04 Ogos 2012

Kala Senja dan Senjakala


Yang ini kala juga.
Mohd. Januri Aiyub, “Kala”, Pelita Bahasa, Julai 2012, halaman 20 - 22.

1. Perkataan kala berada sebelum perkataan. Ayat contoh, Budak itu sering kali meracau kala senja menjelma. Dalam ayat ini kala berada sebelum perkataan senja dan seerti dengan ketika.

2. Perkataan kala dapat digabungkan dengan perkataan yang lain bagi membentuk perkataan baharu. Semua perkataan baharu itu ditulis secara bercantum. Perkataan lain itu mendahului perkataan kala. Ada sembilan perkataan yang terbentuk, iaitu adakala, apakala, dahulukala, kadangkala, manakala, purbakala, sediakala, senjakala dan tatkala.

3. Dari segi golongan kata, perkataan kadangkala dan adakala ialah kata tugas. Perkataan apakala, tatkala dan manakala pula tergolong dalam kata hubung pancangan keterangan. Perkataan apakala dan manakala bersinonim dengan perkataan apabila. Perkataan tatkala merujuk frasa pada masa. Perkataan manakala boleh juga berfungsi sebagai kata hubung gabungan apabila kedudukannya dalam binaan ayat membawa maksud tetapi. Perkataan dahulukala, purbakala, senjakala dan sediakala tergolong dalam kata nama.

4. Dari segi pembentukan kata, kala berpotensi untuk membentuk perkataan baharu setelah menerima imbuhan dan penggandaan. Contohnya, berkala, keberkalaan, berkala-kala dan sekali-sekala. Perkataan berkala-kala digunakan dalam pantun yang termuat dalam buku Kurik Kundi Merah Saga.

Tiada ulasan: