Memaparkan catatan dengan label Coretan: Santai. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Coretan: Santai. Papar semua catatan

21 Ogos 2012

Menunggu Dentuman Roket Keempat


Bulan Raya Aidilfitri
Selamat Hari Raya Aidilfitri 1430 Hijrah
Tiada Malam 0 Syawal
Mengumumkan Tarikh Hari Raya
Selamat Hari Raya Aidilfitri 1432 Hijrah
Salam Aidilfitri 1433 Hijrah

Beberapa orang rakan buku wajahku merungut kerana bunyi mercun pada akhir Ramadan dan malam-malam awal Syawal 1433 Hijrah ini mengganggu ketenteraman mereka. Mereka terkejut apabila mendengar dentuman kuat atau rentetan bunyi mercun ketika mereka sedang bersolat. Mereka menyatakan bahawa kegiatan membakar mercun tidak menepati syariat Islam.

23 Jun 2012

PD - KL - PD Tanpa Kad Pengenalan dan Lesen Memandu

Pagi tadi saya menghadiri Diskusi Intelektual di DBP, KL. Alhamdulillah, kini saya sudah berada di rumah. Pemanduan dari DBP ke Port Dickson lancar. Minyak kereta mencukupi. Kini saya pasti bahawa beg duit saya yang mengandungi wang, kad pengenalan, lesen memandu dan beberapa dokumen lain berada di dalam poket seluar biru di rumah. Ertinya, saya ke DBP dan pulang tanpa wang dan dokumen yang perlu dibawa.

14 Mei 2012

Saya Masih Menggemari Media Lama


Saya masih menggemari media lama kerana, yang pertama, umumnya media lama diterima oleh ilmuwan sebagai sumber rujukan yang sah dan berwibawa. Saya kemukakan dua contoh. Contoh yang pertama, buku Tuntunan Bahasa (2004), Petunjuk Bahasa (2005), Liku-liku Bahasa (2007) diterima sebagai bibliografi oleh pemberi tugasan peringkat sijil, diploma dan ijazah pertama, bahkan ijazah lanjutan. Contoh yang kedua, pemberi tugasan tidak mempersoalkan sumber rujukan daripada majalah, jurnal, monograf dan terbitan berkala lainnya apabila tercatat dalam bibliografi tugasan. Sebagai perbandingan, satu bahagian di Kementerian Pelajaran pernah tidak mengiktiraf bibliografi daripada laman sesawang atas alasan bahan di laman sesawang kurang kebolehpercayaan dan/atau kesahan, dan mungkin tidak dapat dikesan (“hilang” atau sudah dipadamkan) apabila dirujuki. Beberapa orang ilmuwan pula menganggap pelajar yang mengemukakan sumber daripada Internet seperti Wikipedia sebagai mengambil jalan mudah. Mereka menyatakan, sumber daripada Internet untuk orang awam dan tidak sesuai menjadi bahan rujukan pelajar institusi pengajian tinggi, khususnya peringkat ijazah pertama dan ijazah lanjutan.

Yang kedua, media lama lebih kekal. Hal ini berlaku kerana ada undang-undang yang memerlukan beberapa salinan media lama itu diserahkan kepada pihak yang berwajib untuk disimpan atau diarkibkan. Antara pihak yang menerima salinan media lama itu termasuklah arkib negara, perpustakaan negara, muzium negara dan pusat dokumentasi seperti Pusat Dokumentasi Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka. Selain itu, salinan media lama disimpan oleh institusi yang berwibawa seperti universiti, perpustakaan awam dan pusat sumber/media jabatan kerajaan. Cara penyimpanan bahan-bahan itu sistematik dan disesuaikan dengan teknologi semasa. Kawalan terhadap bahan itu pula ketat dan mustahil dapat dipalsukan kandungannya. Apabila berlaku kerosakan atau penghapusan secara tidak sengaja atau sengaja, salinan media lama masih terdapat di beberapa tempat di sesebuah negara, bahkan bagi bahan-bahan tertentu, di seantero dunia.

Yang ketiga, umumnya kandungan media lama bermutu. Hal ini berlaku kerana beberapa banyak faktor. Saya berikan dua faktor sahaja. Faktor yang pertama, penghasil, khususnya penulis, media lama lazimnya ialah insan terpilih dan sudah teruji dalam bidang masing-masing. Mereka termasuk golongan penyelidik di organisasi penyelidikan, institusi pendidikan awam dan jabatan kerajaan; pakar dalam sesuatu bidang, sasterawan negara, penulis tamu di sesebuah organisasi; penulis atau panel penulis kamus, buku ilmiah, buku teks, ensiklopedia; penulis artikel untuk jurnal, majalah, monograf; dan sebagainya. Faktor yang kedua, penerbit bahan media lama itu mengamalkan sistem pengurusan mutu yang dikenali dengan nama samaran ISO, iaitu nama asal International Organisation for Standardization dan di Malaysia dikenali sebagai Malaysian Standard (MS) atau lengkapnya MS-ISO. Tanpa MS-ISO pun penerbit yang berwibawa tetap mengamalkan gaya pengurusan yang dapat menjamin mutu bahan yang diterbitkan. Media lama yang sampai ke tangan pengguna sudah melalui proses yang panjang termasuk tahap pencetusan idea, perancangan penghasilan, kelulusan oleh panel khas seperti panel kawalan mutu, sesi penghasilan, sesi penambahbaikan seperti penyuntingan dan sebagainya. Sebaliknya, penghasilan bahan media baharu umumnya tanpa kawalan pihak pengurusan dan kawalan mutu. Penerbitan dan penyebaran bahan media baharu pula sangat pantas. Hal ini memungkinkan bahan media baharu itu goyah dari pelbagai segi seperti ketepatan fakta, kesempurnaan bahasa dan indeks kebolehbacaan.

Sebagai kesimpulannya, jikalau media itu kita ibaratkan sebagai manusia, media baharu ialah remaja yang masih keliru atau belum berjati diri. Media lama pula ialah orang tua, datuk, nenek atau moyang yang tepu dengan ilmu dan pengalaman, berjati diri dan mantap dari segi pendirian. Walhasil, ada banyak kandungan media baharu yang kita anggap bermutu itu asalnya ialah kandungan media lama yang “diberi nafas baharu” dalam dunia maya.

09 Mei 2012

Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) di PBAKL


Antara ruang pameran di Pesta Buku Antarabangsa (PBAKL) 2012 yang mendapat perhatian istimewa saya termasuklah ruang pameran Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM). Dua kali saya ke PBAKL, dua kali juga saya berlama-lamaan di ruang pameran MAPIM. Saya membaca hampir semua tajuk buku dan membelek berpuluh-puluh buah buku tetapi saya hanya mampu membeli sebuah buku. Hajat hati, saya hendak membeli sekurang-kurangnya lima buah buku yang sudah saya imbas hal-hal penting seperti blurb, kandungan dan pendahuluannya. Apakan daya, harga buku MAPIM umumnya mahal dan saya tidak memaksa diri untuk membeli sesuatu yang di luar kemampuan saya. Walau bagaimanapun, saya tidaklah terkilan sangat kerana beberapa buah buku yang dipamerkan itu sudah berada di rak buku saya.

07 Mei 2012

Sejenak Panjang di Ruang Pameran DBP Brunei di PBAKL

Saya memasuki bangunan tempat berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2012 itu melalui pintu belakang, iaitu bahagian yang berhampiran dengan sebuah hotel. Waktu itu pukul sepuluh setengah pagi. Saya menjangka pengunjung belum ramai dan saya bolehlah bergerak bebas. Jangkaan saya meleset. Bermula di pintu masuk itu pengunjung sudah bersesak-sesak.

01 Mei 2012

Belum Cukup Umur


Long Atan bertolak dari rumahnya pada pukul lapan tiga puluh minit pagi. Dia memandu van tuanya menuju ke Stesen Kereta Api Labu. Dia berasa lega apabila melihat ruang untuk meletakkan kenderaan di stesen itu masih boleh memuat lima atau enam buah kereta. Selepas mengenakan beg sandang dan mengunci vannya, dia berjalan terhencot-hencot ke bangunan stesen.

27 Mac 2012

Kelihatan Seperti Gula Melaka


Atuk Iman nampak benda berbungkus dengan daun di atas meja. Daun yang digunakan mungkin daun nipah. Bentuknya seperti seruas buluh, persis bungkusan gula melaka. Bungkusannya kemas. Atuk Iman bertanya, "Apakah benda itu? Gula melaka?"

Nenek PD menjawab, "Bukan gula melaka. Belacan."

Baru Atuk Iman ingat bahawa Pak Ndak baru pulang dari Sabah. Atuk Iman ingat juga bahawa Nenek PD suka makan belacan Papar. Jadi, Atuk Iman bertanya lagi, "Belacan Tuaran atau Papar?"

18 Mac 2012

Perihal Menangis

Bayi menangis, “Wek wek wek!” Murid sekolah rendah menangis. Remaja sekolah menengah menangis. Mahasiswa menangis. Adik, kakak, abang, ayah, ibu, atuk, nenek dan moyang menangis. Pendeknya, semua orang pernah menangis. Bahkan, ketika remaja saya pernah melihat air mata lembu saya meleleh. Perlakuan lembu itu saya anggap sebagai menangis.

Kini, sesudah melakukan renungan, ada kemungkinan lembu saya itu berasa gembira. Lembu saya itu, Putih namanya, gembira kerana seorang budak lelaki yang berseluar pendek tanpa baju menghidangkan rumput muda dan menyediakan air garam. Budak yang selekeh itu juga menyediakan unggun yang dapat mengurangkan keghairahan nyamuk dan agas; dan bagi menghangatkan suhu kandang yang terletak di sebuah kampung yang amat dingin pada waktu malam kerana kampung itu baru diteroka dan masih dikelilingi oleh hutan rimba.

15 Mac 2012

Kesan Pertemuan Ulang Tahun Ketiga Perhimpunan 100,000 Rakyat

….
Pada masa itu saya kekurangan masa untuk meneliti (dan menyimpan) isu PPSMI. Apabila saya bersara pada tahun 2008, saya mempunyai banyak masa. Antara cara saya memanfaatkan masa itu ialah meneliti dan menghimpun tulisan tentang PPSMI dan merakamkannya dalam satu blog khas. Usaha itu terhenti atas beberapa sebab, termasuklah sebab kesihatan. Pada tahun lalu saya meninggalkan ruang maya ini lebih enam bulan.

Alhamdulillah, perhimpunan 10 Mac 2012 menghidupkan semangat saya semula. (Saya memang bercadang untuk menyertai perhimpunan itu. Ketidakmunculan saya di sana anggaplah kelemahan saya sahaja.) Dua hari yang lalu saya sudah memulakan usaha untuk melengkapkan arkib maya itu. Oleh sebab keterbatasan upaya, pasti usaha itu mengambil masa. Insya-Allah, saya akan terus melakukannya sedikit demi sedikit, terutamanya sesudah berinteraksi di sini dan mendapat dorongan, juga cabaran, daripada tuan/puan, khususnya Tuan Kembara Bahasa.

Alhamdulillah, mula tahun ini saya semakin akrab dengan para petugas Pusat Dokumentasi Melayu (PDM) DBP, khususnya Puan Fatimah Zahrin. Insya-Allah, saya akan terus memanfaatkan kemudahan di PDM dan khidmat cemerlang para petugasnya. Mudah-mudahan saya dapat menyusun indeks PPSMI dan melampirkan bahan-bahan digital yang dapat saya capai. Insya-Allah, ada salinan digitalnya untuk PDM, dan tanpa syarat.

07 Mac 2012

Kembali ke Gelanggang

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sudah hampir setahun saya duduk diam di bangku simpanan. Mulai awal bulan lalu saya giat kembali. Ya, saya bersorak dan berteriak di tepi gelanggang. Mulai hujung bulan lalu, saya semakin giat. Ah, rupa-rupanya saya sudah masuk ke dalam gelanggang. Mulai awal bulan ini ada tanda menunjukkan saya akan giat seperti hujung tahun 90-an. Eh, saya sudah mula bersilat!

Mudah-mudahan migrain yang sudah melupakan saya tidak akan menjenguk. Berat badan yang sudah mulai turun enam kilo setelah asyik berkebun tidak naik kembali apabila saya leka menghadap papan komputer. Kaki saya yang mula ringan ke surau tidak kembali berat. Jiwa saya yang melekat pada aktiviti masyarakat tidak melayang-layang. Saya memerlukan doa tuan/puan untuk yang baik-baik, khususnya untuk menjadi hambanya-Nya yang terbaik dan apa-apa usaha saya menjadi ibadah.

Maafkan saya. Wallahuaklam. Wassalam.

26 Februari 2012

Kejar, Iman; Kejar!


Tidak berapa lama dahulu Nenek PD berkata, “Sekarang Iman sudah besar. Dia duduk di kampung. Pagi-pagi lagi dia sudah mengejar ayam.”

Hari ini atuk bertanya nenek, “Iman masih mengejar ayam?”

Nenek menjawab, “Ya, tetapi bukan setiap pagi lagi.”

Ya, kini Iman mengejar ayam sekali-sekala sahaja. Sebabnya, sekarang iman sudah ada adik. Tentu pagi-pagi lagi Iman sudah duduk berhampiran dengan adik. Nah, itulah, adakalanya Iman lupa untuk mengejar ayam.

25 Februari 2012

Selamat Hari Genap Usia, Iman! (Edisi Kemas Kini)

Selamat hari genap usia, Iman! Pada hari genap usiamu ini, dengarlah sedikit penjelasan tentang atuk, nenek dan anak-anak atuk.

Ibu iman ialah anak atuk. Sebab itu Iman menggunakan kata panggilan atuk. Kata panggilan penuhnya ialah datuk. Kebanyakan budak seperti Iman suka menggunakan panggilan ringkas, iaitu atuk. Atuk pun suka dipanggil atuk. Perkataan lain bagi atuk ialah aki.

15 Februari 2012

Surau Terus Berfungsi

Bandar tempat kami tinggal agak luas. Penduduk Islamnya melebih seribu orang. Di bandar kami yang sedang membangun ini terdapat sebuah sekolah agama rakyat (SAR) dan dua buah surau. Sebuah masjid yang berharga lebih RM6 juta pula sedang dalam pembinaan. Masjid itu dijangka siap pada pertengahan tahun ini.

13 Februari 2012

Kelantan Tiada Duit


Terlebih dahulu, jikalau ada sesiapa, khususnya orang Kelantan, berasa hati, saya mohon maaf. Secara khusus, saya mohon maaf kepada Ustaz Abdul Satar, Ustaz Muhd Rusli dan Ustaz Mohd Huzairi. Terima kasih pula saya ucapkan kepada Ustazah Zubaidah yang menyatakan bahawa catatan saya itu menunjukkan penceramah agama berkemampuan mengekalkan tumpuan perhatian hadirin hingga sanggup mengikuti sesuatu ceramah berjam-jam lamanya.

Catatan ini menjadi status Facebook saya kelmarin. Hari ini baru saya terbitkan catatan itu di sini.

06 Ogos 2011

Aku Kaya dan Gembira

Masih Tersenyum
 
Aku menunaikan solat ba'diah Jumaat di hadapan papan notis. Sebaik-baik aku memberi salam kedua, sejadah ditarik. Seorang petugas asyik menarik-narik dan menggulung sejadah yang bersambung-sambung. Aku berdiri tanpa berdoa.

Aku membaca iklan umrah pada papan notis. Kemudian kutatap beberapa keping gambar pembinaan masjid. Di sisi gambar-gambar itu ada carta kemajuan pembinaan. Carta itu menunjukkan peratus kemajuan pembinaannya melebihi jangkaan.

15 Julai 2011

Saya Betul-betul Menyesal

1 Saya Betul-betul Hendak Belajar

Memang betul bah. Dahulu laluan itu sempit, ngam-ngam untuk seorang lalu dan seorang lagi limpas. Oh, denai ya? Begitulah. Denai itu sempit. Memang ada juga sulap di jalanan itu tetapi tiada apa-apa kemudahan. Sulap itu tempat berehat dan bermalam. Saya pun tidur di situ. Sejuk itu biasalah. Oh ya, saya bawa beras dan periuk. Saya makan nasi begitu-begitu sahaja.

Pada masa itu Ranau di bawah pentadbiran Tambunan. Sesekali orang putih datang melawat ke sini. Tuan itu naik kuda. Ada lima enam orang mengiringinya. Pengiring itu membawa barang. Lama-lama laluan itu menjadi lebar. Mudahlah orang dan kuda berselisih.

Sebenarnya cikgu, saya lebih tua daripada pak cik cikgu itu. Saya lahir pada tahun 1923. Saya pergi ke Penampang sebelum Jepun datang. Saya memang betul-betul hendak bersekolah. Saya betul-betul hendak belajar. Itulah, saya sanggup tinggalkan Ranau dan pergi ke Penampang.

05 Julai 2011

Prakata “Tidur di Atas Kubur”

Sudah lebih seminggu saya kurang sihat. Pakej ubat yang pertama sudah habis. Saya masih menjalani rawatan sendiri dengan memakan ubat-ubatan yang dibekalkan oleh doktor swasta.
Sepanjang malam tadi saya menghabiskan masa di dalam bilik tidur. Meja kerja saya di bilik tidur juga. Rumah kami kecil. Saya tidak mempunyai bilik kerja yang tersendiri. Keasyikan saya membaca status dan nota rakan muka buku menyebabkan saya berasa masa berjalan pantas. Sesekali saya mencatat ulasan pada status rakan.

29 Jun 2011

Lelaki Tua, Jenahak dan Selar

Catatan yang berkaitan
Pelian: Nama dan Harga
Ikan Patin: Nota Permulaan

Gerai pertama itu bersebelahan dengan jalan. Peniaganya seorang lelaki separuh umur, bertubuh kecil dan warna kulitnya agak gelap. Ketika seorang lelaki tua berdiri di hadapan gerainya, dia sedang memindahkan kepingan ikan yang sudah dipotong ke atas meja jualannya.

Sesudah itu dia menambah ketulan ais pada longgokan ikan di kiri meja. Kemudian dia merenjis-renjis air kepada beberapa longgokan ikan. Seterusnya dia membetul-betulkan susunan ikan dalam longgokan tertentu. Pada masa yang sama, dia memandang lelaki tua yang tercegat di hadapan meja jualannya.

26 Jun 2011

“Pendek Umur” dan “Mengasuh TYT”

Kedua-dua kisah yang di bawah ini berlaku di Kota Kinabalu. Kisah ini saya temukan dalam buku wajah rakan saya. Kedua-dua kisah ini saya olah semula.

Kisah 1: “Saya Harap Mama Pendek Umur”

Hafiz sayang akan mama. Mama pula amat menyayangi Hafiz. Mereka sayang-menyayangi. Hari itu ialah hari genap usia ke-34 mama. Hafiz melahirkan kasih sayangnya kepada mama dengan kata-kata, “Saya harap mama pendek umur.”

21 Mei 2011

Selamat Hari Genap Usia, Iman!

Petang kelmarin nenek berkata, “Esok ialah hari genap usia Iman.”

Atuk bertanya, “Yakah?”

Nenek menjawab, “Ya. Hari genap usia cucu kita itu sama dengan Pak Andaknya.”

Selamat hari genap usia, Iman! Pada hari genap usiamu ini, dengarlah sedikit penjelasan tentang atuk, nenek dan anak-anak atuk.