Memaparkan catatan dengan label Kebudayaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kebudayaan. Papar semua catatan

05 Ogos 2009

Kebudayaan Melayu: Pantang Larang Keluar Rumah

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

Secara mudah, “pantang” bermaksud sesuatu perbuatan yang terlarang menurut adat atau kepercayaan sesuatu masyarakat. Pantang larang pula bermaksud bermacam-macam pantang atau larangan.
Terdapat begitu banyak pantang larang dalam masyarakat Melayu tradisional. Antara pantang larang itu termasuklah pantang larang untuk keluar dari rumah yang lazimnya dipendekkan dengan ungkapan “pantang larang keluar rumah”. Yang di bawah ini ialah 10 pantang larang keluar rumah dalam masyarakat Melayu tradisional.

1. **Bayi. Bayi tidak boleh dibawa berjalan (keluar rumah) pada waktu senja atau Maghrib, takut dirasuk hantu jembalang.

2. **Ibu Mengandung. Ibu yang sedang mengandung dilarang keluar rumah pada waktu petang kerana dikhuatiri hantu akan mengusiknya.

3. **Kanak-kanak. Kanak-kanak tidak boleh keluar rumah pada waktu rembang, waktu senja dan tengah malam kerana dikhuatiri akan ditegur oleh hantu syaitan.

4. **Ke Laut. Jikalau seseorang hendak turun ke laut (keluar rumah), hendaklah dimulai dengan langkah kanan dan sebutlah nama Allah agar membawa berkat.

5. **Melawati Wanita Bersalin. Orang yang ingin menziarahi wanita yang baru bersalin tidak boleh melawatinya (keluar rumah) pada waktu senja kerana ditakuti akan membawa hantu dan syaitan.

6. *Ke Laut. Pelaut hendaklah turun ke laut (keluar rumah) sebelum matahari terbit dan tidak boleh berpatah balik apabila sudah turun dari rumah.

7. *Selepas Bersalin. Ibu yang baru lepas bersalin dilarang keluar rumah, ditakuti akan disampuk hantu syaitan.

8. *-Ibu Mengandung. Ibu yang sedang mengandung tidak dibenarkan keluar rumah pada waktu malam kerana dikhuatiri akan terjadi gerhana, terutamanya pada 15 hari bulan. Jikalau terjadi gerhana, si ibu yang sedang mengandung dan berada di dalam rumah dikehendaki menjunjung dulang agar dirinya terlindung daripada cahaya bulan. Sekiranya pada masa gerhana itu si ibu yang mengandung itu berada di luar rumah dan terkena cahaya bulan, ditakuti anak yang bakal lahirkan akan cacat.*

9. -Gagak Berbunyi. Jangan keluar rumah ketika gagak berbunyi, nanti terkena sial atau bala.

10. -Ke Hutan. Seseorang yang baru turun dari rumah (keluar rumah) untuk ke hutan , jikalau terlihat ular melintas dalam perjalanannya, maka dipercayai ini merupakan suatu petanda yang tidak baik. Orang itu mesti naik semula ke atas rumahnya dan memakan sepiak pinang. Selepas itu bolehlah dia turun semula untuk meneruskan perjalanan.

Menurut Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, terdapat tiga tujuan utama pantang larang, iaitu untuk mendidik, menjaga kesihatan dan demi kesejahteraan masyarakat.

Pantang larang pertama dan ketiga hingga keenam bertujuan untuk mendidik. Misalnya, dengan memantangkan bayi atau kanak-kanak berada di luar rumah pada waktu senja ibu bapa dapat melaksanakan solat Maghrib dengan tenang tanpa risau akan keselamatan bayi atau anak mereka. Bayi atau kanak-kanak dididik berada di dalam rumah dalam keadaan senyap menyaksikan keluarga mereka beribadat atau sama-sama ikut beribadat. Pada waktu Maghrib yang pendek ini juga bukanlah masa untuk bertandang ke rumah jiran. Jadi, jikalau jiran kita baru bersalin, kita bolehlah melawatinya pada waktu siang atau selepas waktu Maghrib. Ini merupakan satu cara mendidik masyarakat.

Merujuk kepada pantang larang keempat, sememangnya kita dituntut memulakan langkah dengan langkah kanan untuk menuju ke sesuatu tempat yang baik seperti tempat mencari rezeki di laut sambil menyebut nama Allah, iaitu Bismillahi Rahmani Rahim. Langkah kanan itu sendiri merupakan simpulan bahasa yang bermaksud beruntung. Seterusnya, pantang larang kedua, ketujuh dan kelapan pula bertujuan menjaga kesihatan dan keselamatan ibu yang kita sayangi.

Pantang larang kelapan, kesembilan dan kesepuluh yang ditandai dengan tanda negatif (-) merupakan warisan kepercayaan animisme masyarakat Melayu. Tanda negatif digunakan dalam konteks nilai pada masa kini – bukan nilai pada zaman bahari – iaitu sesuatu yang kabur atau tiada asas pemikiran. Namun demikian, bagi kes seperti larangan terhadap ibu mengandung keluar rumah pada waktu malam, khususnya di kampung tradisional Melayu pada zaman pramerdeka, memang ada unsur positif, iaitu demi keselamatan ibu itu sendiri.

Larangan yang ditandai dengan satu asterisk (*) bersifat positif seperti bertujuan untuk mendidik. Larangan yang ditandai dengan dua asterisk (**) pula jelas sesuai dengan pegangan terkini masyarakat Melayu, iaitu hukum dan nilai Islam. Apabila diperhatikan, perkataan senja atau petang (menjelang senja, menghampiri senja) terdapat dalam pantang larang ini. Kita mungkin menganggap “fenomena senja” ini merupakan warisan animisme juga. Untuk menentukan sama ada anggapan itu betul atau silap, silalah baca anekdot “Keindahan pada Waktu Senja ”.

Mungkin ada banyak lagi pantang larang keluar rumah dalam masyarakat Melayu. Apabila menyedari bahawa takrifan “Melayu” dari segi antropologi dan sosiologi begitu luas, iaitu meliputi semua suku kaum peribumi di Nusantara, jumlah pantang larang keluar rumah mungkin di luar dugaan.

Tulisan pendek ini diharap akan membuka jalan penerokaan seterusnya oleh pelajar, khususnya pelajar Bahasa Melayu Akademik dan Pengajian Melayu di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), dan pengkaji budaya Melayu. Jikalau sesiapa berjaya memperpanjang senarai yang di atas, silalah kongsikan dapatan itu dalam ruangan ulasan.

31 Mac 2009

Kesenian Rakyat: Tarian Lansaran Kaum Murut


Oleh Mohd. Shahirul Tangah, Rolentino Mawing, Norisranah Ismail dan Haslinah Sapri

Suku kaum Murut merupakan suku kaum bumiputera yang kecil bilangannya di Sabah. Kaum ini tinggal di kawasan pedalaman iaitu di Keningau, Nabawan, Sepulot dan Tenom. (Tentang jumlah suku kaum Murut, sila rujuk ruangan ulasan di bawah masukan ini. - Penyunting, 13 November 2009.)

Kuala Tomani dalam daerah Tenom merupakan perkampungan orang Murut suku Tahol dan Sumambu (berdasarkan nama Sungai Tahol dan Sungai Sumambu). Perkampungan lain yang terdapat banyak suku kaum ini ialah di Ulu Tomani, Kalamatoi, Rundum, Nabawan dan Pensiangan.

Tarian-tarian suku kaum Murut terpelihara dan kekal dalam kehidupan mereka, termasuklah tarian lansaran. Di Pensiangan, Sepulot dan Nabawan, tarian ini dikenali dengan nama memolungun da papan atau tarian papan. Di Keningau dan Tenom, tarian ini dikenali dengan nama lansaran. (lansaran ialah ejaan DBP)

Perkataan lansaran berasal daripada perkataan lumasar yang bermaksud melambung atau berayun-ayun. Hal ini sesuai dengan situasi tarian itu yang ditarikan di satu tempat khas dengan berayun-ayun dan melambung-lambungkan diri.

Pada masa dahulu tarian ini berkait rapat dengan pemujaan roh atau semangat tengkorak, khususnya pemujaan semangat kepala manusia yang diperoleh semasa ngayau. Kini tarian ini ditarikan sebagai bersuaka ria sempena keramaian seperti perkahwinan dan perpindahan ke rumah panjang yang baharu.

Sebelum majlis tarian diadakan, beberapa persediaan perlu dibuat. Yang utama, tuan rumah perlu menyediakan tapai dua minggu sebelum majlis itu berlangsung. Selain itu, beberapa makanan lain juga disediakan.

Tempat lansaran yang berukuran lapan hingga 30 kaki persegi dan dapat menampung 30 orang penari, dibina di suatu ruang di rumah panjang. Kerja pembinaannya dilakukan secara bergotong-royong. Beberapa batang kayu bulat yang keras dan liat sebesar lengan orang dewasa merupakan bahan utama binaan itu. Kayu tersebut biasanya daripada jenis selangan batu. Kayu-kayu itu diikat dengan rotan saga. Tempat tarian ini dibina sekaki terkebawah daripada paras lantai.

Penyokong binaan tempat lansaran ialah tujuh batang kayu sepanjang 35 kaki yang menjadi tempat menghentakkan kaki serta pengeluar irama tertentu. Bahan ini disokong oleh 60 batang gelegar sepanjang 20 kaki. Sejumlah kayu bulat lagi digunakan untuk menutup ruangan lantai segi empat itu.

Penari-penari lansaran terdiri daripada lelaki dan wanita. Tiada ketetapan dari segi jumlah penari, hanya bergantung pada saiz tempat lansaran. Lelaki dan wanita menari bersama-sama, iaitu melonjak-lonjakkan diri untuk mencapai singkowoton yang diletakkan di bahagian bumbung tempat lansaran.

Pada zaman dahulu, singkowoton ialah tengkorak manusia. Pada masa kini singkowoton diperbuat daripada paruh burung enggang yang dihiasi dengan manik-manik beraneka warna sebagai pengganti tengkorak.

Biasanya diadakan pertandingan antara pasukan. Setiap pasukan masuk ke tempat lansaran secara bergilir-gilir untuk menari (melonjak-lonjakkan diri) bagi mencapai singkowoton itu. Sesuatu pasukan dapat juga terdiri daripada lelaki sahaja atau wanita sahaja. Adakalanya peraduan diadakan antara kampung atau rumah panjang.

Dari segi pakaian, para penari lelaki memakai abagh dan sampayau. Abagh ialah cawat yang dibuat daripada kulit kayu. Sampayau ialah baju yang dibuat daripada kulit kayu juga. Baju itu tidak mempunyai potongan yang tertentu. Bahagian tengah baju ini dilubangkan untuk memasukkan kepala. Bahagian kanan dan kirinya dijahit dengan benang yang juga dibuat daripada urat-urat kayu yang sama.

Pada bahagian depan dan belakang sampayau dihiasi dengan siput laut atau sulau dan dinamakan sampayau sinulauan. Diceritakan, pada zaman dahulu baju yang berhias dengan siput laut itu (sampayau sinulauan) tidak terjejas oleh tetakan parang, tikaman keris, dan rejaman lembing.

Selain itu, penari lelaki juga memakai kuru, iaitu topi bulat yang kosong di bahagian atasnya hasil anyaman kulit buluh. Topi itu dihias dengan bulu burung merak, enggang atau ayam hutan. Pada zaman dahulu lelaki Murut berambut panjang. Ketika memakai kuru, rambut mereka disimpul dengan menggunakan tulang binatang seperti gading gajah dan gigi babi hutan.

Pakaian penari wanita terdiri daripada sampayau, tapi dan tadung. Sampayau wanita ditenun daripada bahan kapas, berwarna hitam dan dihiasi dengan benang yang beraneka warna, terutamanya merah. Sampayau itu dihiasi dengan manik yang beraneka warna. Sulaman benang dan susunan manik itu menghasilkan corak yang bermotifkan alam seperti bunga, pokok dan binatang.

Tapi ialah kain sarung yang lazimnya berwarna hitam hasil tenunan daripada kapas. Seperti sampayau, tapi juga disulam dengan benang dan manik yang beraneka, warna merah masih menjadi pilihan utama. Tapi dihiasi juga dengan beberapa butang Betawi, atau kaling dalam bahasa Murutnya, dan jarak antara satu kaling dengan kaling yang lain lebih kurang dua inci. Kaling ini mengeluarkan irama bunyi yang secara langsung menjadi irama pengiring terhadap tarian lansaran.

Tadung ialah sejenis pengikat kepala selebar hampir dua inci yang dibuat daripada manik-manik kecil. Di keliling pengikat kepala itu diselitkan dengan bulu burung yang beraneka warna. Sekiranya manik tidak mencukupi, tadung dapat juga diperbuat daripada batu akik yang dirangkaikan sehingga mengelilingi kepala.

Selain itu, penari-penari wanita juga memakai tali pinggang yang dibuat daripada duit syiling, khususnya mata wang pada zaman British. Mereka juga memakai perhiasan untuk leher dan tangan.

Apabila para penari telah sempurna berpakaian, mereka membentuk dua bulatan sambil berpegangan tangan. Bulatan di dalam ialah penari lelaki. Bulatan di luar ialah penari wanita. Seorang hingga tiga orang penyanyi yang dinamakan mengimun liliawa berdiri di tengah-tengah bulatan itu.

Tarian ini diselaraskan oleh seorang juruacara. Apabila diarahkan oleh pengacara, penyanyi mula menyanyi secara solo dan ditingkah oleh chorus secara beramai-ramai. Fungsi asal nyanyian itu ialah menggerakkan semangat penari. Kini, selain terus merangsang penari-penari, nyanyian itu juga digunakan untuk memuji tuan rumah dan para pemimpin selain sarat dengan nasihat dan unsur kasih sayang.

Tarian bermula dengan gerakan tangan yang lemah gemalai seperti gerakan sayap burung helang ketika terbang. Kaki penari berengsot-engsot sedikit demi sedikit mengikut irama nyanyian.

Pada masa yang sama, tempat tarian melambung-lambung dan terhentak pada batang-batang kayu yang menjadi dasarnya. Semakin lama rentak tarian bertambah rancak. Pada masa ini, para penari akan melonjak-lonjakkan diri untuk mencapai singkowoton. Singkowoton itu akan menjadi milik pasukan yang berjaya mencapainya.

Satu upacara yang amat berkaitan dengan tarian ini ialah upacara kukui atau pemujaan roh tengkorak yang diadakan sekurang-kurangnya tiga tahun sekali. Dalam upacara ini, tengkorak itu diletakkan pada sebatang tiang di tengah-tengah tempat lansaran bersama-sama empat keping lemak khinzir yang telah dikeringkan yang panjangnya dua kaki dan lebarnya dua inci.

Kemuncak upacara kukui ialah si pemenggal kepala itu memakan sepotong daripada lemak khinzir itu dan membahagi-bahagikan sebahagian daripadanya kepada para penari. Mereka percaya, roh tengkorak tidak akan mengganggu mereka yang telah memakan lemak khinzir itu.

18 Mac 2009

Resolusi Kongres Kebudayaan Melayu II


Kami, para peserta Kongres Kebudayaan Melayu II yang bersidang di Wisma Sejarah dengan segala rela hati menerima semua peruntukan utama dan semua perincian terhadap peruntukan utama resolusi-resolusi ini. Kami menyerahkannya kepada kerajaan sebagai piagam dan pegangan kami demi keutuhan negara dan kesejahteraan bangsa Malaysia kini dan masa hadapan.

Kami turunkan tanda tangan sebagai pengesahan terhadap cita dan harapan kami seperti termaktub dalam resolusi ini.

Resolusi 1: Kebudayaan Nasional
Resolusi 2: Kenegaraan dan Perlembagaan
Resolusi 3: Sistem Politik
Resolusi 4: Sistem Ekonomi
Resolusi 5: Sistem Pendidikan
Resolusi 6: Bahasa, Kesusasteraan dan Kesenian
Resolusi 7: Media
Resolusi 8: Islam
Resolusi 9: Perpaduan Bangsa
Resolusi 10: Globalisasi

Y. Bhg. Dato’ Narliza Rafli
Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara

Y. Bhg. Dato’ Termuzi Haji Abdul Aziz

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka

Y. Bhg. Dato’ Haji Omar Mohd Hashim
Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia

Y. Bhg. Tan Sri Profesor Emeritus Dato’ Dr Ismail Hussein

Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA)

Termaktub di Wisma Sejarah
Jalan Tun Abdul Razak
Kuala Lumpur

Pada 17 Mac 2009
Bersamaan 20 Rabiulawal 1430H

Lampiran: Berita Kongres Kebudayaan Melayu II

Resolusi 10 KKM II: Globalisasi

Masukan terdahulu:
● Berita Kongres Kebudayaan Melayu II ● Resolusi 1: Kebudayaan Nasional ● Resolusi 2: Kenegaraan dan Perlembagaan ● Resolusi 3: Sistem Politik ● Resolusi 4: Sistem Ekonomi ● Resolusi 5: Sistem Pendidikan ● Resolusi 6: Bahasa, Kesusasteraan dan Kesenian ● Resolusi 7: Media ● Resolusi 8: Islam ● Resolusi 9: Perpaduan Bangsa ●

Kami mendesak agar kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia memandang dan menangani proses globalisasi dengan penuh waspada dan pengertian demi keutuhan bangsa dan negara serta kelangsungan corak hidup bangsa yang wajar, berakhlak dan beradab.

Resolusi 9 KKM II: Perpaduan Bangsa

Masukan terdahulu:
● Berita Kongres Kebudayaan Melayu II ● Resolusi 1: Kebudayaan Nasional ● Resolusi 2: Kenegaraan dan Perlembagaan ● Resolusi 3: Sistem Politik ● Resolusi 4: Sistem Ekonomi ● Resolusi 5: Sistem Pendidikan ● Resolusi 6: Bahasa, Kesusasteraan dan Kesenian ● Resolusi 7: Media ● Resolusi 8: Islam ●

Kami mendesak agar perpaduan dan keutuhan bangsa serta kesejahteraan masyarakat menjadi matlamat dan sasaran utama dalam segala bentuk penggubalan dasar, perancangan program dan pelaksanaan projek pembangunan berlandaskan perundangan negara dan Perlembagaan persekutuan sebagai landasan sahih bagi segala penggunaan peruntukan kewangan negara secara penuh integriti dan telus.

Resolusi 8 KKM II: Islam

Masukan terdahulu:
● Berita Kongres Kebudayaan Melayu II ● Resolusi 1: Kebudayaan Nasional ● Resolusi 2: Kenegaraan dan Perlembagaan ● Resolusi 3: Sistem Politik ● Resolusi 4: Sistem Ekonomi ● Resolusi 5: Sistem Pendidikan ● Resolusi 6: Bahasa, Kesusasteraan dan Kesenian ● Resolusi 7: Media ●

1. Kami berpegang teguh pada peruntukan Perlembagaan Persekutuan sebagai piagam yang telah termaktub tentang peranan dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan segala implikasinya mengatasi semua sistem agama dan kepercayaan yang lain dalam negara; maka peruntukan itu menuntut semua rakyat Malaysia menghormati kedudukannya, peranannya dan kemuliaannya, di samping menegaskan hak mengamalkan agama dan kepercayaan lain secara aman dan damai.

2. Islam adalah kekuatan kebudayaan Melayu yang menghadapi pelbagai cabaran dari dalam dan luar Negara. Maka kami mendesak supaya kerajaan mengawal segala bentuk pemikiran dan tindakan dengan lebih berkesan untuk memelihara keutuhan Islam dan bangsa Melayu/Bumiputera sebagai bangsa definitif dalam Negara.

Resolusi 7 KKM II: Media

Masukan terdahulu:
● Berita Kongres Kebudayaan Melayu II ● Resolusi 1: Kebudayaan Nasional ● Resolusi 2: Kenegaraan dan Perlembagaan ● Resolusi 3: Sistem Politik ● Resolusi 4: Sistem Ekonomi ● Resolusi 5: Sistem Pendidikan ● Resolusi 6: Bahasa, Kesusasteraan dan Kesenian ●

1. Semua bentuk dan pemilikan media mesti memainkan peranan utama sebagai wahana peneguhan teras nasional, kesedaran nasional, keutuhan bangsa dan negara serta kepentingan dan perpaduan nasional dan juga pemikiran bangsa.

2. Media mesti berperanan sebagai saluran dan wahana maklumat, pendidikan serta hiburan yang terkawal tanpa terlalu terlibat dengan budaya hedonisme, kekerasan dan tidak berakhlak. Media juga menjadi saluran paling berkesan antara kelompok masyarakat, seluruh negara, serantau dan antarabangsa maka ia menjadi wahana penggembleng perpaduan serta kesatuan bangsa. Maka kami mendesak penyelarasan media mesti dilakukan untuk mencapai kesejahteraan dan perpaduan bangsa.

3. Filem adalah media amat berkesan dalam menyampaikan pelbagai gagasan dan tindakan terutama berkaitan kebudayaan, maka kami mendesak supaya filem digunakan sepenuh untuk meneguhkan jati diri bangsa dan menyaring keselamatan bangsa dan Negara.

Resolusi 6 KKM II: Bahasa, Kesusasteraan dan Kesenian

Masukan terdahulu:
● Berita Kongres Kebudayaan Melayu II ● Resolusi 1: Kebudayaan Nasional ● Resolusi 2: Kenegaraan dan Perlembagaan ● Resolusi 3: Sistem Politik ● Resolusi 4: Sistem Ekonomi ● Resolusi 5: Sistem Pendidikan ●

1. Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan yang mesti diperoleh dengan sebaiknya oleh semua lapisan masyarakat demi keutuhan dan kesatuan bangsa dan negara.

2. Bahasa Kebangsaan telah membuktikan keupayaannya untuk menjadi perantaraan pendidikan dan pencapaian segala bidang keilmuan serta kemahiran setingginya, bagi semua lapisan masyarakat.

3. Pemerolehan bahasa-bahasa lain adalah kemahiran tambahan yang wajar bagi meningkatkan keupayaan bangsa, mendalami sumber keilmuan dan meluaskan hubungan di serata dunia antarabangsa.

4. Dasar bahasa dalam pendidikan mestilah dikembalikan kepada dasar yang berkuat-kuasa sebelum 2003 sebagai bahasa pengantar di seluruh sistem pendidikan dari tahap rendah kepada tahap universiti.

5. Kesusasteraan adalah wahana kemanusiaan yang berbudi tinggi demi pembinaan bangsa yang beradab dan berhemah tinggi serta berjiwa besar oleh itu mata pelajaran Kesusasteraan Melayu mestilah dijadikan mata pelajaran teras dan wajib dalam semua lapisan pendidikan Negara.

6. Kesenian adalah pengucapan dan daya cipta mulia dan tinggi bagi setiap individu dan seluruh bangsa demi pemartabatan maruah dan hemah pada tahap antarabangsa, maka pembinaan dan kemajuan seni mestilah selaras dengan landasan kebudayaan kebangsaan serta dari kekayaan sumbernya di seluruh Alam Melayu dan warisan kemanusiaan global

Resolusi 5 KKM II: Sistem Pendidikan

Masukan terdahulu:
● Berita Kongres Kebudayaan Melayu II ● Resolusi 1: Kebudayaan Nasional ● Resolusi 2: Kenegaraan dan Perlembagaan ● Resolusi 3: Sistem Politik ● Resolusi 4: Sistem Ekonomi ●

1. Sistem pendidikan mestilah berfungsi sebagai wahana membina keutuhan negara, perpaduan bangsa, jati diri bangsa, keilmuan dalam semua lapisan masyarakat, minda dinamis serta progresif, sikap dan nilai patriotik serta nasionalistik dan kemajuan negara di mata dunia.

2. Kerajaan mesti melaksanakan dan mencapai kesaksamaan pendidikan berkualiti melalui perantaraan bahasa kebangsaan tunggal, kemudahan menyeluruh di semua wilayah, meritokrasi yang terpilih dari semua golongan dan penyampaian khidmat yang penuh azam serta dedikasi oleh semua pihak.

3. Kami mendesak hanya satu bahasa kebangsaan tunggal dilaksanakan dalam seluruh sistem pendidikan dari tahap rendah hingga universiti demi perpaduan bangsa, keutuhan negara dan kemajuan seluruh lapisan masyarakat; pelaksanaan dasar pengajaran selain bahasa kebangsaan akan melemahkan maruah bangsa, menjatuhkan martabat negara dan menanam perpecahan antara kaum dan lapisan masyarakat; segala tindakan berkaitan bahasa kebangsaan mestilah selaras peruntukan semua perundangan negara.

4. Pendidikan bahasa kebangsaan mesti diwajibkan kepada semua warganegara sehingga ke tahap fasih, sambil menggalakkan mereka memperoleh kemahiran bahasa kedua dan pelbagai bidang ilmu; semua anggota tadbiran kerajaan dan masyarakat awam terutama anggota dalam perkhidmatan dan pembuatan undang-undang mesti diwajibkan menggunakan bahasa kebangsaan yang baik dan fasih demi pencapaian keadilan dalam masyarakat.

5. Kerajaan mesti melaksanakan pendidikan seni serta nilai-nilai kebudayaan kebangsaan dan sejarah serta peradaban bangsa sebagai landasan untuk mencapai kekuatan peribadi, keutuhan jati diri serta ketaatsetiaan terhadap negara dan bangsa.

6. Kerajaan mesti meneliti kembali kurikulum pelajaran kebangsaan untuk meneguhkan pendidikan semasa dan antarabangsa serta jati diri melalui peneguhan pendidikan sastera, budaya dan bahasa.

Resolusi 4 KKM II: Sistem Ekonomi

Masukan terdahulu:
● Berita Kongres Kebudayaan Melayu II ● Resolusi 1: Kebudayaan Nasional ● Resolusi 2: Kenegaraan dan Perlembagaan ● Resolusi 3: Sistem Politik ●

Sistem ekonomi mestilah memancarkan pengagihan saksama terhadap kekayaan negara tanpa sebarang kaum atau kelompok mendominasi pemilikan kekayaan dan peluang guna tenaga dengan menyusun semula struktur dan asasi ekonomi kolonial yang berterusan di Malaysia demi kedaulatan Negara, maka kami menuntut peruntukan hak-hak istimewa Melayu/Bumiputera terutama berkaitan Perkara 153 dan tanah rizab Melayu sentiasa dilaksanakan sepenuhnya sambil menghargai hak sah semua kaum, maka kami mendesak supaya kajian hasil dan natijah DEB dilakukan untuk memenuhi keperluan keseimbangan ekonomi Bumiputera

Resolusi 3 KKM II: Sistem Politik

Masukan terdahulu:
● Berita Kongres Kebudayaan Melayu II ● Resolusi 1: Kebudayaan Nasional ● Resolusi 2: Kenegaraan dan Perlembagaan ●

1. Kami mendukung sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan demokrasi, dan kedua bahagian itu menjadi bahagian sempurna dan utuh bagi kerajaan Malaysia. Demikian juga, institusi Raja dan Majlis Raja-Raja menjadi bahagian utuh sistem pemerintahan Malaysia, maka segala kemuliaan dan kuasa yang termaktub sebagai “pemerintah tertinggi” mestilah dipelihara dan dijunjung tinggi oleh semua pihak.

2. Sistem demokrasi menuntut semua rakyat melaksanakan kuasa mereka dengan penuh tatasusila, obligasi dan tanggungjawab terhadap seluruh peruntukan perundangan demi keamanan, kesejahteraan dan kebajikan bersama, maka kami menuntut segala bentuk peruntukan perundangan yang meremehkan dan menjatuhkan kemuliaan raja sebagai puncak pemerintah negara dan negeri-negeri mestilah dipinda dan ditarik balik.

3. Keluhuran Perlembagaan dan dasar-dasar utama Negara yakni dasar pendidikan, dasar kebudayaan, Rukun Negara dan dasar bahasa kebangsaan dikembalikan sebagai asas tindakan semasa terutama DEB untuk mencapai keseimbangan ekonomi antara kaum.

4. Kepimpinan negara sejak Dato’ Onn Jaafar sehingga ke zaman kini sentiasa meneguhkan tiga prinsip teras Negara: agama, bangsa dan negara. Maka kami mendesak supaya prinsip ini kekal menjadi teras perjuangan dan kepemimpinan Negara selamanya.

Resolusi 2 KKM II: Kenegaraan dan Perlembagaan

Masukan terdahulu:
● Berita Kongres Kebudayaan Melayu ● Resolusi 1: Kebudayaan Nasional ●

1. Kami menegaskan bahawa Malaysia ialah negara persekutuan terdiri daripada Negeri-Negeri Melayu/Bumiputera sebagai kelangsungan utuh daripada sejarah Negeri-Negeri Melayu/Bumiputera dan pada zaman tadbiran kolonial yang telah diserahkan kembali kepada Raja-Raja dan wakil-wakil rakyat Malaysia pada tarikh kemerdekaan dengan segala persetujuannya termaktub dalam semua undang-undang perlembagaan negara.

2. Kami menegaskan bahawa pelbagai Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan merujuk kepada keutuhan kenegaraan Melayu sebagai teras mulia dan sakral bagi perundangan itu. Maka dengan itu, kami mendesak dan menuntut semua rakyat menghormati semua peruntukan dalam semua undang-undang perlembagaan itu tanpa tafsiran terpilih-pilih dan serong terhadap setiap peruntukannya.

3. Kami menghormati prinsip “pemisahan kuasa” dalam Perlembagaan negara dan yakin terhadap fungsi pemerintahan adil yang tersirat dalam prinsip itu, maka dengan itu kami juga menuntut agar Perlembagaan tidak dipinda sewenang-wenangnya sehingga menyebabkan kemuliaan raja, kepentingan rakyat dan hak istimewa Melayu/Bumiputera dan serta hak asasi semua rakyat menjadi lemah dan remeh.

4. Keseimbangan kuasa antara kedaulatan serta kemuliaan raja dan rakyat mestilah sentiasa terpelihara melalui adat-istiadat atau konvensi kenegaraan dan pemerintahan demokrasi yang adil dan penuh tanggung-jawab dan beradab; kedua-dua pihak ini ialah pengimbang wajar terhadap kemutlakan kuasa masing-masing demi kewujudan seluruh bangsa.

Resolusi 1 KKM II: Kebudayaan Nasional

Masukan terdahulu:
● Berita Kongres Kebudayaan Melayu II ●

1. Kami menjunjung seting-tingginya pelbagai resolusi yang telah dimaktubkan dalam sidang-sidang KKM I dan KKK dan menegaskan kembali pelbagai resolusi itu sebagai wajar dan relevan bagi Malaysia kini.

Kami juga, khususnya, menegakkan kembali gagasan “kebudayaan Melayu/Bumiputera ialah teras kebudayaan kebangsaan” dengan erti gagasan ini menjadi landasan serta kerangka bagi semua perkembangan dan pembangunan kebudayaan kebangsaan Malaysia.

Maka kami mendesak agar Kementerian dan pelbagai agensi kerajaan sentiasa memastikan pemantauan dan pelaksanaan gagasan ini di sepanjang masa.

2. Kami menegaskan kembali prinsip Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) seperti yang berikut:

(a) kebudayaan kebangsaan mesti berasaskan kebudayaan peribumi di rantau Alam Melayu,

(b) unsur-unsur kebudayaan lain boleh disesuaikan dengan kebudayaan kebangsaan, dan

(c) Islam adalah unsur utama dalam kebudayaan kebangsaan.

3. Kebudayaan Melayu/Bumiputera adalah visi dan kerangka budaya yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan untuk menjadi landasan pembangunan dan kemajuan kebudayaan Malaysia, maka dengan itu, kami menolak segala gagasan dan tafsiran yang berkait dengan multiculturalism sebagai kerangka pemikiran dan pembangunan kebudayaan kebangsaan Malaysia yang akan mengancam dan meruntuhkan seluruh sistem kebudayaan bangsa.

4. Kami menganjurkan dan mendesak Kerajaan melaksanakan pembangunan kebudayaan berasaskan nilai-nilai luhur dan mulia kebudayaan Alam Melayu khususnya nilai “budi”, “adat” dan “adab” rumpun Melayu dan menubuhkan secara rasmi badan kajian adat bagi melaksanakannya sebaik-baiknya.

5. Kerajaan hendaklah menubuhkan sebuah yayasan untuk memantau pelaksanaan kebudayaan kebangsaan dan pembangunan segala bentuk dan ciri kebudayaan Melayu/Bumiputera untuk menjadi landasan tamadun bangsa.

Kongres Kebudayaan Melayu II, 16 – 17 Mac 2009

Kongres Kebudayaan Melayu II (KKM II) berlangsung pada 16 - 17 Mac 2009, di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur. KKM II ini berupa kesinambungan KKM I yang diadakan di Melaka pada tahun 1957. KKM II ini juga berupa susulan Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang diadakan di Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada tahun 1970.

250 orang peserta menghadiri KKM II. Mereka ialah ahli pelbagai pertubuhan kebudayaan Melayu dan individu dari seluruh Malaysia.


Peserta kongres mengisytiharkan bahawa mereka merupakan hati nurani dan jurubicara masyarakat Malaysia. Mereka prihatin terhadap keutuhan negara, perpaduan bangsa serta segala pembangunan kemajuannya, berlandaskan seluruh sistem perundangan negara, khususnya Perlembagaan Persekutuan.

Peserta KKM II juga berkeyakinan bahawa semua pemikiran dan tindakan berkaitan fenomena kebudayaan di Malaysia mestilah berlandaskan gagasan kesatuan kebudayaan di seluruh Alam Melayu sebagai asas alam yang luas, bersejarah panjang, berperadaban tinggi dan keimanan Islam yang suci dan mulia.

KKM menghasilkan sepuluh resolusi. Resolusi pertama berkaitan dengan kebudayaan, resolusi kedua berkaitan dengan kenegaraan dan perlembagaan, resolusi ketiga berkaitan dengan sistem politik, resolusi keempat berkaitan dengan sistem ekonomi dan resolusi kelima berkaitan dengan pendidikan.

Hal yang berkaitan dengan bahasa, kesusasteraan dan kesenian termaktub dalam resolusi keenam. Hal yang berkaitan dengan media dan Islam terakam dalam resolusi ketujuh dan kelapan. Hal yang berkaitan dengan perpaduan bangsa dan globalisasi tercatat dalam resolusi kesembilan dan kesepuluh.

Resolusi itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Dato’ Narliza Rafli; Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dato’ Termuzi Haji Abdul Aziz; Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia, Dato’ Haji Omar Mohd Hashim dan Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) Tan Sri Profesor Emeritus Dato’ Dr Ismail Hussein.

Menurut pihak KKM II, resolusi kongres itu akan dipersembahkan kepada DYMM Raja-Raja Melayu dan kemukakan juga kepada Kerajaan Malaysia.

05 Februari 2009

Kesenian Rakyat: Tarian Samalindang

Oleh Ashma Said, Suriani Mohd Sape, dan Syarifah Suhaini Md Sadar

Orang Brunei di Sabah ialah rakyat Brunei pada masa dahulu. Sebahagian kaum lain di Sabah juga pernah menjadi rakyat Brunei di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei. Oleh hal yang demikian, masih dapat dikesan akan adanya pengaruh Brunei dalam kehidupan masyarakat kini, khususnya masyarakat keturunan Brunei.

Satu daripada kesenian yang berasal dari Brunei ialah tarian samalindang. Pada masa dahulu, tarian ini ialah tarian dalam istana Sultan Brunei. Pada hari ini tarian samalindang sudah menjadi tarian rakyat jelata.

Perkataan samalindang berasal daripada gabungan kata samar dan rindang. Oleh sebab kepelatan sebutan generasi sekarang, maka perkataan itu disebut samalindang.

Menurut seorang suku kaum Brunei di Sipitang, perkataan samar bermaksud kurang jelas, kabur atau tersembunyi--sama ertinya dalam bahasa Melayu. Rindang pula bermakna rindu. Jadi, perkataan samalindang bermakna rindu yang samar-samar atau rindu yang disembunyikan.

Asal Usul Tarian Samalindang

Tarian samalindang berkait dengan satu kisah. Pada zaman dahulu, Sultan Brunei menjadikan Kota Batu sebagai istananya. Baginda mempunyai seorang puteri yang baik rupa parasnya. Tuan puteri itu jatuh cinta pada seorang jejaka yang tidak setaraf dengannya. Oleh sebab perasaan cinta yang meluap-luap, tuan puteri pun gering.

Ayahandanya memanggil para bomoh untuk menilik penyakit tuan puteri. Semua bomoh itu sependapat bahawa tuan puteri gering akibat terlalu rindu terhadap seseorang. Namun, mereka tidak berani berterus terang. Mereka cuba mengubati penyakit tuan puteri tetapi gagal.

Akhirnya baginda menghebahkan kepada orang ramai bahawa sesiapa yang dapat menyembuhkan penyakit puteri, orang itu akan mendapat ganjaran. Banyak rakyat jelata yang berkepakaran mengubati penyakit mencuba nasib. Semua mereka gagal.

Pada suatu hari, biduanita yang bernama Dang Siti membawa tuan puteri bersama-sama enam orang dayangnya pergi bermain ke taman bunga. Di situ mereka menyanyi untuk menghiburkan hati tuan puteri yang rindu itu dengan berpantun dan berseloka. Mereka mengerti akan penderitaan tuan puteri. Hal itu dijelmakan melalui pantun dan seloka dalam nyanyian mereka.

Tuan puteri memahami maksud nyanyian mereka dan pasti bahawa mereka mengetahui penderitaannya. Jadi, dia pun berterus terang dengan mereka. Maka kuranglah beban cinta yang ditanggungnya. Dang Siti menyatakan simpatinya dan berjanji akan menyampaikan perkara itu kepada Sultan.

Secara kebetulan, Sultan mendengar perbualan mereka. Sultan juga faham maksud pantun dan seloka yang mereka nyanyikan. Jadi, demi mengelakkan berlakunya sesuatu yang tidak diingini, Sultan mengahwinkan sang puteri dengan jejaka yang dicintainya.

Selepas peristiwa itu, Sultan menghargai jasa Dang Siti yang mencipta lagu itu. Baginda mengarahkan lagu itu diabadikan sebagai milik istana dan dinamakan samalindang.

Kini nyanyian samalindang sudah ditambah dengan tarian dan menjadi kegemaran muda mudi suku Brunei yang mendiami pesisir pantai Teluk Brunei, terutama di Weston, Sipitang dan Sindumin.

Muzik dan Tarian

Seperti nyanyian atau tarian lain, samalindang diiringi dengan alat-alat muzik sebagai penambah gemalai gerak tarian dan suara nyanyian. Alat-alat yang digunakan ialah rebana (3-6 buah), sebuah biola, sebuah gambus, guritik yang diperbuat daripada beliung/botol dan paku sebagai pemukulnya, dan gurinding yang diperbuat daripada pelepah enau. Gabungan suara dan alat-alat muzik itu terbentuklah satu irama yang dapat menggetarkan jiwa dan perasaan pendengarnya.

Dari segi pakaian, penari wanita memakai baju kebaya panjang yang diperbuat daripada sebarang warna sutera. Putih merupakan warna pilihan utama mereka. Baju itu dipadankan dengan kain songket kebiru-biruan yang bertekat benang sutera. Rambut mereka disanggul melintang, dan dihiasi dengan bunga-bunga hutan yang berwarna putih. Mereka juga berselendang panjang serta memakai gelang kaki dan gelang tangan yang diperbuat daripada perak dan emas.

Penari-penari lelaki pula memakai seluar panjang sebarang warna, berbaju teluk belanga, berkain samping dan berdestar.

Jumlah penari yang menari sambil menyanyi biasanya enam orang. Mereka berkumpulan dalam satu bulatan mengelilingi biduanita yang mengetuai tarian itu. Sesuai dengan asal usulnya, biduanita itu dinamakan Dang Siti dan dia berpantun sepanjang tarian itu ditarikan.

Tarian samalindang biasanya diadakan pada malam berinai, selepas upacara pernikahan dan pelbagai acara keramaian yang tujuannya semata-mata memeriahkan majlis itu.

Pantun Samalindang

Samalindang lindang,*
Samanya bujang;
Samalindang Dang Siti,
Samanya bujang.

Belatuk si raya burung,
Hinggap di atas intan selasih;
Lama sudah dendam berkurung,
Baru berjumpa pada kekasih.

Ulang *

Laju-laju perahu laju,
Laju merentas Surabaya;
Lupa kain lupa baju,
Jangan lupakan pada saya.

Ulang*

Cu Pandan anak Bubunya,
Hendak menyerang panji Melaka;
Sebentuk cincin permata bunga,
Buat kekasih yang tercinta.

Ulang*

Dang Nila memangku puan,
Sayang berambang buah pedada;
Sangat gila bagimu tuan,
Burung terbang dipipiskan lada.

Sebagai kesimpulannya, tarian samalindang merupakan warisan budaya asli suku kaum Brunei di Sabah. Tarian ini dapat memperkaya khazanah budaya sukuan di Sabah dan sewajarnya mendapat perhatian generasi kini.

Sumber: Grup_PM, 2005 (disunting).

Tarian samalindang di You Tube.

02 Februari 2009

Berendoi, Mungkinkah dalam Bahasa Inggeris?

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

Berendoi ialah istiadat naik buai untuk bayi. Istiadat ini lazimnya diadakan pada hari ketujuh kelahiran bayi itu. Istiadat ini biasa juga diadakan selepas habis tempoh berpantang ibu si bayi, iaitu 44 hari, atau dalam tempoh antara satu hingga dua bulan selepas kelahiran bayi itu.

Lazimnya berendoi merupakan sebahagian daripada istiadat cukur jambul bayi itu. Istiadat cukur jambul pula disertai acara berzanji dan ada juga yang disertai acara marhaban.

Dalam istiadat berendoi, bayi diletakkan di dalam buaian. Sambil bayi dibuai, sekumpulan peserta menyanyikan sejenis lagu. Lagu itulah dinamakan berendoi atau endoi. Irama lagu itu dan mesejnya seakan-akan marhaban dan berzanji. Dengan perkataan lain, seperti marhaban dan berzanji, berendoi dianggap kesenian berunsur Islam. Oleh itu, berendoi tidak diiringi oleh alat-alat muzik.

Berendoi terdapat di Perak, Kedah, Perlis, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu. Di Perak berendoi dikenali dengan nama dendang Siti Fatimah dan di Terengganu berendoi dikenali dengan nama ulit anak.

Di Perlis berendoi berkembang pesat pada tahun 60-an sehingga wujud kumpulan khas untuk mempersembahkan berendoi. Utusan Malaysia, 3 Februari 1998, melaporkan Setiausaha Persatuan Maulud Perlis, Ku Zainal Ku Abdullah, berkata berendoi dipersembahkan dalam upacara perkahwinan, sambutan Maulidur Rasul, berkhatan, cukur kepala, dan di majlis rasmi kerajaan.

Persatuannya, yang dianggotai oleh 160 orang ahli termasuk 30 orang wanita, bukan sahaja membuat persembahan di Perlis, malah pernah dijemput mengadakan persembahan di Kedah, Perak dan Pahang. Antara lagu yang sering dipersembahkan oleh setiap kumpulan yang terdiri daripada empat orang ahli termasuklah Belayar Rakit, Rukun Islam, Tidur Anak, Kelahiran Nabi dan Ayuhai Anak Yatim Piatu.

Dari segi kesusasteraan, berendoi merupakan kesenian rakyat yang berbentuk perlakuan dan disertai nyanyian atau senandung rakyat. Lirik endoi berupa puisi tradisional, iaitu syair, pantun dan nazam. Lirik endoi juga disertai zikir dan selawat.

Lirik lagu berendoi memuji-muji junjungan Nabi Muhammad s.a.w., menceritakan salasilah dan riwayat hidup baginda, menceritakan kisah nabi-nabi, menceritakan perihal susah payah ibu mengandung dan melahirkan anak dan juga nasihat-nasihat kepada kanak-kanak, antaranya agar mereka menghormati ibu bapa.

Ada juga lirik endoi yang mengandungi ajaran Islam dan isi al-Quran. Lirik endoi masa kini pula disesuaikan dengan keadaan semasa. Antara lagu yang dibawa dalam majlis berendoi ialah Tuhan Rabbulalamin; Anak di dalam Buaian; Ayuhai Anak Cahaya Mata; Kebesaran Allah, dan Aduhai Anak Jangan Durhaka.

Di bawah ini ialah satu contoh lirik berendoi.

Lagu Anak dalam Buaian (Perak)

Ayuhai anak di dalam buaian,
Pejamkan mata jangan tangiskan,
Lagu berendoi kami dendangkan,
Dalam majlis tanda kesyukuran.

Lamalah sudah kami menanti,
Namun engkau tak kunjung tiba,
Dengan takdir ilahi rabbi,
Kini engkau sudah menjelma.

(Rogayah A. Hamid, 2003)

Baru-baru ini seorang rakan melihat sendiri kesenian berendoi di Negeri Sembilan. Dia amat tertarik dengan seni kata berendoi.

“Bait-bait syair atau lagu yang didendangkan semuanya berunsur nasihat dan mengandungi ajaran Islam. Yang menariknya semuanya didendangkan dalam bahasa yang dapat difahami iaitu bahasa Melayu,” katanya.

Jadi, dia berpendapat kesenian berendoi wajar diteruskan.

“Tetapi kalau ditanya pendapat Kementerian Pelajaran, tentulah mereka minta diubah supaya berendoi didendangkan dalam bahasa Inggeris. Dengan demikian generasi yang ada sekarang boleh faham sebab mereka belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris,” tambah beliau.

Penulis ternganga.

07 Januari 2009

Konsep Melayu

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak
http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/

Istilah “Melayu” digunakan sejak sebelum Masehi. Contohnya, dalam sebuah kitab Hindu purba yang ditulis sekitar 500 sebelum Masehi ditemukan istilah Malaya dvipa. Para pengkaji berpendapat istilah itu merujuk kepada Pulau Sumatera. Pada sekitar 100 sebelum Masehi pula seorang ahli Matematik Greek yang bernama Ptolemy menggunakan istilah maleu-kolon atau “Melayu” dalam satu karyanya. Sekurun kemudian, iaitu dalam abad ke-7 Masehi, terdapat perkataan Mo-lo-yu dalam catatan seorang pengembara Cina yang bernama I’tsing. Mo-lo-yu merujuk kepada kerajaan Jambi atau Sriwijaya di Sumatera. Rumusannya, sehingga abad ke-7 istilah “Melayu” digunakan untuk merujuk nama tempat atau kerajaan, bukan nama bangsa atau bahasa.

Istilah “Melayu” untuk merujuk nama bangsa atau bahasa mula digunakan pada zaman kerajaan Kesultanan Melayu Melaka. Namun, istilah “Melayu” pada masa itu digunakan untuk merujuk keturunan raja-raja Melayu dari Sumatera sahaja.

Istilah “Melayu” untuk merujuk nama bangsa secara umum yang merangkumi suku bangsa serumpun di Nusantara, digunakan dengan meluas pada abad ke-17. Pada masa ini, apabila disebut perkataan “Melayu” takrif umumnya, iaitu dari sudut antropologi, ialah suku bangsa di Kepulauan Melayu atau Nusantara, termasuk pelbagai kelompok serumpun bahasa dalam kalangan kelompok bahasa Melayu-Polinesia. Kelompok suku bangsa ini mendiami wilayah Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, selatan Thailand, pesisir timur Pulau Sumatera, pesisir Pulau Borneo dan wilayah-wilayah lain di Nusantara serta kawasan penghijrahan mereka di seluruh dunia. Mereka ialah penutur teras bahasa Melayu.

Takrif dari sudut antropologi ini sesuai dengan takrif yang diberikan oleh UNESCO pada tahun 1972 yang merujuk “Melayu” sebagai suku bangsa Melayu di Semenanjung Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Madagaskar.

Di Malaysia, takrif Melayu dalam Fasal 160, Perlembagaan Persekutuan adalah seperti yang berikut:
“… seseorang yang menganut agama Islam, lazimnya bercakap bahasa Melayu, menurut adat istiadat Melayu dan
(a) Lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau ibu bapanya lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau pada Hari Merdeka ini adalah berdomisil di Persekutuan atau Singapura atau
(b) Ia adalah keturunan seseorang yang tersebut.”

Jelaslah bahawa pengertian perkataan “Melayu” itu dapat dilihat dari dua sudut. Yang pertama ialah pengertiannya dari sudut pandangan yang luas atau sudut pandangan antropologi. Yang kedua ialah pengertiannya dari sudut pandangan yang terhad, iaitu khusus untuk negara Malaysia sebagaimana yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pengertian yang pertama kita gunakan dalam bidang ilmu. Contohnya, apabila kita mengkaji sejarah bahasa Melayu, kita akan mengkajinya dengan berdasarkan takrif yang pertama itu. Pengertian yang kedua digunakan dalam konteks tertentu di negara kita, iaitu yang ada kaitannya dengan keistimewaan dari segi politik, ekonomi, pendidikan dan sebagainya. Sudah pasti pemahaman terhadap istilah “Melayu” ini akan membantu kita memahami berbagai-bagai perkara yang berkaitan dengan orang Melayu masa kini, termasuklah isu bahasa Melayu.