26 Jun 2011

“Pendek Umur” dan “Mengasuh TYT”

Kedua-dua kisah yang di bawah ini berlaku di Kota Kinabalu. Kisah ini saya temukan dalam buku wajah rakan saya. Kedua-dua kisah ini saya olah semula.

Kisah 1: “Saya Harap Mama Pendek Umur”

Hafiz sayang akan mama. Mama pula amat menyayangi Hafiz. Mereka sayang-menyayangi. Hari itu ialah hari genap usia ke-34 mama. Hafiz melahirkan kasih sayangnya kepada mama dengan kata-kata, “Saya harap mama pendek umur.”

Mama terkedu tetapi tidak hilang akal. Mama berkata, “Tidak baik bercakap begitu, sayang. Kata-kata itu bermaksud Hafiz mahu mama cepat mati.”

Hafiz segera memberikan penjelasan, “Mama, maksud saya, umur mama tidak bertambah. Jadi, mama tidak akan tua.”

Mama sangat senang hati dengan penerangan Hafiz. Dengan hati-hati dan penuh kasih sayang, mama memberikan penjelasan tentang maksud “pendek umur” kepada anaknya.

Kita berharap pada hari genap usia ke-35 mama, Hafiz akan mengucapkan kata-kata yang sesuai. Mungkin Hafiz boleh berkata, “Selamat hari genap usia, mama. Saya doakan mama awet muda walaupun semakin berusia.”

Kisah 2: Suami Saya Mengasuh TYT

Si isteri sentiasa menunggu ketibaan hari Sabtu dan Ahad. Dua hari itu ialah hari untuk makan angin bersama-sama suaminya. Minggu ini Sabtu dan Ahad datang lagi. Si isteri hanya beristirahat di rumah. Suaminya bertugas “mengasuh” Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sabah.

Si suami “mengasuh” TYT di Padang Sasar Dewan Undangan Negeri. Dia mengasuh TYT menggunakan pistol. Nampaknya, si suami dan si isteri sama-sama bergelar pengasuh. Si isteri sudah berjaya mengasuh anak-anaknya. Kita doakan si suami berjaya pula mengasuh TYT.

Menurut si isteri, perkataan “mengasuh” yang digunakan oleh suaminya itu ialah laras persenjataan.

Tambahan

Apa-apa kisah tentang penggunaan perkataan atau ungkapan memang menarik minat saya. Antara perkataan yang sudah dibincangkan dalam buku wajah saya ialah “alam semula jadi”. Mudah-mudahan saya dapat mengolah perbincangan itu dalam bentuk nota tidak lama lagi.

Perbincangan tentang beberapa patah perkataan atau ungkapan terdapat dalam blog saya . Antaranya termasuklah pautan yang berikut:

1. Lepak, Duduk-duduk dan Meloneng http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/2011/04/lepak-duduk-duduk-dan-meloneng.html

2. Hari Genap Usia: Alhamdulillah, Tahniah Ibu! http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/2011/04/hari-genap-usia-alhamdulillah-tahniah.html

3. Dokong, Dukung dan Lain-lain http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/2011/05/dokong-dukung-dan-lain-lain.html

4. Bin, Binti dan *Binte http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/2009/10/bin-binti-dan-binte.html

5. Ejaan Al-Quran Baku http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/2009/10/ejaan-al-quran-baku.html

6. Quran Buruk dan Al-Quran Lama http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/2009/10/quran-buruk-dan-quran-lama.html

7. Jawapan/Jawaban dari Beberapa Sudut Pandangan http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/2009/10/jawapanjawaban-dari-beberapa-sudut.html

8. Kata Sapaan Cik http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/2009/09/kata-sapaan-cik.html#more

9. "Satu Malaysia" dari Segi Pembudayaan Bahasa http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/2009/09/kita-sudah-sangat-biasa-dengan-ungkapan.html

10. Berasa Lebih Muda http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/2009/10/berasa-lebih-muda.html

Ada pautan yang di atas terbit juga sebagai nota buku wajah saya. Antara nota yang mendapat perhatian rakan-rakan lama, dan wajar menjadi renungan rakan-rakan baharu, ialah “Atuk (Berasa Muda Semula) Lupa untuk Membeli Sirih”. Pautannya: http://www.facebook.com/home.php?ref=hp#!/note.php?note_id=492020845088

1 ulasan:

Unknown berkata...

asalam dari Sabah ..alhamdulillah ..memanga menarik, terpesona dengan kata-kata ini..ada hikmah..