pihak KPM dan DBP perlu merenungi perkara ini. Antaranya, perlu ada huraian tentang “urusan rasmi” dan “tidak rasmi”. Apabila ada huraian tentang perkara ini, maka dapatlah kita menggunakan istilah “bahasa Melayu” atau “bahasa Malaysia” yang kena pada tempatnya dan selari dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pencinta bahasa Melayu yang arif dalam bidang perundang-undangan wajar mengambil berat perkara ini. Pandangan bernas atau memorandum daripada mereka dijangka lebih meyakinkan masyarakat dan organisasi seperti KPM dan DBP berbanding dengan pandangan orang biasa dan melalui blog pula.

2 ulasan:

HBM Consultant berkata...

Salam, tuan.

Inilah jadinya apabila minda 'orang atas' sudah bercelaru memikirkan bahasa sendiri akibat sekian lama terlalu mementingkan bahasa asing.

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Salam kembali, puan. Mereka menganggap hal ini perkara kecil. Marilah kita bersama-sama terus meningkatkan martabat bahasa Melayu sesuai dengan kemampuan kita. Wassalam.