28 Februari 2009

Dubalang dan Beruk

Dengan keris terhunus, Dubalang dan pengikutnya menyerbu masuk ke sebuah pondok ketika pemiliknya sedang berpergian. Di dalam pondok itu ada berbagai-bagai muka. Ada muka harimau, beruang, beruk dan lain-lain.

Dengan suara bagai halilintar Dubalang bertanya pengikutnya sambil menunjuk kepada muka harimau, “Ini muka siapa?”

Para pengikutnya menjawab beramai-ramai dengan suara bergemuruh, “Ini muka harimau!”

Dubalang memekik, “Mati engkau!” Dia menikam muka harimau dengan kerisnya.

“Ini muka siapa?” tanyanya lagi sambil menuding kepada muka beruang.

“Ini muka beruang!” jawab para pembantunya bergemuruh.

Tanpa berlengah-lengah lagi dia menujah muka beruang dengan kerisnya sambil menjerit, “Kojol kau!”

“Ini muka siapa!” tanya Dubalang lagi sambil menuding hujung kerisnya ke arah muka beruk.

“Ini memanda menteri …!” jawab para pengikutnya dengan suara yang lemah dan rasa khuatir.

Tangan Dubalang yang teracung menjadi lemah. Dia memasukkan bilah keris ke dalam sarung.

Dengan suara yang bergetar dan kedengaran sedih, dia berkata, “Mari kita berdoa untuk memanda menteri.”

Diubah suai daripada nukilan Baha Zain “Pemburu dan Pistolnya”.

Semakin tinggi seseekor beruk memanjat pokok, semakin jelas keberukannya.

Pelestarian Bahasa Sukuan Wajar Mendapat Perhatian

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

Tarikh 21 Februari ialah Hari Bahasa Ibunda Sedunia. Hari Bahasa Ibunda Sedunia diisytiharkan oleh Persidangan Umum Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 17 November 1999. Sambutannya bermula pada tahun 2000 dan tahun ini ialah sambutan yang kesepuluh.

Organisasi bahasa dan budaya di pelbagai negara menyambut hari ini secara sederhana. Berdasarkan maklumat dalam Portal UNESCO, aktiviti utama sambutan tahun ini ialah acara khas di Paris pada 20 Februari dan seminar antarabangsa di Salzburg, Austria pada 21 Februari.

UNESCO mengadakan sambutan ini sebagai mengiktiraf kepelbagaian bahasa dan budaya dalam kalangan penduduk dunia. Selain itu, sambutan ini juga menjadi bukti bahawa UNESCO mengakui pelestarian bahasa ibunda di samping menggalakkan penggunaan lebih daripada satu bahasa dalam sesebuah negara.

Sebenarnya, sambutan Hari Bahasa Ibunda berpunca daripada satu peristiwa di Bangladesh. Pada 21 Februari 1952, empat orang pelajar universiti negara itu terbunuh semasa mereka berkempen untuk menjadikan bahasa ibunda mereka, iaitu bahasa Benggali, sebagai bahasa rasmi. Jadi tarikh itu diperingati sebagai Hari Pergerakan Bahasa dan menjadi hari cuti umum.

Malaysia adalah antara negara di dunia ini yang mempunyai banyak bahasa ibunda. Jadi, Malaysia merupakan satu daripada 28 buah negara yang menyokong cadangan pengisytiharan 21 Februari sebagai Hari Bahasa Ibunda oleh UNESCO.

Dari segi pelestarian bahasa ibunda, negara kita terkehadapan. Sebelum wujudnya Hari Bahasa Ibunda Sedunia lagi negara sudah melestarikan bahasa ibunda. Yang paling ketara ialah penjagaan bersistem dan rapi bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar pendidikan dan bahasa komunikasi.

Selain itu, negara kita menjaga bahasa ibunda suku kaum. Tiga bahasa yang mendapat perhatian istimewa dan diajarkan di sekolah ialah bahasa Semai, Iban dan Kadazandusun. Di sekolah rendah, pengajaran ketiga-tiga bahasa ini diperuntukkan 120 minit seminggu dan diajarkan di luar jadual waktu rasmi.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mempunyai peranan melestarikan pelestarian bahasa suku kaum. Selain menerbitkan buku teks bahasa suku kaum, DBP mempunyai Projek Kajian Kosa Kata Bahasa Sukuan sejak tahun 1985. Antara buku yang sudah diterbitkan termasuklah Daftar Kata Bahasa Sukuan Sabah, Bahasa Melayu-Bahasa Murut Tahol.

Sambutan Hari Bahasa Ibunda Sedunia di Malaysia pada tahun lalu tidak ketara. Berdasarkan carian di Internet, hanya ada beberapa pertubuhan yang merayakan hari itu, termasuklah Universiti Kebangsaan Malaysia.

Bahasa kebangsaan kita dapat dianggap sebagai sungai besar. Puncanya ialah sungai kecil. Bahasa ibunda, khususnya bahasa suku kaum, ialah sungai kecil. Jikalau banyak dan jernih air yang mengalir daripada sungai kecil itu, maka akan banyak dan jernihlah bahasa kebangsaan kita. Oleh sebab itu, pelestarian bahasa suku kaum wajar mendapat perhatian kita semua.

Kenyataan Media GMP 27 Februari 2009

Kenyataan Media, 27 Februari 2009
Bersama Menjayakan Perhimpunan Aman 100 Ribu Mansuhkan PPSMI

Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) akan mengadakan Perhimpunan Aman 100 Ribu di Istana Negara pada 7 Mac 2009 jam 2.00 petang.

GMP menetapkan tiga tempat berhimpun sebelum berarak ke Istana Negara seperti yang berikut:

(a) Pusat Perniagaan SOGO
(b) Centrel Market
(c) Masjid Negara

Bagi memudahkan perjalanan perhimpunan ini, semua peserta digalakkan menggunakan kenderaan awam. Peserta dikehendaki berada dilokasi yang telah ditetapkan pada jam 2 petang. Kawalan keselamatan akan dilakukan oleh pihak polis dan Unit Amal seluruh negara.

Permit perhimpunan sudah dipohon kepada Y. Bhg. Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara.

Peserta dilarang sama sekali membawa barang-barang yang berbahaya seperti senjata, peralatan tajam dan lain-lain lagi. Sebarang simbol parti juga tidak dibenarkan.

Pimpinan yang akan turut sama dalam perhimpunan ini ialah Dato’ A. Samad Said, Dato’ Dr. Hassan Ahmad, Dr. Shaharil Mohamad Zain, Prof. Emeritus Abdullah Hasaan, Prof. Emeritus Dato’ Nik Safiah Karim, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, YB Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang, YB Lim Kit Siang dan ramai lagi.

Warna tema GMP adalah putih. Peserta digalakkan menggunakan baju putih yang melambangkan pembersihan terhadap PPSMI.

GMP telah mendapat sokongan terbaharu daripada Majlis Permuafakatan Persatuan Ibubapa & Guru Nasional (PIBGN) yang mempunyai 8000 persatuan PIBG di seluruh negara. Pihak Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) yang mempunyai 25 buah persatuan gabungan juga telah turut sama menyokong GMP.

Sehubungan itu pihak GMP telah selesai mengadakan siri jelajah seluruh negara dan mendapat sambutan yang begitu mengalakkan. GMP penuh berkeyakinan bahawa 100 ribu rakyat Malaysia akan berkumpul di hadapan Istana Negara seperti yang telah dirancang.

Hasni Abas
Setiausaha
Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP)

Daun Kering Berguguran - Tatabahasa Dewan Sudah Membetulkan Kesilapan

Jikalau kita “menggoogle” frasa “daun-daun berguguran”, Google akan menyatakan terdapat hampir 7,000 penggunaan frasa itu di Internet. Antara pengguna frasa itu ialah penyajak.

Frasa ini juga menjadi tajuk sebuah antologi cerpen dan sajak terbitan Federal Publication pada tahun 1979. Dalam antologi itu terhimpun cerpen dan sajak karangan Sasterawan Negara A. Samad Said dan isterinya, Salmi Manja. Cerpen dan sajak mereka itu tersiar dalam surat khabar dan majalah sekitar tahun 1956 -1961.

Penjelasan ini menunjukkan bahawa frasa “daun-daun berguguran" sudah lama wujud dalam kalangan pengguna bahasa Melayu. Kumpulan yang kerap menggunakan frasa ini ialah penulis kreatif, terutamanya penyajak.

Empat frasa yang sama strukturnya dengan “daun-daun berguguran” adalah seperti dalam ayat yang di bawah:

Bintang-bintang *bertaburan di langit.
Pagi ini burung-burung *berkicauan seperti biasa.
Daun-daun kering *berguguran di halaman rumah kami.
Rosnah terpegun melihat ikan-ikan *berlompatan di dalam kolam itu.

Kesemua frasa ini mengandungi apitan “ber- … - an”. Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008) apitan “ber- … - an” membawa maksud yang menunjukkan jumlah subjek yang banyak. Dengan perkataan lain, apitan “ber- … -an” berfungsi sebagai penanda jamak.

Oleh sebab perkataan “bertaburan”, “berkicauan”, “berguguran” dan “berlompatan” dalam ayat di atas sudah menunjukkan subjek (pelaku) ialah jamak, maka frasa yang betul adalah seperti yang di bawah:

ikan berlompatan
bintang bertaburan
burung berkicauan
daun kering berguguran

Lojiknya, apa-apa yang berlompatan lebih daripada satu. Begitulah seterusnya: apa-apa yang bertaburan, berkicauan dan berguguran lebih daripada satu.

Sesuatu frasa yang sudah lama dan kerap digunakan belum tentu mematuhi tatabahasa. Apalagi jikalau tatabahasa itu sendiri muncul terkemudian daripada kewujudan frasa itu. Pendeknya, frasa seperti “daun-daun kering berguguran” memang biasa sangat kita dengar dan kita ucapkan.

Mungkin kerana kebiasaan itu, panel penulis Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (1993, 2003) melakukan kesilapan. Maka terdapatlah contoh ayat “Daun-daun kering berguguran" pada halaman 191.

Panel penulis Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008) sudah membetulkan kesilapan ini. Pada halaman 201, terdapat ayat “Daun kering berguguran di halaman rumah” sebagai menggantikan ayat pada halaman 191 dalam edisi baharu.

Rumusannya sesuatu yang biasa belum tentu betul. Apabila kita membetulkan kesilapan orang, belum tentu kita sendiri betul. Kita manusia. Manusia itu lemah dan sukar mengelakkan diri daripada melakukan kesilapan. Jadi, tanpa menunggu kita betul 100%, kita perlu ingat-mengingati agar kesilapan dapat dihindari, atau setidak-tidaknya kesilapan dapat dikurangkan.

27 Februari 2009

Klip Video "Lain Luka, Lain Dibebat"

video

Klip Video 009, Petikan Filem "Madu Tiga" - "PPSMI: Lain Luka, Lain Dibebat".

Pulang

Kepulanganku ini seperti dahulu
dalam pakaian pemburu dan sebilah parang
bersamamu lagi
lebih yakin meredah belantara.

Kita gunakan bahasa bersama
maaf, sesekali tersasul
aku sudah bersedia dengan sebilah parang
lebih yakin bermalam di sini.

Aku darimu
dari lembah kita kaulepaskan aku pergi
sekarang aku pulang
aku akan bersamamu lagi
lebih yakin dan berani.

Isa Razak
Jimah Baru
September 1976

“Gerko” Tiada dalam Kamus Dewan

Berita Harian, 26 Februari 2009

Menurut Kamus Dewan, kokurikulum ialah “kurikulum yang merupakan sebahagian daripada kurikulum asas”. Ungkapan “kegiatan (aktiviti) kokurikulum” pula dijelaskan sebagai “kegiatan atau aktiviti selain mata pelajaran yang diajarkan dalam bilik darjah tetapi yang dianggap sebagai sebahagian daripada kursus pendidikan pelajar di sekolah”.

Pada penghujung tahun 1970-an dan awal tahun 1980-an, ungkapan baharu “gerak kerja kokurikulum” mula digunakan di maktab perguruan. Akronim ungkapan itu ialah “gerko”. Ada satu lagi akronim digunakan di maktab perguruan, iaitu “kokum”. Penggunaan akronim ini terbatas di beberapa buah maktab sahaja.

Sejak awal 1980-an, penggunaan perkataan gerko meluas. Perkataan itu tercatat dalam beberapa banyak dokumen bertulis di institut pendidikan guru (IPG). Misalnya, unit gerko, setiausaha gerko, sukatan pelajaran gerko, majlis gerko, pensyarah gerko, jurulatih gerko, buku gerko, tugasan gerko, ujian gerko, markah gerko, fail gerko dan anugerah gerko.

Carian dengan Google baru-baru ini menunjukkan semua ungkapan ini tersebar di Internet. Ungkapan “unit gerko” mencatat kekerapan tertinggi, iaitu terdapat dalam lebih 4,500 dokumen.

Dokumen terpenting yang menunjukkan luas dan mantapnya penggunaan perkataan gerko ialah sukatan pelajaran gerko. Dokumen kualiti “Pelaksanaan Gerko” dalam pengurusan sistem kualiti IPG pula mengukuhkan lagi penggunaan perkataan itu. Selain itu, perkataan gerko tersebar luas dalam kalangan masyarakat melalui bahan bercetak terbitan IPG dan penerbit buku.

Rumusannya, perkataan gerko sudah wujud dalam bahasa Melayu sekurang-kurangnya sejak 30 tahun yang lalu. Penyebaran perkataan itu luas dan kekerapan penggunaannya tinggi.

Perkataan yang sudah lama wujud, luas penyebarannya dan tinggi kekerapan penggunaannya dapatlah dikatakan sudah mantap. Perkataan yang sebegini sepatutnya dapat dikesan dalam Kamus Dewan edisi terkini.

Namun, perkataan ini tidak terdapat dalam masukan Kamus Dewan Edisi Keempat. Mengapakah perkara ini berlaku? Dewan Bahasa dan Pustaka mungkin ada jawapannya.

Mohd Isa bin Abd Razak
Negeri Sembilan

26 Februari 2009

Atas Beberapa Pertimbangan

Pedoman Bahasa (JPEG) 038. Penggunaan Kata "Atas".

Sajak "Sederhana" dan "Bising"

SEDERHANA

Mengisahkan semua manis wangi
hilang peribadi pagi
baiknya sederhana.

Diam pun penat
terconteng dua kalimat:
mengharamkan kata lelah
Kinabalu semakin rendah.

BISING

Demikian kehendak
temberang pun lari
temberang pun lari
menurut kalah
menyumpah diri.

RASMI SAFAR
Pemimpin, Mei 1974, hlm. 40.

Papan Tanda di Pedalaman dalam Bahasa Inggeris

Papan tanda ini terletak di sebuah taman perumahan di Keningau, Sabah. Tuan empunya gambar memberitahu, pihak berkuasa tempatan memasang papan tanda ini kelmarin.

Kelmarin itu ertinya setelah lebih 45 tahun Negeri di Bawah Bayu merdeka melalui Malaysia. Yang menariknya, papan tanda itu “letaknya betul-betul di hadapan rumah pensyarah Bahasa Melayu”.

Sang pensyarah menulis, “Mungkinkah pihak berkuasa tempatan beranggapan bahawa komuniti yang sering menggunakan laluan tersebut lebih faham bahasa Inggeris, atau diarahkan oleh pihak atasan atau sengaja meminggirkan bahasa Melayu yang sememangnya semakin tersisih.” Baca lagi di sini.

Mungkin ada pengunjung tetap blog ini mempunyai sahabat dengan pihak berkuasa tempatan yang berkenaan. Jikalau ada upaya, mohon pihak yang bertanggungjawab membetulkan kesilapan mereka. Baik juga perkara ini dimaklumkan kepada Tuan Rusdi di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah. Mungkin beliau dapat turut bersuara.

25 Februari 2009

Longgokan Sampah

Ini ialah longgokan sampah. Kita biasa melihat longgokan sampah seperti ini.

Mata kita kurang selesa melihat longgokan sampah seperti ini. Sebabnya, kadangkala kita terlihat ada bangkai hampir reput. Warnanya kuning kehitam-hitaman. Keadaannya lembap dan adakalanya lembik bercecair busuk. Langau, lalat dan ulat mengerumuni bangkai itu. Oh, mata kita berasa sungguh tidak selesa melihatnya!

Hidung kita kembang kuncup apabila kita menghampiri longgokan sampah seperti ini. Bau busuk, hapak, hanyir dan pelbagai bau lagi bercampur baur. Adakalanya hidung kita tidak tahan lagi dengan bau itu. Kita picit hidung kita yang kembang itu agar kedua-dua lubang hidung itu tertutup dan bau itu tidak masuk lagi ke dalam lubang hidung kita. Oh, hidung kita berasa sungguh tidak selesa menghidu bau-bauan yang tidak menyenangkan itu!

Jadi kita tidak mahu longgokan seperti ini. Longgokan seperti ini perlu dinyahkan daripada persekitaran kita.

***
Cikgu: Apakah perkataan yang seerti dengan longgokan? Saya beri kamu masa tiga minit untuk merujuki kamus dan membuat keputusan dalam kumpulan.

***

Kumpulan Bestari: Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, longgokan ialah himpunan, timbunan dan tompokan. Ayat contoh yang diberikan dalam kamus ini ialah: Lalat banyak hinggap di longgokan sampah itu. Cikgu, kumpulan kami berpendapat, kata sendi di dalam ayat contoh ini perlu ditukar menjadi pada.

Cikgu: Pandangan kumpulan kamu tepat dan bernas. Apakah dapatan Kumpulan Bijak?

Kumpulan Bijak: Kami merujuki Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan. Kamus ini menyatakan longgokan ialah lambak, timbunan (sampah), himpunan (barang/padi), susunan, tompokan, tambunan, onggokan, mungguk, lompuh, unggun. Berbanding dengan Kamus Dewan, kamus ini menggunakan lebih banyak perkataan lain untuk menjelaskan maksud perkataan longgokan. Namun, kamus ini tidak menyertakan ayat contoh.

Cikgu: Penjelasan kumpulan kamu tuntas. Syabas! Apakah pula dapatan Kumpulan Cerdik?

Kumpulan Cerdik: Kamus Pelajar memberikan takrif yang ringkas terhadap perkataan longgokan. Menurut kamus ini, longgokan ialah sesuatu yang dihimpunkan berlonggok. Kami ada pertanyaan untuk Kumpulan Bijak. Apakah makna mungguk dan lompuh?

Cikgu: Jawapan Kumpulan Cerdik padat. Pertanyaan kumpulan kamu akan dibincangkan dalam aktiviti seterusnya. Sekarang, kita dengar dapatan Kumpulan Pandai.

Kumpulan Pandai: Kami merujuki Kamus Seerti Bahasa Melayu karangan Abdullah Hassan dan Ainon Mohd. Mereka mengatakan longgok bersinonim dengan akumulasi, himpun, kumpul, kumulatif, mendap, timbun, tindan, tindih dan tumpuk. Tiada entri longgokan dalam kamus ini. Apabila kami merujuki entri himpun, sinonimnya ialah akumulasi, kumpul, loggokan, timbunan dan tumpukan. Ada dua kesilapan ejaan dalam kamus ini. Perkataan longgokan dan tumpukan sepatutnya dieja dengan satu k sahaja dan bukannya dua k seperti yang terdapat dalam kamus ini.

Cikgu: Kumpulan kamu kritikal. Bagus.

Nizar: Cikgu, esok sekolah kita akan mengadakan himpunan menentang kekejaman Yahudi. Pada saya, perkataan himpunan tidak sesuai digunakan kerana berkonotasi yang memualkan seperti perkataan longgokan. Apakah pandangan, cikgu?

Cikgu: Kamu memang bijak, Nizar. Pandangan saya sama dengan pandangan kamu. Perkara ini akan kita bincangkan dalam aktiviti seterusnya. Sekarang, kita akan adakan aktiviti rehat minda.

….

Jumaat

Malam kesyukuran
mendendangkan lagu Tuhan
malam berkat
melahirkan rasa tersirat.

Majlis di rumah Tuhan
berkumpul kami meraikan
sedar teliti amanat mimbar
salam suci persaudaraan tersebar.

Di majlis ini
seorang mubaligh bersedih
menyatakan siratan hati kasih:
bukakan pintu hati mereka
paling praktik menghormati
penghulu hari ini cara
menangguhkan usaha hidup
membebaskan jentera negara
(Ahad itu mencabar ketara.)

RASMI SAFAR
Likas
Jumaat, 5 November 1971
(Daily Ekspres, 10 November 1971)

Dia dari Sabah

Baku
Dia dari Sabah.
Kami berasal dari Pahang.
Cikgu saya baru pulang dari kampung.

Rujukan: Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008), halaman 270 - 271.

Pedoman Bahasa (JPEG) 037. Kata Sendi Nama "dari".

24 Februari 2009

Ejaan: Pengebumian atau Pengkebumian?

Saya keliru tentang penggunaan perkataan dengan kata dasar kebumi. Saya cari ejaan yang betul apabila dibubuh imbuhan: pengkebumian atau pengebumian. Saya cari dalam Kamus Dewan Edisi Keempat tetapi tidak ada.

Guru Pedalaman
Kinabatangan, Sabah

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (KD4, 2005), perkataan pengebumian terletak di bawah masukan bumi. KD4 itu mencatatkan, pengebumian bermaksud perihal atau perbuatan mengebumikan atau penguburan.

Kata dasar pengebumian ialah ke bumi. Apabila dicantumkan dengan apitan meN- … -kan kata dasar itu menjadi mengebumikan dan menjadi pengebumian apabila dicantumkan pula dengan apitan peN- … -an. Tegasnya, fonem /k/ luluh atau dengan perkataan biasa, huruf k digugurkan.

“Ke bumi” terdiri daripada dua perkataan. Yang pertama ialah kata sendi ke yang menunjukkan arah atau tempat yang dituju. Yang kedua ialah bumi. Bumi dapat bermakna planet tempat kita tinggal (dunia) atau permukaan bumi (tanah). Kita dapat mengesan kedua-dua perkataan ini sebagai kata masukan dalam KD4. Tegasnya, tiada kata masukan kebumi (salah ejaannya) atau ke bumi.

Baik juga kita perhatikan dua ayat yang menggunakan perkataan “ke bumi”. Ayat yang pertama, “Setelah beberapa hari berada di angkasa lepas, angkasawan kita kembali ke bumi”. “Ke bumi” di sini bermakna berada di atas planet tempat kita tinggal – bukan di dalam bumi. Ayat yang kedua, “Darahnya tumpah ke bumi”. Ayat ini bermakna darahnya kena pada tanah.

“Ke bumi” dalam konteks “pengebumian” pula bermakna “masuk ke dalam bumi (tanah)”. Maksud “bumi” di sini ialah “lubang kubur”. Jadi “pengebumian” semaksud dengan “penguburan”.

Makna masuk ini pun secara kiasan sahaja kerana mayat tidak boleh masuk sendiri ke dalam lubang kubur. Mayat dimasukkan ke dalam lubang kubur oleh mereka yang masih hidup. Oleh sebab itu, orang yang masih hidup dan sengaja masuk ke dalam lubang dan ditimbus untuk menguji kehebatannya bukanlah dikebumikan. Jikalau ditakdirkan dia mati semasa berada di dalam lubang itu, pasti dia akan dikeluarkan semula untuk dikebumikan.

Buruh Binaan

Khidmatnya bermatlamat cuma
hidup sempurna bahagia
mengisi erti kesedaran bangsa
dalam pembangunan negara.

Jasanya kumpulan bangunan
kemegahan negeri lambang kemajuan
indah difotokan tanpa namanya
sahamnya hanya peluh bertempayan.

Terbina banglo dan menara
tinggal ia di bangsal jua
diterima upah tenaga berganda.

Baginya tiada pingat khidmat lama
kerana khidmatnya bermatlamat cuma
hidup sempurna bahagia
bersama semangat kemajuan negara
dalam pembangunannya.

RASMI SAFAR
Kota Kinabalu
(Daily Ekspres, 30 Oktober 1971)

Jangan Tunggu Nazak dan Terkubur

Baca penjelasan ringkas di sini, salinan artikel di sini dan artikel asal di sini.

Pedoman Bahasa (JPEG) 036. Minda Tokoh/Pejuang/Ahli/Pencinta Bahasa Melayu.

Kuncup, Nazak dan Dikuburkan - Sasterawan Negara

Sasterawan Negara A. Samad Said menggunakan istilah "penguncup".

Apakah maksud "penguncup"?

Menurut Dato' Dr. Hassan Ahmad, kuncup itu seperti payung yang dikuncupkan. Maka basahlah kita kalau hujan turun. Lawannya ialah kembang.

Siapakah penguncup bahasa Melayu?

Penguncup bahasa Melayu terunggul ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad. Beliau melakukan usaha menguncupkan bahasa Melayu apabila beliau mengarahkan penciptaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2002. Kerajaan Malaysia melaksanakan dasar itu pada awal tahun 2003.


Apabila Tun Dr.ahathir melepaskan jawatan Perdana Menteri, pengganti beliau, YAB Datuk Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi meneruskan usahanya. Pendukung dan penggerak utama dasar yang menguncupkan bahasa Melayu itu ialah Menteri Pelajaran merangkap Ketua Pemuda United Malay National Organisation, YB Dato' Sri Hishammuddin Tun Hussein.

Apakah yang akan terjadi jikalau bahasa Melayu terus menguncup?

Menurut Sasterawan Negara A Samad Said, selepas kuncup, proses berikutnya ialah nazak, dan seterusnya ialah dikuburkan. Itulah proses yang sedang dilalui oleh bahasa Melayu sekarang. Dalam tempoh 50 tahun lagi, kalau dibiarkan, bahasa Melayu akan nazak dan terkubur.


Sumber asal di sini. Salinannya di sini.

23 Februari 2009

Gema Cita

Apabila sekali bergema cita hati
dari himpitan bauran derita
bergema suara jiwa lantang sekali
memancar cahaya gemala gerak diri
seksa apa bisa apa segala terduga.

Dengan sebatian cita langkah bermula
menapak setapak
mara
dan mara.

Di jalan
tertumbuk
tersadur
terkulai
melukur siku
terus dan tegap.

Sekali bergema cita hati
Setapak merangkak jua
bengkak-bengkak calar luka
bisa terduga
bisa diduga.

RASMI SAFAR
Utusan Zaman, Mei 1970

Perbuatan Ini Tidak Masuk Akal!

Berita asal di sini. Salinannya di sini.

Masukan terdahulu
1. Perkara 152 Tidak Boleh Dipinda
2. Membunuh Potensi Bahasa Melayu
3. Bahasa Ibunda Membentuk Tamadun Bangsa
4. Pengkhianatan: Diskriminasi Songsang
5. Mengantarabangsakan Bahasa Melayu
6. Malapetaka kepada Bahasa Melayu
7. Harapan Tan Sri kepada UMNO
8. Fitnah Orang Politik terhadap Pejuang Bahasa
9. Bahasa Ibunda Wadah Terbaik
10. Membangun Tamadun Atas Acuan Sendiri
11. Harapan Menteri Pelajaran Meleset
12. Graduan Universiti Malaya yang Mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu Bergaji RM40 Ribu Sebulan
13. Pejuang Bahasa Kita Menyokong Murid Belajar Bahasa Inggeris
14. Pejuang Bahasa Melayu Bukan Taasub

Pedoman Bahasa (JPEG) 035. Minda Tokoh/Pejuang/Ahli/Pencinta Bahasa Melayu.

22 Februari 2009

Bahasa Memerlukan Cinta - Dr. Victor Pogadaev

Pesan Dr. Victor Pogadaev, pensyarah Jabatan Bahasa Asia dan Eropah, Universiti Malaya, dalam Kongres Bahasa Utama Dunia, 7 Oktober 2004 di Kuala Lumpur.

Pedoman Bahasa (JPEG) 034. Minda Tokoh/Pejuang/Ahli/Pencinta Bahasa Melayu.

Kandungan Laporan Polis PKPIM terhadap Dasar PPSMI

Sumber: http://gerakanmansuhkanppsmi.blogspot.com/2009/02/kandungan-laporan-polis-pkpim-terhadap.html, 19 Februari 2009

Laporan ini boleh dimanfaatkan oleh mana-mana pertubuhan yang mahu membuat laporan polis.

LAPORAN POLIS TERHADAP KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA BERHUBUNG ISU PPSMI

Balai Polis: Gombak
Daerah: Gombak
Kontinjen: Selangor
No Repot: Gombak/001215/09
Waktu: 1.54 tengah hari

Saya bersama seluruh ahli dan pimpinan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) membuat bantahan terhadap Kementerian Pelajaran Malaysia kerana meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah-sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri di Malaysia.

Sebab-sebab bantahan kami ialah:

1. Pelaksanaan PPSMI tidak sah di sisi undang-undang kerana bertentangan dengan Seksyen 2 dan Seksyen 17(1) Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan bercanggah dengan kehendak dan tujuan Perkara 152(1) dan 152(6) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Seksyen 2 Akta Pendidikan, sekolah kebangsaan ditafsirkan sebagai sekolah rendah kerajaan atau sekolah rendah bantuan kerajaan yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama. Manakala, sekolah menengah kebangsaan pula ditakrifkan sebagai sekolah menengah kerajaan atau sekolah menengah bantuan kerajaan yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.

Seksyen 17(1) Akta Pendidikan memperuntukkan bahawa bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan kecuali sekolah-sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah Seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan daripada subseksyen ini. Manakala Perkara 152(1) memperuntukkan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan diperuntukkan melalui undang-undang bahawa tiada siapa boleh dilarang atau dihalang menggunakan (selain bagi maksud rasmi) atau daripada mengajarkan atau belajar apa-apa bahasa lain. Perkara 152(6) pula memperuntukkan bahawa perkara-perkara pendidikan negara, mata pelajaran utama dalam kurikulum kebangsaan yang diuruskan oleh Kementerian Pelajaran adalah bagi maksud rasmi.

2. Pelaksanaan PPSMI ini akan membunuh bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu dalam jangka masa yang panjang.

3. Pelaksanaan PPSMI telah menggelapkan masa depan pelajar sekolah luar bandar dalam bidang sains dan teknologi.

4. Kita menyokong sekuat-kuatnya pengajaran bahasa Inggeris sebagai suatu bahasa, tetapi tidak melalui mata pelajaran Sains dan Matematik.

Bertarikh: 18 Februari 2009

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Naib Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

21 Februari 2009

Penulisan Huruf dalam Tajuk Berita

Antara tajuk berita media dalam talian hari ini, 21 Februari 2009, termasuklah yang di bawah.

1. Tindakan Speaker Perak Menafikan Mandat Rakyat, Kata Shafie (Bernama)
2. Penduduk Bukit Antarabangsa hargai usaha kerajaan (Berita Harian)
3. Nizar kosongkan kediaman rasmi MB esok (mStar)
4. Nizar pindah dari kediaman rasmi MB esok (Utusan Malaysia)
5. Ada bukti kes dakwaan salah guna kuasa kereta Lexus, lembu (Kosmo!)
6. Gangguan bekalan air sekitar KL, Damansara (myMertro)
7. Sultan akan tentukan tarikh sidang DUN Perak (Malaysiakini)
8. PM mahu Zambry buat laporan (Sinar Harian)
9. Bangkai Paus Berhasil Dikubur (Kompas)
10. Tiada bayaran visa untuk kerja umrah (Media Permata)

Tajuk mana yang mematuhi peraturan penulisan huruf sebagaimana yang terdapat dalam buku Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu?

Lampiran:
Antara peraturan penggunaan huruf besar yang tercatat dalam buku Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu termasuklah yang di bawah.

11. Huruf besar digunakan sebagai huruf pertama semua perkataan dalam nama buku, majalah, surat khabar, dan judul karangan kecuali kata partikel, seperti di, ke, dari, untuk dan yang, yang tidak terletak pada kedudukan awal.

20 Februari 2009

Mewara-warakan

Pedoman Bahasa (JPEG) 033. Ejaan "Mewara-warakan".

19 Februari 2009

Mari Kita Berbahasa Sebaik-baiknya


video
Suara Profesor Dr. Rahman Shaari dipetik daripada kaset Negeri Cinta. Klip video ini hendaklah digunakan untuk tujuan pendidikan atau aktiviti “Cintailah Bahasa Kita” sahaja.
Klip Video 007, Bacaan Sajak "Bahasa" oleh Prof. Dr. Rahman Shaari.

18 Februari 2009

Tidak Celik Huruf tetapi Mampu Mengikuti PPSMI?

Syabas, Puan. Jikalau saya berada di tempat puan, saya pun sukar mengawal amarah. Saya berpesan pada diri saya sendiri: teruskanlah perjuangan sambil berusaha meningkatkan kesabaran.

Langkah YB Datuk Bung Mokhtar panjang sebab Kinabatangan tempatnya. Dia ada kuasa, wang dan pengikut yang memudahkannya bergerak. Saya tabik padanya kerana dia memahami keupayaan penduduk di kawasannya.

Kebetulan, saya juga mengetahui serba sedikit keupayaan murid-murid di kawasannya. Saya pernah berkubang di sana selama lima tahun. Tahulah saya serba sedikit denai di Batu Puteh, Kuamut, Karamuak, Minusuh, Pinangah dan lain-lain. Tahulah juga saya serba sedikit hutan, sungai dan tasik ladam seperti di Sukau. Kenal juga saya kawan-kawan YB yang dalam PRU dahulu menongkah pasang seperti rakan saya Tuan Haji Ahmad Abdul dan rakannya Dr. Hasbullah Haji Taha.

Kebetulan, saya pernah menggubal kurikulum dan bertugas sebagai penggerak program yang berkaitan dengan usaha mencelikhurufkan murid terutama di kawasan pedalaman di negerinya. Jadi, maklumlah juga saya akan keupayaan murid-murid sekolah rendah di kawasannya walaupun saya tidak sempat melakukan kajian.

Sehubungan dengan hal itu, saya menghormati YB Datuk Bung Mokhtar kerana “dia sudah membuat kajian di kawasannya, di mana hasil kajian itu semua orang di Kinabatangan mahu supaya PPSMI diteruskan.” Syabas, YB Datuk!

Jikalau ada kesempatan, tanyalah YB itu akan keupayaan murid-murid di kawasannya untuk mengikuti PPSMI. Dia wajar menjawab pertanyaan ini kerana, setahu saya, terlalu banyak murid yang mengikuti PPSMI itu tidak celik huruf.

Jadi, benarkah murid-murid mahu PPSMI? Mampukah murid-murid itu mengikuti PPSMI? Gurukah yang berkata murid mereka mahu PPSMI? Ibu bapakah yang berkata anak mereka mahu PPSMI? Atau hanya YB sahaja yang berkata begitu? Sebagai pengkaji, kita percaya YB dapat memberikan penjelasan yang memuaskan. Kita ingin tahu juga.

Sepotong daripada Babak Panjang Arena Wati

….
“Demikianlah sepotong daripada babak panjang dalam sejarah hidup 84 tahun Arena Wati yang diceritakannya dalam memoir Allahyarham Enda Gulingku dan sebahagiannya daripada apa yang dikhabarkannya kepada saya. Selama hampir dua puluh tahun saya dapat menguruskan tujuh judul novel Allahyarham (enam dalam dua trilogi Busa dan Armageddon) mendedahkan saya dengan banyak pengalaman hidupnya yang sebahagiannya tidak diceritakannya dan tidak dituliskan. Setiap kali berulang-alik dari rumah saya di Bangi ke rumah Allahyarham di Petaling Garden, saya membawa dan melontarkan banyak persoalan kepadanya. Kadang-kadang saya dapat merasakan Allahyarham terusik dengan soalan-soalan saya itu.”

Perenggan ini adalah sebahagian daripada tulisan Roosfa Hashim tentang Arena Wati. Kandungan tulisannya menarik. Jikalau tuan belum membacanya, sila baca di sini.

Batasan Penggunaan Kata Pemeri "Adalah"

Perlu diingat bahawa penggunaan kata pemeri amat terbatas, dan sebenarnya kurang digalakkan dalam pembentukan ayat dalam bahasa Melayu. Perlu juga diingat bahawa kata pemeri tidak boleh hadir di hadapan frasa kerja atau kata kerja. Oleh demikian, penggunaan kata pemeri adalah dalam ayat-ayat berikut dianggap menyalahi tatabahasa bahasa Melayu.

153. *Adalah diberitahu sekolah akan ditutup esok.
154. *Adalah dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan.
155. *Adalah diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Isnin.
156. *Kegagalan projek itu adalah disebabkan oleh kecualian pihak pengurusan syarikat.

Ayat yang di atas seharusnya berbentuk seperti yang berikut:

153 (a) Dengan ini diberitahu bahawa sekolah akan ditutup esok. (Frasa dengan ini dapat digantikan dengan “anda”, “ibu bapa”, “tuan-tuan” atau “dengan hormatnya”.)
154 (a) Dengan ini dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan. (Frasa dengan ini dapat digantikan dengan “tuan” atau “anda”.)
155 (a) Dengan ini diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Isnin.
156 (a) Kegagalan projek itu disebabkan oleh kecuaian pihak pengurusan syarikat itu. (Kata pemeri adalah di hadapan kata kerja disebabkan sudah digugurkan.)

Petikan daripada Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008), halaman 264 – 265 dengan sedikit penyesuaian.

Nota
Tanda * menunjukkan ayat itu tidak gramatis.

Terkini: Dengan Ini Dimaklumkan Bahawa...

Pedoman Bahasa (JPEG) 032. Kata Pemeri "Adalah".

17 Februari 2009

Bacaan Puisi "Pendidik Atulai"

video

Klip Video 006, Bacaan Sajak "Pendidik Atulai" oleh Jame Alip.

DBP Tidak Boleh Lepas Tangan


Catatan ini ialah respons saya terhadap satu masukan di blog Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan. Baca di sini.

“DBP hendaklah menjadi penggerak utama dalam meningkatkan kepustakaan ilmu dalam bahasa Melayu. Inilah yang seharusnya dijadikan tafsiran utama kepada usaha memperkasakan bahasa Melayu.”

1. Setuju.

2. Sebagai penggerak utama, elok DBP terajui penyelarasan/penataran untuk penerbit besar dan kecil.

3. Sebagai penggerak utama, sekadar contoh, penerbitan buku yang membicarakan “olih atau oleh” wajar diusahakan oleh penerbit lain.

“Dan sudah sampailah masanya, selepas lima puluh tahun, aktiviti seperti membetulkan istilah, tatabahasa dan ejaan itu dilakukan oleh guru di sekolah.”

1. Hal ini boleh dilakukan sedikit demi sedikit dan dengan syarat tertentu. Antaranya

(a) DBP jangan pula lepas tangan sebab tugas ini termaktub dalam Akta DBP.

(b) Perubahan berlaku dengan pantas. Ada orang di dalam bangunan tinggi DBP pun tidak dapat mengikuti perubahan yang dilakukan oleh pasukannya di bahagian yang lain. Jadi DBP perlu lebih kerap melakukan penataran terbuka di media, kepada munsyi dan para guru. Cabaran ini mesti diteruskan agar “mazhab” istilah, tatabahasa dan ejaan dapat dikurangkan.

(c) Pihak DBP perlu merenungi suara ghaib “Ibu Munsyi 1” dan “Ibu Munsyi 2” untuk menggerakkan cita-cita “sebuah sekolah, seorang munsyi”, membina munsyi yang berwibawa dan mempromosi munsyi.

2. Artis terlebih promosi. Munsyi?

Sepuluh Perkataan/Ungkapan Berlabel "bp"

Dalam pendahuluan Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), ada tercatat perenggan yang berikut:

“Pemasukan kata yang berbentuk slanga dan bahasa percakapan yang lain ke dalam Kamus Dewan memanglah sesuai dengan ciri kamus ini sebagai sebuah kamus umum. Walau bagaimanapun, seperti edisinya yang terdahulu, kata yang sedemikian diberikan label bp sebagai pemakluman kepada pengguna supaya menggunakan kata yang berkenaan sesuai dengan konteksnya. Maknanya, kata yang berlabel bp tidak sesuai digunakan dalam situasi rasmi, tetapi tidak salah digunakan di luar konteks rasmi, seperti di kedai kopi, di rumah, atau semasa bersembang-sembang dengan rakan sebaya.” (halaman xv)

Di bawah ini terdapat sepuluh perkataan atau ungkapan yang diberi label bp oleh Kamus Dewan. Perkataan atau ungkapan yang berkenaan dihitamtebalkan dalam ayat contoh yang di bawah. Perkataan atau ungkapan gantinya diberikan dalam kurungan selepas ayat contoh itu.

1. Dia pukul gambar dengan saya. (bergambar)
2. Fasha sedang melepas. (buang air besar)
3. Haram, Zamri memang tidak menyedari perkara itu. (Sungguh-sungguh)
4. Kedai itu sudah memulakan jualan dengan harga gila. (harga yang terlalu murah/mahal)
5. Kami mengucapkan selamat jalan kepada rombongan itu. (selamat berangkat, selamat pergi)
6. Kita orang akan pergi ke Tawau minggu hadapan. (Kami)
7. Dia pemarah tapi hatinya baik. (tetapi)
8. Tuan tidak membagi saya balik ke kampung. (mengizinkan)
9. Apabila makan dekat restoran, dia menggunakan sudu dan garpu. (di)
10. Jangan hendak tunjuk taiming dan keras kepala. (sombong)

16 Februari 2009

15 Februari 2009

Pengajaran Kemahiran Mengeja: Konsep Mengeja

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak
http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/

Masukan terdahulu: Konsep Ejaan

Sesudah memahami konsep ejaan, kini marilah kita fahami konsep mengeja pula. Pemahaman yang baik terhadap kedua-dua konsep ini dapat membantu kita melaksanakan tugas mengajarkan bacaan asas sama ada sebagai ibu bapa atau guru prasekolah atau guru Bahasa Melayu, apalagi guru pemulihan.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), mengeja ialah perbuatan “membunyikan (menulis) huruf-huruf secara berturut-turut dalam sesuatu perkataan”. Takrif ini menyarankan dua cara untuk mengeja. Yang pertama ialah menyebut nama huruf secara berturut-turut yang terdapat pada sesuatu suku kata/perkataan dan membunyikan suka kata/perkataan itu. Yang kedua ialah menulis huruf dengan mematuhi tiga syarat (seperti yang telah dibincangkan) untuk membentuk suku kata/perkataan.

Ada dua cara menyebut huruf untuk menjadi suku kata dan perkataan.

Yang pertama ialah menyebut huruf dalam perkataan itu satu demi satu tanpa hentian dan tanpa menyebut suku kata dalam perkataan itu. Misalnya, “bola” dieja b – o – l – a. Gambaran ringkasnya ialah huruf → perkataan.

Yang kedua ialah menyebut huruf, diikuti dengan penyebutan suku kata dan seterusnya penyebutan perkataan. Contohnya, “bola” dieja “b” “o”, diikuti penyebutan suku kata “bo”. Seterusnya disebut pula nama huruf “l” “a”, diikuti dengan penyebutan suku kata “la”. Akhirnya disebut perkataan “bola”. Gambaran ringkasnya ialah huruf → suku kata → perkataan.

Dengan berdasarkan kaedah abjad, pengeja menyebut nama huruf. Bagi mengeja dengan abjad Rumi, cara yang kedua kerap digunakan. Pengguna kaedah abjad menganggap cara yang pertama tidak lengkap. Bagaimanapun, pengguna kaedah abjad mungkin juga menggunakan cara yang pertama atas pertimbangan tertentu.

Ada satu istilah yang berkait dengan mengeja. Istilah itu ialah "membatang". Insya-Allah, perkara ini akan dibincangkan apabila ada kesempatan

Bahasa Inggeris: Gapena Buat Laporan Polis

Oleh Ariffuddin Ishak, mStar, 15 Februari 2009
Pautan asal. Salinannya. Laporan Malaysiakini.

PETALING JAYA: Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) hari ini memfailkan laporan polis berhubung pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields tengah hari tadi.

Ketua I Gapena, Tan Sri Ismail Hussin berkata, tindakan memfailkan laporan polis merupakan langkah awal pihaknya menggunakan kaedah perundangan menghadapi isu berkenaan kelak.

“Kita mahu polis siasat laporan itu kerana apabila kerajaan melaksanakan PPSMI ia sebenarnya tidak sah mengikut undang-undang.

“Dengan melaksanakan PPSMI, jelas sekali kerajaan telah membelakangi Akta Pendidikan dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada mStar Online.

Dalam laporan itu, Gapena menekankan bahawa pelaksanaan PPSMI adalah bertentangan dengan Seksyen 17(1) Akta Pendidikan 1996 dan bercanggah dengan kehendak dan tujuan Perkara 152(1) dan 152(6) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam laporan itu, Gapena menekankan bahawa pelaksanaan PPSMI adalah bertentangan dengan Seksyen 17(1) Akta Pendidikan 1996 dan bercanggah dengan kehendak dan tujuan Perkara 152(1) dan 152(6) Perlembagaan Persekutuan.

Dinyatakan dengan lebih terperinci dalam laporan polis berkenaan bahawa Perkara 152(1) memperuntukkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan diperuntukkan melalui undang-undang, bahawa tiada sesiapa boleh dilarang dan dihalang menggunakan (selain bagi “maksud rasmi”) atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain.

Perkara 152(6) pula memperuntukkan bahasa perkara-perkara pendidikan negara, mata pelajaran utama dalam kurikulum kebangsaan yang diuruskan oleh Kementerian Pelajaran tergolong dalam kategori “maksud rasmi”.

Berasaskan kepada kehendak Perkara 152(1) & 6 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 17(1) Akta Pendidikan 1996, adalah wajib bagi semua mata pelajaran yang diajar di semua sekolah menggunakan bahasa Melayu.

Kira-kira 20 tokoh dan pejuang bahasa mengiringi Ismail ketika membuat laporan polis berkenaan.

Penghujung tahun lalu Gapena menetapkan 15 Februari iaitu hari ini sebagai tempoh muktamad untuk mengambil tindakan undang-undang di mahkamah sekiranya kerajaan masih meneruskan PPSMI.

Pemilihan tarikh itu adalah sebagai simbolik kepada Perkara 152 dalam Perlembagaan Malaysia yang menyentuh soal kedudukan bahasa kebangsaan.

Ditanya mengenai “perarakan keranda 152” yang dirancang sebelum ini, Ismail berkata, Gapena sentiasa rasional dalam setiap tindakan yang bakal diambil.

“Kita menerima banyak cadangan termasuklah nak bawa keranda itu, tapi apabila diperhalus lebih baik kita lakukan bantahan dengan cara yang lebih sopan dan teratur.

“Kalau nak bawa keranda kita kena dapatkan kebenaran pihak berkuasa, kena ikut peraturan,” katanya.

Berhubung hasrat untuk menyaman kerajaan di mahkamah berhubung isu PPSMI ini, beliau tetap menegaskan bahawa perkara itu masih dibincangkan.

“Kita masih mendalaminya, buat permulaan kita failkan laporan polis dahulu,”

Kenyataan Akhbar Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP)

Pendahuluan

1. Sebagaimana kita semua maklum, dasar pengajaran Sains dan Matematik dan semua mata pelajaran lain dalam bahasa kebangsaan di sekolah kebangsaan telah dilaksanakan secara tegas sejak tahun 1970. Setelah dasar itu berjalan selama 37 tahun hingga tahun 2003 tiada apa-apa masalah serius yang berlaku pada keupayaan pelajar kita dari semua kaum untuk menguasai ilmu sains dan matematik dan segala cabangnya dalam bahasa kebangsaan. Buku-buku teks dalam mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa kebangsaan dari darjah satu hingga ke tingkatan VI semuanya cukup, tidak timbul apa-apa masalah kekurangan buku teks. Hasil kegigihan Dewan Bahasa Dan Pustaka membina peristilahan sains dan matematik dalam bahasa kebangsaan, yang melibatkan ratusan ahli bahasa dan pakar dalam pelbagai bidang ilmu, masalah peristilahan sains tidak timbul lagi dalam tempoh itu.

2. Hasilnya, ratusan ribu pelajar dari semua kaum berjaya mempelajari sains dan matematik dalam bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan negara ini, dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat menengah, bahkan hingga ke peringkat pengajian tinggi. Dasar itu berjaya melahirkan puluhan ribu sarjana, profesor, pensyarah, ahli sains, pakar-pakar perubatan dan pakar dalam pelbagai bidang ilmu yang lain yang terdidik dalam bahasa Melayu melalui system pelajaran kebangsaan itu. Universiti Kebangsaan Malaysia yang ditubuhkan dalam tahun 1970 menjadi bukti nyata tentang kejayaan dasar pelajaran kebangsaan yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dalam semua kursus.

3. Ilmu yang diajarkan itu, sains dan matematik yang diajarkan itu dalam bahasa kebangsaan negara ini adalah ilmu yang secara asasnya sama di mana-mana sahaja ilmu itu diajarkan dalam bahasa apa pun di sekolah dan di universiti di negara-negara lain. Kalau kita hitung-hitung, kita akan menyedari bahawa di seluruh dunia ilmu itu lebih banyak diajarkan dalam bahasa-bahasa lain daripada dalam bahasa Inggeris. Sebagai contoh, lihat Lampiran A yang menunjukkan bahasa yang digunakan di sekolah dan di universiti di 6 buah negara di Asia, iaitu Jepun, Korea, China/Taiwan, Indonesia, Vietnam, dan Thailand. Semua negara Eropah dan negara-negara Skandinavia menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing, tidak bahasa Inggeris, untuk mengajar semua bidang ilmu dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat pengajian tinggi, dan negara-negara itu semuanya maju sains dan teknologi.

4. Maka hairanlah kami mengapa kerajaan atau pemimpin kerajaan (berbangsa Melayu) tiba-tiba, tanpa rundingan, tanpa kajian, tanpa sebab yang munasabah mengubah dasar pengajaran sains dan matematik itu dari bahasa kebangsaan kita balik semula ke bahasa Inggeris (seperti dalam zaman penjajahan British dahulu) setelah dasar menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar sains dan matematik sejak tahun 1970, tidak menimbulkan apa-apa masalah yang besar dan serius, seperti yang disebutkan di atas. Keputusan yang mengejut itu telah menimbulkan banyak masalah, meleret-leret sampai enam tahun lamanya!

Masalah yang Ditimbulkan oleh PPSMI

5. Setelah enam tahun berjalan, PPSMI masih tidak berkesan dan banyak menimbulkan masalah. Pengumuman Keputusan UPSR Tahun 2008 menunjukkan hanya 31.1% (159,234) murid sahaja daripada 511,875 murid Tahun 6 yang menjawab Kertas Sains dalam bahasa Inggeris. Ini bererti sebanyak 68.9% (352,641) murid yang tidak menjawab dalam bahasa Inggeris.

6. Dalam mata pelajaran matematik pula, 46.6% (238,153) murid daripada 511,499 jumlah murid yang menduduki peperiksaan Matematik UPSR menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini bererti 53.4% atau seramai 273,346 murid menjawab dalam BM atau BM/BI.

7. Kedua-dua angka yang tersebut pada para 5 dan 6 di atas menunjukkan peratus pelajar atau seramai 352,641 pelajar tidak faham bahasa Inggeris untuk menjawab soalan dalam bahasa ini, dan seramai 273, 346 murid tidak memahami matematik yang diajarkan dalam bahasa Inggeris. [Catatan: ini tidak bererti bahawa pelajar itu tidak mempunyai “otak” atau minat untuk belajar atau mengetahui sains atau matematik; puncanya ialah, mata pelajaran ini diajarkan dalam bahasa yang pelajar itu tidak faham, samalah seperti kita cuba mengajar sains dan matematik kepada pelajar Inggeris di England dalam bahasa Melayu atau bahasa Jepun dan bahasa-bahasa lain yang mereka tidak faham satu patah pun].

Hasil Kajian

8. Hasil kajian sebenar yang dilakukan oleh pasukan penyelidik seramai 50 orang pensyarah dari tujuh buah Universiti (UPM, UiTM, UPSI, USM, UUM, UMS dan UTM) dengan seliaan Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) di 70 buah sekolah menengah (pelajar Tingkatan 4) dan 90 buah Sekolah rendah di seluruh negara (murid darjah 5) membuat kesimpulan bahawa PPSMI gagal memberikan manfaat kepada pelajar, khususnya pelajar-pelajar Melayu di sekolah kebangsaan luar bandar. Di beberapa buah negeri, misalnya Perlis, Kelantan, Sabah dan Sarawak, peratusan pelajar yang gagal (markah D & E) melebihi 50%. Prestasi SPM 2007 jelas menunjukkan bahawa bilangan pelajar Melayu yang cemerlang dari Sekolah Berasrama Penuh dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) juga menunjukkan kemerosotan yang merudum, terutama dalam mata pelajaran Kimia dan Matematik.

9. Dua kajian lain telah dilakukan, iaitu (a) kajian yang dibuat oleh Profesor Emeritus Dato’ Isahak Haron dari UPSI Januari 2008), terhadap 1703 murid tahun 5 di 28 buah Sekolah rendah dan terhadap 1692 guru, dan (b) kajian yang dibuat oleh Profesor Datin Dr. Juriah Long (dari UKM) ke atas pelajar Tingkatan 2 di 242 buah Sekolah Menengah di seluruh negara yang meliputi 7236 pelajar (2004) dan 707 guru matematik dan 701 guru Sains. Hasil dapatan kedua-dua kajian ini hampir sama dengan kajian yang dibuat oleh PEMBINA.

Apakah Ukuran yang Digunakan untuk Mengabsahkan PPSMI?

10. Penggunaan bahasa Inggeris tidak boleh dikaitkan dengan peningkatan atau penurunan keputusan yang dicapai untuk mata pelajaran sains dan matematik. Menggunakan keputusan UPSR sebagai kriteria penanda aras penentuan sama ada PPSMI boleh dikekalkan atau dimansuhkan adalah ukuran yang tidak tepat dan wajar. Ini kerana kaedah yang digunakan ialah Kaedah Rujukan Norma. Mengikut Kaedah Rujukan Kriteria, sesuatu gred itu ditetapkan dahulu, manakala Kaedah Rujukan Norma menjurus kepada pencapaian keseluruhan murid yang mengambil peperiksaan dalam satu-satu subjek. Sehubungan ini, min atau purata markah dan sisihan piawai (standard deviation) diambil kira bagi menentukan markah lulus dan gagal. Misalnya, dalam tahun 2007, dari 500,596 pelajar yang mengambil subjek Matematik, purata markah yang dicapai oleh calon ialah 43 dan sisihan piawai ialah 8, maka markah lulusnya ialah 43 - 8 = 35. Dalam tahun 2008, andainya purata markah ialah 38 dan sisihan piawai 8, maka markah lulusnya ialah 38 – 8 = 30. Malah, sebagai perbandingan, berdasarkan markah lulus 35 dalam tahun 2007, peratusan lulus UPSR Matematik (A, B, C) ialah 82% dan pada tahun 2008 pada markah lulus 30, peratus calon yang lulus mungkin 82% juga. Pada pandangan orang awam, itu tidak menunjukkan ada perbezaan prestasi, padahal kalau mengikut markah sebenar, jelas murid-murid tahun 2008 lebih rendah prestasinya daripada prestasi murid-murid tahun 2007.

Jangan Gunakan Pandangan “Tangkap Muat” untuk Mempertahankan PPSMI

11. Kami perhatikan ada dua tiga media cetak dan media elektronik yang cuba mempertahankan PPSMI berdasarkan pendapat dan pandangan beberapa orang awam lalu membuat kesimpulan bahawa kebanyakan mereka menyokong PPSMI, padahal pendapat atau pandangan itu tidak berdasarkan pemerhatian, kajian, pengetahuan dan maklumat yang boleh dipertahankan secara ilmiah. PPSMI ini menyentuh nasib pendidikan ratusan ribu pelajar kita, masalah dihadapi oleh guru dan ibu bapa seluruh negara. Kalau hanya 400 atau seribu orang biasa atau yang orang dan pihak berkepentingan (vested interest groups) ditanya apakah pendapat mereka tentang PPSMI lalu, katakanlah lebih 50% mereka berkata bahawa PPSMI itu bagus dan sudah berjaya, bolehkah kita percaya dengan pendapat “gallop poll” itu dan berkata bahawa lebih 50% penduduk seluruh Malaysia menyokong PPSMI? Janganlah kita membohong rakyat. Lebih baik orang yang hendak mengetahui keadaan sebenarnya pergi ke semua sekolah kebangsaan di kampung-kampung di Semenanjung Malaysia dan di Sarawak dan di Sabah, di ulu-ulu, duduk dalam kelas-kelas memerhatikan apakah semua pelajar di situ faham atau tidak faham sains dan matematik yang diajarkan dalam bahasa Inggeris yang tidak difahami oleh ratusan ribu pelajar itu.

12. Kami berharap media di negara ini, terutama media aliran perdana berbahasa Melayu, dapat menyokong GMP dengan menyiarkan pendapat dan maklumat yang benar tentang PPSMI supaya rakyat, pendidik, guru-guru dan ahli-ahli politik dan wakil rakyat dapat didedahkan kepada hakikat yang sebenarnya tentang PPSMI ini. Ini bukan masalah beberapa orang atau beberapa kelompok orang yang berkepentingan sahaja; ini masalah negara, masalah masa depan anak cucu kita dalam bidang pendidikan dalam bahasa ibunda sendiri.

13. Beberapa banyak kajian telah dilakukan oleh pakar-pakar di seluruh, mengatakan secara pasti bahawa manusia mulai peringkat kanak-kanak lebih mampu berfikir secara kreatif dan dapat memahami konsep-konsep ilmu dengan lebih mudah dan cepat dalam bahasanya sendiri. Cuba bayangkan masalah kanak-kanak Melayu atau kanak-kanak bangsa apa pun, yang sudah mengetahui bahasa Melayu atau bahasa sendiri, tiba-tiba apabila masuk sekolah darjah satu diajarkan sains atau matematik atau ilmu kira-kira dalam bahasa yang mereka tidak faham sepatah pun.

GMP Tidak Fanatik BM dan Tidak Anti Bahasa Inggeris

14. GMP tidak didorong oleh apa-apa emosi atau fikiran yang tidak rasional atau didorong oleh perasaan anti bahasa Inggeris. GMP juga bukan “gila bahasa Melayu”. Kami cuma mahu mempertahankan kebenaran. Dasar yang salah, yang boleh memudaratkan bangsa kita, harus ditolak. Dasar yang baik harus disokong. Pendapat yang mengatakan bahawa bangsa yang tidak menuntut ilmu sains dalam bahasa Inggeris, bangsa itu tidak akan maju dalam bidang sains adalah pendapat yang sama sekali tidak benar. Kita tidak perlu membuang masa membuat kajian yang panjang lebar untuk membuktikan bahawa pandangan itu sama sekali salah.

15. Hal yang sangat menghairankan ialah, “pendapat” atau “teori” yang mengatakan bahawa pelajar kita boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kalau pendapat ini benar, tidak perlulah kita belajar bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran tersendiri. Tidak pernah kita mendengar orang belajar bahasa asing melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa itu. Bahasa Inggeris seharusnya diajar melalui pelajaran bahasa Inggeris (mengajar nahu, membaca sastera dalam bahasa Inggeris, dan sebagainya), tidak melalui pelajaran sains dan matematik.

16. Oleh sebab itu, kita menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan serius untuk membaiki pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di sekolah kebangsaan untuk memastikan pelajar kita menguasai bahasa ini dengan cukup baik setelah mempelajarinya selama sebelas tahun dari darjah I hingga tingkatan V. Masalah inilah yang sepatutnya diselesaikan oleh kerajaan, bukan mengubah dasar yang sudah baik dan berjaya, lalu menimbulkan masalah yang tidak patut timbul.

17. Mengatakan bahawa orang Melayu tidak akan maju dalam bidang sains dan matematik kalau ilmu ini tidak diajarkan dalam bahasa Inggeris, ini adalah kenyataan atau pandangan orang yang jahil. Apakah bangsa-bangsa lain, seperti bangsa Cina, bangsa Jepun, bangsa Korea, bangsa Perancis dan bangsa Jerman dan bangsa Thai, misalnya, tidak maju dalam bidang sains dan matematik kerana ilmu ini diajarkan dalam bahasa masing-masing, tidak dalam bahasa Inggeris? Apakah profesor matematik atau profesor sains yang mengajar ilmu ini dalam bahasa Melayu tidak maju, atau lebih bodoh daripada profesor sains dan matematik yang mengajar dalam Inggeris? Orang yang membuat dasar itu perlu menjawab soalan seperti ini – jawapan yang benar, yang saintifik, tidak emotional.

Usaha GMP

18. GMP sedang mengumpulkan sebanyak mungkin penyokong di seluruh negara untuk meminta kerajaan supaya memansuhkan PPSMI.

19. Pada 17 Februari 2009 wakil-wakil GMP akan menyerahkan memorandum kepada Wakil Rakyat atau ketua-ketua mereka di Parlimen.

20. GMP berharap dapat mempersembahkan memorandum ke bawah Duli Yang Di-Pertuan Agong berhubung dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pendidikan di negara ini berdasarkan kehendak Perlembagaan.

21. GMP tidak menentang kerajaan atau berhajat untuk “bergaduh” dengan kerajaan atau mana-mana pihak tetapi hanya berasa terpanggil untuk sama-sama memberikan kerjasama menyelesaikan masalah yang menyentuh kepentingan negara dan rakyat tidak kira kaum dan orientasi politik atau parti politik masing-masing. Jika GMP disokong oleh orang PAS, orang PKR, orang DAP, atau orang BN atau UMNO, itu kami anggap bukan sokongan “berbau politik” dan kami tidak akan menolaknya, tetapi GMP tidak akan membiarkan dirinya diperalatkan oleh mana-mana parti politik.

22. GMP akan menjalankan kegiatannya “dengan waras”, rasional, berdasarkan hujah dan fakta yang dapat kami pertanggungjawabkan. Kami tidak akan menggunakan cara yang boleh menyalahi undang-undang negara atau tatasusila sosial dan moral bangsa kita. Kami tidak akan mengadakan tunjuk perasaan dan demonstrasi jalanan yang boleh membawa kepada unsur-unsur keganasan seperti yang dilakukan oleh badan-badan tertentu. Kami akan mengadakan Himpunan Aman 100 Ribu Rakyat Malaysia di Istana Negara pada 7 Mac 2009 bagi mendesak pihak kerajaan memansuhkan PPSMI dengan segara.

Dato’ Dr. Hassan Ahmad
Mewakili Badan Induk Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP)
dan seluruh anggota dan penyokong Gerakan ini

Tarikh 12 Januari 2009

Orang Patut-patut Kita Duduk Senang-senang Diri Masing-masing


cipta sendiri

"Orang patut-patut kita duduk senang-senang diri masing-masing dalam bilik mahligainya dengan nikmat sentosa dan cukup puas hati pula, datang rasa hatinya dan sampai hatinya memandang anak-anak bangsa bergelumang dengan kehinaan dan kejatuhan kepada saf-saf yang jauh di belakang penumpang negeri." Za’ba, Lembaga Melayu, 1917.

orang patut-patut = orang yang memegang kuasa, kaya dan berpendidikan.

Sumber: Adnan Awang, Pemikiran Pendidikan Za’ba, Syarahan Za’ba, IPM, UPSI, 16 Disember 2008 sebagaimana yang dipetik oleh
Prof. Dr. Abdullah Hassan pada 18 Disember 2008.

13 Februari 2009

Pejuang Bahasa Melayu Bukan Taasub


Penulis diberitahu ramai pensyarah di IPTA menentang PPSMI, tetapi terpaksa mendiamkan diri kerana terikat dengan Surat Aku Janji yang mensyaratkan mereka mematuhi lapan perkara sebagai kakitangan awam termasuk akur dan menyokong semua dasar kerajaan.

Sesetengah yang sudah menyatakan pendirian mereka secara terbuka termasuk di kalangan pejuang bahasa, sudah pun dipanggil polis Cawangan Khas untuk disoal siasat dan diminta memberi hujah bagi mempertahankan tindakan masing-masing.

Suatu hakikat yang sering dinafikan kelompok yang enggan memahami semangat pejuang bahasa ialah mereka bukan taasub dan tidak pernah menafikan kepentingan bahasa Inggeris, tetapi biarlah penguasaan dimantapkan melalui pengajaran subjek, bukannya menjadikan Sains dan Matematik sebagai mangsa.

Pendekatan ini menguntungkan pelajar tanpa mengira bangsa, sosio-ekonomi mahupun kedudukan geografi mereka serta memungkinkan lebih ramai rakyat Malaysia meningkatkan taraf hidup kerana Sains dan Matematik, subjek asas kemasukan ke universiti dengan kursus bernilai ekonomi.

Baca artikel asal Puan Salbiah Ani di sini atau baca salinannya di sini.

Pedoman Bahasa (JPEG) 030. Minda Tokoh/Pejuang/Ahli/Pencinta Bahasa Melayu

Pejuang Bahasa Kita Menyokong Murid Belajar Bahasa Inggeris

Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan menulis, “Kita menyokong murid belajar bahasa Inggeris, tetapi hendaklah diajar oleh guru yang mahir berbahasa Inggeris dalam kelas bahasa Inggeris.

Kita juga menyokong murid belajar sains dan matematik, tetapi hendaklah diajar oleh guru sains dan matematik, dan juga dalam bahasa yang difahami oleh murid (dan guru!) iaitu bahasa ibunda.”

Tulisan asal beliau di sini. Salinannya di sini.

Pedoman Bahasa (JPEG) 029. Minda Tokoh/Pejuang/Ahli/Pencinta Bahasa Melayu

Graduan Universiti Malaya yang Mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu Bergaji RM40 Ribu Sebulan

Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid berkata, kini graduan Pusat Asasi Sains Universiti Malaya merupakan pakar dalam bidang masing-masing dan mereka mendapat gaji lebih RM40,000 sebulan. Di Pusat Asasi Sains mereka mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu.

Berita Bernama 12 Februari 2009 di sini. Salinan berita di sini.

Pedoman Bahasa (JPEG) 028. Minda Tokoh/Pejuang/Ahli/Pencinta Bahasa Melayu.

12 Februari 2009

Apa Guna Lagak dan Gaya

video

Apa guna asamlah paya,
Kalau tidak digulai ikan;
Apa guna lagak dan gaya,
Kalau bahasa ibunda tidak dihiraukan.

Tumbuh angsana tepian desa,
Terbang indah si burung kedidi;
Bahasa itu lambang bangsa;
Dipegang kukuh disemat abadi.

Anak India membawa madat,
Benih kemboja dekat pangkalan;
Hidup manusia biar beradat,
Bahasa pertiwi jadi sanjungan.

Bunga bahasaku dipetik, janganlah perdunya dibuang. Suntinglah bunga bahasaku, kembangnya tidak akan layu.

Klip Video 005, Pantun "Bahasaku"

Pandangan Ahli Bahasa tentang PPSMI

Power Point ini dapat menjadi bahan paparan dalam sesuatu acara khas atau sebelum sesuatu acara bermula. Manfaatkanlah.
PPSMI, Petikan, Minda Ahli Bahasa

11 Februari 2009

Syair "Kelebihan Ilmu" oleh Fawwaz Taqif

video

Syair “Kelebihan Ilmu”

Ilmu itulah gemala sakti,
Sinarnya cerah cahaya sejati;
Asal puncanya lamun didapati,
Sukar bercerai sehingga mati.

Harganya tidak dapat ternilaikan,
Sebuah dunia belinya bukan;
Kuasanya besar sukat digunakan,
Di laut di darat, di rimba dan pekan.

Pembaca syair: Saudara Fawwaz Thaqif bin Alias Tudin.

Klip Video 004, Deklamasi Puisi, Bacaan Syair

Harapan Menteri Pelajaran Meleset

Pengenalan

Kertas ini membentangkan ringkasan hasil kajian yang kami jalankan di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim bagi mencari jawapan kepada soalan: Sejauh manakah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) meningkatkan pembelajaran dan prestasi pelajar? Tujuan ditumpukan terutama kepada pelajar Melayu dalam menguasai Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris di sekolah rendah dan menengah.

Kumpulan Penyelidik

Projek penyelidikan dikendalikan oleh pasukan berikut:
Profesor Emeritus Dato’ Isahak Haron (Ketua)
Prof. Madya Dr. Abdul Latif Hj. Gapor
Dr. Md Nasir bin Masran
Dr. Mariam binti Mohamad
Encik Abdul Halim bin Ibrahim

Petikan

Kesimpulan besar pertama: Dapatan di atas menunjukkan dasar penggunaan Bahasa Inggeris untuk meningkatkan kefahaman konsep, ilmu dan kemahiran Matematik dan Sains pelajar sekolah rendah dan menengah (seperti yang diharapkan dalam siaran akhbar YB Menteri Pelajaran Julai 2002) tidak tercapai; bahkan kesannya adalah negatif.

Ini ialah kerana kebanyakan pelajar, terutama pelajar Melayu/bumiputera, lemah bahasa Inggeris. Kebanyakan guru juga lemah dalam bahasa Inggeris untuk menerangkan dengan jelas dan selesa konsep, ilmu dan kemahiran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Kedua-dua faktor ini berganda akibatnya, menyebabkan murid sukar dan lemah dalam matematik dan sains. Mereka juga sukar memahami kandungan buku teks dalam bahasa Inggeris. Kesannya adalah seperti yang ditunjuk dalam hasil ujian Matematik dan Sains pada Tahun 5 sekolah rendah, dan di Tingkatan 1 dan 2 di sekolah menengah.

Untuk membaca laporan lengkap kajian Prof. Emeritus Dato' Isahak Harun dan rakan-rakannya, klik di sini. Ringkasan kajian mereka terdapat di sini.

Pedoman Bahasa (JPEG) 027. Minda Tokoh/Pejuang/Ahli/Pencinta Bahasa Melayu.

Konsep Kesediaan Membaca

Kesediaan membaca bermaksud kemampuan seseorang untuk menerima pengajaran dari segi mental, emosi dan fizikal. Secara luas, kesediaan membaca melibatkan sebarang aktiviti sebelum sesuatu peringkat bacaan dimulakan, sama ada di peringkat mendirikan asas, mengukuhkan asas mahupun peringkat-peringkat lain yang lebih tinggi.

Secara khusus, iaitu untuk kanak-kanak yang belum didedahkan dengan sebarang aktiviti bacaan, kesediaan membaca merangkumi kebolehan fizikal, emosi dan mentalnya untuk menerima pengajaran bacaan asas

10 Februari 2009

Enam Alasan untuk Menolak PPSMI

Artikel di bawah ini dipetik daripada tulisan Tuan Kamal Shukri bin Abdullah Sani. Beliau ialah Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia dan Munsyi Dewan. Tulisan penuh beliau dapat dibaca di blog Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan. Klik di sini untuk membacanya.
PPSMI, Kamal Shukri, Enam Alasan Menolak PPSMI

Membangun Tamadun Atas Acuan Sendiri

Petikan daripada artikel "Bahasa Melayu Akan Pupus":

1. Pengembangan minda dan ilmu sesuatu masyarakat atau bangsa secara fitrahnya perlu berasaskan bahasa yang telah dikurniakan oleh Tuhan kepada masyarakat atau bangsa itu, sesuai dengan sunnahtullah atau peraturan yang ditentukan Tuhan sebagaimana yang diisyaratkan dalam Surah al-Hujurat, ayat 13, Surah Ibrahim, ayat 4, dan Surah al-Rum, ayat 22.

2. Seorang penganggur atau “tukang sapu” di kota London atau New York tetap seorang penganggur atau “tukang sapu” walaupun kemahirannya bahasa Inggerisnya “mengalahkan” seorang profesor di universiti negara ini (tanpa menafikan bahawa profesor di sini tetap perlu menguasai bahasa Inggeris dengan baik).

Untuk membaca artikel penuh tulisan Tuan Kamal Shukri bin Abdullah Sani (Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia dan Munsyi Dewan) klik di sini.

Pedoman Bahasa (JPEG) 026. Minda Tokoh/Pejuang/Ahli/Pencinta Bahasa Melayu.

09 Februari 2009

Kaedah Pengajaran Bacaan Asas: Kaedah Abjad

video

Pautan yang berkaitan: Kaedah Fonik Versi Nik Eliani dan Othman

Senario
Dalam filem “Pendekar Bujang Lapok” terdapat episod Cikgu Ros mengajarkan huruf Jawi kepada sekumpulan pelajar dewasa termasuk tiga orang bujang lapuk, iaitu P. Ramlee, Aziz Satar dan S. Shamsudin. Apakah kaedah bacaan asas yang digunakan oleh Cikgu Ros?

Konsep

Kaedah ini berfokus pada penghafalan abjad, pembentukan suku kata dan aktiviti mengeja. Oleh sebab usaha menghafal abjad dan membentuk suku kata itu bertujuan untuk membolehkan murid mengeja perkataan, maka kaedah ini dinamakan juga kaedah mengeja.

Kaedah ini merupakan kaedah tradisional yang digunakan oleh guru untuk mengajarkan bacaan asas dalam bahasa Melayu sejak sekian lama, iaitu lebih kurang tujuh abad lamanya dengan menggunakan tulisan Jawi dan lebih kurang seabad pula lamanya dengan menggunakan tulisan Rumi.

Jadi, dari segi kekerapan penggunaan, kaedah ini merupakan kaedah yang terunggul dan telah terbukti berjasa mencelikhurufkan jutaan manusia di negara kita dan yang sebahagiannya kini bergelar cendekiawan dan profesor.

Secara umum, susunan pelaksanaan kaedah ini bersifat binaan. Gambaran binaannya adalah seperti dalam rajah di sebelah.

Prosedur Pelaksanaan

Abjad Murid diperkenalkan dengan nama semua huruf yang terdapat dalam sistem ejaan semasa. Mereka perlu menghafal nama semua huruf yang diperkenalkan itu. Menurut Abdul Aziz Abdul Talib (2000), biasanya, huruf besar diperkenalkan terlebih dahulu sebelum huruf kecil diajarkan. Menurut Raminah Haji Sabran dan Rahim Syam (1985) pula, kedua-dua bentuk huruf kecil dan huruf besar didedahkan serentak. Setelah murid menghafal semua nama huruf, pengajaran difokuskan pula pada nama dan bunyi huruf vokal a, e, i, o, dan u.

Suku Kata Setelah murid menghafal nama semua huruf dan mengenal huruf vokal serta bunyinya, pelajaran diteruskan dengan pembentukan suku kata secara berturutan. Murid dilatih tubi membaca suku kata itu.

Perkataan Daripada suku kata itu dibentuk perkataan seperti baba, baca, bola, buku, dada, dan cucu. Latih tubi mengeja perkataan diadakan. Lazimnya pengejaan dilakukan dengan menyebut nama huruf pada sesuatu suku kata diikuti dengan penyebutan suku kata itu. Misalnya untuk perkataan “buku”, mula-mula disebut nama huruf bi dan yu diikuti penyebutan bunyi suku kata “bu”; kemudian disebut nama huruf ke dan yu dikuti penyebutan bunyi suku kata “ku”, dan akhir disebut perkataan “buku”.
video

Kemahiran Berfikir:
Klip video ini dipetik daripada filem “Pendekar Bujang Lapok”. Adakah kaedah yang terdapat dalam klip video ini menepati kaedah abjad?

Kekuatan

Penekanan terhadap nama abjad dan bunyi suku kata sesuai dengan sistem ejaan bahasa Melayu. Kecuali bentuk dwihuruf (digraf) seperti konsonan ng dan diftong ai, umumnya satu huruf dalam bahasa Melayu melambangkan satu bunyi sahaja.

Setiap perkataan pula mesti terdiri daripada sekurang-kurangnya satu suku kata. Suku kata itu terhasil dengan menggabungkan satu atau lebih daripada satu konsonan dengan satu vokal atau diftong.

Dengan perkataan lain, struktur suku kata bahasa Melayu bersifat tetap dan mudah dikenal pasti. Hal ini memudahkan murid mengingat dan menyebut suku kata. Apabila murid menguasai suku kata, mereka dapat membentuk perkataan. Seterusnya, murid dapat membentuk apa-apa sahaja perkataan baharu dengan suku kata itu walaupun mereka tidak memahami makna perkataan itu. Rumusannya, kaedah ini menyediakan asas yang kukuh kepada murid untuk membaca.

Kaedah ini mudah dikendalikan dan tidak memerlukan alat bantu belajar yang banyak. Berbekalkan pengalaman belajar membaca dengan menggunakan kaedah ini dan dengan menggunakan sumber yang minimum seperti buku, ditokok dengan kesungguhan dan kesabaran, sesiapa sahaja dapat mengajarkan bacaan kepada mana-mana kumpulan sasaran dengan menggunakan kaedah ini.

Guru sekolah rendah dapat melaksanakan kaedah ini berpandukan buku dan dengan menggunakan carta abjad, carta suku kata dan kad perkataan. Kaedah ini sesuai digunakan untuk mengajar orang dewasa seperti yang dilakukan oleh Cikgu Ros. Mungkin Cikgu Ros merupakan salah seorang guru dalam pembasmian buta huruf pada tahun 60-an.

Kelemahan

Hasil kaedah ini hanya dapat dilihat setelah pembelajaran berlaku lebih kurang enam bulan. Tempoh ini sangat lama.

Bacaan murid mungkin kurang lancar. Hal ini disebabkan murid terlazim dengan proses mengeja, iaitu menamakan huruf dan menyebut suku kata sebelum menyebut sesuatu perkataan.

Ada kemungkinan murid keliru antara nama huruf dengan bunyi huruf. Implikasinya, kesilapan dapat berlaku apabila mereka silap memecahkan perkataan kepada suku kata. Ada juga kemungkinan mereka tidak memahami apa-apa yang dibaca kerana terlalu mementingkan ejaan.

Kebolehan murid berbeza-beza. Bagi murid yang bermasalah pembelajaran, mereka berasa terbeban dan cepat bosan jikalau diajar dengan kaedah ini.

Kaedah yang bersifat binaan ini bertentangan dengan pandangan ahli psikologi yang mengatakan bahawa kanak-kanak menguasai sesuatu daripada keseluruhan membawa kepada bahagian-bahagiannya.

Perhatian untuk Guru Pemulihan
Guru pemulihan khas dan kelas intervensi awal membaca dan menulis (KIA2M) mesti memastikan sama ada murid yang akan dipulihkan pernah diajar dengan menggunakan kaedah ini atau tidak. Jikalau murid yang akan dipulihkan itu pernah diajar dengan kaedah ini sedangkan guru pemulihan menggunakan kaedah yang lain, ada kemungkinan murid akan keliru dan proses pemulihan bertambah sukar.

Penutup

Kaedah ini masih digunakan oleh kebanyakan guru prasekolah dan Tahun 1. Dalam filem "Berlari ke Langit", seperti dalam klip video di bawah, Cikgu Yasmin juga menggunakan kaedah ini.

video

Kemahiran Berfikir
Apakah kekuatan dan kelemahan kaedah abjad selain yang dinyatakan di atas?

Pada bulan Mac tuan ditukarkan dari sekolah A ke sekolah B. Guru besar menugaskan tuan mengajarkan bahasa Melayu di kelas Tahun 1. Apakah pendekatan atau kaedah yang akan tuan gunakan?

Bibliografi

Abdul Aziz Abd. Talib, 2000. Pedagogi Bahasa Melayu: Prinsip, Kaedah dan Teknik. Kuala Lumpur: Utusan Publications.

Idris Mohd. Radzi dan Dahlia Janan, 2006. Mengajar dan Belajar Bahasa Melayu: Penyerapan Kemahiran Bernilai Tambah. Tanjong Malim: Penerbit UPSI.

Raminah Haji Sabran dan Rahim Syam, 1985. Kaedah Pengajaran Bahasa Malaysia. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti.

Marzuki Nyak Abdullah, 1994. Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti.