Memaparkan catatan dengan label Menulis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Menulis. Papar semua catatan

19 Januari 2010

Secebis Kisah Pengajaran Karangan di Sekolah Rendah

Seorang guru Bahasa Melayu baru bertukar ke sekolah baharu. Dia berhadapan dengan beberapa orang murid tahun lima yang masih belum mampu menghasilkan karangan yang baik. Walaupun masa untuk menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) hampir dua tahun lagi, guru itu tetap risau akan keadaan murid-muridnya. Dia mahu membantu murid-murid itu mulai awal tahun ini juga. Dia meminta pandangan saya.

03 Januari 2010

Blurb dan Kandungan Buku Tertib Mengarang

Bahan ini menjadi lampiran untuk masukan “Tertib Mengarang untuk Penulis Blog dan E-Grup”. Saya menjadikan bahan ini sebagai masukan tersendiri untuk memudahkan kita mencapainya.

Blurb Buku Tertib Mengarang: Asas Retorik untuk Pelajar dan Pendidik

Buku Tertib Mengarang: Asas Retorik untuk Pelajar dan Pendidik ini dihasilkan khusus untuk membantu para pelajar dan pendidik menghasilkan tulisan atau karangan yang bermutu. Pengarang menegaskan bahawa syarat asas penghasilan tulisan yang bermutu ialah kepatuhan kepada kaedah mengarang yang tertib yang terbahagi kepada tiga tahap. Tahap pertama ialah tahap persiapan atau prapenulisan, yang kedua ialah tahap penulisan sebenar, sementara yang ketiga ialah tahap penyemakan atau pascapenulisan. Penulis yang berdisiplin tidak harus mengabaikan proses mengarang secara tertib itu.

Dalam penghasilan karangan pula, penulis menggunakan pendekatan wacana, iaitu sesuatu tulisan, biar apa pun bentuk atau jenisnya, mestilah disusun dengan menitikberatkan ciri binaan wacana yang utuh, antaranya kesatuan, kepaduan dan jalinan gagasan. Jika wacana dapat dianalogikan dengan hidangan makanan yang terhasil daripada resipi dan gaya olahan masakan yang baik, maka penghasilan karangan yang baik banyak bergantung pada pengolahan gagasan dengan cara yang baik juga. Demikian juga, jika hidangan makanan yang baik bermula dengan pemilihan ramuan atau bahan yang bermutu, maka karangan yang baik dapat dihasilkan hanya apabila penulis menguasai unsur-unsur pembentuk wacana dengan baik, khususnya unsur kata dan ayat yang berkesan.

Buku yang terdiri daripada 21 bab ini menggunakan asas retorik dan stilistik dalam penghasilan karangan, hatta untuk karangan deskriptif, teknis dan profesional. Langkah-langkah mengarang diberikan peringkat demi peringkat dengan contoh yang jelas dengan bantuan rajah serta ilustrasi. Buku ini dapat dianggap memberikan maklumat dan bimbingan dari A hingga Z tentang penulisan yang berkesan. Selain pelajar dapat menggunakan buku ini sebagai pedoman untuk menghasilkan karangan yang baik an pendidik pula dapat menggunakannya sebagai petunjuk untuk mengajarkan penulisan kepada pelajar menurut proses yang tertib. Kalangan lain seperti pegawai tadbir sesuai juga menggunakan buku ini untuk menghasilkan tulisan yang berkaitan dengan tugas sehari-hari mereka.

