Semua ketua suku kaum di Sabah memilih bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah sejak zaman Chartered Company. Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar tunggal di Government Vernacular School (GVS). GVS menggunakan buku-buku terbitan Pejabat Karang Mengarang Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) sebagai buku teks dan buku utama. Antara buku itu termasuklah Beneh Akal, Chanai Bacaan, Suloh Bahasa, dan Pelbagai Ceritera Melayu. GVS juga mendapat khidmat guru dari Tanah Melayu.
Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di GVS menjadi mangkin perkembangannya di Sabah. Perkembangan itu berterusan apabila Kerajaan British yang mengambil alih pentadbiran Sabah daripada Chartered Company meneruskan dasar pendidikan yang sedia ada. Kemasukan pekerja Indonesia dari Sumatera, Jawa dan Banjarmasin pula menggalakkan perkembangan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat.
Perkembangan bahasa Melayu kalangan masyarakat Sabah meluas pada zaman pemerintahan Jepun. Hal ini berlaku apabila Jepun membawa masuk buruh paksa dari Jawa. Bahasa Melayu menjadi bahasa komunikasi antara anak tempatan dengan pekerja Indonesia yang sedia ada dan buruh paksa dari Jawa itu.
Pendidikan di GVS hanya setakat darjah lima. Pendidikan seterusnya adalah dalam bahasa Inggeris. Namun hanya segelintir anak watan Sabah dapat menikmati pendidikan lanjutan itu, termasuk mengikuti latihan perguruan di Kirby, England. Namun, sebagai strategi untuk menyekat anak jati Sabah daripada terus ke England, Inggeris menubuhkan Maktab Perguruan Kent (MPK) di Tuaran pada tahun 1952.
MPK menjadi tempat pertemuan anak watan Sabah dan Brunei yang mencintai bahasa, budaya dan sastera Melayu. Mereka berjuang untuk memartabatkan bahasa Melayu di Sabah. Antara usaha mereka termasuklah menerbitkan majalah The Kent dan menulis untuk akhbar Borneo News and Sabah Times dan Salam. Fokus tulisan mereka ialah bahasa, sastera dan budaya Melayu sebagai tunggak perjuangan kebangsaan dan kemerdekaan bangsa.
Apabila Sabah merdeka melalui Malaysia pada tahun 1963, perkembangan bahasa Melayu bertambah pesat. Angkatan Gaya Baru (AGABA), Angkatan Persuratan Melayu Sabah (APMS) dan Persatuan Penulis Sabah (PERPESA) menyemarakkan aktiviti bahasa, budaya dan sastera Melayu di Sabah. Antara aktivitis itu termasuklah K. Bali, R.M. Jasni, Shuhaibun Yusuf, Murshidi Nambi, Jamdin Buyong, Asli Luttah, Dahli Mohd. Alias, Shuhaibul Ahmad, Ismail Abbas, Mohd Saidi Lampoh dan Noraini Haji Salleh.
Apabila Badan Bahasa Sabah (BAHASA) ditubuhkan pada bulan Mac 1970, aktiviti bahasa bertambah rancak. Di bawah pimpinan Datuk Dzulkifli Abdul Hamid selaku yang dipertua dan Jamdin Buyong selaku setiausaha, BAHASA mengadakan berbagai-bagai aktiviti seperti minggu bahasa dan bulan bahasa. Hal ini membawa kepada proklamasi bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negeri Sabah pada 16 September 1973.
Namun demikian ada juga individu, khususnya yang berpendidikan Inggeris, dan ahli politik suku kaum ingin mendaulatkan bahasa Inggeris. Hal ini menyebabkan BAHASA mendesak kerajaan agar menubuhkan cawangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Sabah. Cawangan DBP tertubuh dengan rasminya di Kota Kinabalu pada 1 Januari 1977. Mulai saat itu tugas mengembang dan meningkatkan martabat bahasa Melayu di Sabah terpikul di atas pundak karyawan DBP Cawangan Sabah (DBPCS).
DBPCS melaksanakan aktivitinya dengan sistematik. Sehingga tahun 1986 DBPCS berjaya memberikan kursus bahasa Melayu kepada 5,000 orang kakitangan kerajaan. DBPCS juga berjaya menganjurkan beberapa banyak seminar, forum, diskusi dan yang seumpamanya. Selain itu, dengan persetujuan kerajaan negeri, Kementerian Pelajaran melaksanakan Dasar Pelajaran Kebangsaan di Sabah.
Nota
Catatan ini ialah ringkasan makalah “Bahasa Malaysia: Sejarah dan Perkembangannya di Sabah” oleh Ismail Abbas @Amil Jaya (1939 – 2009) yang tersiar dalam majalah Dewan Bahasa keluaran Jun 1986, halaman 392 – 397.
Masukan/pautan yang berkaitan
BAHASA dan Bahasa Rasmi di Sabah
Pemerkasaan Bahasa Melayu di Sabah
Badan Bahasa dan Sastera Sabah
Merindui K. Bali
Pedoman Bahasa: | Semua | MIAR | DBP | DB | PB | DS | KNB | JPEG || Kesantunan | Salam || Jawi || Pautan: | Scribd | Cikgu | Jawi | IPGMKgu | KBBI | Munsyi || Profil Penulis | Hak Cipta || Puisi: Sambung-menyambung | Hanya Sulap | Kebun Kecil Bahasa || Kembali ke Laman Terkini || Pautan Istimewa: | Soal Jawab Bahasa | Pendidik | Persatuan Pendidik BM |
Memaparkan catatan dengan label BM di Sabah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label BM di Sabah. Papar semua catatan
10 September 2009
17 April 2009
BAHASA dan Bahasa Rasmi di Sabah
Oleh
Mohd Isa Abd Razak
Maklumat yang di bawah ini diperoleh daripada buku Memoir Karyawan Tamu DBP Cawangan Sabah, Harun Haji Salleh, Rumah Limas Rumah Pusaka (RLRP) karangan Harun Haji Salleh terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada tahun 2005.
1970 Angkatan Persuratan Melayu Sabah (APMS) dan Persatuan Penulis Sabah (PERPESA) sudah wujud.
1970, 15 Mac … Pertemuan AJK APMS dengan AJK PERPESA (termasuk Harun Haji Salleh) di rumah Encik Johari Alias di Tanjong Aru. Encik Dzulkifli Abdul Hamid (USNO) berpidato tentang politik dan bahasa dalam mesyuarat ini. Inti sari: APMS perlu bergabung dengan PERPESA dan bekerjasama dengan Sabah National Youth Association (SANYA) dan Kesatuan Guru-guru Kerajaan Sabah (KGKS). Gabungan dipersetujui dan dinamakan Badan Bahasa Sabah (BAHASA).
“Daripada apa yang telah diucapkan dengan panjang lebar oleh Encik Dzulkifli itu, aku dapat menyimpulkan bahawa beliau bersungguh-sungguh menekankan agar bahasa Melayu dapat diterima sebagai bahasa rasmi dalam pentadbiran negeri selewat-lewatnya menjelang tahun 1973.” RLRP, halaman 335.
1970, 4 Ogos … Seminar Bahasa dan Sastera di Kota Kinabalu dihadiri oleh perwakilan muda dan tua 23 cawangan BAHASA. “Fokus seminar dari awal hingga akhir banyak tertumpu pada desakan agar penggunaan bahasa Melayu di Sabah dipercepat. Boleh dikatakan setiap perwakilan daripada merata cawangan menyuarakan desakan yang sama.” RLRP, halaman 343.
1971, 1 Januari … Mesyuarat Agung 1 BAHASA.
1973, 15 September … Sempena 10 Tahun Sabah dalam Malaysia, diadakan Hari Sastera selama seminggu di Kota Kinabalu. “Acara kemuncaknya ialah perasmian penggunaan bahasa Malaysia di Sabah yang disempurnakan oleh Ketua Menteri ketika itu iaitu Datu Haji Mustapha di Dewan Pusat Pembangunan Masyarakat pada pagi 16 September 1973.” RLRP, halaman 356.

Langgan:
Catatan (Atom)