Memaparkan catatan dengan label Pekeliling. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pekeliling. Papar semua catatan

29 Februari 2012

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011

JPA(BPP)(S)24/7/2 28 Oktober 2011
Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011
Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam

08 Jun 2011

Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2006: Langkah Memperkasakan Bahasa Kebangsaan

SURAT PEKELILING AM BILANGAN 1 TAHUN 2006

JABATAN PERDANA MENTERI,
KOMPLEKS JABATAN PERDANA MENTERI,
PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN,
62502 PUTRAJAYA,
MALAYSIA.

Ruj. Kami PM(S) 10034, Jld.9 22
Tarikh: Disember 2005
Telefon: 603-88881957
Faksimile: 603-88883903

22 Disember 2005

Semua Ketua Setiausaha Kementerian
Semua Ketua Jabatan Persekutuan
Semua Ketua Pengurusan Badan Berkanun Persekutuan
Semua YB. Setiausaha Kerajaan Negeri
Semua Ketua Pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan

LANGKAH-LANGKAH MEMPERKASAKAN PENGGUNAAN BAHASA KEBANGSAAN DALAM PERKHIDMATAN AWAM

TUJUAN

1. Surat Pekeliling Am ini bertujuan memaklumkan akan langkah-langkah untuk memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik, betul dan santun, serta memperluas penggunaannya secara menyeluruh dalam Perkhidmatan Awam, sesuai dengan perkembangan dan kemajuan negara yang pesat pada masa ini.

LATAR BELAKANG

2. Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, memperuntukkan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan hendaklah digunakan sebagai bahasa rasmi dalam pentadbiran negara. Bahasa rasmi yang dimaksudkan ialah bahasa yang digunakan dalam semua maksud rasmi yang meliputi wacana lisan dan tulisan di peringkat Kerajaan Persekutuan, Kerajaan-Kerajaan Negeri, Badan-Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan. Wacana lisan rasmi termasuklah mesyuarat, taklimat, ucapan, ceramah, syarahan, perbincangan pentadbiran dan yang seumpama dengannya. Wacana tulisan rasmi pula meliputi surat-menyurat pentadbiran, minit mesyuarat, memo, laporan, kertas cadangan, pekeliling dan sebagainya. Bahasa yang digunakan di tempat awam seperti pada papan iklan, papan tanda dan premis perniagaan juga terangkum sebagai bahasa yang digunakan dalam urusan rasmi.

3. Bagi melaksanakan dan memantau penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul, Kerajaan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa, iaitu Jawatankuasa Penyelarasan Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara.

TANGGUNGJAWAB KEMENTERIAN, JABATAN, dan AGENSI

4. Ketua-ketua jabatan hendaklah mewujudkan mekanisme di organisasi masing-masing untuk menjayakan dan memantau pelaksanaan surat pekeliling ini serta mengambil tindakan-tindakan yang berikut:

(i) memastikan semua pegawai dan kakitangan Kerajaan menggunakan bahasa kebangsaan yang baik dan betul dalam semua urusan rasmi, sama ada secara tulisan mahupun lisan, dengan rakan sekerja dan apabila berurusan dengan pelanggan (kecuali urusan yang melibatkan negara asing dan untuk tujuan melatih pegawai dan kakitangan supaya fasih berkomunikasi dalam bahasa asing);

(ii) mewajibkan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul dati segi ejaan, sebutan, istilah dan tatabahasa dalam hal-hal seperti mesyuarat, surat-menyurat, arahan pada papan tanda dan papan kenyataan, iklan, dokumen rasmi, penamaan di tempat awam jalan, kawasan perumahan, premis perniagaan dan sebagainya. Bahasa-bahasa/lain boleh digunakan berdasarkan pada keperluan. Walau bagaimanapun, penggunaan bahasa-bahasa lain itu hendaklah kurang menonjol dati segi saiz, warna dan seumpamanya;

(iii) menjalankan latihan dan menganjurkan aktiviti secara berterusan yang bertujuan meningkatkan kemahiran dalam bahasa kebangsaan di kalangan pegawai dan kakitangan;

(iv) memastikan buku, bahan rujukan atau risalah pedoman bahasa kebangsaan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam edisi terkini disediakan untuk kegunaan semua pegawai dan kakitangan, seperti Kamus Dewan, Kamus Inggeris-Melayu Dewan, Kamus Dwibahasa, Tesaurus Umum Bahasa Melayu, buku-buku istilah dalam pelbagai bidang ilmu, E-Kamus (yang mengandungi Kamus Dewan, Kamus Inggeris Melayu Dewan dan Kamus Istilah Komputer), Daftar Kata Bahasa Melayu: Rumi - Sebutan - Jawi, dan lain-lain; dan

(v) mendapatkan khidmat nasihat Dewan Bahasa dan Pustaka melalui talian terus 03-21481960 dan 03-21485887 atau laman web DBP, http://www.dbp.gov.my.

5. Semua pertanyaan berkaitan dengan surat pekeliling ini hendaklah dirujuk kepada Urus Setia Jawatankuasa Penyelarasan Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam, Bahagian Pengembangan Bahasa Sektor Awam, Jabatan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur.

PEMAKAIAN

6. Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, peruntukan surat pekeliling ini dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

TARIKH KUAT KUASA

7. Surat Pekeliling ini berkuat kuasa dari tarikh ia dikeluarkan.

"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"

(TAN SRI SAMSUDIN BIN OSMAN)
Ketua Setiausaha Negara.

