Memaparkan catatan dengan label Renungan/Refleksi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Renungan/Refleksi. Papar semua catatan

22 Jun 2009

Aktiviti Pemulihan Semasa Praktikum

Oleh Mohd Firdaus bin Haji Abd Salam
Institut Perguruan Keningau, Sabah

Dalam borang penilaian praktikum tidak terdapat penilaian aspek pemulihan. Ketidakjelasan ini dikhuatiri memberi implikasi terhadap pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Misalnya, aktiviti pemulihan mungkin kurang diberi penekanan semasa bimbingan oleh pensyarah atau guru pembimbing, dan pelaksanaannya di bilik darjah kurang terancang dan kabur. Hal ini turut menggambarkan seolah-olah aktiviti pemulihan kurang penting. Akhirnya kita akan temukan guru pelatih (GP) cemerlang tetapi tidak mampu menguasai dan melaksana aktiviti pemulihan semasa praktikum atau di sekolah kelak.

Salah satu konsep 5P dalam strategi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu ialah pemulihan. Dalam konteks KBSR, program pemulihan merupakan langkah-langkah khusus yang dijalankan untuk membantu murid-murid yang menghadapi masalah pembelajaran tertentu dalam kemahiran asas 3M. Mereka patut dipulihkan sebaik sahaja masalah yang dihadapi itu dapat dikesan dan ditentukan oleh guru darjah atau guru mata pelajaran.

Program pemulihan disediakan untuk membantu murid menguasai kemahiran asas yang belum dapat dikuasai dalam tempoh yang ditetapkan. Bahan untuk program ini terdiri daripada kad, carta, bahan maujud, alat permainan, dan lain-lain yang boleh digunakan secara berperingkat-peringkat daripada yang mudah kepada yang sukar. Pelaksanaan program ini mengikut kadar kemampuan murid menguasai sesuatu kemahiran (Huraian Sukatan Pelajaran SR). Oleh itu, program pemulihan ialah satu rancangan pembelajaran yang disediakan untuk membantu murid-murid yang menghadapi masalah atau kesukaran pembelajaran dalam menguasai sesuatu kemahiran.

Keperluan aktiviti pemulihan juga sangat bergantung pada keperluan murid. Sekiranya terdapat murid yang dikenal pasti memerlukan aktiviti pemulihan, GP perlu menyediakan aktiviti pemulihan yang perlu dicatatkan dalam rancangan pengajaran harian (RPH). Berdasarkan pengalaman penulis, lazimnya GP tidak menyediakan aktiviti pemulihan walaupun ada murid yang memerlukannya. Senario ini dikhuatiri akan berterusan apabila GP ditempatkan di sekolah. Akhirnya pemulihan dalam bilik darjah tidak berlaku. Murid yang tidak menguasai 3M akan meningkat.

Kebimbangan ini pernah disuarakan oleh pelbagai pihak. Jabatan Pendidikan Khas pada tahun 2000 mendapati bahawa 10-15% murid sekolah rendah tidak menguasai 3M. PIPP (2005) mencatatkan 4.4% pelajar sekolah rendah tidak menguasai 3M dan 0.8% pelajar di sekolah menengah menghadapi masalah yang sama.

Pelaksanaan program KIA2M yang bermula pada tahun 2006 merupakan salah satu langkah nasional yang bertujuan membendung masalah ini. Mewujudkan program latihan perguruan bagi GP pemulihan khas di IPG juga diharap mampu membantu mengatasi masalah tersebut.

Justeru, aktiviti pemulihan dalam bilik darjah KBSR wajar diberi perhatian semula. Tanpa menidakkan program-program latihan yang sedia ada, lompang yang dikenal pasti melalui praktikum di IPG mungkin difikirkan semula. Hal ini perlu difikirkan dengan serius oleh pendidik guru dan guru pelatih.

Cadangan yang praktikal seperti memasukkan aspek pemulihan dalam borang penilaian praktikum perlu difikirkan. Dengan demikian kita mungkin dapat membentengi diri kita daripada memikul dosa apabila guru pelatih yang kita hasilkan gagal mencelikhurufkan murid mereka.

20 Jun 2009

Gementar pada Hari Pertama

Refleksi Praktikum oleh Juritah Gilong

Hari yang dinantikan telah pun tiba. Kini saya sudah melaporkan diri untuk menjalani praktikum di sebuah sekolah rendah kira-kira 60 kilometer dari institut kami. Saya akan berada di sekolah ini selama tiga bulan.

Pada hari pertama menjejakkan kaki di sekolah ini, saya berasa gementar kerana berada dalam situasi baharu. Kegementaran itu menjadi-jadi apabila kehadiran kami disambut sinis oleh pihak sekolah. Dikatakan bahawa kami dikehendaki melaporkan diri lebih awal, bukannya pada hari itu.

Mengapa perkara ini harus terjadi? Mungkinkah terdapat masalah penghantaran maklumat? Saya dan rakan terkasima seketika dengan kata-kata pihak sekolah itu. Namun hal ini dijernihkan oleh ketua kumpulan yang menjelaskan tempoh sebenar kami menjalani praktikum.

Pada hari tersebut juga kami bersama-sama mengikuti perhimpunan rasmi sekolah. Kami diminta memperkenalkan diri di hadapan hampir 50 orang guru dan seramai lebih kurang 1,800 orang murid. Gementarnya saya!

Sepanjang menjalani praktikum fasa kedua di sekolah saya mengalami banyak peristiwa suka dan duka. Pengalaman itu menambah kematangan saya. Cabaran dan rintangan yang saya lalui itu mengajar saya supaya lebih professional dalam setiap tindakan.

Semasa praktikum fasa kedua ini, saya memperoleh berbagai-bagai perkara daripada pensyarah pembimbing dan guru pembimbing. Antaranya, rancangan pengajaran semester dan rancangan pengajaran harian perlu mengikut format baharu iaitu mesti memasukkan unsur kemahiran berfikir dan pengisian kurikulum. Selain itu, saya menyedari bahawa kertas soalan peperiksaan Bahasa Melayu UPSR berformat baharu.

Seperkara yang sangat penting bagi saya ialah cara mendekati pelajar. Saya bertanya guru kelas dan guru-guru yang mengajar di kelas tersebut. Maklumat yang diperoleh memudahkan saya memahami karenah murid yang saya ajar sekiranya berlaku sesuatu perkara yang tidak di ingini.

Baik saya coretkan sedikit pengalaman pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di kelas Tahun Lima Hijau. Kelas ini terdiri daripada 30 orang murid iaitu sebanyak sepuluh orang murid perempuan dan dua puluh orang murid lelaki. Pengalaman mengajar mereka adalah satu cabaran besar bagi saya.

Murid-murid kelas ini aktif tetapi aras kecerdasan mereka rendah. Kebanyakan guru yang masuk di kelas ini tidak tahan mengajar mereka kerana mereka tidak menumpukan perhatian terhadap pengajaran dan pembelajaran guru.

Pada mulanya saya begitu gementar. Guru lama pun tidak dapat mengawal mereka, apatah lagi saya yang hanya sekadar bergelar guru pelatih. Walau apa pun yang terjadi, saya terpaksa berhadapan dengan mereka dan mengajarkan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Pendidikan Seni kepada mereka.

Pada kali pertama saya masuk dan mengajar di Kelas 5 Gemilang ini, semua murid diam. Kelas terkawal. Hati saya berkata, murid di kelas ini tidaklah seperti apa yang saya sangka. Mereka kelihatan baik-baik belaka. Namun dari sehari ke sehari, sikap sebenar mereka terserlah. Benarlah apa yang dikatakan oleh kebanyakan guru yang masuk mengajar di kelas ini. Jelas pada saya bahawa hampir semua murid lelaki tidak pandai menghormati guru dan suka menyakat pelajar lain.

Seterusnya, saya ingin mencoretkan sedikit kekuatan saya semasa praktikum. Antara kekuatan saya ialah saya berjaya menggunakan teknik baharu dalam pengajaran dan pembelajaran. Contohnya saya menggunakan teknik meja bulat dalam pengajaran saya. Teknik ini berjaya dilaksanakan walaupun kali pertama saya jalankan. Walau bagaimanapun, menurut pensyarah pembimbing, saya perlu memahami prinsip teknik meja bulat supaya pelaksanaannya lebih berkesan.

Selain itu, dalam praktikum fasa ini, saya sudah boleh menerapkan nilai murni semasa pengajaran dan pembelajaran. Saya juga mampu menerapkan unsur kemahiran berfikir semasa aktiviti dijalankan.

Apa yang lebih bermakna bagi saya ialah saya berjaya “mencuri” masa yang singkat bagi dua orang murid yang agak lemah dalam bacaan. Saya menyuruh mereka datang ke bilik bimbingan dan kaunseling untuk meningkatkan bacaan mereka. Saya meyediakan buku bacaan yang saya beli sendiri untuk kegunaan mereka. Buku itu saya beri pinjam kepada mereka dan pada setiap waktu rehat atau 30 minit selepas tamat persekolahan mereka akan datang berjumpa dengan saya.

Dari sini, saya dapat mengesan tahap peningkatan bacaan murid. Kedua-dua orang pelajar ini mempunyai semangat yang tinggi untuk mengatasi masalah mereka. Sesungguhnya saya amat bangga dan terharu dengan semangat yang mereka tunjukkan. Kadang kala saya kecewa dengan tanggapan sebilangan guru yang menggelar mereka dengan perkataan yang tidak sepatutnya.

Ada juga guru beranggapan mereka ini memang tidak dapat dipulihkan. Walhal, apa yang saya perhatikan kedua-dua pelajar ini juga ingin berjaya seperti rakan-rakan sebaya mereka yang lain.

Seperti insan lain yang bergelar guru pelatih, saya juga tidak ketinggalan mengalami masalah dalam pengajaran dan pembelajaran. Masalah yang timbul ini kadang kala hampir mematahkan semangat saya. Maafkan saya kerana mengatakan sedemikian. Hal ini bukan sahaja mengganggu murid yang lain untuk belajar tetapi menyebabkan saya selalu terhenti meneruskan pengajaran hanya kerana mahu mengawal kelas. Apa yang mampu saya lakukan ialah memerhati kelakuan pelajar berkenaan dengan harapan mereka faham dengan makna renungan saya itu. Tidak masuk akal bukan?

Antara kelemahan yang ketara saya lakukan ialah arahan yang saya beri kurang tegas walaupun penerangan yang saya beri amat jelas. Disebabkan arahan saya yang kurang tegas, sebilangan pelajar lelaki sering mengambil kesempatan bermain di dalam kelas semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Mereka juga sering menimbulkan suasana bising yang kadang kala mengundang pergaduhan kecil.

Saya selalu berfikir kenapa mereka tidak faham teguran yang saya beri. Saya tidak kisah sangat sekiranya mereka bising ketika membuat kerja tetapi yang mengecewakan saya ialah sebilangan besar murid-murid kelas ini malas menyiapkan tugasan yang saya beri. Mereka tidak mahu berfikir untuk mencari jawapan. Mereka mahu saya memberikan jawapan terus.

Selain itu, saya juga sering mengalami masalah dalam pengurusan masa. Hal ini berpunca daripada murid-murid. Mereka sering lewat masuk ke dalam kelas terutamanya selepas mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Pendidikan Agama Islam dan Moral serta selepas waktu rehat. Kadang kala saya terpaksa menunggu 20 minit untuk memulakan pengajaran dan pembelajaran hanya kerana kelewatan yang dilakukan oleh mereka.

Pensyarah, guru pembimbing, rakan sebaya dan pengurus sekolah memang terlalu banyak membimbing saya. Saya bersyukur kerana mendapat bimbingan daripada pensyarah pembimbing yang banyak pengalaman. Beliau membimbing saya dengan begitu bersungguh-sungguh terutamanya dari segi penulisan refleksi dan strategi pengajaran dan pembelajaran. Selain itu beliau juga sering memberikan buah fikiran dalam pemilihan bahan bantu mengajar.

Guru pembimbing pula sering memberikan cadangan bagaimana hendak mengawal kelas. Menurut beliau pemberian peneguhan positif dan negatif perlu wujud di dalam kelas supaya murid-murid sedar akan kesilapan yang mereka lakukan.

Selain itu, saya juga berbesar hati dengan guru-guru di sekolah ini kerana mereka sering memberi tunjuk ajar dan memberi pinjam buku rujukan, terutama bagi mata pelajaran Bahasa Melayu untuk penulisan.

Bimbingan dan dorongan daripada rakan sebaya juga memberi kesan yang sungguh besar maknanya bagi saya. Antara topik yang menjadi bahan perbincangan saya ialah teknik yang sesuai dan penyediaan rancangan pengajaran harian yang mantap.

Saya juga senang hati berurusan dengan pentadbir sekolah. Kecekapan pihak sekolah dapat mempercepat pengumpulan bahan yang kami perlukan dalam pembinaan portfolio. Selain itu, saya juga dapat menggunakan kemudahan pusat sumber dalam peminjaman bahan rujukan.

Secara keseluruhannya, pengalaman mengajar di sekolah ini amat besar maknanya bagi saya yang baru mengorak langkah untuk menjadi guru. Sesungguhnya apa yang saya tulis ini adalah hanya sebuah santapan minda buat kita semua. Maafkan saya seandainya apa-apa yang saya utarakan di sini mengguris perasaan sesetengah pihak.

Nota
Cikgu Juritah kini mengajar di kawasan pedalaman - lebih empat jam berkereta dari ibu kota dan tiga jam menaiki bot.

06 Jun 2009

Menikmati Sagu

Refleksi Kerja Kursus Berasaskan Ilmu (KKBI)
Oleh Bakal Sarjana Muda Bahasa Melayu

Sudah tiga tahun saya berada di institut pendidikan guru (IPG). Sudah berpuluh kerja kursus berasaskan ilmu (KKBI) saya siapkan. Sudah berpapan-papan Panadol saya telan demi menyiapkan KKBI, terutamanya kerja kursus projek (KKP) untuk mata pelajaran major. Sudah banyak ruyung saya pecahkan. Adakah kini saya boleh menikmati sagu?

Berhadapan dengan KKP Fonetik dan Fonologi Bahasa Melayu ini, keinginan saya mendalami selok-belok bahasa Melayu semakin membara. KKP kali ini bukan beban. Saya berminat dan ghairah melaksanakannya. Ya, saya mula menikmati sagu daripada ruyung ilmu yang dipecahkan sedikit demi sedikit semenjak beberapa semester yang lalu.

Aktiviti awal KKP kali ini meneguhkan kemahiran saya mencari maklumat. Melaksanakan kehendak KKP ini, saya dapat mengenali Yunus Maris. Rupa-rupanya beliau ialah peneroka ilmu bunyi bahasa Melayu. Rupa-rupanya buku The Malay Sound System (1980) karangan beliau masih menjadi rujukan ahli-ahli bahasa sampai kini.

Seterusnya saya terpegun apabila membelek buku Ilmu Fonetik (1985) oleh Raja Mukhtaruddin. Rupa-rupanya sebahagian rajah dalam nota saya bersumber daripada buku ini. Selain itu, saya sempat merujuki buku Asas Fonetik (1988) oleh Nor Hashimah Jalaluddin dan terus memanfaatkan teks kami, iaitu buku Fonetik dan Fonologi (2006) karangan Indirawati Zahid dan Mardian Shah Omar.

Kini, pencarian maklumat bukan sesuatu yang sukar lagi. Dengan sokongan capaian Internet yang laju dan 24 jam di institut ini, saya dapat mengakses Internet pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja di dalam kampus ini, termasuk di bilik tidur. Terima kasih kepada ibu tersayang. Tanpa wang Tabung Haji yang ibu simpan berdikit-dikit itu, komputer riba ini tidak menjadi milik saya.

Semasa di sekolah menengah agama dahulu, saya pernah mempelajari ilmu tajwid. Saya dapati ilmu fonetik dan fonologi hampir sama dengan ilmu tajwid. Oleh sebab sebahagian perbendaharaan kata bahasa Melayu diambil daripada bahasa Arab, pengetahuan ilmu fonetik dan fonologi bahasa Melayu menjadi lebih penting. Mereka yang mempelajari ilmu ini dapat mengelakkan diri daripada melakukan kesilapan penyebutan kosa kata pinjaman daripada bahasa Arab.

Saya termenung apabila mengingat semula aktiviti yang sudah kami alami semasa mengikuti kursus Literasi Bahasa Melayu dan Pemulihan dan Pengayaan. Kalaulah ilmu fonetik dan fonologi sudah kami pelajari sebelum mengikuti kedua-dua kursus itu, saya yakin hasil tugasan dan bengkel lebih baik. Inilah pandangan saya. Pihak penggubal kurikulum mungkin ada alasan tersendiri. Antaranya, berdasarkan pandangan beberapa orang rakan saya, kursus ini merupakan kursus yang paling sukar dalam program kami setakat ini.

Ilmu ini relevan dengan program sekolah rendah. Antaranya, ilmu ini berguna untuk mengajarkan bacaan asas. Ilmu ini juga dapat membantu hakim deklamasi sajak menentukan ketepatan sebutan peserta.

Akhirulkalam, saya melaksanakan KKP ini dengan senang hati. Walau KKP ini memang saya akui masih banyak kelemahannya, namun saya tetap dapat mempelajari banyak perkara ketika melaksanakan kerja kursus ini. Insya-Allah, saya akan memanfaatkan pengetahuan itu apabila saya menjadi guru nanti.

01 Februari 2009

Renungan Pascapemerhatian: Pemilihan Perkataan

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

Masukan terdahulu:
Pengajaran Berpasangan
Pengajaran Berpasangan: Catatan Pascapemerhatian

Pemilihan dan penyusuan perkataan yang dilakukan oleh kedua-dua orang guru pelatih ini menunjukkan bahawa mereka mengaplikasikan pengisian kurikulum dari segi ilmu, iaitu bidang kajian tempatan. Pengetahuan tentang nama buah-buahan termasuk dalam bidang kajian tempatan.

Masalahnya ialah buah-buahan tempatan dicampurkan dengan buah-buahan import. Untuk kelas pemulihan, gunakan buah-buahan tempatan sahaja. Sebaik-baiknya gunakan buah-buahan yang terdapat dalam pasaran tempatan.

Pemilihan dan penyusunan perkataan dari sudut pengisian kurikulum yang dinyatakan tadi dapat juga dinamakan pemilihan dan penyusunan dari segi semantik atau sosiolinguistik. Selain itu, pemilihan dan penyusunan perkataan dapat juga dilihat dari sudut fonetik atau senang-sukar penyebutan perkataan itu. Misalnya, vokal e taling seperti dalam perkataan epal lebih sukar disebut berbanding e pepet seperti dalam perkataan emak yang lebih lazim pada telinga kanak-kanak di negara kita.

Mencampuradukkan perkataan ini dalam satu sesi pengajaran pemulihan ternyata menjadikan penyampaian bertambah rumit. Setiap vokal itu perlu diajarkan secara khusus dalam satu dua sesi, diikuti dengan pengajaran kedua-dua vokal itu dalam satu dua sesi yang lain.

Selain vokal, penggunaan diftong dalam perkataan-perkataan yang dipilih perlu difikirkan kewajarannya. Jika pemilihan perkataan yang mengandungi diftong itu hanya akan merumitkan penyampaian, tangguhkan penggunaan perkataan itu untuk sesi yang lain.

Pemilihan dan penyusunan perkataan dapat juga dilihat dari sudut morfologi. Kedua-dua orang guru pelatih ini menggunakan kata nama maujud. Pilihan mereka tepat. Mereka juga memilih kata tunggal. Pilihan mereka bijak.

Sayangnya, pilihan mereka dari segi struktur perkataan tidak terkawal sedangkan inilah aspek terpenting dalam pemilihan perkataan untuk pemulihan khas. Mungkin mereka tidak menyedari hal ini. Tegasnya, mereka tidak mempunyai kriteria yang jelas dari segi pemilihan perkataan semasa melakukan perancangan.

Kedua-dua orang guru pelatih ini menggunakan perkataan yang mempunyai dua dan tiga suku kata. Dari segi jumlah suku kata, pilihan mereka dapat diterima. Hal ini dikatakan demikian kerana, pada pandangan mata kasar, murid-murid mereka sudah celik huruf iaitu dapat membaca perkataan mudah yang mempunyai dua suku kata terbuka seperti bapa, bola dan labu.

Jumlah empat pola suku kata (V, VK, KV, KVK) dapat dianggap munasabah sekiranya mereka tidak memilih e taling dan diftong. Hal ini dapat dilakukan dengan memilih nama buah-buahan tempatan yang tidak mengandungi e taling dan diftong.

Mereka juga memilih tiga perkataan yang mengandungi konsonan bergabung (digraf) ng. Hal ini meningkatkan lagi kerumitan struktur perkataan yang digunakan.

Analisis perkataan yang digunakan dalam pengajaran ini adalah seperti yang di bawah. Mereka melakukan susunan ini secara rawak.

tembikai: KVK-KV-KV, tiga suku kata: tertutup-terbuka-terbuka, ada diftong ai
anggur: VK-KVK, dua suku kata: tertutup-tertutup, ada huruf gabungan (digraf) ng
pisang: KV-KVK, dua suku kata: terbuka-tertutup, ada huruf gabungan ng
ceri: KV-KV, dua suku kata: terbuka-terbuka, ada e taling
limau: KV-KV, dua suku kata: terbuka-terbuka, ada diftong au
mangga: KVK-KV, dua suku kata: tertutup-terbuka, ada huruf gabungan ng
betik: KV-KVK, dua suku kata: terbuka-tertutup
epal: V-KVK, dua suku kata: terbuka-tertutup, ada e taling
oren: V-KVK, dua suku kata: terbuka-tertutup, ada e taling

Saya menyediakan set perkataan yang mungkin dapat menggantikan set perkataan di atas. Walau bagaimanapun, pilihan saya tidak semestinya terbaik. Hal ini disebabkan saya belum memahami situasi sekolah, profil pelajar dan hal-hal yang berkaitan dengan masalah pembelajaran mereka. Yang arif tentang hal ini tentulah guru mereka, termasuk kedua-dua orang guru pelatih yang mengambil alih buat sementara waktu sebahagian daripada tugas guru mereka.

Dalam senarai di bawah, hanya perkataan betik yang saya kekalkan. Set perkataan ini mengandungi dua dan tiga suku kata juga. Terdapat tiga pola suku kata sahaja (VK, KV, KVK), tiada e taling, tiada diftong, dan tiada huruf gabungan. Susunan berdasarkan struktur yang mudah didahulukan dan struktur tersukar dikemudiankan. Senang-sukar ini masih dapat dipersoalkan, tetapi yang penting saya menggunakan sesuatu asas (bukan secara rawak).

duku: KV-KV, dua suku kata: terbuka-terbuka
betik: KV-KVK, dua suku kata: terbuka-tertutup
jambu: KVK-KV, dua suku kata: tertutup-terbuka
tarap: KV-KVK, dua suku kata: terbuka-tertutup
kelapa: KV-KV-KV, tiga suku kata: terbuka-terbuka-terbuka
durian*: KV-KV-VK, tiga suku kata: terbuka-terbuka-tertutup
pulasan: KV-KV-KVK, tiga suku kata: terbuka-terbuka-tertutup
rambutan: KVK-KV-KVK, tiga suku kata: tertutup-terbuka-tertutup
cempedak: KVK-KV-KVK, tiga suku kata: tertutup-terbuka-tertutup

Dalam senarai di atas, hanya perkataan durian mengandungi pola suku kata VK yang menyebabkan jumlah pola suku kata menjadi tiga. Jika pola suku kata hendak dikurangkan, perkataan durian dapat digantikan dengan perkataan lain seperti ciku (KV-KV), sukun (KV-KVK), dan delima (KV-KV-KV).

Buah-buahan itu dapat dilukis, dimuat turun gambarnya daripada Internet, difotokopi daripada bahan bercetak, dipotong dan tampal daripada cakera padat, dan dapat juga dibeli di pasar tempatan. Pemilihan perkataan hanya kerana gambarnya terdapat dalam sebuah buku, perlu dielakkan.

Pilihan manakah yang terbaik? Saya pilih benda maujud kerana ada kemungkinan saya berpeluang menikmatinya selepas sesi pengajaran berpasangan itu. Tuan percaya?

27 Januari 2009

Refleksi Kaedah Pembelajaran Koperatif

Refleksi Pelaksanaan SPK Meja Bulat dan Kembara Galeri
Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

Selepas interaksi berakhir, saya kembali ke pejabat dan terus mengakses e-mel yang mengandungi refleksi pelajar. Hanya empat kelompok berjaya mengirim refleksi kepada e-grup. Refleksi kumpulan dua masih belum diterima. Mungkin mereka sudah menyiapkan refleksi tetapi ada masalah teknikal dari segi penghantaran kepada e-grup.

Sari refleksi pelajar adalah seperti yang di bawah.

Kelompok 1 yang diketuai oleh Iffah Syamimi menulis, “Kumpulan kami mendapat perkataan bulan. Kami memberikan beberapa makna yang tersirat dan tersurat. Kami mendapati sesuatu perkataan mempunyai banyak makna. Kita dapat memberi makna sesuatu perkataan melalui intuisi iaitu naluri diri. Selepas itu kami bertukar-tukar pendapat dengan ahli kumpulan lain. Kami menerima beberapa komen positif daripada rakan-rakan kami.”

Kelompok 3 yang diketuai oleh Jamilah Amir menyatakan bahawa mereka berasa seronok kerana dapat bertukar pendapat dengan ahli kumpulan yang lain. Kini mereka menyedari bahawa sesuatu perkataan tidak hanya membawa satu makna, tetapi luas maknanya. Ahli kelompok 3 ini, Wong Shau Foon, berkata, dia dapat menerokai makna lima patah perkataan (buku, ayam, batu, kayu, bulan) dengan lebih mendalam. Dia berasa seronok mempelajari bahasa Melayu dan berasa bertuah kerana dapat mengomen hasil kerja rakan-rakannya.

Kelompok 4 yang diketuai oleh Iffahzuleha mendapati satu perkataan mempunyai banyak makna yang tersirat dan tersurat. Makna sesuatu perkataan tidak semestinya terdapat dalam kamus.

Kelompok 5 yang diketuai oleh Reccyka menyatakan mereka sungguh gembira menjalankan aktiviti yang disediakan. Menurut mereka, mengomen hasil kerja kelompok lain juga merupakan aktiviti yang sangat menarik. “Kami memberi komen bukan untuk melemahkan semangat kawan tetapi untuk memberi semangat kepada rakan-rakan yang lain,” kata mereka. Mereka berharap aktiviti seperti yang dilaksanakan semasa interaksi kelima itu dapat diteruskan.

Refleksi mereka padat dan bernas. Walaupun pada interaksi ini baru kali kedua mereka menulis refleksi hasil interaksi dengan saya, walaupun masa yang diperuntukkan sedikit, mereka tetap dapat melakukan refleksi yang sangat bermakna pada diri saya.

Saya berasa puas dapat menggunakan struktur pembelajaran koperatif dalam interaksi saya. Saya berasa puas dapat menyaksikan pelajar-pelajar saya asyik membaca e-mel dari e-grup. Saya berasa puas dapat menggalakkan mereka menggunakan kamus elektronik.

Seperti interaksi-interaksi sebelum ini, tiada tingkah laku lencongan semasa sesi pembelajaran di bilik kuliah mahupun di makmal komputer. Tiada pelajar yang mempersoalkan mengapa aktiviti itu dinamakan meja bulat sedangkan meja yang digunakan ialah meja segi empat.

Penutup

Ketika merancang interaksi kelima ini saya ada memikirkan keperluan arahan bertulis untuk menjadi panduan pelajar semasa beraktiviti di makmal komputer. Sayangnya, saya kesuntukan masa untuk mengolah draf bahan itu agar lebih kemas. Jadi saya hanya dapat memberikan arahan lisan untuk aktiviti di makmal komputer. Saya akan berusaha menyediakan arahan bertulis dalam sesi interaksi yang akan datang.

Selain itu saya juga perlu mencipta borang refleksi. Saya percaya, penggunaan borang refleksi akan memudahkan pelajar mencatat refleksi secara lebih menyeluruh dan mendalam. Soalan-soalan yang disediakan dalam borang itu dapat membantu pelajar melakukan penilaian kendiri. Setakat ini refleksi mereka bersifat umum.

Saya yakin bahawa institut bukan sekadar melahirkan pelajar yang menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran. Institut perlu menyediakan mereka dengan kemahiran berkomunikasi dan kemahiran sosial.

Berbanding dengan organisasi bilik kuliah biasa yang mementingkan unsur individualistik dan pertandingan, amalan pembelajaran koperatif bukan sahaja bertumpu pada aktiviti kelompok bahkan berasaskan aktiviti yang mudah tetapi bermakna. mereka.

26 Januari 2009

SPK Lakarkan Saya (2)

Kaedah Pembelajaran Koperatif: Catatan Selepas Pelaksanaan SPK Lakarkan Saya
Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

Pelaksanaan sesi lakarkan saya mengambil masa lebih kurang 20 minit. Gangguan hanya berlaku pada subsesi pertama.

Perjalanan subsesi kedua sangat lancar dan pantas. Saya mengagak, pelajar ingin segera ke makmal komputer. Saya memang telah memberitahu mereka bahawa peruntukan masa di makmal komputer pada hari ini cuma 35 minit. Sekiranya mereka dapat menyelesaikan aktiviti yang dirancangkan lebih awal, masa mereka di makmal komputer akan bertambah.

Pelajar mengirim refleksi kepada e-grup kami. Empat kelompok pelajar berjaya menghantar refleksi sebelum interaksi tamat. Refleksi yang kelima saya terima keesokan harinya.

Dua kelompok memberikan respons ringkas. Mereka menyatakan aktiviti dalam subsesi pertama berkaitan dengan medan makna sepatah perkataan. Aktiviti dalam subsesi kedua pula berkaitan dengan medan makna dua patah perkataan. Kedua-dua aktiviti itu relevan dengan tajuk pelajaran dan nota yang diedarkan. Itulah pandangan mereka.

Satu kelompok memberikan respons yang lebih reflektif. Mereka menyatakan bahawa banyak pengetahuan baharu yang diperoleh dalam sesi ini. Pengetahuan itu dapat dipraktikkan dalam pengajaran Bahasa Melayu apabila mereka menjadi guru nanti.

Dua kelompok lagi mengemukakan catatan positif dan reflektif. Kelompok Elizabeth berpendapat, aktiviti yang dialami itu perlu diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Kelompok Reccyka pula menyatakan aktiviti itu berkesan dan mampu menjana fikiran mereka untuk mendalami makna sesuatu perkara dengan lebih teliti.

Seterusnya, kelompok Elizabeth berpendapat bahawa kemahiran berkomunikasi seperti yang telah dialami itu penting dalam kehidupan seharian. Kelompok Reccyka pula menulis, “Kami juga dapat meningkatkan interaksi antara ahli dalam kumpulan kami.”

Penutup

Saya berasa lega apabila interaksi keempat ini berakhir. Refleksi pelajar menunjukkan usaha saya menggunakan SPK di dalam dan di luar bulatan dan lakarkan saya dapat mencapai matlamat kaedah pembelajaran koperatif.

Setelah melaksanakan sendiri strategi ini, saya dapat merumuskan bahawa strategi ini berkesan apabila ada kefahaman terhadap teori, keyakinan diri, kerelaan menggunakan masa yang banyak untuk perancangan dan kesungguhan melaksanakannya. Berkesan di sini bermaksud pelajar mendapat pengetahuan dengan cara yang menyeronokkan. Mereka juga dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi, kemahiran belajar dan kemahiran berfikir. Selain itu, mereka dapat meningkatkan kemahiran sosial dan menyerap nilai murni.

Dengan perkataan lain, strategi ini dapat membantu guru membentuk murid agar menjadi insan simbang dari segi intelek, jasmani, rohani dan emosi sebagaimana yang tercatat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Secara keseluruhan pula, strategi ini berupaya menyuburkan perpaduan dalam kalangan pelajar. Perpaduan ialah hala tuju sistem pendidikan negara kita.

22 Januari 2009

Amalan Refleksi Semasa Praktikum

Oleh Mohd Firdaus bin Haji Abd Salam
Institut Perguruan Keningau, Sabah

Satu daripada komponen yang dinilai semasa praktikum ialah amalan refleksi. Amalan refleksi terbahagi pula kepada tiga aspek iaitu pemikiran reflektif, catatan reflektif dan pembinaan portfolio. Kertas ini membincangkan pemikiran reflektif dan catatan reflektif sahaja.

Secara mudah, refleksi ialah proses mengingat dan merenung kembali aktiviti pendidikan yang difikirkan atau dialami. Perkara yang difikirkan atau dialami itu dianalisis dan dinilai kesannya, termasuk memikirkan cara penambahbaikan demi meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

Catatan refleksi praktikum guru pelatih (GP) perlu memperlihatkan kematangan. Antaranya ialah mereka perlu menulis ulasan secara kritikal. Mereka perlu menyerlahkan kebolehan membuat tindakan susulan. Refleksi mereka juga sepatutnya memperlihatkan perkembangan dan peningkatan kualiti diri.

Pemikiran reflektif pula perlu memperlihatkan kemampuan mereka mengenal pasti kekuatan dan kelemahan diri, menghubungkaitkan sebab dan akibat terhadap sesuatu tindakan, mengaitkan sebab dan akibat untuk membuat inferens, meramal kesan sesuatu tindakan berlandaskan bukti, dan seterusnya merancang langkah susulan dengan mengambil kira unsur kajian masa depan (KMD).

Jelasnya, pemikiran reflektif ditandai oleh tindakan guru yang dapat mengenal pasti serta menilai kekuatan dan kelemahan diri dengan jelas, dapat menghubungkaitkan sebab dan akibat tindakan yang diambil berasaskan bukti. Justeru, meningkatkan pemikiran reflektif dalam kalangan GP sangat penting. Amalan ini diyakini mampu merangsang minat dan usaha untuk mereka meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Persoalannya sejauh mana amalan refleksi dilaksanakan oleh GP dan mampu meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Berdasarkan pengalaman, penulis mendapati kebanyakan GP masih kurang faham tentang aspek ini. Misalnya, catatan mereka bersifat laporan atau deskriptif. Mereka hanya menyatakan kekuatan dan kelemahan pengajaran dan pembelajaran tanpa cadangan penambahbaikan. Kebanyakannya hanya menjawab persoalan apa yang berlaku dan bukannya mengapa atau bagaimana sesuatu itu berlaku; jauh sekali mengaitkannya dengan teori-teori pembelajaran.

Natijahnya, masalah-masalah yang sama dihadapi oleh GP setiap kali masuk kelas dan kandungan catatan refleksi juga seakan-akan serupa. Tiada catatan cadangan untuk menambah baik kelemahan-kelemahan yang lepas dan tiada aspek penilaian untuk menambah baik atau meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Tindakan-tindakan tersebut kurang mencerminkan pemikiran reflektif yang seperti yang dihasratkan.

Ada ketikanya GP memberi alasan kurangnya masalah yang dihadapi semasa melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran. Oleh sebab itu, tiada lagi masalah yang perlu diketengahkan kerana proses pengajaran dan pembelajaran pula telah dilaksanakan dengan baik. Situasi ini juga menyebabkan catatan refleksi mereka bersifat laporan dan tidak memperlihatkan ciri-ciri penilaian kembali kekuatan dan kelemahan proses pengajaran dan pembelajaran.

Segelintir pensyarah pembimbing pernah mengutarakan ketidakpuasan terhadap kematangan GP membuat refleksi kritikal dan ulasan kendiri, kebolehan membuat tindakan susulan serta memperlihatkan perkembangan dan peningkatan kualiti diri. Perkara ini perlu dibincangkan lebih lanjut dan penyelesaiannya mesti diusahakan. Selain itu, kita juga patut membincangkan amalan refleksi selepas guru pelatih GP ditempatkan di sekolah.

20 Januari 2009

KKP Meningkatkan Pengetahuan dan Kemahiran

Ini ialah refleksi Kerja Kursus Pendek (KKP) Bahasa Melayu Minor, Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) Pemulihan Khas oleh Sarina binti Ismail. Refleksi ini sudah disunting.

Pencarian maklumat untuk tugasan ini bermula semenjak cuti persekolahan. Pada masa cuti itu saya sempat membuat rujukan di perpustakaan Kota Kinabalu, Tawau, Semporna dan Institut Perguruan Keningau.

Semasa cuti itu juga saya berhubung dengan guru-guru terlatih untuk mengumpul contoh rancangan pengajaran tahunan (RPT) dan rancangan pengajaran harian (RPH). Selain itu, mereka membantu saya memilih kaedah mengajar yang berkesan. Saya juga berjaya memperoleh bahan bantu belajar daripada mereka.

Pembinaan RPT dan RPH bertemakan permainan dengan tajuk “Permainan Kegemaranku” ini dapat dikaitkan dengan Mazhab Humanis. Mazhab ini berpendapat pembelajaran manusia bergantung pada emosi dan perasaan. Oleh itu, strategi pengajaran dan pembelajaran saya atur mengikut kehendak dan perkembangan emosi pelajar. Pembelajaran yang berlaku ialah hasil latihan atau pengalaman.

Selain itu, pembelajaran ini dapat dikaitkan dengan pandangan Birch, iaitu ahli psikologi Mazhab Kognitif. Dia menyatakan celik akal berlaku bergantung pada pengalaman sedia ada. Berasaskan teorinya, pengajaran dan pembelajaran ialah perkaitan pengalaman yang sedia ada dengan pembelajaran baharu.

Berdasarkan pandangan Birch, tumpuan pada topik “Permainan Kegemaranku” akan memudahkan proses ingatan murid sekali gus menarik minat mereka. Hal ini berlaku demikian kerana mereka mempunyai pengalaman tersendiri. Tambahan pula, alam kanak-kanak sekolah rendah penuh dengan aktiviti permainan yang menggembirakan dan memuaskan hati mereka.

Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 3/1987 “Penyeliaan Pengajaran-pembelajaran di dalam Kelas oleh Pengetua/Guru Besar” dan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 3/1999 “Penyediaan Rekod Pengajaran dan Pembelajaran” membuktikan betapa pentingnya penyediaan rekod mengajar yang berkesan untuk mengukur takat pencapaian objektif pembelajaran.

Walaupun pencarian maklumat bermula semenjak cuti semester, namun tugasan ini hanya dapat saya siapkan sepenuhnya pada saat-saat akhir. Kelewatan ini berlaku kerana terdapat beberapa penambahbaikan terhadap tugasan asal. Saya memanfaatkan pengalaman menjalani praktikum untuk menghasilkan RPH yang lebih berkesan.

Tugasan ini menambah pengetahuan dan kemahiran pedagogi saya. Tugasan ini juga mengukuhkan pendirian saya bahawa pencarian ilmu hendaklah berterusan dan sentiasa diamalkan.

Rumusannya, saya mesti terus menjadi pencari ilmu. Ilmu itu pula perlu saya gunakan dalam bilik darjah agar pengajaran saya lebih berkesan. Kesedaran hendaklah bermula dari dalam diri agar kita dapat mencari jalan penyelesaian terbaik bagi setiap masalah yang dihadapi semasa bergelar guru terlatih nanti.

Manfaat Latihan Menulis RPH Terperinci

Refleksi Kerja Kursus Pendek (KKP) Bahasa Melayu Minor
Oleh Asnita Lee Che Oon

Tugasan ini memberi peluang kepada saya lebih memahami maksud dan fungsi Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) dan Rancangan Pengajaran Harian (RPH). Kini saya lebih berkeyakinan untuk menulis RPH. Keyakinan ini memang saya perlukan untuk menghadapi praktikum.

Saya pernah menjadi guru sandaran tidak terlatih (GSTT) di Lahad Datu. Kini saya menjalani praktikum sebagai guru pelatih di Keningau. Saya dapati ada perbezaan antara RPH GSTT dengan RPH guru pelatih. RPH GSTT terlalu ringkas sedangkan RPH guru pelatih terperinci.

Yang lebih terperinci ialah RPH kerja kursus pendek (KKP) ini. Mula-mula saya anggap tugasan ini sebagai beban. Kini, saya berpendapat hal ini wajar kerana RPH KKP merupakan bahagian utama dalam tugasan. Sebaliknya, RPH praktikum hanya bahagian asas, tetapi penting, dalam praktikum.

Tugasan ini mengaktifkan saya mengumpul maklumat. Hasilnya saya dapat mengumpul beberapa contoh RPT dan RPH sebenar. Saya memperoleh bahan-bahan itu daripada beberapa buah sekolah di Lahad Datu dan di Keningau. Saya juga sempat menemu bual beberapa orang guru terlatih. Saya memanfaatkan ciri-ciri baik setiap bahan dan dapatan temu bual itu untuk tugasan ini. Tegasnya, belajar dapat dilakukan secara bersendirian daripada sumber persekitaran kita.

Dahulu, saya merasakan penulisan RPH amat sukar dan terlalu terperinci. Kini, setelah menyelesaikan KKP ini, saya mendapati penulisan RPH sebenarnya tidaklah terlalu sukar, walaupun tidaklah mudah. Malah kini saya semakin berminat meneliti Huraian Sukatan Pelajaran (HSP), RPT dan RPH di sekolah. Tanpa meneliti HSP dan menulis RPT dan RPH dengan teliti, perancangan akan goyah.

Rumusannya, pengalaman melaksanakan KKP ini akan menjadikan saya lebih yakin merancang pelajaran apabila bergelar guru terlatih nanti.

14 Januari 2009

Memecahkan Ruyung Ilmu

Refleksi Kerja Kursus Bahasa Melayu Akademik
Catatan Mohd Isa bin Abd Razak

Dalam kurikulum Bahasa Melayu Akademik (BMA) di institut pendidikan guru (IPG) terdapat kursus morfologi dan sintaksis. Kursus morfologi bertujuan membolehkan pelajar mentakrif, mengkategori dan membandingbezakan perkataan mengikut bentuk dan golongan kata. Antara tujuan kursus semantik pula ialah membolehkan pelajar memberikan tafsiran dan makna yang tepat terhadap sesuatu penyataan. Penyataan itu dapat berupa perkataan, frasa atau ayat.

Satu projek diberikan kepada pelajar untuk mencapai tujuan yang dinyatakan itu. Tajuk projek ialah "Pengumpulan dan Penganalisisan Perkataan daripada Majalah dan Akhbar". Melalui tugasan itu pelajar mengaplikasikan ilmu morfologi dan semantik yang telah dipelajari dalam bilik kuliah.

Satu daripada komponen projek itu ialah penulisan refleksi. Pelajar dikehendaki menghasilkan refleksi yang panjangnya lebih kurang 250 patah perkataan. Di bawah ini ialah satu contoh refleksi projek itu.

Refleksi ini pernah disiarkan di Grup_PM dan terdapat di arkib e-grup itu. Refleksi di e-grup itu hanya dapat diakses oleh ahli e-grup. Refleksi ini diterbitkan pula di sini agar dapat diakses oleh sesiapa sahaja, khususnya pelajar semester pertama di IPG. Manfaatkanlah.

Memecahkan Ruyung IlmuOleh Reccyka Bonar, Danial @Faiz Ngah, dan Cory Joanes

KALAU tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Demikian jugalah halnya dengan kerja kursus berasaskan ilmu (KKBI) untuk mata pelajaran Bahasa Melayu Akademik (BMA) yang diberikan kepada kami sebagai pelajar kursus persediaan Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP). Kami menanganinya dengan sepenuh hati dan bersungguh-sungguh. Natijahnya, banyak manfaat yang kami peroleh sepanjang menyelesaikan KKBI itu.

Manfaat yang sangat jelas ialah, kami dapat mengukuhkan ilmu pengetahuan kami, khususnya dari segi perbendaharaan kata. Kami memperoleh banyak perkataan baharu daripada majalah dan akhbar. Seterusnya, kami memperoleh pengalaman baharu semasa menganalisis perkataan-perkataan itu dari segi semantik dan morfologi. Sesungguhnya, melalui aktiviti ini kami berjaya meluaskan pandangan kami terhadap sesuatu perkataan.

Selain itu, kami dapat mengaplikasikan ilmu yang kami pelajari dalam kuliah morfologi dan semantik. Selama pembelajaran dalam kuliah, kami hanya mengetahui teorinya tetapi dengan adanya kerja kursus ini kami dapat mempraktikkan apa-apa yang telah dipelajari. Mempraktikkan teori, walaupun sukar, merupakan satu cara mengukuhkan ilmu. Kami berasa seronok melaksanakannya.

Seterusnya, semasa melaksanakan kerja kursus ini kami juga dapat meningkatkan kemahiran sosial sesama kami. Oleh sebab kerja kursus ini dilakukan secara berkumpulan, kerjasama antara ahli kumpulan adalah sangat penting. Kami sangat bersyukur kerana kerjasama itu dapat dilihat pada setiap ahli kumpulan kami. Kami sama-sama bekerja, memerah otak dan menyumbangkan idea demi menyempurnakan tugasan yang diamanahkan.

Rumusannya, setelah bersusah payah, tugasan ini dapat disempurnakan. Kami amat berpuas hati dan berbangga dengan hasil usaha kami. Kami berkeyakinan pengalaman menyempurnakan KKBI ini dapat kami manfaatkan untuk meningkatkan kualiti tugasan kami pada semester-semester yang akan datang dan seterusnya pada peringkat ijazah kelak

13 Januari 2009

Orang Besar Bercakap Fasal Idea

Renungan/Refleksi
Oleh Mohd Isa bin Abd Razak
http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/

Pesan yang dilampirkan di bawah sarat dengan permata kata. Penyampai pesan, Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan, menyuluh minda kita dengan permata kata. Beruntunglah jikalau hati kita terang dengan suluhan permata kata itu. Saya berharap saya tergolong dalam kelompok mereka yang beruntung itu.

Pesan yang mencabar saya ialah peribahasa Arab “orang besar bercakap fasal idea (1), orang kurang besar bercakap fasal peristiwa (2), orang kecil bercakap fasal orang lain (3), orang paling kecil bercakap fasal dirinya (4)”.

Dalam peribahasa ini terdapat empat unsur yang ditandai dengan nombor 1,2, 3, dan 4. Satu nombor mewakili satu jenis manusia. Unggulnya, kita hendak menjadi orang nombor satu, atau kata mereka yang berpendidikan Arab, nombor wahid.

Apabila saya fikir-fikirkan, amatlah unggul untuk menjadi orang nombor wahid sepanjang hayat dan setiap masa. Yang unggul itu cita-cita. Realitinya, keempat-empat unsur itu ada dalam diri setiap orang. Namun jumlah, peratusan dan mutu unsur itu berbeza-beza dalam kalangan manusia. Beruntunglah mereka yang dirinya sarat dengan unsur nombor wahid dan bermutu pula.

Jumlah, peratusan dan mutu unsur-unsur itu dalam diri seseorang dapat berubah. Perubahan itu dapat positif atau negatif. Persis iman, ada masanya lebih, ada ketikanya kurang. Wallahuaklam.

Lampiran
Pesan Profesor kepada Pelajarnya

Pesan saya kepada kamu yang akan menjadi guru.

Menjadi guru itu adalah profesion yang mulia.
Oleh itu guru mesti sentiasa berilmu.
Guru mesti mahir menggunakan kaedah mengajar.
Guru mesti panjang akal.

Guru mesti mahir dalam bahasa budaya tinggi.
Bahasa budaya tinggi menjadi wahana budaya dan intelektual tinggi.
Bahasa rendah adalah untuk budaya rendah.
"Street language is for street people."

Ikutlah pesan Nabi Luqman a.s. kepada anak-anaknya.
Sederhanakanlah lagak dan suara kamu.
Orang yang suaranya kasar dan bongkak dibenci Tuhan.

Ada sebuah peribahasa Arab yang berkata,
orang besar bercakap fasal idea,
orang kurang besar bercakap fasal peristiwa,
orang kecil bercakap fasal orang lain, dan
orang paling kecil bercakap fasal dirinya.

Jadilah orang besar.

Menjadi guru, bercakaplah fasal idea, fasal nilai, fasal ilmu, fasal budaya, fasal agama,... bagi memandaikan anak bangsa.

Janganlah menjadi orang kecil, dan orang terkecil.

Semoga kamu menjadi guru yang berjasa.

Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan
10 Oktober 2007
http://sosiolinguistik.blogspot.com/