21 Ogos 2012

Menunggu Dentuman Roket Keempat


Bulan Raya Aidilfitri
Selamat Hari Raya Aidilfitri 1430 Hijrah
Tiada Malam 0 Syawal
Mengumumkan Tarikh Hari Raya
Selamat Hari Raya Aidilfitri 1432 Hijrah
Salam Aidilfitri 1433 Hijrah

Beberapa orang rakan buku wajahku merungut kerana bunyi mercun pada akhir Ramadan dan malam-malam awal Syawal 1433 Hijrah ini mengganggu ketenteraman mereka. Mereka terkejut apabila mendengar dentuman kuat atau rentetan bunyi mercun ketika mereka sedang bersolat. Mereka menyatakan bahawa kegiatan membakar mercun tidak menepati syariat Islam.

Hanya seorang rakan buku wajahku menyatakan bahawa dia gembira apabila dapat bermain mercun sepuas-puasnya pada malam ketiga Syawal. Perlakuannya itu tidak mengganggu jiran-jiran. Hal itu terjadi kerana semua jiran sekeliling rumahnya tidak berada di rumah masing-masing pada malam itu.

Sebelum aku bersara, sebanyak sembilan belas kali Ramadan dan Syawal kulalui tanpa gangguan bunyi mercun. Keadaan aman itu kualami selama lapan belas kali ketika aku tinggal di Bukit Langsat, Keningau. Dalam tempoh itu, bukan tidak ada bunyi mercun sama sekali. Ada juga. Cuma bunyi itu jarang-jarang kedengaran. Bunyi yang kedengaran itu pula hanya sesekali dan tidak kuat. Hal itu terjadi atas dua sebab. Yang pertama, kanak-kanak di kampus kami kurang berminat untuk bermain mercun. Yang kedua, kampus kami di atas bukit dan jauh dari kawasan petempatan.

Ramadan dan Syawal kali kesembilan belas tanpa bunyi mercun kualami di Kampung Jimah Baru, Negeri Sembilan pada 1429 Hijrah. Pada masa itu aku dan keluargaku tinggal di rumah warisan yang kini menjadi tempat tinggal kakakku.

Sebenarnya, semasa aku kecil, menjelang Syawal dan sehari dua dalam bulan Syawal suasana Kampung Jimah Baru sungguh bingit dengan bunyi mercun dan dentuman meriam buluh. Pada masa itu, aku tergolong dalam kumpulan yang berkemahiran untuk membuat meriam buluh dan mampu menghasilkan dentuman kuat. Keadaan itu berubah apabila generasiku dan generasi selepasku memilih taman perumahan sebagai tempat tinggal.

Kini banyak rumah tua di kampung kami kosong. Peminat mercun hampir pupus. Faktor lain kepupusan itu ialah peningkatan amalan Islam di kampung kami sejak tahun 1980-an. Kini, kebisingan yang pernah kualami menjelang Syawal dan beberapa hari dalam bulan Syawal sudah lama ternyah dari kampung itu.

Tahun 1433 Hijrah ini ialah kali keempat aku mengalami suasana Ramadan dan Syawal di Bandar Springhill, Port Dickson. Pada tahun pertama aku tinggal di taman perumahan ini, aku mengalami kejutan akibat kebisingan pada hari perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Deepavali, Krismas, Tahun Baharu Masehi, Hari Merdeka dan entah apa-apa perayaan lain. Orang India dan Cina di taman perumahan di bandar ini sungguh giat bermain mercun dan bunga api pada hari-hari perayaan itu.

Bunga api dan mercun kini sungguh canggih. Aku sudah kerap menyaksikan percikan bunga api, yang mencerahkan ruang angkasa malam disertai dentuman, dari rumah sahaja. Ada pula roket yang memercikkan bunga api dan diakhiri dengan dentuman. Kanak-kanak India tidak jauh dari rumahku suka menghalakan roket itu ke rumah jiran mereka. Pada suatu malam, aku terlihat roket bunga api itu menuju ke tingkap tingkat atas rumah seorang jiran. Roket itu meletup semeter dua sahaja dari tingkap itu.

Pada malam yang lain, beberapa roket yang dilancarkan oleh kanak-kanak India itu ditujukan ke deretan rumahku. Ada antara roket itu meletup lebih kurang dua puluh meter dari tingkap tingkat atas rumahku. Waktu itu sudah lebih pukul dua belas tengah malam. Aku kurang senang dengan tindakan mereka. Aku berdiri di bawah lampu jalan di hadapan rumahku. Kuhalakan pandanganku ke kawasan kanak-kanak itu.

Oleh sebab malam itu gelap, aku hanya dapat melihat pergerakan mereka apabila mereka berada di kawasan yang diterangi cahaya lampu. Selepas dua tiga roket lagi ditujukan ke sasaran yang lain, keadaan kembali sunyi. Mungkin mereka menyedari perasaanku. Mungkin juga mereka faham bahawa antara pukul satu hingga dua pagi kereta peronda polis akan lalu di kawasan perumahan kami. Mungkin juga mercun dan roket mereka sudah habis.

Kanak-kanak dan remaja Melayu bermain mercun dan bunga api pada waktu malam di kawasan surau kami sejak minggu kedua Ramadan. Ketika bertarawih aku kerap tersentak apabila terdengar dentuman kuat. Ada beberapa kali rakanku menasihati kanak-kanak dan remaja itu agar menjauhi kawasan surau. Nasihat itu masuk ke telinga kanan dan keluar di telinga kiri mereka.

Oleh sebab tahun 1433 Hijrah ini ialah kali keempat aku mengalami suasana Ramadan dan Syawal di Bandar Springhill, Port Dickson, sepatutnya aku sudah mula lali dengan dentuman mercun dan roket. Hal itu tidak terjadi. Aku semakin gelisah. Keghairahan kanak-kanak dan remaja meledakkan dentuman kuat di kawasan surau ketika kami bertarawih semakin menjadi-jadi. Keghairahan kanak-kanak dan remaja bukan Islam membakar mercun dan melancarkan roket juga meningkat seratus peratus.

Satu hal yang menjengkelkan daku ialah perbuatan jiran melancarkan roket ke arah rumahku pada malam kedua Syawal. Aku berasa letupan roket itu terlalu kuat. Aku sungguh terkejut. Aku membuka daun tingkap dan menjengulkan kepala ke arah sumber roket itu. Tidak lama kemudian sebuah roket lagi dilancarkan dan meletup kira-kira tiga puluh meter dari tempat aku berdiri di tingkat atas. Aku berhasrat untuk berjumpa dengan orang yang melancarkan roket itu. Aku hendak menasihatinya agar tidak mengganggu ketenteramanku dan jiran-jiran. Mereka boleh bermain roket tetapi sasarannya bukan rumah jiran. Aku mungkin akan berkata, “Elok jadikan bumbung rumah kamu sebagai sasaran.”

Tidak lama kemudian sebuah roket lagi dilancarkan. Kesunyian malam kedua Syawal tercemar lagi. Jantungku bergegar. Kegeramanku melonjak. “Cuba kausasarkan roket itu ke pintu rumahmu!” Apabila satu roket sahaja lagi berdentum di tempat yang sama, aku akan meredah malam untuk mencari orang yang melancarkan roket itu. Aku menunggu saat itu.

Detik demi detik berlalu. Langit hitam. Hujan dijangka turun lagi. Kesunyian kembali menyelubungi malam. Kelibat manusia di tempat pelancaran roket sudah tidak kelihatan. Suhu malam semakin sejuk. Aku kembali tenang. Kututup daun tingkap. Kutatap buku wajah. Beberapa orang rakanku merungut. Bunyi mercun pada malam bulan Syawal mengganggu ketenteraman mereka. Sebaliknya aku semakin tenteram. Dentuman roket keempat yang kutunggu tidak menjadi kenyataan.

Tiada ulasan: