20 Jun 2009

Gementar pada Hari Pertama

Refleksi Praktikum oleh Juritah Gilong

Hari yang dinantikan telah pun tiba. Kini saya sudah melaporkan diri untuk menjalani praktikum di sebuah sekolah rendah kira-kira 60 kilometer dari institut kami. Saya akan berada di sekolah ini selama tiga bulan.

Pada hari pertama menjejakkan kaki di sekolah ini, saya berasa gementar kerana berada dalam situasi baharu. Kegementaran itu menjadi-jadi apabila kehadiran kami disambut sinis oleh pihak sekolah. Dikatakan bahawa kami dikehendaki melaporkan diri lebih awal, bukannya pada hari itu.

Mengapa perkara ini harus terjadi? Mungkinkah terdapat masalah penghantaran maklumat? Saya dan rakan terkasima seketika dengan kata-kata pihak sekolah itu. Namun hal ini dijernihkan oleh ketua kumpulan yang menjelaskan tempoh sebenar kami menjalani praktikum.

Pada hari tersebut juga kami bersama-sama mengikuti perhimpunan rasmi sekolah. Kami diminta memperkenalkan diri di hadapan hampir 50 orang guru dan seramai lebih kurang 1,800 orang murid. Gementarnya saya!

Sepanjang menjalani praktikum fasa kedua di sekolah saya mengalami banyak peristiwa suka dan duka. Pengalaman itu menambah kematangan saya. Cabaran dan rintangan yang saya lalui itu mengajar saya supaya lebih professional dalam setiap tindakan.

Semasa praktikum fasa kedua ini, saya memperoleh berbagai-bagai perkara daripada pensyarah pembimbing dan guru pembimbing. Antaranya, rancangan pengajaran semester dan rancangan pengajaran harian perlu mengikut format baharu iaitu mesti memasukkan unsur kemahiran berfikir dan pengisian kurikulum. Selain itu, saya menyedari bahawa kertas soalan peperiksaan Bahasa Melayu UPSR berformat baharu.

Seperkara yang sangat penting bagi saya ialah cara mendekati pelajar. Saya bertanya guru kelas dan guru-guru yang mengajar di kelas tersebut. Maklumat yang diperoleh memudahkan saya memahami karenah murid yang saya ajar sekiranya berlaku sesuatu perkara yang tidak di ingini.

Baik saya coretkan sedikit pengalaman pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di kelas Tahun Lima Hijau. Kelas ini terdiri daripada 30 orang murid iaitu sebanyak sepuluh orang murid perempuan dan dua puluh orang murid lelaki. Pengalaman mengajar mereka adalah satu cabaran besar bagi saya.

Murid-murid kelas ini aktif tetapi aras kecerdasan mereka rendah. Kebanyakan guru yang masuk di kelas ini tidak tahan mengajar mereka kerana mereka tidak menumpukan perhatian terhadap pengajaran dan pembelajaran guru.

Pada mulanya saya begitu gementar. Guru lama pun tidak dapat mengawal mereka, apatah lagi saya yang hanya sekadar bergelar guru pelatih. Walau apa pun yang terjadi, saya terpaksa berhadapan dengan mereka dan mengajarkan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Pendidikan Seni kepada mereka.

Pada kali pertama saya masuk dan mengajar di Kelas 5 Gemilang ini, semua murid diam. Kelas terkawal. Hati saya berkata, murid di kelas ini tidaklah seperti apa yang saya sangka. Mereka kelihatan baik-baik belaka. Namun dari sehari ke sehari, sikap sebenar mereka terserlah. Benarlah apa yang dikatakan oleh kebanyakan guru yang masuk mengajar di kelas ini. Jelas pada saya bahawa hampir semua murid lelaki tidak pandai menghormati guru dan suka menyakat pelajar lain.

Seterusnya, saya ingin mencoretkan sedikit kekuatan saya semasa praktikum. Antara kekuatan saya ialah saya berjaya menggunakan teknik baharu dalam pengajaran dan pembelajaran. Contohnya saya menggunakan teknik meja bulat dalam pengajaran saya. Teknik ini berjaya dilaksanakan walaupun kali pertama saya jalankan. Walau bagaimanapun, menurut pensyarah pembimbing, saya perlu memahami prinsip teknik meja bulat supaya pelaksanaannya lebih berkesan.

Selain itu, dalam praktikum fasa ini, saya sudah boleh menerapkan nilai murni semasa pengajaran dan pembelajaran. Saya juga mampu menerapkan unsur kemahiran berfikir semasa aktiviti dijalankan.

Apa yang lebih bermakna bagi saya ialah saya berjaya “mencuri” masa yang singkat bagi dua orang murid yang agak lemah dalam bacaan. Saya menyuruh mereka datang ke bilik bimbingan dan kaunseling untuk meningkatkan bacaan mereka. Saya meyediakan buku bacaan yang saya beli sendiri untuk kegunaan mereka. Buku itu saya beri pinjam kepada mereka dan pada setiap waktu rehat atau 30 minit selepas tamat persekolahan mereka akan datang berjumpa dengan saya.

Dari sini, saya dapat mengesan tahap peningkatan bacaan murid. Kedua-dua orang pelajar ini mempunyai semangat yang tinggi untuk mengatasi masalah mereka. Sesungguhnya saya amat bangga dan terharu dengan semangat yang mereka tunjukkan. Kadang kala saya kecewa dengan tanggapan sebilangan guru yang menggelar mereka dengan perkataan yang tidak sepatutnya.

Ada juga guru beranggapan mereka ini memang tidak dapat dipulihkan. Walhal, apa yang saya perhatikan kedua-dua pelajar ini juga ingin berjaya seperti rakan-rakan sebaya mereka yang lain.

Seperti insan lain yang bergelar guru pelatih, saya juga tidak ketinggalan mengalami masalah dalam pengajaran dan pembelajaran. Masalah yang timbul ini kadang kala hampir mematahkan semangat saya. Maafkan saya kerana mengatakan sedemikian. Hal ini bukan sahaja mengganggu murid yang lain untuk belajar tetapi menyebabkan saya selalu terhenti meneruskan pengajaran hanya kerana mahu mengawal kelas. Apa yang mampu saya lakukan ialah memerhati kelakuan pelajar berkenaan dengan harapan mereka faham dengan makna renungan saya itu. Tidak masuk akal bukan?

Antara kelemahan yang ketara saya lakukan ialah arahan yang saya beri kurang tegas walaupun penerangan yang saya beri amat jelas. Disebabkan arahan saya yang kurang tegas, sebilangan pelajar lelaki sering mengambil kesempatan bermain di dalam kelas semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Mereka juga sering menimbulkan suasana bising yang kadang kala mengundang pergaduhan kecil.

Saya selalu berfikir kenapa mereka tidak faham teguran yang saya beri. Saya tidak kisah sangat sekiranya mereka bising ketika membuat kerja tetapi yang mengecewakan saya ialah sebilangan besar murid-murid kelas ini malas menyiapkan tugasan yang saya beri. Mereka tidak mahu berfikir untuk mencari jawapan. Mereka mahu saya memberikan jawapan terus.

Selain itu, saya juga sering mengalami masalah dalam pengurusan masa. Hal ini berpunca daripada murid-murid. Mereka sering lewat masuk ke dalam kelas terutamanya selepas mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Pendidikan Agama Islam dan Moral serta selepas waktu rehat. Kadang kala saya terpaksa menunggu 20 minit untuk memulakan pengajaran dan pembelajaran hanya kerana kelewatan yang dilakukan oleh mereka.

Pensyarah, guru pembimbing, rakan sebaya dan pengurus sekolah memang terlalu banyak membimbing saya. Saya bersyukur kerana mendapat bimbingan daripada pensyarah pembimbing yang banyak pengalaman. Beliau membimbing saya dengan begitu bersungguh-sungguh terutamanya dari segi penulisan refleksi dan strategi pengajaran dan pembelajaran. Selain itu beliau juga sering memberikan buah fikiran dalam pemilihan bahan bantu mengajar.

Guru pembimbing pula sering memberikan cadangan bagaimana hendak mengawal kelas. Menurut beliau pemberian peneguhan positif dan negatif perlu wujud di dalam kelas supaya murid-murid sedar akan kesilapan yang mereka lakukan.

Selain itu, saya juga berbesar hati dengan guru-guru di sekolah ini kerana mereka sering memberi tunjuk ajar dan memberi pinjam buku rujukan, terutama bagi mata pelajaran Bahasa Melayu untuk penulisan.

Bimbingan dan dorongan daripada rakan sebaya juga memberi kesan yang sungguh besar maknanya bagi saya. Antara topik yang menjadi bahan perbincangan saya ialah teknik yang sesuai dan penyediaan rancangan pengajaran harian yang mantap.

Saya juga senang hati berurusan dengan pentadbir sekolah. Kecekapan pihak sekolah dapat mempercepat pengumpulan bahan yang kami perlukan dalam pembinaan portfolio. Selain itu, saya juga dapat menggunakan kemudahan pusat sumber dalam peminjaman bahan rujukan.

Secara keseluruhannya, pengalaman mengajar di sekolah ini amat besar maknanya bagi saya yang baru mengorak langkah untuk menjadi guru. Sesungguhnya apa yang saya tulis ini adalah hanya sebuah santapan minda buat kita semua. Maafkan saya seandainya apa-apa yang saya utarakan di sini mengguris perasaan sesetengah pihak.

Nota
Cikgu Juritah kini mengajar di kawasan pedalaman - lebih empat jam berkereta dari ibu kota dan tiga jam menaiki bot.

Tiada ulasan: