06 Julai 2012

Tuntunan Bahasa 8: Pendalaman dan Pedalaman

Tuntunan Bahasa: (1) Pendingin Hawa (2) Kata Alu-aluan (3) Berbahaya (4) Hal-hal Lain, Program Tentatif dan Lain-lain (5) Setengah-setengah, Sesetengah (6) Para dan Para-para (7)  Kejar-mengejar
video
Wacana yang di bawah ini ialah transkripsi suara Dr. Haji Awang Sariyan dalam klip video Tuntunan Bahasa Siri 8 yang disiarkan di Facebook Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa pada 29 Jun 2012.

Assalamualaikum warahmatullah. Salam sejahtera.

Dua patah kata, yang berpasangan, yang sering disalahgunakan oleh sebilangan pengguna bahasa ialah pendalaman dan pedalaman. Sering kali kita mendengar atau membaca ayat seperti “Kawasan itu terletak di kawasan pendalaman” ataupun ayat seperti “Projek pembangunan telah banyak dijalankan di *kawasan pendalaman”. Ayat itu sebenarnya salah kerana pendalaman tidak menunjukkan kawasan yang terpencil atau kawasan yang terletak jauh dari perhubungan. Makna pedalaman bererti kawasan yang terpencil atau kawasan yang terletak jauh dari perhubungan awam.

Pendalaman pula bererti usaha mendalami atau mendalamkan sesuatu, iaitu yang timbul daripada kata kerja mendalami atau mendalamkan. Apabila ada usaha mendalamkan sesuatu seperti sungai, maka kata kerja terbitan ialah pendalaman. Ayatnya dapat kita perhatikan seperti “Kerja pendalaman sungai itu telah berlangsung selama satu minggu”. Ertinya usaha-usaha mendalamkan sungai itu atau menjadikan sungai itu bertambah dalam berlaku selama satu minggu. … yang lain ialah penggunaan pendalaman dengan pengertian proses mendalami sesuatu seperti mendalami ilmu. Apabila kita katakan pendalaman ilmu bererti proses mendalami ilmu, proses menghayati, mempelajari sesuatu ilmu dengan lebih mendalam. Pendalaman dalam konteks ini tentulah tidak sama dengan pedalaman yang merujuk kepada kawasan yang terpencil atau kawasan di luar bandar atau kawasan yang jauh dari perhubungan.

Maka itu dalam penggunaan bahasa sehari-hari baik dalam tulisan mahupun lisan pastikanlah saudara dan saudari menggunakan kata yang tepat, iaitu pedalaman untuk menunjukkan kawasan yang terpencil atau jauh dari kawasan perhubungan awam dan satu lagi ialah pendalaman yang bererti mendalami atau mendalamkan sesuatu.

Tiada ulasan: