22 Mac 2011

Wajarkah Huruf ĕ Dikembalikan kepada Ejaan Rumi?


Pelita Bahasa Melayu Penggal I, 1965, halaman 49
Dahulu kita ada huruf e bertanda, iaitu ĕ. Apabila Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Melayu diperkenalkan pada akhir tahun 1972, kita dapati huruf itu sudah tidak ada lagi.

Saya berpendapat, ejaan Rumi kita masih memerlukan huruf ĕ. Saya berkata demikian kerana penggunaan huruf ĕ untuk bunyi pepet dapat membantu kita untuk menyebut perkataan tertentu dengan tepat.

Hujah yang dibentangkan oleh Tuan Suhaimi Mohd Salleh dalam makalahnya “e Taling dan e Pepet” dapat membantu kita memikirkan perkara ini. Saya sudah menyediakan sari makalah itu. Pautannya di sini. Saya menjangka tuan/puan akan berasa lebih mudah untuk menentukan pendirian sesudah membaca sari makalah itu, apalagi makalah asalnya yang tersiar dalam majalah Dewan Bahasa keluaran Mac ini.

Apa-apa pun, tuan/puan bebas melakukan pilihan sendiri. Jadi, nyatakanlah pendirian tuan/puan dengan mengklik pilihan tertentu di kiri blog ini. Respons tuan/puan, sama adalah pilihan itu “wajar” atau “tidak wajar”, tetap ada nilainya. Jikalau tuan/pun berasa perlu untuk menghuraikan pandangan tuan/puan, catatkanlah pandangan tuan/puan itu dalam ruangan ulasan.

Pilihan yang disediakan terhad. Jikalau tuan/puan tidak termasuk dalam mana-mana golongan itu, pilihlah “saya sebagai pengguna biasa BM”. Pesara/mantan pula boleh menggunakan pilihan jawatan yang pernah disandang.

Saya mengucapkan terima kasih yang setinggi-tinggi kepada tuan/puan yang sudi menyertai undian ini.

Dikemas kini pada 24 Mac 2011.

13 ulasan:

Ampuan Awang berkata...

Salam,

maaf Pak, saya masih lagi belum mampu memberikan apa2 cadangan berkenaan dengan hal ini...

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam.

Tidak mengapa, tuan. Terima kasih juga kerana sudi memberikan perhatian.

aranam berkata...

Salam, Cikgu.

Saya menanda ... pengguna biasa BM, wajar. Pengguna (termasuk saya) ada masanya masih keliru dengan penggunaan e taling dan e pepet.

Maaf atas keterlewatan memberi respons.

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam.

Terima kasih, puan. Masanya masih panjng.

Saya juga masih perlu melakukan pembetulan. Rupa-rupanya saya silap menyebut perkataan "generasi" dan beberapa perkataan yang lain.

Wassalam

Unknown berkata...

sepanjang saya mengajar Pemulihan BM,banyak terdapat kes di mana murid2 yang agak lambat ini
keliru membunyikan kedua2 huruf 'e'ini dalam membunyikan bacaan mereka.Agaknya jika dibezakan e taling dgn e pepet dlm. bentuk tanda,mungkin jadi lebih mudah?Boleh dicuba.

AMMARYAM berkata...

Assalamualaikum.

Saya hanyalah seorang pengguna biasa BM. Pada pendapat saya sangat perlu dikembalikan tanda tersebut. Kekeliruan sering berlaku terutama kanak-kanak sekolah rendah. Seandainya huruf ini dikembalikan, saya kira secara tidak langsung proses pembelajaran menjadi lebih seronok.

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Puan Khairiah, ulasan guru pemulihan memang saya tunggu-tunggu. Terima kasih saya ucapkan atas kesudian puan menyatakan pendirian.

Antara perkara yang mendorong saya mengetengahkan perkara ini termasuklah keinginan untuk melihat usaha mencelikhurufkan murid bertambah lancar. Beberapa orang GPK/LINUS sudah menyatakan pendapat yang sama dengan pendapat puan melalui e-mel. Ulasan puan ini memperteguh pandangan yang sedia ada dan pandangan itu adalah sebahagian hipotesis saya. Namun, pada masa ini baru enam orang GPK/LINUS memberikan undian. Seorang memilih “tidak wajar”.

Saya berharap lebih ramai GPK/LINUS dan sesiapa sahaja yang melaksanakan program celik huruf seperti guru prasekolah ikut memberikan undian. Saya berharap puan menggalakkan mereka untuk mengundi.

Terima kasih sekali lagi. Wassalam.

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh, Puan Khairunnisa' Kamaruddzaman.

Setakat ini, pilihan “wajar” jauh mengatasi pilihan “tidak wajar”. Insya-Allah, pandangan puan ini akan diambil kira dalam analisis undian itu nanti. Saya akan cuba menyampaikan analisis/komentar itu kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka.

Terima kasih.

Salina berkata...

Assalamualaikum.
Saya menanda sebagai pendidik.
Saya adalah guru pendidikan khas.
Amat wajar penggunaan huruf ĕ dikembalikan.
Mudahan-mudahan anak-anak istimewa turut mendapat manfaatnya.

Salina Buang
PPKI SKSU

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh, Cikgu Salina.

Terima kasih, cikgu. Pandangan cikgu mendapat perhatian saya dan akan diambil kira apabila undian ini dianalisis.

Wassalam.

Ainnul berkata...

Salam,
Saya sangat bersetuju dengan usul ini.Ia memudahkan kanak-kanak mengenal huruf e pepet dan e taling dan penggunaan huruf tersebut dan bunyi kedua-duanya.Ini juga memudahkan guru memperkenalkan huruf manakah yang sesuai bagi membunyikan kata contohnya perkataan perang dan perang.

Mohd Ariffin - D20102046626 berkata...

As Salam.

Hari dapat juga saya menjengah blog ini. Terlalu lama tidak singgah bertanyakan khabar.
Selepas anak ke-2 saya bersekolah tadika dan boleh membaca, masalah penggunaan e (maaf tidak dapat menaip secara betul) menjadi tugasan tambahan untuk saya perbetulkan. Melihat masalah ini ke atas anak saya, saya merasakan i patut dikembalikan kepada ejaan rumi. Saya di sini cuba menekan penulisan buku-buku cerita yang ditulis berwarna mengikut sebutan suku kata yang banyak dipasaran sekarang ini. Perkataan yang menggunakan huruf e harusnya ditulis megikut e bertanda. Dan tugas guru hanya perlu mengingatkan sebutannya yang sebenar. Contoh yang paling mudah, kereta. Huruf e pertama ditanda dan dijelaskan kepada murid bunyinya. Huruf e kedua bunyinya huruf a.

Sedikit pandangan.

Sahirursah YY berkata...

Assalamualaikum cikgu,

Maaf cikgu, hari tu dah tulis ulasan tapi tidak berjaya 'sent'.

Saya menanda 'wajar' bagi menunjukkan persetujuan saya jika kita menggunakan e tanda dalam pengajaran bagi murid pemulihan (Tahun 1 hingga 6). Ini sudah tentulah bagi memudahkan murid memahami.

Setelah murid memahami barulah, murid dijelaskan bahawa e sebenarnya memiliki dua bunyi iaitu: e tanda sedemikian bunyinya dan e tidak bertanda itu begini bunyinya.

Bagi saya, pengekalan huruf e tanpa tanda tetapi dengan dua bunyi sangat wajar dalam tulisan (ejaan) standard. Ini kerana, ia dapat menunjukkan keistimewaan atau standard BM itu sendiri. Bagi pembaca yang lancar, kebolehan membaca perkataan dengan betul bagi perkataan memiliki huruf e menunjukkan signifikan standardisasi BM di peringkat tinggi.

Ringkasnya, e tanda wajar dikembalikan pada peringkat pembelajaran asas.

Demikian adanya.