Memaparkan catatan dengan label Kaedah Pengajaran. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kaedah Pengajaran. Papar semua catatan

08 Oktober 2012

Konsep Ejaan dan Mengeja

Konsep ejaan dan mengeja perlu mendapat perhatian istimewa guru bahasa Melayu yang mengajarkan bacaan permulaan. Semua pelajar tahun pertama Institut Pendidikan Guru (IPG) dikehendaki memahami kedua-dua konsep ini apabila mereka mengikuti kursus Literasi Bahasa Melayu pada semester kedua. Seterusnya, pelajar IPG yang mengikuti program Prasekolah, Pengajian Bahasa Melayu dan Pemulihan Khas mesti mendalami kedua-dua konsep ini.

12 Februari 2012

Kemahiran Berfikir: Mencirikan Alif dan Ba

Ciri ialah sifat atau unsur yang khusus pada sesuatu. Sesuatu itu boleh apa-apa sahaja seperti manusia, haiwan, benda dan konsep. Ciri dapat membezakan sesuatu itu dengan yang lain.

Mula-mula kita perhatikan fizikal manusia. Pasti kita dapati lelaki ada ciri, wanita ada ciri, khunsa pun ada ciri. Haiwan pun begitu. Gajah ada ciri, badak ada ciri, zirafah juga ada ciri. Demikian juga halnya dengan objek. Meja ada ciri, kerusi pun ada ciri. Begitulah juga dengan konsep. Pantun ada ciri, syair ada ciri. Secara khusus, perlakuan mengaum, mengembek dan mengiau ialah milik haiwan. Itulah ciri haiwan yang berkenaan.

Perkataan mencirikan mempunyai dua maksud. Maksud umumnya seperti yang tercatat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ialah "menjadi ciri kepada" atau merupakan ciri sesuatu. Hal ini dapat dikesan dalam ayat contoh “Kerumitan sentiasa mencirikan proses perubahan yang dihadapi oleh sebarang sistem”. Sebagai istilah kemahiran berfikir (KB) pula, perkataan mencirikan bermaksud mengenal pasti ciri sesuatu.

16 Julai 2011

Kaedah Pembelajaran Koperatif 5 - Jigsaw Puzzle

Jigsaw Puzzle (Cantuman)
Jigsaw ialah kata nama yang bermaksud gergaji jig, iaitu gergaji yang digunakan untuk menghasilkan tebukan berlengkung-lengkung pada kayu, plastik dan keping-keping logam. Daripada perkataan jigsaw terbit ungkapan jigsaw puzzle, iaitu sejenis permainan.

Bahan permainan itu ialah sekeping gambar daripada kad tebal yang dipotong berkeping-keping dan berlengkung-lengkung. Kepingan yang berlengkung-lengkung itu dicampuradukkan. Pemain menyusun kepingan itu untuk menjadi gambar. Usaha untuk menyusun kepingan itu rumit tetapi mengasyikkan.

Dalam struktur pembelajaran koperatif (SPK) terdapat juga jigsaw puzzle. Cirinya seakan-akan permainan itu tetapi bahan dan pelaksanaannya tersendiri. Bahan yang lazim digunakan ialah wacana bercetak. Penggunaan bahan digital digalakkan.

Katakan kita hendak mengajarkan tajuk “Ikan Air Tawar”. Dalam sesi itu kita bercadang untuk mengetengahkan empat jenis ikan, iaitu arapaima, kelah, puyu dan belut. Katakan pula murid kita 20 orang. Kita bentuk lima kumpulan seperti dalam rajah 1. Kumpulan ini ialah kumpulan asal dan kita namakan Kumpulan Adil, Kumpulan Bersih, Kumpulan Cinta, Kumpulan Damai dan Kumpulan Elok. Dalam kumpulan asal, pelajar nombor satu menerima wacana “Arapaima”, pelajar nombor dua menerima wacana “Kelah”, pelajar nombor tiga menerima wacana “Puyu” dan pelajar nombor empat menerima wacana “Belut”.

Kemudian, seperti yang digambarkan dalam rajah 2, pelajar membentuk empat kumpulan. Mereka membaca dan memahami wacana itu. Mereka boleh merujuk bahan sokongan seperti kamus, buku glosari dan ensiklopedia, sama ada yang terpasang pada komputer riba atau secara dalam talian. Mereka memproses dan “menghadam” maklumat dalam wacana, daripada bahan sokongan dan hasil perbincangan. Akhirnya mereka arif atau menjadi pakar tajuk itu.
Setelah menjadi pakar arapaima, pakar kelah, pakar puyu atau pakar belut, mereka kembali membentuk kumpulan asal. Rajah 3 menggambarkan hal ini. Mula-mula pakar arapaima menyampaikan maklumat kepakarannya kepada tiga orang rakannya. Rakan-rakannya perlu mengemukakan pertanyaan. Pakar arapaima hendaklah menjawab pertanyaan itu dengan menyerlahkan keterampilannya sebagai pakar. Seterusnya, pakar kelah pula menjadi penyampai, diikuti oleh pakar puyu dan akhirnya pakar belut.

Setiap kumpulan asal yang sudah berkongsi kepakaran itu hendaklah membuat rumusan dan refleksi. Refleksi wajar menyerlahkan nilai murni. Pensyarah atau guru yang bertindak sebagai fasilitator kemudiannya bolehlah mengedarkan senarai rujukan dan bahan bercetak dan/atau digital.

Tambahan

Guru, khususnya guru kawakan, memang bijak dan banyak idea. Mereka yang bijak itu terus berlumba-lumba menghimpun kebijaksanaan dengan meningkatkan kelayakan akademik dan profesionalisme. Universiti membuka peluang kepada mereka untuk memperoleh ijazah. Institut pendidikan guru dan jabatan pendidikan negeri pula menawarkan kursus peningkatan profesionalisme.

Ada antara guru kawakan bijak yang banyak idea itu suka mengusik pensyarah, khususnya wanita muda dan comel. Ada pensyarah wanita muda comel itu berasa kurang selesa ketika bersyarah. Cubalah SPK, khususnya jigsaw puzzle. Rasa-rasanya guru kawakan bijak yang banyak idea itu akan menjadi kumpulan pakar yang sibuk. Rasa-rasanyalah, mereka kesuntukan masa. Jadi, tiada lagi renung-renungan, apalagi lagi pertanyaan yang bernada usikan. Pakar tentulah serius!

Wallahuaklam. Wassalam.

13 Julai 2011

Konsep Pembelajaran Koperatif

Masukan terdahulu
Kaedah Pembelajaran Koperatif: Catatan Permulaan, 24 Januari 2009
Kaedah Pembelajaran Koperatif Meningkatkan Keseronokan Belajar, 12 Julai 2011

Pada alaf ini berlaku perubahan yang pesat dalam sistem ekonomi dan demografi dunia. Kita berhadapan dengan ekonomi yang berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi. Jadi, sekolah perlu menyediakan pelajar untuk mengambil bahagian dalam perubahan itu.

12 Julai 2011

Kaedah Pembelajaran Koperatif Meningkatkan Keseronokan Belajar

Masukan yang terdahulu
1. Tertib Mengarang untuk Penulis Blog dan E-Grup,14 Januari 2009
2. Panduan Praktikum Sekolah Rendah, 3 Februari 2009
3. Keranda 52: Bahasa Kita, Air Mata dan Maruah Kita, 7 Februari 2009
4. Merokok: Makruh atau Haram? 6 Jun 2009
5. Ilmu Mengarang Melayu, 24 Februari 2011
6. Beberapa Sisi Masyarakat dan Alam Sabah Pra dan Pascaperang, 25 Februari 2011
7. Rumah Limas Rumah Pusaka: Arkib Tiga Buah Negeri, 3 Mac 2011
8. Perpaduan Nasional dalam Novel Orang Malaya, 11 Julai 2011
9. Tuntunan Bahasa: Kita Tidak Memerlukan Bentuk “Ianya”, 12 Julai 2011

Tajuk Buku: Kaedah Pemelajaran Koperatif Sekolah Rendah

Penulis: Dr. Ismail Said
Penerbit: Karisma, Shah Alam
Tahun: 2009
Halaman: 102
Harga: RM15.00
Pengulas: Mohd Isa Abd Razak

Sebagai kanak-kanak, murid sekolah rendah memang mementingkan keseronokan. Mereka memperoleh keseronokan itu dengan cara bermain. Tidak hairanlah apabila kita dapati ada murid bermain semasa belajar. Guru sekolah rendah, terutamanya guru bahasa Melayu memang menyedari hal ini. Oleh itu, mereka berusaha menggunakan teknik yang memungkinkan anak didik mereka berasa seronok belajar. Teknik itu ada yang memang bernama permainan seperti permainan bahasa. Ada pula teknik berasaskan permainan atau ada unsur permainan seperti lakonan spontan, kerusi panas dan simulasi.

31 Januari 2010

Sejarah Ringkas Penyelidikan Tindakan di Malaysia

Di Malaysia, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP) atau lebih dikenali dengan nama Education Planning and Research Department (EPRD, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mempelopori budaya penyelidikan tindakan. BPPDP melaksanakan program Project Innovation Excellence and Research (PIER) yang mendapat biaya Bank Dunia. PIER bertujuan untuk mewujudkan budaya penyelidikan dalam kalangan guru demi kecemerlangan pendidikan di sekolah.

30 Januari 2010

Sejarah Ringkas Penyelidikan Tindakan di Amerika dan Britain

Usaha Kurt Lewin pada tahun 1946 dianggap sebagai titik permulaan penyelidikan tindakan. Kurt Lewin, seorang ahli psikologi sosial di Amerika, menggunakan penyelidikan tindakan untuk menyelesaikan masalah yang terdapat dalam komunitinya. Teras konsep penyelidikan tindakannya ialah penggemblengan usaha bersama kumpulan (kolaboratif) bagi meningkatkan lagi prestasi kerjaya.

Guru Penyelidik dan FB Berkemungkinan...

Hantaran asal.
Dalam hidup ini kita sentiasa melakukan penyelidikan. Misalnya, sebelum kita bertolak ke sesuatu destinasi baharu, biasanya kita akan bertanya kepada rakan-rakan tentang laluan ke destinasi itu. Bertanya adalah proses melakukan penyelidikan. Kita juga biasanya bertanya atau melakukan tinjauan sebelum membeli sesuatu barang. Antara tujuan tinjauan itu termasuklah untuk memahami perbezaan harga dan kualiti barangan yang berkenaan sebelum kita membuat keputusan sama ada hendak membelinya atau tidak.

Sememangnya keupayaan menjadi penyelidik ada pada semua orang, apatah lagi guru. Apabila keupayaan itu digilap, guru dapat menjadi penyelidik yang berkesan. Melalui aktiviti penyelidikan, guru akan lebih memahami situasi persekitarannya. Pemahaman terhadap situasi ini dapat membantu guru merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti demi kecemerlangan para pelajar.

Jika guru ingin mengkaji situasi pengajaran dan pembelajaran di sekolah, mereka perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran asas tentang kaedah dan teknik penyelidikan. Dalam bidang penyelidikan pendidikan, umumnya berdasarkan cara maklumat (data) dikutip dan dianalisis, terdapat dua jenis penyelidikan iaitu penyelidikan bersifat kuantitatif, dan penyelidikan bersifat kualitatif.

Kedua-dua jenis penyelidikan itu mempunyai peranan masing-masing bergantung pada rasional dan objektif kajian. Namun demikian, dalam konteks penyelidikan tindakan yang dilakukan oleh guru-guru di sekolah, pendekatan yang digunakan merupakan penyelidikan bersifat kualitatif . Pendekatan ini mengutamakan situasi yang sebenar di sekolah dan huraiannya dilakukan secara terperinci.

Facebook (FB) berkemungkinan menjadi wadah untuk guru menghuraikan situasi sebenar di sekolah sendiri. Huraian itu dapat menjadi asas untuk memulakan penyelidikan tindakan. Persoalannya, adakah guru-guru kita, khususnya guru Bahasa Melayu, termasuk guru prasekolah dan guru pemulihan khas, sudah mula memanfaatkan FB untuk menghuraikan situasi yang mereka hadapi di sekolah? Jikalau jawapannya belum, apakah halangannya dan bilakah mereka akan memulakannya?

27 Januari 2010

Serlahkan Kasih Sayang dalam Usaha Mencelikhurufkan dan Memandaikan Murid

Asas hubungan antara guru dengan murid ialah kasih sayang. Guru sekolah rendah membina dan mengukuhkan asas itu. Guru sekolah menengah pula memperteguhnya dengan binaan tambahan yang bernama tanggungjawab. Inilah pati makalah “Pelajar Rindu Pujian Guru” nukilan Tuan Anuar Ahmad yang tersiar dalam satu akhbar perdana pada 16 Januari 2010.

19 Januari 2010

Secebis Kisah Pengajaran Karangan di Sekolah Rendah

Seorang guru Bahasa Melayu baru bertukar ke sekolah baharu. Dia berhadapan dengan beberapa orang murid tahun lima yang masih belum mampu menghasilkan karangan yang baik. Walaupun masa untuk menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) hampir dua tahun lagi, guru itu tetap risau akan keadaan murid-muridnya. Dia mahu membantu murid-murid itu mulai awal tahun ini juga. Dia meminta pandangan saya.

10 Januari 2010

Celik Huruf: Benarkah Kaedah Fonik Versi Nik Eliani dan Othman Berkesan?

Petikan catatan di Facebook:

Respons Cikgu Dk Normah merupakan maklumat terkini tentang keberkesanan Kaedah Fonik Versi Nik Eliani dan Othman atau Kaedah Bacalah Anakku. Maklumat kembali seperti ini sangat berguna. Saya berkata demikian kerana Nik Eliani dan Othman mendakwa bahawa buku Siri Cepat Membaca, Bacalah Anakku sudah terbukti berjaya mencelikhurufkan kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun, murid tahun 1 dan murid pemulihan. Sayangnya, bukti itu tidak terdapat dalam buku yang berkenaan – sama ada berupa kajian atau testimonial. Maklumat kembali oleh Cikgu Dk Normah dapatlah dianggap sebagai testimonial .

06 Januari 2010

Edisi Digital Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas

Saya pernah meneliti buku Panduan Pelaksanaan Program Pendidikan Pemulihan Khas Masalah Penguasaan 3M terbitan Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia (1999). Kandungan buku itu menjadi bahan utama saya untuk apa-apa kursus yang berkaitan dengan pemulihan. Kebanyakan peserta kursus pula, khususnya kursus dalam perkhidmatan, memfotokopi keseluruhan buku yang tebal itu. Semasa menyelia praktikum atau memantau pelaksanaan kursus, saya dapati beberapa orang guru pemulihan khas (GPK) menggunakan bahan fotokopi itu di dalam bilik darjah. Oleh sebab bahan itu difotokopi, mereka menggunakan bahan itu tanpa sebarang penyesuaian.

23 November 2009

Strategi 3M untuk Mencelikhurufkan Murid

Kerenah murid Orang Asli pernah dibincangkan dalam satu seminar. Seorang pembentang kertas kerja menyatakan, kesediaan murid tahun satu untuk belajar rendah. Mereka hadir ke sekolah sekali-sekala. Kehadiran beberapa orang murid lebih kurang 50 hari sahaja setahun.

Antara murid yang hadir itu pula, ada yang enggan masuk ke dalam kelas. Mereka memilih untuk menjadi pemerhati. Mereka berdiri di luar kelas dan memerhati rakan-rakan mereka belajar. Golongan ini akan meninggalkan sekolah jikalau ditegur atau dimarahi. Sesetengahnya terus tidak hadir ke sekolah untuk satu tempoh yang panjang. Pihak sekolah perlu memujuk golongan ini untuk kembali bersekolah.

Pembentang kertas kerja menyatakan, strategi 3M mampu meningkatkan kehadiran murid tahun satu Orang Asli ke sekolah dan seterusnya masuk ke dalam kelas. Strategi 3M untuk Orang Asli bermaksud makan, main dan muzik. Dengan menggunakan strategi ini, guru dapat melaksanakan aktiviti untuk mencelikhurufkan mereka.

Makanan yang popular dalam kalangan Orang Asli ialah ubi kayu. Guru menyediakan ubi kayu rebus, bakar atau goreng. Ketika murid itu sedang makan ubi, guru berbual-bual dengan mereka tentang ubi. Murid menyebut perkataan ubi berulang kali. Murid juga menyatakan warna ubi, rasa ubi dan apa-apa yang berkaitan dengan ubi. Hal ini diketengahkan dengan cara yang ada unsur permainan dan muzik.

Guru dapat mengetengahkan perkataan seperti “ubi”, “ibu”, “ada” dan “abu” dalam aktiviti ini. Kemudian murid bermain huruf dengan. Guru perlu kreatif untuk memanipulasi penggunaan kad, doh, plastisin dan sebagainya.

Murid boleh terus bermain sambil mendengar muzik. Mereka juga boleh menyanyi lagu vokal dan konsonan yang diambil daripada aktiviti makan ubi. Guru perlu bijaksana mengubah suai kaedah fonik atau kaedah gabungan bunyi kata. Inilah gambaran umum dan ringkas tentang strategi 3M yang terdedah dalam seminar itu.

Berdasarkan perbualan dengan beberapa orang guru tahun satu dan guru pemulihan khas, pisang juga merupakan objek yang berkesan untuk aktiviti mencelikhurufkan murid. Pisang berjenis-jenis, pelbagai warna, pelbagai rasa dan dapat dimanipulasi dengan pelbagai cara.

Seorang guru pernah menceritakan caranya memanipulasi keistimewaan pisang itu. Dia menggunakan pisang sebagai bahan rangsangan utama aktiviti pergerakan, lisan, permainan dan nyanyian. Murid boleh makan pisang pada akhir aktiviti tertentu. Dengan perkataan lain, dia mendahulukan “main” (termasuk melalui pergerakan) dan “muzik” sebelum “makan”.

Guru tahun satu dan guru pemulihan khas di kawasan pedalaman memang kreatif menggunakan bahan sumber pengajaran dan pembelajaran. Selain ubi dan pisang, mereka juga memanfaatkan pelbagai buah lain seperti buah getah, buah saga dan buah tarap. Pendeknya, mereka memanfaatkan flora dan fauna di persekitaran mereka dalam program celik huruf. Sumber daripada alam sekitar itu menyokong strategi 3M.

05 November 2009

Celik Huruf: Semua Pihak Perlu Lebih Bersungguh-sungguh Menanganinya

Pada tahun 2009, sebanyak 67 peratus kanak-kanak di negara kita berpeluang mengikuti kelas prasekolah. Pada tahun 2012, kerajaan menyasarkan 87 peratus kanak-kanak mendapat peluang untuk mengikuti kelas prasekolah. Sasaran ini berupa peningkatan sebanyak 20 peratus.

Timbalan Perdana Menteri (TPM) merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyatakan perkara ini dalam sesi soal jawab di Parlimen. Berita Harian Online (BHO) melaporkan perkara ini pada 3 September 2009.

Menurut satu sumber, pada tahun 2009 murid prasekolah berjumlah 342,706 orang. Peningkatan sebanyak 20 peratus pada tahun 2012 menjadikan pelajar prasekolah di negara kita berjumlah 447,556 orang.

Pada 12 September 2009, BHO menyiarkan berita “35,000 Murid Tak Tahu Baca, Menulis”. Angka dalam tajuk berita itu silap. Dalam intro berita itu dinyatakan bahawa sebanyak 85,000 murid tahun satu masih belum mampu membaca dan menulis.

Dalam berita 12 September 2009 itu juga BHO melaporkan kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Fuad Zarkashi. Beliau berkata, kerajaan menyasarkan 85 peratus kanak-kanak mengikuti kelas prasekolah pada 2012 berbanding hanya 65 peratus pada tahun 2009.

Ada perbezaan dua peratus antara berita yang bersumber daripada Menteri Pelajaran dengan timbalannya. Mungkin ini hanya kesilapan laporan atau akibat sikap kurang serius mana-mana pihak. Namun, yang pasti, pada tahun 2009 antara 33 hingga 35 peratus kanak-kanak di negara kita tidak berpeluang untuk menjadi murid prasekolah. Berdasarkan angka tadi, pada tahun 2012 antara 13 hingga 15 peratus kanak-kanak di negara kita dijangka tidak berpeluang menjadi murid prasekolah.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPM), Datin Asariah binti Mior Shaharuddin berkata, KPM menetapkan agar semua kanak-kanak normal yang bersekolah boleh menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) ketika melangkah ke tahun empat sekolah rendah sebelum penghujung 2012. Beliau berkata demikian semasa merasmikan Seminar Penyelidikan Pendidikan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Zon Sabah di Kota Kinabalu pada awal Oktober 2009.

Sukatan pelajaran prasekolah, antara lain, bertujuan untuk mencelikhurufkan murid. Ada guru Bahasa Melayu beranggapan bahawa semua murid yang diterima masuk ke kelas tahun satu sudah celik huruf. Apabila anggapannya itu meleset, mereka mengeluh. Mereka berasa berat untuk mengajarkan a-b-c kepada beberapa orang murid yang tidak berpeluang mengikuti kelas prasekolah.

Ada juga murid yang sudah mengikuti prasekolah tetapi masih belum celik huruf. Murid-murid ini menokok jumlah murid yang perlu dicelikhurufkan oleh guru Bahasa Melayu tahun satu.

Dahulu, pada semester pertama, memang ada program khas. Mulai tahun 2006 KPM memperkenalkan pula program Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M). Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006 – 2010 menyatakan, KIA2M bertujuan untuk memastikan murid-murid tahun satu menguasai kemahiran 2M selepas enam bulan belajar di sekolah. Tujuan ini tidak tercapai apabila pada akhir Ogos 2006 hampir 100 ribu murid tahun satu belum celik huruf. Pada akhir September 2009 pula sebanyak 85,000 murid tahun satu belum menguasai 2M.

Berdasarkan sasaran yang diuar-uarkan oleh Menteri Pelajaran dan timbalannya dalam BHO, pada tahun hadapan dan tahun 2011 jumlah murid tahun satu yang belum celik huruf pada akhir tahun dijangka masih dalam lingkungan 50,000 orang. Malah, apabila kita mengambil kira jumlah kelahiran yang semakin meningkat, jumlah ini tidak banyak berubah pada akhir tahun 2012. Jadi, penetapan sasaran 85 hingga 87 peratus kanak-kanak berpeluang mengikuti prasekolah pada tahun 2012 itu rendah.

Penetapan sasaran yang rendah ini pasti menghampakan pendukung PIPP yang ingin melihat murid-murid tahun satu menguasai kemahiran 2M selepas enam bulan belajar di sekolah. Kenyataan bahawa semua kanak-kanak normal yang bersekolah boleh menguasai kemahiran 3M selepas melangkah ke tahun empat pula bagaikan mengesahkan kehampaan pendukung PIPP.

Apa-apa pun, pihak yang menggubal dan melaksanakan kurikulum mesti mengambil berat perkara ini. Hal yang terpenting ialah mengubah suai Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Tahun Satu. Semua pihak perlu mengambil kira situasi yang dinyatakan ini ketika merancang pendekatan modular. Guru Bahasa Melayu tahun satu memerlukan modul yang pelbagai dan luwes agar mereka dapat mencelikhurufkan murid tahun satu dengan lebih berkesan.

Baik juga jikalau pihak IPGM meninjau dan menyemak kurikulum pengkhususan Pengajian/Bahasa Melayu, Prasekolah, dan Pemulihan Khas. IPGM wajar mengetengahkan kandungan kursus dan strategi pelaksanaan yang lebih bersepadu.

Antara maksud bersepadu di sini ialah memungkinkan ketiga-tiga program itu menghasilkan guru yang berkemahiran untuk melaksanakan program celik huruf sama ada kepada murid prasekolah, tahun satu atau pemulihan. Tembok pemisah pengkhususan, sekiranya ada, mesti dipecahkan. Selain itu, aspek perkaedahan bacaan asas juga dimantapkan.

Masukan yang berkaitan: (1) Kemahiran 2M: Kita Memerlukan Gambaran yang Lebih Jelas (2) Pandangan tentang Pendekatan Modular Bahasa Melayu (3) Aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran Contoh KIA2M

Lampiran
Selasa, 2009 November 03
Guru Berkelulusan Ijazah Diambil Ajar Prasekolah
Oleh Sariha Mohd Ali, Syuhada Choo Abdullah dan Khairul Azran Hussin bhnews@bharian.com.my, Berita Harian Online, 3 September 2003

KERAJAAN akan mengambil guru berkelulusan ijazah untuk mengajar prasekolah pada masa depan dalam usaha menyediakan guru terlatih bagi pendidikan awal kanak-kanak, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, Kementerian Pelajaran turut mengambil langkah menyediakan guru berijazah untuk semua sekolah rendah bagi mendidik murid Tahun Satu hingga Tahun Enam.

Muhyiddin berkata, langkah menyediakan guru terlatih ini boleh mengurangkan masalah penguasaan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira di kalangan pelajar.

"Ini satu pendekatan yang kita percaya boleh mengubah situasi pendidikan dalam negara untuk meningkatkan kualiti pembelajaran prasekolah dan sekolah rendah," katanya ketika menjawab soalan tambahan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong).

Berikutan itu, Muhyiddin berkata, pengusaha prasekolah swasta juga perlu mematuhi kualiti guru yang disediakan di institusi masing-masing.

Katanya, pemantauan akan dibuat dari semasa ke semasa, termasuk mengadakan pemeriksaan mengejut terhadap prasekolah sektor swasta bagi memastikan ia mematuhi dasar serta menggunakan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan yang dikuatkuasakan sejak 2003.

"Bagaimanapun, kerajaan tidak berhasrat menyekat sebarang usaha penambahbaikan dilakukan pengusaha prasekolah swasta selagi ia tidak bercanggah dengan dasar," katanya.

Menjawab kekeliruan Dr Tan mengenai perbezaan antara pendidikan prasekolah dan Permata Negara, Muhyiddin berkata, Permata Negara adalah program asuhan dan didikan awal kanak-kanak sebelum mereka memasuki prasekolah.

"Projek contoh sudah dijalankan di beberapa tempat di seluruh negara dan hasilnya memang baik, malah kementerian akan mengembangkannya secara berperingkat.

"Ini satu lagi cabaran besar kepada kementerian menyediakan tenaga pengajar terlatih bagi membimbing anak yang masih kecil, bukan saja untuk prasekolah tetapi juga pendidikan awal kerana mereka memerlukan bimbingan khusus," katanya.

Terdahulu ketika menjawab soalan asal Abd Rahman Bakri (BN-Sabak Bernam) mengenai langkah menjadikan pendidikan prasekolah sebahagian daripada sistem pendidikan negara, Muhyiddin berkata, kerajaan sudah menetapkan prasekolah antara bidang keberhasilan utama Kementerian Pelajaran.

Bagi mencapai sasaran itu, katanya, strategi komprehensif dirancang, termasuk menambah baik kurikulum prasekolah dan cadangan 50 peratus waktu interaksi dalam bahasa Inggeris.

Beliau berkata, sebanyak 4,194 kelas prasekolah baru akan dibina menjelang 2012.

Muhyiddin berkata, kerajaan menyasarkan meningkatkan 67 peratus penyertaan kanak-kanak berumur lima tahun dalam prasekolah kerajaan dan swasta tahun ini kepada 87 peratus menjelang 2012.

01 Ogos 2009

Pengisian Kurikulum BM (KBT1): Kemahiran Berfikir

Masukan yang berkaitan: 1. Latar Kurikulum BM 2. Panduan Praktikum SR 3. PK BM: Nilai Murni 4. RP Tahunan/Semester 5. Format RPH BM 6. Format RPH dan Penggunaan Lajur Catatan 7. Empat Kejanggalan dalam RPH 8. Aktiviti Pemulihan Semasa Praktikum 9. Pengajaran Berpasangan 10. Gementar pada Hari Pertama 11. Saya Tidak Pandai, Cikgu 12. Catatan Pascapemerhatian 13. Renungan Pascapemerhatian


Aspek terpenting kemahiran bernilai tambah (KBT) ialah kemahiran berfikir (KB). KB bukan sekadar berada di tempat pertama dalam senarai KBT tetapi tersenarai di bawah aspek perancangan dalam borang penilaian praktikum. Ertinya, jika KB tidak dirancang dalam setiap sesi pengajaran, maka pelaksanaan pengajaran itu dapat dianggap cacat.

Walaupun KB tidak tersenarai di bawah aspek pelaksanaan, ada dua aspek di bawah amalan refleksi, iaitu pemikiran reflektif dan catatan reflektif, amat berkaitan dengan KB. Tegasnya, KB mesti diserapkan dalam setiap sesi pengajaran Bahasa Melayu.

Aspek kemahiran berfikir yang tercatat dalam Huraian Sukatan Pelajaran (HSP) Sekolah Rendah adalah seperti yang berikut:

1. Mencirikan
2. Mengelaskan, mengumpulkan, mengkategorikan
3. Membuat kaitan dan perhubungan
4. Membanding dan membeza
5. Menyusun atur
6. Mengenal pasti kenyataan benar atau palsu
7. Membezakan fakta dengan pendapat
8. Menganalisis
9. Mengesan kecondongan pendapat
10. Mengenal pasti sebab akibat
11. Meramal
12. Mensintesis
13. Mengitlak
14. Membuat analogi
15. Membuat inferens
16. Membuat kesimpulan
17. Menginterpretasi, mentafsir
18. Mengenal pasti idea utama dan idea sokongan
19. Menilai
20. Menjana idea
21. Merumus, meringkas
22. Membuat keputusan
23. Menyelesaikan masalah

HSP menegaskan, untuk membolehkan murid menguasai KB, guru perlu menggunakan alat untuk berfikir dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Antara alat untuk berfikir itu termasuklah penyusun grafik, soalan (bertumpu, bercapah, dan lingkaran soalan) dan peta minda. Alat untuk berfikir CoRT1 seperti dalam rajah yang di bawah juga perlu dimanfaatkan.

30 Julai 2009

Pengisian Kurikulum BM: Nilai Murni

Aspek kedua dalam senarai pengisian kurikulum Bahasa Melayu sekolah rendah ialah nilai. Semasa praktikum, aspek ini mesti diberi keutamaan yang lebih atas dua sebab.

Yang pertama, penerapan nilai tercatat dua kali dalam borang penilaian praktikum, iaitu dalam bahagian perancangan dan dalam bahagian pelaksanaan. Ertinya, wajarannya tinggi berbanding dengan aspek pengisian kurikulum yang lain. Yang kedua, penulisan objektif afektif hendaklah berdasarkan nilai murni. Jadi, tanpa nilai murni sebahagian daripada objektif pembelajaran pasti tidak akan tercapai. Oleh hal demikian, guru Bahasa Melayu mesti menyerapkan nilai murni dalam setiap pelajaran.

Sukatan pelajaran mencatatkan bahawa penerapan nilai murni dalam pendidikan Bahasa Melayu adalah untuk melahirkan insan yang baik serta memiliki akhlak mulia. Selain itu, penghayatan dan amalan nilai murni bertujuan untuk membentuk generasi muda yang berhemah tinggi dan berperibadi mulia.

Pemahaman dan kesedaran tentang nilai murni masyarakat Malaysia perlu dipupuk sama ada secara langsung atau tidak langsung, selaras dengan nilai sejagat. Tegasnya, usaha guru menerapkan nilai murni di sekolah merupakan amalan menghayati Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Jadi, sudah sewajarnya aspek ini dilaksanakan dengan segala kesungguhan.

Selain itu, penekanan terhadap nilai murni selaras dengan hasrat Wawasan 2020 untuk membentuk generasi baharu dengan acuan kita sendiri, iaitu generasi yang sarat dengan nilai murni. Hal ini menjadi asas pertimbangan penyemak kurikulum yang menghasilkan kurikulum semakan pada tahun 2003. Kini, di bawah gagasan Satu Malaysia, penekanan terhadap nilai murni di sekolah rendah menjadi bertambah penting. Apabila kita teliti, nilai murni di sekolah rendah terangkum dalam lapan nilai Satu Malaysia.

Di bawah ini disenaraikan 17 nilai murni dengan sedikit ulasannya.

1. Baik Hati … sikap mengambil berat terhadap perasaan dan kebajikan orang lain secara ikhlas yang dapat dilihat dengan menilai tindak tanduk seseorang terhadap orang lain.

2. Berdikari … kebolehan dan kesanggupan melakukan sesuatu tanpa bergantung pada orang lain yang terjelma juga melalui rasa tanggungjawab, berupaya bertindak sendiri, jaya diri dan yakin pada diri sendiri.

3. Hemah Tinggi … budi pekerti dan tingkah laku yang mulia dan lemah lembut serta budi bahasa yang patut diamalkan oleh seseorang dalam hubungannya dengan anggota masyarakat yang lain; terjelma melalui kesopanan, mengakui kesalahan diri, dan ramah mesra.

4. Hormat-menghormati … menghargai dan memuliakan seseorang dan institusi sosial dengan memberikan layanan yang sopan; antara lain terjelma melalui ketaatan terhadap ibu bapa, orang yang lebih tua, guru, rakan, jiran tetangga, dan pemimpin; dan terjelma juga melalui hormat kepada raja dan negara, patuh kepada undang-undang dan menghargai maruah diri.

5. Kasih Sayang … perasaan cinta, kasih dan sayang yang mendalam dan berkekalan yang lahir daripada hati yang rela terhadap sesuatu; termasuk sayang/cinta akan nyawa, alam sekitar, negara dan keamanan.

6. Keadilan … perlakuan, pertuturan dan keputusan yang saksama serta tidak berat sebelah; termasuk juga saksama.

7. Kebebasan … dapat melakukan sesuatu tanpa batasan asalkan kebebasan itu tertakluk pada peraturan dan undang-undang agama, masyarakat dan negara; terjelma melalui kebebasan di sisi undang-undang dan kebebasan dalam sistem demokrasi.

8. Keberanian … kesanggupan seseorang untuk menghadapi cabaran dengan yakin dan tabah hati; termasuk berani tanpa membuta tuli, berani kerana benar, berani mempertahankan pendirian, dan berani bertanggungjawab.

9. Kebersihan Fizikal dan Mental … kebersihan diri dan kebersihan persekitaran; terjelma melalui pertuturan, kelakuan, pemikiran dan amalan kerohanian.

10. Kejujuran … sikap dan perlakuan yang menunjukkan niat baik, amanah dan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan; termasuk amanah, bercakap benar, dan ikhlas.

11. Kerajinan … usaha secara berterusan yang penuh dengan semangat ketekunan dan dedikasi dalam melakukan sesuatu perkara; terjelma melalui kecekalan, daya usaha, dedikasi, gigih dan tekun.

12. Kerjasama … usaha yang baik dan membina yang dilakukan secara bersama-sama pada peringkat individu, komuniti, masyarakat atau negara untuk mencapai sesuatu matlamat; termasuk persaudaraan, tanggungjawab bersama, gotong-royong, toleransi, kebaikan bersama dan perpaduan.

13. Kesederhanaan … sikap tidak keterlaluan dalam membuat pertimbangan dan tindakan sama ada dalam pemikiran, pertuturan atau perlakuan supaya sesuai dengan norma dan nilai masyarakat; secara umum sederhana dalam mempertimbangkan kepentingan diri dan kepentingan orang lain.

14. Kesyukuran … perasaan dan perlakuan yang dilahirkan secara ikhlas atas nikmat dan kesenangan yang diperoleh; termasuk berterima kasih, mengenang budi, dan menghargai seseorang/sesuatu--fokus utama ialah kesyukuran kepada Tuhan.

15. Patriotisme … semangat cinta akan negara, taat setia kepada raja dan sanggup berkorban demi negara.

16. Rasional … dapat berfikir dengan berdasarkan alasan dan bukti yang nyata dan dapat melakukan tindakan yang wajar tanpa dipengaruhi oleh perasaan; termasuk mampu membuat pertimbangan, berfikir logik dan bersifat terbuka.

17. Semangat Bermasyarakat … kesediaan melakukan sesuatu berdasarkan semangat kekitaan seperti bermuafakat, kejiranan dan peka tentang isu sosial dan masyarakat.

Sebenarnya, penerapan nilai murni berlaku secara berterusan dalam hidup kita sama ada dalam masyarakat, di rumah, mahupun di sekolah. Di sekolah pula penyerapan nilai murni dapat berlaku di luar dan di dalam bilik darjah. Penerapan nilai murni di dalam bilik darjah dilakukan secara lebih terancang, siap dengan objektif afektifnya, dan dilaksanakan dengan teknik-teknik tertentu.

Cara termudah untuk menyerapkan nilai murni adalah dengan menyatakan atau meneguhkan nilai yang berkenaan kepada murid. Misalnya, ketika beraktiviti dalam kumpulan seorang murid menunjukkan toleransi (seperti menarik diri) demi kepentingan kumpulannya. Antara ulasan yang dapat diberikan oleh guru kepada kelas pada masa yang sesuai (seperti selepas pembentangan oleh kumpulan itu) ialah menyatakan situasi toleransi (subnilai kerjasama) murid itu dan meminta murid-murid lain mencontohi tindakannya. Jika berkesempatan hal ini dapat dikaitkan dengan situasi lain seperti ketika berkhidmat dalam angkatan tentera.

Satu cara lain yang lebih lazim untuk menerapkan nilai-nilai murni adalah dengan menggunakan bahan-bahan bacaan yang sarat dengan nilai murni. Antara bahan yang sesuai ialah peribahasa dan cerita teladan. Satu daripada aktiviti susulan selepas aktiviti bacaan ialah murid menyatakan atau mengulas nilai murni itu. Paling tidak, guru menyatakan pengajaran sesuatu cerita. Sebagai contoh, selepas menceritakan kisah “Gagak dengan Takar”, dinyatakan subnilai kerajinan, iaitu kecekalan dan daya usaha gagak membuahkan kejayaan atau dengan peribahasa “usaha tangga kejayaan.” Walau bagaimanapun, tentulah lebih baik lagi jika nilai itu dinyatakan oleh murid sendiri kepada kelas atau kumpulannya.

Sesungguhnya guru mempunyai peluang yang sangat banyak untuk menerapkan nilai murni semasa berinteraksi dengan murid di dalam bilik darjah. Sebenarnya, sistem bahasa itu sendiri mengutamakan nilai murni seperti kesantunan berbahasa. Ketika mengajarkan bahan yang mengandungi maklumat pula, kemahiran murid untuk menyampaikan maklumat itu perlu dititikberatkan. Pendeknya hampir kesemua aktiviti di dalam bilik darjah dapat dimanipulasi untuk menerapkan nilai murni sama ada dengan cara meminta murid menjadikan perkara baik sebagai teladan atau meminta mereka menjadikan perkara buruk sebagai sempadan. Yang penting guru mesti menyedari akan kewujudan nilai itu, menyerlahkannya kepada kelas dan memberikan peneguhan kepada murid untuk mengamalkan nilai itu. Pendek kata, penerapan nilai murni mudah dan memang sentiasa dapat dilaksanakan.

25 Julai 2009

Kaedah Fonik Versi Nik Eliani dan Othman

Siri Kaedah Pengajaran Bacaan
1. Membaca: Satu Renungan
2. Tahap Kefahaman Bacaan
3. Konsep Kesediaan Membaca
4. Pengajaran Kemahiran Mengeja: Konsep Ejaan
5. Kaedah Pengajaran Bacaan Asas: Kaedah Abjad
6. Tinjauan Mudah Kaedah Pengajaran Bacaan Permulaan
7. Kaedah Gabungan Bunyi-Kata: Bicara Permulaan
8. Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK): Versi Asal
9. Kaedah Yong (Kaedah Cepat Membaca)
10. Kaedah Campuran-Cerakinan PPK

Kaedah Fonik Versi Nik Eliani atau Kaedah Bacalah Anakku ialah kaedah bacaan asas. Guru prasekolah, pemulihan khas dan KIA2M perlu menguasai kaedah ini. Terpulanglah pada mereka sama ada hendak memilih kaedah ini atau kaedah yang lain. Yang penting, dengan menguasai kaedah ini mereka mempunyai lebih banyak pilihan untuk mencelikhurufkan kumpulan sasaran mereka.

Semua pelajar institut pendidikan guru (IPG) pula perlu mengetahui kaedah ini. Sebabnya, semua pelajar IPG dimestikan mengikuti kursus Literasi Bahasa Melayu. Satu tajuk penting dalam kursus itu ialah “Bengkel Asas Membaca Kaedah Fonik”.

Kelompok lain yang perlu menguasai kaedah ini ialah pelajar IPG dan institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) yang mengikuti program Bahasa Melayu Sekolah Rendah. Mereka akan menjadi guru prasekolah, guru Bahasa Melayu atau guru pemulihan apabila selesai menjalani latihan di IPG atau di IPTA.

Bahan untuk melaksanakan kaedah ini mudah diperoleh di pasaran. Bahan utamanya ialah Buku Panduan Siri Cepat Membaca Bacalah Anakku karangan Nik Eliani Nik Nawi dan Othman Ahamad. Ada juga bahan sokongan seperti kaset dan cakera padat video. Bahan sokongan terbaharu ialah Lagu Fonik Bacalah Anakku: Abu Ada Ayam yang diusahakan oleh Nik Eliani.

Nik Eliani dan Othman mendakwa Siri Cepat Membaca, Bacalah Anakku sudah terbukti berjaya mencelikhurufkan kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun, murid Tahun 1 dan murid pemulihan. Bukti itu tidak terdapat dalam buku yang berkenaan. Namun, seorang rakan penulis yang pernah menyertai bengkel kendalian Nik Eliani akur dengan keistimewaan kaedah ini.

Buku ini disusun dengan baik dan sistematik berdasarkan sistem fonetik. Buku ini juga mengambil kira kaedah pembelajaran yang berkesan dan sesuai dengan tahap perkembangan psikologi dan psikomotor kanak-kanak.

Nota pada 20 April 2011
Oleh sebab sambutan pengunjung kurang menggalakkan, catatan ini terhenti di sini.

23 Julai 2009

Kaedah Campuran-Cerakinan PPK

Siri Kaedah Pengajaran Bacaan Asas
Membaca: Satu Renungan
Konsep Kesediaan Membaca
Pengajaran Kemahiran Mengeja: Konsep Ejaan
Kaedah Pengajaran Bacaan Asas: Kaedah Abjad
Tinjauan Mudah Kaedah Pengajaran Bacaan Permulaan
Kaedah Gabungan Bunyi-Kata: Bicara Permulaan
Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK): Versi Asal
Kaedah Yong (Kaedah Cepat Membaca)

Nama kaedah ini dalam Buku Panduan Am Kurikulum Baru Sekolah Rendah terbitan tahun 1981 dan Buku Panduan Khas Bahasa Malaysia Tahun 1, cetakan ketiga tahun 1987 ialah “Pendekatan A”. Pihak yang mengetengahkan kaedah ini ialah Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) atau Bahagian Pembangunan Kurikulum, iaitu nama baharu PPK mulai tahun 2008. Menurut PPK, “Pendekatan A” ialah kaedah campuran yang memberatkan cerakinan. Oleh itu, kita dapat menamakan kaedah ini sebagai Kaedah Campuran-Cerakinan PPK.

Susunan kemahiran pengajaran bacaan asas dalam Buku Panduan Khas Tahun 1 terbitan tahun 1982 berdasarkan kaedah ini. Guru sekolah rendah mengajarkan bacaan asas berpandukan Buku Panduan Khas Tahun 1 itu. Hal ini bermakna Kaedah Campuran-Cerakinan ini merupakan kaedah yang penting pada tahun 1980-an. Namun, menurut Profesor Dr. Isahak Haron, penggunaan Kaedah Campuran-Cerakinan ini tidak bertahan lama. Guru sekolah rendah kembali menggunakan Kaedah Abjad, iaitu kaedah yang sudah sebati dengan diri mereka.

Berdasarkan ciri dan huraiannya, Kaedah Campuran-Cerakinan PPK dapat dianggap sebagai variasi Kaedah Seluruh Perkataan. Kaedah ini dikatakan sesuai untuk mengajarkan bacaan asas bahasa Inggeris. Ada pendapat mengatakan kaedah ini kurang sesuai untuk mengajarkan bacaan asas bahasa Melayu. Yang jelas kaedah ini pernah digunakan untuk mengajarkan bacaan asas bahasa Melayu. Oleh hal demikian, guru yang mengajarkan bacaan asas bahasa Melayu perlu mengetahui kaedah ini. Hal ini dikatakan demikian kerana pengetahuan itu berguna untuk berhujah bagi menerima atau menolak penggunaan sesuatu kaedah di bilik darjah.

Penggunaan kaedah ini bermula dengan aktiviti prabacaan atau kesediaan membaca. Guru meningkatkan kesediaan murid untuk belajar melalui aktiviti fizikal yang melibatkan pendengaran dan penglihatan. Selepas itu barulah guru mendedahkan perkataan atau ayat yang mudah kepada murid.

Pengelolaan contoh kaedah ini adalah seperti yang di bawah. Pengelolaan contoh ini bermula dengan perkataan.

1. Guru menunjukkan gambar baju dan meminta murid menyebut nama benda dalam gambar itu. (Pandang-sebut benda dalam gambar.) Kemudian guru berbual dengan murid tentang baju. (Aktiviti lisan.)

2. Guru menunjukkan kad perkataan baju dan meminta murid menyebut “baju”. (Pandang-sebut seluruh perkataan.)

3. Guru menggandingkan kad perkataan "baju" dengan gambar baju. Murid menyebut perkataan “baju”. (Pandang-sebut seluruh perkataan.)

4. Guru mengenyahkan kad gambar daripada pandangan murid. Kini tinggal kad perkataan "baju" sahaja. Guru meminta murid menyebut (“membaca”) seluruh perkataan pada kad perkataan itu. (Pandang-sebut seluruh perkataan.) Proses memandang dan menyebut perkataan baju ini boleh dilakukan secara latih tubi hingga murid berjaya (mengecam dan) menyebut perkataan “baju” setiap kali guru menunjukkan kad perkataan baju itu. Kemudian proses ini diulang untuk perkataan-perkataan yang lain seperti “buku” dan “batu”.

5. Seterusnya, guru hanya menunjukkan kad perkataan "baju", "buku" dan "batu" satu persatu. Murid “membaca” perkataan pada kad itu. (Pandang-sebut seluruh perkataan.) Guru boleh menggunakan teknik latih tubi yang bervariasi. Contohnya, murid mengangkat dan menayangkan kata perkataan “baju” apabila guru menyebut “baju”. Contoh lain, murid mencari kad perkataan "baju" di dalam kotak dan menayangkannya kepada kelas apabila guru menyebut “baju”.

6. Aktiviti seterusnya berfokus pada suku kata. Guru menunjukkan suku kata "ba" dan murid menyebutnya. Kemudian guru menunjukkan suku kata "ju" dan murid menyebutnya. (Pandang-sebut suku kata.) Teknik latih tubi yang bervariasi boleh digunakan untuk aktiviti ini.

7. Seterusnya, guru menggandingkan kad suku kata "ba" dengan "ju" pada kad perkataan "baju". Guru meminta murid meneliti persamaan kad suku kata dengan suku kata pada kad perkataan. Kemudian guru meminta murid menyebut perkataan "ba"-"ju". (Pandang-sebut suku kata.)

8. Kemudian, dengan pantas guru mengenyahkan kad perkataan "baju", mencantumkan kad suku kata "ba"-"ju" dan meminta murid membacanya. (Pandang-sebut suku kata.) Beberapa proses yang berkaitan dengan suku kata ini boleh diulang untuk perkataan lain.

9. Langkah seterusnya ialah guru menunjukkan kad huruf "b"-"a"-"j"-"u". Murid menyebut bunyi huruf berdasarkan sebutan guru: /b/ - /a/ - /j/ - /u/ (beh – a – jeh – u). Guru menggandingkan kad huruf "b"-"a" dan murid menyebut "ba". Guru menggandingkan "j"-"u" dan murid menyebut "ju". Sebagai peneguhan, akhirnya murid menyebut perkataan "baju" berdasarkan kad suku kata atau kad perkataan. Teknik latih tubi yang bervariasi hendaklah dimanfaatkan dalam proses ini.

Urutan kaedah ini seperti yang terdapat dalam Buku Panduan Khas Bahasa Malaysia Tahun 1, cetakan ketiga tahun 1987 pula adalah seperti yang di bawah. Urutan ini dapat dianggap variasi pengelolaan contoh di atas. Urutan ini bermula dengan ayat.

Kaedah Campuran-Cerakinan PPK



Ciri-ciri pendekatan ini adalah seperti yang berikut:

1. Sebutan yang betul diperdengarkan semasa aktiviti lisan dan bahan yang dibaca itu mesti difahami oleh murid.
2. Seluruh perkataan diperkenalkan dahulu agar murid dapat mengaitkan lambang (perkataan) itu dengan konsep.
3. Pada peringkat tertentu, pengecaman bentuk dititikberatkan dengan menggunakan teknik suku kata dan teknik huruf/bunyi.
4. Bahan bacaan diperingkatkan berdasarkan kerumitan grafik, iaitu yang mudah didahulukan.
5. Perkataan yang digunakan ialah perkataan yang objeknya dapat dilihat oleh murid di sekeliling mereka.
6. Aktiviti pengukuhan bacaan diadakan dengan menggunakan perkataan-perkataan yang hampir sama dengan perkataan-perkataan yang telah dipelajari.

Susunan bahan bacaan pendekatan ini ialah mendahulukan bahan yang senang dan diikuti bahan yang susah, atau secara umumnya berdasarkan kesukaran. Kesukaran bahan bacaan itu dilihat dari sudut bentuk grafik huruf, struktur perkataan, bunyi huruf, sebutan perkataan secara keseluruhan, dan maknanya. Dari segi struktur perkataan, susunan yang dicadangkan oleh Buku Panduan Khas Bahasa Malaysia Tahun 1 adalah seperti yang berikut:

1. V-KV seperti api dan ibu
2. KV-KV seperti buku dan baju
3. V-KVK seperti ikan dan ayam
4. KV-KVK seperti makan dan bulan
5. KVK-KV seperti pintu dan lampu
6. KVK-KVK seperti sampah dan tanduk
7. KV-KV-KV seperti kelapa dan kerusi
8. KV-KV dan KV-KVK yang menggunakan ng, ny, kh, sy dan gh seperti nganga, nyanyi, dan Khamis
9. VK-KVK seperti intan, empat, dan untung
10. Berimbuhan: berlari, melukis, membaca, menganga
11. Vokal berganding dan diftong: main, kain, laut, taat, buih, amboi

Kaedah Yong (Kaedah Cepat Membaca)

Kaedah ini dinamakan juga Kaedah Cepat Membaca dan disebarluaskan melalui buku Cerdik Membaca 1-3 (2001). Kaedah ini menekankan pembacaan terus dengan membunyikan suku kata yang dicam melalui penyebutan huruf. Kaedah ini digunakan Puan Maimunah Arifin untuk mengajar murid tahun satu dan murid-murid pemulihan di sebuah sekolah di Pahang dan dikatakan telah berjaya menghasilkan murid-murid yang menguasai kemahiran membaca dengan cepat.

Ciri-cirinya adalah seperti yang berikut:

1. Huruf besar dan huruf kecil diperkenalkan kepada murid secara serentak. Hal ini membolehkan murid mengenal fungsi huruf besar secara langsung sejak awak lagi.

2. Kemudian, murid diperkenalkan kepada nama huruf-huruf vokal dan bunyinya. Pendidik perlu menekankan perbezaan antara nama huruf dengan bunyinya. Pendidik juga perlu menerangkan kepada murid cara pengeluaran bunyi huruf-huruf yang berkenaan ilmu fonetik. Urutan bahan: Aa, Ii, Oo, Uu, Ee pepet, Ee taling.

3. Murid diberitahu bahawa huruf-huruf konsonan tidak mempunyai bunyi. Cara penyebutan huruf-huruf konsonan juga dijelaskan kepada murid. Pendedahan kepada huruf konsonan berdasarkan urutan: Bb, Pp, Mm, Nn, Ll, Dd, Tt, Rr, Ss, Zz, Kk, Cc, Jj, Gg, Hh, Yy, Ww, Qq, Ff, Vv ng, ny. Nota: huruf x dan konsonan rangkap kh dan sy tidak terdapat dalam buku.

4. Kaedah ini membahagikan huruf kepada tiga kelompok penyebutan, iaitu yang penyebutannya

(a) jelas memperlihatkan kedudukan dan bentuk bibir
(b) jelas memperlihatkan kedudukan dan bentuk lidah
(c) hanya dapat dikesan melalui rasa kerana alat artikulator yang terlibat ialah bahagian dalam mulut

5. Langkah yang berikutnya ialah pembacaan suku kata yang seragam vokalnya, iaitu ba, ca, da, fa, ga, ha, ja, ka, la, ma, na, pa, qa, ra, sa, ta, va, wa, ya, dan za yang dipaparkan pada carta suku kata.

6. Langkah yang berikutnya ialah murid didedahkan dengan perkataan V-KV seperti ada dan ela, dan KV-KV seperti baca, rata, kata, masa, bara, saya dan saga. Perkataan disertai gambar membantu pemahaman mereka. Pola yang berikutnya ialah KV-KV-KV seperti bahasa, dan KV-KV-KV-KV seperti manakala dan lama-lama.

7. Seterusnya murid didedahkan dengan rangkai kata seperti daya saya, jala Rama dan mata Nana. Hal ini diikuti dengan aktiviti membaca ayat tunggal seperti "Zana bawa kaya”, “Nama saya Kamala”, dan “Bapa bala ada jala”.

8. Proses yang sama dilakukan untuk vokal i, u, e pepet, o, dan e taling. Latihan berkaitan dengan perkataan, rangkai kata dan ayat mengandungi vokal-vokal yang telah dipelajari sebelumnya.

9. Aktiviti berikutnya ialah membaca ayat.

10. Tanda baca didedahkan secara langsung. Hal ini bertujuan mengekalkan minat murid untuk terus membaca.

11. Suku kata tertutup didedahkan dalam langkah seterusnya. Penegasan diberikan kepada vokal berganding seperti dalam perkataan “buah”. Perkataan ini mengandungi dua suku kata, iaitu bu dan ah. Apabila dua bunyi suku kata ini dibaca, bunyi itu dijadikan satu bunyi dan dalam satu nafas.

12. Peneguhan dilakukan dengan menjawab soalan dalam buku Kaedah Cepat Membaca: Cerdik Membaca 3.

13. Dalam buku, dua warna sahaja digunakan, iaitu hitam untuk suku kata pertama atau praakhir dan merah untuk suku kata kedua dan suku kata akhir. (lada, ada, Uda, mata; bahasa, cahaya, manakala; api, isi, uli, sisi, kiri, sini; kita, bila, sari, jika; daripada, ibu, itu, tipu, rugi, budaya, beku, kepala, tenaga, nona, lori, desa)

Berdasarkan penerangan di atas, dapat dirumuskan bahawa kaedah ini bersifat binaan (dari unit kecil kepada unit besar), mengandungi ciri-ciri kaedah fonetik dan dengan beberapa ciri yang tersendiri. Ringkasannya: huruf konsonan → suku kata → rangkai kata → perkataan g ayat.