06 September 2009

Sari Rencana: Bagai, Berbagai dan Berbagai-bagai

Siri: (1) Oleh Sebab Baku (2) Penanda Jamak (3) Bentuk Klitik (4) Terbesar Sekali Lewah (5) Daku dan Dikau (6) Sekalian, Sekali-kali dan Sekali-sekali (7) Bagi dan Untuk (8) Diri Sendiri Hamba … Masukan yang berkaitan: (1) Apitan Memper-…-i untuk Lima Kata Dasar (2) 29 Patah Perkataan Berapitan Memper-…-i

Bentuk bagai mempunyai tiga makna. Pertama, bagai bermaksud perbandingan, itu semaksud dengan seperti, umpama dan laksana seperti dalam ungkapan keras bagai batu. Kedua, bagai bermakna jenis atau macam seperti dalam ungkapan beberapa bagai ukiran. Ketiga, bagai bererti banding, sama atau persamaan seperti dalam ungkapan tidak ada bagainya (bandingannya, persamaannya).

Kata bagai dapat menerbitkan kata bagaikan (serupa apabila dibandingkan dengan sesuatu) seperti dalam ungkapan bagaikan bulan dipagar bintang. Kata bagai juga dapat menerbitkan kata sebagai seperti dalam ungkapan fatwa ini sebagai menjawab pertanyaan (untuk, bagi), mengangkatnya sebagai ketua (menjadi, selaku), dan sebagai negara sahabat, kita mengharapkan (bertindak seperti/selaku).

Bentuk berbagai bermaksud berbanding atau bersamaan. Ayat contoh: Baginda mempunyai seorang puteri yang amat cantik parasnya, tiada berbagai pada masa itu. Bentuk berbagai-bagai pula bererti bermacam-macam dan seerti dengan pelbagai. Ayat contoh: Ia berbuat berbagai-bagai ikhtiar supaya terpelihara daripada musuhnya.

Muhammed Salehudin Aman, “Berbagai atau Berbagai-bagai”, Dewan Siswa, September, halaman 20 – 21.

Tambahan
Contoh salah → betul
1. Bunga rampai ialah campuran *berbagai (→ berbagai-bagai, pelbagai) bunga yang harum.
2. Rumputan ialah *berbagai (→ berbagai-bagai, pelbagai) jenis rumput.
3. Kita harus bersedia berhadapan dengan *berbagai (→ berbagai-bagai, pelbagai) masalah.
4. *Berbagai (→ berbagai-bagai, pelbagai) fikiran datang merasuk hatinya.
5. Dia membeli periuk yang *berbagai (→ berbagai-bagai, pelbagai) kegunaannya.

Tiada ulasan: