Pedoman Bahasa: | Semua | MIAR | DBP | DB | PB | DS | KNB | JPEG || Kesantunan | Salam || Jawi || Pautan: | Scribd | Cikgu | Jawi | IPGMKgu | KBBI | Munsyi || Profil Penulis | Hak Cipta || Puisi: Sambung-menyambung | Hanya Sulap | Kebun Kecil Bahasa || Kembali ke Laman Terkini || Pautan Istimewa: | Soal Jawab Bahasa | Pendidik | Persatuan Pendidik BM |
27 Disember 2009
Salam Satu Malaysia dari Beberapa Sisi
04 September 2009
Akum Bukan Salam
1. Akum Bukan Salam
Cikgu Fazida menyatakan, akum bukan singkatan assalamualaikum. Menurutnya, akum ialah singkatan Ave Kokhavim U Mazzalot dalam bahasa Ibrani. Maksud ungkapan ini dan singkatannya ialah “hamba binatang dan orang-orang yang sesat”. Orang Yahudi menggunakan ungkapan ini sebagai gelaran untuk orang bukan Yahudi.
Jikalau kita berasa perkataan assalamualaikum itu panjang untuk digunakan dalam khidmat pesanan ringkas (SMS), gunakan perkataan salam sahaja dan bukannya akum.
2. Kirim Salam Assalamualaikum
Cikgu Fazida menyatakan, untuk berkirim salam, kita hendaklah menggunakan ungkapan “kirim salam assalamualaikum” dan bukannya “kirim salam sahaja”. Beliau mengingatkan kita agar jangan sekali-kali menggunakan ungkapan gurauan seperti “kirim salam maut”.
Ulasan
1. Perkara pertama sudah menjadi mesej e-grup sejak beberapa lama dahulu. Namun masih ada pengguna bahasa Melayu yang menggunakan perkataan akum dalam komunikasi e-mel, e-grup, blog dan Facebook. Oleh itu, mesej ini perlu kita sebar luaskan.
2. Ungkapan “kirim salam dengan ucapan assalamualaikum” menjadi amalan beberapa orang rakan saya. Sayangnya, saya belum membiasakan diri dengan amalan itu. Kini saya memikirkan perkara ini kembali.
Antara yang saya fikirkan ialah, ungkapan “kirim salam” bersifat umum dan dapat ditujukan kepada sesiapa sahaja tanpa mengira agama. Ungkapan “kirim salam dengan ucapan assalamualaikum” pula bersifat khusus dan perlu mematuhi panduan memberi dan menjawab salam berdasarkan agama Islam. Perkara ini ada saya sentuh dalam masukan “Ucapan Salam – Salam Berbasaan” dan “Ucapan Salam – Salam Keagamaan”.
Wallahuaklam.
10 Julai 2009
Ucapan Salam – Salam Keagamaan
(1) Ejaan Insya-Allah dan Lain-lain
(2) (a) Panduan Menulis E-Mel (b) Dahului e-mel dengan salam.
(3) Ucapan Salam – Panduan Pelita Bahasa
(4) Ucapan Salam – Ungkapan Popular di Internet
(5) Ucapan Salam – Salam Berbasaan
Kategori salam yang kedua ialah salam keagamaan, iaitu salam yang berlandaskan ajaran agama Islam. Pengucap dan penerimanya ialah penganut agama Islam sahaja.
Ada beberapa banyak ucapan salam contoh terakam dalam al-Quran. Antaranya adalah seperti yang di bawah:
- Allah mengucapkan bisalāmin (dengan selamat/salam) kepada Nabi Noh. (Surah Hud, ayat ke-48)
- Malaikat mengucapkan salamun‘alaikum (selamat atas kamu) kepada orang yang beriman. (Surah al-Ra‘d, ayat yang ke-24)
- Nabi Ibrahim mengucapkan salāmun (selamat) kepada ayahnya. (Surah Maryam ayat ke-47)
- Rasulullah SAW mengucapkan salamun‘alaikum (selamat atas kamu) atas kedatangan orang yang menyatakan iman. (Surah al-An‘am ayat yang ke-54)
Dua perkara penting dalam tatacara salam keagamaan ialah cara mengucapkannya dan cara menjawabnya. Susunan ucapan daripada yang baik kepada yang lebih baik ialah assalamualaikum, assalamualaikum warahmatullah dan assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Peraturan menjawabnya pula terdapat dalam Surah al-Nisa’, ayat yang ke-86, maksudnya, “Dan apabila kamu diberi penghormatan dengan suatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka jawablah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah (dengan cara yang sama).”
Hamka dalam Tafsir Al-Azhar menyatakan, apabila kita menerima ucapan assalamualaikum, maka balaslah dengan waalaikumussalam warahmatullah. Kalau kita menerima ucapan assalamualaikum warahmatullah, maka balaslah dengan ucapan waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Namun, berdasarkan firman Allah tadi, kita juga boleh membalas ucapan itu dengan ucapan yang sama. Misalnya, apabila seseorang mengucapkan assalamualaikum, boleh kita menjawabnya dengan waalaikumussalam sahaja.
Tatacara lengkap berkaitan dengan ucapan salam terdapat dalam beberapa sumber. Antara sumber yang dapat menjadi rujukan kita ialah tafsir al-Quran seperti Tafsir Al-Azhar dan koleksi hadis seperti Riadhus Shalihin. Di Internet, antara sumber yang dapat kita manfaatkan ialah Wikipedia Bahasa Melayu di bawah kata masukan “assalamualaikum”.
09 Julai 2009
Ucapan Salam – Salam Berbasaan
(1) Ejaan Insya-Allah dan Lain-lain
(2) (a) Panduan Menulis E-Mel (b) Dahului e-mel dengan salam.
(3) Ucapan Salam – Panduan Pelita Bahasa
(4) Ucapan Salam – Ungkapan Popular di Internet
Komunikasi di Internet ialah komunikasi biasa, iaitu tidak terlalu formal. Jadi, penggunaan perkataan salam dan 25 ungkapan ucapan salam yang popular di Internet itu termasuk dalam kategori umum. Hal ini dapat dipadankan dengan takrif kedua entri salam dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (KDEK), iaitu salam ialah pemberian atau pernyataan hormat. Kita boleh menamakan salam ini sebagai salam berbasaan, iaitu salam untuk bermanis mulut atau memperlihatkan sopan santun.
Semua pengguna bahasa Melayu tanpa mengira bangsa dan agama bebas menghulurkan dan menyambut salam berbasaan. Sebagai contoh, Tuan Haji Mat Junoh boleh mengucapkan salam sejahtera kepada Encik Lui Lai Nam, Dr. Govindasamy, Encik Peter Lajingah, Encik Hara Shintaro dan sebagainya. Puan Chong Mui Lan pula boleh mengucapkan salam hormat kepada Puan Hajah Siti Khadijah, Datuk Chua Kim Hing, Puan Vijayaletchumy, Puan Jovinia dan sebagainya. Penerima salam bebas untuk menjawab salam itu dengan ungkapan yang sama atau dengan cara yang lain seperti anggukan dan senyuman. Tegasnya, salam berbasaan tidak terikat dengan tatacara salam yang satu lagi, iaitu yang berasaskan agama Islam.
Dalam komunikasi lisan kita dapati pengguna bahasa Melayu tidak berminat mengucapkan salam dengan satu patah perkataan “salam” sahaja. Namun, dalam komunikasi bertulis, “salam” sahaja kerap kita temukan. Sebanyak hampir 40 juta perkataan “salam” yang tersebar di Internet membuktikan hal ini.
Ada pendapat mengatakan penggunaan perkataan “salam” sahaja dalam penulisan tidak wajar. Ketidakwajaran itu termasuklah apabila kita menulis e-mel dan mencatat ulasan dalam ruangan ulasan blog. Pendapat ini boleh kita abaikan bagi salam berbasaan, malah salam keagamaan juga. Insya-Allah, apabila ada kesempatan, hal ini akan dibincangkan.
08 Julai 2009
Ucapan Salam – Ungkapan Popular di Internet
Masukan yang berkaitan
(1) Ejaan Insya-Allah dan Lain-lain
(2) (a) Panduan Menulis E-Mel (b) Dahului e-mel dengan salam
(3) Ucapan Salam – Panduan Pelita Bahasa
Pandangan Puan Aziah ini memang wajar. Hal ini dikatakan demikian kerana banyak ucapan salam yang dapat menjadi pilihan kita. Hakikatnya, pengguna bahasa Melayu sudah pun melakukan pilihan. Carian dengan Google menunjukkan bahawa mereka begitu kreatif mencipta ungkapan untuk ucapan salam. Sebanyak 25 ungkapan yang kerap digunakan adalah seperti dalam senarai yang di bawah. Angka dalam tanda kurung ialah jumlah ungkapan itu yang dapat dikesan oleh Google.
1. salam sejahtera (1,020,000)
2. kirim salam (256,000)
3. salam hormat (242,000)
4. salam untuk semua (206,000)
5. salam damai (189,000)
6. salam sayang (126,000)
7. salam perjuangan (111,000)
8. salam manis (97,000)
9. salam Aidilfitri (92,000)
10. salam rindu (71,200)
11. salam cinta (62,400)
12. salam kasih (59,200)
13. salam perpisahan (47,600)
14. salam bahagia (47,400)
15. salam persaudaraan (46,400)
16. salam ceria (43,000)
17. salam mesra (40,400)
18. salam merdeka (23,900)
19. salam maaf (18,800)
20. salam untukmu (13,600)
21. salam takzim (9,940)
22. salam pertemuan (9,850)
23. salam kasih sayang (9,460)
24. salam muhibah (7,580)
25. salam ingatan (3,290)
Ungkapan yang paling popular ialah salam sejahtera. Kekerapan penggunaannya di Internet jauh mengatasi 24 ungkapan yang lain. Hal ini mungkin disebabkan oleh makna ungkapan ini yang tidak terlalu terikat dengan konteks. Dengan perkataan lain ungkapan salam sejahtera bersifat umum dan dapat digunakan dalam situasi yang pelbagai.
Namun demikian, carian dengan Google juga menunjukkan bahawa penggunaan perkataan “salam” dengan variasi ejaan “salaam” mengatasi penggunaan ungkapan salam sejahtera. Keputusan carian menunjukkan terdapat hampir 40 juta perkataan “salam” tersebar di Internet.
07 Julai 2009
Ucapan Salam - Panduan Pelita Bahasa
1. Salam sejahtera membawa maksud semoga aman, tenteram, senang atau makmur dan terpelihara daripada bencana dan kesusahan.
2. Salam bahagia pula membawa maksud semoga berbahagia, iaitu senang, aman, damai dan gembira.
3. Salam hormat pula digunakan untuk menunjukkan rasa hormat atau untuk menyatakan bahawa kita memandang tinggi terhadap orang yang diberi ucapan itu.
4. Salam muhibah pula membawa maksud bahawa kita menunjukkan rasa persahabatan dan kemesraan dan hubungan yang melambangkan kasih sayang.
Seterusnya Puan Aziah menyatakan, terpulanglah kepada individu untuk memilih ucapan salam yang sesuai, termasuk ketika mengendalikan majlis tertentu.