Perkuliahan itu berlaku pada tahun lapan puluhan. Memang saya sudah menggunakan perisian pemprosesan perkataan Word Star pada pertengahan tahun lapan puluhan. Memang ada kemungkinan saya pernah menulis nota tentang PTS. Hal yang pasti, jikalau pun nota itu ada, nota itu sudah lupus bersama-sama cakera liut.
Pedoman Bahasa: | Semua | MIAR | DBP | DB | PB | DS | KNB | JPEG || Kesantunan | Salam || Jawi || Pautan: | Scribd | Cikgu | Jawi | IPGMKgu | KBBI | Munsyi || Profil Penulis | Hak Cipta || Puisi: Sambung-menyambung | Hanya Sulap | Kebun Kecil Bahasa || Kembali ke Laman Terkini || Pautan Istimewa: | Soal Jawab Bahasa | Pendidik | Persatuan Pendidik BM |
11 September 2012
Lompat Kelas Selepas PTS
Perkuliahan itu berlaku pada tahun lapan puluhan. Memang saya sudah menggunakan perisian pemprosesan perkataan Word Star pada pertengahan tahun lapan puluhan. Memang ada kemungkinan saya pernah menulis nota tentang PTS. Hal yang pasti, jikalau pun nota itu ada, nota itu sudah lupus bersama-sama cakera liut.
10 Mei 2009
Item Objektif Aneka Pilihan (10)
Oleh Mohd Isa bin Abd Razak
Masukan terdahulu
(1) Mukadimah dan Istilah Penting
(2) Jenis Item 1: Pernyataan Tidak Lengkap
(3) Jenis Item 2: Soalan Langsung
(4) Jenis Item 3: Negatif
(5) Jenis Item 4: Klasifikasi
(6) Jenis Item 5: Cantuman
(7) Jenis Item 6: Pilihan Terbaik
(8) Jenis Item 7: Mengesan Kesilapan
(9) Jenis Item 8: Kloz
1. Item
Secara am, setiap item aneka pilihan mesti
(a) sah, iaitu mematuhi Jadual Penentuan Ujian (JPU)*
(b) tepat, iaitu bertumpu pada satu perkara khusus
(c) bebas, iaitu tidak bergantung pada item lain
(d) tersendiri, iaitu tidak menjadi clue kepada item lain dalam kertas ujian yang sama
(e) jelas, iaitu maksudnya jelas (tidak taksa)
(f) berpedoman, iaitu ada arahan yang jelas untuk set item
(g) mudah difahami, iaitu aspek teknik dan bahasa terpelihara
(h) berkecuali, iaitu tidak berat sebelah dari sudut suku kaum, wilayah dan sebagainya
*Belakangan ini JPU dinamakan pula Jadual Spesifikasi Ujian (JSU). Mungkin esok atau lusa muncul pula nama lain.
2. Stem
Setiap stem perlu
(a) mengandungi tugasan khusus dan jelas
(b) mengutamakan pernyataan positif
(c) mengelakkan pernyataan dua penanda negatif
(d) terdiri daripada soalan langsung atau pernyataan tidak lengkap
(e) mengandungi maklumat yang mencukupi untuk calon membuat pilihan
Sebaik-baiknya, jumlah perkataan yang terdapat dalam stem lebih banyak daripada perkataan-perkataan dalam pilihan. Jikalau diperlukan garisan bagi pernyataan yang belum selesai, jangan letakkan garis itu pada pangkal tugasan. Jika terdapat lebih daripada satu garisan seperti pada soalan kloz, panjang tiap-tiap garisan itu hendaklah sama. Rajah dan jadual hendaklah dinamakan seperti Rajah 1 dan Jadual I .
3. Pilihan
Pilihan hendaklah
(a) menggunakan huruf besar agar berbeza daripada nombor item
(b) disusun dalam bentuk senarai menegak, bukan mendatar
(c) bersistem: disusun mengikut panjang pendek, abjad atau besar kecil nombor
(d) homogen atau setara iaitu sama jenis, sama maksud dan yang seumpamanya
(e) selaras dengan stem jika stem ialah pernyataan tidak lengkap
(f) padat: perkataan, frasa atau klausa yang sama tidak diulang; sebaliknya dimasukkan ke dalam stem
(g) mempunyai hanya satu petunjuk
(h) menggunakan huruf dan tanda baca yang sesuai dengan sifat stem
(i) mempunyai perbezaan yang minimum
4. Pengganggu
Pengganggu hendaklah
(a) berkaitan dengan stem
(b) munasabah, bukan percuma
(c) dapat menarik perhatian calon yang tidak mengetahui
(d) hampir-hampir betul tetapi bukan jawapan yang tepat
5. Petunjuk
Petunjuk semestinya
(a) hanya satu dan sememangnya jawapan yang dikehendaki
(b) tidak terlalu bertentangan dengan pengganggu
(c) tidak mengandungi clue
(d) tidak bersifat percuma
Penaipan soalan juga perlu diberi perhatian iaitu terdapat jarak yang sesuai di antara arahan dengan item, stem dengan pilihan, rangsangan dengan tugasan, cantuman dengan pilihan, dan baris dengan baris.
Pembinaan soalan objektif aneka pilihan memang rumit tetapi pemarkahannya cukup mudah dan mengambil masa yang pendek sahaja. Pemarkahannya bertambah pantas lagi dengan menggunakan komputer. Analisis item juga boleh dilakukan dengan komputer. Banyak lagi kelebihannya jika ditinjau dari sudut lain seperti kebolehan mengukur butiran khusus, kesahan dan kebolehpercayaan.
Elok juga kita fikirkan peruntukan kewangan dengan keperluan teknik. Keperluan teknik penggubalan item objektif memerlukan peruntukan kewangan yang besar. Misalnya pilihan perlu sejajar dari atas ke bawah dan saiz huruf perlu sesuai dengan peringkat ujian. Maka sukarlah kita menjimatkan kertas atau belanja mencetaknya. Mengorbankan teknik boleh mengurangkan kebolehpercayaan dan mutunya. Marilah kita fikirkan hal ini bersama-sama.
Perkongsian maklumat terkini atau khusus dari sudut pandangan sesuatu institusi sangat dihargai.
Item Objektif Aneka Pilihan (9)
Oleh Mohd Isa bin Abd Razak
Masukan terdahulu
(1) Mukadimah dan Istilah Penting
(2) Jenis Item 1: Pernyataan Tidak Lengkap
(3) Jenis Item 2: Soalan Langsung
(4) Jenis Item 3: Negatif
(5) Jenis Item 4: Klasifikasi
(6) Jenis Item 5: Cantuman
(7) Jenis Item 6: Pilihan Terbaik
(8) Jenis Item 7: Mengesan Kesilapan
Kloz ialah set item yang menggunakan petikan karangan. Perenggan pertama dan terakhir petikan itu diterakan sepenuhnya. Perkataan terpilih dalam perenggan yang lain digugurkan dan diganti dengan tempat kosong yang diberi nombor soalan. Pengguguran perkataan terpilih itu dilakukan secara tekal selepas di antara lima hingga enam patah perkataan. Elakkan pengguguran perkataan pada awal ayat. Untuk mencapai maksud ini, sebaik-baiknya petikan berkenaan digubal khas.
Item jenis ini adalah set item. Item jenis ini dimulakan dengan arahan, diikuti dengan petikan berkenaan dan siri pilihan. Arahan dan petikan berkenaan dapat dianggap stem bagi siri pilihan.
Arahan
Dalam petikan di bawah terdapat 20 tempat kosong. Seterusnya terdapat kumpulan perkataan untuk dipilih bagi menjawab soalan 19 hingga 23.
Pilih perkataan yang paling sesuai untuk diisikan dalam tempat kosong dengan menandakan huruf pilihan pada kertas saranan jawapan yang disediakan.
Pengaruh kebudayaan kuning ternyata sudah meresap ke dasar jiwa anak-anak muda kita.
Keruntuhan akhlak mereka menjadi bahan pertuturan orang di mana-mana sahaja. Perhubungan sosial yang begitu bebas ____ 19 ____ belia dan beliawanis kita lupa ____ 20 ____ dan mereka sanggup mengetepikan ajaran ____ 21 ____. Pendidikan sekular yang begitu liberal ____ 22 ____ hubungan anak dengan ibu bapa kelihatan ____ 23____ kawan sahaja. Perlakuan tersebut bertentangan dengan nilai masyarakat kita. Dari sudut agama pula, perlakuan terkutuk itu merupakan dosa besar.
19.
(A) melahirkan
(B) membuatkan
(C) memunculkan
(D) menyebabkan
20.
(A) diri
(B) haluan
(C) daratan
(D) pegangan
21.
(A) tradisi
(B) sosial
(C) siasah
(D) agama
22.
(A) menjadikan
(B) menjalinkan
(C) mewujudkan
(D) menghasilkan
23.
(A) mirip
(B) persis
(C) seperti
(D) iras-iras
Semua garisan pada tempat kosong itu sama panjangnya. Aspek teknik sama dengan item yang lain.
Item Objektif Aneka Pilihan (8)
Oleh Mohd Isa bin Abd Razak
Masukan terdahulu
(1) Mukadimah dan Istilah Penting
(2) Jenis Item 1: Pernyataan Tidak Lengkap
(3) Jenis Item 2: Soalan Langsung
(4) Jenis Item 3: Negatif
(5) Jenis Item 4: Klasifikasi
(6) Jenis Item 5: Cantuman
(7) Jenis Item 6: Pilihan Terbaik
Calon dikehendaki mengenal pasti kesilapan yang terdapat dalam bahan rangsangan. Bahan rangsangan itu sebaik-baiknya dipecahkan kepada unit tertentu sesuai dengan jumlah pilihan dan ditanda dengan huruf roman.
18. Ayat yang berikut mengandungi satu kesilapan.
Buku yang tebal itu dibaca oleh saya kelmarin.
---I------------- II-------------- III----------------IV
Bahagian manakah yang silap?
(A) I
(B) II
(C) III
(D) IV
18A. Buku yang tebal itu dibaca oleh saya kelmarin.
Ayat di atas mengandungi satu kesilapan.
Kesilapan itu terletak pada frasa
(A) buku
(B) kelmarin
(C) yang tebal itu
(D) dibaca oleh saya
Kedua-dua item contoh ini mengandungi dua rangsangan. Setiap rangsangan berada dalam perenggan tersendiri. Bentuk item 18 lebih jelas variasinya. Bentuk 18A pula sama dengan item pernyataan tidak lengkap dan negatif. Aspek teknikalnya sama dengan item yang lain.
Item Objektif Aneka Pilihan (7)
Oleh Mohd Isa bin Abd Razak
Masukan terdahulu
(1) Mukadimah dan Istilah Penting
(2) Jenis Item 1: Pernyataan Tidak Lengkap
(3) Jenis Item 2: Soalan Langsung
(4) Jenis Item 3: Negatif
(5) Jenis Item 4: Klasifikasi
(6) Jenis Item 5: Cantuman
Semua pilihan yang terdapat pada item ini berkemungkinan menjadi petunjuk. Calon dikehendaki memilih pilihan terbaik. Dalam tugasan terdapat perkataan seperti terbaik, paling, utama dan sebagainya. Item ini sangat sesuai digunakan untuk membentuk soalan beraras tinggi. Item ini boleh bertumpang tindih dengan jenis item yang lain.
15. Tujuan utama Puan Ameera membuat kraf tangan adalah untuk
(A) membantu ayahnya
(B) menambah kemahirannya
(C) menarik pelancong dari luar negara
(D) membekalkannya ke gerai karyaneka
16. Antara buah-buahan yang berikut, apakah buah yang paling banyak mengandungi vitamin C?
(A) Jambu batu
(B) Pisang emas
(C) Belimbing besi
(D) Durian tembaga
17. "Layar Terkembang akan diingat sebagai lambang generasi baharu di Indonesia yang diingini oleh Sutan Takdir. Maria yang dapat dianggap mewakili golongan tradisional dimatikan supaya generasi baharu yang diwakili oleh Tuti dan Yusuf boleh terus hidup bahagia."
Pilih hujah terbaik untuk membuktikan petikan di atas ialah wacana.
(A) Tiada kesalahan bahasa dalam petikan itu.
(B) Petikan itu mengandungi andaian dan asersi.
(C) Idea disatukan melalui penanda wacana tertentu.
(D) Hubungan ayat pertama dengan ayat kedua cukup utuh.
Aspek teknikal sama dengan jenis item yang lain.
Item Objektif Aneka Pilihan (6)
Oleh Mohd Isa bin Abd Razak
Masukan terdahulu
(1) Mukadimah dan Istilah Penting
(2) Jenis Item 1: Pernyataan Tidak Lengkap
(3) Jenis Item 2: Soalan Langsung
(4) Jenis Item 3: Negatif
(5) Jenis Item 4: Klasifikasi
Item ini mengandungi dua bahagian iaitu bahagian cantuman dan bahagian pilihan. Bahagian cantuman ditandai dengan huruf roman besar. Lazimnya jumlah unsur dalam bahagian cantuman sama dengan jumlah pilihan. Jikalau terdapat empat pilihan (A, B, C, D), maka terdapat pula empat unsur (I, II, III, V). Kelaziman ini dapat dilihat dalam kertas peperiksaan UPSR dan PMR. Kelaziman ini menjadi amalan BPG sejak beberapa tahun dahulu. Namun, mutakhir ini BPG menetapkan lima unsur cantuman bagi empat pilihan.
Bahagian cantuman ditulis ke kanan sedikit daripada bahagian pilihan. Perkataan "sahaja" ditulis di hujung pilihan jika sebahagian sahaja daripada huruf roman itu digunakan dalam pilihan. Apabila hanya sebahagian sahaja daripada huruf roman itu digunakan dalam pilihan, pastikan semua huruf digunakan sekurang-kurangnya dua kali dan sesuatu huruf tidak muncul dalam semua pilihan. Dengan kata lain elakkan pilihan semua betul dan semua salah.
Item ini sangat sesuai digunakan untuk membentuk soalan beraras tinggi. Item ini boleh bertumpang tindih dengan jenis item yang lain. Item ini wajar diletakkan di bahagian tengah dan akhir sesuatu kertas ujian.
13. Pilih ayat yang betul menggunakan perkataan kering.
-----I. Perigi itu sudah kering.
-----II. Ibu menggoreng ikan kering.
-----III. Liew kering pergi ke sekolah.
-----IV. Robert makan nasi itu hingga kering.
(A) I dan II sahaja
(B) II dan III sahaja
(C) III dan IV sahaja
(D) I, II dan IV sahaja
Item ini ialah item cantuman pilihan. Dalam pilihan, unsur I digunakan dua kali, unsur II digunakan tiga kali, unsur III digunakan dua kali dan unsur IV digunakan dua kali. Tegasnya, setiap unsur disebarkan seimbang sebagai pilihan.
14. Susunan yang baik bagi ayat-ayat di bawah ialah
-----I. Mentari mulai terbenam.
-----II. Pemuda itu masih termenung di tebing Sungai Pegalan.
-----III. Ayam dan itik sudah masuk ke reban.
-----IV. Penduduk Kampung Feri mulai memenuhi surau.
-----V. Bencana banjir lumpur beberapa tahun lalu kembali dalam ingatannya.
(A) I, II, III, V, IV
(B) I, III, IV, II, V
(C) II, V, III, I, IV
(D) IV, II, V, I, III
Item ini ialah item cantuman susunan terbaik. Semua unsur terdapat dalam setiap pilihan, cuma susunannya berbeza. Contoh ini mempunyai lima unsur.
Item Objektif Aneka Pilihan (5)
Oleh Mohd Isa bin Abd Razak
Masukan terdahulu
(1) Mukadimah dan Istilah Penting
(2) Jenis Item 1: Pernyataan Tidak Lengkap
(3) Jenis Item 2: Soalan Langsung
(4) Jenis Item 3: Negatif
Item ini berupa set item. Set dimulakan dengan arahan, diikuti dengan pilihan dan tugasan. Sesuatu set mengandungi tiga hingga lima soalan sahaja.
Arahan
Soalan 10 hingga soalan 12 berkaitan dengan perkataan-perkataan di bawah. Perkataan-perkataan ini boleh digunakan sekali, lebih daripada sekali, atau tidak digunakan langsung.
(A) cerpen
(B) telapak
(C) ibu bapa
(D) sorak-sorai
10. Contoh akronim ialah ___________.
11. Contoh penggandaan rentak ialah ___________.
12. Sisipan terdapat pada perkataan ___________.
Aspek teknikal sama dengan jenis item yang lain.
Item Objektif Aneka Pilihan (4)
Oleh Mohd Isa bin Abd Razak
Masukan terdahulu
(1) Mukadimah dan Istilah Penting
(2) Jenis Item 1: Pernyataan Tidak Lengkap
(3) Jenis Item 2: Soalan Langsung
Item ini memerlukan calon mencari fakta yang bertentangan. Tugasan dinyatakan dengan menggunakan penanda negatif seperti perkataan bukan, tidak, kecuali dan sebagainya. Item negatif ini boleh digunakan dengan item pernyataan tidak lengkap, soalan langsung dan jenis item yang lain. Jumlah item jenis ini dalam sesuatu ujian perlu dihadkan antara 10 hingga 15 peratus sahaja kerana calon mudah keliru jika terdapat sedikit sahaja kesilapan teknik seperti wujudnya dua penanda negatif. Stem “Perkataan di bawah tidak mengandungi diftong kecuali” mengandungi dua penanda negatif, iaitu tidak dan kecuali. Item yang mengandungi dua penanda negatif terlarang wujud dalam apa-apa ujian.
7. Perkataan yang tidak mengandungi diftong ialah
(A) taut
(B) atau
(C) aurat
(D) taubat
7A. Perkataan yang mana tidak mengandungi diftong?
(A) Taut
(B) Atau
(C) Aurat
(D) Taubat
8. Imbuhan ter- dalam ayat di bawah boleh digantikan dengan imbuhan di- kecuali
(A) Burung itu sudah terjerat.
(B) Topinya tersangkut di dinding.
(C) Firdaus tersungkur ke dalam parit.
(D) Nama Rosli tercatat dalam buku ini.
9. Pernyataan mana yang bukan ciri wacana?
(A) Melebihi batas ayat
(B) Satuan bahasa yang lengkap
(C) Berasaskan analisis bahasa pertuturan
(D) Memperlihatkan perkembangan fikiran
Penanda negatif ditonjolkan dengan huruf hitam tebal. Cara lain menonjolkan penanda negatif adalah dengan mengadakan garisan di bawah perkataan itu. Penggunaan huruf condong (italik) tidak digalakkan kerana huruf condong mungkin mempunyai fungsi tersendiri dalam bahagian rangsangan dan pilihan. Penggunaan huruf besar seperti TIDAK patut dielakkan kerana menyalahi pedoman penggunaan huruf dalam bahasa kita. Penggunaan huruf besar yang dihitamtebalkan seperti ini TIDAK lebih-lebih lagi perlu dielakkan dan kelihatan berlebih-lebihan.
Aspek teknikal seperti pilihan bermula dengan huruf kecil atau huruf besar, ada atau tiada noktah selepas pilihan dan susunan pilihan secara menurun daripada pendek kepada panjang sama seperti item pernyataan tidak lengkap dan soalan langsung.
09 Mei 2009
Item Objektif Aneka Pilihan (3)
Oleh Mohd Isa bin Abd Razak
Masukan terdahulu
(1) Mukadimah dan Istilah Penting
(2) Jenis Item 1: Pernyataan Tidak Lengkap
Tugasan boleh berupa ayat tanya atau ayat perintah. Pilihan dimulakan dengan huruf besar. Pilihan yang berupa kata, frasa, angka atau senarai tidak diakhiri dengan noktah. Pilihan berupa ayat lengkap diakhiri dengan noktah. Bagaimanapun, item yang berupa ayat lengkap dalam sesuatu ujian perlu dihadkan agar masa calon tidak terbuang untuk meneliti pilihan yang berkenaan kecuali maksud soalan memang memerlukannya. Item ini juga boleh digunakan bersama-sama item yang lain seperti item negatif, cantuman dan jawapan terbaik.
5. Apakah makanan kegemaran itik?
(A) Cacing dan ikan
(B) Bijirin dan rumput
(C) Serangga dan siput
(D) Ketam dan kerang-kerangan
Tugasan ialah ayat tanya. Pilihan dimulakan dengan huruf besar dan tidak diakhiri dengan noktah. Pilihan homogen dari segi struktur ungkapan.
5A. Cikgu Asri bercadang menggunakan penyoalan aras tinggi semasa melaksanakan pengajaran mikro.
Kombinasi mana yang sesuai digunakan oleh Cikgu Asri?
(A) Mencungkil pengetahuan, penjelasan pelajar, persetujuan guru
(B) Pendedahan rangsangan, penjelasan pelajar, persetujuan guru
(C) Penjelasan pelajar, pendedahan rangsangan, persetujuan guru
(D) Mencungkil pengetahuan, penjelasan pelajar, pendedahan rangsangan
Item ini ada rangsangan. Tugasannya ialah ayat tanya. Pilihan dimulakan dengan huruf besar dan tidak diakhiri dengan noktah. Item ini homogen dari segi jumlah unsur, iaitu setiap pilihan mempunyai tiga unsur.
6. Pilih ayat yang menggunakan tanda baca yang betul.
(A) “Bapa saya, mempunyai dusun yang luas” kata Hayati.
(B) “Bapa saya mempunyai dusun yang luas, kata Hayati.”
(C) “Bapa saya mempunyai dusun yang luas”, kata Hayati.
(D) “Bapa saya mempunyai dusun yang luas,” kata Hayati.
Tugasan ialah ayat perintah jenis suruhan. Calon dikehendaki (disuruh, diperintahkan) memilih petunjuk. Hati-hati apabila mengedit tanda baca item begini kerana kesilapan kecil memungkinkan petunjuk menjadi lebih daripada satu.
6A. Di bawah ini ialah sebahagian daripada huruf Jawi.
Pilih kumpulan huruf yang betul susunannya berdasarkan Daftar Kata Bahasa Melayu: Rumi-Sebutan-Jawi (2008).
(A) ﺍ ﺏ ﺖ ﺙ
(B) ﺝ ﺡ ﺥ ﭺ
(C) ﺺ ﻄ ﺾ ﻈ
(D) ﻞ ﻢ ﻦ ﻭ
Item ini ada rangsangan. Tugasannya ialah ayat perintah.Item Objektif Aneka Pilihan (2)
Oleh Mohd Isa bin Abd Razak
Masukan terdahulu
(1) Mukadimah dan Istilah Penting
Tugasan item ini berupa ayat yang tidak lengkap. Jika ada rangsangan, bahagian rangsangan itu dipisahkan daripada bahagian tugasan. Pilihan terpendek didahulukan, pilihan terpanjang dikemudiankan. Pilihan perlu homogen, iaitu terdiri daripada bahagian atau unsur yang sama jenisnya. Pilihan dimulakan dengan huruf kecil dan tidak diakhiri dengan noktah. Jika pilihan ialah ayat lengkap, huruf pertamanya dimulakan dengan huruf besar dan pilihan itu diakhiri dengan noktah. Tempat kosong boleh disediakan pada pertengahan atau akhir ayat. Jangan adakan tempat kosong pada awal ayat kerana hal itu boleh mengelirukan calon. Panjang ruangan tempat kosong itu hendaklah seragam iaitu 10 hingga 12 spasi. Item ini boleh digunakan bersama-sama dengan item yang lain seperti jenis negatif dan cantuman.
1. Ibu membeli sekaki
(A) topi
(B) tudung
(C) payung
(D) songkok
Pilihan item ini homogen. Topi, tudung, payung, songkok – semuanya digunakan di kepala. Jikalau “topi” digantikan dengan “meja”, pilihan sudah tidak homogen. Pilihan ini dimulakan dengan huruf kecil dan tidak diakhiri dengan noktah. Pilihan terpendek di atas dan pilihan terpanjang di bawah sekali.
2. Pendapatan tambahan Lui Lai Nam pada tahun 20008 ialah
(A) RM23 098.00
(B) RM23 898.00
(C) RM24 098.00
(D) RM24 198.00
Unit terkecil didahulukan. Angka dua digit, tiga digit dan empat digit ditulis rapat. Bagi angka lima digit dan seterusnya, jarakkan setiap kelompok tiga digit yang terakhir (Gaya Dewan Edisi Ketiga, 1995:90).
3. Siti menjerit ____________ hatinya apabila seorang pemuda melarikan begnya.
(A) sekuat-kuat
(B) sepuas-puas
(C) sehabis-habis
(D) semahu-mahu
Tempat kosong di tengah ayat. Pilihan dikatakan homogen kerana semuanya kata ganda. Pilihan dimulakan dengan huruf kecil. Susunan pilihan ialah secara menurun: yang terpendek di atas dan yang terpanjang di bawah.
4. Saya membaca buku itu minggu lalu.
Ayat pasif bagi ayat di atas ialah
(A) Buku itu saya baca minggu lalu.
(B) Buku itu saya dibaca minggu lalu.
(C) Buku itu dibaca saya minggu lalu.
(D) Buku itu dibaca oleh saya minggu lalu.
Pilihan diakhiri dengan noktah kerana pilihan ini ialah ayat lengkap. Susunan pilihan ialah secara menurun: yang terpendek di atas dan yang terpanjang di bawah.
Item Objektif Aneka Pilihan (1)
Oleh Mohd Isa bin Abd Razak
Panduan ini ditulis pada tahun 1988. Semakan dilakukan pada tahun 1996, 2004, 2007 dan 2009 ini. Secara umumnya kandungan esei ini bermanfaat untuk guru dan guru pelatih. Jikalau ada perkara yang tidak sesuai dengan perkembangan semasa, silalah ubah suai.
Terdapat beberapa jenis soalan objektif. Satu daripadanya ialah soalan aneka pilihan. Kertas ini menggalurkan jenis dan teknik penggubalan soalan objektif aneka pilihan sahaja. Perkara yang dibincangkan ialah istilah penting, jenis item, dan panduan untuk menggubal item yang berkenaan. Sistem penomboran item dan penulisan huruf pilihan dalam kertas ini berdasarkan amalan Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kementerian Pelajaran Malaysia. Sistem ini perlu diubah suai untuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Sekolah Menengah (PMR).
Di bawah ini ialah satu item objektif aneka pilihan.
Itu kucing saya. ← Rangsangan
--------------------------------------------Stem
Ayat ini ialah ayat ← Tugasan
(A) tunggal ← Petunjuk
(B) terbitan ← Pengganggu
-------------------------------------------Pilihan
(C) majmuk ← Pengganggu
(D) bercampur ← Pengganggu
Item contoh ini mematuhi peraturan BPG. Untuk menjimatkan ruang, jarak bagi contoh-contoh seterusnya diubah suai. Huruf (A), (B), (C), (D) ditulis dalam tanda kurung dan dihitamtebalkan. Pengguguran tanda kurung akan memungkinkan huruf itu termasuk dalam pilihan.
BPG mengesyorkan jarak di antara baris dalam item ialah satu jarak; jarak di antara stem dengan pilihan, rangsangan dengan tugasan, dan satu pilihan dengan pilihan ialah dua jarak; jarak di antara item dengan item ialah tiga jarak. Satu jarak ialah satu “enter”.
- Item ialah keseluruhan soalan yang terdiri daripada dua bahagian iaitu stem atau pokok soalan dan pilihan.
- Stem ialah bahagian item yang membolehkan calon membuat pilihan. Stem boleh mengandungi rangsangan dan tugasan, atau tugasan sahaja.
- Rangsangan ialah bahagian awal sesuatu stem yang berfungsi sebagai pengenal, punca atau penggerak. Rangsangan boleh terdiri daripada kata, frasa, ayat, perenggan, jadual, graf, gambar, rajah dan sebagainya. Dalam item contoh di atas, rangsangan ialah ayat “Itu kucing saya”. Rangsangan tidak semestinya wujud dalam semua stem.
- Tugasan ialah bahagian yang meminta calon melakukan pilihan. Tugasan dapat berbentuk soalan atau pernyataan. Dalam item contoh di atas, tugasan berupa pernyataan tidak lengkap iaitu “Ayat ini ialah ayat”. Tugasan ini boleh diubah menjadi ayat tanya: “Apakah jenis ayat ini?”
- Pilihan ialah bahagian item yang terdiri daripada petunjuk dan pengganggu. Biasanya, sesuatu item mempunyai empat atau lima pilihan yang disusun dalam bentuk senarai menegak. Penyusunan dalam bentuk senarai melintang hendaklah dielakkan.
- Petunjuk ialah jawapan bagi item berkenaan. Petunjuk hendaklah tepat dan dipersetujui oleh pakar bidang itu.
- Pengganggu ialah kemungkinan jawapan. Calon yang tidak mengetahui atau kurang mengetahui masalah yang dikemukakan dalam stem mungkin memilih satu daripada pengganggu itu. Sesuatu yang bertentangan atau tidak berkaitan dengan tugasan dianggap pengganggu yang tidak berkesan atau tidak berfungsi langsung. Dalam kes calon dikehendaki memilih jawapan terbaik, semua pengganggu betul – sudah tentu petunjuklah yang paling tepat atau terbaik.
- Set item ialah dua atau lebih daripada dua item yang dikemukakan berdasarkan satu petikan, graf, gambar rajah dan sebagainya. Set item memerlukan arahan khusus untuk set yang berkenaan.
07 Mei 2009
Panduan Membina Item Subjektif
2. Kesahan dan kebolehpercayaan. Utamakan item sambutan terbatas, diikuti dengan item sambutan diperluas. Dengan cara ini kesahan kandungan dapat ditingkatkan kerana kita dapat mengemukakan banyak sampelan. Kebolehpercayaan juga dapat ditingkatkan kerana jenis item yang kita utamakan itu mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi.
Item sambutan bebas hanya digunakan apabila jenis item yang lain tidak berupaya mengukur sesuatu hasil pembelajaran seperti kemahiran menulis karangan tertentu dalam mata pelajaran bahasa.
3. Arahan. Sediakan arahan yang lengkap, jelas, sistematik dan tekal pada halaman luar dan halaman dalam kertas ujian. Arahan hendaklah termasuk peruntukan masa dan bidang kandungan pembelajaran yang dinilai.
4. Masa. Peruntukan masa hendaklah sesuai dengan kesukaran item dan panjang sambutan yang diharapkan daripada calon. Peruntukan masa hendaklah ditulis dalam arahan. Bagi item tertentu, peruntukan masa boleh dinyatakan dalam tugasan item berkenaan.
5. Kesesuaian. Kesukaran item, tajuk esei dan panjang jawapan hendaklah sesuai dengan kematangan calon dan jenis ujian.
6. Pilihan. Menyediakan pilihan bagi soalan esei bermakna mengurangkan keesahan dan menggalakkan tabiat belajar yang bertentangan dengan tujuan pendidikan. Oleh itu, sebaik-baiknya calon diminta menjawab kesemua soalan. Jika pilihan masih dianggap perlu, pastikan kesukaran setiap item pilihan itu sama agar tumpuan calon kepada item-item tertentu dapat dikurangkan.
7. Soalan baharu. Binalah item yang asli, baharu dan mencabar sesuai dengan perubahan kurikulum. Soalan yang terdapat dalam buku teks mungkin sudah pernah dijawab oleh calon. Petikan yang terdapat dalam buku teks juga tidak wajar digunakan.
8. Tugasan jelas. Bataskan isu atau bidang yang hendak diuji. Dahulukan perkataan perlakuan seperti labelkan, senaraikan dan sebagainya agar pemikiran calon terhala kepada sambutan yang dikehendaki. Nyatakan syarat seperti bentuk penulisan dan panjang jawapan. Nyatakan juga perkara lain yang dapat memandu calon seperti peruntukan markah bagi sesuatu item atau unit item. Bergantung pada jenis ujian dan jenis item, peruntukan masa dan kriteria penilaian boleh dinyatakan pada item itu.
9. Bahasa terpelihara. Gunakan bahasa yang betul dan mudah difahami, termasuk penggunaan tanda baca, huruf besar dan huruf kecil. Perkataan, frasa dan ayat yang digunakan mesti jelas maksudnya. Perkataan yang berkonotasi, taksa dan sebagainya hendaklah dielakkan. Utamakan pernyataan positif dan ayat aktif. Gunakan singkatan jika perkataan penuh singkatan itu sudah dinyatakan sebelumnya.
10. Teknik. Adakan jarak yang sesuai di antara rangsangan dengan tugasan dan item dengan pecahan item. Pecahan item disusun ke kiri sedikit. Penomboran tekal berdasarkan sesuatu sistem seperti
1. ……….
(a) ……….
(i) ……….
Sediakan ruang yang sesuai dan mencukupi untuk petikan, jadual dan sebagainya. Petikan, jadual dan seumpamanya itu eloklah dinamakan seperti Petikan A dan Jadual 1. Jika disediakan tempat untuk calon menjawab, jenis tempat itu hendaklah sesuai dengan sambutan yang diperlukan. Garisan boleh diletakkan di tengah, di hujung atau di bawah tugasan. Jika terdapat lebih daripada satu garisan seperti dalam soalan kloz, panjang setiap garisan hendaklah sama.
Penaipan soalan juga perlu diberi perhatian. Adakan jarak yang sesuai di antara arahan dengan item, sesuatu item dengan item yang lain, rangsangan dengan tugasan dan baris dengan baris. Sesuatu item perlu diletakkan pada halaman yang sama.
11. Skema pemarkahan dan penyelarasan. Sediakan skema pemarkahan sebelum calon menjawab soalan. Skema pemarkahan boleh membantu kelancaran proses menggubal soalan. Jika pemeriksa bagi sesuatu ujian lebih daripada seorang, adakan penyelarasan pemeriksaan. Penyelarasan pemeriksaan boleh meningkatkan kebolehpercayaan pemarkahan.
Teknik Penggubalan Soalan Subjektif
Esei ini ditulis pada tahun 1988 dan disemak semula pada tahun 1996, 2004, 2007 dan 2009 ini. Secara umumnya kandungan esei ini bermanfaat untuk guru dan guru pelatih. Jikalau ada perkara yang tidak sesuai dengan perkembangan semasa, silalah ubah suai.
Perkataan “subjektif” dalam tajuk esei ini bermaksud sambutan (jawapan) calon berbagai-bagai. Berdasarkan kepelbagaian jawapan calon itu, terdapat tiga jenis soalan subjektif iaitu sambutan bebas, sambutan diperluas dan sambutan terbatas. Kertas ini membincangkan bentuk dan teknik penggubalannya sahaja.
