11 November 2012

Bertugas di Luar

Sabah Tempat Bermain
Bertugas di luar bermaksud bertugas di luar ibu pejabat. Menurut Perintah Am Bab B yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 1974, ibu pejabat ialah satu lingkungan kawasan yang dikira dari pejabat atau tempat seseorang itu biasa melaporkan diri untuk bertugas. Yang dimaksudkan lingkungan kawasan pula ialah kawasan sejauh 15 batu apabila menggunakan jalan raya, atau 10 batu apabila melalui jalan tanah yang boleh dilalui oleh kenderaan bermotor, atau lima batu apabila melalui jalan basikal atau sungai. Takrif ini mungkin berubah dari semasa ke semasa.

Perintah Am itu juga menyatakan bahawa penjawat awam yang bertugas di luar ibu pejabat layak menerima elaun tertentu seperti elaun makan, elaun lojing dan elaun hitungan batu. Syarat, kadar dan banyak perkara lagi dibutirkan dalam perintah itu. Perintah itu perlu dibaca bersama-sama Pekeliling Perbendaharaan siri tertentu.

Di maktab, ungkapan tuntutan perjalanan digunakan bagi maksud pelaksanaan perintah itu. Tuntutan perjalanan dilakukan setiap bulan dan pada bulan berikutnya setelah sesuatu tugas rasmi di luar dilaksanakan. Tuntutan elaun hitungan batu yang diringkaskan sebagai perbatuan tetap dibenarkan walaupun tugas rasmi dilaksanakan di satu tempat yang jaraknya setengah batu asalkan jumlah keseluruhan perjalanan itu genap sekurang-kuangnya satu batu. Beberapa tahun kemudian, ukuran batu itu ditukar menjadi kilometer.

Sebagai guru sandaran tidak terlatih selama setahun pada tahun 1972, ada dua kali saya dikehendaki melaksanakan tugas rasmi di luar, sekali untuk menghadiri pameran dan sekali sebagai pengawas peperiksaan. Tiada sesiapa memberitahu saya akan adanya tuntutan perjalanan. Hal itu mungkin disebabkan perintah itu belum ada atau peraturan lain yang ada tidak dikuatkuasakan atas apa-apa sebab seperti ketiadaan peruntukan. Namun, sebagai pengawas peperiksaan, ada elaun sebanyak tujuh ringgit lima puluh sen.

Semasa menjadi guru lepasan maktab dan kemudiannya sebagai guru siswazah di SMK Majakir, tidak pernah saya diarahkan secara rasmi untuk bertugas di luar. Jadi ketika bergelar guru, saya belum mengenali tuntutan perjalanan.

Kali pertama saya mengenali borang tuntutan perjalanan dan mengisi borang itu adalah pada bulan Januari 1980. Kakitangan pejabat am maktab meminta saya mengemukakan tuntutan perjalanan kerana diarahkan berpindah dari SMK Majakir ke Maktab Perguruan Sandakan. Saya berkelayakan untuk menuntut bayaran tambang-menambang, bayaran sewa hotel, elaun makan dan pemberian pindahan. Kos pengangkutan barang dibayar oleh pihak maktab kepada syarikat pengangkutan sesudah saya menandatangani dokumen penerimaan.

Pensyarah maktab kerap melaksanakan tugas di luar. Tugas luar yang pasti dan berulang ialah penyeliaan latihan mengajar atau praktikum di sekolah. Pada musim praktikum, hampir setiap hari pensyarah pergi ke sekolah yang ditetapkan untuk membimbing guru pelatih, memerhati sesi pengajaran dan melakukan penilaian. Selain penyeliaan praktikum untuk guru pelatih sepenuh masa, pensyarah juga dikehendaki menyelia guru KDC yang secara umumnya bertugas jauh di pedalaman.

Tugas luar yang lain ialah menghadiri mesyuarat, kursus, seminar dan yang seumpamanya. Di maktab, selain makna biasa, mesyuarat juga bermaksud bekerja secara berpasangan atau berkumpulan. Sebagai contoh, panel dua hingga lima orang yang menggubal butiran ujian dikatakan bermesyuarat. Panel penggubal butiran ujian itu lazimnya bekerja antara tiga hingga lima hari. Seorang anggota bertindak sebagai pengerusi. Seorang atau beberapa orang pegawai dari Unit Pengujian dan Penilaian di Bahagian Latihan Guru, Kuala Lumpur menjadi penyelaras atau pendamping.

Pertemuan wakil-wakil maktab untuk mendengar taklimat atau untuk menyelaraskan sesuatu perkara seperti penyelarasan pemeriksaan kertas peperiksaan juga dinamakan mesyuarat. Pertemuan itu lazimnya memakan masa sehari atau dua hari. Adakalanya bengkel atau kursus seminggu atau lebih dinamakan mesyuarat juga. Penggunaan nama itu dan beberapa aspek lain menjadi strategi pengurusan untuk mengatasi kekangan Perintah Am, khususnya Perintah Am Bab B.

Mesyuarat atau kursus yang saya hadiri pada tahun 1980 hanya diadakan di maktab-maktab. Seminar yang saya hadiri pula diadakan di Universiti Malaya. Mulai tahun 1981, selain maktab, mesyuarat, seminar dan sebagainya kerap diadakan di Bahagian Latihan Guru, Kuala Lumpur dan di hotel di bandar-bandar besar. Kekerapan saya menghadiri kegiatan itu pun meningkat.

Dari 2 hingga 7 Jun 1980, saya menghadiri Kursus Pengujian dan Penilaian anjuran Bahagian Latihan Guru dan Malaysian Education Staff Training Institute (MESTI) di Maktab Perguruan Lembah Pantai. MESTI kemudiannya dikenali sebagai Institut Aminudin Baki (IAB). Turut terpilih untuk mengikuti kursus itu ialah Ku Bahaudin bin Ku Hashim. Dia ialah rakan sebilik saya pada tahun pertama kami berlatih di Maktab Perguruan Gaya. Dia menjadi pensyarah lebih awal daripada saya.

Beberapa minggu selepas kursus itu, saya diarahkan untuk mendraf butiran ujian mata pelajaran tertentu. Pengetahuan yang saya peroleh semasa kursus itu memudahkan saya melaksanakan tugas pendrafan. Kemudian saya diarahkan untuk menghadiri mesyuarat penggubalan item ujian bagi zon Sabah di Kota Kinabalu. Draf itu dibawa bersama-sama. Oleh sebab wakil maktab lain bukan siswazah, penyelaras mesyuarat melantik saya sebagai pengerusi.

Pengalaman itu berulang dan berkembang selama lima tahun saya bertugas di Maktab Perguruan Sandakan. Kemudiannya saya terpilih untuk menghadiri kursus pengukuhan di IAB di Sri Layang, Genting Highland. Selepas kursus itu saya diamanahkan untuk melaksanakan tugas yang lebih banyak dan berat di peringkat zon dan kebangsaan, selain menjadi pengendali bengkel di peringkat maktab. Natijah kursus dan pengalaman itu, saya menjadi salah seorang penggiat utama bidang pengujian dan penilaian bagi latihan guru di peringkat kebangsaan.

Selain kesan baik, kursus itu juga meninggalkan kesan lain pada diri saya. Kesan itu pernah saya nukilkan dalam satu catatan. Sedutan catatan itu yang sudah diubah suai adalah seperti yang di bawah:

Dia mengenali rokok ketika berada dalam darjah lima pada tahun 1963. Dia memperoleh rokok itu daripada rakan sekelasnya. Sebaik-baik rokok itu dihisapnya, dia tersedak. Dia terbatuk-batuk. Tekaknya panas. Lidahnya pahit. Pandangannya berpinar-pinar. Dicampakkannya rokok itu ke dalam sungai. Rakannya mentertawakannya.

Dia enggan menjadi perokok muda. Dia menjauhkan diri daripada rakannya itu. Sepanjang berada dalam darjah enam, hanya dua tiga kali rakannya itu berjaya mempengaruhinya.

Apabila tamat darjah enam, dia bersekolah menengah di rancangan Felda. Oleh sebab sekolah itu baru dibuka dan menumpang sekolah rendah, rakannya bersekolah di bandar. Jadi, ketika berada di tingkatan satu hingga tingkatan tiga, dia tidak menyentuh rokok. Keadaan itu berubah apabila dia memasuki tingkatan empat di Seremban.

Jarak sekolah itu dari kampungnya lebih kurang dua puluh lima kilometer. Dia menaiki bas MARA berwarna merah dengan menggunakan pas bulanan. Dia meninggalkan rumah pukul enam pagi dan tiba di rumah antara pukul dua hingga tiga petang. Mula-mula dia menepati masa pulang. Kemudian, setelah dia berkawan dengan J dan B, dia mula pulang lewat. Ada beberapa kali, dia tiba di rumah sesudah hampir tengah malam.

J rakan sekolahnya. B tidak bersekolah. Bersama-sama J dan B, dia mendampingi rokok. Dia cepat sedar bahawa B mahu memerangkap dirinya untuk menjadi Mat Gian. Dia menjauhkan diri daripada B. Dia dan J hanya merokok.

Dia faham bahawa dirinya pelajar. Dia tidak boleh merokok di tempat terbuka. Pada masa itu belum ada larangan merokok dalam panggung wayang. Sambil menonton wayang seperti “A Go Go 1967”, “The Good, The Bad and The Ugly” dan “Sanggam” dia menikmati rokok.

Semasa menunggu keputusan SPM, dia membanting tulang di kilang dan kemudiannya di estet. Dia mula merokok secara terbuka dan tetap.

Keputusan SPM-nya sederhana. Berbekalkan SPM yang sederhana itu, dia diterima untuk mengikuti kursus di sebuah institut kemahiran. Di situ dia terus merokok. Pelajar institut sudah dewasa. Mereka merokok di warung yang terletak di luar pagar institut. Mereka bebas merokok di rumah sewa. Mereka tidak boleh merokok dalam kawasan pagar institut sahaja.

Dia tidak menamatkan latihan di institut itu kerana dia mendapat tawaran untuk berkhidmat di Sabah. Mula-mula dia bertugas sebagai pekerja berkemahiran. Kemudian dia berjaya menjadi guru sandaran tidak terlatih. Sebagai pekerja bergaji tetap, dia mampu membeli rokok berjenama.

Setahun kemudian, dia menjadi guru pelatih. Pada masa itu maktab mengamalkan dasar terbuka. Guru pelatih boleh bergaul bebas. Banyak aktiviti pesta. Ada aktiviti memilih ratu dan badang. Dalam pesta, guru pelatih boleh berdansa. Pensyarah lelaki boleh memeluk guru pelatih wanita. Guru pelatih lelaki boleh memeluk pensyarah wanita keturunan Tionghua atau Dusun yang masih muda. Khabarnya, setahun dua sebelum dia berada di situ, montoku pun pernah dibawa masuk ke dalam dewan ketika sambutan pesta menuai. Jadi merokok perkara biasa.

Apabila dia menjadi guru terlatih, dia merokok 20 batang sehari. Jumlah itu berkurangan apabila dia menjadi mahasiswa. Wang dermasiswa hanya cukup untuk yuran, bayaran desa siswa dan makan minum. Hasil tulisannya perlu digunakan untuk membeli bahan bacaan. Di universiti itu dia berusaha untuk meninggalkan tabiat merokok. Usahanya berjaya setakat seminggu dua.

Pada bulan Disember tahun 1978 ada program Bulan Dakwah Se-Malaysia. Dia adalah antara penggerak program itu. Pada masa itulah dia mula berhenti merokok. Dia berjaya mencipta rekod tidak merokok sepanjang tahun 1979 hingga awal Jun 1980.

Dari 2 hingga 7 Jun 1980, dia mengikuti kursus seminggu di Kuala Lumpur. Pada suatu petang, hujan renyai-renyai. Dia dan seorang rakan berteduh di perhentian bas. Rakannya menunggu teksi untuk ke hotel. Dia menunggu kedatangan Hanafi, iaitu suami sepupunya. Dia menginap di rumah Hanafi di Kajang.

Dia dan rakannya kesejukan. Rakannya merokok. Dia hanya memerhati perlakuan rakannya. Tiba-tiba, rakannya menghulurkan sebatang rokok kepadanya. Dia menolak. Rakannya bersungguh-sungguh mempelawanya. Dia berkata dalam hati, tidak apalah. Aku main-main sahaja. Akhirnya dia menyedut asap rokok itu.

Hanafi tiba dan ternampak dia merokok. Dia mencampakkan puntung rokok dan masuk ke dalam kereta Hanafi. Mungkin disebabkan Hanafi melihat dia merokok pada petang itu, pada sebelah malamnya Hanafi menghulurkan sebatang rokok kepadanya. Dia mengambil rokok itu. Mulai saat itu dia menjadi perokok semula.

Saya sedar bahawa dia dalam kisah itu melakukan kesilapan besar. Dia mencarik sahsiahnya. Sampai hatinya menghadiahi asap beracun yang tidak dapat dibungkus kepada tunangnya, gadis Dusun serba asli di lembah Ranau yang dingin dan berudara segar. Dia agen pencemaran!

Saya memahami hakikat itu. Alhamdulillah, dengan izin-Nya jua, carikan itu berjaya saya tautkan pada malam 3 Ogos 1992. Namun saya tetap khuatir titik-titik hitam masih melekat dalam sanubari saya. Allahumma innaka ‘afuwun Karim, tuhibbu ‘afwa fa‘fuanna! (Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan Pemurah, suka memaafkan, maka maafkanlah kesalahan kami.) Amin, ya Rabb!

Bersambung: (31) Ayam Putih, Terbanglah!

2 ulasan:

Outbound malang berkata...

salam super sahabat,
tetap semangat dan sukses selalu ya
ditunggu kunjungan baliknya :)

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Salam kembali, saudara. Insya-Allah, kita teruskan usaha untuk mencapai reda-Nya. Terima kasih.