28 Julai 2011

Pengisian, Kurikulum, Silabus atau Manhaj?


Siri Usrah/Tazkirah

1994, ahli usrah dengan rakan-rakan selepas solat sunat hari raya.
"Apakah perkara yang patut kami bincang dalam usrah, cikgu?"

Sudah berkali-kali saya menerima pertanyaan begini dan yang semaksud dengannya. Mereka yang paling kerap bertanya ialah para pelajar yang ingin memulakan kumpulan usrah. Pertanyaan yang serupa pernah juga diajukan kepada saya oleh para pemuda kampung yang bercadang membentuk kumpulan usrah sendiri.

Manhaj Usrah dan Mauduknya oleh Habbat Nasim

Siri Usrah/Tazkirah

Organisasi (jemaah) ada menggariskan manhaj usrah dan mesti diikuti oleh usrah organisasi. Peraturan ini wajar bagi memastikan keseragaman tafahum (kesefahaman) dalam kalangan ahli.

Manhaj usrah berperingkat. Pemilihan dan pelaksanaannya bergantung pada kefahaman sedia ada ahli. Manhaj yang di bawah ini merupakan manhaj tarbiah yang sesuai untuk anak usrah (mad’u) umum, iaitu mereka yang belum komited dengan mana-mana jemaah.

27 Julai 2011

Berusrah Kali Pertama

Siri Usrah/Tazkirah

Aku mula mengenali usrah 30 yang tahun lalu. Gambaran peristiwa pertemuan kali pertama itu masih jelas. Namun tarikh dan masa peristiwa itu berlaku begitu kabur dalam ingatanku.

Suatu hari, rakan sekerjaku, Ustaz Abu Bakar, mempelawaku menyertai usrahnya. Dengan senang hati aku menerima pelawaannya. Malah aku bangga kerana Ustaz Abu Bakar ialah naqib usrah itu.

Usrah Sepintas Lalu

Dari segi bahasa, perkataan usrah (bahasa Arab) bermaksud keluarga. Kamus Dewan menyatakan, usrah ialah perkumpulan yang melibatkan kegiatan agama seperti perbincangan tentang sesuatu tajuk agama dan sebagainya.

26 Julai 2011

Darihal Usrah oleh Hassan al-Banna

Tulisan ini ialah ringkasan dan pentafsiran terhadap kandungan utama risalah Usrah dan Dakwah oleh al-Imam Hassan al-Banna terbitan Dewan Pustaka Fajar, Kuala Lumpur, 1993. Menurut penerbit, risalah itu berupa petikan daripada karangan Hassan al-Banna yang bertajuk "Nizamul Amru Wa Risalatutta'aim". Penyunting berusaha mengekalkan struktur penulisan (terjemahan) asal.

Maksud Usrah
Islam memandang sangat mustahak pembentukan ikatan perpaduan untuk penganutnya. Ikatan itu dinamakan usrah. Melalui usrah kita dapat memimpin penganut Islam ke arah contoh terpuji di samping memperkukuh ikatan yang sedia ada. Selain itu, mutu ukhuwah antara sesama ahli dapat ditingkatkan, iaitu dengan merealisasikan teori dalam perbuatan dan amalan. Oleh itu, kita hendaklah memandang berat perkara ini dan bersedia untuk menjadi batu bata yang sihat lagi berguna kepada bangunan keluarga bentukan yang mulia ini, iaitu keluarga Islam.

24 Julai 2011

Tentatif Ialah Sementara (Belum Muktamad)

Ini ialah penjelasan makna tentative dalam Kamus Bahasa Inggeris seperti yang terdapat di Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM): tentative adj indefinite, sementaraan: the offer was only ~, and has to be confirmed, tawaran itu hanya sementaraan dan mesti disahkan; this is only a ~ arrangement, ini hanyalah persediaan sementaraan.

Kamus Dewan Edisi Keempat di PRPM mencatatkan dua makna tentatif (téntatif): 1. tidak muktamad (pasti) atau masih boleh berubah; 2. buat sementara waktu: beberapa langkah ~ diambil utk memasukkan sains sepenuhnya ke dlm skop sosiologi ilmu pengetahuan.

Daftar istilah Malaysia di PRPM mencatatkan lima istilah sumber dan istilah sasar bagi perkataan tentatif, seperti yang berikut:

tentative ® tentatif (perubatan)
tentative diagnosis ® diagnosis tentatif (veterinar)
tentative plan ® rancangan tentatif (pentadbiran)
tentatif proposal ® cadangan sementara (ekonomi)
evaluation tentative ® penganggaran tidak muktamad

Dengan berdasarkan sumber ini, nyatalah bahawa tentatif ialah kata adjektif. Kata adjektif ini menerangkan kata nama dalam susunan kata nama + kata adjektif. Dengan berdasarkan sumber ini juga, terdapat tiga kata seerti bagi tentatif, iaitu sementara, sementaraan dan tidak muktamad. Ungkapan contoh pula ialah cadangan sementara/tentatif, diagnosis tentatif, langkah tentatif, penganggaran tidak muktamad/tentatif, persediaan sementaraan/tentatif dan rancangan tentatif.

Dengan berdasar ungkapan contoh ini dapatlah kita bentuk beberapa banyak ungkapan lain. Tiga ungkapan yang kerap kita gunakan ialah program tentatif , atur cara tentatif dan jadual tentatif. Ungkapan seperti *tentatif program, *tentatif atur cara dan *tentatif jadual kerap kita temukan. Susunan ungkapan ini silap.

Penjelasan ini juga menunjukkan bahawa kata tentatif bukanlah sinonim bagi kata program atau atur cara.

23 Julai 2011

Long Atan Si Perokok Tegar

Kisah Long Atan

Kisah ini berupa adunan kenyataan dan khayalan. Jadi, memanglah kisah ini ada kena mengena dengan mereka yang masih hidup tetapi tiada kaitan dengan mereka yang sudah mati. Walau bagaimanapun, pembaca tidak digalakkan untuk mengenal pasti diri sendiri dalam kisah ini kerana usaha itu dijangka sia-sia.

PAK SAFAR memegang kedua-dua tangan Long Atan. Dia merenung wajah rakannya itu. Kemudian dia berkata dengan nada yang sayu, “Bang Atan, nasihatilah saya. Berikanlah petua agar saya dapat berhenti merokok.”

Long Atan melepaskan tangannya daripada genggaman Pak Safar. Dia berkata, “Safar, aku pernah menjadi perokok tegar. Engkau pula masih bergelar perokok tegar. Perokok tegar sepertimu memang boleh meminta dan mendengar nasihat. Namun, percayalah Safar, perokok tegar tidak akan menghentikan tabiat merokok melainkan atas hendak dan arahan dirinya sendiri.”

Pak Safar kecewa. Dia bertanya, “Jadi abang tidak mahu memberi nasihat dan petua?”

Long Atan berkata dengan tegas, “Ya. Aku tidak akan memberikan nasihat. Aku tidak akan memberikan petua. Aku hanya mahu bercerita.”

22 Julai 2011

Dirotan oleh Nenek

Saya sempat menikmati kasih sayang nenek. Peristiwa paling segar dalam ingatan saya ialah suara saya sendiri. Selepas ke sungai besar, saya berteriak, “Cebok, cebok …!” Ungkapan ini saya ulang-ulang. Suku kata keduanya saya panjangkan. Ulangan perkataan itu membentuk irama seakan-akan teriakan penjaja kuih atau sate dalam filem hitam putih.

Neneklah yang paling cepat dan terkerap melayan teriakan saya. Nenek menuntun tangan saya ke perigi. Di sana saya mencangkung. Nenek mencedok air perigi dengan timba upih. Tali timba itu lebih kurang lima depa panjangnya. Dengan air yang jernih dan sejuk itu, nenek menceboki saya.

Pada tahun 1960 kami pindah ke kampung baharu. Usia saya ketika itu hampir lapan tahun. Kenakalan saya menjadi-jadi. Saya suka masuk ke dalam belukar dan hutan. Saya juga suka berendam dalam sungai dan bermain di atas buyau. Saya suka memanjat pokok dan bergayut pada dahan. Saya suka duduk-duduk di atas seketul batu sebesar dua tiga ekor gajah yang disebut batu hidup.

18 Julai 2011

Pak Cik Sarawak, Imam Dua

1
Kulihat garis-garis pengalaman pada kedut mukanya
kisah resah duka terbenam dalam dadanya,
dia tetap mantap meredah masa hadapan
dengan bekalan baki tenaga dan parut perjuangan.

Renung dan senyumnya menyejukkan mataku
bersama-sama sahabat setia sentiasa memanggilku,
memancarkan cahaya menyinari kalbu
menghalau kelam hitam hati berjerebu.

Pak cik, teruskan perjuanganmu
bersama-sama saudaraku itu.

2
Dengan jaket kembara dan bendera negara di dada
kulihat langkahmu tekal teratur ke mana-mana
darat, laut, bukit, paya, apalagi tanah pamah
apabila tekad membulat dan dengan pertolongan Allah
onak, ombak, hujan, panas, terus kauredah
tersungkur di kota, lemas di kuala, lelah di belantara
terbukti engkau perwira pantang menyerah.

Kini engkau bersila di sebelah Pak Cik Sarawak
imam dua pedalaman penongkah arus perdana
yang kehilangan teruna waris perjuangannya
tetap senyum menyembunyikan gundahnya.

Engkau marakkan kembali bara api
bersama-sama imam menggelojakkan perjuangan suci
bersama-sama imam berpencak di gelanggang
bersama-sama imam rela dihempas gelombang.

Kulihat imam menyerap kekentalan perjuanganmu
menikmati setia kawan dalam kalbu
mengembalikan ghairah muda dan lincah terunanya
meneruskan perjuangan pasti matlamatnya;
mengharapkan keampunan dan reda Ilahi
tanpa noktah kendati tewas berulang kali
kerana imam dan dirimu, ya akhi
cukup mengerti akan mehnah dan tribulasi
perjuangan suci memerlukan pengorbanan demi kejayaan hakiki.

Mohd Isa Abd Razak
Port Dickson
18 Julai 2011

(Hari pengebumian Dr. Lo’ Lo’ Mohd Ghazali)

Puisi: Nenek Sabah

Pohon renek di tepi padang,
Batangnya kecil tetapi tegap;
Dahulu nenek tinggal di bendang,
Rumahnya kecil disebut sulap.

Pohon renek jenis berbuah,
Buah berzat benih seberang;
Dahulu nenek tekun bersawah,
Menyara zuriat lapan orang.

Pohon renek daunnya rimbun,
Warnanya hijau berbintik-bintik;
Dahulu nenek rajin berkebun;
Menanam tuhau, lada dan betik.

Pohon renek rapat rantingnya,
Tempat hinggap burung kedidi;
Usaha nenek berkat doanya,
Buah tarap lebat menjadi.

Pohon renek bunganya indah,
Lebah menderu bukan sedikit;
Kemudian nenek memilih pindah,
Ke rumah baharu di lereng bukit.

Pohon renek di tepi padang,
Daunnya layu kemarau tiba;
Terus nenek menatap pandang,
Teringat cucu berasa hiba.

Pohon renek sudah berbuah,
Dipetik Timah sebagai lalap;
Penantian nenek lama sudah,
Di anjung rumah dia terlelap.

Pohon renek meranting juga,
Musim beralih ranggas daunnya;
Pabila nenek tersedar jaga,
Tepak sirih terus dicapainya.

Pohon renek benih seberang,
Patah rantingnya hari kelapan;
Ada nenek hanya seorang,
Keletah cucunya itulah harapan.

Mohd Isa Abd Razak
Port Dickson

17 Julai 2011

Kesilapan Bahasa dalam Teks Pendek

Kiriman yang berkaitan
Bahan Analisis Kesilapan, 27 Oktober 2009
Analisis Kesilapan Karangan Murid Tahun 5, 13 Mac 2009

Teks Rangsangan
Kedingan malam terbangun; di kala usia di penghujung jalan; lebih gigih lebih kuat bertenaga naluri ingin menemui dalam pencarian umpama Nabi Ibrahim A.S melihat ke langit yang terbentang luas. Terfikir ma'laikat berteleskop diri ini sebesar zarah zoom sejuta kali ganda. Lantas ketakutan memuncak. Akhir doa, "Hamba-Mu telah melakukan yang disuruh dan meninggalkan yang dilarang (sambil menangis), ketetapan-Mu hamba-Mu ridha."

***
Terdapat beberapa kesilapan bahasa dalam teks ini. *"Kedingan" rasanya silap taip. Kesilapan begini lumrah. Kita dapat membetulkannya apabila kita melakukan penyuntingan. Perkataan yang tepat ialah “kedinginan”.

Kesilapan penggunaan kata sendi seperti *di kala (--> pada kala) pun lumrah. Kesilapan yang seperti ini tidak menjejaskan makna. Oleh sebab itu banyak orang melakukan kesilapan yang seperti ini. Apabila kita ambil berat pula, kita dianggap ahli tabahasa atau penganalisis kesilapan, walaupun sebenarnya kita hanyalah pencinta bahasa.

Kesilapan frasa *“menemui dalam pencarian” biasa sahaja. Hal ini dikatakan demikian kerana pembaca masih dapat mengagak maknanya. Penyunting yang baik dapat mengesan kesilapan yang seperti ini dengan mudah.

Sesungguhnya, “menemui” ialah kata kerja transitif yang mesti diikuti oleh objek. Penyunting berfikir, tentulah penulis “menemui sesuatu” dalam pencariannya. Dia mungkin terus memurnikan ungkapan itu menjadi “menemui-Mu dalam pencarian”.

Saya biasa mendengar orang berkata bahawa ejaan perkara kecil. Pendapat itu ada benarnya apabila dibandingkan dengan ungkapan seperti “samsu haram”, “judi halal” dan “demonstrasi haram”. Ungkapan seperti “pelajar wajib hadir” (menonton acara mungkar), “ayam sunat” dan “alam semula jadi” ialah contoh lain yang wajar dibincangkan kerana berkaitan dengan agama.

Berbalik kepada ejaan dalam teks yang di atas, ejaan “ma’laikat” dan “ridha” pernah kita temukan. Ejaan ini hampir dengan bahasa sumbernya. Apa boleh buat, ejaan Rumi baharu menggunakan ejaan “malaikat” dan “reda”.

Apabila ejaan diubah, pengguna bahasa kebangsaan kita terjauh daripada sebutan asal. Oleh sebab itu, ada pihak sengaja menggunakan ejaan “redha”, “al-Qur’an” (DBP, al-Quran), assalamu ’alaykum atau assalamu’alaikum (DBP, assalamualaikum) dan sebagainya. Mungkin mereka berpendapat, ejaan lama atau ejaan mereka sendiri lebih tepat berbanding dengan ejaan DBP.

Apabila berbicara tentang perkataan “reda” ini, teringat pula saya isu sebutan yang lain. Antara isu sebutan itu ialah pengguna bahasa tidak dapat membezakan sebutan e pepet dengan e taling.

Nampaknya orang kita suka memangkas. Mereka pangkas ĕ daripada ejaan Rumi. Akibatnya, ada pemidato silap menyebut perkataan “rendang”, “pepet”, “debat” dan sebagainya. Jadi, eloklah kita sokong cadangan agar huruf ĕ dikembalikan kepada ejaan Rumi kita.

Kesilapan yang seterusnya ialah penulisan kependekan. Kita maklum bahawa a.s. ialah kependekan alaihissalam. Kita menulisnya dengan menggunakan huruf kecil. Ada titik selepas huruf a dan huruf s. Cara ini tercatat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat.

Kependekan *A.S dalam teks di atas masih boleh kita fahami. Pasti kita membacanya alaihissalam. Mustahil ada orang membacanya “Amerika Syarikat” kerana sebelum kependekan itu ada “Nabi Ibrahim”.

Seperkara lagi, perkataan “telah” dikatakan kurang sesuai digunakan. Perkataan yang sesuai ialah “sudah”. Ini perkara kecil. Walau bagaimanapun, saya mendapat tahu, penulis PTS peka tentang hal ini.

Seterusnya, terdapat perkataan “berteleskop” dalam teks yang di atas. Perkataan ini belum terakam dalam Kamus Dewan. Pengguna bahasa memang boleh mencipta kata terbitan daripada perkataan yang sedia ada. Daripada “baju” terbit perkataan “berbaju”. Daripada “bikar” terbit perkataan “berbikar”. Daripada “teleskop” pula penulis menerbitkan perkataan “berteleskop” yang bermaksud menggunakan teleskop.

Rasanya, perkataan “menteleskop” lebih aktif. Apa-apa pun, itu pilihan penulis. Dia memang memiliki kebebasan berkarya. Begitu begini, elok juga kita fikirkan kesesuaian malaikat menggunakan teleskop. Bukankah teleskop itu alat buatan manusia? Ha, ha … hal ini rasanya menarik untuk dibincangkan dengan ustaz dan ustazah.

Apabila kita renungi, kita dapati teks yang di atas tergolong dalam karya sastera. Ayat-ayatnya seakan-akan bait puisi. Dalam karya sastera, khususnya puisi, ada penulis cenderung menyembunyikan subjek. Subjek “aku” atau “saya” atau klitik “ku” tersembunyi. Hal ini biasa sahaja dalam kalangan penulis kreatif.

Demikianlah ulasan tentang teks yang di atas. Terima kasih saya ucapkan kepada rakan sebaya saya, Cikgu Hasfar. Kami pesara tua. Pada usia senja ini kami masih sempat berbicara tentang perkara kecil, iaitu kesilapan bahasa dalam teks pendek.

16 Julai 2011

Kaedah Pembelajaran Koperatif 5 - Jigsaw Puzzle

Jigsaw Puzzle (Cantuman)
Jigsaw ialah kata nama yang bermaksud gergaji jig, iaitu gergaji yang digunakan untuk menghasilkan tebukan berlengkung-lengkung pada kayu, plastik dan keping-keping logam. Daripada perkataan jigsaw terbit ungkapan jigsaw puzzle, iaitu sejenis permainan.

Bahan permainan itu ialah sekeping gambar daripada kad tebal yang dipotong berkeping-keping dan berlengkung-lengkung. Kepingan yang berlengkung-lengkung itu dicampuradukkan. Pemain menyusun kepingan itu untuk menjadi gambar. Usaha untuk menyusun kepingan itu rumit tetapi mengasyikkan.

Dalam struktur pembelajaran koperatif (SPK) terdapat juga jigsaw puzzle. Cirinya seakan-akan permainan itu tetapi bahan dan pelaksanaannya tersendiri. Bahan yang lazim digunakan ialah wacana bercetak. Penggunaan bahan digital digalakkan.

Katakan kita hendak mengajarkan tajuk “Ikan Air Tawar”. Dalam sesi itu kita bercadang untuk mengetengahkan empat jenis ikan, iaitu arapaima, kelah, puyu dan belut. Katakan pula murid kita 20 orang. Kita bentuk lima kumpulan seperti dalam rajah 1. Kumpulan ini ialah kumpulan asal dan kita namakan Kumpulan Adil, Kumpulan Bersih, Kumpulan Cinta, Kumpulan Damai dan Kumpulan Elok. Dalam kumpulan asal, pelajar nombor satu menerima wacana “Arapaima”, pelajar nombor dua menerima wacana “Kelah”, pelajar nombor tiga menerima wacana “Puyu” dan pelajar nombor empat menerima wacana “Belut”.

Kemudian, seperti yang digambarkan dalam rajah 2, pelajar membentuk empat kumpulan. Mereka membaca dan memahami wacana itu. Mereka boleh merujuk bahan sokongan seperti kamus, buku glosari dan ensiklopedia, sama ada yang terpasang pada komputer riba atau secara dalam talian. Mereka memproses dan “menghadam” maklumat dalam wacana, daripada bahan sokongan dan hasil perbincangan. Akhirnya mereka arif atau menjadi pakar tajuk itu.
Setelah menjadi pakar arapaima, pakar kelah, pakar puyu atau pakar belut, mereka kembali membentuk kumpulan asal. Rajah 3 menggambarkan hal ini. Mula-mula pakar arapaima menyampaikan maklumat kepakarannya kepada tiga orang rakannya. Rakan-rakannya perlu mengemukakan pertanyaan. Pakar arapaima hendaklah menjawab pertanyaan itu dengan menyerlahkan keterampilannya sebagai pakar. Seterusnya, pakar kelah pula menjadi penyampai, diikuti oleh pakar puyu dan akhirnya pakar belut.

Setiap kumpulan asal yang sudah berkongsi kepakaran itu hendaklah membuat rumusan dan refleksi. Refleksi wajar menyerlahkan nilai murni. Pensyarah atau guru yang bertindak sebagai fasilitator kemudiannya bolehlah mengedarkan senarai rujukan dan bahan bercetak dan/atau digital.

Tambahan

Guru, khususnya guru kawakan, memang bijak dan banyak idea. Mereka yang bijak itu terus berlumba-lumba menghimpun kebijaksanaan dengan meningkatkan kelayakan akademik dan profesionalisme. Universiti membuka peluang kepada mereka untuk memperoleh ijazah. Institut pendidikan guru dan jabatan pendidikan negeri pula menawarkan kursus peningkatan profesionalisme.

Ada antara guru kawakan bijak yang banyak idea itu suka mengusik pensyarah, khususnya wanita muda dan comel. Ada pensyarah wanita muda comel itu berasa kurang selesa ketika bersyarah. Cubalah SPK, khususnya jigsaw puzzle. Rasa-rasanya guru kawakan bijak yang banyak idea itu akan menjadi kumpulan pakar yang sibuk. Rasa-rasanyalah, mereka kesuntukan masa. Jadi, tiada lagi renung-renungan, apalagi lagi pertanyaan yang bernada usikan. Pakar tentulah serius!

Wallahuaklam. Wassalam.