09 Mei 2009

Item Objektif Aneka Pilihan (3)

Jenis Item Objektif Aneka Pilihan 2: Soalan Langsung
Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

Masukan terdahulu
(1) Mukadimah dan Istilah Penting
(2) Jenis Item 1: Pernyataan Tidak Lengkap

Tugasan boleh berupa ayat tanya atau ayat perintah. Pilihan dimulakan dengan huruf besar. Pilihan yang berupa kata, frasa, angka atau senarai tidak diakhiri dengan noktah. Pilihan berupa ayat lengkap diakhiri dengan noktah. Bagaimanapun, item yang berupa ayat lengkap dalam sesuatu ujian perlu dihadkan agar masa calon tidak terbuang untuk meneliti pilihan yang berkenaan kecuali maksud soalan memang memerlukannya. Item ini juga boleh digunakan bersama-sama item yang lain seperti item negatif, cantuman dan jawapan terbaik.

5. Apakah makanan kegemaran itik?

(A) Cacing dan ikan
(B) Bijirin dan rumput
(C) Serangga dan siput
(D) Ketam dan kerang-kerangan

Tugasan ialah ayat tanya. Pilihan dimulakan dengan huruf besar dan tidak diakhiri dengan noktah. Pilihan homogen dari segi struktur ungkapan.

5A. Cikgu Asri bercadang menggunakan penyoalan aras tinggi semasa melaksanakan pengajaran mikro.

Kombinasi mana yang sesuai digunakan oleh Cikgu Asri?

(A) Mencungkil pengetahuan, penjelasan pelajar, persetujuan guru
(B) Pendedahan rangsangan, penjelasan pelajar, persetujuan guru
(C) Penjelasan pelajar, pendedahan rangsangan, persetujuan guru
(D) Mencungkil pengetahuan, penjelasan pelajar, pendedahan rangsangan

Item ini ada rangsangan. Tugasannya ialah ayat tanya. Pilihan dimulakan dengan huruf besar dan tidak diakhiri dengan noktah. Item ini homogen dari segi jumlah unsur, iaitu setiap pilihan mempunyai tiga unsur.


6. Pilih ayat yang menggunakan tanda baca yang betul.

(A) “Bapa saya, mempunyai dusun yang luas” kata Hayati.
(B) “Bapa saya mempunyai dusun yang luas, kata Hayati.”
(C) “Bapa saya mempunyai dusun yang luas”, kata Hayati.
(D) “Bapa saya mempunyai dusun yang luas,” kata Hayati.

Tugasan ialah ayat perintah jenis suruhan. Calon dikehendaki (disuruh, diperintahkan) memilih petunjuk. Hati-hati apabila mengedit tanda baca item begini kerana kesilapan kecil memungkinkan petunjuk menjadi lebih daripada satu.


6A. Di bawah ini ialah sebahagian daripada huruf Jawi.

Pilih kumpulan huruf yang betul susunannya berdasarkan Daftar Kata Bahasa Melayu: Rumi-Sebutan-Jawi (2008).

(A) ﺍ ﺏ ﺖ ﺙ

(B) ﺝ ﺡ ﺥ ﭺ

(C) ﺺ ﻄ ﺾ ﻈ

(D) ﻞ ﻢ ﻦ ﻭ

Item ini ada rangsangan. Tugasannya ialah ayat perintah.

Item Objektif Aneka Pilihan (2)

Jenis Item Objektif Aneka Pilihan 1: Pernyataan Tidak Lengkap
Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

Masukan terdahulu
(1) Mukadimah dan Istilah Penting

Tugasan item ini berupa ayat yang tidak lengkap. Jika ada rangsangan, bahagian rangsangan itu dipisahkan daripada bahagian tugasan. Pilihan terpendek didahulukan, pilihan terpanjang dikemudiankan. Pilihan perlu homogen, iaitu terdiri daripada bahagian atau unsur yang sama jenisnya. Pilihan dimulakan dengan huruf kecil dan tidak diakhiri dengan noktah. Jika pilihan ialah ayat lengkap, huruf pertamanya dimulakan dengan huruf besar dan pilihan itu diakhiri dengan noktah. Tempat kosong boleh disediakan pada pertengahan atau akhir ayat. Jangan adakan tempat kosong pada awal ayat kerana hal itu boleh mengelirukan calon. Panjang ruangan tempat kosong itu hendaklah seragam iaitu 10 hingga 12 spasi. Item ini boleh digunakan bersama-sama dengan item yang lain seperti jenis negatif dan cantuman.

1. Ibu membeli sekaki

(A) topi
(B) tudung
(C) payung
(D) songkok

Pilihan item ini homogen. Topi, tudung, payung, songkok – semuanya digunakan di kepala. Jikalau “topi” digantikan dengan “meja”, pilihan sudah tidak homogen. Pilihan ini dimulakan dengan huruf kecil dan tidak diakhiri dengan noktah. Pilihan terpendek di atas dan pilihan terpanjang di bawah sekali.

2. Pendapatan tambahan Lui Lai Nam pada tahun 20008 ialah

(A) RM23 098.00
(B) RM23 898.00
(C) RM24 098.00
(D) RM24 198.00

Unit terkecil didahulukan. Angka dua digit, tiga digit dan empat digit ditulis rapat. Bagi angka lima digit dan seterusnya, jarakkan setiap kelompok tiga digit yang terakhir (Gaya Dewan Edisi Ketiga, 1995:90).

3. Siti menjerit ____________ hatinya apabila seorang pemuda melarikan begnya.

(A) sekuat-kuat
(B) sepuas-puas
(C) sehabis-habis
(D) semahu-mahu

Tempat kosong di tengah ayat. Pilihan dikatakan homogen kerana semuanya kata ganda. Pilihan dimulakan dengan huruf kecil. Susunan pilihan ialah secara menurun: yang terpendek di atas dan yang terpanjang di bawah.

4. Saya membaca buku itu minggu lalu.

Ayat pasif bagi ayat di atas ialah

(A) Buku itu saya baca minggu lalu.
(B) Buku itu saya dibaca minggu lalu.
(C) Buku itu dibaca saya minggu lalu.
(D) Buku itu dibaca oleh saya minggu lalu.

Pilihan diakhiri dengan noktah kerana pilihan ini ialah ayat lengkap. Susunan pilihan ialah secara menurun: yang terpendek di atas dan yang terpanjang di bawah.

Item Objektif Aneka Pilihan (1)

Mukadimah dan Istilah Penting
Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

Panduan ini ditulis pada tahun 1988. Semakan dilakukan pada tahun 1996, 2004, 2007 dan 2009 ini. Secara umumnya kandungan esei ini bermanfaat untuk guru dan guru pelatih. Jikalau ada perkara yang tidak sesuai dengan perkembangan semasa, silalah ubah suai.

Terdapat beberapa jenis soalan objektif. Satu daripadanya ialah soalan aneka pilihan. Kertas ini menggalurkan jenis dan teknik penggubalan soalan objektif aneka pilihan sahaja. Perkara yang dibincangkan ialah istilah penting, jenis item, dan panduan untuk menggubal item yang berkenaan. Sistem penomboran item dan penulisan huruf pilihan dalam kertas ini berdasarkan amalan Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kementerian Pelajaran Malaysia. Sistem ini perlu diubah suai untuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Sekolah Menengah (PMR).

