30 April 2009

Format Kertas Kerja Projek

Format kertas kerja projek (KKP) berbagai-bagai, bergantung pada kehendak pihak yang akan meluluskan projek itu. Misalnya, KKP yang akan dikemukakan kepada pihak bank berbeza sedikit dengan kertas kerja yang akan dikemukakan kepada pengurus sekolah.

Dalam alam pendidikan, KKP mempunyai kandungan yang hampir sama seperti tajuk, penganjur, rasional, tujuan, tarikh pelaksanaan, kumpulan sasar, senarai jawatankuasa, jadual pelaksanaan dan perbelanjaan.

Pendahuluan boleh juga dimasukkan. Apabila ada pendahuluan tentulah ada penutup. Jikalau projek itu berupa peningkatan projek yang sedia ada, latar belakang projek yang terdahulu perlu dimasukkan. Bagi projek tertentu, tema projek elok dinyatakan.

Perincian tugas bagi setiap jawatankuasa dan individu boleh juga dimasukkan dalam kertas kerja itu. Butiran lengkap sesuatu kandungan atau subtajuk yang terlalu panjang seperti senarai jawatankuasa, senarai tugas mereka, butiran perbelanjaan, borang, lakaran, rajah, dan jadual elok dijadikan lampiran.

Untuk Cikgu Mohd Ariffin, di bawah ini diberikan beberapa contoh format KKP. Sesuaikan contoh ini dengan keperluan cikgu.

Format KKP Ab. Rahman dan Yap
Bahasa Melayu: Komunikasi Berkesan dan Pengucapan Umum, 1998
1. Tajuk
2. Rasional
3. Objektif/Matlamat
4. Jangka Masa Pelaksanaan
5. Kumpulan Sasar
6. Andaian (Kekangan)
7. Sumber Kewangan
8. Jawatankuasa
9. Senarai Tugas
10. Pelaksanaannya

Format KKP Ab. Alim
Pengurusan Kokurikulum dan Badan Beruniform, 1999
1. Pendahuluan
2. Objektif dan Matlamat
3. Tema
4. Tempat
5. Tarikh dan Tempoh Pelaksanaan
6. Perasmi
7. Bilangan Penyertaan dan Kategori
8. Bayaran
9. Jawatankuasa Kerja
10. Jawatankuasa Kecil
11. Perbelanjaan
12. Pendapatan
13. Penutup
14. Lampiran

Format KKP Institut Pendidikan Guru (IPG)
Sebuah IPG hanya memerlukan butiran minimum seperti yang berikut:
1. Tajuk
2. Rasional
3. Matlamat
4. Objektif
5. Tarikh dan Masa
6. Sasaran
7. Ahli Jawatankuasa
8. Program
9. Kewangan

Format KKP Perkhemahan Sekolah
1. Pendahuluan
2. Objektif
3. Tema Perkhemahan
4. Tempat
5. Tarikh Perkhemahan
6. Tarikh Perasmian
7. Jumlah Peserta
8. Bayaran Penyertaan
9. Sijil dan Hadiah
10. Jawatankuasa Pengelola
11. Jawatankuasa Kecil Pelaksanaan
12. Jawatankuasa Kecil Aktiviti
13. Anggaran Perbelanjaan
14. Anggaran Pendapatan
15. Atur Cara Aktiviti

29 April 2009

Sepuluh Lagi Perkataan/Ungkapan Berlabel “bp”

Masukan terdahulu
Sepuluh Perkataan/Ungkapan Berlabel "bp"

Dalam pendahuluan Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), ada tercatat perenggan yang berikut:

“Pemasukan kata yang berbentuk slanga dan bahasa percakapan yang lain ke dalam Kamus Dewan memanglah sesuai dengan ciri kamus ini sebagai sebuah kamus umum. Walau bagaimanapun, seperti edisinya yang terdahulu, kata yang sedemikian diberikan label bp sebagai pemakluman kepada pengguna supaya menggunakan kata yang berkenaan sesuai dengan konteksnya. Maknanya, kata yang berlabel bp tidak sesuai digunakan dalam situasi rasmi, tetapi tidak salah digunakan di luar konteks rasmi, seperti di kedai kopi, di rumah, atau semasa bersembang-sembang dengan rakan sebaya.” (halaman xv)

Di bawah ini terdapat sepuluh perkataan atau ungkapan yang diberi label bp oleh Kamus Dewan. Perkataan atau ungkapan yang berkenaan dihitamtebalkan dalam ayat contoh yang di bawah. Perkataan atau ungkapan gantinya diberikan dalam kurungan selepas ayat contoh itu.

1. Tahun ini mereka akan beraya di Ranau. (berhari raya)
2. Pekerjaan itu memerlukan skil yang khusus. (kemahiran)
3. Albert Mark menang dalam raun yang pertama. (pusingan)
4. Juhilin meraun dengan jip di ladang kayu sentangnya. (meronda)
5. Jam tangan waterpruf itu didermakan oleh Tuan Haji Daud. (kalis air)
6. Rumah Encik Tham Soo Koon terletak di belakang woksyop itu. (bengkel)
7. “Kenapakah kita mesti mengikut jalan mati ini?” pemidato itu menyoal hadirin. (Mengapakah)
8. Kami akan berusaha menyerlahkan citra varsiti kami dalam pertandingan itu. (universiti)
9. Cikgu Abdul Wahab yakin walid Arbainah akan hadir dalam mesyuarat itu. (ayah/bapa)
10. Bantuan yang Datuk dan Datin hulurkan sangat kami hargai. Sumbangan kalian ini akan kami gunakan sebaik-baik yang mungkin. (Datuk dan Datin)

28 April 2009

Ejaan Bersempang seperti “E-Mel”

Yang berikut ialah perkataan bersempang seperti “e-mel”. Perkataan “e-mel” dimasukkan juga dalam senarai ini sebagai perbandingan.

e-dagang - ٳي-داڬڠ
e-grup - إي-ڬروڤ
e-Jawi - إي-جاوي
e-mel – إي-ميل
e-sastera - إي-سسترا
k-ekonomi - كي-ايكونومي
Perhatian: Fon tulisan Jawi di atas ialah ArialJawi.

Jikalau ada perkataan lain seperti perkataan di atas, mohon catatkan perkataan itu dalam ruangan ulasan.

Ejaan dan Sebutan “Meng-e-melkan”

e-mel – [i.mél] - إي-ميل

ber-e-mel – [ber.i.mél] - بر-إي-ميل

di-e-melkan – [di.i.mél.kan] - د-إي-ميلكن

e-melkan - [i.mél.kan] - إي-ميلكن

ku-e-melkan - [ku.i.mél.kan] - كو-إي-ميلكن

meng-e-mel - [meng.i.mél] - مڠ-ٳي-ميل

meng-e-melkan - [meng.i.mél.kan] - مڠ-إي-ميلكن

Perhatian: Fon tulisan Jawi di atas ialah ArialJawi.

27 April 2009

Sari Rencana: "Oleh Sebab” Baku

Anak panah menunjukkan ungkap yang baku.
1. oleh kerana → oleh sebab
2. demi untuk → demi (atau untuk)
3. selain daripada → selain
4. selain dari → selain
5. justeru itu → justeru

Oleh Kerana*

Jikalau sesuatu kata itu dapat disertai oleh kata ganti nama tunjuk dan kata bilangan, maka kata itu ialah kata nama. Frasa “sebab itu” dan “satu sebab” wujud dan baku. “Itu” ialah kata ganti nama tunjuk. “Satu” ialah kata bilangan. Hal ini membuktikan bahawa perkataan “sebab” ialah kata nama.

Perkataan “oleh” ialah kata sendi. Kata sendi mesti diikuti oleh kata nama atau frasa nama. Frasa “oleh sebab” betul kerana sudah dibuktikan bahawa perkataan “sebab” itu ialah kata nama. Frasa “oleh kerana” tidak baku walaupun kerap digunakan. “Kerana” ialah kata hubung, bukannya kata nama.

Frasa yang berwarna merah tidak baku dan perlu digantikan dengan frasa yang berwarna hijau yang tercatat dalam kurungan di hujung ayat.

Oleh kerana latihannya mencukupi, pasukan itu menang dalam pertandingan tersebut. (Oleh sebab)
Dia lewat sampai oleh kerana hujan lebat hari ini. (oleh sebab)
Dia lewat sampai sebab hujan lebat hari ini. (oleh sebab)

Sari artikel Muhammed Salehudin Aman, “Oleh Kerana*, Demi Untuk*, Selain Daripada*, Justeru Itu*”, Dewan Siswa, Januari 2009, halaman 20 – 21. Lihat juga, Utusan Malaysia, 13 April 2006.

26 April 2009

Abjad Jawi 2008

Klik gambar untuk melihat citra yang lebih besar.

Masukan terdahulu

Masukan ini mengetengahkan jpeg “Abjad Jawi 2008”. Jpeg ini berasaskan Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi Edisi Kedua (DKBM, 2008). Jumlah dan nama huruf sama dengan DBKM Edisi Pertama (2001, 2005). Dalam jpeg ini disertakan juga transkripsi sebutan huruf tertentu seperti yang terdapat dalam DBKM Edisi Kedua itu. Susunan huruf diberi nombor dan ditandakan juga huruf ciptaan Melayu.

Tiada huruf ye dan nya dalam senarai huruf Jawi DKBM Edisi Kedua itu. Hal ini jelas satu kesilapan. Namun, huruf ye dan nya tetap tersenarai di bawah subtajuk “Bentuk Huruf dan Cara Penulisannya”.

Jpeg ini wajar menggantikan jpeg “Abjad Jawi Bentuk Tunggal Terkini” yang diterbitkan pada 29 Januari 2009.

Pedoman Bahasa (JPEG) 055. Jawi: Abjad 2008.

Nota pada 29 Jun 2012
1. Transkripsi sebutan/nama huruf ke-36 [ye] dalam carta di atas berdasarkan DKBM Edisi Kedua. Dalam DKBM Edisi Kedua itu simbol [e] digunakan untuk e pepet seperti dalam perkataan [e.mas]. Simbol [é] digunakan untuk e taling seperti dalam perkataan [é.kor]. Transkripsi [ye] dalam DKBM Edisi Kedua sama dengan [y«] dalam fonetik.


2. Kamus Dewan Edisi Keempat mengatakan "ye" ialah “huruf ke-35 abjad Jawi”.

3. Soalan: Bilakah huruf Jawi "ye" mula digunakan? Adakah "ye" diterima sebagai huruf vokal? (Jika ya, jumlah huruf vokal Jawi kini ialah empat.) Jawapan Khidmat Nasihat DBP (KNDBP) pada 3 Oktober 2006: "Ye" ialah e pepet akhir dalam sistem tulisan Jawi yang dilambangkan dengan huruf “ya” tidak bertitik. "Ye" hanya duduk di hujung perkataan iaitu untuk menangani ejaan perkataan pinjaman bahasa Inggeris yang berakhir dengan -isme seperti perkataan nasionalisme dan mekanisme. Vokal asas dalam sistem Jawi ialah "alif", "wau" dan "ya" titik dua ditambah dengan "ye" (ya) tidak bertitik. Sila rujuk Daftar Kata Bahasa Melayu (Rumi-Sebutan-Jawi). Ulasan: KNDBP tidak menyatakan tarikh “ye” dicipta.

4. Hamdan Abdul Rahman dalam bukunya Panduan Menulis dan Mengeja Jawi (1999: 5) mengatakan “ya tidak bertitik kita namakan ye”.

Tanda Koma Sebelum "Dan"

Masukan yang berkaitan
Tanda Baca: Catatan Permulaan
Noktah yang Terlarang

1.1 Marni membeli gula, roti dan kaya.
1.2 Marni membeli gula, roti, dan kaya.

2.1 (a) Anda dikehendaki menjawab empat soalan. (b) Jawab sekurang-kurangnya satu soalan daripada Bahagian A, B dan C.
2.2 (a) Anda dikehendaki menjawab empat soalan. (b) Jawab sekurang-kurangnya satu soalan daripada Bahagian A, B, dan C.

3.1 (a) Mereka mengambil mata pelajaran Matematik, Fizik, Sains dan Teknologi. (b) Mereka mengambil mata pelajaran Matematik, Fizik, Sains, dan Teknologi.

Penggunaan tanda koma dalam ayat 1.1 betul. Hanya ada satu tanda koma dalam ayat ini, iaitu selepas perkataan “gula”. Inilah cara biasa penggunaan tanda koma. Penggunaan tanda koma dalam ayat 1.2 juga betul. Terdapat dua tanda koma dalam ayat ini. Selain tanda koma yang diletakkan selepas perkataan “gula”, tanda koma juga diletakkan selepas perkataan “roti”. Dengan perkataan lain, ada tanda koma sebelum perkataan “dan”. Apabila kita teliti, tanda koma sebelum perkataan “dan” itu dapat menegaskan tiga benda yang dibeli oleh Marni. Tanda koma sebelum perkataan “dan” itu juga dapat membantu kewujudan intonasi yang lebih baik apabila kita membaca ayat itu dengan suara yang nyaring.

Ayat 2.1 (b) memungkinkan pelajar (calon) menjawab satu soalan daripada Bahagian A, satu soalan daripada Bahagian B, dan satu soalan daripada Bahagian C. Oleh sebab tiada tanda koma sebelum perkataan “dan”, calon juga mungkin menjawab satu soalan daripada Bahagian A, dan satu soalan lagi sama ada daripada Bahagian B atau C. Jikalau kita menggunakan ayat 2.2 (b), kemungkinan dua tafsiran ini berlaku tipis. Walau bagaimanapun, jikalau ada ayat “Anda boleh menjawab satu soalan lagi dari mana-mana bahagian” selepas ayat (b), kuranglah sedikit kemungkinan berlakunya dua tafsiran. Tegasnya, penggunaan tanda koma sebelum perkataan “dan” dalam ayat 2.2 (b) dapat mengelakkan/mengurangkan kekeliruan.

Kini, cubalah tuan bandingkan maksud ayat 3.1 (a) dengan ayat 3.1 (b) pula.

Pedoman Bahasa (JPEG) 054. Tanda Baca: Koma Sebelum “Dan”.

25 April 2009

Penyuntingan Sepintas Lalu

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

Suntingan ialah pembetulan atau pembaikan karangan, buku, makalah dan sebagainya. Penyuntingan pula ialah perbuatan menyunting. Orang yang melakukan kerja-kerja penyuntingan dinamakan penyunting. Istilah lain bagi penyunting ialah editor.

Dari segi tugas, sebagaimana yang ditakrifkan oleh Gaya Dewan, penyunting berperanan memilih dan menyusun karya orang lain atau pihak lain untuk diterbitkan. Penyunting juga mungkin ditugaskan untuk menyediakan karya atau sekumpulan karya orang lain untuk diterbitkan. Malah penyunting sendiri mungkin bertugas untuk menyediakan sendiri manuskrip bagi diterbitkan.

Dalam sesebuah organisasi penerbitan yang besar istilah editor lebih lazim digunakan. Oleh sebab terdapat berpuluh jawatan editor dalam organisasi itu, maka jawatan-jawatan itu diberi gelaran tertentu berdasarkan tugas khusus para penjawatnya.

Mereka yang bertugas mencari bahan, memilih penulis dan melakukan kerja-kerja mengumpul bahan (seolah-olah seorang pemberita) digelar Editor Perolehan. Individu yang ditugaskan melaksanakan sesuatu atau menyelia keseluruhan penerbitan, digelar Editor Projek. Seseorang yang berperanan menilai isi bahan sama ada sesuai disiarkan atau tidak, dan bertanggungjawab kepada pihak pengurusan terhadap sebarang implikasi penyiaran bahan itu, termasuk kemungkinan dipertikaikan dari segi undang-undang, digelar Editor Substantif.

Editor Kopi pula berperanan meneliti kesemua aspek bahasa, kelancaran bahasa, dan keseragaman gaya paparan. Seterusnya kelompok editor yang terakhir, iaitu mereka yang bertugas menanda teks untuk panduan pereka bentuk dan pereka letak, digelar Editor Pengeluaran.

Sidang editor (sidang pengarang) sesebuah majalah yang berwibawa seperti majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diberi gelaran yang istimewa, yang memperlihatkan hierarki jawatan itu, iaitu Ketua Editor, Editor, Timbalan Editor, dan Penolong Editor. Sementara majalah biasa lazimnya mempunyai Ketua Editor dan Editor sahaja. Dalam kes ini, semua tugas editor yang dinyatakan tadi diagih-agihkan sesama mereka. Dalam organisasi yang kecil, atau organisasi besar yang bukan badan penerbitan, para editor juga melakukan kerja pengurusan dan pembacaan pruf.

Di institut pendidikan guru, editor bukanlah nama jawatan rasmi. Malah dalam kes tertentu, yang menjadi editor ialah para pelajar. Pensyarah menjadi penasihat sahaja. Walau bagaimanapun, penerbitan rasmi institut mesti ditangani oleh staf akademik. Lazimnya, Ketua Jabatan atau seorang pensyarah kanan ditugaskan selaku Pengerusi Jawatankuasa Penerbitan Laporan Tahunan. Seorang Ketua Jabatan atau pensyarah kanan yang lain ditugaskan selaku Pengerusi Jawatankuasa Penerbitan Jurnal.

Pengerusi jawatankuasa yang berkenaan sepatutnya melaksanakan tugas Editor Projek, Ketua Editor dan Editor Substantif. Setiausaha jawatankuasa itu pula bolehlah berperanan selaku Editor Kopi dan Editor Pengeluaran. Setiap ahli jawatankuasa diberi peranan Editor Perolehan di samping melaksanakan tugas-tugas lain seperti membaca pruf, membantu menguruskan percetakan, menguruskan pengedaran, dan melakukan penyiaran di Internet. Tugas ini tidak termasuk tugas mereka bentuk dan mereka letak yang lazimnya dilakukan oleh Pereka Grafik, iaitu jawatan yang sememangnya terdapat di semua institut pendidikan guru.

Pengetahuan tentang penyuntingan memang dapat diperoleh melalui pembacaan. Dalam bahasa Melayu, buku yang membicarakan subjek ini dengan terperinci ialah Gaya Dewan Edisi Ketiga (1995). Buku ini sudah sepatutnya menjadi rujukan utama para penyunting, pereka bentuk dan pereka letak. Namun demikian, banyak perkara hanya dapat diselaraskan dan diselesaikan melalui mesyuarat rasmi atau perbincangan. Istilah "sidang pengarang" sewajarnya digunakan kerana dengan istilah itu para petugas sentiasa diingatkan bahawa mereka perlu melakukan kerja kumpulan dengan bersidang (berbincang dan bekerja).

Seterusnya marilah kita teliti tugas penyunting dari segi penyuntingan substantif dan penyuntingan kopi.

Penyuntingan Substantif

Penyuntingan substantif merujuk kepada pembaikan yang dilakukan pada sesuatu karya dari segi isinya dan organisasinya. Penyuntingan ini memberi tumpuan pada isi, bentuk, organisasi (susunan idea), dan tanggapan penulis. Fungsi penyuntingan substantif adalah seperti yang di bawah ini.

1. Membentuk ekspresi fikiran penulis, bukan membentuk fikiran itu sendiri
2. Menghapuskan ungkapan yang berlebihan, kata-kata yang tidak perlu, perkara yang tidak relevan (bukan menghapuskan idea penulisnya)
3. Mempermudah atau memperbaik manuskrip supaya dapat difahami dengan jelas oleh pembaca tanpa menjejaskan gaya bahasa penulis
4. Mencorak dan membentuk hasil penerbitan
5. Menulis atau mengolah semula tajuk

Oleh itu penyunting substantif berperanan menulis semula bahagian-bahagian dalam manuskrip tanpa menghilangkan gaya bahasa penulis, memastikan suara penulis sampai kepada pembaca dengan jelas dan berkesan. Jikalau perlu, dia boleh menyusun manuskrip itu semula. Selain itu, dia juga perlu mengenal pasti masalah teknikal, fakta atau sumber fakta, unsur plagiarisme, dan akhirnya memastikan tiada unsur yang boleh menimbulkan masalah perundangan.

Semasa melakukan penyuntingan substantif, perkara yang berikut perlu diberi perhatian.

1. Maklumat yang diberi itu baharu dan semasa, bukan semata-mata olahan semula bahan yang sudah terbit.
2. Pandangan dan cadangan yang dikemukakan berasaskan fakta yang sudah didokumentasikan.
3. Penulis benar-benar mempunyai sesuatu yang ingin diperkatakan, bukan cuma menyusun petikan dengan harapan untuk menghasilkan manuskrip bagi diterbitkan.
4. Pengaliran ideanya logik dan lancar selain dapat menarik perhatian.
5. Fakta yang dikemukakannya tidak bercanggah.

Penyuntingan Kopi

Umumnya editor kopi melakukan penyuntingan untuk memastikan karya yang akan disiarkan itu baik, tekal gayanya dan bebas daripada kesalahan. Tugas khusus editor kopi adalah seperti yang di bawah ini.

1. Memotong, menambah atau membetulkan isi karya mengikut keperluan dan kesesuaian bagi menjamin karya penulis memenuhi piawai penerbit
2. Memastikan karya memperkatakan tujuan karya itu ditulis
3. Melenyapkan percanggahan fakta
4. Membetulkan ketidaktentuan aspek bahasa seperti ayat, frasa dan pemilihan perkataan, ejaan, tanda baca, penggunaan huruf besar, penggunaan huruf kecil, dan kependekan
5. Menentukan keseragaman gaya paparan seperti jadual, senarai petikan, bibliografi, dan nota kaki
6. Memastikan idea penulis berkembang secara logik
7. Memastikan kapsyen berkaitan dengan ilustrasi
8. Menandakan arahan (mark-up) pada manuskrip dengan memberikan spesifikasi sebenar bagi setiap unsur yang melibatkan muka taip, saiz taip, dan jarak antara baris (leading).

Editor kopi yang baik ialah mereka yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam tatabahasa, termasuk tanda baca dan penggunaan huruf. Editor kopi yang baik juga perlu mempunyai "rasa bahasa", daya pemerhatian yang tajam, pengetahuan yang luas, kebolehan menggunakan perkataan yang sesuai, dan sifat-sifat positif seperti suka mengambil tahu, teliti, dan sabar.

Editor kopi majalah terlibat dalam semua aspek pengeluaran majalah iaitu menyemak reka letak, membantu memilih ilustrasi (termasuk foto), membaca pruf dan menulis rencana. Editor laporan tahunan, jurnal dan buletin di institut pendidikan guru juga melaksanakan fungsi yang sama.

Cara Kerja Penyuntingan

Secara umum, selepas proses penilaian dan pemilihan selesai, baca setiap karya tiga kali atau lebih. Pembacaan pertama bertujuan mendapat gambaran umum tentang bahagian yang perlu diubah dari segi isi dan struktur. Pembacaan kedua bertujuan memastikan isu yang dibincangkan dan mengesahkan kesahihan fakta. Pembacaan ketiga bertujuan menyemak kebenaran dan ketekalan perubahan yang dilakukan oleh editor terhadap manuskrip.

Segala perubahan dan penyusunan semula hujah dan idea hendaklah dijelaskan dalam manuskrip. Bergantung pada dasar dan peraturan penerbit, perubahan itu kadangkala perlu dipersetujui dahulu oleh penulis. Akhirnya, jika diperlukan, penyunting hendaklah menulis semula tajuk karya itu agar lebih menepati keperluan penerbitan dan dapat menarik perhatian pembaca.

Khusus untuk karya kreatif, tumpukan perhatian kepada lima perkara yang di bawah ini.

1. Anakronisme
Karya kreatif lazim mengandungi unsur anakronisme, iaitu kesilapan menempatkan sesuatu peristiwa, tokoh, tempat dan sebagainya pada zaman yang sebenarnya. Penyunting hendaklah meneliti perkara ini sebelum membuat keputusan sama ada hendak mengubahnya atau mengekalkannya. Contoh pertama, diceritakan bahawa watak utama menghubungi kekasihnya dengan telefon awam semasa Perang Dunia Pertama. Sudah adakah telefon awam pada masa itu? Contoh kedua, diperikan bahawa ketika mendaki Gunung Tahan, seorang anggota sekumpulan pengembara memetik bunga Rafflesia dan menjadikannya hiasan rambutnya. Adakah hal ini boleh diterima?

2. Bahasa
Secara umum, penyunting tidak sepatutnya mempersoalkan penggunaan bahasa dalam karya kreatif, terutama lakonan dan puisi. Yang penting, bacalah karya itu dengan teliti untuk memastikan penggunaan bahasa itu betul. Sebarang perubahan sepatutnya dilakukan setelah berunding dengan penulis.

3. Dialog
Dialog mempunyai peranan yang tersendiri dalam karya kreatif. Antaranya, dialog berkemungkinan mendukung jati diri watak dan memperkembang perwatakan. Oleh itu, penyunting hendaklah mengelakkan diri daripada mengubah dialog tanpa berunding dahulu dengan penulisnya. Sedapat mungkin, kekalkan gaya penulis. Walau bagaimanapun, pastikan juga bahawa perkara yang diperkatakan oleh watak itu jelas maksudnya.

4. Bahasa Basahan dan Dialek
Antara cara melukiskan warna-warni tempatan termasuklah menggunakan bahasa basahan atau dialek. Perubahan mungkin perlu dilakukan sekiranya bahasa basahan atau dialek itu terlalu banyak dan boleh mengganggu pemahaman pembaca. Sebelum perubahan dilakukan, berundinglah dahulu dengan penulis. Satu cara yang boleh dilakukan untuk mengatai masalah ini adalah dengan menyertakan glosari perkataan itu di hujung karya.

5. Plot
Jalan cerita atau plot karya kreatif itu juga perlu diteliti. Jikalau didapati ada masalah, jangan ubah plot karya itu. Biarlah penulis sendiri yang melakukannya.

Tulisan yang baik ialah luahan pemikiran yang jelas. Karya yang bernilai ialah tulisan yang meninjau ciri kemanusiaan. Olahannya pula mampu menarik perhatian, perasaan, dan menjana pemikiran pembaca.

Bagaimanakah sekiranya editor tidak memperoleh tulisan yang baik dan karya yang bernilai itu? Editor yang baik akan menjawab bahawa dia akan berusaha membentuk semula karya itu, sama ada bersendirian, bersama rakan sepasukan, atau bersama penulisnya, agar menjadi tulisan yang baik atau karya yang bernilai. Karya itu sudah tentu dipersembahkan pula dengan gaya yang menarik!

Diharapkan panduan ringkas ini dapat membantu pembaca, khususnya warga institut pendidikan guru, meningkatkan kualiti penerbitan masing-masing.

Lampiran
Senarai Semak Penyuntingan

1. Ayat betul, lancar dan jelas maksudnya.
2. Frasa betul dan berkesan – sesuai dengan konteks dan gaya.
3. Semua ejaan betul.
4. Penggunaan istilah betul dan tekal.
5. Penggunaan huruf besar, tanda baca, dan singkatan betul dan selaras.
6. Penomboran, bibliografi, dan nota kaki betul dan selaras.
7. Pemerengganan bertautan dan utuh.
8. Jadual, rajah dan sebagainya menepati piawai dan selaras.
9. Fakta benar dan jelas.
10. Mesej penulis boleh difahami oleh pembaca.
11. Tiada masalah perundangan: jiplakan, hasutan, fitnah, dan lain-lain.
12. Manuskrip bersih.
13. Penandaan (mark-up) sudah dilakukan.
14. Pruf sudah dibaca.
15. Pembetulan ditandai dengan kaedah penandaan pruf yang piawai.
16. Naskhah sedia untuk dicetak.

Penolong Guru Bahasa Melayu

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

Antara guru yang sibuk di sekolah dan di institusi pendidikan ialah guru Bahasa Melayu. Kesibukan itu berlaku kerana guru Bahasa Melayu selalu mendapat tugas yang memerlukan kecekapan lisan dan penulisan. Antara tugas yang memerlukan kecekapan lisan yang tinggi ialah mengacarai majlis rasmi. Antara tugas yang memerlukan kecekapan penulisan yang tinggi pula ialah menulis minit mesyuarat.

Guru Bahasa Melayu yang sibuk tentu memerlukan penolong. Penolong itu hendaklah sesuatu yang berwibawa. Contoh sesuatu yang berwibawa itu ialah Tatabahasa Dewan dan Kamus Dewan. Guru Bahasa Melayu yang tidak menggunakan kedua-dua sumber ini ibarat kehilangan dua orang penolong yang setia.

Satu lagi penolong guru Bahasa Melayu ialah majalah Pelita Bahasa. Editor Pelita Bahasa, Armin Azhari Saleh sendiri menyatakan bahawa majalah itu ialah penolong guru Bahasa Melayu. Beliau berkata demikian dalam ruangan Bingkisan Editor majalah itu keluaran bulan Mac 2009.

Bagaimanakah Pelita Bahasa dapat menjadi penolong Guru Bahasa Melayu? Soalan ini dijawab dengan baik oleh Nawi Ismail. Dalam tulisannya yang bertajuk “Penolong Guru Bahasa Melayu” dalam majalah itu, Nawi memberikan 10 tip untuk menjadikan Pelita Bahasa sebagai penolong guru Bahasa Melayu. Antara tip itu termasuklah menjadikan Pelita Bahasa sebagai rujukan.

Dalam majalah keluaran yang sama, Armin A. Saleh dan Mohidin Malek menjelaskan pula cara pensyarah, guru pakar, guru, pelajar dan beberapa golongan lain memanfaat majalah itu. Mereka menjelaskan hal itu dalam artikel yang bertajuk “Cahaya Menerangi Kesamaran Bahasa”.

Antara lain, Armin dan Mohidin memaparkan pandangan seorang pelajar tentang Pelita Bahasa. Pelajar tingkatan lima itu menyatakan bahawa dia berkeyakinan akan mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan setelah memanfaatkan kandungan majalah itu.

Selain itu, Armin dan Mohidin juga menceritakan latar belakangan kelahiran majalah itu pada bulan Mac tahun 1989. Menurut mereka, “Selama 20 tahun, Pelita Bahasa memandu masyarakat untuk meningkatkan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul. Selama itu juga, Pelita Bahasa membimbing masyarakat untuk menyempurnakan penggunaan bahasa Melayu mereka.”

Penulis ialah pembaca tetap Pelita Bahasa sejak terbitan pertamanya. Penulis sudah menggunakan beberapa banyak maklumat dalam majalah itu semasa berkuliah, berbengkel, berceramah dan sebagainya. Namun, penulis berasa terkilan kerana ada rakan pendidik guru Bahasa Melayu tidak mengenali Pelita Bahasa, apalagi membeli dan membacanya.

Penulis juga berasa terkilan kerana, melalui berapa tinjauan, penulis mendapati lebih separuh daripada peserta kursus yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu tidak pernah membaca Pelita Bahasa. Jadi, penulis sedikit pun tidak berasa hairan apabila Nawi Ismail (dalam artikel yang dinyatakan di atas) menulis begini:

“Dalam hal tersebut, penulis berasa amat kecewa apabila ada guru Bahasa Melayu yang bertanyakan penulis tentang nama penerbit Pelita Bahasa. Pada ketika yang lain pula, ada individu yang meminta penjelasan, sama ada benar atau tidak Pelita Bahasa merupakan majalah Persatuan Penulis Terengganu (PELITA).”

Kini persoalannya, dalam tempoh 20 tahun itu berapa banyakkah anggota masyarakat yang bukan guru atau pelajar Bahasa Melayu memanfaatkan majalah Pelita Bahasa untuk memandu masyarakat meningkatkan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul? Perkara ini baik menjadi renungan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sepinggan Rojak Mamak

Adat di sini, sesiapa boleh datang pada bila-bila masa. Tetamu boleh singgah mengikut kesenggangan sendiri. Gapura rumah ini setia menanti. Pintu rumahnya sentiasa terbuka.

Kini aku sudah berada di laman. Aku berdiri di bawah gapura. Tiada tetamu lain pada masa ini. Tuan rumah pun tidak kelihatan. Tiada sesiapa menyambut kedatanganku.

Apabila berada di muka pintu, aku melihat hidangan. Kelihatannya seperti rojak. Aku mendekati hidangan itu. Jelas, yang terhidang itu ialah sepinggan rojak mamak.

Rojak mamak bukanlah kegemaranku. Jadi aku hanya melihatnya. Sesudah beberapa lama melihat-lihat dan berfikir-fikir, akhirnya aku berasa perlu juga menjamahnya. Ini rojak mamak dari utara. Baik juga kurasa.

Aku mengunyah rojak itu sedikit demi sedikit, lambat amat. Tekakku berasa loya. Rojak itu seakan-akan ingin mengalir keluar dari kerongkongku.

Ada sehelai rambut dalam baki hidangan ini. Ah, rambut bukannya najis. Ketepikan sahaja dan teruskan kunyahanmu.

Ini apa pula? Oh, cebisan sayap lipas. Sayap lipas bukannya najis. Pinggirkan saja dan teruskan kunyahanmu.

Aku meneruskan kunyahan. Mataku terpaku pada baki rojak – pada seekor lipas yang berlumuran dengan kuah kacang.

“Jangan khuatir. Ini rojak mamak utara. Lipas itu memang ramuannya. Lipas itu sudah dicuci bersih, digarami dan dilumur dengan rempah ratus. Makanlah!”

Hendak tidak hendak, aku meneruskan kunyahan.

Aku terpandang pula sesuatu yang luar biasa pada baki rojak itu. Aku mengamat-amatinya. Itu cebisan ekor tikus! Rasa mual melonjak.

“Celurut yang dicencang halus ialah perencah hidangan ini. Inilah keistimewaan rojak utaraku,” suara itu bergema dari langit-langit.

Akhirnya rojak mamak utara itu dapat juga kuhabiskan. Rasa mual terus kutahan agar aku tidak muntah di rumah ini. Sebelum melangkah keluar, aku melihat pinggan rojak tadi. Pinggan itu masih berisi rojak persis ketika aku mula masuk ke dalam rumah ini!

24 April 2009

Noktah yang Terlarang

Masukan yang berkaitan
Tanda Baca: Catatan Permulaan

Pedoman Bahasa (JPEG) 053. Tanda Baca: Noktah.

Tidak Fasih Bertutur Bahasa Melayu

“Saya tidak fasih bertutur dalam bahasa Melayu,” kata tokoh korporat muda itu kepada pemberita kita apabila diminta pandangannya tentang bahasa Melayu.

Tokoh korporat muda itu tidak lain dan tidak bukan ialah Tuan Buang Tuah bin Maidin. Beliau kini bertugas sebagai Pengarah Urusan rangkaian syarikat kewangan terkemuka di negara kita.

“Tidak fasih yang saya maksudkan di sini adalah untuk bertutur dalam bahasa Melayu tinggi atau yang bersifat teknikal. Jikalau sekadar bertutur dalam bahasa biasa dan dalam situasi biasa, bolehlah,” tambahnya.

Tuan Buang Tuah ialah anak jati sebuah negeri di utara. Beliau menghabiskan masa hampir lapan tahun di luar negara sebagai pelajar prauniversiti, ijazah pertama dan ijazah lanjutan. Beliau memperoleh ijazah sarjana dalam bidang pentadbiran perniagaan di sebuah universiti di United Kingdom.

Menurut Tuan Buang Tuah, ketidakfasihannya bertutur dalam bahasa Melayu disebabkan penerbitan dalam bahasa Melayu masih kurang dan tidak meluas.

“Pendedahan kita kepada rujukan teknikal masih kurang. Oleh sebab itu kita memerlukan lebih banyak buku rujukan dalam bahasa Melayu,” katanya.

Tuan Buang Tuah menolak andaian yang mengatakan orang Melayu yang bertutur dalam bahasa Inggeris akan menyisihkan bahasa dan adat istiadat Melayu.

“Hal itu tidak benar sama sekali. Mana mungkin kita meminggirkan bahasa dan adat kita hanya dengan bertutur dalam bahasa Inggeris!” katanya kepada pemberita kita dengan suara yang hampir dapat ditakrifkan sebagai jeritan.

Tuan Buang Tuah menegaskan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa rasmi negara kita. Dalam pada itu beliau mengingatkan anak muda agar mempelajari bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris.

“Orang kita kena faham bahawa bahasa Inggeris ialah bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa. Penguasaan terhadap bahasa Inggeris penting di samping kita mendaulatkan bahasa Melayu,” katanya.

Beliau menjelaskan, “Dalam hal ini, secara jujur saya menyokong usaha kerajaan kita meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris melalui mata pelajaran Sains dan Matematik.”

Beliau mencadangkan agar pengajaran bahasa Inggeris dimulakan di prasekolah.

“Penekanan terhadap mata pelajaran Bahasa Inggeris di prasekolah mesti ditingkatkan. Lebih banyak masa perlu diperuntukkan bagi mata pelajaran itu,” katanya mengakhiri temu bual dengan pemberita kita.

Sari Rencana" “Ayat Contoh” Mematuhi Hukum D-M

Sari “Soal Jawab Bahasa”, majalah Pelita Bahasa, April 2009.

Masukan terdahulu
Perkataan “Kemenjadian” Boleh Digunakan
Dan Ada dalam Serta
Perkembangan Ialah Perihal Berkembang

1
Kedua-dua ayat ini betul.
1. Mereka akan bercuti di Pulau Langkawi atau di Pulau Tioman?
2. Mereka akan bercuti di Pulau Langkawi atau Pulau Tioman?

Dalam ayat pertama, kata sendi nama “di” terdapat di hadapan “Pulau Langkawi” dan “Pulau Tioman”. Dalam ayat kedua, kata sendi nama “di” hanya terdapat di hadapan “Pulau Langkawi”. Kata sendi nama “di” di hadapan “Pulau Tioman sudah digugurkan.

2
ayat (D) contoh (M)
karangan (D) contoh (M)
karangan (D) contoh gred A (M)
rumah (D) contoh (M)

Frasa contoh ayat, contoh karangan, contoh karangan gred A dan contoh rumah memang biasa digunakan. Susunan frasa ini sebenarnya salah kerana tidak mengikut hukum D-M. (D = Diterangkan, M = Menerangkan)

3
Kata sendi nama “akan” tidak semestinya diikuti oleh manusia. Jadi, kedua-dua ayat yang di bawah ini betul.
Saya cinta akan Syahira. (“Syahira” ialah manusia.)
Saya sayang akan negara saya. (“Negara” bukan manusia.)

23 April 2009

Variasi Ejaan, Ejaan Baku

Perkataan yang pertama dalam senarai yang di bawah ialah variasi ejaan, iaitu ejaan yang tidak baku. Ejaan yang baku ialah ejaan selepas anak panah. Contohnya, “dendalu” tidak baku. Yang baku ialah “dedalu”.

1. dendalu → dedalu
2. gerisi → kerisi
3. hantam → hentam
4. ingus → hingus
5. kekawin Jw → kakawin
6. kelelawar → kelawar I
7. kepuyu sj ikan → puyu II
8. sanjak → sajak I
9. sayugia → yogia; seyogia → yogia
10. wahi Ar → wahyu

Penulisan senarai ini berdasarkan masukan Kamus Dewan Edisi Keempat (2005). Susunan masukan Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi Edisi Kedua (2008) pula adalah seperti yang berikut:

1. dendalu (dedalu)
2. gerisi (kerisi)
3. hantam (hentam)
4. ingus (hingus)
5. kekawin (kakawin)
6. kelelawar (kelawar)
7. kepuyu (puyu)
8. sanjak (sajak)
9. sayugia (yogia); seyogia (yogia)
10. wahi (wahyu)

Tanda kurung di atas sama fungsinya dengan anak panah.

22 April 2009

Lagu Puisi "Guru" oleh Fawwaz Thaqif


Lagu puisi “Guru” oleh Saudara Fawwaz Thaqif bin Alias Tudin.
Klip Video 008, Lagu Puisi "Guru" oleh Fawwaz Thaqif.

20 April 2009

Lima Kesilapan Penaakulan Penyokong PPSMI

Oleh Marniyati
http://marni-ameera.blogspot.com/

Dalam ucap utama Datuk Hassan Ahmad sempena Wacana Pemerkasaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu semalam, beliau menggariskan lima kesilapan minda dan pemikiran yang dimiliki oleh para penyokong PPSMI.

Kesilapan Pertama

Mereka tidak tahu dan tidak percaya bahawa bahasa Melayu ialah bahasa ilmu. Mereka menyangka bahasa Melayu hanya berkembang sebagai bahasa ilmu tinggi selepas Tanah Melayu merdeka.

Hakikatnya, bahasa Melayu telah berkembang sebagai bahasa ilmu sejak zaman Kerajaan Melayu Sriwijaya di Palembang, iaitu seawal abad ke-7 lagi. Bahasa Inggeris ialah bahasa primitif semasa bahasa Melayu sudah mula berkembang sebagai bahasa ilmu.

Kesilapan Kedua

Mereka menyangka, seperti juga sangkaan dan kepercayaan penjajah Inggeris dan orientalis Barat dahulu kala, bahawa ilmu di dunia ini hanya terdapat dalam bahasa Inggeris.

Kata mereka lagi, bahasa Melayu terpaksa meminjam ratusan ribu istilah daripada bahasa Inggeris. Maka mereka berpendapat adalah lebih mudah belajar sahaja sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

Hakikatnya, jika tidak meminjam, bahasa Melayu tidak akan dapat berkembang dan akhirnya akan mati. Bahasa Inggeris sendiri dahulunya meminjam 85% istilah daripada bahasa Greek, Latin dan bahasa-bahasa lain. Bahkan, bahasa Inggeris meminjam istilah daripada 350 bahasa lain di dunia.

Jadi, apa salahnya jika bahasa Melayu meminjam istilah dari bahasa Inggeris pula? Begitulah bahasa dibina!

Kesilapan Ketiga

Mereka menyangka orang yang membantah PPSMI ialah orang yang antibahasa Inggeris, penentang kemajuan dan fanatik atau nasionalis ultrabahasa Melayu. Hakikatnya, penentang PPSMI ialah orang yang fasih dan mahir dalam penguasaan bahasa Inggeris, bahkan lebih baik daripada penyokong PPSMI sendiri.

Penentang PPSMI hanya mempersoalkan mengapa selepas 11 tahun belajar bahasa Inggeris di sekolah, pelajar masih gagal menguasai bahasa itu? Sudah tentu jawapannya adalah silap kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris itu sendiri dan kesilapan itu mesti dibaiki.

Orang yang berfikiran keliru sahaja yang mengatakan bahawa pelajar kita akan lebih mahir dalam bahasa Inggeris melalui PPSMI.

Kesilapan Keempat

Mereka berkata bahawa menguasai bahasa Inggeris tidak akan menjejaskan martabat bahasa Melayu atau mengubah identiti mahupun jati diri bangsa Melayu.

Belajar bahasa bererti kita mempelajari budaya. Semua orang tahu bahawa apabila kita belajar bahasa Inggeris, maka jati diri atau identiti atau budaya dan nilai Islam kita akan ikut berubah.

Ada bezanya antara "I think" dengan "Saya rasa". Jika melalui ungkapan "I think" seseorang itu menyampaikan pendapat hanya dengan pertimbangan akal, maka orang Melayu mengatakan "Saya rasa" kerana pendapat yang diberikan bukan sekadar mengikut pertimbangan akal, bahkan juga pertimbangan hati dan perasaan. Itulah budaya Melayu yang dicerminkan melalui bahasa.

Kesilapan Kelima

Masalah kesilapan maklumat – kebanyakan orang, khususnya Melayu – yang menyokong PPSMI tidak tahu sebab mereka menyokongnya. Mereka tidak mendapat maklumat yang benar tentang keburukan dan kelemahan dasar itu.

Mereka tidak faham isu yang sebenar. Mereka dipengaruh oleh data, maklumat dan penerangan rasmi pegawai kerajaan yang menjalankan tugas menurut perintah pembuat dasar, bukan mengikut akal fikiran masing-masing.

Segala masalah, kelemahan pelajar, kegagalan pelajar luar bandar, sekolah di kawasan hulu, dan masalah puluhan ribu guru yang gagal mengajarkan sains dan matematik dengan baik dalam bahasa Inggeris tidak didedahkan di media arus perdana.

Guru-guru yang terlibat secara langsung dengan PPSMI menyokong usaha PPSMI kerana mereka menerima imbuhan berbentuk elaun khas mengajar.

Kesimpulan yang dibuat oleh Datuk Hassan Ahmad dalam kertas kerjanya ialah kita memerlukan dasar bahasa dan pendidikan dalam bahasa Melayu yang jelas dan tegas.

Kita juga memerlukan pemimpin negara dan para menteri serta pegawai yang cekap dan cukup ilmu pengetahuannya untuk melaksanakan dasar dengan tegas, berani dan benar.

PPSMI mesti dimansuhkan!

(Disalin daripada teks ucap utama Datuk Hassan Ahmad dan ditambah dengan ucapan tanpa teks beliau pada majlis tersebut).

Sekarang, Tandas Ada Alif

Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi Edisi Kedua (2008) mencatatkan ejaan Jawi bagi perkataan “tandas” ialah h¬œ£†. Ejaan h¬À† masih ada tetapi untuk perkataan "tendas". Tendas ialah kosa kata sastera lama yang bermaksud kepala.

Cuba perhatikan ejaan Jawi pada papan tanda tandas mana-mana masjid kampung, bandar atau bandar raya. Mungkin ada ejaan lama h¬À† masih digunakan.

Ada beberapa perkataan lain yang sekelompok dengan perkataan tandas. Yang perlu diketahui kerana kerap digunakan ialah empat perkataan yang di bawah ini:

bandar e¬œ£… – bendar e¬À…

kampung °Â»›£< - kempung °Â»¿<

lantik ÝÅÄœê – lentik ÝÅÄÀš

pantas Ô¥œ£— - pentas Ô¥À—

Perhatian
Ejaan Jawi di atas menggunakan fon Stnask. Jikalau ada masalah, klik pautan ini: Memasang Fon Jawi.

17 April 2009

Rukun Negara

Bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak:

• Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya;
• Memelihara cara hidup demokratik;
• Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama;
• Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai-bagai corak;
• Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

Maka kami, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:

• Kepercayaan kepada Tuhan
• Kesetiaan kepada Raja dan Negara
• Keluhuran Perlembagaan
• Kedaulatan Undang-undang
• Kesopanan dan Kesusilaan

BAHASA dan Bahasa Rasmi di Sabah

Maklumat yang di bawah ini diperoleh daripada buku Memoir Karyawan Tamu DBP Cawangan Sabah, Harun Haji Salleh, Rumah Limas Rumah Pusaka (RLRP) karangan Harun Haji Salleh terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada tahun 2005.

1970 Angkatan Persuratan Melayu Sabah (APMS) dan Persatuan Penulis Sabah (PERPESA) sudah wujud.

1970, 15 Mac … Pertemuan AJK APMS dengan AJK PERPESA (termasuk Harun Haji Salleh) di rumah Encik Johari Alias di Tanjong Aru. Encik Dzulkifli Abdul Hamid (USNO) berpidato tentang politik dan bahasa dalam mesyuarat ini. Inti sari: APMS perlu bergabung dengan PERPESA dan bekerjasama dengan Sabah National Youth Association (SANYA) dan Kesatuan Guru-guru Kerajaan Sabah (KGKS). Gabungan dipersetujui dan dinamakan Badan Bahasa Sabah (BAHASA).

“Daripada apa yang telah diucapkan dengan panjang lebar oleh Encik Dzulkifli itu, aku dapat menyimpulkan bahawa beliau bersungguh-sungguh menekankan agar bahasa Melayu dapat diterima sebagai bahasa rasmi dalam pentadbiran negeri selewat-lewatnya menjelang tahun 1973.” RLRP, halaman 335.

1970, 4 Ogos … Seminar Bahasa dan Sastera di Kota Kinabalu dihadiri oleh perwakilan muda dan tua 23 cawangan BAHASA. “Fokus seminar dari awal hingga akhir banyak tertumpu pada desakan agar penggunaan bahasa Melayu di Sabah dipercepat. Boleh dikatakan setiap perwakilan daripada merata cawangan menyuarakan desakan yang sama.” RLRP, halaman 343.

1971, 1 Januari … Mesyuarat Agung 1 BAHASA.

1973, 15 September … Sempena 10 Tahun Sabah dalam Malaysia, diadakan Hari Sastera selama seminggu di Kota Kinabalu. “Acara kemuncaknya ialah perasmian penggunaan bahasa Malaysia di Sabah yang disempurnakan oleh Ketua Menteri ketika itu iaitu Datu Haji Mustapha di Dewan Pusat Pembangunan Masyarakat pada pagi 16 September 1973.” RLRP, halaman 356.

16 April 2009

Tinjauan Mudah Kaedah Pengajaran Bacaan Permulaan

Tarikh: 15 April 2009
Tempat: Sebuah sekolah rendah di Negeri Sembilan
Kumpulan sasar: Guru pelbagai pengkhususan, 21 – 38 tahun, 75% siswazah, 5 orang (31%) guru sandaran tidak terlatih (GSTT)
Tinjauan dilakukan sebelum input.

1. Semasa di tadika (atau di sekolah rendah), saya mempelajari bacaan permulaan dengan menggunakan
Kaedah Abjad - 10 (63%)
Kaedah Fonik - tiada
Kaedah Gabungan Bunyi-Kata – tiada,
Kaedah lain - tiada
Tidak pasti – 6 (37%)

2. Pada masa ini saya mampu mengajarkan bacaan permulaan dengan menggunakan
Kaedah Abjad – 10 (63%)
Kaedah Fonik – 6 (37%)
Kaedah Gabungan Bunyi-Kata - tiada
Kaedah lain - tiada
Belum mampu – tiada

3. Apakah tahap keyakinan anda terhadap kenyataan: “Murid boleh membaca ayat hanya dengan mengenal/menguasai lima huruf, iaitu tiga huruf vokal dan dua huruf konsonan”?
Yakin – 5 (31%)
Kurang yakin – 11 (69%)
Tidak yakin - tiada

4. Punca utama tidak celik huruf dalam kalangan murid sekolah rendah berkaitan dengan kelemahan
Murid – 7 (44)
Guru – 4 (25%)
Kementerian Pelajaran – 2 (12%)
Kaedah pengajaran – 3 (19%)

Nampaknya Kaedah Abjad masih dalam ingatan guru dan mereka yakin untuk terus menggunakannya. Tinjauan selepas input: tiga kumpulan mencadangkan Kaedah Abjad (yang sudah diubah suai) terus digunakan.

14 April 2009

Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK): Versi Asal

Masukan terdahulu:
Kaedah Gabungan Bunyi-Kata: Bicara Permulaan

KGBK bertolak daripada sistem ejaan bahasa Melayu yang berasaskan bunyi dan suku katanya jelas. Setiap huruf mewakili hanya satu bunyi, kecuali huruf e yang mewakili bunyi e pepet dan e taling (é). Satu suku kata ditandai oleh satu vokal. Huruf vokal yang kerap digunakan ialah a, i, dan u.

KGBK ini bermula dengan memperkenalkan huruf vokal kepada murid, diikuti dengan pengenalan huruf konsonan, pembentukan suku kata, dan pembentukan perkataan yang bermakna dalam satu atau dua pelajaran sahaja. Murid akan dapat membaca beberapa perkataan dengan cepat serta faham apa-apa yang dibaca.


Tiap-tiap pelajaran memperkembang lagi kemahiran yang lalu. Guru boleh menggunakan bilangan pelajaran yang sesuai mengikut keadaan murid-muridnya.
Susunan penyampaian KGBK adalah seperti yang berikut:
1. Murid diperkenalkan dengan bunyi vokal. Dua atau tiga huruf vokal diperkenalkan dalam pelajaran pertama. Pengenalan hendaklah dilakukan berdasarkan susunan a, i, u dan dengan pelbagai teknik latih tubi yang menarik agar murid dapat mengingat bunyi vokal itu. Vokal e dan o hanya diperkenal setelah murid dapat membaca perkataan asas dengan menggunakan vokal a, i, u dan beberapa konsonan.
2. Kemudian perkenalkan bunyi satu huruf konsonan. Dahulukan konsonan letupan yang dapat membentuk perkataan yang bermakna seperti konsonan k yang dapat membentuk perkataan “kaki” dan “kuku” atau konsonan b yang dapat membentuk perkataan “baba” dan “bubu”. Lakukan latih tubi yang pelbagai agar murid dapat mengingat bunyi konsonan itu.
3. Gabungkan bunyi konsonan itu dengan huruf vokal supaya menjadi suku kata ka, ki, ku. Lakukan latih tubi sebutan suku kata ini dengan pelbagai teknik, termasuk teknik nyanyian.
4. Cantumkan suku kata-suku kata itu supaya menjadi beberapa perkataan yang bermakna seperti ka + ki menjadi “kaki” dan ku + ku menjadi “kuku”.
5. Adakan permainan mencantum huruf menjadi suku kata dan mencantum suku kata menjadi perkataan. Pelbagaikan jenis permainan agar murid berasa seronok belajar.
6. Sebagai peneguhan, adakan latih tubi menulis huruf, suku kata dan perkataan dengan pelbagai cara. Pengajaran penulisan hendaklah berdasarkan peringkat-peringkat dan teknik yang betul, termasuk penggunaan kertas bergaris dan alat tulis yang sesuai.
7. Dalam pelajaran kedua, ulang penggunaan vokal a, i, u dan perkenalkan satu atau dua konsonan lagi. Gunakan pola pengajaran yang sama, tetapi dengan teknik yang pelbagai, iaitu huruf → suku kata → perkataan → aktiviti penulisan. Sebagai contoh, suku kata dan perkataan yang berikut dapat dibaca oleh murid setelah dua konsonan diperkenalkan:
ka + ki → kaki
ku + ku → kuku
ba + ba → baba
bu + bu → bubu
ba + bi → babi
bi + bi → bibi
bu + ku → buku
u + bi → ubi
i + bu → ibu
a + bu → abu
8. Buatkan ayat dan latih tubi murid membacanya. Contohnya: ibu baba, ibu abu, bubu abu, kuku kaki abu.
9. Murid boleh melakukan aktiviti membina perkataan tambahan berdasarkan suku kata yang telah dipelajari. Dalam pelajaran seterusnya guru dapat mencipta beberapa ayat lagi untuk dibaca oleh murid. Contohnya: buku abu dan abu buka buku. Jika konsonan s telah diperkenalkan, ayat “abu suka buku” dapat dicipta. Perkataan “abu” dapat digantikan dengan “baba”, “ibu” dan lain-lain sebagai latih tubi.
10. Seterusnya, di samping mengulang bunyi vokal guru boleh memperkenalkan dua atau tiga konsonan lagi seperti t, m, d. Ikuti pola penyampaian pelajaran yang lalu. Antara perkataan yang dibina dan dibaca ialah dada, muda, uda, mata, mama, titi, tadi, madu. Dengan menggunakan perkataan-perkataan ini dan perkataan yang terdahulu, lebih banyak frasa dan ayat dapat dibina dan dibaca oleh murid.

11. Dalam pelajaran keenam, suku kata tertutup dapat diperkenalkan. Dengan ini lebih banyak perkataan dan ayat dapat dibentuk, dibaca dan ditulis.

12. Dalam pelajaran ketujuh, guru boleh memperkenalkan konsonan r, p, n dan melaksanakan pengajaran seperti pola pengajaran sebelumnya.
13. Dalam pelajaran kelapan guru boleh memperkenalkan bunyi vokal e dan o. Bina suku kata yang menggunakan vokal o dahulu. Adakan latihan perbezaan bunyi e pepet dengan e taling dengan pasangan perkataan seperti emak-esok, emas-ekor, beras-besok. Latihan membaca frasa dan ayat seperti “kotak besar itu di situ”. Pelbagai permainan yang berkaitan dengan huruf, suku kata dan perkataan diadakan.
14. Pelajaran seterusnya memperkembang kemahiran murid membunyikan huruf lain seperti l, g, h, f, j, c, y, z, w, q, dan x.
15. Seterusnya perkenalkan bunyi gabungan ng, sy, gh dan ny dalam beberapa pelajaran.
16. Nama huruf diajarkan secara tidak langsung. Penggunaan papan tulis sangat penting. Huruf besar disisipkan dari semasa ke semasa. Latihan mengeja dilakukan sebagai pengukuhan setelah murid boleh membaca. Latihan menulis dianggap sebagai pengukuhan.
Rumusannya, KGBK menggabungkan aktiviti membunyikan huruf, membunyikan suku kata dan dengan membina (membaca) perkataan dan seterusnya frasa/ayat dalam satu unit pengajaran. Pada akhir pelajaran kedua dan seterusnya murid boleh membaca perkataan, frasa atau ayat yang bermakna. Hal ini akan menyebabkan murid berasa seronok belajar.
Apabila diikuti dengan aktiviti menulis dalam setiap akhir pelajaran, murid akan menguasai kemahiran membaca dan menulis serentak. Tegasnya, murid tidak perlu mengenal dan menghafal semua huruf sebelum belajar membaca dan menulis.
KGBK membolehkan pembinaan dan susunan bahan pengajaran-pembelajaran dibuat secara berturutan dan berkembang secara sistematik daripada yang mudah kepada yang sukar. Hal ini memudahkan murid belajar membaca dan menulis.
Contoh bahan terdapat dalam buku Mari Membaca terbitan Utusan Publications (1982), Bahasa Melayu 1 – 3 terbitan Fajar Bakti (2003), Mudah Membaca Bahasa Melayu terbitan Fajar Bakti (2006), dan Ceria 2M Buku 1 dan 2 terbitan Ilmu Bakti (2007).

Perlu diingat bahawa KGBK ialah kaedah bacaan permulaan. Setelah kita membina asas, murid boleh membaca sendiri ayat dan cerita mudah. Selepas itu, kita perlu mendorong murid membaca berbagai-bagai bahan bacaan. Dorongan itu dapat membantu mereka meningkatkan minat dan tabiat membaca serta menjadikan pembacaan sebagai aktiviti sepanjang hayat.

13 April 2009

Kaedah Gabungan Bunyi-Kata: Bicara Permulaan

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

1. Kaedah ini termuat dalam Buku Panduan Am terbitan Pusat Perkembangan Kurikulum pada tahun 1981. Kaedah ini dimuatkan juga dalam Buku Sumber Bahasa Malaysia Tahun 1 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1983. Dalam kedua-dua buah buku itu kaedah ini dinamakan Pendekatan C. Dalam huraiannya pula kedua-dua buku itu menggunakan ungkapan Pendekatan Bunyi-Kata.

2. Pendekatan C atau Pendekatan Bunyi-Kata dalam kedua-dua buku itu berasal daripada kertas kerja “Beberapa Kaedah Mengajar Murid-murid Membaca Bahasa Melayu di Peringkat Awal” oleh Profesor Dr. Isahak Haron. Kertas kerja itu dibentangkan dalam Konvensyen Pendidikan (KONPEN) Kali Keempat di Kuantan pada bulan Disember tahun 1979. Kertas kerja itu kemudian disiarkan oleh majalah Dewan Bahasa keluaran Julai 1980.

3. Dalam kertas kerja itu Profesor Dr. Isahak meninjau beberapa kaedah pengajaran bacaan asas bahasa Melayu. Dalam kertas kerja itu juga beliau memperkenalkan Kaedah Gabungan Bunyi-Kata. Beliau mengharapkan agar Kaedah Gabungan Bunyi-Kata digunakan bagi mengatasi masalah tidak boleh membaca dalam kalangan pelajar sekolah kebangsaan.

4. Dalam konteks pengajaran bacaan asas, perkataan “kaedah” wajar menggantikan perkataan “pendekatan”. Sebabnya, penggunaan perkataan “kaedah” lebih tepat berbanding dengan perkataan “pendekatan”. Pada masa ini, kita hanya menemukan ungkapan yang menggunakan perkataan “kaedah” seperti Kaedah Abjad, Kaedah Seluruh Perkataan, Kaedah Fonik dan Kaedah Gabungan Bunyi-Kata. Kini sukar kita temukan ungkapan Pendekatan Abjad, Pendekatan Fonik, Pendekatan Seluruh Perkataan dan Pendekatan Gabungan Bunyi-Kata dan sebagainya yang sememangnya tidak tepat itu.

5. Seperkara lagi, Buku Panduan Am dan Buku Sumber Bahasa Malaysia Tahun 1 menggunakan ungkapan Pendekatan Bunyi-Kata. Apabila kita menggantikan perkataan “pendekatan” dengan perkataan “kaedah”, ungkapan itu akan menjadi Kaedah Bunyi-Kata. Oleh sebab Profesor Isahak Haron sendiri menggunakan ungkapan Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK), maka tulisan ini juga menggunakan ungkapan KGBK.

6. Elok juga dijelaskan bahawa, dari sudut bacaan asas, perkataan “bunyi” sama maksudnya dengan “fonik”. Jadi, jika mahu, kita boleh menggunakan ungkapan Kaedah Gabungan Fonik-Kata.

7. Sememangnya sebahagian besar guru bacaan asas alaf ini lebih biasa dengan perkataan “fonik” berbanding dengan perkataan “bunyi”. Hal ini berlaku kerana beberapa penerbit bahan bacaan asas di negara kita menggunakan perkataan “fonik” dan membentuk ungkapan Kaedah Fonik. Antara versi Kaedah Fonik itu ialah Kaedah Bacalah Anakku oleh Nik Eliani dan suaminya, Othman Ahmad yang dicipta pada tahun 1996. Namun, dalam tulisan ini ungkapan KGBK dipertahan.

8. Profesor Dr. Isahak Haron bukan sahaja mencipta KGBK malah menyebarluaskannya. Buku Mari Membaca terbitan Utusan Publications pada tahun 1982, Mudah Membaca Bahasa Melayu terbitan Fajar Bakti pada tahun 1990, Mudah Membaca Bahasa Melayu 1 – 3 terbitan Fajar Bakti pada tahun 2006 dan Ceria 2M Awal Membaca dan Menulis terbitan Ilmu Bakti pada tahun 2007 membuktikan hal ini.

9. Penjelasan ini dapat membantu kita mempertimbangkan kebenaran jikalau ada dakwaan bahawa Kaedah Fonik yang dicipta pada tahun 1990-an dan dekad ini merupakan usaha pertama di negara kita. Penjelasan ini dapat mengenyahkan kehairanan kita apabila ternyata butiran KGBK hampir sama dengan butiran yang terdapat dalam beberapa buah buku bacaan asas di pasaran.

10. Baik juga diketahui bahawa KGBK (Pendekatan C) merupakan satu daripada empat kaedah yang dicadangkan untuk digunakan dalam kurikulum sekolah rendah pada tahun 1980-an. Kaedah lain yang boleh digunakan ialah Kaedah Campuran (Pendekatan A), Kaedah Gabungan (Pendekatan B) dan Kaedah Binaan (Pendekatan D).

11. Menurut PPK, Pendekatan A ialah “Kaedah Campuran yang memberatkan cerakinan”. Jadi, kaedah ini dapat juga dinamakan Kaedah Campuran-Cerakinan. Kaedah ini menjadi pegangan PPK untuk pengajaran bacaan asas bahasa Melayu. Oleh itu, butiran kaedah ini dimuatkan dalam Buku Panduan Am terbitan PPK pada tahun 1981.

12. Berdasarkan ciri dan huraiannya, Kaedah Campuran-Cerakinan itu dapat dianggap sebagai variasi Kaedah Seluruh Perkataan. Kaedah ini yang memberatkan aktiviti pandang dan sebut (yang pernah dipopularkan pada tahun 1970-an) dapat juga dinamakan kaedah Pandang dan Sebut. “Kaedah” Suku Kata (sebenarnya Teknik Suku Kata) dan kaedah Huruf/Bunyi pula menjadi kaedah sokongan Kaedah Campuran itu.

13. Buku Panduan Khas Tahun 1 terbitan PPK pada tahun 1982 menyusun kemahiran pengajaran bacaan asas dengan berdasarkan Kaedah Campuran. Guru sekolah rendah mengajarkan bacaan asas berpandukan Buku Panduan Khas Tahun 1 itu. Tegasnya, pada tahun 1980-an, guru sekolah rendah menggunakan Kaedah Campuran (Cerakinan, Seluruh Perkataan). Namun, menurut Profesor Dr. Isahak Haron dalam satu kertas kerjanya yang dibentangkan di Kuching pada bulan Julai tahun 2007, penggunaan Kaedah Campuran (Cerakinan, Seluruh Perkataan) itu tidak bertahan lama. Guru sekolah rendah kembali menggunakan Kaedah Abjad “yang telah pun lama sebati dengan mereka”.

14. Kembali kepada KGBK, dalam satu bengkel di Kuala Lumpur pada bulan Jun 2007, Profesor Isahak menyatakan KGBK terpinggir di sekolah kebangsaan. Pengalaman penulis sebagai penyelia praktikum guru pelatih dan guru terlatih (peserta kursus) selama tiga dekad dan pergaulan penulis dengan guru sekolah rendah lebih tiga dekad pula menunjukkan tiada seorang pun guru terlatih, apalagi guru pelatih, menggunakan KGBK.

15. Penulis sudah meneliti dan tertarik dengan KGBK sejak tahun 1980. Dari semasa ke semasa, apabila berpeluang mengendalikan kursus pengajaran bacaan asas, penulis berusaha menghuraikan KGBK sebaik-baik yang mungkin. Penulis juga menggalakkan guru pelatih menggunakan KGBK jikalau mereka berpeluang mengajar murid tahun satu. Yang terakhir, penulis meningkatkan promosi KGBK dalam kurikulum Kursus Pemulihan Khas untuk Sekolah Kurang Murid (SKM) dan Literasi Bahasa Melayu di Institut Pendidikan Guru (IPG).

16. Pada tahun 2002, melalui dua kajian yang berasingan, Profesor Dr. Isahak Haron merumuskan beberapa dapatan. Yang pertama, KGBK sesuai untuk mengajarkan bacaan permulaan kepada kanak-kanak prasekolah. Yang kedua, KGBK juga berkesan sebagai kaedah pengajaran untuk murid pemulihan. Yang ketiga, guru berupaya memahami KGBK dan mampu menggunakannya di bilik darjah.

17. Oleh hal yang demikian, semua guru yang mengajarkan bacaan permulaan wajarlah mendalami KGBK. Dengan pemahaman yang baik terhadap KGBK, guru boleh cuba melaksanakannya dan membandingkan keberkesanannya dengan kaedah lain, khususnya Kaedah Abjad yang popular itu. Paling tidak, guru dapat memanfaatkan susunan bahan KGBK untuk menambah baik Kaedah Abjad agar sesuai dengan situasi alaf ini.

Tukar Bahasa Melayu kepada Malaysia, Keputusan Politik Tanpa Rujuk Pakar

Nyza Ayob, Harakahdaily, 13 Julai 2007

Jemaah Menteri pada April lalu mengambil keputusan menukarkan istilah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia, dikatakan bertujuan mewujudkan semangat bahawa bahasa Malaysia milik semua tanpa mengira kaum.

Menteri Penerangan, Dato' Seri Zainuddin Maidin pula menyatakan keputusan Kabinet menggunakan semula bahasa Malaysia sebagai istilah rasmi bagi merujuk kepada bahasa kebangsaan.

Rentetan itu semua kementerian dan institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta diarah memaklumkan kepada jabatan serta agensi masing-masing untuk menggunakan istilah bahasa Malaysia dalam surat-menyurat, notis dan dokumen, berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak pula berpendirian, langkah itu juga bertepatan dengan hasrat kerajaan yang mahu bahasa kebangsaan itu menjadi milik semua rakyat Malaysia serta bertujuan mengelakkan polemik daripada pihak yang menganggap ia hanya untuk kaum tertentu sahaja.

Tukar Tanpa Rujuk Pakar Bahasa

Dalam hal ini, dikatakan keputusan dibuat dengan tidak dimaklumkan atau merujuk terlebih dahulu kepada golongan yang mahir dalam perkara ini seperti pakar bahasa. Apakah penukaran ini memang "perlu" dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum yang tujuannya dikatakan untuk menjaga keharmonian kaum?

Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, Dr. Awang Sariyan menegaskan penukaran istilah bahasa Melayu menjadi bahasa Malaysia untuk kegunaan rasmi tidak perlu, malah bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 152 yang menetapkan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Hal ini demikian katanya taraf dan kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan berasaskan kontrak sosial sebelum kemerdekaan lagi, iaitu penerimaan semua rakyat tanpa mengira keturunan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa negara.

Justeru katanya, tidak timbul isu kaum-kaum bukan Melayu tidak menerima bahasa Melayu sebagai bahasa milik semua rakyat.

"Jika sekarang timbul rasa tidak memiliki bahasa itu, maka salahnya pada golongan yang berkenaan, bukan pada istilah 'bahasa Melayu'," katanya.

Usaha Memperluas Bahasa Melayu dalam Segenap Bidang

Jelasnya lagi penukaran istilah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia tidak mempunyai perkaitan dengan pemartabatan bahasa Melayu, kerana nama bahasa Melayu telah lebih dua alaf menjadi bahasa yang bermartabat dan menjadi tonggak tamadun.

"Untuk memartabatkan sesuatu bahasa, yang penting ialah usaha meluaskan penggunaannya dalam segala bidang kehidupan masyarakat, bukan menukar namanya," tegasnya lagi.

Penyandang pertama Kerusi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU) ini juga berpendapat sebagai sinonim bagi bahasa Melayu, istilah bahasa Malaysia tidak salah digunakan, tetapi bukan untuk dirasmikan sebagai istilah pengganti bagi bahasa Melayu. Bagaimanapun katanya, Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara mesti dihormati kerana dalam Perlembagaan yang sah dan rasmi ialah "bahasa Melayu".

Tambahnya, jurang antara kaum tidak disebabkan istilah "bahasa Melayu". Bahkan apabila Allahyarham Tun Abdul Razak dalam Penyata Razak (1956) menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama, untuk perpaduan kebangsaan.

"Negara kita telah memberikan sekian banyak kelonggaran dan kebebasan kepada kaum-kaum bukan Melayu. Kita tidak seperti Indonesia atau Thailand yang mensyaratkan nama semua rakyat menurut nama dalam bahasa negara.

Pokoknya terlalu banyak keistimewaan yang telah diberikan kepada rakyat bukan Melayu dan tidak ada sebab sehingga nama bahasa negara pun perlu ditukar untuk memenuhi cita rasa golongan tertentu," katanya.

Istilah Bahasa Malaysia Tiada dalam Perlembagaan dan Akta

Pengerusi Karyawan, Dato' Hassan Ahmad dalam kolumnya dalam akhbar tempatan berpendapat "bahasa Malaysia" tidak semestinya menunjukkan bahawa itu adalah bahasa Melayu.

Jelasnya, dalam Perlembagaan, dalam Akta Bahasa Kebangsaan (1963/1968) dan dalam Akta Pendidikan disebut bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan Persekutuan Malaysia. Istilah "bahasa Malaysia" tidak digunakan dalam dokumen-dokumen perundangan akta tersebut.

Situasi ini katanya menggambarkan taraf politik-legalistik bahasa Melayu yang membezakan taraf bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa lain. Dasar ini katanya untuk kepentingan negara, bukan untuk kepentingan etnik.

Dengan memberi contoh Indonesia, katanya bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan Indonesia disebut "bahasa Indonesia" walaupun dari segi genetiknya "bahasa Indonesia" itu sebenarnya ialah bahasa Melayu, bukan bahasa Jawa, bukan bahasa Minangkabau, bahasa Bugis, Aceh dan lain-lain lagi.

Jelasnya bahasa Melayu juga telah lama menjadi bahasa pemersatuan atau lingua franca di Indonesia sejak zaman pemerintahan Belanda. Bahasa inilah yang akhirnya diterima sebagai bahasa "bebas etnik" untuk menyatupadukan penduduk Indonesia. Ini bermakna bahasa Melayu di Indonesia tidak dikaitkan lagi dengan etnik Melayu atau dengan kuasa Melayu.

"Di Malaysia, kita tidak perlu menciptakan istilah baharu yang kononnya 'neutral' atau bebas etnik untuk menggantikan nama `bahasa Melayu'. Istilah yang lebih bersifat supraetnik dan supradaerah atau wilayah sudah ada dalam Perlembagaan, iaitu bahasa kebangsaan," katanya.

Nik Safiah Kecewa dengan Keputusan Kerajaan

Sementara itu pakar bahasa, Prof. Emeritus Dr. Nik Safiah Abdul Karim dalam satu kenyataannya juga melahirkan kekecewaan dengan keputusan kabinet itu.

"Saya sedih dengan keputusan Kabinet. Kita selalu tukar fikiran, apa salahnya kekal dengan istilah bahasa Melayu. Saya harap Kabinet kaji semula perkara ini kerana sudah jelas dalam Perlembagaan yang merujuk bahasa kebangsaan sebagai bahasa Melayu," katanya.

Jelasnya lagi, bahasa Melayu sekarang bukan lagi merujuk orang Melayu tetapi umum mengetahuinya sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi pertuturan harian rakyat.

Pakar Undang-undang Sifatkan Keputusan Bermotif Politik

Profesor undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr. Abdul Aziz Bari pula berpandangan, keputusan kabinet itu mungkin bermotifkan politik sebagai strategi pilihan raya bagi menunjukkan keprihatinan Barisan Nasional (BN) terhadap masyarakat bukan Melayu.

Istilah tersebut juga katanya menggambarkan seolah-olah Umno hendak mengkhianati kontrak sosial memandangkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di bawah Perkara 152 adalah sebahagian daripada kontrak sosial.

Jelas Abdul Aziz, Perkara 152 yang "merumahkan" kedudukan bahasa Melayu tidak pernah dipinda sejak 31 Ogos 1957 lagi. Manakala ungkapan bahasa Malaysia katanya timbul selepas peristiwa 13 Mei untuk mengambil hati golongan bukan Melayu.

Justeru katanya, kenyataan Menteri Penerangan, Dato' Seri Zainuddin Maidin bahawa istilah bahasa Malaysia diperkenalkan oleh Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj selepas negara mencapai kemerdekaan adalah diragui.

"Saya ragu bila masa Tunku berbuat seperti yang didakwa oleh Zam itu. Cukuplah dengan nasib tulisan Jawi yang mati di tangan mereka. Kononnya sistem ejaan jawi dipermudah untuk memudahkan bukan Melayu.

"Tetapi berapa ramai yang belajar dan minat? Yang jelas orang Melayu lupa tulisan Jawi dan ini mendatangkan kesan negatif kepada pendidikan al-Qur'an yang rapat dengan tulisan Jawi. Begitu juga dengan jati diri bangsa Melayu," tegasnya dalam satu kenyataan kepada Harakah.

Jelasnya lagi, persoalan bahasa tidak perlu dikaitkan dengan negara. Beliau memberi contoh beberapa buah negara seperti Brazil yang menggunakan bahasa Portugis tapi tidak menggelarnya dengan "bahasa Brazil".

Begitu juga dengan Mexico tetap mengekalkan bahasa Sepanyol, tidak menjadikannya bahasa Mexico. Begitu juga dengan Amerika Syarikat dan Scotland dalam konteks bahasa Inggeris, katanya.

"Kita tidak harus terikut-ikut dengan kekeliruan di Indonesia. Kita harus melihat Brunei yang tegas mempertahankan bahasa Melayu. Kita tidak harus melakukan sesuatu yang amat dangkal dan superfisial seperti yang dilakukan oleh kabinet itu.

Rujuk Pakar Bahasa atau DBP

"Kabinet harus merujuk hal ini kepada pakar bahasa seperti DBP dan mereka yang berkaitan. Mereka juga harus berani meminda Perkara 152 yang mana pindaan ini mesti diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja," katanya yang kesal dengan tindakan tersebut.

Keputusan kabinet menggunakan istilah bahasa Malaysia yang antara lain dengan alasan untuk memperkasa bahasa kebangsaan juga disifatkan Abdul Aziz akan lebih mengelirukan orang Melayu serta belum tentu dapat diperkasakan.

"Yang penting kembalikan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu. Lain yang bermasalah lain pula yang ditangani. Ini ibarat kepala yang sakit, tetapi kaki pula yang dirawat," katanya.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Dr. Syed Husin Ali pula berpendapat tindakan menukar nama sahaja tidak akan menyelesaikan masalah, kerana apa yang lebih penting ialah soal kedaulatan bahasa yang perlu diberi keutamaan di samping perlunya kestabilan dasar politik dan ekonomi untuk menjamin perpaduan yang utuh.

Mampukah Pertukaran Ini Mantapkan Perpaduan?

"Apakah dengan hanya menukar nama kepada bahasa Malaysia maka automatik akan meningkatkan keyakinan rakyat atas perpaduan kaum?" katanya dalam satu komentar terhadap isu tersebut.

Kata Syed Husin, elemen perpaduan mesti melihat kepada dasar politik dan ekonomi, selain bahasa dan pendidikan. Menurutnya, dasar politik Malaysia masih lagi mengamalkan dasar pecah dan perintah, justeru perpaduan hanya boleh dicapai dengan mengubah dasar yang sedia ada. Justeru langkah meniup semangat perpaduan tanpa perubahan hanyalah retorik semata-mata, katanya.

Sebagaimana yang dinyatakan Abdul Aziz, Teras Pengupayaan Melayu juga melahirkan kekesalan kerana keputusan tersebut ditukar kembali tanpa ada rujukan dan perbincangan dengan ahli bahasa.

"Adakah pihak kerajaan lebih melayani tuntutan pihak tertentu untuk mencairkan identiti bahasa itu? Adakah bahasa Melayu yang telah diterima tanpa sungutan oleh kebanyakan rakyat dirombak semula hanya atas alasan perpaduan, walhal tidak ada bukti menunjukkan orang bukan Melayu rasa kurang selesa dengan bahasa Melayu," kata presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Sungguhpun isu penukaran istilah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia ini dianggap remeh oleh sesetengah pihak khususnya golongan yang "tipis" semangat Melayu, pandangan pelbagai pihak harus diambil kira agar "pusaka" asli ini tidak terkubur dan penukarannya tidak hanya bersandarkan istilah semata-mata. (wann)

12 April 2009

Lesen Puisi dari Sudut Pandangan Profesor Asmah

Profesor Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar dalam Ensiklopedia Bahasa Melayu (2008: 200 - 201) menyatakan, lesen puisi merujuk kepada kelonggaran yang diberi kepada pencipta sajak memilih bentuk bahasanya.

Menurut beliau, lesen puisi mengizinkan penyajak melanggar peraturan bahasa secara terhad. Syarat utama ialah penyimpangan itu dapat menambah keindahan ciptaan.
Asmah mengemukakan beberapa ungkapan contoh yang menggunakan lesen puisi. Beliau memetik ungkapan itu daripada sajak Usman Awang, Firdaus Abdullah, Kemala dan Shafie Abu Bakar.

Ringkasan ungkapan itu dalam bentuk senarai adalah seperti yang di bawah. Ungkapan yang mendahului senarai (italik) ialah ungkapan yang menggunakan lesen puisi. Ungkapan dalam kurungan ialah ungkapan bahasa Melayu biasa (baku) atau komen terhadap ungkapan yang berkenaan.

1. berubah tentu (tentu berubah)
2. derita rasa (rasa derita)
3. menyejuk tulang (menyejukkan tulang)
4. meriak air tenang (meriakkan air tenang)
5. sebuah jalan (sebatang jalan)
6. sebuah kata (sepatah kata)
7. sebuah nama (tiada penjodoh bilangan untuk nama)
8. sebuah suara (tiada penjodoh bilangan untuk suara)
9. senja ketika (ketika senja)
10. ubah berubah (berubah-ubah)

Ungkapan contoh yang di atas menunjukkan ketidakpatuhan penyair terhadap nahu dalam sajak mereka adalah terhad. Huraian Profesor Asmah pula menunjukkan ketidakpatuhan itu dapat menambah keindahan sajak. Antara ungkapan yang dapat menambah keindahan ialah “berubah tentu”. Namun ada juga ungkapan seperti “sebuah jalan”, tersasar daripada fungsi menambah keindahan.

Bacaan saya terhadap idea tersirat Profesor Asmah ialah beliau kurang senang dengan pelanggaran nahu secara leluasa atas nama lesen puisi. Menurutnya, “Penyajak-penyajak Melayu masih dapat mempertahankan keindahan ciptaan mereka dengan mematuhi jalan bahasa Melayu yang standard.”

08 April 2009

Cerita Lisan: Tidak Wajib Menjawab Salam Ini

Pada suatu waktu Asar, jemaah di sebuah masjid terdiri daripada pak imam dan beberapa orang kanak-kanak sahaja. Selepas bersolat, dia berbual dengan kanak-kanak itu. Antaranya, dia memberitahu mereka bahawa mengucapkan salam cuma sunat, menjawab salam itu wajib.

Imam mengemukakan nas al-Qur'an yang bermaksud, "Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan (ucapan) yang baik lagi daripadanya, atau balaslah penghormatan itu (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung sesuatu dengan teliti." (An-Nisa', 4:86)

Budak-budak itu mengangguk-ngangguk mendengar penjelasan imam.

"Tetapi mereka itu lain sedikit," kata imam. "Saya sendiri beri salam, tidak dijawab. Dua kali saya beri salam, dua kali tidak dijawab."

"Tidak patut," rungut beberapa orang kanak-kanak.

"Memang tidak wajib menjawab salam itu," kata imam. Suaranya sengaja ditinggikan.

"Pak iman kata tadi wajib jawab salam," kata seorang kanak-kanak.

Imam senyum-senyum. Dia menenung kanak-kanak itu seorang demi seorang. Kemudian dia sengih-sengih.

Apabila semua orang diam, seorang kanak-kanak yang terkecil dalam kelompok itu berkata, "Tadi pun kami tak jawab salam pak imam."

"Kamu memang cerdik," kata imam.

Kanak-kanak yang lain kehairanan. Kanak-kanak yang terkecil berbisik dengan seorang rakannya. Si rakan berbisik pula dengan rakan yang lain sehingga semua mereka maklum. Kesemua kanak-kanak itu mengangguk-ngangguk. Mereka ketawa berderai.

Imam pun ikut ketawa. Ketawanya sekadar menampakkan gusi dan dengan suara yang amat perlahan. Memang cerdik budak-budak ini, kata imam dalam hatinya.

Penulisan Kata Ganti Nama Singkat 4

Masukan terdahulu:

Pedoman Bahasa (JPEG) 052. Kata Ganti Nama Singkat (Klitik).

06 April 2009

Penulisan Kata Ganti Nama Singkat 3

Masukan terdahulu:
Sari Rencana: Bentuk Klitik
Penulisan Kata Ganti Singkat 1
Penulisan Kata Ganti Singkat 2

Pedoman Bahasa (JPEG) 051. Kata Ganti Nama Singkat (Klitik).

Penulisan Kata Ganti Nama Singkat 2

Tidak Baku
kutelah lihat, kautelah lihat
kubelum telan, kaubelum telan
kusedang baca, kausedang baca

Baku
telah kulihat, telah kaulihat
belum kutelan, belum kautelan
sedang kubaca, sedang kaubaca

Masukan terdahulu:
Sari Rencana: Bentuk Klitik
Penulisan Kata Ganti Singkat 1

Pedoman Bahasa (JPEG) 050. Kata Ganti Nama Singkat (Klitik).

05 April 2009

Penulisan Kata Ganti Nama Singkat 1

Ayat Contoh
Suratmu itu sudah kuterima. ü → Sudah kuterima suratmu itu. ü

Masukan yang berkaitan: Sari Rencana: Bentuk Klitik

Pedoman Bahasa (JPEG) 049. Kata Ganti Nama Singkat (Klitik).

Tebarkanlah Aksaramu

Aku menyenangi aksaramu
putih dan hijau berkilat
menjadi daun musim luruh
di negeri jauh.

Aku menyenangi aksaramu
duduk rapat-rapat
bersama-sama para malaikat.

Kulihat aksaramu kecil dan besar
berdiri bahu-membahu
sesekali bergerak perlahan-lahan
ke kanan dan ke kiri
tabah menapak ke destinasi.

Kudengar aksaramu bergumam
berbaur geram dalam diam
di sisi kapal hampir karam.

Kini aksaramu berdiri
menyanyi menguliti hidup ini.

Tebarkan aksara budi
mewangi di hadapanku
tebarkan aksara iman
semerbak dari denai ilhammu.

Mohd Isa bin Abd Razak
Seremban

Berita Harian, 28 Mac 2009

04 April 2009

Seperti yang Kulihat

Seorang siswa
sambil baring merenung bintang
bintang merah langit putih
waktu siang
kemudian dilemparnya bintang itu
jatuh bersama-sama langit
terhempas di atas simen
dan dia pun berdiri
merungut seorang diri.

Kau keramat kota keramat tanjung
bernama manusia
hari ini kawanmu api
esok kawanmu api

Kaulah kuda ragi gagak cicak
beduk masjid belalang bukit.

Kau keramat kota keramat tanjung
bersama manusia
hari ini kawanmu api
esok kawanmu api.

Kaulah jin Islam paling baik
lalu jangan lagi kautipu aku
keramat kota keramat tanjung
berkawan dengan api
keramat kota keramat tanjung
diamlah.

Akhirnya dia kehabisan kata-kata
diam-diam bergegas ke bilik kuliah
terserempak bintang di simen
dan melayang ditiup angin.

Isa Razak
Desa Siswa C USM
Mac 1978