10 Disember 2012

Penjodoh Bilangan untuk Rebung

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat dan Kamus Pelajar Edisi Kedua, rebung ialah anak buluh yang masih lembut. Ada peribahasa “melentur buluh biarlah waktu rebung” yang bermaksud mengajar anak biarlah ketika dia masih kecil. Berdasarkan takrif kamus dan sifat rebung yang dapat dilentur seperti yang digunakan dalam peribahasa, ketinggian rebung dapatlah dianggarkan dari sekaki hingga melebihi tinggi manusia. Walau bagaimanapun, ketinggian rebung yang dibuat sayur lazimnya antara enam inci hingga dua kaki.

Rebung yang dibuat sayur, juga yang sudah tidak sesuai disayur, ada batang, ada pucuk tirus dan ada daun kecil yang tirus juga di hujung kelopak. Kelopak ada miang dan membaluti batang. Sebahagian batang lembut yang berkelopak itulah yang dijadikan sayur sesudah dibuang kelopak dan bahagian yang keras.

Oleh sebab rebung ada batang, penjodoh bilangan yang sesuai untuk rebung ialah batang. Penggunaan penjodoh bilangan ini diterima oleh Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) Dewan Bahasa dan Pustaka. Sementelahan, rebung mentah yang belum dihiris atau diracik, yang lazim kita temukan di pasar tani, ada batang. Di pasar tani, kita boleh membeli sebatang, dua batang atau beberapa batang rebung buluh madu.

Walau bagaimanapun, dalam keadaan tertentu kita mungkin juga menggunakan ungkapan lain seperti sekerat rebung, sebelah rebung dan sehiris rebung. Ungkapan yang mungkin belum pernah kita gunakan ialah seketul rebung.

Ketiga saya masih kanak-kanak, saya kerap mengikut Mak Su Minah dan emak mencari rebung manis, iaitu rebung yang masih terbenam dalam tanah. Rebung manis yang pucuknya sudah kelihatan lebih kurang dua inci dari tanah dan tidak tertutup oleh daun kering, mudah dikesan. Rebung manis terbaik ialah rebung yang pucuknya baru menujah tanah tetapi belum melepasi paras tanah. Rebung terbaik ini sukar dikesan. Untuk memperoleh rebung terbaik itu, kami menggunakan parang panjang atau penggali.

Rebung manis belum ada batang, Bahagian pangkalnya besar. Jadi bentuknya mirip ketulan dan bukannya batang. Mak Su Minah berkata, “Kito dapet duo koto jo ha.” (Kita dapat dua ketul [rebung manis] sahaja ha.) Jadi, sedari kanak-kanak saya menggunakan penjodoh bilangan “ketul” untuk rebung manis.

Pada awal tahun lapan puluhan dan tahun sembilan puluhan, saya pencari rebung manis. Saya berasa sangat gembira apabila memperoleh seketul atau beberapa ketul rebung manis. Sebabnya, isteri saya peminat rebung manis. Dia pemilih. Dia tidak mahu membeli rebung yang sudah jelas ada batang yang dijual di tamu. Namun, apabila tiada rebung manis, saya ambil juga rebung yang tingginya antara enam inci hingga sekaki.
*******
Pak Ahmat mendapat beberapa ____________ rebung daripada rumpun buluh di dalam hutan itu.
(A) ruas
(B) ketul
(C) pucuk
(D) batang

Saya berasa susah hati apabila soalan ini dikemukakan kepada saya. Sebabnya, pada saya, tanpa konteks yang lebih jelas, pilihan (B) dan (D) berkemungkinan betul. Jikalau penggubal soalan tidak mampu menyediakan rangsangan yang lebih baik, jangan kemukakan soalan ini. Namun, jikalau ada gambar seperti gambar yang di atas, jawapan saya ialah (D).

Tiada ulasan: