Memaparkan catatan dengan label Ulasan Buku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ulasan Buku. Papar semua catatan

20 September 2012

Buah Fikir Guru Cemerlang

Tajuk Buku: Pengajaran dan Pembelajaran Berkesan, Buah Fikir Guru Cemerlang
Penyelenggara: Azizul Rahman Abdul Rahman dan Mohamad Saleeh Rahamad
Penerbit: MDK Intelek Enterprise
Tahun: 2011
Halaman: 521
Harga: Tidak tercatat
Pengulas: Mohd Isa Abd Razak

12 Ogos 2012

Memindahkan Bahasa dan Perkataan Seerti

Ulasan buku Ilmu Mengarang Melayu
(1) Za‘ba Pelopor Retorik Melayu
(2) Mengarang seperti Berjalan
(3) Rangka dan Karangan Contoh
(4) Jangan Hodohkan Karangan Bahasa Melayu

Dalam siri yang keempat kita sudah meninjau bab kelima dan keenam IMM. Dalam siri ini kita teliti pula bab ketujuh dan kelapan dalam Bahagian I, “Pokok-pokok Besar dalam Latihan Mengarang”.

04 Ogos 2012

Jangan Hodohkan Karangan Bahasa Melayu

(1) Za‘ba Pelopor Retorik Melayu
(2) Mengarang seperti Berjalan
(3) Rangka dan Karangan Contoh

Dalam siri yang ketiga kita meninjau bab pertama, kedua, ketiga dan keempat buku IMM. Dalam siri ini kita teliti pula bab kelima dan keenam dalam Bahagian I, “Pokok-pokok Besar dalam Latihan Mengarang”.

28 Jun 2012

Ulasan Buku Ilmu Mengarang Melayu (3): Rangka dan Karangan Contoh


Bahagian I buku ini yang bertajuk “Pokok-pokok Besar dalam Latihan Mengarang” terdiri daripada lapan bab. Pada kesempatan ini saya mengulas bab pertama, kedua, ketiga dan keempat.

25 Jun 2012

Za‘ba: Riwayat Hidup dan Jasanya

Za‘ba Pemikir Ulung
(1) Sari Ucap Utama MB dan Pidato Dr. Kamarudin Kachar
(2) Sari Pandangan Prof. Dr. Asmah Haji Omar
(3) Sari Pembentangan Dr. Awang Sariyan
(4) Renungan MIAR
Ulasan Buku Ilmu Mengarang Melayu
(1) Za‘ba Pelopor Retorik Melayu
(2) Mengarang seperti Berjalan

Buku Za‘ba (1895 - 1973): Perjuangannya Belum Selesai memaparkan riwayat hidup dan jasa Tan Sri Dr. Haji Zainal Abidin bin Ahmad atau lebih terkenal dengan nama Za‘ba. Buku nipis 39 halaman ini disusun oleh Norhalim Haji Ibrahim dan Aiani Sudeen, dan diterbitkan oleh Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) pada tahun 2008.

04 Jun 2012

Wajah Hati Redha, Novel Perjuangan Karya Sulung Peguam Muda

Novel Wajah Hati Redha terbitan Neverland Book tahun 2012, ialah novel sulung peguam muda, Zairudin Ashrafi. Novel setebal 164 halaman ini memaparkan secebis kisah perjuangan orang Melayu pada zaman pemerintahan Jepun. Keseluruhan peristiwa dalam novel ini berlaku di Kampung Kundang. Kebanyakan peristiwa itu berlaku pada tahun 1943. Ada sedikit peristiwa berlaku pada tahun 1940 dan sebelumnya.

Perjuangan orang Melayu menentang penindasan tentera Jepun dalam novel ini didukung oleh Ahmad Redha dan rakan-rakannya. Penulis memulakan kisah dengan gambaran tentang Ahmad Redha, iaitu seorang pemuda tampan, berkumis rapi, berjanggut kemas dan meminati puisi. Dalam bab-bab berikutnya kita mengetahui bahawa Ahmad Redha yang tampan dan berjanggut sejemput itu berusia 23 tahun tetapi sudah ada sedikit uban. Dia pernah menjadi guru pada zaman British dan sudah berumah tangga dengan rakan sekampungnya, iaitu Nurliah.

29 Mei 2012

Persoalan dan Penyelesaiannya Menimbulkan Persoalan Baharu


Isu bahasa yang diketengahkan oleh S. Nathesan dalam buku Beberapa Persoalan Penggunaan Bahasa Melayu dan Penyelesaiannya menarik. Hampir semua persoalan yang dikemukakan dalam buku edisi kedua terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tahun 2010 ini ada penyelesaiannya dan cadangan penyelesaian itu juga menarik.

Cetakan pertama edisi pertama buku ini adalah pada tahun 1994. Oleh hal yang demikian, persoalan yang dibincangkan tidak bersifat semasa. Penulis menyedari hal ini. Jadi, dalam edisi kedua ini beliau melakukan dua perubahan. Pertama, beliau menambah beberapa persoalan dan penyelesaiannya. Kedua, beberapa persoalan dalam edisi pertama yang kurang berkaitan dengan tajuk buku ini dikeluarkan.

04 Mac 2012

Antonius Mencari Kebenaran

Latar belakang pemuda itu bukanlah sesuatu yang terlalu penting. Kita hanya mengenalinya sebagai Antonius, seorang siswazah universiti. Menurut Ustaz Bahaudin Mudhary, Antonius datang menemuinya pada malam Selasa, 9 Mac 1970, di sebuah pondok pengajian Islam.

“Tujuan kedatangan beliau adalah untuk memenuhi keinginannya yang sudah lama terpendam untuk mengetahui Islam, terutama soal ketuhanan,” kata Ustaz.  Bahaudin Mudhary.

12 Julai 2011

Kaedah Pembelajaran Koperatif Meningkatkan Keseronokan Belajar

Masukan yang terdahulu
1. Tertib Mengarang untuk Penulis Blog dan E-Grup,14 Januari 2009
2. Panduan Praktikum Sekolah Rendah, 3 Februari 2009
3. Keranda 52: Bahasa Kita, Air Mata dan Maruah Kita, 7 Februari 2009
4. Merokok: Makruh atau Haram? 6 Jun 2009
5. Ilmu Mengarang Melayu, 24 Februari 2011
6. Beberapa Sisi Masyarakat dan Alam Sabah Pra dan Pascaperang, 25 Februari 2011
7. Rumah Limas Rumah Pusaka: Arkib Tiga Buah Negeri, 3 Mac 2011
8. Perpaduan Nasional dalam Novel Orang Malaya, 11 Julai 2011
9. Tuntunan Bahasa: Kita Tidak Memerlukan Bentuk “Ianya”, 12 Julai 2011

Tajuk Buku: Kaedah Pemelajaran Koperatif Sekolah Rendah

Penulis: Dr. Ismail Said
Penerbit: Karisma, Shah Alam
Tahun: 2009
Halaman: 102
Harga: RM15.00
Pengulas: Mohd Isa Abd Razak

Sebagai kanak-kanak, murid sekolah rendah memang mementingkan keseronokan. Mereka memperoleh keseronokan itu dengan cara bermain. Tidak hairanlah apabila kita dapati ada murid bermain semasa belajar. Guru sekolah rendah, terutamanya guru bahasa Melayu memang menyedari hal ini. Oleh itu, mereka berusaha menggunakan teknik yang memungkinkan anak didik mereka berasa seronok belajar. Teknik itu ada yang memang bernama permainan seperti permainan bahasa. Ada pula teknik berasaskan permainan atau ada unsur permainan seperti lakonan spontan, kerusi panas dan simulasi.

Tuntunan Bahasa: Kita Tidak Memerlukan Bentuk “Ianya”

Ulasan yang terdahulu
1. Tertib Mengarang untuk Penulis Blog dan E-Grup, 14 Januari 2009
2. Panduan Praktikum Sekolah Rendah, 3 Februari 2009
3. Keranda 52: Bahasa Kita, Air Mata dan Maruah Kita, 7 Februari 2009
4. Merokok: Makruh atau Haram? 6 Jun 2009
5. Ilmu Mengarang Melayu, 24 Februari 2011
6. Beberapa Sisi Masyarakat dan Alam Sabah Pra dan Pascaperang, 25 Februari 2011
7. Rumah Limas Rumah Pusaka: Arkib Tiga Buah Negeri, 3 Mac 2011
8. Perpaduan Nasional dalam Novel Orang Malaya, 11 Julai 2011

Tulisan ini ialah olahan kembali ulasan buku Tuntunan Bahasa: Asas Pegangan Pelajar yang saya tulis pada tahun 2004. Ulasan itu dibentangkan dalam satu diskusi di Keningau pada tahun yang sama. Buku yang diulas ialah terbitan tahun itu. Edisi kedua buku ini terbit pada tahun 2005. Sayang, saya belum berjaya memilikinya. Nota ringkas dan kandungan buku itu terdapat di sini. http://kembarabahasa.blogspot.com/2011/04/buku-tuntunan-bahasa.html.

Penulis buku itu ialah Profesor Dr. Haji Awang Sariyan. Sebagai penulis blog dan pencorak aktif buku wajah, beliau dikenali sebagai Kembara Bahasa. Kini beliau menghabiskan minggu-minggu terakhirnya sebagai Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di China, Beijing Foreign Studies University. Profil beliau dapat dibaca di blognya. http://kembarabahasa.blogspot.com/

Menurut penerbit, buku ini memberikan pedoman dan bimbingan penggunaan bahasa Melayu yang baku dan berkesan. Penerbit menyatakan, kandungan buku ini sudah teruji. Ujian itu dilakukan di dalam dan di luar negara. Khalayak yang terlibat dalam ujian itu ialah pelajar, pendidik, penulis, editor, serta peminat dan pencinta bahasa. Walau bagaimanapun, penulis buku ini pula menyatakan bukunya ini masih jauh daripada lengkap.

Buku ini memaparkan isu-isu lazim tentang penggunaan bahasa. Isu utama yang dibincangkan ialah penggunaan kata dan ayat. Selain itu, penulis juga membincangkan beberapa isu yang berkaitan dengan bahasa baku dan sebutan baku.

Buku ini terdiri daripada dua bahagian. Bahagian pertama membicarakan hal yang berkaitan dengan bahasa baku, sebutan baku dan isu umum bahasa. Bahagian kedua membicarakan penggunaan kata dari segi bentuk dan maknanya. Sebagai contoh, dikemukakan sari dua bab. Dalam bab “Bilakah Bahasa Baku Perlu Digunakan?” penulis menghuraikan maksud bahasa baku dan situasi penggunaannya.

Menurut penulis, bahasa baku ialah satu daripada sekian banyak ragam yang ada dalam sesuatu bahasa. Bahasa baku digunakan dalam suasana rasmi di institusi pendidikan, di jabatan kerajaan dan oleh media massa. Sebagai contoh, kerja bertulis pelajar di sekolah, maktab dan universiti perlu ditulis dalam bahasa baku. Urusan berkaitan surat-menyurat, mesyuarat, laporan, taklimat dan ucapan di jabatan kerajaan perlu dikendalikan dengan menggunakan bahasa baku. Demikian juga halnya dengan siaran radio dan televisyen yang bersifat rasmi, seperti siaran berita, perlu dalam bahasa baku.

Dalam bab “Masalah Penggunaan Ianya” dinyatakan bahawa bentuk ianya merupakan ciptaan baharu yang tidak berasaskan tatabahasa. Penggunaan bentuk ini berpunca daripada sikap ambil mudah oleh setengah-setengah penulis. Berdasarkan ayat contoh yang diberikan, penulis merumuskan bahawa penggunaan ianya dalam ayat itu menyebabkan terputusnya hubungan logika antara frasa. Dengan perkataan lain, penggunaan ianya menjadikan komunikasi bertambah celaru dan bukannya semakin berkesan. Oleh itu, bentuk ianya tidak diperlukan sama sekali dalam bahasa kita.

Kandungan yang disajikan seperti contoh yang di atas dapat merangsang pemikiran pembaca. Kandungan itu juga dapat membantu pelajar menghadapi peperiksaan dengan lebih yakin. Dari sudut yang lain, jikalau buku ini dibaca oleh banyak pelajar, tentulah banyak pula soalan akan dikemukakan oleh mereka kepada guru bahasa Melayu. Dengan demikian, semua guru yang mengajarkan bahasa Melayu mesti membaca buku ini. Jikalau tidak, ada kemungkinan mereka akan terpinga-pinga dengan soalan pintar yang dikemukakan oleh pelajar mereka.

Gaya persembahan buku ini menarik. Babnya pendek-pendek. Kesemuanya terdapat 109 bab. Setiap bab mengambil ruang antara satu hingga enam halaman. Umumnya, setiap bab dapat berdiri sendiri dan pembaca yang sibuk dapat membaca mana-mana bab yang difikirkan sesuai atau perlu diberi keutamaan.

Penulis menggunakan bahasa yang mudah difahami. Kosa kasa yang digunakan amat sesuai untuk orang awam, khususnya para pelajar. Perenggannya pendek-pendek dan menyerlahkan keutuhan dari segi tautan. Kesemua perkara ini dapat merangsang para pembaca menyelesaikan pembacaan masing-masing.

Unsur-unsur kelakar di sana sini pula, terutamanya pada penutup bab, dapat memikat pembaca untuk meneruskan pembacaan. Pembaca mungkin ketawa atau terpegun apabila membaca ungkapan, klausa atau ayat seperti yang berikut:

1. Membuat fatwa bahasa tanpa rujukan yang sah

2. Apabila anda tidak menggunakan kata yang betul, anda tidak layak disebut cendekiawan, sebaliknya hanya menjadi cendawan.

3. Usahlah, misalnya, mengatakan Pemuda itu sungguh ayu, hanya kerana kata adjektif ayu sama jenis dengan kata adjektif tampan atau segak.

4. Jangan sampai anda mengatakan “Saya akan menghadiahkan anak saya sebuah komputer” kerana tampaknya anak anda itulah yang akan menjadi hadiah.

5. Orang yang berlari tidak semestinya lari, dan orang yang lari tidak perlu berlari.

Akhirnya, perhatikan petikan ini, “… jelas bahawa makna kata kemaluan tidak sepatutnya disempitkan kepada makna alat kelamin sahaja; sama halnya dengan kata mengandung yang makna asasnya bukan hamil tetapi berisi.” Pada saya, petikan ini amat berkaitan dengan tujuan penulisan buku ini. Carilah buku ini di pasaran dan bacalah dengan teliti untuk memahami mesej tersirat yang hendak disampaikan oleh pengarangnya.

11 Julai 2011

Perpaduan Nasional dalam Novel Orang Malaya

Masukan terdahulu
1. Tertib Mengarang untuk Penulis Blog dan E-Grup, 14 Januari 2009
2. Panduan Praktikum Sekolah Rendah, 3 Februari 2009
3. Keranda 52: Bahasa Kita, Air Mata dan Maruah Kita, 7 Februari 2009
4. Merokok: Makruh atau Haram? 6 Jun 2009
5. Ilmu Mengarang Melayu, 24 Februari 2011
6. Beberapa Sisi Masyarakat dan Alam Sabah Pra dan Pascaperang, 25 Februari 2011
7. Rumah Limas Rumah Pusaka: Arkib Tiga Buah Negeri, 3 Mac 2011


Tajuk Buku: Orang Malaya
Penulis: Harun Haji Salleh
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun: 2009
Halaman: 310
Harga: RM22.00
ISBN: 978-983-62-9817
Pengulas: Mohd Isa bin Abd Razak

Pengarang novel Orang Malaya, Harun Haji Salleh (1935 – 1999) ialah anak Negeri Sembilan. Dia berhijrah ke Borneo Utara pada tahun 1950. Dia berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan Borneo Utara (dan seterusnya Sabah), berkahwin dengan wanita Sabah dan menetap di Sabah. Dia sudah mengembara ke seluruh pelosok negeri Sabah dan bergaul dengan masyarakat Sabah hampir lima dekad. Sebahagian daripada pengalamannya itu terterap dalam novel ini.

Pengarang menyiapkan novel ini pada tahun 1993. Penerbitannya hanya menjadi kenyataan 16 tahun kemudian, iaitu selepas 10 tahun dia meninggal dunia. Walau bagaimanapun, semasa hayatnya dia sempat melihat lapan buah novelnya diterbitkan.

01 Mac 2011

Rumah Limas, Rumah Pusaka: Arkib Tiga Buah Negeri


Judul: Memoir Karyawan Tamu DBP Cawangan Sabah, Harun Haji Salleh, Rumah Limas Rumah Pusaka
Pengarang: Harun Haji Salleh
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Pengulas: Mohd Isa bin Abd Razak
Harga: RM38.00

Harun Haji Salleh menamakan rumah warisan itu Rumah Limas, Rumah Pusaka. Di dalam rumah warisan yang sudah tua itulah dia menyimpan catatan peribadinya. Antaranya termasuklah pemerian pemandangan indah kampung tradisional Melayu pada tahun 1930-an, gambaran kekejaman Jepun pada awal tahun 1940-an dan gambaran kota Kuala Lumpur pada akhir tahun 1940-an.

Rumah warisan yang sudah uzur itu terletak di Kampung Bukit Tempurung, tidak jauh dari Istana Seri Menanti, Negeri Sembilan. Di rumah itulah Harun lahir dan membesar. Di dalam rumah warisan yang sudah tua itulah dia menyimpan catatan peribadinya. Selain pemerian pemandangan kampung, gambaran kekejaman Jepun dan gambaran kota Kuala Lumpur, di dalam rumah itu juga tersimpan catatan pergaulannya dengan anak raja. Semua bahan itu tersusun rapi di anjung dan serambi rumah limas itu.

25 Februari 2011

Beberapa Sisi Masyarakat dan Alam Sabah Pra dan Pascaperang

Tajuk: Memoir Anak Sisa Peperangan
Penulis: R.M. Jasni
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun Terbit: 2006
Pengulas: Mohd Isa bin Abd Razak

Memoir Anak Sisa Peperangan menggambarkan kesukaran hidup yang dihadapi oleh R.M. Jasni sebelum, semasa dan selepas peperangan. Dia memulakan siri gambaran kesukaran hidup itu dengan mengimbas keperitan hidup ayahnya, seorang pemuda kampung, etnik Kadazan, dari Papar. Semasa remaja, pemuda kampung itu membanting tulang di sawah, di bawah panas terik mentari. Kemudian, pemuda kampung itu mendapat kerja sebagai boy dengan satu keluarga Inggeris. Dalam satu lawatan kerja ke Keningau, pemuda kampung itu berkenan dengan seorang gadis Murut. Mereka berkahwin dan wanita Murut itu mengikut suaminya berhijrah ke Jesselton. Hasil perkahwinan mereka, pada 4 Mei 1936 lahirlah seorang bayi lelaki. Bayi itu diberi nama Rasan Majanun Jasni – kemudiannya terkenal dengan nama R.M. Jasni. Jasnilah satu-satunya zuriat pasangan itu.

24 Februari 2011

Ilmu Mengarang Melayu

Kulit buku terbitan 1965 sudah hilang. Saya membuangnya kerana sebahagian besar kulit buku itu dimakan oleh Momot (arnab Si Ati).
Ilmu Mengarang Melayu (IMM) adalah antara karya agung Za‘ba (1895 – 1973). Buku ini terbit pada tahun 1934 dengan menggunakan tulisan Jawi. Versi Jawi itu dicetak ulang sebanyak lima kali, iaitu pada tahun 1947, 1949, 1951, 1952 dan 1956.

Pada tahun 1962, Za‘ba meminda dan membaiki IMM. Versi yang sudah dipinda itu menggunakan tulisan Rumi dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Saya memiliki IMM versi Rumi cetakan tahun 1965. Saya memperolehnya di Kedai Buku K Bali di Tanjung Aru, Kota Kinabalu pada tahun 1972. Sejak tahun 1972 itu, saya belum berasa bosan membelek dan merujuki IMM.