Kandungan Buku Tertib Mengarang: Asas Retorik untuk Pelajar dan Pendidik

1. Tertib dalam Karang-Mengarang: Apa dan Mengapa?
2. Mengapakah Anda Menulis?
3. Kenal Pasti Pembaca Sasaran Tulisan Anda
4. Mengenal Pelbagai Bentuk Karangan
5. Binaan Karangan Deskriptif yang Jitu
6. Ayat yang Berkesan
7. Ayat yang Padu
8. Penegasan sebagai Ciri Ayat yang Berkesan
9. Ciri Kepelbagaian dalam Ayat yang Berkesan
10. Pentingnya Kesejajaran dalam Ayat yang Berkesan
11. Penalaran dan Logika dalam Ayat yang Berkesan
12. Pentingnya Rangka Karangan
13. Analisis dan Ulasan Rangka Karangan
14. Merangka Karangan dalam Bentuk Peta Minda
15. Daripada Rangka Menjadi Karangan
16. Pendahuluan Karangan: Contoh dan Ulasan
17. Membina Perenggan yang Berstruktur
18. Jenis-jenis Perenggan dan Kaedah Membinanya
19. Syarat-syarat Perenggan yang Utuh
20. Menilai Karangan Sendiri
21. Kesilapan Umum Bahasa dalam Penulisan

15 Ogos 2009

Beberapa Isu dalam Pengurusan Surat Rasmi

Esei ini ditulis pada tahun 2004 dan dikemas kini pada tahun 2007 dan 2008. Esei ini masih bermanfaat untuk penulis dan pengurus surat rasmi. Jikalau ada perkembangan terkini atau keperluan khusus sesuatu organisasi, silalah kongsikan perkara itu dalam ruangan ulasan.

1. Pendahuluan

Surat rasmi ialah surat yang ditulis untuk urusan rasmi seperti urusan pejabat kerajaan, badan berkanun, syarikat perniagaan, institusi pengajian tinggi dan pertubuhan berdaftar. Surat rasmi ditaip dengan rapi di atas kertas yang bermutu. Organisasi yang besar menggunakan kertas khas yang dicetak dengan kepala surat. Dalam zaman teknologi maklumat dan komunikasi ini, surat rasmi diproses dengan menggunakan perisian komputer.

11 Julai 2009

Penulisan Teks Ucapan: Mengekalkan Tumpuan Perhatian Pendengar

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

(Petikan teknik penulisan teks ucapan rasmi ini dapat dimanfaatkan oleh para penulis, termasuk penulis blog.)

Ucapan untuk didengar oleh khalayak. Khalayak dianugerahi sepasang telinga, iaitu satu kiri dan satu kanan. Sepasang telinga itu dapat ditadah secara serentak untuk menerima apa-apa yang diucapkan dan seterusnya untuk diproses oleh otak dan untuk diserap oleh hati. Apabila khalayak tersenyum pada tempatnya, ketawa kecil pada tempatnya dan mengangguk-angguk pada tempatnya, itu sebahagian daripada tanda bahawa tumpuan perhatian mereka sudah ditawan oleh keistimewaan ucapan kita.

Sepasang telinga itu mungkin juga mempunyai fungsi yang berlainan. Telinga kanan dapat berfungsi menerima mesej dan telinga kiri melakukan fungsi yang bertentangan, iaitu menjadi jalan keluar mesej itu. Antara sebab hal ini terjadi ialah ucapan yang kita tulis itu kurang sedap didengar oleh telinga. Tegasnya, penulis teks ucapan kurang upaya membantu pengucap memikat dan mengekalkan tumpuan pendengaran khalayak.

Kita dapat membantu pengucap memikat dan mengekalkan tumpuan perhatian khalayak dengan dua cara. Cara pertama ialah menghidangkan isi yang bernas, berkualiti dan terkini. Cara yang kedua ialah menggunakan gaya bahasa yang sesuai untuk pendengaran. Jika kita memanfaatkan kedua-dua cara ini, insya-Allah, kita dapat membantu pengucap memikat dan mengekalkan tumpuan perhatian khalayak.

Cara yang kedua mungkin kurang mendapat perhatian kita kerana lazimnya kita menulis untuk dibaca, bukan untuk didengar. Sebagai penulis teks ucapan rasmi, kita perlu memanfaatkan penggunaan gaya bahasa yang sesuai untuk pendengaran. Kita perlu menggunakan, menggarap dan memanipulasi gaya bahasa untuk pendengaran. Kita perlu menggunakan gaya bahasa untuk pendengaran dalam teks ucapan rasmi kita dengan bersungguh-sungguh dan sebaik-baik yang mungkin. Dengan cara ini, insya-Allah, kita dapat membantu pengucap memikat dan mengekalkan tumpuan perhatian pendengar.

Secara umumnya, bahasa yang sesuai untuk pendengaran ialah bahasa yang baku, tepat, indah dan berkesan. Apabila kita menggunakan bahasa baku, pendengar akan memahami ucapan kita. Apabila kita menggunakan bahasa yang tepat, mereka lebih memahami ucapan kita. Apabila kita menggunakan bahasa yang indah, mereka akan terpegun mendengar ucapan kita. Apabila kita menggunakan bahasa yang berkesan, mereka akan memberikan reaksi yang bersesuaian dengan ucapan kita. Mereka tersenyum, ketawa kecil, mengangguk-angguk dan bertepuk sebagai tanda mereka memahami, merasai, menikmati, menghayati dan menghargai ucapan kita. Situasi ini menunjukkan mereka menghargai pengucap. Secara tidak disedari sebenarnya mereka juga menghargai penulis teks ucapan itu.

Sebagai contoh, dari segi penggunaan bahasa baku – iaitu baku dari segi penggunaan perkataan, baku dari segi penggunaan ungkapan, dan baku dari segi struktur ayat – memungkinkan komunikasi melalui pendengaran berjalan dengan lancar dan berkesan. Sebaliknya, penggunaan bahasa yang tidak baku – yang perkataan-perkataannya hanya difahami oleh kelompok atau pengguna dialek, yang susunan ungkapannya lintang-pukang, dan yang binaan ayatnya bercelaru – menyebabkan komunikasi kurang berkesan atau terhalang.

Satu contoh lagi, dari segi penggunaan bahasa yang indah – bahasa yang sedap didengar oleh telinga, bahasa yang ada rentak irama, dan bahasa yang puitis – memungkinkan khalayak mendengar ucapan kita dengan teliti perkataan demi perkataan, ayat demi ayat dan perenggan demi perenggan hingga ucapan kita selesai dan mereka sambut pula dengan tepukan yang bergemuruh. Sesungguhnya, secara tidak langsung, tepukan gemuruh dapat dikongsi bersama oleh penulis teks ucapan.

Panduan yang berikut perlu dimanfaatkan oleh penulis teks ucapan untuk memikat dan mengekalkan tumpuan perhatian pendengar.

  1. Memperbanyak penggunaan perenggan deduktif.
  2. Mempelbagaikan penggunaan perenggan, iaitu ada banyak perenggan deduktif, ada sedikit perenggan induktif dan ada sedikit sahaja perenggan eklektik.
  3. Mengelakkan penggunaan perenggan yang kacau atau tidak dapat dikenal pasti sistem penyusunannya.
  4. Menggunakan ayat yang jelas subjek dan predikatnya.
  5. Mematuhi format penulisan teks ucapan rasmi.
  6. Menggunakan teknik pengulangan tema, frasa dan perkataan.
  7. Memperbanyak pengulangan tiga serangkai seperti “demi pensyarah IPTS, demi staf IPTS dan demi pelajar IPTS”, “pensyarah yang berilmu, berkemahiran dan berdedikasi”, dan “antara ilmu, kemahiran dan sikap”.
  8. Menggunakan teknik peralihan yang jelas seperti “seterusnya marilah sama-sama kita renungi satu faktor lagi” sebagai menggantikan “satu faktor lagi” dan “untuk mengatasi masalah disiplin yang kritikal seperti yang saya huraikan tadi” sebagai menggantikan “untuk mengatasi masalah itu”.
  9. Mengelakkan penggunaan kata ganti seperti ini dan itu, dan menggantikannya dengan frasa seperti “faktor keikhlasan guru ini” untuk “faktor ini” dan “kelima-lima faktor yang saya nyatakan tadi” untuk “kelima-lima faktor itu”.
  10. Menggunakan perkataan atau frasa yang menunjukkan urutan.
  11. Menggunakan kata ganti diri yang dapat mengintimkan pengucap dengan pendengar seperti saya, kita, dan anda. (Hati-hati menggunakan kata ganti ini.)
  12. Menggunakan mutiara kata seperti madah pujangga, lidah pendeta, peribahasa dan simpulan bahasa.
  13. Menggunakan kata ulama, hadis dan ayat al-Quran untuk menyokong hujah.
  14. Menggunakan penanda wacana.
  15. Menggunakan contoh yang dapat menghidupkan suasana seperti anekdot ringkas yang melucukan tetapi mempunyai maksud yang mendalam seperti “haram makan ayam yang tidak disembelih” dan “mencuci kaki lima kali sehari”.

06 Julai 2009

Sistem Tulisan Titik Timbul (Braille)

Braille ialah sejenis sistem tulisan untuk golongan tunanetra dengan menggunakan titik timbul. Sistem ini dicipta oleh seorang Perancis yang bernama Louise Braille (1809 – 1852). Beliau yang buta akibat kemalangan ketika berusia tiga tahun, berjaya mencipta tulisan Braille pada tahun 1821 dan menyempurnakannya pada tahun 1834.

Mulai tahun 1868, Dr. Thomas Rhodes Armitage (1824 – 1890) dari Britain dan tiga orang rakannya mengembangkan sistem Braille melalui satu organisasi. Pada tahun 1871, organisasi itu berkembang sebagai Royal National College for the Blind.

Pada tahun 1951, David Abraham dari Amerika Syarikat mencipta mesin taip Braille yang dikenali sebagai Braille Perkins. Mesin taip ini mempunyai enam penekan untuk menghasilkan enam titik timbul. Pada bulan Oktober tahun 2008, Perkins School for the Blind and American Printing House for the Blind mengumumkan penciptaan mesin Braille Perkins generasi baharu. Kini tulisan Braille digunakan di seluruh dunia dan diterima pakai oleh hampir semua bahasa, termasuk bahasa Melayu.

Sumber: (1) Abdullah Yusoff, “Belajar Bahasa Melalui Titik Timbul”, Pelita Bahasa, Januari 2009, halaman 30 – 33. (2) Wikipedia: Braille. Wikipedia BM: Braille.

03 Julai 2009

Panduan Menulis E-Mel

1. Dahului e-mel dengan salam.
2. Ikuti salam dengan doa.
3. Mohon maaf kepada penerima kerana e-mel kita mungkin mengganggu editor yang sibuk.
4. Ucapkan terima kasih kepada penerima sebagai penutup.

Puan Ainon Mohd mengemukakan panduan ini dalam blognya. Catatan asal beliau di sini. Beliau menujukan panduan ini kepada individu yang ingin menghubungi editor syarikat penerbitannya. Oleh sebab Puan Ainon ialah majikan kepada editor yang berkenaan, bakal penulis dan pencari kerja perlulah mematuhi panduan ini.

Biasanya penulis e-mel mengabaikan panduan kedua dan ketiga. Pengabaian itu disengajakan dalam komunikasi rasmi dengan jabatan kerajaan. Namun, apabila sesuatu panduan dikemukakan oleh pemilik atau pengurusan tertinggi sesebuah organisasi, panduan itu mesti dipatuhi.

Sebenarnya, semua penulis e-mel perlu memanfaatkan panduan ini. Golongan yang paling perlu memanfaatkannya ialah guru. Dalam kalangan guru pula, guru Bahasa Melayulah yang mesti memanfaatkan panduan ini. Apabila golongan guru, khususnya guru Bahasa Melayu, sudah biasa dengan amalan yang baik, pasti mereka cenderung menyampaikan amalan yang baik itu kepada anak didik mereka.

Panduan ini dapat ditambah. Antaranya termasuklah penggunaan bahasa. Secara umum, penulis e-mel wajar menggunakan bahasa Melayu tinggi dan mementingkan kesantunan berbahasa.

Pada tahun 2008, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerbitkan risalah Panduan Singkatan Khidmat Pesanan Ringkas Bahasa Melayu. Setakat yang diketahui, DBP belum menyediakan risalah panduan menulis e-mel. Mungkin pihak DBP sudah merancang atau dalam proses untuk menerbitkan risalah yang berkenaan. Buat sementara waktu, risalah Panduan Singkatan Khidmat Pesanan Ringkas itu eloklah kita teliti untuk memperoleh idea bagi memantapkan penulis e-mel kita.

16 Januari 2009

Menulis Karangan Secara Proses

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

Mengarang merupakan satu proses penglahiran idea dan pengasahan daya berfikir. Apabila seseorang menulis karangan, dia melakukan aktiviti memilih, menggabung, menyusun dan memperkembang maklumat dan idea.

Menulis karangan secara proses atau pendekatan proses ialah melaksanakan penulisan secara berturutan. Penulis melakukan aktiviti sebelum mengarang, menulis draf, menyemak tulisan itu dan menulisnya semula. Kemudian penulis menyunting tulisan itu dan akhirnya tulisan itu diserahkan kepada sesiapa yang berkenaan seperti guru, pensyarah, penyelia dan majikan. Tulisan itu juga mungkin diterbitkan dalam akbar, majalah, laman web, blog, dan sebagainya.

Di sekolah dan di institusi pengajian tinggi keutamaan proses itu tercatat dalam skema penilaian. Sebagai contoh, pada suatu masa dahulu ada kerja kursus secara proses (KKSP) di institut pendidikan guru (IPG). Sesuai dengan namanya, lebih separuh markah KKSP disediakan untuk proses penghasilannya. Kini kerja kursus di IPG dikenali dengan nama kerja kursus berasaskan ilmu (KKBI). Walaupun namanya bertukar, proses penghasilannya tetap diberi perhatian.

Pelajar sekolah juga perlu menghasilkan penulisan yang mementingkan proses. Oleh itu, mereka perlu melalui beberapa peringkat, terutamanya untuk mendapatkan maklumat. Jika guru arif dengan pendekatan proses, mereka dapat membimbing pelajar dengan lebih berkesan. Jikalau pendekatan ini diikuti sepenuhnya, penulisan pelajar akan lebih bermutu. Tulisan yang bermutu dapat diketengahkan. Contohnya tulisan itu dapat dipamerkan atau diterbitkan di laman web atau blog sekolah.

Guru, khususnya guru Bahasa Melayu, dapat membimbing pelajar dengan menggunakan pendekatan proses dalam pengajaran karangan. Pensyarah IPG pula dapat membimbing guru pelatih menghasilkan kerja kursus yang bermutu dengan menggunakan pendekatan ini. Malah, pendekatan ini sesuai juga dimanfaatkan oleh para penulis, termasuk penulis blog.

Ringkasan pendekatan ini adalah seperti yang berikut:

Proses pertama penulisan berlaku sebelum mengarang. Pada tahap ini penulis menentukan tajuk dan mengumpul bahan. Penulis dapat mengumpul bahan di pusat sumber, berbincang dengan rakan dan menemu bual pihak tertentu. Dalam bilik darjah pula guru dapat mengadakan sesi sumbang saran atau aktiviti lain yang sesuai. Penulis dapat pula memanfaatkan Internet untuk mencari maklumat.

Proses seterusnya ialah menulis draf karangan. Penulisan draf bermula dengan menyediakan rangka karangan. Kemudian draf karangan ditulis dengan berpandukan peraturan mengarang. Draf itu diberi kepada rakan atau guru untuk mendapatkan maklumat balik. Respons rakan, guru, pensyarah dan sebagainya memudahkan penulis melakukan penambahbaikan terhadap draf itu.

Proses yang berikutnya ialah menyunting karangan itu. Penulis mengkaji karangan itu dan merancang penambahbaikan. Penambahbaikan itu mengambil kira respons rakan, guru dan sesiapa yang membaca draf. Penambahbaikan termasuk juga membuang unsur yang tidak perlu dan menambah unsur baharu yang lebih sesuai. Kemudian penulis menulis karangan itu semula.

Apabila karangan itu siap ditulis, proses seterusnya ialah menyunting karangan itu. Penyuntingan oleh pelajar lazimnya berkaitan dengan pembaikan aspek bahasa seperti ejaan, tanda baca (termasuk penggunaan huruf besar dan huruf kecil), frasa dan ayat. Semasa melakukan penyuntingan mereka mungkin melakukan beberapa perkara lain mengubah suai perenggan dan menambah atau mengurangkan jumlah perkataan.

Guru juga perlu menggalakkan pelajar menggunakan alat penyuntingan yang terdapat dalam perisian komputer. Misalnya, guru menggalakkan pelajar menggunakan penyemak ejaan. Selain itu guru juga perlu menggalakkan pelajar menggunakan pelbagai kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) yang lain sepeti merujuki kamus digital dan kamus dalam talian.

Proses terakhir ialah menilai karangan. Proses ini dilakukan oleh guru atau pensyarah. Mereka membaca karangan itu, memberi gred atau markah. Mereka juga perlu mencatat komen agar penulis/pelajar mendapat maklum balas bertulis selain markah atau gred. Karangan yang bermutu dapat dibacakan dalam kelas dan dipamerkan. Karangan yang bermutu itu dapat diubah suai untuk dibacakan dalam perhimpunan atau diterbitkan.

Rumusannya penulisan karangan secara proses memungkinkan karangan yang dihasilkan lebih bermutu. Oleh hal yang demikian, ikutilah proses yang dinyatakan tadi. Insya-Allah, pelajar yang dibiasakan dengan proses ini akan menjadi penulis kertas kerja, teks ucapan, laporan dan sebagainya mengikut proses ini atau proses yang sudah diubah suai. Apabila mereka menjadi penulis e-grup atau blog, ada harapan mereka mengikut proses yang sama.

14 Januari 2009

Tertib Mengarang untuk Penulis Blog dan E-Grup

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak
http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/

Kita mesti berpegang pada prinsip bahawa setiap sesuatu yang hendak kita hasilkan perlu melalui proses tertentu. Ambillah usaha bercucuk tanam sebagai contoh. Bercucuk tanam bermula dengan pemilihan benih yang baik, penyemaian benih, penjagaan tanaman dan penuaian hasil. Akhirnya kita nikmati hasil tanaman itu.

Pelajar, termasuk guru pelatih di institut pendidikan guru (IPG), mesti berpegang pada prinsip ini. Bagi guru pelatih IPG, semasa latihan mengajar mereka perlu menggunakan masa yang banyak untuk menyediakan rancangan pengajaran harian (RPH) dan bahan bantu belajar (BBB). Seterusnya mereka melaksanakan pengajaran di bilik darjah dengan berpandukan RPH dan menggunakan BBB itu. Selepas pengajaran dilaksanakan, mereka perlu pula memeriksa kerja murid dan menulis refleksi.

Seperti bercucuk tanam dan melaksanakan latihan mengajar, kerja karang-mengarang tidak terkecuali daripada proses tertentu. Prof. Dr. Haji Awang Sariyan menamakan proses itu tertib. Secara umum, tertib mengarang dapat kita bahagikan kepada tiga tahap. Yang pertama ialah tahap persediaan, yang kedua ialah tahap pengarangan dan yang ketiga ialah tahap penyemakan karangan. Tahap-tahap ini dalam kalangan pelajar IPG, khususnya mereka yang mengkhusus dalam Pengajian Melayu, dikenali dengan nama pendekatan proses.

Penulis blog dan e-grup juga wajar memanfaatkan pendekatan proses. Pada tahap persediaan, pilihlah bahan yang baik. Pada tahap pengarangan, hasilkanlah penulisan berpandukan pengetahuan karang-mengarang yang dipelajari di sekolah dan di institut pengajian tinggi. Pada tahap penyemakan, suntinglah karangan beberapa kali sebelum diterbitkan. Dengan demikian, insya-Allah, kita dapat menghasilkan tulisan yang bermutu di blog atau e-grup kita.

Ada kemungkinan tuan ingin mendapat maklumat lanjut tentang tertib mengarang. Jikalau benar, rujukilah buku Tertib Mengarang; Asas Retorik untuk Pelajar dan Pendidik karangan Profesor Dr. Haji Awang Sariyan. Di bawah ini saya lampirkan blurb buku itu. (Blurb ialah keterangan ringkas penerbit tentang isi sesebuah buku pada kulit belakang buku yang berkenaan.)

Untuk lebih memudahkan tuan, di bawah lampiran blurb saya catatkan pula kandungan buku itu. Saya berharap kedua-dua bahan ini dapat menggerakkan tuan untuk meneroka isi kandungan buku itu.

Akhirnya, marilah sama-sama kita renungi dua petikan daripada buku itu.

“Penguasaan kaedah dan teknik penulisan merupakan salah satu disiplin yang perlu dikuasai dan dihayati dengan baik bagi menghasilkan penulisan yang cemerlang.” Dato’ A. Aziz Deraman, halaman vii.

“Sesungguhnya kerja karang-mengarang merupakan kerja yang serius dan memerlukan disiplin yang tinggi pada setiap orang dalam bidang penulisan.” Awang Sariyan, halaman xi.

Wassalam.

Lampiran 1
Blurb Buku Tertib Mengarang: Asas Retorik untuk Pelajar dan Pendidik

Buku Tertib Mengarang: Asas Retorik untuk Pelajar dan Pendidik ini dihasilkan khusus untuk membantu para pelajar dan pendidik menghasilkan tulisan atau karangan yang bermutu. Pengarang menegaskan bahawa syarat asas penghasilan tulisan yang bermutu ialah kepatuhan kepada kaedah mengarang yang tertib yang terbahagi kepada tiga tahap. Tahap pertama ialah tahap persiapan atau prapenulisan, yang kedua ialah tahap penulisan sebenar, sementara yang ketiga ialah tahap penyemakan atau pascapenulisan. Penulis yang berdisiplin tidak harus mengabaikan proses mengarang secara tertib itu.

Dalam penghasilan karangan pula, penulis menggunakan pendekatan wacana, iaitu sesuatu tulisan, biar apa pun bentuk atau jenisnya, mestilah disusun dengan menitikberatkan ciri binaan wacana yang utuh, antaranya kesatuan, kepaduan dan jalinan gagasan. Jika wacana dapat dianalogikan dengan hidangan makanan yang terhasil daripada resipi dan gaya olahan masakan yang baik, maka penghasilan karangan yang baik banyak bergantung pada pengolahan gagasan dengan cara yang baik juga. Demikian juga, jika hidangan makanan yang baik bermula dengan pemilihan ramuan atau bahan yang bermutu, maka karangan yang baik dapat dihasilkan hanya apabila penulis menguasai unsur-unsur pembentuk wacana dengan baik, khususnya unsur kata dan ayat yang berkesan.

Buku yang terdiri daripada 21 bab ini menggunakan asas retorik dan stilistik dalam penghasilan karangan, hatta untuk karangan deskriptif, teknis dan profesional. Langkah-langkah mengarang diberikan peringkat demi peringkat dengan contoh yang jelas dengan bantuan rajah serta ilustrasi. Buku ini dapat dianggap memberikan maklumat dan bimbingan dari A hingga Z tentang penulisan yang berkesan. Selain pelajar dapat menggunakan buku ini sebagai pedoman untuk menghasilkan karangan yang baik an pendidik pula dapat menggunakannya sebagai petunjuk untuk mengajarkan penulisan kepada pelajar menurut proses yang tertib. Kalangan lain seperti pegawai tadbir sesuai juga menggunakan buku ini untuk menghasilkan tulisan yang berkaitan dengan tugas sehari-hari mereka.

Lampiran 2
Kandungan Buku Tertib Mengarang: Asas Retorik untuk Pelajar dan Pendidik

1. Tertib dalam Karang-Mengarang: Apa dan Mengapa?
2. Mengapakah Anda Menulis?
3. Kenal Pasti Pembaca Sasaran Tulisan Anda
4. Mengenal Pelbagai Bentuk Karangan
5. Binaan Karangan Deskriptif yang Jitu
6. Ayat yang Berkesan
7. Ayat yang Padu
8. Penegasan sebagai Ciri Ayat yang Berkesan
9. Ciri Kepelbagaian dalam Ayat yang Berkesan
10. Pentingnya Kesejajaran dalam Ayat yang Berkesan
11. Penalaran dan Logika dalam Ayat yang Berkesan
12. Pentingnya Rangka Karangan
13. Analisis dan Ulasan Rangka Karangan
14. Merangka Karangan dalam Bentuk Peta Minda
15. Daripada Rangka Menjadi Karangan
16. Pendahuluan Karangan: Contoh dan Ulasan
17. Membina Perenggan yang Berstruktur
18. Jenis-jenis Perenggan dan Kaedah Membinanya
19. Syarat-syarat Perenggan yang Utuh
20. Menilai Karangan Sendiri
21. Kesilapan Umum Bahasa dalam Penulisan

12 Januari 2009

Tulisan Awal Bahasa Melayu

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak
http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/

Dari segi istilah, tulisan dapat ditakrifkan sebagai gambaran grafik sesuatu bahasa. Gambaran grafik itu terdiri daripada satu sistem yang menunjukkan unit-unit sesuatu bahasa yang boleh difahami oleh pembaca. Oleh sebab hakikat bahasa itu ialah oral (pertuturan), maka boleh juga dikatakan tulisan ialah sistem kod sebutan sesuatu bahasa. Sesuatu perkataan dapat dikodkan atau dilambangkan dengan pelbagai bentuk tulisan seperti tulisan Jawi, tulisan Rumi, tulisan Braille (sistem tulisan bagi orang buta yang menggunakan titik-titik sebagai lambang), dan trengkas (kaedah menulis dengan cepat dengan menggunakan coretan yang mudah atau simbol-simbol lain sebagai menggantikan huruf, perkataan atau frasa). Jelas pada kita bahawa tulisan mempunyai bentuk dan sistemnya yang tersendiri sebagai kod atau lambang pertuturan.

Edisi kemas kini menyusul pada suatu masa nanti.

04 Januari 2009

Konsep Tulisan

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak
http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/

.
Dari segi bahasa, perkataan tulis ialah perkataan asli bahasa Melayu. Tulis bermakna mewarnai, mencoret, atau melukis dengan cat pewarna atau dakwat. Tulisan ialah hasil perlakuan menulis dengan menggunakan tulisan. Perlakuan menulis itu pula boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu yang pertama ialah menulis dengan erti kata menyalin semula tanpa menggunakan fikiran atau sedikit sahaja menggunakan fikiran, dan yang kedua ialah menulis dengan erti kata mengarang.

Contoh menyalin: Atiqah menyalin seni kata lagu yang dibacakan oleh juruhebah radio; Saufi pula menulis semula sebuah sajak Iqbal dengan tulisan tangan yang cantik untuk ditampal di dinding biliknya. Seni kata lagu dan sajak itulah tulisan, iaitu hasil perlakuan menulis (menyalin) Atiqah dan Saufi.

Contoh mengarang: Atiqah menulis sepucuk surat kepada abangnya. Saufi pula menulis sebuah sajak untuk majalah institutnya. Surat Atiqah dan sajak Saufi ialah hasil perlakuan menulis dengan menggunakan tulisan juga. Oleh sebab surat dan sajak itu berupa penglahiran fikiran, perasaan dan sebagainya, maka tulisan mereka dinamakan karangan.

Dari segi istilah, tulisan dapat ditakrifkan sebagai gambaran grafik sesuatu bahasa. Gambaran grafik itu terdiri daripada satu sistem yang menunjukkan unit-unit sesuatu bahasa yang boleh difahami oleh pembaca. Oleh sebab hakikat bahasa itu ialah oral (pertuturan), maka boleh juga dikatakan tulisan ialah sistem kod sebutan sesuatu bahasa.

Dalam bahasa Melayu unit terkecil gambaran grafik atau sistem kod sebutan itu dinamakan huruf. Huruf-huruf itu disusun berdasarkan sistemnya yang tersendiri, yang dapat membentuk unit-unit lain iaitu suku kata, perkataan, frasa dan ayat. Perlakuan kita membentuk dan menyusun huruf-huruf itulah menulis. Oleh itu menulis tidak lain daripada menggunakan gambaran grafik atau sistem kod sebutan itu ketika berkomunikasi dalam bahasa itu.