31 Mac 2012

E-mel, Meng-e-melkan dan [meng.i.mél.kan] Persis


Pedoman Bahasa (JPEG) 086. Ejaan Kata Pinjaman.
Petikan:

1. Ejaan yang baku ialah “e-mel”. Tanda sempang memisahkan suku kata “e” dengan suku kata “mel”. Ejaan yang baku ini tersenarai dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (KDEK), Kamus Pelajar dan Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi Edisi Kedua (DKBM).

2. Pedoman Umum Ejaan Rumi menyatakan, tanda sempang dapat digunakan untuk memperjelas hubungan bahagian-bahagian ungkapan seperti “ber-evolusi” dan “ber-revolusi”. Selain itu, tanda sempang digunakan juga untuk unsur bahasa asing seperti “meng-upgrade-kan” dan “di-charter”. Kita dapati KDEK dan Kamus Pelajar mematuhi pedoman ini. Jadi, ejaan “meng-e-melkan” dalam kedua-dua kamus itu baku. DKBM tidak mematuhi pedoman ini. Jadi, ejaan *“menge-melkan” tidak baku

3. Dari segi sebutan pula, terdapat Pedoman Umum Sebutan Baku Bahasa Melayu untuk kita rujuki. Pedoman ini menyatakan, “sebutan bagi kata serapan daripada bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa Eropah yang lain didasarkan kepada pedoman umum yang menghendaki supaya setiap huruf dilafazkan menurut nilai bunyinya dalam bahasa Melayu”. Dengan berdasarkan pedoman ini, sebutan yang baku bagi kata terbitan “meng-e-melkan” ialah [meng.i.mél.kan].

4. Berdasarkan contoh yang di atas, huruf “e” dalam perkataan “e-mel” dan terbitannya bertaraf suku kata. Walau bagaimanapun, sebutan bagi huruf “e” itu bukanlah bunyi e pepet atau e taling. Sebaliknya, yang kita sebut ialah nama huruf itu. Perkataan contoh lain yang sama dengan perkataan ini ialah e-buku, e-dagang dan e-penerbitan. Huruf lain yang kita sebut nama hurufnya juga ialah “k” seperti dalam k-ekonomi. Hal ini merupakan perkembangan baharu dalam bahasa kebangsaan kita.


Mohd Isa Abd Razak, “Emel, E-Mel atau E-mel”, Dewan Bahasa, November 2011, halaman 50 – 51.

Hina Sangatkah Bahasa Melayu? - Ridhuan Tee Abdullah


Jangan Campuri Hal Ehwal Islam
Oleh Ridhuan Tee Abdullah, Sinar Harian, 26 Mac 2012

Petikan:
Persoalannya hari ini, kenapa bahasa Melayu seolah-olah langsung tidak mendapat tempat dalam kalangan sebahagian mereka yang datang berhijrah dan tinggal di bumi bertuah ini?

Kita terpaksa berdakwah atau menyampaikan maklumat dalam bahasa ibunda mereka, bukan menggunakan bahasa rasmi negara. Jika perkara ini berterusan, sampai bilakah mereka boleh memahami bahasa Melayu? Tidakkah mereka sepatutnya diwajibkan belajar bahasa Melayu. Akhirnya, dakwah terbantut, sehingga ke hari ini tidak sampai satu peratus bukan Melayu memeluk Islam.

Lekeh Sangatkah Bahasa Melayu? - Peguam


Pedoman Bahasa (JPEG) 085. Kumpulan Kembara Bahasa 31 Mac 2012.

 Ini tulisan peguam yang membantu tokoh bahasa kita (yang menentang PPSMI), khususnya hal yang berkaitan dengan “Perhimpunan 100,000 Rakyat” pada 7 Mac 2009. Klik.

30 Mac 2012

Bahasa Melayu Dijunjung, Bahasa Inggeris Dikelek


Bahasa Melayu Dijunjung
Pedoman Bahasa (JPEG) 084. Kumpulan Kembara Bahasa 11 Mac 2012.


Bahasa Inggeris dikelek, bukan dijunjung. Janganlah pula bahasa Inggeris dijunjung, bahasa sendiri diinjak.
 Surah Al-Hujrat (49), Ayat 13

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya dalam kalangan kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).



29 Mac 2012

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB)

Banyak udang banyak garam.

Berdasarkan maklumat dalam Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kamus Dewan dan Kamus Pelajar menggunakan ungkapan “Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu”, Indonesia menggunakan ungkapan “Perserikatan Bangsa-Bangsa Bersatu” dan Brunei menggunakan ungkapan “Organisasi/Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu”. Ejaan ungkapan itu yang digunakan oleh Khidmat Nasihat DBP ialah “Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu” dan “Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu”, iaitu ada variasi penggunaan huruf dalam kata ganda.

Pada tahun 2006 Dr. Sulaiman Masri mengatakan, ungkapan yang persis ialah “Pertubuhan Bangsa Bersatu”. Adnan Haji Awang mengulas isu ini dalam Utusan Malaysia, 13 September 2006. Beliau merumuskan, kebiasaan kita dan pandangan Dr. Sulaiman betul.

Jikalau ungkapan “Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu” bukan jenama atau ungkapan yang terdaftar di bawah mana-mana akta di Malaysia, maka penukaran ungkapan itu menjadi “Pertubuhan Bangsa Bersatu” boleh kita lakukan. Kita ada pilihan, iaitu meneruskan kebiasaan yang silap atau menggunakan ungkapan baharu yang persis.

Mungkinkah mana-mana pihak menyaman media yang menggunakan ungkapan “Pertubuhan Bangsa Bersatu”? Entahlah.

Perbuatan Kementerian Pelajaran dan DBP yang menggunakan nama mata pelajaran “Bahasa Malaysia” bagi menggantikan nama mata pelajaran “Bahasa Melayu” pun tidak disaman. Bahkan tidak berapa “kerat” orang yang kisah hal ini.

Sebelum itu, perbuatan penguasa memperlekeh Perlembagaan, akta dan Rukun Negara melalui dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pun ada orang tidak kisah; bahkan ada pihak menuntut agar PPSMI dikekalkan! Hal ini bukan aneh dan sememangnya benar.

Perbincangan.

27 Mac 2012

Kelihatan Seperti Gula Melaka


Atuk Iman nampak benda berbungkus dengan daun di atas meja. Daun yang digunakan mungkin daun nipah. Bentuknya seperti seruas buluh, persis bungkusan gula melaka. Bungkusannya kemas. Atuk Iman bertanya, "Apakah benda itu? Gula melaka?"

Nenek PD menjawab, "Bukan gula melaka. Belacan."

Baru Atuk Iman ingat bahawa Pak Ndak baru pulang dari Sabah. Atuk Iman ingat juga bahawa Nenek PD suka makan belacan Papar. Jadi, Atuk Iman bertanya lagi, "Belacan Tuaran atau Papar?"

26 Mac 2012

Nama Bahasa Melayu Kekal

Pedoman Bahasa (JPEG) 083a. Kumpulan Kembara Bahasa 24 Mac 2012.
Sumber: Facebook Profesor Abdullah Hassan

“Penggunaan nama mata pelajaran Bahasa Malaysia mesti diubah kepada Bahasa Melayu seperti yang tercatat dalam Perkara 152 Perlembagaan Negara.” - Resolusi 1, KONPEN, Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, 20 – 22 Mac 2012.

23 Mac 2012

Resolusi KONPEN Ke-19, 2012

Konvensyen Pendidikan Bahasa Melayu Kali Ke-19
Tarikh: 20 hingga 22 Mac 2012
Tempat: Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu

Resolusi

Sebanyak 22 tajuk pembentangan kertas kerja dan tiga pameran poster yang dipaparkan dalam KONPEN 2012. Dengan berdasarkan tajuk-tajuk kertas kerja itu, pihak penganjur telah dapat membuat resolusi.

18 Mac 2012

Perihal Menangis

Bayi menangis, “Wek wek wek!” Murid sekolah rendah menangis. Remaja sekolah menengah menangis. Mahasiswa menangis. Adik, kakak, abang, ayah, ibu, atuk, nenek dan moyang menangis. Pendeknya, semua orang pernah menangis. Bahkan, ketika remaja saya pernah melihat air mata lembu saya meleleh. Perlakuan lembu itu saya anggap sebagai menangis.

Kini, sesudah melakukan renungan, ada kemungkinan lembu saya itu berasa gembira. Lembu saya itu, Putih namanya, gembira kerana seorang budak lelaki yang berseluar pendek tanpa baju menghidangkan rumput muda dan menyediakan air garam. Budak yang selekeh itu juga menyediakan unggun yang dapat mengurangkan keghairahan nyamuk dan agas; dan bagi menghangatkan suhu kandang yang terletak di sebuah kampung yang amat dingin pada waktu malam kerana kampung itu baru diteroka dan masih dikelilingi oleh hutan rimba.

17 Mac 2012

Ulasan tentang PPSMI Terperosok, Tersembunyi atau Terpadam?

Pada 16 Mac 2012, lebih kurang pukul 7.10 malam, saya mengirim ulasan kepada Kumpulan Kembara Bahasa (KKB). Ulasan itu tercatat dalam status (thread, jalur?) yang dihantar oleh Tuan Ramli Abdul Rahim. Ulasan itu berupa petikan pandangan Saudara Ali Bukhari Amir (ABA) tentang Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Pandangan ABA yang saya petik adalah seperti yang berikut:

Petikan pandangan Tuan Ali Bukhari Amir:

PPSMI ialah dasar yang silap. Tuhan mengutuskan nabi-nabi dan rasul-rasul menurut bangsa mereka sendiri agar bani memahami ilmu yang disampaikan para nabi. Nas ini boleh dirujuk kepada guru-guru agama.

15 Mac 2012

Menangislah Selagi Berair Mata

Cikgu, catatan cikgu menghidupkan sebahagian waktu silam saya. Saya teringat beberapa peristiwa yang pernah saya alami. Di sini saya nukilkan beberapa peristiwa itu. Peristiwa yang pertama berlaku pada pertengahan tahun enam puluhan. Pada masa itu saya belajar dalam tingkatan satu.

Pada suatu hari, seorang rakan setingkatan, tetapi berlainan kelas, mengajak saya ke kampungnya. Kami berbasikal ke sana. Kami melalui kebun buah-buahan milik orang Tionghua. Rakan itu mengajak saya “mengambil” jambu batu di kebun itu. Pada mulanya saya enggan. Rakan saya itu berkata, “Ambil hak orang bukan Islam tidak salah.” Akhirnya kami “mengambil” dan menikmati buah jambu batu itu.

Kesan Pertemuan Ulang Tahun Ketiga Perhimpunan 100,000 Rakyat

….
Pada masa itu saya kekurangan masa untuk meneliti (dan menyimpan) isu PPSMI. Apabila saya bersara pada tahun 2008, saya mempunyai banyak masa. Antara cara saya memanfaatkan masa itu ialah meneliti dan menghimpun tulisan tentang PPSMI dan merakamkannya dalam satu blog khas. Usaha itu terhenti atas beberapa sebab, termasuklah sebab kesihatan. Pada tahun lalu saya meninggalkan ruang maya ini lebih enam bulan.

Alhamdulillah, perhimpunan 10 Mac 2012 menghidupkan semangat saya semula. (Saya memang bercadang untuk menyertai perhimpunan itu. Ketidakmunculan saya di sana anggaplah kelemahan saya sahaja.) Dua hari yang lalu saya sudah memulakan usaha untuk melengkapkan arkib maya itu. Oleh sebab keterbatasan upaya, pasti usaha itu mengambil masa. Insya-Allah, saya akan terus melakukannya sedikit demi sedikit, terutamanya sesudah berinteraksi di sini dan mendapat dorongan, juga cabaran, daripada tuan/puan, khususnya Tuan Kembara Bahasa.

Alhamdulillah, mula tahun ini saya semakin akrab dengan para petugas Pusat Dokumentasi Melayu (PDM) DBP, khususnya Puan Fatimah Zahrin. Insya-Allah, saya akan terus memanfaatkan kemudahan di PDM dan khidmat cemerlang para petugasnya. Mudah-mudahan saya dapat menyusun indeks PPSMI dan melampirkan bahan-bahan digital yang dapat saya capai. Insya-Allah, ada salinan digitalnya untuk PDM, dan tanpa syarat.

12 Mac 2012

Pelajari, Dalami dan Banggai Bahasa Melayu – Sasterawan Negara

Pedoman Bahasa (JPEG) 082. Minda Tokoh/Pejuang/Ahli/Pencinta Bahasa Melayu.
Lampiran
Nilai Sebenar Bahasa Melayu
Oleh Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, Mingguan Malaysia, 28 Disember 2008

11 Mac 2012

Mansuhkan PPSMI!


Pedoman Bahasa (JPEG) 081. Minda Tokoh/Pejuang/Ahli/Pencinta Bahasa Melayu.
 Butirannya di sini.

PPSMI: GMP Anjur Perhimpunan April 2012


10 Mac 2012, sesudah tiga tahun perhimpunan 100,000 rakyat. Gambar daripada Facebook Prof. Abdullah Hassan.

Desakan melalui perhimpunan wajar. Hal ini dikatakan demikian kerana pihak berkuasa kelihatan bagai lalang ditiup angin. Tanpa desakan yang berterusan kita khuatir penyokong dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) semakin naik tocang dan pihak berkuasa tunduk oleh kemahuan songsang mereka.

PPSMI: Pendirian Kerajaan Goyah - Sasterawan Negara


Pedoman Bahasa (JPEG) 080. Minda Tokoh/Pejuang/Ahli/Pencinta Bahasa Melayu.
 

10 Mac 2012

Nenas atau Nanas?


Dalam ruangan Khidmat Nasihat, Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka terdapat beberapa soalan dan jawapan tentang ejaan nanas. Hal ini menunjukkan bahawa pengguna bahasa Melayu masih menghadapi kesukaran untuk mengeja perkataan itu. Perkara ini ditimbulkan pula dalam ruangan komen Facebook saya. Maka tulisan ini saya hasilkan. Mudah-mudahan tulisan ini bermanfaat untuk rakan-rakan, khususnya golongan pendidik.

07 Mac 2012

Hang Tuah Wira Bangsa

Prof. Khoo Kay Kim menyatakan, "Bukannya Hang Tuah tidak wujud, tetapi hanya bukti kewujudannya tidak ada." – Facebook Dewan Sastera.

Molek sangat pihak DBP, termasuk editor majalah Dewan Bahasa dan Dewan Sastera, menganalisis ayat ini.

Saya menyokong pandangan wakil Persatuan Sejarah Melaka, Encik Jamil Ahmad, bahawa kita terhutang budi kepada Profesor Khoo Kay Kim. Saya bersetuju dengan kenyataan beliau bahawa “ungkitan” oleh profesor itu menyebabkan kita ligat berfikir dan, insya-Allah, akan lebih ligat melakukan kajian. Saya sudah memasang azam untuk mengulang kaji buku Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.

Keputusan Hakim Muktamad

Soalan


Keputusan hakim adalah muktamad.

Ayat ini sering digunakan di hujung senarai syarat sebarang pertandingan. Adakah susunan ayat ini betul?

Jawapan

Susunan ayat “Keputusan hakim adalah muktamad” menepati tatabahasa bahasa Melayu. Hal ini dikatakan demikian kerana buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (halaman 264) menyatakan “Kata pemeri ‘adalah’ pula hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama, seperti yang terdapat dalam ayat yang berikut: ‘Sumbangan besar beliau adalah dari segi peningkatan ekonomi rakyat luar bandar’; ‘Makanan seimbang adalah baik untuk kesihatan badan. Dalam ayat contoh ini perkataan/frasa “dari” ialah kata sendi nama dan “baik” ialah kata adjektif. Perkataan/frasa “muktamad” ialah kata adjektif. Frasa “adalah muktamad” sama susunannya dengan frasa “adalah baik”.

Kembali ke Gelanggang

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sudah hampir setahun saya duduk diam di bangku simpanan. Mulai awal bulan lalu saya giat kembali. Ya, saya bersorak dan berteriak di tepi gelanggang. Mulai hujung bulan lalu, saya semakin giat. Ah, rupa-rupanya saya sudah masuk ke dalam gelanggang. Mulai awal bulan ini ada tanda menunjukkan saya akan giat seperti hujung tahun 90-an. Eh, saya sudah mula bersilat!

Mudah-mudahan migrain yang sudah melupakan saya tidak akan menjenguk. Berat badan yang sudah mulai turun enam kilo setelah asyik berkebun tidak naik kembali apabila saya leka menghadap papan komputer. Kaki saya yang mula ringan ke surau tidak kembali berat. Jiwa saya yang melekat pada aktiviti masyarakat tidak melayang-layang. Saya memerlukan doa tuan/puan untuk yang baik-baik, khususnya untuk menjadi hambanya-Nya yang terbaik dan apa-apa usaha saya menjadi ibadah.

Maafkan saya. Wallahuaklam. Wassalam.

05 Mac 2012

Kata Bilangan + Penjodoh Bilangan


Soalan

1. Kedua anaknya telah melanjutkan pelajaran.
2. Kedua orang anaknya telah melanjutkan pelajaran.
3. Kedua-dua orang anaknya telah melanjutkan pelajaran.

Ayat manakah yang betul?

04 Mac 2012

Antonius Mencari Kebenaran

Latar belakang pemuda itu bukanlah sesuatu yang terlalu penting. Kita hanya mengenalinya sebagai Antonius, seorang siswazah universiti. Menurut Ustaz Bahaudin Mudhary, Antonius datang menemuinya pada malam Selasa, 9 Mac 1970, di sebuah pondok pengajian Islam.

“Tujuan kedatangan beliau adalah untuk memenuhi keinginannya yang sudah lama terpendam untuk mengetahui Islam, terutama soal ketuhanan,” kata Ustaz.  Bahaudin Mudhary.

01 Mac 2012

Saya Mandi di Hilir

1. Sungguh, saudara; manusia lemah. Kata orang tua-tua, bumi mana yang tidak ditimpa hujan?

2. Ustaz saya pernah berkata, ada adab murid dengan guru. Secara umum, murid perlu mengalah. Kata ustaz, murid memang boleh “membetulkan guru” tetapi hendaklah secara berhemah seperti menarik rambut dalam tepung atau seperti memalu ular dalam benih: ular biar mati, benih jangan rosak. Guru saya pula pernah menasihati saya, apabila kamu masuk ke kampung orang, "berjalan di tepi-tepi, benang arang orang jangan dipijak, duduk di tapak tangga, mandi di hilir, berdiri di luar-luar gelanggang”.

3. Saya suka akan seni kata nasyid “Alangkah Sepinya Dunia Ini”. Antara seni kata nasyid itu termasuklah “kesalahan yang sedikit dibesar-besarkannya, yang besar apatah lagi”.