11 April 2010

Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/2000, Pelaksanaan Sebutan Baku

KP(BS)8591/Jld.XVI/(3)
16 Februari 2000

Pelaksanaan Sebutan Baku dalam Pengajaran dan Pembelajaran Mata Pelajaran Bahasa Melayu di Sekolah

Surat Pekeliling Ikhtisas ini dikeluarkan dengan tujuan memaklumkan pihak Y. Bhg. Dato’/Datuk/Tuan tentang pelaksanaan sebutan baku di sekolah.

2. Mesyuarat Jemaah Menteri telah memutuskan bahawa sebutan baku yang terus dilaksanakan di sekolah adalah hanya untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu sahaja.

3. Walau bagaimanapun, untuk ujian lisan dalam peperiksaan awam, sebutan baku atau sebutan biasa boleh digunakan. Bagi pengajaran dan pembelajaran mata-mata pelajaran selain Bahasa Melayu serta urusan-urusan lain di sekolah, sebutan biasa digunakan.

4. Dengan berkuat kuasanya Surat Pekeliling Ikhtisas ini, maka Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 2/1993 bertarikh 30 September 1993 yang bertajuk “Tarikh Penyempurnaan Pelaksanaan Bahasa Melayu Sebutan Baku” dibatalkan.

5. Sila maklumkan kandungan pekeliling ini kepada semua sekolah di negeri Y. Bhg. Dato’/Datuk/Tuan.

Sekian.

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

tt.
DATUK DR. ABDUL SHUKOR ABDULLAH
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia

10 April 2010

Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/1993: Pelaksanaan Sebutan Baku

Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia
Kementerian Pendidikan Malaysia
Blok J, Paras 7
Pusat Bandar Damansara
50604 Kuala Lumpur.

Ruj. Kami : KP(BS)8591/Jld.7/(56)
Tarikh : 30 September 1993

Semua Ketua Bahagian
Kementerian Pendidikan
Semua Pengarah Pendidikan Negeri.

Y. Bhg. Datuk/Tuan/Puan,

Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/1993: Tarikh Penyempurnaan Pelaksanaan Bahasa Melayu Sebutan Baku

Surat Pekeliling Ikhtisas ini dikeluarkan dengan tujuan untuk memaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan telah memutuskan bahawa Bahasa Melayu sebutan baku akan diwajibkan dalam peperiksaan seperti berikut:

i. Mulai 1994: Ujian Lisan Bahasa Melayu tahun 6 bagi SK/SRK yang dikendalikan sepenuhnya oleh sekolah.
ii. Mulai 1994: Ujian Lisan Bahasa Melayu Tingkatan III yang dikendalikan sepenuhnya oleh sekolah.
iii. Mulai 1994: Ujian Lisan Bahasa Melayu SPM yang dikendalikan sepenuhnya oleh Lembaga Peperiksaan.

2. Ke arah penyempurnaan pelaksanaan tersebut semua Maktab Perguruan, Institusi Pengajian Tinggi dan sekolah hendaklah memiliki bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran seperti berikut:

i. Pedoman Sebutan Bahasa Melayu, DBP, 1988
ii. Daftar Umum Sebutan Bahasa Melayu, DBP, 1991
iii. Daftar Kata Bahasa Melayu, DBP (dijangka terbit Mac 1994)
iv. Modul Panduan Sebutan Baku Bahasa Melayu, Kementerian Pendidikan Malaysia, DBP, 1989

3. Untuk memantapkan lagi penguasaan Bahasa Melayu sebutan baku, semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran, aktiviti kokurikulum serta upacara rasmi lain seperti pertandingan bahas, syarahan, seminar dan sebagainya mestilah dilaksanakan dengan menggunakan Bahasa Melayu sebutan baku.

Sekian bagi tindakan Y. Bhg. Datuk/Tuan/Puan.

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA DAN CINTAILAH BAHASA KITA”

(DATUK DR. WAN MOHD ZAHID BIN MOHD NOORDIN)
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia

s.k.
1. Y. B. Datuk Dr. Sulaiman Daud, Menteri Pendidikan Malaysia
2. Y. B. Dr. Leo Michael Toyad, Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia
3. Y. B. Dr. Fong Chan Onn, Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia
4. Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia
5. Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan I, Kementerian Pendidikan Malaysia
6. Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan II, Kementerian Pendidikan Malaysia
7. Timbalan Ketua Setiausaha I, Kementerian Pendidikan Malaysia
8. Timbalan Ketua Setiausaha II, Kementerian Pendidikan Malaysia
9. Pegawai Perhubungan Awam, Kementerian Pendidikan Malaysia

03 Januari 2010

Surat Pekeliling Ikhtisas 7/2009: KOMSAS Bahasa Malaysia 2010

Surat Pekeliling Ikhtisas ini menggunakan istilah bahasa Malaysia. Hal ini bermakna ada mata pelajaran Bahasa Malaysia pada tahun 2010. Adakah istilah bahasa Malaysia sudah digunakan di sekolah sejak pertengahan tahun 2007?

Saya mohon pengunjung mencatatkan sama ada Kementerian Pelajaran Malaysia menggunakan istilah kesusasteraan Malaysia atau kesusasteraan Melayu, dalam ruangan ulasan. Mohon catatkan sumber rujukan seperti pekeliling ini.

KOMSAS, SPI 7-2009