Profesor Dr. Asmah Haji Omar mengusahakan IMM Edisi Ejaan Rumi Baharu dan diterbitkan oleh DBP pada tahun 2002. Dalam edisi ini terdapat juga esei pengenalan tentang IMM oleh Profesor Dr. Asmah.

IMM menghuraikan peraturan karang-mengarang. Za‘ba membicarakannya dalam dua bahagian, iaitu “Pokok-pokok Besar dalam Latihan Mengarang” dan “Cabang-cabang yang Tinggi”.

Dalam bahagian pertama, beliau menghuraikan hal-hal yang perlu diketahui oleh pengarang untuk menghasilkan karangan. Bahagian ini terdiri daripada “permulaan” dan lapan bab. Pada hemat saya, panduan yang terdapat dalam bahagian ini masih wajar menjadi renungan dan panduan kita.

Sebagai contoh, Za‘ba menyatakan, “yang dikatakan karangan sebenar-benarnya ialah yang tersusun daripada beberapa ayat dengan betul.”

Petikan pendek ini dapat menjadi bahan renungan dan perbincangan kita, malah berkemungkinan menjadi bahan polemik apabila dikaitkan dengan kecenderungan pengguna bahasa Melayu menghasilkan ayat yang “tidak berapa betul” atau cacamarba dalam komunikasi bertulis.

Dalam bahagian kedua, beliau mengetengahkan unsur penting yang perlu dikuasai oleh pengarang. Bahagian ini terdiri daripada lapan bab juga. Antara perkara yang beliau huraikan ialah peribahasa, ragam bahasa dan karangan berangkap seperti pantun dan syair.

Seperti bahagian pertama, butiran yang terdapat dalam bahagian kedua ini juga masih wajar menjadi renungan dan panduan kita, khususnya generasi muda. Sekadar contoh, generasi muda wajar meneliti huraian Za‘ba tentang pantun. Hal ini dikatakan demikian kerana pengguna bahasa Melayu, termasuklah generasi muda, sangat meminati pantun. Pada hemat saya, huraian tentang pantun yang terdapat dalam buku ini dapat membantu peminat pantun untuk mempertingkatkan mutu pantun masing-masing.

Saya mendapati penulis-penulis buku, khususnya yang berkaitan dengan karang-mengarang, merujuki buku IMM. Sebagai pencinta bahasa Melayu, pendidik dan pelajar, kita juga wajar merujuki buku ini. Jadi, elok benarlah buku ini berada di rak buku di rumah kita.

06 Jun 2009

Merokok: Makruh atau Haram?

Terkini: Long Atan Si Perokok Tegar

Islam tidak membenarkan penganutnya merosak, menyakiti atau mengganggu orang lain. Larangan ini cukup jelas, Kalau terhadap orang lain tidak dibenarkan melakukan hal-hal buruk tersebut, maka terhadap diri sendiri tentu lebih dilarang lagi.

Merokok, misalnya, telah disepakati sebagai satu tabiat yang memberi kesan buruk terhadap kesihatan jasmani, akal dan membazirkan wang yang sepatutnya digunakan untuk tujuan lain. Tembakau yang menjadi bahan rokok mengandungi pelbagai jenis racun yang berbahaya seperti nikotin, gas karbon oksida dan seft. Jadi, bagaimana Islam meletakkan hukum terhadap perbuatan merokok dan bahan rokok ini? Buku Hukum Merokok oleh Syeikh Abu Bakar Jabir al-Jaza’lrly terbitan Pustaka al-Mizan, Kuala Lumpur menerangkannya kepada pembaca secara panjang lebar.

07 Februari 2009

Keranda 152: Bahasa Kita, Air Mata & Maruah Kita

Dipetik daripada Blog Jiwa Rasa, dengan sedikit suntingan. Pautan asal: http://jiwarasa.blogspot.com/2007/05/keranda-152.html

Keranda 152: Bahasa Kita, Air Mata & Maruah Kita. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia, 2002. Cetakan pertama 1968, 108 muka surat.

Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sudah melalui sejarah yang panjang. Pejuang bahasa sebelum merdeka ialah pejuang bangsa dan pejuang kemerdekaan.

Keranda 152 ialah satu episod daripada rantaian perjuangan meletakkan bahasa Melayu di tempat yang selayaknya. Buku Keranda 152, Bahasa kita, Air Mata & Maruah Kita ialah sebuah buku yang sudah lama saya cari. Buku ini diterbitkan semula oleh Persatuan Linguistik Malaysia pada tahun 2002. Buku asalnya berupa himpunan tulisan berbentuk stensilan pada tahun 1968.

Kandungan buku ini ialah cetusan hati untuk memperingati ulang tahun peristiwa penentangan terhadap Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan (1967). Buku ini menceritakan detik-detik peristiwa penentangan yang berlaku pada 3 Mac 1967 di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Apa sebenarnya Keranda 152? Keranda 152 merujuk kepada Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan ialah kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama-sama oleh rakyat berbilang bangsa.

Sewaktu detik mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, tuntutan rakyat untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai satu-satunya bahasa rasmi tidak dapat dipenuhi oleh parti yang memerintah. Alasannya ialah bahasa Melayu belum benar-benar bersedia untuk mengambil-alih tugas bahasa Inggeris yang digunakan oleh penjajah dalam segala urusan rasmi dan pentadbiran negara.

Atas sebab itu, bahasa Inggeris masih dibenarkan penggunaannya, untuk tempoh 10 tahun lagi. Tempoh itu dirasakan munasabah untuk setiap rakyat Tanah Melayu mempelajari dan menguasai bahasa Melayu.

Keadaan yang berlaku pada tahun 1967 ialah bahasa Inggeris masih diberi ruang yang besar sebagai bahasa rasmi. Badan bukan kerajaan (NGO) Melayu rasa terkejut dengan beberapa peruntukan dalam Rang Undang-Undang Bahasa 1967 yang masih mengekalkan bahasa Inggeris dalam beberapa bidang terutama bidang kehakiman.

Apa gunanya merdeka, jikalau bahasa anak peribumi dianggap sebagai bahasa kelas ketiga dan tidak layak digunakan di negara sendiri? Adakah tempoh 10 tahun masih tidak cukup untuk setiap rakyat memantapkan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan?

Inilah yang diperjuangkan oleh pejuang bahasa dalam tahun 1967. Mereka berasa bagai dikhianati oleh para pemimpin yang kononnya memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu.
Sekumpulan sembilan orang peguam Melayu menghantar memorandum menyuarakan bantahan namun tidak dipedulikan oleh parti yang memerintah.

Kemarahan orang Melayu membuak-buak. Seramai 2,000 orang mewakili 120 pertubuhan orang Melayu berhimpun di Balai Budaya, DBP pada petang Jumaat 3 Mac 1967.

Perhimpunan ini menyaksikan orang Melayu bersatu tanpa mengira fahaman politik. Peristiwa itu juga diingati dengan ucapan Tun Syed Nasir Ismail, Pengarah DBP yang menitiskan air mata mengenangkan nasib bahasa Melayu:

"... saya menangis bukan kerana takut, tetapi air mata ini lahir daripada keharuan hati sanubari saya mengenangkan nasib bangsa saya. Saya tidak boleh buat apa-apa sekarang ini. Saya terikat ...."

Kemarahan rakyat sudah tak terbendung menyaksikan sekumpulan aktivis bersedia mahu berarak ke Bangunan Parlimen. Mereka mahu mengusung Keranda 152 yang membawa jiwa bangsa yang sudah ditamatkan hayat oleh bangsanya sendiri.

Peristiwa Keranda 152 akan diingat sebagai satu episod dalam sejarah perjuangan bahasa Melayu. Balai Budaya yang menjadi saksi peristiwa bersejarah itu, kini sudah ditukar nama kepada Balai Tun Syed Nasir.

Peristiwa 13 Mei 1969, kemudiannya seakan menjadi penyelamat apabila bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar utama dalam dasar pendidikan negara. Kemuncak perjuangan ini menyaksikan lahirnya Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1970 yang menyaksikan buat kali pertama, bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai pengantar utama.

Pada hari ini, di manakah bahasa Melayu? Masihkah di dalam keranda?

03 Februari 2009

Panduan Praktikum Sekolah Rendah

Pada tahun 2007, Institut Perguruan Keningau, Sabah (IPKS) menerbitkan buku Panduan Penyeliaan Praktikum. Buku setebal 265 halaman itu diedarkan secara percuma kepada warga IPKS, khususnya pensyarah pembimbing praktikum.

Buku itu mengandungi 18 bab. Bab 1 menggariskan panduan pelaksanaan praktikum bagi semua program praktikum Bahagian Pendidikan Guru (BPG) di institut pendidikan guru Malaysia (IPGM). Bab 2 memberikan garis panduan tentang disiplin guru pelatih dan peraturan praktikum yang bertujuan memperjelas peranan dan tanggungjawab guru pelatih semasa menjalani praktikum.

Bab 3 hingga bab 16 memberikan tumpuan pada mata pelajaran. Dalam setiap bab terdapat panduan bimbingan dan penyeliaan mata pelajaran yang berkenaan. Setiap bab berfokus pada penyediaan rancangan pengajaran harian (RPH) serta kaedah pengajaran dan pembelajaran. Panduan dan fokus itu bertujuan memudahkan pensyarah penyelia, guru pembimbing dan guru pelatih membuat rujukan semasa praktikum.

Selain itu, buku panduan ini juga menjelaskan pelaksanaan kokurikulum semasa praktikum. Perkara ini dibincangkan dalam bab 17. Bahan rujukan ringkas pula termuat dalam bab 18. Dalam bab ini terdapat penerangan tentang portfolio, penulisan jurnal, kemahiran berfikir, nilai murni, pencerapan klinikal, amalan refleksi, guru sebagai mentor dan pengajaran berpasangan.

Setakat yang diketahui, buku panduan praktikum yang kemas kini dan menyeluruh untuk kegunaan IPGM belum terdapat di pasaran. Jikalau buku ini dimurnikan dan dikemas kini, buku ini dapat menjadi rujukan warga IPGM di negara kita – bukan sekadar untuk rujukan warga IPKS sahaja.

Tambahan pada 11 Februari 2012


Buku ini ialah edisi permulaan. Hal ini bermaksud ada banyak perkara masih perlu dimurnikan. Mudah-mudahan sudah ada edisi baharu. Edisi baharu penting sebab perubahan berlaku dari semasa ke semasa. Yang tahu hal itu “orang dalam”. Kini saya “orang luar”.

Kandungan

Kata Alu-aluan ... iv
Sekapur Sirih ... v
Kata Pengantar ... vi - vii
Bab 1 Pengenalan Praktikum … 1 -15
Bab 2 Pengurusan Pelajar Semasa Praktikum … 16 - 22
Bab 3 Bahasa Melayu Sekolah Rendah … 23 - 51
Bab 4 Bahasa Inggeris … 52 - 61
Bab 5 Sains … 62 - 96
Bab 6 Matematik … 97 - 113
Bab 7 Pendidikan Islam KBSR … 114 - 122
Bab 8 Pendidikan Islam j-QAF … 123 - 131
Bab 9 Bahasa Arab … 132 - 139
Bab 10 Kemahiran Hidup … 140 - 146
Bab 11 Kajian Tempatan … 147 - 163
Bab 12 Pendidikan Jasmani … 164 - 171
Bab 13 Pendidikan Muzik … 172 - 177
Bab 14 Pendidikan Seni … 178 - 193
Bab 15 Prasekolah … 194 - 213
Bab 16 Bimbingan dan Kaunseling … 214 - 225
Bab 17 Pelaksanaan Kokurikulum … 226 - 235
Bab 18 Rujukan Pantas … 236 - 257
Senarai Penulis … 258 - 260
Jawatankuasa Penerbitan … 261

Rujukan Pantas
Bab ini mengandungi sumber rujukan ringkas tentang beberapa perkara penting dalam praktikum, iaitu
(b) Portfolio
(c) Penulisan Jurnal
(d) Kemahiran Berfikir
(e) Nilai Murni
(f) Pencerapan Klinikal
(g) Amalan Refleksi
(h) Guru Sebagai Mentor
(i) Pengajaran Berpasangan

Sumber utama kandungan bab ini ialah buku panduan rasmi praktikum yang disediakan oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kementerian Pelajaran Malaysia. Walau bagaimanapun kandungan bab ini tidak bermaksud menggantikan buku panduan itu atas beberapa sebab. Yang pertama, kandungan bab ini bersifat terpilih, ringkas dan telah diubah suai. Yang kedua, kandungan buku panduan praktikum BPG dikemas kini dari semasa ke semasa dan pembaca hendaklah sentiasa merujuki buku panduan edisi yang terkini. Namun demikian, pembaca akan mendapati kandungan bab ini sangat berguna. Hal ini demikian kerana bab ini dimuatkan juga dengan beberapa dapatan baharu hasil dua bengkel praktikum yang berlangsung pada tahun 2006.

14 Januari 2009

Tertib Mengarang untuk Penulis Blog dan E-Grup

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak
http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/

Kita mesti berpegang pada prinsip bahawa setiap sesuatu yang hendak kita hasilkan perlu melalui proses tertentu. Ambillah usaha bercucuk tanam sebagai contoh. Bercucuk tanam bermula dengan pemilihan benih yang baik, penyemaian benih, penjagaan tanaman dan penuaian hasil. Akhirnya kita nikmati hasil tanaman itu.

Pelajar, termasuk guru pelatih di institut pendidikan guru (IPG), mesti berpegang pada prinsip ini. Bagi guru pelatih IPG, semasa latihan mengajar mereka perlu menggunakan masa yang banyak untuk menyediakan rancangan pengajaran harian (RPH) dan bahan bantu belajar (BBB). Seterusnya mereka melaksanakan pengajaran di bilik darjah dengan berpandukan RPH dan menggunakan BBB itu. Selepas pengajaran dilaksanakan, mereka perlu pula memeriksa kerja murid dan menulis refleksi.

Seperti bercucuk tanam dan melaksanakan latihan mengajar, kerja karang-mengarang tidak terkecuali daripada proses tertentu. Prof. Dr. Haji Awang Sariyan menamakan proses itu tertib. Secara umum, tertib mengarang dapat kita bahagikan kepada tiga tahap. Yang pertama ialah tahap persediaan, yang kedua ialah tahap pengarangan dan yang ketiga ialah tahap penyemakan karangan. Tahap-tahap ini dalam kalangan pelajar IPG, khususnya mereka yang mengkhusus dalam Pengajian Melayu, dikenali dengan nama pendekatan proses.

Penulis blog dan e-grup juga wajar memanfaatkan pendekatan proses. Pada tahap persediaan, pilihlah bahan yang baik. Pada tahap pengarangan, hasilkanlah penulisan berpandukan pengetahuan karang-mengarang yang dipelajari di sekolah dan di institut pengajian tinggi. Pada tahap penyemakan, suntinglah karangan beberapa kali sebelum diterbitkan. Dengan demikian, insya-Allah, kita dapat menghasilkan tulisan yang bermutu di blog atau e-grup kita.

Ada kemungkinan tuan ingin mendapat maklumat lanjut tentang tertib mengarang. Jikalau benar, rujukilah buku Tertib Mengarang; Asas Retorik untuk Pelajar dan Pendidik karangan Profesor Dr. Haji Awang Sariyan. Di bawah ini saya lampirkan blurb buku itu. (Blurb ialah keterangan ringkas penerbit tentang isi sesebuah buku pada kulit belakang buku yang berkenaan.)

Untuk lebih memudahkan tuan, di bawah lampiran blurb saya catatkan pula kandungan buku itu. Saya berharap kedua-dua bahan ini dapat menggerakkan tuan untuk meneroka isi kandungan buku itu.

Akhirnya, marilah sama-sama kita renungi dua petikan daripada buku itu.

“Penguasaan kaedah dan teknik penulisan merupakan salah satu disiplin yang perlu dikuasai dan dihayati dengan baik bagi menghasilkan penulisan yang cemerlang.” Dato’ A. Aziz Deraman, halaman vii.

“Sesungguhnya kerja karang-mengarang merupakan kerja yang serius dan memerlukan disiplin yang tinggi pada setiap orang dalam bidang penulisan.” Awang Sariyan, halaman xi.

Wassalam.

Lampiran 1
Blurb Buku Tertib Mengarang: Asas Retorik untuk Pelajar dan Pendidik

Buku Tertib Mengarang: Asas Retorik untuk Pelajar dan Pendidik ini dihasilkan khusus untuk membantu para pelajar dan pendidik menghasilkan tulisan atau karangan yang bermutu. Pengarang menegaskan bahawa syarat asas penghasilan tulisan yang bermutu ialah kepatuhan kepada kaedah mengarang yang tertib yang terbahagi kepada tiga tahap. Tahap pertama ialah tahap persiapan atau prapenulisan, yang kedua ialah tahap penulisan sebenar, sementara yang ketiga ialah tahap penyemakan atau pascapenulisan. Penulis yang berdisiplin tidak harus mengabaikan proses mengarang secara tertib itu.

Dalam penghasilan karangan pula, penulis menggunakan pendekatan wacana, iaitu sesuatu tulisan, biar apa pun bentuk atau jenisnya, mestilah disusun dengan menitikberatkan ciri binaan wacana yang utuh, antaranya kesatuan, kepaduan dan jalinan gagasan. Jika wacana dapat dianalogikan dengan hidangan makanan yang terhasil daripada resipi dan gaya olahan masakan yang baik, maka penghasilan karangan yang baik banyak bergantung pada pengolahan gagasan dengan cara yang baik juga. Demikian juga, jika hidangan makanan yang baik bermula dengan pemilihan ramuan atau bahan yang bermutu, maka karangan yang baik dapat dihasilkan hanya apabila penulis menguasai unsur-unsur pembentuk wacana dengan baik, khususnya unsur kata dan ayat yang berkesan.

Buku yang terdiri daripada 21 bab ini menggunakan asas retorik dan stilistik dalam penghasilan karangan, hatta untuk karangan deskriptif, teknis dan profesional. Langkah-langkah mengarang diberikan peringkat demi peringkat dengan contoh yang jelas dengan bantuan rajah serta ilustrasi. Buku ini dapat dianggap memberikan maklumat dan bimbingan dari A hingga Z tentang penulisan yang berkesan. Selain pelajar dapat menggunakan buku ini sebagai pedoman untuk menghasilkan karangan yang baik an pendidik pula dapat menggunakannya sebagai petunjuk untuk mengajarkan penulisan kepada pelajar menurut proses yang tertib. Kalangan lain seperti pegawai tadbir sesuai juga menggunakan buku ini untuk menghasilkan tulisan yang berkaitan dengan tugas sehari-hari mereka.

Lampiran 2
Kandungan Buku Tertib Mengarang: Asas Retorik untuk Pelajar dan Pendidik

1. Tertib dalam Karang-Mengarang: Apa dan Mengapa?
2. Mengapakah Anda Menulis?
3. Kenal Pasti Pembaca Sasaran Tulisan Anda
4. Mengenal Pelbagai Bentuk Karangan
5. Binaan Karangan Deskriptif yang Jitu
6. Ayat yang Berkesan
7. Ayat yang Padu
8. Penegasan sebagai Ciri Ayat yang Berkesan
9. Ciri Kepelbagaian dalam Ayat yang Berkesan
10. Pentingnya Kesejajaran dalam Ayat yang Berkesan
11. Penalaran dan Logika dalam Ayat yang Berkesan
12. Pentingnya Rangka Karangan
13. Analisis dan Ulasan Rangka Karangan
14. Merangka Karangan dalam Bentuk Peta Minda
15. Daripada Rangka Menjadi Karangan
16. Pendahuluan Karangan: Contoh dan Ulasan
17. Membina Perenggan yang Berstruktur
18. Jenis-jenis Perenggan dan Kaedah Membinanya
19. Syarat-syarat Perenggan yang Utuh
20. Menilai Karangan Sendiri
21. Kesilapan Umum Bahasa dalam Penulisan