Di bawah ini ialah satu item objektif aneka pilihan.

Itu kucing saya. ← Rangsangan
--------------------------------------------Stem
Ayat ini ialah ayat ← Tugasan


(A) tunggal ← Petunjuk

(B) terbitan ← Pengganggu
-------------------------------------------Pilihan
(C) majmuk ← Pengganggu

(D) bercampur ← Pengganggu

Item contoh ini mematuhi peraturan BPG. Untuk menjimatkan ruang, jarak bagi contoh-contoh seterusnya diubah suai. Huruf (A), (B), (C), (D) ditulis dalam tanda kurung dan dihitamtebalkan. Pengguguran tanda kurung akan memungkinkan huruf itu termasuk dalam pilihan.

BPG mengesyorkan jarak di antara baris dalam item ialah satu jarak; jarak di antara stem dengan pilihan, rangsangan dengan tugasan, dan satu pilihan dengan pilihan ialah dua jarak; jarak di antara item dengan item ialah tiga jarak. Satu jarak ialah satu “enter”.

  1. Item ialah keseluruhan soalan yang terdiri daripada dua bahagian iaitu stem atau pokok soalan dan pilihan.

  2. Stem ialah bahagian item yang membolehkan calon membuat pilihan. Stem boleh mengandungi rangsangan dan tugasan, atau tugasan sahaja.

  3. Rangsangan ialah bahagian awal sesuatu stem yang berfungsi sebagai pengenal, punca atau penggerak. Rangsangan boleh terdiri daripada kata, frasa, ayat, perenggan, jadual, graf, gambar, rajah dan sebagainya. Dalam item contoh di atas, rangsangan ialah ayat “Itu kucing saya”. Rangsangan tidak semestinya wujud dalam semua stem.

  4. Tugasan ialah bahagian yang meminta calon melakukan pilihan. Tugasan dapat berbentuk soalan atau pernyataan. Dalam item contoh di atas, tugasan berupa pernyataan tidak lengkap iaitu “Ayat ini ialah ayat”. Tugasan ini boleh diubah menjadi ayat tanya: “Apakah jenis ayat ini?”

  5. Pilihan ialah bahagian item yang terdiri daripada petunjuk dan pengganggu. Biasanya, sesuatu item mempunyai empat atau lima pilihan yang disusun dalam bentuk senarai menegak. Penyusunan dalam bentuk senarai melintang hendaklah dielakkan.

  6. Petunjuk ialah jawapan bagi item berkenaan. Petunjuk hendaklah tepat dan dipersetujui oleh pakar bidang itu.

  7. Pengganggu ialah kemungkinan jawapan. Calon yang tidak mengetahui atau kurang mengetahui masalah yang dikemukakan dalam stem mungkin memilih satu daripada pengganggu itu. Sesuatu yang bertentangan atau tidak berkaitan dengan tugasan dianggap pengganggu yang tidak berkesan atau tidak berfungsi langsung. Dalam kes calon dikehendaki memilih jawapan terbaik, semua pengganggu betul – sudah tentu petunjuklah yang paling tepat atau terbaik.

  8. Set item ialah dua atau lebih daripada dua item yang dikemukakan berdasarkan satu petikan, graf, gambar rajah dan sebagainya. Set item memerlukan arahan khusus untuk set yang berkenaan.

08 Mei 2009

E-mel "Suara Khatib Kami"

Ya Akhi, hari ini khatib kami tampil dengan busana baharu yang menyerlahkan keanggunannya apabila dia mencacak di hadapan khalayak. Hari ini seri wajah khatib kami lebih cerah dan ghairah. Kata kawan ana, hari ini khatib kami menawan seluruh jiwa sidang Jumaat dengan keterampilan fizikal, konteks mata, memek muka, sebutan yang jelas serta baku, lontaran suara yang jitu dan kepelbagaian intonasi.

Hari ini, khatib kami menjelmakan kehendak hadis Jabir bin Abdullah itu. Hari ini khatib kami benar-benar menjiwai kehendak hadis pertama dalam Mastika Hadis, Mukadimah dan Jilid Pertama itu. Dialah pemidato yang anta cari-cari selama ini: merah menyala matanya, lantang suaranya, dan bersangatan marahnya sehingga seolah-olah dia pemberi amaran yang menyatakan kepada angkatan tentera tentang kedatangan musuh.

Hari ini, tergiang-giang suara anta membacakan sabda Baginda Rasulullah sallallahualaihi wassalam dalam usrah kita lima belas tahun yang lalu: “Bahawa musuh akan datang menyerang kamu pada pagi-pagi hari dan mungkin pada waktu petang!” Masih jelas kedengaran suara anta menyampaikan sabda baginda dengan segala upaya: “Masa aku diutuskan dan masa berlakunya kiamat seperti dua jari ini.”

Anta berhenti dan merenung wajah setiap anak usrah. Kemudian anta meneruskan bacaan sambil menunjuk cara pergerakan jari: “Lalu baginda menyatukan kedua-dua jari tangannya, iaitu jari telunjuk dan jari tengah. Kemudian baginda bersabda lagi: Ketahuilah, selain itu, maka sebenar-benar perkataan ialah Kitab Allah, sebaik-baik jalan pimpinan ialah jalan pimpinan Muhammad (sallallahualaihi wassalam); dan sebaliknya, sejahat-jahat perkara ialah bidaah, dan tiap-tiap bidaah itu sesat.”

Ya akhi, setiap kali anta berdiri di atas mimbar, gaya pidato anta tidak membenarkan kami terlelap walaupun sepicing. Beberapa tahun kemudian, rentetan peristiwa September itu, anta kembali sebagai sidang Jumaat biasa. Kami kehilangan khatib dari kalangan ahli bahasa. Kemudian kita berpisah. Hari ini, citra khatib impian itu, berada semula di hadapan mata. Ya akhi, ana melihat anta yang berdiri di atas mimbar itu!

Benarlah kata anta, persediaan yang rapi yang dilakukan dengan segala upaya dan seluruh jiwa akan membantu menghidupkan khutbah kita. Ana yakin khatib kami sudah melakukan hal itu.

Ya akhi, ana bukanlah ahli bahasa yang dapat memerikan tentang sebutan, suara dan intonasi. Maafkan ana sekiranya anta mendapati ana hanya mengulang-ulang ungkapan anta dalam beberapa kursus dahulu.

Ana rasa sebutan khatib kami hari ini adalah yang terbaik – hampir tiada cacat celanya. Vokalnya terang dan bertenaga. Konsonannya jelas meletup, menampar, menyisi, bergetar dan sebagainya. Setiap patah kata mengalir lancar dengan sebutan yang baku. Kelantangan suaranya memenuhi segala ruang. Dia mempelbagaikan intonasi yang terus ke hati kami. Dengan bantuan gaya berdiri yang mencacak, konteks mata yang rancak dan memek muka yang mencerminkan jiwa berontak yang bergelojak, dia berjaya menguasai seluruh jiwa kami.

Ya akhi, seperti yang pernah anta katakan, isi khutbah mestilah bernas. Ya, hari ini khatib kami benar-benar berkhutbah. Dia hanya merujuk teks sekali-sekali. Sebabnya, wacana khutbah itu ciptaannya sendiri. Isi itu susunannya sendiri.

Ana rasa dia berjaya menghasilkan wacana yang utuh dengan isi yang nyata mengikut kronologi. Bermula dengan menyorot peristiwa zaman dahulu, ditegaskan dengan kekejaman Yahudi zaman ini, dia kembali ke negara kita yang tercinta. Setelah menyorot peristiwa di negara kita belakangan ini secara umum, dia mengajak hadirin merenungi peristiwa pada hari Khamis kelmarin.

Nadanya ketara menongkah arus dan fikrahnya nyata menyanggah berita media perdana. Demi perjuangan yang benar, tempat kejadian itu disebut dengan jelas. Tokoh yang dilucutkan jawatan itu diucapkan dengan suara tegas. Walaupun dia menggunakan metafora logo halal yang sah dan logo halal tiruan, kami dapat memahami mesejnya kerana peristiwa itu baru berlaku kelmarin. Hadirin terpukau, terpaku tetapi tidak keliru.

Ya akhi, khatib kami memulakan dan mengakhiri setiap isi khutbahnya dengan laungan “Allahuakbar” sebanyak tiga kali. Rupa-rupanya isi terakhir khutbahnya dan laungan yang membesarkan Raja segala Raja itu menusuk jantung penguasa. Sebentar tadi, ada berita khatib kami ditukarkan ke daerah jauh serta-merta. Pengerusi dan ahli jawatankuasa masjid mendapat surat tunjuk sebab.

Ya akhi, catatan ini ialah ulangan peristiwa yang anta dan rakan-rakan kita alami di tempat dan dalam suasana yang berlainan pada masa lalu. Jikalau takdir menentukan khatib kami terhantar ke wilayah sulap anta, terimalah dia.

Salam ukhuwah daripada Akhi Abu Salehuddin.

07 Mei 2009

Panduan Membina Item Subjektif

1. Keutamaan. Gunakan soalan subjektif untuk mengukur hasil pembelajaran kompleks yang tidak dapat diukur oleh soalan objektif.

2. Kesahan dan kebolehpercayaan. Utamakan item sambutan terbatas, diikuti dengan item sambutan diperluas. Dengan cara ini kesahan kandungan dapat ditingkatkan kerana kita dapat mengemukakan banyak sampelan. Kebolehpercayaan juga dapat ditingkatkan kerana jenis item yang kita utamakan itu mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi.

Item sambutan bebas hanya digunakan apabila jenis item yang lain tidak berupaya mengukur sesuatu hasil pembelajaran seperti kemahiran menulis karangan tertentu dalam mata pelajaran bahasa.

3. Arahan. Sediakan arahan yang lengkap, jelas, sistematik dan tekal pada halaman luar dan halaman dalam kertas ujian. Arahan hendaklah termasuk peruntukan masa dan bidang kandungan pembelajaran yang dinilai.

4. Masa. Peruntukan masa hendaklah sesuai dengan kesukaran item dan panjang sambutan yang diharapkan daripada calon. Peruntukan masa hendaklah ditulis dalam arahan. Bagi item tertentu, peruntukan masa boleh dinyatakan dalam tugasan item berkenaan.

5. Kesesuaian. Kesukaran item, tajuk esei dan panjang jawapan hendaklah sesuai dengan kematangan calon dan jenis ujian.

6. Pilihan. Menyediakan pilihan bagi soalan esei bermakna mengurangkan keesahan dan menggalakkan tabiat belajar yang bertentangan dengan tujuan pendidikan. Oleh itu, sebaik-baiknya calon diminta menjawab kesemua soalan. Jika pilihan masih dianggap perlu, pastikan kesukaran setiap item pilihan itu sama agar tumpuan calon kepada item-item tertentu dapat dikurangkan.

7. Soalan baharu. Binalah item yang asli, baharu dan mencabar sesuai dengan perubahan kurikulum. Soalan yang terdapat dalam buku teks mungkin sudah pernah dijawab oleh calon. Petikan yang terdapat dalam buku teks juga tidak wajar digunakan.

8. Tugasan jelas. Bataskan isu atau bidang yang hendak diuji. Dahulukan perkataan perlakuan seperti labelkan, senaraikan dan sebagainya agar pemikiran calon terhala kepada sambutan yang dikehendaki. Nyatakan syarat seperti bentuk penulisan dan panjang jawapan. Nyatakan juga perkara lain yang dapat memandu calon seperti peruntukan markah bagi sesuatu item atau unit item. Bergantung pada jenis ujian dan jenis item, peruntukan masa dan kriteria penilaian boleh dinyatakan pada item itu.

9. Bahasa terpelihara. Gunakan bahasa yang betul dan mudah difahami, termasuk penggunaan tanda baca, huruf besar dan huruf kecil. Perkataan, frasa dan ayat yang digunakan mesti jelas maksudnya. Perkataan yang berkonotasi, taksa dan sebagainya hendaklah dielakkan. Utamakan pernyataan positif dan ayat aktif. Gunakan singkatan jika perkataan penuh singkatan itu sudah dinyatakan sebelumnya.

10. Teknik. Adakan jarak yang sesuai di antara rangsangan dengan tugasan dan item dengan pecahan item. Pecahan item disusun ke kiri sedikit. Penomboran tekal berdasarkan sesuatu sistem seperti

1. ……….
(a) ……….
(i) ……….

Sediakan ruang yang sesuai dan mencukupi untuk petikan, jadual dan sebagainya. Petikan, jadual dan seumpamanya itu eloklah dinamakan seperti Petikan A dan Jadual 1. Jika disediakan tempat untuk calon menjawab, jenis tempat itu hendaklah sesuai dengan sambutan yang diperlukan. Garisan boleh diletakkan di tengah, di hujung atau di bawah tugasan. Jika terdapat lebih daripada satu garisan seperti dalam soalan kloz, panjang setiap garisan hendaklah sama.

Penaipan soalan juga perlu diberi perhatian. Adakan jarak yang sesuai di antara arahan dengan item, sesuatu item dengan item yang lain, rangsangan dengan tugasan dan baris dengan baris. Sesuatu item perlu diletakkan pada halaman yang sama.

11. Skema pemarkahan dan penyelarasan. Sediakan skema pemarkahan sebelum calon menjawab soalan. Skema pemarkahan boleh membantu kelancaran proses menggubal soalan. Jika pemeriksa bagi sesuatu ujian lebih daripada seorang, adakan penyelarasan pemeriksaan. Penyelarasan pemeriksaan boleh meningkatkan kebolehpercayaan pemarkahan.

Teknik Penggubalan Soalan Subjektif

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

Esei ini ditulis pada tahun 1988 dan disemak semula pada tahun 1996, 2004, 2007 dan 2009 ini. Secara umumnya kandungan esei ini bermanfaat untuk guru dan guru pelatih. Jikalau ada perkara yang tidak sesuai dengan perkembangan semasa, silalah ubah suai.

Perkataan “subjektif” dalam tajuk esei ini bermaksud sambutan (jawapan) calon berbagai-bagai. Berdasarkan kepelbagaian jawapan calon itu, terdapat tiga jenis soalan subjektif iaitu sambutan bebas, sambutan diperluas dan sambutan terbatas. Kertas ini membincangkan bentuk dan teknik penggubalannya sahaja.

Institusi atau lembaga peperiksaan mempunyai peraturan khusus untuk menggubal soalan. Esei ini tidak bertujuan menggantikan peraturan itu. Anggaplah esei ini sebagai panduan umum, pencetus idea atau bahan perbandingan. Tegasnya, untuk menggubal item yang sebenar, rujukilah panduan rasmi keluaran institusi atau lembaga yang berkenaan.

Beberapa Istilah

Item. Item ialah keseluruhan sesuatu soalan, termasuk arahannya. Di bawah ini ialah satu item subjektif contoh.

Antara tujuan pengajaran karangan terkawal ialah membiasakan murid menyusun ayat mengikut urutan logik dan sebab akibat.

Jelaskan langkah penyampaian yang akan anda laksanakan bagi mengajarkan satu jenis karangan terkawal pilihan anda sendiri yang anda fikir dapat mencapai tujuan di atas. Tuliskan penjelasan anda itu dalam empat langkah penyampaian sahaja.

Soalan Subjektif. Soalan subjektif ialah item yang memerlukan calon memberikan jawapan mereka sendiri. Jawapan itu mungkin sepatah perkataan, satu frasa, satu ayat, beberapa ayat atau satu karangan. Selain itu, grafik seperti peta, jadual dan lakaran dapat juga menjadi jawapan. Jelasnya, jawapan calon berbagai-bagai. Kepelbagaian itu dinamakan subjektif. Maka soalannya pun dinamakan soalan subjektif.

Kepelbagaian atau subjektiviti dapat juga dilihat dari segi pemarkahan. Markah yang diberi oleh seseorang pemeriksa dengan pemeriksa yang lain terhadap jawapan yang sama lazimnya berbeza. Malah markah yang diberi oleh seseorang pemeriksa terhadap sesuatu jawapan mungkin juga berbeza apabila jawapan itu diperiksanya pada kali kedua.

Soalan Esei. Soalan esei ialah item subjektif yang memerlukan calon memberikan jawapan seperenggan atau lebih. Jawapan itu lazimnya ialah wacana seperti karangan, surat kiriman dan kad undangan. Jawapan itu mungkin juga gubahan fikiran bukan bahasa seperti rajah, lukisan dan peta.

Rangsangan. Rangsangan ialah bahagian yang berfungsi sebagai pengenal, punca atau penggerak dalam sesuatu item. Rangsangan dapat terdiri daripada kata, frasa, ayat, perenggan, jadual dan sebagainya. Rangsangan tidak semestinya wujud dalam semua item.

Tugasan. Tugasan ialah bahagian item yang meminta calon melaksanakan sambutan yang dikehendaki. Inti tugasan ialah kandungan subjek yang hendak diuji. Tugasan soalan subjektif mungkin mengandungi syarat dan kriteria.

Kandungan. Kandungan ialah perkara yang hendak diuji. Kadungan dapat berupa bidang, isi, tajuk, kemahiran, subtajuk atau subkemahiran. Biasanya kandungan yang diuji itu berupa sampelan sesuatu bidang. Kandungan yang diuji dalam contoh item di atas ialah kebolehan calon merancang pengajaran satu jenis karangan terkawal. Perkara yang diuji ialah sampelan tajuk “Teknik Mengajarkan Kemahiran Mengarang” yang terdapat dalam sukatan pelajaran.

Perlakuan. Perlakuan ialah perkataan seperti “tulis”, “senaraikan” dan “labelkan”. Perkataan itu terdapat dalam tugasan. Perkataan itu membantu calon untuk melaksanakan tugasan. Perkataan itu juga membantu pemeriksa menentukan aras kesukaran. Perkataan “jelaskan” dalam contoh item ialah perlakuan.

Syarat. Syarat ialah pernyataan dalam tugasan yang bertujuan mengawal sambutan. Kesemua perkataan selepas perkataan “jelaskan” dalam item contoh ialah syarat bagi perlakuan. Kriteria sebahagian daripada syarat.

Kriteria. Kriteria ialah batasan atau peringkat kejayaan perlakuan. Frasa “empat langkah penyampaian” yang terdapat dalam contoh item ialah kriteria.

Sambutan. Sambutan ialah sebarang gerak balas calon terhadap tugasan.

Jenis Soalan Subjektif

Secara umum terdapat tiga jenis soalan subjektif iaitu soalan sambutan bebas (esei panjang,) soalan sambutan diperluas (esei pendek) dan soalan sambutan terbatas. Soalan sambutan terbatas pula dapat dibahagikan kepada lima, iaitu item ringkas, item berangsangan, item berstruktur, item berpandu, dan kloz.

Soalan Sambutan Bebas

Calon diberi tajuk untuk dibincangkan. Mereka bebas memilih dan menggunakan isi daripada pengetahuan mereka sendiri. Mereka bebas menyusun dan mengolah isi itu dalam bentuk penulisan yang ditetapkan. Bentuk penulisan itu biasanya ialah karangan penghuraian (deskriptif). Kemungkinan jawapan yang mereka tulis itu asli adalah tinggi. Oleh itu, dalam skema pemarkahan keaslian sambutan dijadikan satu daripada kriteria penilaian selain isi dan persembahan.

Item ini sesuai untuk menguji semua aras kognitif terutama aras kognitif peringkat tinggi iaitu analisis, sintesis dan penilaian. Item ini sesuai untuk mengukur kebolehan calon memilih, mengolah dan mempersembahkan fakta atau idea. Item ini kerap digunakan untuk menguji aspek penulisan mata pelajaran bahasa.

Kebolehpercayaan pemarkahan item ini rendah. Oleh itu penggubalan skema pemarkahan perlu dilakukan dengan teliti. Penyelarasan skema dan penyederhanaan pemeriksaan perlu diadakan. Urusan ini dijangka memakan masa. Jadi, jumlah item ini dalam sesuatu set soalan hendaklah dihadkan.

Contoh

Arahan

Pilih satu tajuk karangan di bawah. Kemudian tulis satu karangan bagi tajuk yang kamu pilih itu. Panjang karangan kamu hendaklah tidak kurang daripada 120 patah perkataan.

1. Cita-cita Saya
2. Faedah Membaca
3. Pentingnya Berjimat Cermat
4. Sukan Tahunan di Sekolah Saya
5. Kebaikan Menyertai Pasukan Beruniform


Soalan Sambutan Diperluas

Calon dikehendaki memperluas atau mengembangkan sesuatu idea atau fakta yang dikemukakan. Bentuk jawapan bergantung pada maksud perlakuan yang terdapat dalam tugasan seperti terangkan, bincangkan, bezakan, nilaikan dan sebagainya.

Sambutan item ini juga bercorak perbincangan. Banyak kemungkinan jawapan akan diperoleh daripada calon. Tegasnya, calon dibenarkan mengemukakan fakta atau idea mereka sendiri. Oleh itu, hampir sama dengan item sambutan bebas, item ini juga sesuai digunakan untuk membentuk ujian beraras tinggi. Item ini sesuai digunakan untuk mengukur kebolehan calon mengumpul, memilih (menilai), mengorganisasi (menyusun, mengolah, mengait-ngaitkan) fakta atau idea.

Kandungan yang diuji oleh item ini agak kecil berbanding dengan kandungan yang diuji oleh item sambutan bebas, tetapi tidaklah sekhusus kandungan yang diuji oleh item sambutan terbatas. Kebolehpercayaan pemarkahan item ini agak rendah.

Contoh 1
Amir Hamzah dan Kharil Anwar memberi sumbangan yang bererti dalam sejarah perkembangan kesusasteraan Indonesia.

Bincangkan sumbangan mereka.
....................................................................... (20 markah)

Contoh 2

Sekolah tempat anda menjalani praktikum akan mengadakan majlis perpisahan untuk guru-guru pelatih. Selaku ketua kumpulan, ada diminta berucap di dalam majlis itu.

Tuliskan ucapan itu.
....................................................................... (20 markah)

Contoh 3
"Murid-murid mesti pandai menggunakan masa kerana masa itu seperti emas," kata Guru Besar Sekolah Rendah Kebangsaan Nyiru.

Jelaskan pandangan kamu sendiri terhadap kata-kata Guru Besar Sekolah Rendah Kebangsaan Nyiru itu.
....................................................................... (20 markah)

Contoh 4
Siapakah tokoh sukan negara kita yang kamu minati?

Beri sebab-sebab kamu meminatinya.
....................................................................... (20 markah)



Soalan Sambutan Terbatas

Isi dan bentuk sambutan dibataskan. Batasan itu, dinamakan syarat dan kriteria, dinyatakan dalam item, terutama dalam tugasan. Batasan itu diwujudkan untuk mengurangkan kepelbagaian sambutan. Kebolehpercayaan pemarkahan item ini tinggi.

Sambutan Terbatas Ringkas

Keringkasan sambutan relatif: mungkin satu patah perkataan satu frasa, satu ayat, beberapa ayat, satu lakaran dan sebagainya. Bentuknya menghampiri bentuk item objektif. Item di bawah cuma mempunyai satu jawapan sahaja. Oleh itu item-item ia boleh juga dinamakan soalan separa objektif. Bagaimanapun, kesemua contoh di bawah bukanlah item objektif aneka pilihan kerana pilihan tidak disediakan.

Tugasan item ini mungkin meminta calon mengisi tempat kosong, membuat ayat, melukis, melabelkan, menyelesaikan masalah matematik dan sebagainya. Ruangan jawapan disediakan.

Contoh 1
Mamalia yang boleh terbang ialah ________________

Contoh 2
Berikan satu contoh huruf vokal.
____________________________________________

Contoh 3
Buat ayat tanya bagi ayat-ayat penyata di bawah.

(a) Ayat penyata: Hobi saya ialah memancing ikan.

Ayat tanya: ___________________________________

(b) Ayat penyata: Bapa Hadi bertugas di Sandakan.

Ayat tanya: ___________________________________

Contoh 4
Lukis seekor ikan dalam kotak yang disediakan. Labelkan bahagian-bahagian anggota ikan yang kamu lukis itu.

Contoh 5
Nyatakan empat ciri vokal.

(a) _________________________________________

(b) _________________________________________

(c) _________________________________________

(d) _________________________________________
..................................................................... (4 markah)

Sambutan Terbatas Berangsangan

Rangsangan boleh berupa karangan (teks), petikan, situasi, jadual, gambar dan sebagainya. Kewujudannya mesti. Tanpanya, soalan tidak dapat dibina. Soalan itu mungkin juga dinamakan soalan konteks, soalan kefahaman, interpretif dan sebagainya. Item ini menyerupai item sambutan terbatas berstruktur.

Contoh Rangsangan Situasi
Kamu tinggal di rumah bersama seorang adik yang berumur tiga tahun. Sedang kamu membaca buku, tiba-tiba adik kamu menangis. Tangannya luka dan berdarah kerana dia bermain pisau.

1. Apakah yang patut kamu lakukan sebaik sahaja melihat kejadian itu?


_____________________________________________

_____________________________________________

_____________________________________________


.................................................................... (6 markah)

2. Di manakah pisau patut disimpan?

_____________________________________________

.................................................................... (2 markah)


3. Ada beberapa benda lain yang berbahaya kepada adik kamu.

Tuliskan empat benda yang berbahaya itu.

(a) ________________________________

(b) ________________________________

(c) ________________________________

(d) ________________________________

.................................................................... (4 markah)

Contoh Rangsangan Gambar

Gambar lima alat pertukangan kayu.

Gambar 1: Alat-alat Pertukangan Kayu

1. Namakan alat-alat pertukangan kayu di atas.

(a) ________________________________

(b) ________________________________

(c) ________________________________

(d) ________________________________

(e) ________________________________

................................................................ (5 markah)

2. Apakah kegunaan alat nombor 1?

______________________________________________

.......................................................................... (2 markah)

3. Mengapakah kamu menggunakan alat nombor 5 dengan nombor 6 untuk menebuk lubang?

______________________________________________

.......................................................................... (2 markah)

Contoh Rangsangan Teks (Cerita)

Arahan
Baca cerita ini. Kemudian jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Pada zaman dahulu, ada seorang lelaki bernama Pak Beliling. Dia bekerja sebagai tukang lawak di istana raja. Suatu hari, ketika Pak Beliling pulang ke rumahnya, dia terlihat dua orang budak terhendap-hendap di bawah rumahnya.

Pak Beliling segera menaiki tangga. Dia masuk senyap-senyap ke dalam rumahnya. Dia terus termenung seketika. Dia mencari akal untuk mengenakan budak-budak nakal itu. Akhirnya dia mendapat akal.

Pada masa itu, isteri Pak Beliling berada di dapur. Pak Beliling melaung kepada isterinya dengan suara cemas, "Mak Siti! Mak Siti! Tadi orang-orang di warung heboh pasal pencuri. Kata mereka, sekarang ini banyak pencuri!"

"Betulkah begitu?" tanya Mak Siti dari dapur.

"Betul!" balas Pak Beliling. "Sebab itu, baik kita masukkan emas kita ke dalam peti. Kemudian kita sembunyikan di dalam kolam di kebun sayur kita itu," kata Pak Beliling lagi.

"Eloklah itu!" balas Mak Siti.

Pak Beliling terus mengisi beberapa ketul batu ke dalam sebuah peti. Kemudian dia cepat-cepat menuju ke kebunnya. Peti itu dicampakkan ke dalam kolam. Dia sengaja meletakkan pencedok air dekat tebing kolam itu.

Pada hari berikutnya, pagi-pagi lagi Pak Beliling pergi ke kebun sayurnya. Dia tersenyum melihat hampir kesemua tanah kebunnya itu basah. Perkara ini berlaku selama seminggu. Seminggu pulalah Pak Beliling tidak perlu menyiram sayur-sayurannya.


1. Di manakah Pak Beliling bekerja?
...................................................................... (1 markah)

2. Apakah tujuan Pak Beliling melaung kepada isterinya?
...................................................................... (2 markah)

3. Mengapakah Pak Beliling tidak perlu menyiram sayur-sayurannya selama seminggu?
...................................................................... (3 markah)

4. Berikan tajuk yang sesuai bagi cerita di atas.
...................................................................... (1 markah)

5. Nyatakan dua pengajaran yang kamu peroleh daripada cerita di atas.
...................................................................... (3 markah)


Sambutan Terbatas Berstruktur

Item ini boleh dikatakan sama dengan item terbatas berangsangan kerana item memerlukan rangsangan. Berdasarkan rangsangan itulah dibentuk soalan-soalan yang memerlukan calon mengenal pasti atau menganalisis struktur rangsangan yang diberi itu.

Contoh Rangsangan Data

Arahan
Teliti carta di bawah. Kemudian jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Carta hujan dan suhu seminggu.

Carta 2: Hujan dan Suhu Seminggu

1. Suhu pada hari Sabtu ialah _______ .
...................................................................... (1 markah)

2. Catatan suhu yang paling tinggi ialah pada hari _______.
...................................................................... (1 markah)

3. Pada hari Khamis, hujan turun sebanyak ________ sentimeter.
...................................................................... (1 markah)

4. Hujan tidak turun pada hari ____________________.
...................................................................... (1 markah)

5. Berapa sentimeter hujan
turun sepanjang minggu ini?

____________________________________________
...................................................................... (2 markah)


Sambutan Terbatas Berpandu

Item ini hampir sama dengan item sambutan terbatas berangsangan dan item sambutan terbatas berstruktur dari segi kemestian wujudnya rangsangan. Bagaimanapun, perbezaan item ini dengan kedua-dua item itu sangat jelas. Item terbatas berpandu ini memerlukan calon mengemukakan jawapan berpandukan bahan rangsangan sedangkan kedua-dua item terbatas tadi memerlukan calon menjawab siri soalan. Item terbatas berpandu ini amat sesuai digunakan untuk menguji kemahiran penulisan.

Contoh 1
Kamu seorang ketua murid. Kamu dikehendaki berucap dalam Majlis Perpisahan Murid-murid Tahun Enam. Guru besar dan guru-guru akan hadir dalam majlis tersebut.

Tulis ucapan kamu dengan menggunakan lebih kurang 80 patah perkataan sahaja. Kamu boleh menggunakan perkataan atau rangkai kata di bawah ini.

terima kasih, dikenang, mengajar, jasa guru, minta maaf, bagi pihak murid-murid tahun enam, jangan seperti kacang lupakan kulit, di sekolah yang baru nanti

Contoh 2
Gambar 1, 2, 3, 4.

Lihat gambar-gambar di atas. Tulis sebuah cerita tentang gambar itu mengikut susunannya. Cerita kamu mesti ditulis berperenggan. Gunakan lebih kurang 80 patah perkataan sahaja.

Contoh 3
Arahan
Penuhkan tempat-tempat kosong ini dengan ayat-ayat yang sesuai.

Yunus: Assalamualaikum, cikgu. Saya Yunus, pemberita majalah Persatuan Bahasa Melayu sekolah kita.

Cikgu Ros: Waalaikumussalam. Silakan duduk, Yunus. Guru penasihat persatuan kamu ada memberitahu saya maksud kedatangan kamu ini.

Yunus: Terima kasih, cikgu. Boleh saya mulakan soalan pertama?

Cikgu Ros: Silakan, Yunus.

Yunus: ___________________________________________

Cikgu Ros: Saya akan bersara sebulan lagi.

Yunus: ___________________________________________

Cikgu Ros: Saya berkhidmat sebagai guru selama 28 tahun.

Yunus: ___________________________________________

Cikgu Ros: Saya mula berkhidmat di sekolah ini pada awal tahun 1978.

Yunus: __________________________________________

Cikgu Ros: Sebelum ini, saya pernah berkhidmat di Johor dan di Sabah.

Yunus: ___________________________________________

Cikgu Ros: Selepas bersara nanti, saya bercadang membuka perniagaan kecil.

Yunus: __________________________________________

Cikgu Ros: Saya ingin membuka sebuah kedai buku di bandar ini.

Yunus: __________________________________________

Cikgu Ros: Saya memilih perniagaan buku kerana saya ingin terus berdamping dengan buku dan dengan murid-murid.

Yunus: ___________________________________________

Cikgu Ros: Ya, di samping menguruskan kedai, saya akan terus bergiat dalam Pasukan Puteri Islam di daerah kita ini.

Yunus: Waktu rehat sudah tamat. Saya minta diri dahulu. Jika saya perlukan penerangan lanjut, esok saya akan bertemu dengan cikgu lagi. Terima kasih, cikgu.

Cikgu Ros: Terima kasih kembali, Yunus.

Kloz

Kloz ialah set item yang menggunakan petikan karangan. Bahagian awal dan akhir petikan itu diterakan sepenuhnya. Bahagian awal dan akhir yang diterakan sepenuhnya itu mungkin berupa frasa, ayat atau perenggan. Hal ini bergantung pada panjang petikan. Perkataan-perkataan terpilih dalam petikan itu digugurkan dan diganti dengan tempat kosong. Semua garisan pada tempat kosong itu sama panjangnya. Pengguguran perkataan terpilih itu dilakukan secara tekal selepas lima hingga tujuh patah perkataan. Pengguguran perkataan pada awal ayat tidak digalakkan kerana hal ini boleh mengganggu pemahaman calon. Untuk memudahkan tugas menggubal soalan, petikan itu perlu diubah suai atau dicipta satu wacana khas untuk tujuan sesuatu pengujian.

Teknik kloz sesuai digunakan untuk ujian kefahaman, tatabahasa dan kosa kata bagi mata pelajaran bahasa. Teknik ini berguna bagi menguji pengetahuan peristilahan bagi mata pelajaran tertentu seperti Sains dan Geografi. Teknik kloz ini juga sesuai dijadikan rangsangan item objektif.

Contoh
Arahan
Penuhkan tempat-tempat kosong di bawah ini dengan perkataan-perkataan yang sesuai. Tuliskan satu patah perkataan sahaja pada tiap-tiap tempat kosong itu.

Satu daripada permainan tradisional orang Melayu ialah permainan gasing. Mereka bermain gasing (1) __________ beratus-ratus tahun dahulu. Mereka mengadakan perlawanan gasing (2) __________ musim menuai padi. Mereka menjadikan permainan ini (3) __________ cara melepaskan penat lelah.

Mereka bermain (4) __________. Kadang-kadang pasukan dari kampung lain (5) __________ di suatu gelanggang. Gelanggang itu biasanya dibuat di tengah sawah (6) __________ pada masa itu tanah sawah kering dan (7) __________ sesuai dijadikan gelanggang permainan.

Biasanya, (8) __________ bermain, mereka mengadakan upacara memuja (9) __________ gasing. Upacara ini dilakukan oleh pawang pasukan (10) __________. Ini menunjukkan permainan itu ada kaitan dengan kepercayaan terhadap kuasa ghaib.

Tamat.

Data Ungkapan "Antara - Termasuklah"

    Data ini dikemas kini dari semasa ke semasa. Kemas kini terakhir: 19 Julai 2009.


  1. Antara yang sering saya temukan termasuklah bentuk seperti …. Awang Sariyan, 2004. Tuntunan Bahasa: Asas Pegangan Pelajar. Petaling Jaya: Pearson Malaysia, halaman 62.

  2. Antara bidang kejuruteraan termasuklah … Siti Hanim Yunus, “Mengenali Kerjaya Jurutera”, Dewan Pelajar, Januari 2009, halaman 30.

  3. Antara aspek utama yang disentuh termasuklah yang berkaitan dengan sejarah dan penyebaran bahasa Melayu, …. Zaidi Ismail, “Perintis Pembaharuan Penerbitan Ensiklopedia”, Pelita Bahasa, Mac 2009, halaman 43.

  4. Antaranya termasuklah pengaruh media, tekanan hidup, pengaruh persekitaran dan hilangnya rasa hormat pada guru. Zaitul Azma Zainon Hamzah, “Guru Mutiara Negara”, Pelita Bahasa, Mei 2009, halaman 9.

  5. Antaranya termasuklah bahasa Latin …. Ritah Yahaya, “Bicara Bahasa: Mencari Kekuatan Bangsa”, Dewan Bahasa, Mei 2009, halaman 5.

  6. Antaranya termasuklah Cina, Melayu, India, Arab, Eropah, dan lain-lain. Phaosan Jehwae, “Bahasa Melayu sebagai Wahana Kedamaian di Selatan Thai”, Dewan Bahasa, Mei 2009, halaman 25.

  7. Antara nilai murni yang sejagat termasuklah …. Dewan Bahasa, Mei 2009, halaman 25.

  8. Antara bahasa peribumi Taiwan tersebut termasuklah …. Dewan Bahasa, Mei 2009, halaman 57.

Antara - Ialah/Adalah

  1. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) antara punca utama keracunan ialah gagal atau tidak mengambil berat (MIR: apa?) ketika pengendalian gerai, kantin atau restoran. Azizul Rahman Abdul Rahman*, “Keracunan Makanan”, Dewan Siswa, Mac 2009, halaman 9. Penulis ialah Guru Cemerlang Gred Khas C dan kini mengajar di SMK Dato’ Sulaiman, Parit Sulung, Batu Pahat.

  2. Antara perancangan korpus dalam bahasa Melayu sebelum merdeka adalah dalam bidang ejaan Rumi. Ismail Mis, “Perancangan Korpus Bahasa Melayu Sebelum Merdeka”, Dewan Bahasa, Mei 2009, halaman 35.

  3. Antaranya ialah …. Abdul Ghani Abu, “Sekolahku: SK Bandar Teknologi Kajang”, Dewan Pelajar, April 2009, halaman 51.

  4. Antaranya ialah …. Ruziati Abdul Rani, “Bengkel MDK di Bera, Pahang”, Dewan Pelajar, April 2009, halaman 54.

  5. Antaranya ialah …. Filzah Ibrahim, “Majlis Amal Hari Palestin”, Dewan Pelajar, April 2009, halaman 55.

06 Mei 2009

Hara Shintaro Kecewa

“Sebagai pelajar-pengajar Bahasa Melayu, saya kecewa dengan sikap penutur dan pengguna bahasa Melayu di negara ini. Orang asing yang mempelajari bahasa Melayu kebanyakannya menyukai bahasa Melayu. Namun, perkara yang menyedihkan ialah bahasa yang kami pelajari dengan bertungkus-lumus ini tidak digunakan sepenuhnya di Malaysia.”
….

“Dalam kalangan ahli bahasa, pejuang bahasa dan pencinta bahasa, wujud keazaman yang kuat untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa. Namun, sebelum menjadi bahasa antarabangsa, sesuatu bahasa itu mesti kukuh di negaranya sendiri. Bahasa Melayu bagaikan sebatang pokok. Pokok bahasa Melayu tidak akan tumbuh dengan subur dan sempurna jika dibiarkan tidak bercahaya, berair dan berbaja.”

Hara Shintaro, Dewan Bahasa, Mei 2009.

Pedoman Bahasa (JPEG) 056. Minda Sarjana Asing: Hara Shintaro.

05 Mei 2009

Kesilapan yang Amat Serius

Dia melakukan kesilapan lagi. Kesilapan itu terdapat pada dua patah perkataan dan satu ungkapan. Kedua-dua perkataan dan satu ungkapan itu berupa kata kunci perbincangan. Jadi, kesilapan itu amat serius.

Seriusnya kesilapan itu bagai seseorang yang kelaparan ingin meminta makanan. Tiba-tiba orang itu berkata, “Berikan saya racun!” Bagaikan seorang anak meminta tambah kastard tetapi mulutnya mengucapkan, “Saya hendak murtad lagi, emak!” Alangkah, alangkah …!

Dia menyedari kesilapan itu pagi ini apabila editor membalas e-melnya. Bukanlah editor yang menyatakan kesilapan itu. Dia tergerak hati bahawa manuskrip itu mengandungi kesilapan. Apabila manuskrip itu disemaknya, memang benar dia melakukan kesilapan yang amat serius dalam teks. Kesilapan dalam teks itu terjelma juga dalam perenggan e-mel.

Dia segera menghantar e-mel kepada editor dan memohon maaf. Kemudian dia bersegera membetulkan kesilapan itu. Selepas itu dia segera menghantar e-mel baharu kepada editor. Manuskrip yang sudah dibersihkan daripada kesilapan itu dijadikan lampiran kepada e-mel.

Pada usia senja, matanya mulai kabur. Daya fikirnya semakin luntur. Upayanya semakin kendur. Apabila dia memaksa dirinya berkarya hingga larut malam, itulah natijahnya – kesilapan. Alhamdulillah, kini dia berasa lega kerana kesilapan itu sudah dibetulkan. Dia sudah memohon maaf kepada editor.

04 Mei 2009

Sukar untuk Bernafas

“Sesetengah penggunaan kata atau ungkapan yang betul dikatakan salah hingga kadang-kadang kita berasa agar sukar untuk ‘bernafas’,” keluh Puan Aziah Tajudin dalam ruangan “Soal Jawab Bahasa”, majalah Pelita Bahasa keluaran Disember 2008.

Puan Aziah menyisipkan keluhannya itu dalam jawapan tentang penggunaan ungkapan “di kalangan" dan “dalam kalangan” yang menjadi kekeliruan pengguna bahasa Melayu.

Menurut Puan Aziah, “Ungkapan di kalangan dan dalam kalangan memang sering digunakan. Pada suatu ketika dahulu, perkara itu bukanlah masalah atau kekeliruan, tetapi akhir-akhir ini, penggunaannya merupakan masalah atau kekeliruan yang agak merimaskan.”

Menurut karyawan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu, pihak yang mengetengahkan penggunaan ungkapan “dalam kalangan” memang mempunyai hujah tetapi hujah itu seperti dibuat-buat atau terlalu tegar.

“Penggunaan bahasa sepatutnya tidak terlalu tegar selagi tidak melanggar peraturan bahasa,” katanya.

Puan Aziah menyatakan, mengikut kajian korpus, kedua-dua ungkapan itu baku.

“Ungkapan di kalangan betul kerana kata nama kalangan membawa makna golongan atau lingkaran,” katanya.

Dengan perkataan lain, kalangan membawa maksud konsep tempat. Jadi, kata sendi nama di boleh berada sebelum perkataan kalangan.

“Mengikut data korpus, penggunaan ungkapan di kalangan jauh lebih banyak berbanding dengan penggunaan ungkapan dalam kalangan,” tegas Puan Aziah.

Rumusannya, ungkapan lama “di kalangan” boleh terus digunakan bersama-sama dengan ungkapan “dalam kalangan". Namun, Puan Aziah belum boleh menarik nafas lega kerana ungkapan “di kalangan" sukar ditemukan dalam komunikasi kini, terutamanya dalam komunikasi bertulis.

03 Mei 2009

Berhemat Menggunakan Perkataan "Telah"

Dalam satu bengkel penulisan untuk umum, Tuan A mengemukakan beberapa panduan. Antaranya termasuklah berhemat menggunakan perkataan. Antara perkataan yang menjadi contoh perbincangan termasuk perkataan “telah”.

Menurut Tuan A, penulis wajar mengetepikan perkataan “telah” dalam beberapa keadaan. Contohnya, perkataan “telah” dalam ayat “Dia telah dilahirkan pada tahun 1980” wajar digugurkan. Penggugurannya tidak menjejaskan makna ayat itu.

Setiap ayat dalam senarai yang di bawah mengandungi perkataan “telah”. Berdasarkan panduan Tuan A, perkataan “telah” dalam ayat-ayat ini wajar digugurkan. Hal ini menjadi amalan Tuan Editor B.

1. Beliau telah dilahirkan pada 20 Mei 1942.

2. Akhbar itu telah diterbitkan pada tahun 1948.

3. Dia telah mengeposkan kad undangan itu kelmarin.

4. Malaysia telah memenangi pingat perak dalam sukan itu.

5. Bangunan yang bernilai RM5 juta itu telah dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

6. Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) telah ditubuhkan pada tahun 1950 di Singapura.

7. Pada tahun 1996, Tan Sri Razali Ismail, selaku Pengerusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu telah berucap dalam bahasa Melayu.

8. Pada tahun 1933, Za‘ba telah menyusun satu sistem ejaan Rumi yang dikenal sebagai Sistem Ejaan Za‘ba.

9. Pada tahun 1930-an Mejar Dato’ Muhammad Said Sulaiman telah menyusun buku tatabahasa dan kamus bahasa Melayu.

10. Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu di Singapura (1952, 1954) dan di Seremban (1956) telah meletakkan batu asas untuk pembinaan bahasa Melayu moden.

Namun, Tuan Editor C menghidupkan beberapa perkataan “telah” yang digugurkan oleh sang penulis, termasuklah “telah” yang terdapat dalam beberapa ayat di atas. Hal ini wajar menjadi renungan kita.

02 Mei 2009

Sari Rencana: Jawi Menewaskan Pallava, Kawi dan Rencong

Bahasa Melayu mengenal tulisan pada abad ke-7, iaitu tulisan Pallava Kemudian. Pada abad ke-10, bahasa Melayu kuno menggunakan pula tulisan Kawi. Tulisan ini yang mempunyai aksara dan sistem ejaannya yang tersendiri berkembang berabad-abad lamanya, termasuk setelah kemunculan tulisan Jawi.

Satu lagi tulisan yang digunakan dalam bahasa Melayu kuno ialah tulisan Rencong. Tulisan ini berupa garis-garis lurus dan bersiku tajam. Bentuknya yang rencong atau serong itu amat berbeza daripada bentuk tulisan Pallava dan Kawi yang berkelok-kelok atau seakan-akan bulatan. Atas dasar bentuknya yang tersendiri itu, tulisan ini dikatakan ciptaan asli peribumi atau sekurang-kurang ubah suaian daripada tulisan-tulisan yang terdahulu.

Zaman bahasa Melayu praklasik bermula pada abad ke-11 dan berakhir pada abad ke-14. Ciri utama bahasa Melayu praklasik ialah terdapatnya campur aduk pengaruh Hindu dan pengaruh Islam dalam penggunaan sistem tulisan dan kosa kata. Selepas zaman praklasik, perkembangan tulisan dan pelbagai aspek lain bahasa Melayu, seperti kosa kata dan sebutan, semakin mantap dan bermutu. Atas dasar kepesatan perkembangan dan peningkatan mutunya itu, maka bahasa Melayu yang menggunakan tulisan Jawi mulai abad ke-13 dinamakan bahasa Melayu klasik.

Setelah Kesultanan Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511, perkembangan bahasa Melayu dan tulisan Jawi berterusan pada kadar yang perlahan. Pada abad-abad terakhir zaman klasik, penggunaan tulisan Rumi sebagai tulisan pilihan untuk bahasa Melayu semakin ketara. Namun demikian tulisan Jawi terus hidup sehinggalah pada pertengahan abad ke-20 apabila orang Melayu sendiri meminggirkannya.

Pada akhir abad ke-20, kegusaran terhadap kemungkinan tulisan Jawi pupus dapat didengar di serata negara. Hasilnya, pada tahun 1981 Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia mengesyorkan daftar ejaan Rumi-Jawi yang lengkap diterbitkan. Susulan syor ini, pada tahun 1983 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membentuk Jawatankuasa Projek Penyemakan Ejaan Jawi. Hasil kerja jawatankuasa ini dibentangkan dalam Konvensyen Tulisan Jawi di Terengganu pada tahun 1984.

Selepas konvensyen itu, pelbagai usaha dilakukan untuk memperkasakan tulisan Jawi. Pertemuan, bengkel dan seminar diadakan saban tahun. Usaha-usaha itu dilakukan oleh orang perseorangan, badan-badan bukan kerajaan dan badan-badan kerajaan seperti DBP.

Kesedaran tentang pentingnya tulisan Jawi itu dipelihara memuncak pada awal alaf ini dengan pelaksanaan program j-QAF (Jawi, al-Qur’an, bahasa Arab, Fardu Ain) pada tahun 2004 dan penyenaraian tulisan Jawi sebagai warisan negara di bawah Akta Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada tahun 2005.

Perkembangan bahasa Melayu amat perlahan dan kurang menyerlah ketika bersama-sama tulisan Pallava Kemudian, Kawi Kemudian dan tulisan Rencong. Sebaliknya, perkembangan bahasa Melayu begitu pesat dan baku setelah bersama-sama tulisan Jawi.

Mohd Isa bin Abd Razak, "Jawi yang Menewaskan Pallava, Kawi dan Rencong" dalam Dewan Bahasa, Mei 2009, halaman 30 - 33.