Institusi atau lembaga peperiksaan mempunyai peraturan khusus untuk menggubal soalan. Esei ini tidak bertujuan menggantikan peraturan itu. Anggaplah esei ini sebagai panduan umum, pencetus idea atau bahan perbandingan. Tegasnya, untuk menggubal item yang sebenar, rujukilah panduan rasmi keluaran institusi atau lembaga yang berkenaan.
Beberapa Istilah
Item. Item ialah keseluruhan sesuatu soalan, termasuk arahannya. Di bawah ini ialah satu item subjektif contoh.
Antara tujuan pengajaran karangan terkawal ialah membiasakan murid menyusun ayat mengikut urutan logik dan sebab akibat.
Jelaskan langkah penyampaian yang akan anda laksanakan bagi mengajarkan satu jenis karangan terkawal pilihan anda sendiri yang anda fikir dapat mencapai tujuan di atas. Tuliskan penjelasan anda itu dalam empat langkah penyampaian sahaja.
Soalan Subjektif. Soalan subjektif ialah item yang memerlukan calon memberikan jawapan mereka sendiri. Jawapan itu mungkin sepatah perkataan, satu frasa, satu ayat, beberapa ayat atau satu karangan. Selain itu, grafik seperti peta, jadual dan lakaran dapat juga menjadi jawapan. Jelasnya, jawapan calon berbagai-bagai. Kepelbagaian itu dinamakan subjektif. Maka soalannya pun dinamakan soalan subjektif.
Kepelbagaian atau subjektiviti dapat juga dilihat dari segi pemarkahan. Markah yang diberi oleh seseorang pemeriksa dengan pemeriksa yang lain terhadap jawapan yang sama lazimnya berbeza. Malah markah yang diberi oleh seseorang pemeriksa terhadap sesuatu jawapan mungkin juga berbeza apabila jawapan itu diperiksanya pada kali kedua.
Soalan Esei. Soalan esei ialah item subjektif yang memerlukan calon memberikan jawapan seperenggan atau lebih. Jawapan itu lazimnya ialah wacana seperti karangan, surat kiriman dan kad undangan. Jawapan itu mungkin juga gubahan fikiran bukan bahasa seperti rajah, lukisan dan peta.
Rangsangan. Rangsangan ialah bahagian yang berfungsi sebagai pengenal, punca atau penggerak dalam sesuatu item. Rangsangan dapat terdiri daripada kata, frasa, ayat, perenggan, jadual dan sebagainya. Rangsangan tidak semestinya wujud dalam semua item.
Tugasan. Tugasan ialah bahagian item yang meminta calon melaksanakan sambutan yang dikehendaki. Inti tugasan ialah kandungan subjek yang hendak diuji. Tugasan soalan subjektif mungkin mengandungi syarat dan kriteria.
Kandungan. Kandungan ialah perkara yang hendak diuji. Kadungan dapat berupa bidang, isi, tajuk, kemahiran, subtajuk atau subkemahiran. Biasanya kandungan yang diuji itu berupa sampelan sesuatu bidang. Kandungan yang diuji dalam contoh item di atas ialah kebolehan calon merancang pengajaran satu jenis karangan terkawal. Perkara yang diuji ialah sampelan tajuk “Teknik Mengajarkan Kemahiran Mengarang” yang terdapat dalam sukatan pelajaran.
Perlakuan. Perlakuan ialah perkataan seperti “tulis”, “senaraikan” dan “labelkan”. Perkataan itu terdapat dalam tugasan. Perkataan itu membantu calon untuk melaksanakan tugasan. Perkataan itu juga membantu pemeriksa menentukan aras kesukaran. Perkataan “jelaskan” dalam contoh item ialah perlakuan.
Syarat. Syarat ialah pernyataan dalam tugasan yang bertujuan mengawal sambutan. Kesemua perkataan selepas perkataan “jelaskan” dalam item contoh ialah syarat bagi perlakuan. Kriteria sebahagian daripada syarat.
Kriteria. Kriteria ialah batasan atau peringkat kejayaan perlakuan. Frasa “empat langkah penyampaian” yang terdapat dalam contoh item ialah kriteria.
Sambutan. Sambutan ialah sebarang gerak balas calon terhadap tugasan.
Jenis Soalan Subjektif
Secara umum terdapat tiga jenis soalan subjektif iaitu soalan sambutan bebas (esei panjang,) soalan sambutan diperluas (esei pendek) dan soalan sambutan terbatas. Soalan sambutan terbatas pula dapat dibahagikan kepada lima, iaitu item ringkas, item berangsangan, item berstruktur, item berpandu, dan kloz.
Soalan Sambutan Bebas
Calon diberi tajuk untuk dibincangkan. Mereka bebas memilih dan menggunakan isi daripada pengetahuan mereka sendiri. Mereka bebas menyusun dan mengolah isi itu dalam bentuk penulisan yang ditetapkan. Bentuk penulisan itu biasanya ialah karangan penghuraian (deskriptif). Kemungkinan jawapan yang mereka tulis itu asli adalah tinggi. Oleh itu, dalam skema pemarkahan keaslian sambutan dijadikan satu daripada kriteria penilaian selain isi dan persembahan.
Item ini sesuai untuk menguji semua aras kognitif terutama aras kognitif peringkat tinggi iaitu analisis, sintesis dan penilaian. Item ini sesuai untuk mengukur kebolehan calon memilih, mengolah dan mempersembahkan fakta atau idea. Item ini kerap digunakan untuk menguji aspek penulisan mata pelajaran bahasa.
Kebolehpercayaan pemarkahan item ini rendah. Oleh itu penggubalan skema pemarkahan perlu dilakukan dengan teliti. Penyelarasan skema dan penyederhanaan pemeriksaan perlu diadakan. Urusan ini dijangka memakan masa. Jadi, jumlah item ini dalam sesuatu set soalan hendaklah dihadkan.
Contoh
Arahan
Pilih satu tajuk karangan di bawah. Kemudian tulis satu karangan bagi tajuk yang kamu pilih itu. Panjang karangan kamu hendaklah tidak kurang daripada 120 patah perkataan.
1. Cita-cita Saya
2. Faedah Membaca
3. Pentingnya Berjimat Cermat
4. Sukan Tahunan di Sekolah Saya
5. Kebaikan Menyertai Pasukan Beruniform
Soalan Sambutan Diperluas
Calon dikehendaki memperluas atau mengembangkan sesuatu idea atau fakta yang dikemukakan. Bentuk jawapan bergantung pada maksud perlakuan yang terdapat dalam tugasan seperti terangkan, bincangkan, bezakan, nilaikan dan sebagainya.
Sambutan item ini juga bercorak perbincangan. Banyak kemungkinan jawapan akan diperoleh daripada calon. Tegasnya, calon dibenarkan mengemukakan fakta atau idea mereka sendiri. Oleh itu, hampir sama dengan item sambutan bebas, item ini juga sesuai digunakan untuk membentuk ujian beraras tinggi. Item ini sesuai digunakan untuk mengukur kebolehan calon mengumpul, memilih (menilai), mengorganisasi (menyusun, mengolah, mengait-ngaitkan) fakta atau idea.
Kandungan yang diuji oleh item ini agak kecil berbanding dengan kandungan yang diuji oleh item sambutan bebas, tetapi tidaklah sekhusus kandungan yang diuji oleh item sambutan terbatas. Kebolehpercayaan pemarkahan item ini agak rendah.
Contoh 1
Amir Hamzah dan Kharil Anwar memberi sumbangan yang bererti dalam sejarah perkembangan kesusasteraan Indonesia.
Bincangkan sumbangan mereka.
....................................................................... (20 markah)
Contoh 2
Sekolah tempat anda menjalani praktikum akan mengadakan majlis perpisahan untuk guru-guru pelatih. Selaku ketua kumpulan, ada diminta berucap di dalam majlis itu.
Tuliskan ucapan itu.
....................................................................... (20 markah)
Contoh 3
"Murid-murid mesti pandai menggunakan masa kerana masa itu seperti emas," kata Guru Besar Sekolah Rendah Kebangsaan Nyiru.
Jelaskan pandangan kamu sendiri terhadap kata-kata Guru Besar Sekolah Rendah Kebangsaan Nyiru itu.
....................................................................... (20 markah)
Contoh 4
Siapakah tokoh sukan negara kita yang kamu minati?
Beri sebab-sebab kamu meminatinya.
....................................................................... (20 markah)
Soalan Sambutan Terbatas
Isi dan bentuk sambutan dibataskan. Batasan itu, dinamakan syarat dan kriteria, dinyatakan dalam item, terutama dalam tugasan. Batasan itu diwujudkan untuk mengurangkan kepelbagaian sambutan. Kebolehpercayaan pemarkahan item ini tinggi.
Sambutan Terbatas Ringkas
Keringkasan sambutan relatif: mungkin satu patah perkataan satu frasa, satu ayat, beberapa ayat, satu lakaran dan sebagainya. Bentuknya menghampiri bentuk item objektif. Item di bawah cuma mempunyai satu jawapan sahaja. Oleh itu item-item ia boleh juga dinamakan soalan separa objektif. Bagaimanapun, kesemua contoh di bawah bukanlah item objektif aneka pilihan kerana pilihan tidak disediakan.
Tugasan item ini mungkin meminta calon mengisi tempat kosong, membuat ayat, melukis, melabelkan, menyelesaikan masalah matematik dan sebagainya. Ruangan jawapan disediakan.
Contoh 1
Mamalia yang boleh terbang ialah ________________
Contoh 2
Berikan satu contoh huruf vokal.
____________________________________________
Contoh 3
Buat ayat tanya bagi ayat-ayat penyata di bawah.
(a) Ayat penyata: Hobi saya ialah memancing ikan.
Ayat tanya: ___________________________________
(b) Ayat penyata: Bapa Hadi bertugas di Sandakan.
Ayat tanya: ___________________________________
Contoh 4
Lukis seekor ikan dalam kotak yang disediakan. Labelkan bahagian-bahagian anggota ikan yang kamu lukis itu.
Contoh 5
Nyatakan empat ciri vokal.
(a) _________________________________________
(b) _________________________________________
(c) _________________________________________
(d) _________________________________________
..................................................................... (4 markah)
Rangsangan boleh berupa karangan (teks), petikan, situasi, jadual, gambar dan sebagainya. Kewujudannya mesti. Tanpanya, soalan tidak dapat dibina. Soalan itu mungkin juga dinamakan soalan konteks, soalan kefahaman, interpretif dan sebagainya. Item ini menyerupai item sambutan terbatas berstruktur.
Contoh Rangsangan Situasi
Kamu tinggal di rumah bersama seorang adik yang berumur tiga tahun. Sedang kamu membaca buku, tiba-tiba adik kamu menangis. Tangannya luka dan berdarah kerana dia bermain pisau.
1. Apakah yang patut kamu lakukan sebaik sahaja melihat kejadian itu?
_____________________________________________
_____________________________________________
_____________________________________________
.................................................................... (6 markah)
2. Di manakah pisau patut disimpan?
_____________________________________________
.................................................................... (2 markah)
3. Ada beberapa benda lain yang berbahaya kepada adik kamu.
Tuliskan empat benda yang berbahaya itu.
(a) ________________________________
(b) ________________________________
(c) ________________________________
(d) ________________________________
.................................................................... (4 markah)
Contoh Rangsangan Gambar
Gambar lima alat pertukangan kayu.
Gambar 1: Alat-alat Pertukangan Kayu
1. Namakan alat-alat pertukangan kayu di atas.
(a) ________________________________
(b) ________________________________
(c) ________________________________
(d) ________________________________
(e) ________________________________
................................................................ (5 markah)
2. Apakah kegunaan alat nombor 1?
______________________________________________
.......................................................................... (2 markah)
3. Mengapakah kamu menggunakan alat nombor 5 dengan nombor 6 untuk menebuk lubang?
______________________________________________
.......................................................................... (2 markah)
Contoh Rangsangan Teks (Cerita)
Arahan
Baca cerita ini. Kemudian jawab soalan-soalan yang mengikutinya.
Pada zaman dahulu, ada seorang lelaki bernama Pak Beliling. Dia bekerja sebagai tukang lawak di istana raja. Suatu hari, ketika Pak Beliling pulang ke rumahnya, dia terlihat dua orang budak terhendap-hendap di bawah rumahnya.
Pak Beliling segera menaiki tangga. Dia masuk senyap-senyap ke dalam rumahnya. Dia terus termenung seketika. Dia mencari akal untuk mengenakan budak-budak nakal itu. Akhirnya dia mendapat akal.
Pada masa itu, isteri Pak Beliling berada di dapur. Pak Beliling melaung kepada isterinya dengan suara cemas, "Mak Siti! Mak Siti! Tadi orang-orang di warung heboh pasal pencuri. Kata mereka, sekarang ini banyak pencuri!"
"Betulkah begitu?" tanya Mak Siti dari dapur.
"Betul!" balas Pak Beliling. "Sebab itu, baik kita masukkan emas kita ke dalam peti. Kemudian kita sembunyikan di dalam kolam di kebun sayur kita itu," kata Pak Beliling lagi.
"Eloklah itu!" balas Mak Siti.
Pak Beliling terus mengisi beberapa ketul batu ke dalam sebuah peti. Kemudian dia cepat-cepat menuju ke kebunnya. Peti itu dicampakkan ke dalam kolam. Dia sengaja meletakkan pencedok air dekat tebing kolam itu.
Pada hari berikutnya, pagi-pagi lagi Pak Beliling pergi ke kebun sayurnya. Dia tersenyum melihat hampir kesemua tanah kebunnya itu basah. Perkara ini berlaku selama seminggu. Seminggu pulalah Pak Beliling tidak perlu menyiram sayur-sayurannya.
1. Di manakah Pak Beliling bekerja?
...................................................................... (1 markah)
2. Apakah tujuan Pak Beliling melaung kepada isterinya?
...................................................................... (2 markah)
3. Mengapakah Pak Beliling tidak perlu menyiram sayur-sayurannya selama seminggu?
...................................................................... (3 markah)
4. Berikan tajuk yang sesuai bagi cerita di atas.
...................................................................... (1 markah)
5. Nyatakan dua pengajaran yang kamu peroleh daripada cerita di atas.
...................................................................... (3 markah)
Sambutan Terbatas Berstruktur
Item ini boleh dikatakan sama dengan item terbatas berangsangan kerana item memerlukan rangsangan. Berdasarkan rangsangan itulah dibentuk soalan-soalan yang memerlukan calon mengenal pasti atau menganalisis struktur rangsangan yang diberi itu.
Contoh Rangsangan Data
Arahan
Teliti carta di bawah. Kemudian jawab soalan-soalan yang mengikutinya.
Carta hujan dan suhu seminggu.
Carta 2: Hujan dan Suhu Seminggu
1. Suhu pada hari Sabtu ialah _______ .
...................................................................... (1 markah)
2. Catatan suhu yang paling tinggi ialah pada hari _______.
...................................................................... (1 markah)
3. Pada hari Khamis, hujan turun sebanyak ________ sentimeter.
...................................................................... (1 markah)
4. Hujan tidak turun pada hari ____________________.
...................................................................... (1 markah)
5. Berapa sentimeter hujan turun sepanjang minggu ini?
____________________________________________
...................................................................... (2 markah)
Sambutan Terbatas Berpandu
Item ini hampir sama dengan item sambutan terbatas berangsangan dan item sambutan terbatas berstruktur dari segi kemestian wujudnya rangsangan. Bagaimanapun, perbezaan item ini dengan kedua-dua item itu sangat jelas. Item terbatas berpandu ini memerlukan calon mengemukakan jawapan berpandukan bahan rangsangan sedangkan kedua-dua item terbatas tadi memerlukan calon menjawab siri soalan. Item terbatas berpandu ini amat sesuai digunakan untuk menguji kemahiran penulisan.
Contoh 1
Kamu seorang ketua murid. Kamu dikehendaki berucap dalam Majlis Perpisahan Murid-murid Tahun Enam. Guru besar dan guru-guru akan hadir dalam majlis tersebut.
Tulis ucapan kamu dengan menggunakan lebih kurang 80 patah perkataan sahaja. Kamu boleh menggunakan perkataan atau rangkai kata di bawah ini.
terima kasih, dikenang, mengajar, jasa guru, minta maaf, bagi pihak murid-murid tahun enam, jangan seperti kacang lupakan kulit, di sekolah yang baru nanti
Contoh 2
Gambar 1, 2, 3, 4.
Lihat gambar-gambar di atas. Tulis sebuah cerita tentang gambar itu mengikut susunannya. Cerita kamu mesti ditulis berperenggan. Gunakan lebih kurang 80 patah perkataan sahaja.
Contoh 3
Arahan
Penuhkan tempat-tempat kosong ini dengan ayat-ayat yang sesuai.
Yunus: Assalamualaikum, cikgu. Saya Yunus, pemberita majalah Persatuan Bahasa Melayu sekolah kita.
Cikgu Ros: Waalaikumussalam. Silakan duduk, Yunus. Guru penasihat persatuan kamu ada memberitahu saya maksud kedatangan kamu ini.
Yunus: Terima kasih, cikgu. Boleh saya mulakan soalan pertama?
Cikgu Ros: Silakan, Yunus.
Yunus: ___________________________________________
Cikgu Ros: Saya akan bersara sebulan lagi.
Yunus: ___________________________________________
Cikgu Ros: Saya berkhidmat sebagai guru selama 28 tahun.
Yunus: ___________________________________________
Cikgu Ros: Saya mula berkhidmat di sekolah ini pada awal tahun 1978.
Yunus: __________________________________________
Cikgu Ros: Sebelum ini, saya pernah berkhidmat di Johor dan di Sabah.
Yunus: ___________________________________________
Cikgu Ros: Selepas bersara nanti, saya bercadang membuka perniagaan kecil.
Yunus: __________________________________________
Cikgu Ros: Saya ingin membuka sebuah kedai buku di bandar ini.
Yunus: __________________________________________
Cikgu Ros: Saya memilih perniagaan buku kerana saya ingin terus berdamping dengan buku dan dengan murid-murid.
Yunus: ___________________________________________
Cikgu Ros: Ya, di samping menguruskan kedai, saya akan terus bergiat dalam Pasukan Puteri Islam di daerah kita ini.
Yunus: Waktu rehat sudah tamat. Saya minta diri dahulu. Jika saya perlukan penerangan lanjut, esok saya akan bertemu dengan cikgu lagi. Terima kasih, cikgu.
Cikgu Ros: Terima kasih kembali, Yunus.
Kloz
Kloz ialah set item yang menggunakan petikan karangan. Bahagian awal dan akhir petikan itu diterakan sepenuhnya. Bahagian awal dan akhir yang diterakan sepenuhnya itu mungkin berupa frasa, ayat atau perenggan. Hal ini bergantung pada panjang petikan. Perkataan-perkataan terpilih dalam petikan itu digugurkan dan diganti dengan tempat kosong. Semua garisan pada tempat kosong itu sama panjangnya. Pengguguran perkataan terpilih itu dilakukan secara tekal selepas lima hingga tujuh patah perkataan. Pengguguran perkataan pada awal ayat tidak digalakkan kerana hal ini boleh mengganggu pemahaman calon. Untuk memudahkan tugas menggubal soalan, petikan itu perlu diubah suai atau dicipta satu wacana khas untuk tujuan sesuatu pengujian.
Teknik kloz sesuai digunakan untuk ujian kefahaman, tatabahasa dan kosa kata bagi mata pelajaran bahasa. Teknik ini berguna bagi menguji pengetahuan peristilahan bagi mata pelajaran tertentu seperti Sains dan Geografi. Teknik kloz ini juga sesuai dijadikan rangsangan item objektif.
Contoh
Arahan
Penuhkan tempat-tempat kosong di bawah ini dengan perkataan-perkataan yang sesuai. Tuliskan satu patah perkataan sahaja pada tiap-tiap tempat kosong itu.
Satu daripada permainan tradisional orang Melayu ialah permainan gasing. Mereka bermain gasing (1) __________ beratus-ratus tahun dahulu. Mereka mengadakan perlawanan gasing (2) __________ musim menuai padi. Mereka menjadikan permainan ini (3) __________ cara melepaskan penat lelah.
Mereka bermain (4) __________. Kadang-kadang pasukan dari kampung lain (5) __________ di suatu gelanggang. Gelanggang itu biasanya dibuat di tengah sawah (6) __________ pada masa itu tanah sawah kering dan (7) __________ sesuai dijadikan gelanggang permainan.
Biasanya, (8) __________ bermain, mereka mengadakan upacara memuja (9) __________ gasing. Upacara ini dilakukan oleh pawang pasukan (10) __________. Ini menunjukkan permainan itu ada kaitan dengan kepercayaan terhadap kuasa ghaib.
Tamat.
