13 Ogos 2011

Bahan Pelikat, Kain Pelekat

Pedoman Bahasa (JPEG) 074. Ejaan.
Iklan oleh pengeluar kain pelekat di media elektronik menarik perhatian saya. Tulisannya lebih kurang begini: “Ingat kain *pelikat, ingat jenama X”. Sebutannya betul, iaitu /pe.lé.kat/ tetapi ejaannya silap.

Kata pelikat tidak terdapat dalam Kamus Dewan dan Daftar Kata Bahasa Melayu. Namun perkataan ini dapat kita terbitkan daripada kata dasar likat. Antara maksud likat ialah pekat atau keruh. Pelikat ialah bahan yang menyebabkan cecair menjadi bertambah pekat atau keruh.

Sebagai contoh, kuah yang cair dapat dilikatkan dengan memasukkan sedikit tepung jagung. Tepung jagung itu berperanan sebagai pelikat kuah. Satu contoh lagi, air kolam dapat dilikatkan, iaitu menjadi bertambah keruh dan pekat. Caranya, gelodakkan selut sekuat tenaga. Pelikatnya ialah selut yang digelodakkan. Apabila air kolam likat, ikan sukar bernafas dan cenderung timbul ke permukaan air apabila selut mula mendap. Pada masa ini ikan dapat ditangkap dengan mudah.

Dengan berdasarkan makna dan contoh ini, kain pelikat ialah apa-apa jenis kain yang berperanan untuk melikatkan cecair. Kita jadikan kain batik nenek sebagai contoh. Nenek mengubah padi di sawah. Kain batiknya berselut. Dia merendam kain itu di dalam besen. Air dalam besen itu menjadi likat.

Jikalau pun ada *kain pelikat seperti dalam contoh yang di atas, kain itu tidak sama dengan kain pelekat /pelékat/. Kain pelekat ialah kain sarung yang berjalur-jalur atau berpetak-petak coraknya. Kain pelekat biasanya dipakai oleh orang lelaki.

Saya berasa terkilan kerana pihak yang melakukan kesilapan itu ialah pengeluar kain pelekat. Namun, pengeluar itu tidak bersendirian. Carian saya dengan Google hari ini menunjukkan terdapat 282 ribu ungkapan “kain pelikat”. Ungkapan yang betul, iaitu “kain pelekat”, hanya 107 ribu. Antara pengguna ungkapan yang silap itu ialah Wikipedia Bahasa Melayu dan penyalin lirik lagu “Kain Pelekat” oleh Anuar Zain dan Ellina. Sebutan kedua-dua orang penyanyi itu betul. Penyalin liriknya menggunakan ejaan yang silap.

Mudah-mudahan nota ini bermanfaat untuk pengguna bahasa kebangsaan kita, khususnya pelajar dan guru bahasa Melayu.

06 Ogos 2011

Aku Kaya dan Gembira

Masih Tersenyum
 
Aku menunaikan solat ba'diah Jumaat di hadapan papan notis. Sebaik-baik aku memberi salam kedua, sejadah ditarik. Seorang petugas asyik menarik-narik dan menggulung sejadah yang bersambung-sambung. Aku berdiri tanpa berdoa.

Aku membaca iklan umrah pada papan notis. Kemudian kutatap beberapa keping gambar pembinaan masjid. Di sisi gambar-gambar itu ada carta kemajuan pembinaan. Carta itu menunjukkan peratus kemajuan pembinaannya melebihi jangkaan.

05 Ogos 2011

Puisi: Kita Pendatang


Kita pendatang pasti pulang
pagi, tengah hari atau petang
rahat bermula ketika senja di ambang.

Kepulangan kita atas takdir Ilahi
tanpa amaran tiada tetuang berbunyi
setiap yang bernyawa pasti merasai.

Ada bayi mendahului umi
pemuda pemudi mendahului aki
rakan empat puluhan pulang dahulu
pesara pesakit termangu menunggu.

Penghuni dunia pendatang semuanya
raja, penguasa, rakyat marheannya
sesudah meninggalkan negeri fana
menghadiri majlis timbang terima.

Ingatlah diri dan sekalian pendatang
kita pulang sehelai sepinggang
tanpa corak, tenunannya pun jarang
ke taman nisan diusung orang.

Ingatlah diri pendatang mulia
firman Allah tentang dunia
harta dan pangkat kebesaran kita
ialah kesenangan yang memperdaya.

Mohd Isa Abd Razak
Port Dickson
5 Ramadan 1432 (5 Ogos 2011)


Nota kaki Tafsir Pimpinan Al-Rahman (1988): Oleh sebab itu usahlah dilalaikan dan diperdayakan oleh kesenangan dunia dan kemewahannya. Sebaliknya, gunakan semuanya itu untuk amal kebajikan bagi mencapai kesenangan dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak.


Catatan Pengalaman Berusrah

1992, Abu Saufi (penunjuk jalan dan pengenal pasti kayu tas dan tongkat ali) bersama-sama dengan naqib dan anak usrah daerah.
Saya sudah menyiarkan beberapa catatan pengalaman berusrah di blog dan buku wajah saya. Antara catatan itu termasuklah dua karya saya, iaitu “Berusrah Kali Pertama” dan “Berusrah Kali Kedua”. Antara karya rakan saya pula termasuklah “Usrah Nukleus Tarbiyah” oleh Puan Arni Nasir, “Pengisian Usrah Helwa Negeri” oleh Puan Anisah Hashim dan “Berusrah di Pejabat Pada Waktu Makan” oleh Puan Zaitun Said.

04 Ogos 2011

Usrah Tunjang Jemaah - Ustaz Sulaimin


Usrah merupakan tunjang sesuatu jemaah. Kalau usrah kemas dan berjalan dengan baik natijahnya jemaah itu kuat dan kukuh, tetapi kalaulah perjalanan usrah itu lembap dan tidak bermaya, akan lahirnya jemaah yang lemah dan tidak berkembang.

Kepentingan usrah ini tidak dinafikan. Apabila kita lihat perjuangan awal Rasulullah s.a.w., baginda sangat mengambil berat tentang usrah di samping baginda berjalan dalam keadaan yang sirri (senyap). Hal ini dapat dilihat apabila Rasulullah memilih bait Arqam bin Arqam sebagai tempat usrah. Arqam ialah seorang budak kecil yang memang tidak dijangka oleh orang kafir bahawa Rasulullah melaksanakan usrah di rumahnya. Kita lihat ini satu taktik atau sirriah yang dibuat oleh baginda.

Kepentingan usrah ini jelas lagi apabila pejuang-pejuang Islam sebelum kita melihat proses usrah yang dibuat oleh Imam As-Syahid Hassan al-Banna. Apabila kita membaca perjalanan usrahnya, kita dapati beliau sangat mengambil berat hal ehwal anak buahnya. Boleh dikatakan beliau akan bertemu dengan anak buahnya setiap hari walaupun cuma beberapa minit, tidak kira malam, pagi-pagi buta, atau sebagainya. Beliau berpegang pada prinsip bahawa pertemuan mata dengan anak buah mengentalkan ukhuwah dan semangat perjuangan. Proses seperti inilah yang harus kita contohi dalam pengendalian usrah.

Oleh sebab itu, jangan sekali-kali kita menjadikan usrah sebagai usaha sampingan. Sebaliknya anggaplah usrah sebagai aset yang terpenting dalam jemaah kita. Usrah yang berjaya itu melahirkan jemaah yang kuat dan bermutu, insya-Allah.

Oleh hal yang demikian, wahai pejuang-pejuang Islam tercinta, kenallah diri dan muhasabah selalu. Di manakah kerja Islam yang telah kita lakukan untuk ummah ini? Siapakah diri kita yang sebenarnya? Apakah tanggungjawab kita dijadikan oleh Allah?

Seterusnya ingatlah janji-janji Allah yang akan membantu kita apabila kita membantu-Nya. Janganlah berasa ragu dalam perjuangan suci ini. Sesungguhnya dalam perjuangan, kita perlu berpegang pada dua prinsip sama ada kita menang atau syahid!

Nota Penyunting
Ustaz Sulaimin Muhsinin berasal dari Kampung Menawo, Keningau. Beliau menulis catatan ini pada bulan Januari tahun 2000. Pada masa itu beliau ialah pelajar Universiti Yarmouk, Jordan. Saya menyunting dan menyiarkan tulisan itu dalam e-grup dan laman web Gerak Usrah pada tahun yang sama. Tulisan itu saya murnikan sedikit lagi untuk tatapan pengunjung blog dan rakan buku wajah saya.

03 Ogos 2011

Berusrah di Pejabat pada Waktu Makan



Maafkan saya kerana tidak memberi apa-apa pandangan mengenai topik usrah. Hal ini disebabkan oleh waktu makan tengah hari saya diisikan dengan tadarus, sembahyang berjemaah dan membaca al-ma’thurat bersama dengan ahli usrah. Apabila mesej mengenai usrah disatukan, saya luangkan masa untuk menceritakan pengalaman saya.

Saya mula mengenali usrah semenjak belajar di ITM pada 1979 hingga 1982. Perwakilan Pelajar pada masa itu ialah ahli ABIM. Oleh itu, selepas induksi dan kelas bermula usrah diadakan untuk tiap-tiap bilik di asrama. Lumrahnya semua pelajar berminat untuk mengikuti usrah. Jadi pada yang berminat usrah masih lagi diteruskan dan ada yang terpaksa digabungkan. Pada hari Ahad diadakan ijtimak umum di surau untuk semua kumpulan. Pada hujung semester diadakan tamrin selama dua atau tiga hari sebelum bercuti ke kampung.

02 Ogos 2011

Berusrah Kali Kedua

Pada tahun 1994, aku menyertai usrah gabungan. Usrah kali pertama tidak menarik. Selepas sesi pembukaan, naqib mengedarkan risalah “Usrah dan Matlamatnya”. Dia menyuruh ahli usrah membaca risalah itu dengan suara yang lantang secara bergilir-gilir.

Aku tidak mendapat giliran. Mungkin dia berpendapat, sebagai penyunting, pasti aku sudah membaca risalah itu berkali-kali.

Seterusnya naqib seakan-akan berceramah tentang pengurusan usrah. Adakalanya, dia kelihatan seakan-akan berleter. Antara perkara yang kuingat, dia mahu semua ahli usrah hadir setiap kali pertemuan. Kemudian dia mengemukakan hujah tentang pentingnya pertemuan usrah gabungan di kampus kami. Dia juga berkata, ahli usrah mesti membaca bahan yang sudah ditetapkan, mesti membawa alat tulis dan buku catatan, mesti menghafal hadis dalam buku Hadis 40 dan beberapa banyak mesti lagi.

Pada usrah kali kedua, aku duduk di sebelah kiri naqib lepasan Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu. Hal itu kulakukan agar aku menjadi orang yang terakhir mendapat giliran memperdengarkan hafalan.

Sesi pembukaan dimulakan dengan istighfar, diikuti dengan selawat, diteruskan dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan nasyid Asma al-Husna. Dia melagukan nasyid itu dengan penuh penghayatan tanpa melihat teks. Suaranya mengatasi suara kami. Suara yang paling perlahan dan kadang-kadang hilang ialah suaraku.

Selesai bernasyid, dia menyampaikan sepatah dua kata. Kata-katanya diselang-selikan dengan pujian atas kesungguhan ahli bernasyid. Dia menyebut beberapa nama, termasuk namaku. Tentulah aku berasa serba salah. Aku tersengeh-sengeh.

01 Ogos 2011

Pengisian Usrah Helwa Negeri

Siri Usrah
2. Darihal Usrah oleh Hassan al-Banna
3. Berusrah Kali Pertama
4. Manhaj Usrah dan Mauduknya oleh Habbat Nasim
5. Pengisian, Kurikulum, Silabus atau Manhaj?
7. Usrah Nukleus Tarbiah oleh Arni Nasir
8. Pengisian Contoh oleh Ustazah Zubaidah
9. Pemantapan Usrah di SMAP oleh Afnan

BERUSRAH selaku orang awam berbeza daripada pengalaman berusrah semasa di sekolah dan di universiti. Perbezaan itu dapat dilihat dari segi pengisian, pendekatan, sasaran, objektif, tempoh dan faktor-faktor lain.

Oleh sebab kami semua bekerja, usrah dijalankan seminggu sekali dari pukul 3.00 hingga 6.00 petang. Semua ahli usrah ialah Jawatankuasa Helwa Negeri yang mengetuai biro masing-masing.

31 Julai 2011

Pemantapan Usrah di SMAP oleh Afnan

Siri Usrah/Tazkirah
1. Usrah Sepintas Lalu
3. Berusrah Kali Pertama
4. Manhaj Usrah dan Mauduknya oleh Habbat Nasim
5. Pengisian, Kurikulum, Silabus atau Manhaj?
6. Pengisian Usrah di Maktab Perguruan
8. Pengisian Contoh oleh Ustazah Zubaidah
Usaha memantapkan perjalanan usrah di sekolah kami pada tahun lalu mula menampakkan kesannya. Keberkesanan itu dapat dilihat dari segi latihan (tamrin), pengurusan usrah, pengisian, dan komitmen naqib.

30 Julai 2011

Pengisian Contoh oleh Ustazah Zubaidah

Siri Usrah/Tazkirah
2. Darihal Usrah oleh Hassan al-Banna
3. Berusrah Kali Pertama
4. Manhaj Usrah dan Mauduknya oleh Habbat Nasim
5. Pengisian, Kurikulum, Silabus atau Manhaj?
6. Pengisian Usrah di Maktab Perguruan
7. Usrah Nukleus Tarbiah oleh Arni Nasir

Saya sudah membaca buku Beberapa Peringatan untuk Para Da'i. Buku itu dapat menjadi sumber pengisian usrah. Buku itu berguna kepada pendakwah dan mad’u, iaitu orang yang didakwahkan. Saya memetik isi penting fasal pertama yang bertajuk “Inilah Dakwah Kita” untuk panduan naqib atau naqibah.

Dakwah kita adalah untuk seluruh manusia umumnya dan umat Islam secara khusus. Kita menyeru mereka supaya memberikan pengabdian total kepada Allah Yang Maha Esa, tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu dan tidak menjadikan sembahan lain sebagai Tuhan dan Rabb.

Dakwah kita adalah untuk manusia yang bersedia untuk menerima Islam sebagai din dan pegangan hidup, mengikhlaskan keyakinan yang bulat kepada Allah dan membersihkan jiwa daripada segala penyakit nifak dalam setiap amalan, supaya tidak bertentangan dengan Islam.

29 Julai 2011

Usrah Nukleus Tarbiah oleh Arni Nasir

Siri Usrah/Tazkirah

Tulisan ini cuma secubit pengalaman Kak Ngah ketika mengendalikan usrah di Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS). Kak Ngah ialah bekas Timbalan Exco Biro Usrah sesi 1999/2000 Badan Dakwah dan Rohani (BADAR). Ketika di tingkatan empat dan enam rendah, Kak Ngah hanya anak usrah. Ketika di tingkatan lima dan enam atas, Kak Ngah menjadi naqibah dan anak usrah.

Usrah merupakan medium tarbiah yang sangat penting di KISAS. Usrah melengkapi biro lain seperti tamrin, ceramah, penerbitan dan ekonomi.

Institusi usrah dikenali sebagai nukleus tarbiah. Hal ini demikian kerana dalam sistem sel, nukleus memainkan peranan sebagai penggerak utama bagi menjana tugas sel yang lain. Begitu jugalah halnya dengan usrah. Usrah menjana kefahaman mad'u dan naqib/naqibah tentang Islam, tugas sebagai penganut Islam dan sebagainya.

Pengisian Usrah di Maktab Perguruan

Siri Usrah/Tazkirah

1997, ahli usrah daerah, Ustaz Mohd Asri, menyampaikan taalim. Beliau merujuki buku Hadis Akhir Zaman karangan Ali al-Banjari. Syeikh, di manakah tuan sekarang?
Rakan seusrah saya hadir dalam satu bengkel penyelarasan tutorial dan usrah di Melaka pada awal tahun 1997. Dia membawa pulang bahan usrah. Bahan itu digunakan di semua maktab perguruan.