Memaparkan catatan dengan label Coretan: Nostalgia Peribadi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Coretan: Nostalgia Peribadi. Papar semua catatan

14 Disember 2012

Ukhuwah dan Air Mata

Awal pagi itu Rusa merahku melompat-lompat di atas jalan batu kelikir. Jalan itu menjadi laluan utama lori balak. Aku memaksa Rusaku melalui jalan itu sebagai jalan pintas untuk ke Kampung Minawo. Jarak kampung itu dari rumah sewaku cuma sepuluh kilometer. Jikalau aku melalui jalan yang bertar, jaraknya hampir dua kali ganda.

Rusaku menamatkan larian di jalan yang berlopak-lopak. Kini aku dan dua orang anakku sudah berada di simpang ke Kampung Minawo Dari simpang itu hingga ke Pusat Latihan Dakwah, jalannya bertar. Jalan itu memudahkan orang Tionghua pergi ke kuil di atas bukit. Jalan itu juga memudahkan perjalanan orang yang berkemampuan untuk bersantai di persantaian yang terletak di lereng bukit tidak jauh dari kuil.

02 Disember 2012

Sabah Tempat Bermain: Pendahuluan

Sabah Tempat Bermain


Bismillahirrahmanirrahim. Segala puji bagi Allah sarwa sekalian alam. Salam dan selawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahualaihiwasallam.

Himpunan catatan kenang-kenangan Sabah Tempat Bermain ini meliputi tempoh lebih kurang 10 tahun, iaitu dari bulan September tahun 1971 hingga bulan Disember 1984. Tempoh dari bulan Jun 1976 hingga bulan April 1979 tidak dikira. Pada masa itu saya belajar di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Peristiwa pilihan di USM saya serapkan dalam catatan tertentu yang latar belakangnya tetap Sabah.

Himpunan catatan ini disusun berdasarkan urutan masa dan berasaskan tempat saya bertugas. Walau bagaimanapun, kandungan beberapa catatan disorot ke belakang demi menjaga tumpuan dan liputan sesuatu tajuk. Sorotan ke belakang sama ada secara terus atau dengan teknik tertentu saya lakukan demi keutuhan urutan penceritaan.

Susunan setiap catatan ialah satu atau beberapa peristiwa dalam lingkungan tajuk. Saya berusaha menggambarkan peristiwa, tempat, suasana, perasaan dan sebagainya. Ada gambaran itu saya rincikan untuk menimbulkan kesan dan perutusan. Penentuan kesan dan perutusan itu saya serahkan kepada daya rasa dan budi daya pembaca.

Saya berusaha untuk membina urutan sebab-akibat atau plot bagi setiap catatan. Rasanya, usaha itu berjaya bagi beberapa catatan sehingga berkemungkinan dianggap sebagai cerpen. Bagi catatan tertentu, saya akui bahawa usaha itu kurang berjaya. Saya berharap pembaca dapat menerima kekurangan itu sesuai dengan penggunaan perkataan catatan atau nukilan yang lebih mirip kepada lakaran.

Saya mengehadkan panjang setiap catatan. Secara purata, panjang catatan dalam himpunan ini kira-kira 1,300 patah perkataan. Kepanjangan yang terkawal ini saya harap dapat membantu pembaca yang kebanyakannya sibuk agar dapat berhenti setelah membaca satu atau beberapa catatan dan menyambung pembacaan pada masa lapang yang lain.

Semua catatan dalam buku ini berasaskan peristiwa sebenar. Nama orang, tempat dan sebagainya semuanya benar. Namun, demi keberkesanan penyampaian, kebanyakan gambaran peristiwa saya kreatifkan. Hal ini bermakna ada tokok tambah, khususnya gambaran suasana dan dialog. Nama orang, tempat dan masa kejadian yang saya sudah lupa atau tidak pasti, saya perikan secara umum seperti “seorang anak Saroh”, “di suatu tempat” dan “pada hujung tahun”. Saya sengaja meninggalkan beberapa peristiwa atas beberapa sebab seperti untuk menjaga kelancaran catatan, mengelakkan timbulnya persoalan kewilayahan dan agar tidak melanggar peruntukan Akta Rahsia Rasmi.

Saya sudah berusaha untuk meninggalkan apa-apa yang dapat dianggap sebagai pendedahan aib. Juga, apabila dalam sesuatu peristiwa ada pertentangan pendirian antara saya dengan orang perseorangan atau kumpulan, saya berusaha untuk memberikan gambaran yang seimbang. Walau bagaimanapun, gambaran dalam catatan tertentu ada kemungkinan dapat menyinggung perasaan sesiapa. Jikalau hal itu berlaku, saya memohon kemaafan daripada mereka yang berkenaan.

Semua catatan dalam buku ini pernah disiarkan dalam blog saya. Pada peringkat awal, penyiarannya tidak berurutan. Catatan yang disiarkan itu saya anggap sebagai kelainan permulaan. Semua kelainan permulaan itu disemak berkali-kali dan dimurnikan. Dalam usaha penyemakan dan pemurnian, saya menerima pandangan rakan-rakan buku wajah. Kepada mereka yang sudi memberikan maklumat dan cadangan penambahbaikan, saya ucapkan terima kasih yang setinggi-tingginya.

Saya mengakui bahawa wacana catatan ini belum cukup utuh. Hal itu terjadi kerana sebahagian bahan seperti gambar, penerbitan maktab dan surat yang saya simpan di rumah ibu musnah dalam kebakaran pada 17 Jun 1988. Selain itu, kekangan tertentu, termasuk kewangan, menyebabkan saya tidak “turun ke gelanggang” untuk melakukan penentusahan. Insya-Allah, sekiranya buku ini mendapat sambutan dan ada cadangan untuk penerbitan edisi kedua, saya bersedia untuk melakukan penambahbaikan dan pemurnian.

Ketika menghasilkan buku ini, isteri dan anak bongsu saya terpaksa mengurus diri masing-masing. Kecuali bagi kes tertentu seperti untuk ke hospital pada tengah malam, mereka berusaha tidak mengganggu tumpuan perhatian saya. Saya menghargai keprihatinan mereka. Saya rakamkan ucapan terima kasih dan kasih sayang kepada mereka.

Sesungguhnya, tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah. Ampuni hamba atas kelalaian dan kemungkinan timbulnya sifat mazmumah berikutan penerbitan buku ini. Wallahuaklam. Wassalam.

Tentang Penulis

Masukan ini ialah lampiran 2 himpunan catatan kenang-kenangan “Sabah Tempat Bermain”.


Mohd Isa bin Abd Razak pernah dikenali dengan nama pena Rasmi Safar, Isa Razak, Cikgu Isa dan beberapa nama pena lain secara bermusim, khususnya dalam komunikasi maya. Dia lahir pada tahun 1952 di Kampung Permatang Pasir, Linggi, Negeri Sembilan. Dia menghabiskan usia mudanya di luar Negeri Sembilan, iaitu dua tahun di Kedah, tiga tahun di Pulau Pinang dan hampir 30 tahun di Sabah.

Citra Pilihan

Masukan ini ialah lampiran 1 himpunan catatan kenang-kenangan "Sabah Tempat Bermain".
Gambar 1: Pasport antarabangsa penulis yang pertama. Pasport ini dibuat semasa penulis belajar di Institut Kemahiran MARA, Alor Setar. Rujuk bab 1.

30 November 2012

Puisi: Sabah Tempat Bermain

Sabah Tempat Bermain

1
Sabah Negeri di Bawah Bayu
pepohon hijau berdaun rimbun
berpasak bumi Gunung Kinabalu
turus belianmu tahan beratus tahun.

Hadiah Terbesar

Sabah Tempat Bermain

Tembadau (Bos javanicus lowi)
Walaupun sekolah dan maktab bercuti, berita pertukaran saya tetap tersebar. Berita itu sampai juga ke telinga Tuan Syed Mokhtar. Kami berbincang di warung maktab. Dia mencadangkan agar saya menyewa rumahnya di Seremban. Dia memberikan alamat mentuanya yang memegang kunci rumah itu. Saya memang hendak menyewa rumah yang berhampiran dengan MPRM. Saya akan melihat rumah beliau sebelum membuat keputusan. Tuan Syed juga mengajak saya berburu buat kali terakhir di Sukau. Saya bersetuju.

28 November 2012

Pulang Berlima

Sabah Tempat Bermain
1983: Ayah dan Kakak
Saya dan isteri berdua tidak sampai setahun. Pada 18 Januari 1982, si sulung lahir. Kami bertiga. Kami bertiga kira-kira setahun dua bulan. Mulai 11 Mac 1983, anak kedua saya lahir. Kami berempat. Kami berempat hanya setahun 19 hari. Mulai 31 Mac 1984, anak ketiga saya lahir. Kami berlima. Dalam kalangan kami, hanya saya lelaki.

Pada bulan ketujuh ketika kali pertama isteri saya berbadan dua, saya menghantarnya ke Ranau. Kami menaiki kapal terbang dari Sandakan ke Kota Kinabalu. Oleh sebab ada kejadian tanah runtuh di Kundasang, saya menyewa sebuah teksi dan teksi itu melalui Tambunan untuk ke Ranau. Pemandu teksi mengenakan tambang tambahan sepuluh peratus daripada dua ratus ringgit yang dipersetujui kerana saya meminta dia menghantar kami terus ke Kampung Libang.

27 November 2012

Seminar Jawi dan Kempen Membaca

Sabah Tempat Bermain
Pada 13 Mei 1984, Persatuan Bahasa Melayu (PBM) maktab kami menganjurkan seminar kecil tulisan Jawi. Seminar itu membincangkan kertas kerja saya yang bertajuk “Tulisan Jawi sebagai Jiwa Bahasa Melayu”. Pembahas ialah Ketua Jabatan Bahasa, Encik Abu Bakar bin Mohamad. Perasmi ialah Naib Pengetua, Tuan Haji Muhammad bin Arshad. Beliau mewakili Pengetua Maktab Perguruan Sandakan, Tuan Haji Tajudin bin Hussein.

26 November 2012

Rezeki Mata

Sabah Tempat Bermain
Kenderaan yang paling kerap kami gunakan dalam kegiatan berburu ialah kereta salun saya. Hanya sekali kami menggunakan jip kecil pacuan empat roda dan kami pulang dengan tangan kosong. Ada dua kali kami menggunakan pikap dan kedua-dua kali itu kami pulang dengan tangan kosong juga. Ada sekali kami menggunakan lori dan dua kali kenderaan pacuan empat roda.

Kegiatan di Ranau

Sabah Tempat Bermain
Apabila bercuti di Ranau, jarang-jarang amat saya duduk-duduk di rumah. Jikalau musim bersawah atau menuai, saya ke bendang untuk membantu mentua dan ipar-ipar. Isteri saya kerap ikut serta. Apabila bukan musim bersawah, saya ke sawah juga. Saya membersihkan kebun mentua di “pulau” sawah itu. Kerja yang mengasyikkan saya ialah menggemburkan tanah dan membuang akar lalang. Saya menanam ubi dan keladi di kawasan yang sudah dibersihkan.
1981: MIAR, Saifuddin dan Hamzah di Mangkapoh
Kadang-kadang saya berjalan-jalan di kebun getah dan hutan di atas bukit tidak jauh dari rumah mentua. Mula-mula ipar lelaki atau anak Tuan Haji Daud menemani saya. Kemudiannya, beberapa kali pula saya ke hutan di perbukitan itu bersendirian. Lazimnya kami membawa pulang pucuk paku. Ada dua kali Pak Cik Abdul Mumin mengajak saya ke kebunnya yang agak jauh. Dia memperkenalkan pohon tuhau. Beberapa batang pohon tuhau itu saya tanam di sebelah rumah mentua. Pohon tuhau itu membiak dan masih ada ketika saya pulang ke Ranau pada tahun 2010.

24 November 2012

Berburu, Memukat dan Menjala

Sabah Tempat Bermain

Saya berkebun kecil-kecilan di belakang pangsapuri. Isteri saya kerap berada di kebun itu. Kami menyusun batas dan tanam-tanaman dengan cara yang dapat membendung hakisan dan mengekalkan struktur tanah di lereng bukit. Rumput di atas tebing kami jaga bagi mengelakkan tanah runtuh. Tanam-tanaman seperti peria, petola dan timun menjadi.

23 November 2012

Usul Mesyuarat dalam Bahasa Inggeris

Beberapa tahun sebelum saya bersara, institut kami mengadakan mesyuarat pengurusan di sebuah hotel. Ketua kami mengemukakan usul agar pada masa akan datang mesyuarat itu dilaksanakan dalam bahasa Inggeris. Menurut beliau, penguasaan bahasa Inggeris semakin penting sejak negara kita melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Beliau berharap, mesyuarat itu dapat menjadi wadah bagi anggota mesyuarat memahirkan diri dalam bahasa Inggeris.

17 November 2012

Batang Gaharu Buruk (Kemas Kini)

Sabah Tempat Bermain

1982: Shamad, Haji Liwangsa, MIAR
Pada pertengahan tahun 1982, Shamad, Ramli dan saya mengikut rakan kami, Tanalol Haji Liwangsa, memukat ikan di Danau Botong. Danau itu terletak di kampung Tanalol, iaitu Kampung Sentosa Jaya, kira-kira 100 kilometer dari Sandakan. Kami ke sana dengan keretanya.

16 November 2012

Jalan di Sa ... na! (Kemas Kini)

Sabah Tempat Bermain
Pada penggal ketiga tahun 1981, saya dan Ramli Yusop ditugaskan untuk menyelia praktikum guru KDC di Ranau. Seorang guru bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Paus. Sekolah itu terletak di pedalaman. Simpang ke sekolah itu terletak di antara Telupid dengan Pekan Ranau dan jaraknya dari Pekan Ranau kira-kira 62 kilometer.

15 November 2012

Mendirikan Masjid

Sabah Tempat Bermain
KK, 1981: Ibu dan Anak
Di sekolah, tiga kali saya mengalami cuti hujung tahun dan saya nikmati sepenuhnya. Tiada urusan sekolah. Saya tidak pulang ke Negeri Sembilan kerana isi dompet tidak seberapa. Sebahagian isi dompet yang tidak seberapa itu saya kirimkan kepada ibu. Tindakan itu lebih baik berbanding dengan mengayakan syarikat pengangkutan, khususnya syarikat penerbangan yang mengenakan tambang yang tinggi pada masa itu.

Di maktab, cuti hujung tahun penuh dengan kegiatan. Apabila guru pelatih biasa pulang, guru KDC tiba. Mereka lebih ramai daripada guru pelatih biasa. Ruang asrama tidak mencukupi. Ada antara mereka tinggal di luar kampus. Mereka membawa kerja kursus untuk dikumpul dan diperiksa. Kuliah padat, termasuk hari Sabtu dan malam. Beban tugas pensyarah juga berganda.

14 November 2012

Urusan Rasmi dalam Bahasa Melayu

Sabah Tempat Bermain
Selain bertunang, kembali merokok dan dilambung ombak, satu lagi peristiwa penting yang saya alami pada tahun 1980 ialah pertemuan khas untuk membincangkan tuntutan Persatuan Bahasa Cina (PBC) maktab kami. Peristiwa itu berlaku selepas saya pulang dari Pitas dan merupakan rentetan peristiwa sebelumnya.

Pada suatu hari, Penasihat PBC, Encik Chin Shi Cin memberitahu saya bahawa pelajar-pelajarnya akan mengemukakan tulisan dalam bahasa Cina untuk Inti Sari, iaitu majalah maktab. Selaku Penasihat Sidang Pengarang Inti Sari, saya menyatakan bahawa penulisan deskriptif dan kreatif dalam bahasa Cina untuk majalah itu memang dibenarkan. Walau bagaimanapun, laporan tahunan rasmi seperti laporan kegiatan PBC dan kumpulan Program Pendidikan Awal Kanak-kanak (PPAK) Pengajian Cina (PC) hendak ditulis dalam bahasa Melayu. Encik Chin berjanji akan menyampaikan pandangan saya itu kepada para pelajarnya.

11 November 2012

Bertugas di Luar

Sabah Tempat Bermain
Bertugas di luar bermaksud bertugas di luar ibu pejabat. Menurut Perintah Am Bab B yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 1974, ibu pejabat ialah satu lingkungan kawasan yang dikira dari pejabat atau tempat seseorang itu biasa melaporkan diri untuk bertugas. Yang dimaksudkan lingkungan kawasan pula ialah kawasan sejauh 15 batu apabila menggunakan jalan raya, atau 10 batu apabila melalui jalan tanah yang boleh dilalui oleh kenderaan bermotor, atau lima batu apabila melalui jalan basikal atau sungai. Takrif ini mungkin berubah dari semasa ke semasa.

10 November 2012

Cita-cita, Kerjaya dan Citra Diri

Sabah Tempat Bermain
Sebelum saya bertunang, saya menerima sepucuk surat daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur. DBP menawarkan jawatan Pegawai Penyelidik Bahasa, Sastera dan Penerbitan di DBP Cawangan Sabah kepada saya. Saya diminta untuk melaporkan diri kepada Pengarah DBP Cawangan Sabah di Kota Kinabalu secepat yang mungkin.

Saya menulis surat kepada DBP. Saya menyatakan bahawa saya menerima tawaran itu tetapi belum boleh melaporkan diri kerana terikat untuk meneruskan perkhidmatan yang sedia ada. Saya memohon jasa baik DBP agar menghantar surat kepada pihak yang berkenaan bagi melepaskan saya daripada ikatan itu. DBP menunaikan permintaan saya dan menghantar surat rayuan agar Kementerian Pelajaran Malaysia melepaskan saya daripada ikatan syarat latihan di maktab dan sebagai penerima dermasiswa. Salinan surat rayuan itu dikirimkan kepada saya. Setelah beberapa minggu tiada jawapan, DBP mengirimkan sepucuk surat ulangan. Kementerian Pelajaran Malaysia membalas surat itu dengan menyatakan bahawa tenaga saya masih diperlukan. Pelepasan tidak dibenarkan.

09 November 2012

Menandatangani Perjanjian

Sabah Tempat Bermain
Betty dan Shamad, 2012
Shamad berasal dari Kuala Terengganu. Selepas menamatkan latihan perguruan di sebuah maktab di Semenanjung, dia ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Mat Saleh. Di situ dia bertemu dengan gadis Kadazan dari Penampang bernama Betty. Betty guru sekolah rendah. Dia memeluk agama Islam dan berkahwin dengan Shamad.

Pada bulan Januari 1980, Shamad ditukarkan ke Maktab Perguruan Sandakan. Ketika itu dia sudah mempunyai tiga orang anak. Oleh sebab Betty belum mendapat surat pertukaran, dia ke Sandakan seorang diri. Selepas melaporkan diri, dia bertanya kami tentang rumah sewa. Rakan-rakan saya mengatakan bahawa rumah sewa yang berhampiran dengan maktab sukar diperoleh. Pada waktu tiada kuliah, saya mengajak dia ke tempat kediaman saya yang terletak kira-kira sepelaung dari kelompok bangunan akademik.

07 November 2012

Pensyarah Permulaan

Sabah Tempat Bermain
Di Sandakan, saya, Mohamad Daud, Melah dan Abdul Jabar tinggal di hotel yang sama. Saya sebilik sendirian. Mohamad dan keluarga sebilik pula. Petang itu kami bersiar-siar di bandar. Keesokannya, hari Ahad. Kami melawati rakan kami di Sekolah Menengah Kebangsaan Tiong Hua. Kami makan tengah hari di rumahnya.

Pada hari Isnin, Mohamad dan keluarganya mengikut saya ke Maktab Perguruan Sandakan. Pemandu teksi memberitahu bahawa jalan yang kami lalui ialah Jalan Labuk. Katanya, jalan itu menuju ke Lapangan Terbang Sandakan dan boleh sampai ke Batu 32. Di sana ada simpang untuk ke Telupid dan Tawau.