Sari Rencana
Muhammed Salehudin Aman, “Awalan Memper-”, Dewan Siswa, Ogos, halaman 20 – 21.
Siri: (1) Frasa “Oleh Sebab” Baku (2) Penanda Jamak (3) Bentuk Klitik (4) “Terbesar Sekali" Lewah (5) Daku dan Dikau (6) Sekalian, Sekali-kali dan Sekali-sekali (7) Bagi dan Untuk … Masukan yang berkaitan: (1) Apitan Memper-…-i untuk Lima Kata Dasar (2) 29 Patah Perkataan Berapitan Memper-…-i
Awalan rangkap memper- menerbitkan kata kerja. Contohnya, kata memperalat ialah terbitan memper- dengan kata nama alat, memperbesar ialah terbitan memper- dengan kata adjektif besar dan memperoleh ialah terbitan memper- dengan kata sendi nama oleh. Tegasnya, awalan rangkap memper- menerbitkan kata kerja apabila bergabung dengan kata dasar dalam golongan kata nama, kata adjektif dan kata sendi nama.
Kata terbitan berawalan rangkap yang berasal daripada kata nama secara dasarnya membawa maksud “menggunakan sebagai”, “menganggap sebagai” atau “menjadikan sebagai”. Misalnya, kata memperalat, memperbudak dan memperisteri dapat membawa mana-mana maksud ini. Oleh sebab maksud “menjadikan” sudah terangkum dalam ketiga-tiga kata contoh ini, maka kata ini tidak memerlukan akhiran -kan.
Namun demikian, kata memperhambakan dan memperisterikan boleh wujud. Kata memperhamba bermaksud menjadikan seseorang (orang lain) sebagai hamba. Kata memperhambakan pula bermaksud menjadikan diri sendiri sebagai hamba. Ayat contohnya, Dia memperhambakan diri kepada Tuhan.
Kata memperisteri menjadikan seseorang sebagai isteri. Ayat contohnya, Nordin memperisteri Alawiah. Maknanya, kini Alawiah menjadi isteri Nordin.
Kata memperisterikan pula bermaksud mengahwinkan seseorang dengan pasangannya. Ayat contohnya, Subari memperisterikan Warso. Silap besar jikalau kita mengatakan Subari menjadikan Warso sebagai isterinya. Sebenarnya, Subari mengahwinkan Warso dengan seseorang wanita. Yang berkahwin ialah Warso. Subari pula melakukan apa-apa yang menyebabkan Warso boleh berkahwin dengan wanita itu. Contohnya, Subari mengadakan majlis perkahwinan.
Kata terbitan berawalan rangkap yang berasal daripada kata adjektif pula membawa maksud “menjadikan lebih atau bertambah”. Misalnya, memperbesar maksudnya menjadikan lebih besar. Perkataan lain yang semaksud dengannya ialah membesarkan. Jadi, kata terbitan daripada kata adjektif seperti memperbesar tidak perlu menerima akhiran -kan. Contohnya adalah seperti yang di bawah.
*memperbesarkan → memperbesar atau membesarkan
*memperbodohkan → memperbodoh atau membodohkan
*mempercepatkan → mempercepat atau mencepatkan
*memperindahkan → memperindah atau mengindahkan
*memperkemaskan → memperkemas atau mengemaskan
*memperluaskan → memperluas atau meluaskan
Pedoman Bahasa: | Semua | MIAR | DBP | DB | PB | DS | KNB | JPEG || Kesantunan | Salam || Jawi || Pautan: | Scribd | Cikgu | Jawi | IPGMKgu | KBBI | Munsyi || Profil Penulis | Hak Cipta || Puisi: Sambung-menyambung | Hanya Sulap | Kebun Kecil Bahasa || Kembali ke Laman Terkini || Pautan Istimewa: | Soal Jawab Bahasa | Pendidik | Persatuan Pendidik BM |
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan