30 Julai 2009

Pengisian Kurikulum BM: Nilai Murni

Aspek kedua dalam senarai pengisian kurikulum Bahasa Melayu sekolah rendah ialah nilai. Semasa praktikum, aspek ini mesti diberi keutamaan yang lebih atas dua sebab.

Yang pertama, penerapan nilai tercatat dua kali dalam borang penilaian praktikum, iaitu dalam bahagian perancangan dan dalam bahagian pelaksanaan. Ertinya, wajarannya tinggi berbanding dengan aspek pengisian kurikulum yang lain. Yang kedua, penulisan objektif afektif hendaklah berdasarkan nilai murni. Jadi, tanpa nilai murni sebahagian daripada objektif pembelajaran pasti tidak akan tercapai. Oleh hal demikian, guru Bahasa Melayu mesti menyerapkan nilai murni dalam setiap pelajaran.

Sukatan pelajaran mencatatkan bahawa penerapan nilai murni dalam pendidikan Bahasa Melayu adalah untuk melahirkan insan yang baik serta memiliki akhlak mulia. Selain itu, penghayatan dan amalan nilai murni bertujuan untuk membentuk generasi muda yang berhemah tinggi dan berperibadi mulia.

Pemahaman dan kesedaran tentang nilai murni masyarakat Malaysia perlu dipupuk sama ada secara langsung atau tidak langsung, selaras dengan nilai sejagat. Tegasnya, usaha guru menerapkan nilai murni di sekolah merupakan amalan menghayati Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Jadi, sudah sewajarnya aspek ini dilaksanakan dengan segala kesungguhan.

Selain itu, penekanan terhadap nilai murni selaras dengan hasrat Wawasan 2020 untuk membentuk generasi baharu dengan acuan kita sendiri, iaitu generasi yang sarat dengan nilai murni. Hal ini menjadi asas pertimbangan penyemak kurikulum yang menghasilkan kurikulum semakan pada tahun 2003. Kini, di bawah gagasan Satu Malaysia, penekanan terhadap nilai murni di sekolah rendah menjadi bertambah penting. Apabila kita teliti, nilai murni di sekolah rendah terangkum dalam lapan nilai Satu Malaysia.

Di bawah ini disenaraikan 17 nilai murni dengan sedikit ulasannya.

1. Baik Hati … sikap mengambil berat terhadap perasaan dan kebajikan orang lain secara ikhlas yang dapat dilihat dengan menilai tindak tanduk seseorang terhadap orang lain.

2. Berdikari … kebolehan dan kesanggupan melakukan sesuatu tanpa bergantung pada orang lain yang terjelma juga melalui rasa tanggungjawab, berupaya bertindak sendiri, jaya diri dan yakin pada diri sendiri.

3. Hemah Tinggi … budi pekerti dan tingkah laku yang mulia dan lemah lembut serta budi bahasa yang patut diamalkan oleh seseorang dalam hubungannya dengan anggota masyarakat yang lain; terjelma melalui kesopanan, mengakui kesalahan diri, dan ramah mesra.

4. Hormat-menghormati … menghargai dan memuliakan seseorang dan institusi sosial dengan memberikan layanan yang sopan; antara lain terjelma melalui ketaatan terhadap ibu bapa, orang yang lebih tua, guru, rakan, jiran tetangga, dan pemimpin; dan terjelma juga melalui hormat kepada raja dan negara, patuh kepada undang-undang dan menghargai maruah diri.

5. Kasih Sayang … perasaan cinta, kasih dan sayang yang mendalam dan berkekalan yang lahir daripada hati yang rela terhadap sesuatu; termasuk sayang/cinta akan nyawa, alam sekitar, negara dan keamanan.

6. Keadilan … perlakuan, pertuturan dan keputusan yang saksama serta tidak berat sebelah; termasuk juga saksama.

7. Kebebasan … dapat melakukan sesuatu tanpa batasan asalkan kebebasan itu tertakluk pada peraturan dan undang-undang agama, masyarakat dan negara; terjelma melalui kebebasan di sisi undang-undang dan kebebasan dalam sistem demokrasi.

8. Keberanian … kesanggupan seseorang untuk menghadapi cabaran dengan yakin dan tabah hati; termasuk berani tanpa membuta tuli, berani kerana benar, berani mempertahankan pendirian, dan berani bertanggungjawab.

9. Kebersihan Fizikal dan Mental … kebersihan diri dan kebersihan persekitaran; terjelma melalui pertuturan, kelakuan, pemikiran dan amalan kerohanian.

10. Kejujuran … sikap dan perlakuan yang menunjukkan niat baik, amanah dan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan; termasuk amanah, bercakap benar, dan ikhlas.

11. Kerajinan … usaha secara berterusan yang penuh dengan semangat ketekunan dan dedikasi dalam melakukan sesuatu perkara; terjelma melalui kecekalan, daya usaha, dedikasi, gigih dan tekun.

12. Kerjasama … usaha yang baik dan membina yang dilakukan secara bersama-sama pada peringkat individu, komuniti, masyarakat atau negara untuk mencapai sesuatu matlamat; termasuk persaudaraan, tanggungjawab bersama, gotong-royong, toleransi, kebaikan bersama dan perpaduan.

13. Kesederhanaan … sikap tidak keterlaluan dalam membuat pertimbangan dan tindakan sama ada dalam pemikiran, pertuturan atau perlakuan supaya sesuai dengan norma dan nilai masyarakat; secara umum sederhana dalam mempertimbangkan kepentingan diri dan kepentingan orang lain.

14. Kesyukuran … perasaan dan perlakuan yang dilahirkan secara ikhlas atas nikmat dan kesenangan yang diperoleh; termasuk berterima kasih, mengenang budi, dan menghargai seseorang/sesuatu--fokus utama ialah kesyukuran kepada Tuhan.

15. Patriotisme … semangat cinta akan negara, taat setia kepada raja dan sanggup berkorban demi negara.

16. Rasional … dapat berfikir dengan berdasarkan alasan dan bukti yang nyata dan dapat melakukan tindakan yang wajar tanpa dipengaruhi oleh perasaan; termasuk mampu membuat pertimbangan, berfikir logik dan bersifat terbuka.

17. Semangat Bermasyarakat … kesediaan melakukan sesuatu berdasarkan semangat kekitaan seperti bermuafakat, kejiranan dan peka tentang isu sosial dan masyarakat.

Sebenarnya, penerapan nilai murni berlaku secara berterusan dalam hidup kita sama ada dalam masyarakat, di rumah, mahupun di sekolah. Di sekolah pula penyerapan nilai murni dapat berlaku di luar dan di dalam bilik darjah. Penerapan nilai murni di dalam bilik darjah dilakukan secara lebih terancang, siap dengan objektif afektifnya, dan dilaksanakan dengan teknik-teknik tertentu.

Cara termudah untuk menyerapkan nilai murni adalah dengan menyatakan atau meneguhkan nilai yang berkenaan kepada murid. Misalnya, ketika beraktiviti dalam kumpulan seorang murid menunjukkan toleransi (seperti menarik diri) demi kepentingan kumpulannya. Antara ulasan yang dapat diberikan oleh guru kepada kelas pada masa yang sesuai (seperti selepas pembentangan oleh kumpulan itu) ialah menyatakan situasi toleransi (subnilai kerjasama) murid itu dan meminta murid-murid lain mencontohi tindakannya. Jika berkesempatan hal ini dapat dikaitkan dengan situasi lain seperti ketika berkhidmat dalam angkatan tentera.

Satu cara lain yang lebih lazim untuk menerapkan nilai-nilai murni adalah dengan menggunakan bahan-bahan bacaan yang sarat dengan nilai murni. Antara bahan yang sesuai ialah peribahasa dan cerita teladan. Satu daripada aktiviti susulan selepas aktiviti bacaan ialah murid menyatakan atau mengulas nilai murni itu. Paling tidak, guru menyatakan pengajaran sesuatu cerita. Sebagai contoh, selepas menceritakan kisah “Gagak dengan Takar”, dinyatakan subnilai kerajinan, iaitu kecekalan dan daya usaha gagak membuahkan kejayaan atau dengan peribahasa “usaha tangga kejayaan.” Walau bagaimanapun, tentulah lebih baik lagi jika nilai itu dinyatakan oleh murid sendiri kepada kelas atau kumpulannya.

Sesungguhnya guru mempunyai peluang yang sangat banyak untuk menerapkan nilai murni semasa berinteraksi dengan murid di dalam bilik darjah. Sebenarnya, sistem bahasa itu sendiri mengutamakan nilai murni seperti kesantunan berbahasa. Ketika mengajarkan bahan yang mengandungi maklumat pula, kemahiran murid untuk menyampaikan maklumat itu perlu dititikberatkan. Pendeknya hampir kesemua aktiviti di dalam bilik darjah dapat dimanipulasi untuk menerapkan nilai murni sama ada dengan cara meminta murid menjadikan perkara baik sebagai teladan atau meminta mereka menjadikan perkara buruk sebagai sempadan. Yang penting guru mesti menyedari akan kewujudan nilai itu, menyerlahkannya kepada kelas dan memberikan peneguhan kepada murid untuk mengamalkan nilai itu. Pendek kata, penerapan nilai murni mudah dan memang sentiasa dapat dilaksanakan.

29 Julai 2009

Pak Cik, Bukan Pakcik

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (KDEK), kata pak ialah singkatan bagi bapak, iaitu bahasa percakapan bagi bapa. Kata cik pula ialah singkatan bagi kecik, iaitu bahasa percakapan bagi kecil. Jadi, pak cik ialah singkatan bapa kecil (bahasa baku) atau bapak kecik (bahasa percakapan).

KDEK mencatatkan dua makna pak cik. Yang pertama, pak cik ialah bapa saudara yang muda sekali. Yang kedua, pak cik ialah panggilan yang biasanya digunakan oleh kanak-kanak kepada bapa kawannya atau orang yang sebaya dengan bapanya.

Dalam KDEK, semua kata pak cik dieja terpisah. Kita dapat mengesan ejaan kata ini di bawah kata masukan cik I, cu, emang, engku, mamang IV, pak, paman, dan ya. Selain itu, KDEK menggunakan ejaan pak cik dalam ayat contoh di bawah kata masukan isih, jenguk, kasih II dan oleh. Ayat-ayat contoh itu adalah seperti yang di bawah.

1. Pak Cik pun mulalah mengisih orang-orang yang duduk tidak teratur itu.
2. Kalau ada masa lapang datanglah menjenguk-jenguk pak cik di kampung ini.
3. Tolonglah pak cik, kasihanlah!
4. Ia anak yang satu-satunya oleh pak cik saya.

Dalam Kamus Pelajar pula, ejaan ini terdapat dalam ayat contoh bagi masukan gaduh seperti yang bawah.

5. Pak cik jangan gaduh, anak pak cik ini akan segera sembuh.

Kata masukan *pakcik tidak terdapat dalam KDEK dan Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi. Hal ini menunjukkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak menerima ejaan *pakcik, walaupun hanya sebagai variasi ejaan. Tegasnya, ejaan yang betul ialah pak cik. Penegasan ini sesuai dengan jawapan pihak Khidmat Nasihat Bahasa (KNB) pada 16 Oktober 2003 dan 23 Julai 2008. KNB menyatakan ejaan yang betul (tepat) ialah pak cik dan mak cik.

Walau bagaimanapun, hasil carian di laman Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) pada hari ini (29 Julai 2009) menunjukkan DBP menggunakan ejaan *pakcik untuk memerikan bahasa sukuan. DBP juga menggunakan ejaan *pakcik dalam pantun yang di bawah.

Buah macang serangkul lebat,
*Pakcik Saleh berniaga kain;
Tiga dipancang dua tak lekat,
Baik saya beralih lain.


Dapatan carian ini menunjukkan DBP ada melakukan kesilapan ejaan pak cik. Jikalau hal ini dipandang ringan, ada kemungkinan mana-mana pihak di DBP terus melakukan kesilapan ejaan seperti ini. Malah, kita khuatir ada pula guru Bahasa Melayu atau editor melakukan hiperkoreksi. Contohnya, ejaan pak cik mungkin ditukar menjadi *pakcik.

25 Julai 2009

Kaedah Fonik Versi Nik Eliani dan Othman

Siri Kaedah Pengajaran Bacaan
1. Membaca: Satu Renungan
2. Tahap Kefahaman Bacaan
3. Konsep Kesediaan Membaca
4. Pengajaran Kemahiran Mengeja: Konsep Ejaan
5. Kaedah Pengajaran Bacaan Asas: Kaedah Abjad
6. Tinjauan Mudah Kaedah Pengajaran Bacaan Permulaan
7. Kaedah Gabungan Bunyi-Kata: Bicara Permulaan
8. Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK): Versi Asal
9. Kaedah Yong (Kaedah Cepat Membaca)
10. Kaedah Campuran-Cerakinan PPK

Kaedah Fonik Versi Nik Eliani atau Kaedah Bacalah Anakku ialah kaedah bacaan asas. Guru prasekolah, pemulihan khas dan KIA2M perlu menguasai kaedah ini. Terpulanglah pada mereka sama ada hendak memilih kaedah ini atau kaedah yang lain. Yang penting, dengan menguasai kaedah ini mereka mempunyai lebih banyak pilihan untuk mencelikhurufkan kumpulan sasaran mereka.

Semua pelajar institut pendidikan guru (IPG) pula perlu mengetahui kaedah ini. Sebabnya, semua pelajar IPG dimestikan mengikuti kursus Literasi Bahasa Melayu. Satu tajuk penting dalam kursus itu ialah “Bengkel Asas Membaca Kaedah Fonik”.

Kelompok lain yang perlu menguasai kaedah ini ialah pelajar IPG dan institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) yang mengikuti program Bahasa Melayu Sekolah Rendah. Mereka akan menjadi guru prasekolah, guru Bahasa Melayu atau guru pemulihan apabila selesai menjalani latihan di IPG atau di IPTA.

Bahan untuk melaksanakan kaedah ini mudah diperoleh di pasaran. Bahan utamanya ialah Buku Panduan Siri Cepat Membaca Bacalah Anakku karangan Nik Eliani Nik Nawi dan Othman Ahamad. Ada juga bahan sokongan seperti kaset dan cakera padat video. Bahan sokongan terbaharu ialah Lagu Fonik Bacalah Anakku: Abu Ada Ayam yang diusahakan oleh Nik Eliani.

Nik Eliani dan Othman mendakwa Siri Cepat Membaca, Bacalah Anakku sudah terbukti berjaya mencelikhurufkan kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun, murid Tahun 1 dan murid pemulihan. Bukti itu tidak terdapat dalam buku yang berkenaan. Namun, seorang rakan penulis yang pernah menyertai bengkel kendalian Nik Eliani akur dengan keistimewaan kaedah ini.

Buku ini disusun dengan baik dan sistematik berdasarkan sistem fonetik. Buku ini juga mengambil kira kaedah pembelajaran yang berkesan dan sesuai dengan tahap perkembangan psikologi dan psikomotor kanak-kanak.

Nota pada 20 April 2011
Oleh sebab sambutan pengunjung kurang menggalakkan, catatan ini terhenti di sini.

23 Julai 2009

Kaedah Campuran-Cerakinan PPK

Siri Kaedah Pengajaran Bacaan Asas
Membaca: Satu Renungan
Konsep Kesediaan Membaca
Pengajaran Kemahiran Mengeja: Konsep Ejaan
Kaedah Pengajaran Bacaan Asas: Kaedah Abjad
Tinjauan Mudah Kaedah Pengajaran Bacaan Permulaan
Kaedah Gabungan Bunyi-Kata: Bicara Permulaan
Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK): Versi Asal
Kaedah Yong (Kaedah Cepat Membaca)

Nama kaedah ini dalam Buku Panduan Am Kurikulum Baru Sekolah Rendah terbitan tahun 1981 dan Buku Panduan Khas Bahasa Malaysia Tahun 1, cetakan ketiga tahun 1987 ialah “Pendekatan A”. Pihak yang mengetengahkan kaedah ini ialah Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) atau Bahagian Pembangunan Kurikulum, iaitu nama baharu PPK mulai tahun 2008. Menurut PPK, “Pendekatan A” ialah kaedah campuran yang memberatkan cerakinan. Oleh itu, kita dapat menamakan kaedah ini sebagai Kaedah Campuran-Cerakinan PPK.

Susunan kemahiran pengajaran bacaan asas dalam Buku Panduan Khas Tahun 1 terbitan tahun 1982 berdasarkan kaedah ini. Guru sekolah rendah mengajarkan bacaan asas berpandukan Buku Panduan Khas Tahun 1 itu. Hal ini bermakna Kaedah Campuran-Cerakinan ini merupakan kaedah yang penting pada tahun 1980-an. Namun, menurut Profesor Dr. Isahak Haron, penggunaan Kaedah Campuran-Cerakinan ini tidak bertahan lama. Guru sekolah rendah kembali menggunakan Kaedah Abjad, iaitu kaedah yang sudah sebati dengan diri mereka.

Berdasarkan ciri dan huraiannya, Kaedah Campuran-Cerakinan PPK dapat dianggap sebagai variasi Kaedah Seluruh Perkataan. Kaedah ini dikatakan sesuai untuk mengajarkan bacaan asas bahasa Inggeris. Ada pendapat mengatakan kaedah ini kurang sesuai untuk mengajarkan bacaan asas bahasa Melayu. Yang jelas kaedah ini pernah digunakan untuk mengajarkan bacaan asas bahasa Melayu. Oleh hal demikian, guru yang mengajarkan bacaan asas bahasa Melayu perlu mengetahui kaedah ini. Hal ini dikatakan demikian kerana pengetahuan itu berguna untuk berhujah bagi menerima atau menolak penggunaan sesuatu kaedah di bilik darjah.

Penggunaan kaedah ini bermula dengan aktiviti prabacaan atau kesediaan membaca. Guru meningkatkan kesediaan murid untuk belajar melalui aktiviti fizikal yang melibatkan pendengaran dan penglihatan. Selepas itu barulah guru mendedahkan perkataan atau ayat yang mudah kepada murid.

Pengelolaan contoh kaedah ini adalah seperti yang di bawah. Pengelolaan contoh ini bermula dengan perkataan.

1. Guru menunjukkan gambar baju dan meminta murid menyebut nama benda dalam gambar itu. (Pandang-sebut benda dalam gambar.) Kemudian guru berbual dengan murid tentang baju. (Aktiviti lisan.)

2. Guru menunjukkan kad perkataan baju dan meminta murid menyebut “baju”. (Pandang-sebut seluruh perkataan.)

3. Guru menggandingkan kad perkataan "baju" dengan gambar baju. Murid menyebut perkataan “baju”. (Pandang-sebut seluruh perkataan.)

4. Guru mengenyahkan kad gambar daripada pandangan murid. Kini tinggal kad perkataan "baju" sahaja. Guru meminta murid menyebut (“membaca”) seluruh perkataan pada kad perkataan itu. (Pandang-sebut seluruh perkataan.) Proses memandang dan menyebut perkataan baju ini boleh dilakukan secara latih tubi hingga murid berjaya (mengecam dan) menyebut perkataan “baju” setiap kali guru menunjukkan kad perkataan baju itu. Kemudian proses ini diulang untuk perkataan-perkataan yang lain seperti “buku” dan “batu”.

5. Seterusnya, guru hanya menunjukkan kad perkataan "baju", "buku" dan "batu" satu persatu. Murid “membaca” perkataan pada kad itu. (Pandang-sebut seluruh perkataan.) Guru boleh menggunakan teknik latih tubi yang bervariasi. Contohnya, murid mengangkat dan menayangkan kata perkataan “baju” apabila guru menyebut “baju”. Contoh lain, murid mencari kad perkataan "baju" di dalam kotak dan menayangkannya kepada kelas apabila guru menyebut “baju”.

6. Aktiviti seterusnya berfokus pada suku kata. Guru menunjukkan suku kata "ba" dan murid menyebutnya. Kemudian guru menunjukkan suku kata "ju" dan murid menyebutnya. (Pandang-sebut suku kata.) Teknik latih tubi yang bervariasi boleh digunakan untuk aktiviti ini.

7. Seterusnya, guru menggandingkan kad suku kata "ba" dengan "ju" pada kad perkataan "baju". Guru meminta murid meneliti persamaan kad suku kata dengan suku kata pada kad perkataan. Kemudian guru meminta murid menyebut perkataan "ba"-"ju". (Pandang-sebut suku kata.)

8. Kemudian, dengan pantas guru mengenyahkan kad perkataan "baju", mencantumkan kad suku kata "ba"-"ju" dan meminta murid membacanya. (Pandang-sebut suku kata.) Beberapa proses yang berkaitan dengan suku kata ini boleh diulang untuk perkataan lain.

9. Langkah seterusnya ialah guru menunjukkan kad huruf "b"-"a"-"j"-"u". Murid menyebut bunyi huruf berdasarkan sebutan guru: /b/ - /a/ - /j/ - /u/ (beh – a – jeh – u). Guru menggandingkan kad huruf "b"-"a" dan murid menyebut "ba". Guru menggandingkan "j"-"u" dan murid menyebut "ju". Sebagai peneguhan, akhirnya murid menyebut perkataan "baju" berdasarkan kad suku kata atau kad perkataan. Teknik latih tubi yang bervariasi hendaklah dimanfaatkan dalam proses ini.

Urutan kaedah ini seperti yang terdapat dalam Buku Panduan Khas Bahasa Malaysia Tahun 1, cetakan ketiga tahun 1987 pula adalah seperti yang di bawah. Urutan ini dapat dianggap variasi pengelolaan contoh di atas. Urutan ini bermula dengan ayat.

Kaedah Campuran-Cerakinan PPK



Ciri-ciri pendekatan ini adalah seperti yang berikut:

1. Sebutan yang betul diperdengarkan semasa aktiviti lisan dan bahan yang dibaca itu mesti difahami oleh murid.
2. Seluruh perkataan diperkenalkan dahulu agar murid dapat mengaitkan lambang (perkataan) itu dengan konsep.
3. Pada peringkat tertentu, pengecaman bentuk dititikberatkan dengan menggunakan teknik suku kata dan teknik huruf/bunyi.
4. Bahan bacaan diperingkatkan berdasarkan kerumitan grafik, iaitu yang mudah didahulukan.
5. Perkataan yang digunakan ialah perkataan yang objeknya dapat dilihat oleh murid di sekeliling mereka.
6. Aktiviti pengukuhan bacaan diadakan dengan menggunakan perkataan-perkataan yang hampir sama dengan perkataan-perkataan yang telah dipelajari.

Susunan bahan bacaan pendekatan ini ialah mendahulukan bahan yang senang dan diikuti bahan yang susah, atau secara umumnya berdasarkan kesukaran. Kesukaran bahan bacaan itu dilihat dari sudut bentuk grafik huruf, struktur perkataan, bunyi huruf, sebutan perkataan secara keseluruhan, dan maknanya. Dari segi struktur perkataan, susunan yang dicadangkan oleh Buku Panduan Khas Bahasa Malaysia Tahun 1 adalah seperti yang berikut:

1. V-KV seperti api dan ibu
2. KV-KV seperti buku dan baju
3. V-KVK seperti ikan dan ayam
4. KV-KVK seperti makan dan bulan
5. KVK-KV seperti pintu dan lampu
6. KVK-KVK seperti sampah dan tanduk
7. KV-KV-KV seperti kelapa dan kerusi
8. KV-KV dan KV-KVK yang menggunakan ng, ny, kh, sy dan gh seperti nganga, nyanyi, dan Khamis
9. VK-KVK seperti intan, empat, dan untung
10. Berimbuhan: berlari, melukis, membaca, menganga
11. Vokal berganding dan diftong: main, kain, laut, taat, buih, amboi

Kaedah Yong (Kaedah Cepat Membaca)

Kaedah ini dinamakan juga Kaedah Cepat Membaca dan disebarluaskan melalui buku Cerdik Membaca 1-3 (2001). Kaedah ini menekankan pembacaan terus dengan membunyikan suku kata yang dicam melalui penyebutan huruf. Kaedah ini digunakan Puan Maimunah Arifin untuk mengajar murid tahun satu dan murid-murid pemulihan di sebuah sekolah di Pahang dan dikatakan telah berjaya menghasilkan murid-murid yang menguasai kemahiran membaca dengan cepat.

Ciri-cirinya adalah seperti yang berikut:

1. Huruf besar dan huruf kecil diperkenalkan kepada murid secara serentak. Hal ini membolehkan murid mengenal fungsi huruf besar secara langsung sejak awak lagi.

2. Kemudian, murid diperkenalkan kepada nama huruf-huruf vokal dan bunyinya. Pendidik perlu menekankan perbezaan antara nama huruf dengan bunyinya. Pendidik juga perlu menerangkan kepada murid cara pengeluaran bunyi huruf-huruf yang berkenaan ilmu fonetik. Urutan bahan: Aa, Ii, Oo, Uu, Ee pepet, Ee taling.

3. Murid diberitahu bahawa huruf-huruf konsonan tidak mempunyai bunyi. Cara penyebutan huruf-huruf konsonan juga dijelaskan kepada murid. Pendedahan kepada huruf konsonan berdasarkan urutan: Bb, Pp, Mm, Nn, Ll, Dd, Tt, Rr, Ss, Zz, Kk, Cc, Jj, Gg, Hh, Yy, Ww, Qq, Ff, Vv ng, ny. Nota: huruf x dan konsonan rangkap kh dan sy tidak terdapat dalam buku.

4. Kaedah ini membahagikan huruf kepada tiga kelompok penyebutan, iaitu yang penyebutannya

(a) jelas memperlihatkan kedudukan dan bentuk bibir
(b) jelas memperlihatkan kedudukan dan bentuk lidah
(c) hanya dapat dikesan melalui rasa kerana alat artikulator yang terlibat ialah bahagian dalam mulut

5. Langkah yang berikutnya ialah pembacaan suku kata yang seragam vokalnya, iaitu ba, ca, da, fa, ga, ha, ja, ka, la, ma, na, pa, qa, ra, sa, ta, va, wa, ya, dan za yang dipaparkan pada carta suku kata.

6. Langkah yang berikutnya ialah murid didedahkan dengan perkataan V-KV seperti ada dan ela, dan KV-KV seperti baca, rata, kata, masa, bara, saya dan saga. Perkataan disertai gambar membantu pemahaman mereka. Pola yang berikutnya ialah KV-KV-KV seperti bahasa, dan KV-KV-KV-KV seperti manakala dan lama-lama.

7. Seterusnya murid didedahkan dengan rangkai kata seperti daya saya, jala Rama dan mata Nana. Hal ini diikuti dengan aktiviti membaca ayat tunggal seperti "Zana bawa kaya”, “Nama saya Kamala”, dan “Bapa bala ada jala”.

8. Proses yang sama dilakukan untuk vokal i, u, e pepet, o, dan e taling. Latihan berkaitan dengan perkataan, rangkai kata dan ayat mengandungi vokal-vokal yang telah dipelajari sebelumnya.

9. Aktiviti berikutnya ialah membaca ayat.

10. Tanda baca didedahkan secara langsung. Hal ini bertujuan mengekalkan minat murid untuk terus membaca.

11. Suku kata tertutup didedahkan dalam langkah seterusnya. Penegasan diberikan kepada vokal berganding seperti dalam perkataan “buah”. Perkataan ini mengandungi dua suku kata, iaitu bu dan ah. Apabila dua bunyi suku kata ini dibaca, bunyi itu dijadikan satu bunyi dan dalam satu nafas.

12. Peneguhan dilakukan dengan menjawab soalan dalam buku Kaedah Cepat Membaca: Cerdik Membaca 3.

13. Dalam buku, dua warna sahaja digunakan, iaitu hitam untuk suku kata pertama atau praakhir dan merah untuk suku kata kedua dan suku kata akhir. (lada, ada, Uda, mata; bahasa, cahaya, manakala; api, isi, uli, sisi, kiri, sini; kita, bila, sari, jika; daripada, ibu, itu, tipu, rugi, budaya, beku, kepala, tenaga, nona, lori, desa)

Berdasarkan penerangan di atas, dapat dirumuskan bahawa kaedah ini bersifat binaan (dari unit kecil kepada unit besar), mengandungi ciri-ciri kaedah fonetik dan dengan beberapa ciri yang tersendiri. Ringkasannya: huruf konsonan → suku kata → rangkai kata → perkataan g ayat.

20 Julai 2009

Sari Makalah: Ayat Aktif Transitif Ada Objek

1. Ayat aktif transitif ialah ayat yang mengandung kata kerja transitif yang diikuti oleh frasa nama sebagai objek atau unsur penyambutnya. Jadi, ayat yang di bawah ini salah kerana tiada objek (atau penyambut) dan tidak boleh dipasifkan.

*Halim melaporkan dari Jakarta. (üHalim melaporkan berita itu dari Jakarta.)
*S. Gunalan melaporkan untuk TV3. (üS. Gunalan melaporkan kejadian itu untuk TV3.
*Penceramah itu telah menjelaskan dengan panjang lebar. (üPenceramah itu telah menjelaskan isu bahasa dengan panjang lebar.)

2. Tiada kata lain yang boleh hadir di antara kata kerja transitif dengan objek.

*Mereka memasuki ke negara ini pada abad ke-16. (Pasif: Negara ini dimasuki mereka pada abad ke-16.)
*Penceramah itu memperkatakan tentang isu rasuah. (Pasif: Isu rasuah diperkatakan oleh penceramah itu.)
*Tentera Israel telah meningkatkan lagi serangan terhadap Hamas. (pasif: Serangan terhadap Hamas telah ditingkatkan oleh tentera Israel.)

3. Pelajar tidak harus mudah terpengaruh oleh penggunaan bahasa yang jelas tidak tepat walaupun oleh tokoh tertentu.

Nawi Ismail, “Ayat Aktif Transitif untuk Pelajar STPM”, Pelita Bahasa, Mei 2009, halaman 24 – 26.

19 Julai 2009

Rancangan Pengajaran Tahunan/Semester

Rancangan pengajaran tahunan/semester (RPT/S) contoh yang disediakan ini adalah sebagai panduan sahaja. Rancangan ini boleh diubah suai agar lebih menepati keperluan setempat dan semasa. Yang penting unsur-unsur yang terdapat dalam contoh ini perlu ada.

Unsur pertama ialah unit dan minggu. Unit dapat diambil sepenuhnya atau berdasarkan buku teks. Minggu ditetapkan oleh guru sendiri. Satu unit lazimnya dilaksanakan satu hingga dua minggu sahaja.

Unsur kedua ialah tema dan tajuk. Seperti unit, tema dan tajuk juga dapat diambil sepenuhnya atau diubah suai daripada buku teks dan buku aktiviti. Tema lazimnya satu dan sebaik-baiknya diikuti dengan subtema. Contohnya, tema alam sekitar diikuti dengan subtema kebersihan. Tajuk pula boleh satu atau lebih daripada satu. Hal ini bergantung pada pelbagai faktor seperti peruntukan masa, kemudahan sumber, kebolehan murid dan kecekapan guru. Yang penting tajuk itu hendaklah berdasarkan tema yang sama.

Unsur ketiga ialah hasil pembelajaran (HP) dan huraian hasil pembelajaran (HHP) berdasarkan aras yang dapat dipetik sepenuhnya daripada Huraian Sukatan Pelajaran dan disesuaikan juga dengan cadangan HP dan HHP yang terdapat dalam buku teks. Sebaik-baiknya setiap unit mengandungi kemahiran mendengar dan/atau kemahiran bertutur, kemahiran membaca, dan kemahiran menulis. Tidak menjadi masalah sekiranya lajur HP dipisahkan daripada lajur HHP.

Unsur keempat ialah cadangan aktiviti. Perkataan cadangan sengaja digunakan seperti yang terdapat dalam Huraian Sukatan Pelajaran. Hal ini bermaksud aktiviti yang dicadangkan itu boleh diubah suai seperti digugurkan, ditambah atau digantikan dengan aktiviti yang hampir sama.

Penulisan aktiviti itu juga bersifat umum dan dapat dipecahkan kepada beberapa aktiviti kecil. Aktiviti boleh diambil dan disesuaikan atau dirumuskan daripada cadangan aktiviti yang terdapat dalam Huraian Sukatan Pelajaran, buku teks dan buku aktiviti. Yang penting, setiap aktiviti hendaklah berupa penjelasan kemahiran bagi aras yang berkenaan. Tiada ketetapan tentang jumlah aktiviti. Namun, sebagai panduan, sekurang-kurangnya satu aktiviti dapat dibina daripada satu aras kemahiran. Purata enam aktiviti bagi satu minggu dianggap memadai.

Unsur kelima ialah sistem bahasa dan pengisian kurikulum. Sistem bahasa bukan sahaja mesti diajarkan pada setiap minggu malah pada setiap kali pengajaran. Oleh itu, dua atau lebih sistem bahasa wajarlah dicatat dalam lajur yang berkenaan untuk setiap minggu.

Bagi pengisian kurikulum, nilai murni dan kemahiran bernilai tambah (KBT) mestilah dirancang untuk setiap minggu. Bagi KBT pula, kemahiran berfikir juga hendaklah dirancang untuk setiap minggu. Sebaik-baiknya dirancangkan empat pengisian kurikulum dalam seminggu.

Selain nilai murni dan kemahiran berfikir, dua lagi pengisian kurikulum lagi dapat dipilih atas kebijaksanaan guru asalkan sesuai dengan aktiviti yang disediakan. Subtajuk pengisian kurikulum di bawah KBT dianggap satu pengisian kurikulum. Jika suka, lajur sistem bahasa boleh dipisahkan daripada lajur pengisian kurikulum.

RPT-S Bahasa Melayu SR Ed 2009

Data Kosa Kata "Mengandung"

Kemas kini pada: 8 September 2009.


  1. Sebagai kata tunggal, akronim mungkin mengandung satu kata atau lebih. Kho Tong Eng, “Akronim dan Keperihalannya”, Pelita Bahasa, Mac 2009, halaman 17.

  2. Batu bersurat itu mengandung 28 baris, dipercayai dibina oleh ketua tentera Jawa yang menyerang kerajaan Sriwijaya di Sumatera. (2) Kata pendahuluannya mengandung perintah atau perisytiharan supaya raja dan orang besar yakin dan berpegang teguh pada ajaran Islam dan Rasulullah. Suhaimi Mohd Salleh, “Prasasti Perakam Bahasa Melayu Bertulis”, Pelita Bahasa, Mac 2009, halaman 34 – 35.

  3. Bidalan, pepatah, perbilangan dan perumpamaan merupakan peribahasa kerana mengandung sifat peribahasa yang disebutkan. Luie Elis, “Fungsi Perumpamaan dalam Pertuturan”, Pelita Bahasa, Mac 2009, halaman 38.

  4. (1) Ensiklopedia Bahasa Melayu mengandung banyak maklumat penting bahasa Melayu, khususnya yang digunakan di Malaysia. (2) Keseluruhannya, ensiklopedia ini mengandung 32 tajuk utama yang disusun mengikut urutan sejarah perkembangan bahasa Melayu di Malaysia. Zaidi Ismail, “Perintis Pembaharuan Penerbitan Ensiklopedia”, Pelita Bahasa, Mac 2009, halaman 43.

  5. Selain mampu dicapai di seluruh dunia, pembaca buku elektronik mengandung beberapa buah buku. Armin A. Saleh dan Mohidin Malek, “Juitaku Buku”, Pelita Bahasa, April 2009, halaman 12.

  6. Peranan subjek dalam binaan ayat mengandung pelbagai fungsi atau makna. (2) Sesungguhnya, subjek dalam sintaksis mengandung pelbagai fungsi semantik. Ahmad Khair Mohd, Nor, “Fungsi Semantik Subjek”, Pelita Bahasa, April 2009, halaman 18 – 19.

  7. Penerbitan buku tatabahasa tersebut sebelum edisi ketiga pada tahun 2008 tidak mengandung subgolongan kata itu. (2) Ayat 8 dan ayat 9 mengandung contoh kata adverba yang menerangkan kata nama dan frasa sendi nama. Nik Safiah Karim, “Kata Adverba”, Pelita Bahasa, April 2009, halaman 20.

  8. (1) Mengikut Tatabahasa Dewan, ayat aktif ialah ayat yang mengandung kata kerja yang mengutamakan subjek asal sebagai judul atau unsur yang diterangkan. (2) Ayat aktif transitif ialah ayat yang mengandung kata kerja transitif yang diikuti oleh frasa nama sebagai objek atau unsur penyambutnya. (3) Ada juga ayat aktif transitif yang mengandung klausa komplemen sebagai penyambut kata kerjanya. (4) Selain itu, terdapat juga ayat aktif transitif yang mengandung kata kerja yang boleh menerima dua objek sebagai penyambut, iaitu objek tepat dan objek sipi. Nawi Ismail, “Ayat Aktif Transitif untuk Pelajar STPM”, Pelita Bahasa, Mei 2009, halaman 24 - 26.

  9. Bendalir pencernaan dalam mulut yang mengandung amilase, ptialin, musin, albumin, globulin, leukosit, puing epitelium dan kalium tiosianat. “Istilah Veterinar: Praklinikal”, Pelita Bahasa, Jun 2009, halaman 22.

  10. Yang berikut ialah beberapa ayat contoh yang mengandung kesalahan kata atau istilah dan kesalahan bahasa. Vijayaletchumy Subramaniam, “Membetulkan Pelbagai Kesalahan”, Pelita Bahasa, Jun 2009, halaman 24.

  11. Bagi ayat yang mengandung frasa nama subjek yang diikuti klausa relatif, frasa nama subjek boleh digugurkan tanpa menjejaskan maksud ayat. Kho Thong Eng, “Perihal Pengguguran dalam Ayat”, Pelita Bahasa, Julai 2009, halaman 17.

  12. (1) Bahan pengajaran dan pemelajaran yang disampaikan melalui media itu lazimnya mengandung teks, grafik, animasi, simulasi, audio dan video, serta bahan paparan secara dalam talian. (2) Tesaurus berbeza daripada kamus biasa, seperti Kamus Dewan yang mengandung pelbagai entri perkataan dan maksud, berserta *contoh ayat yang sering dirujuk oleh kebanyakan pengguna bahasa. (3) Perkataan yang disenaraikan dalam tesaurus mengandung konsep yang meliputi bidang yang luas bagi memenuhi permintaan semua pengguna bahasa Melayu. Samat Buang, “Belajar Bahasa dengan Tesaurus”, Pelita Bahasa, Julai 2009, halaman 30 – 31.

  13. Apa-apa pun, segala buku ilmiah yang mengandung pelbagai bidang ilmu sudah banyak diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Abang Patdeli Abang Muhi, “Penterjemahan Mengembangkan Bahasa Melayu”, Pelita Bahasa, Ogos 2009, halaman 8.

  14. Penterjemahan daripada bahasa Arab itu mengandung ilmu sains, matematik dan falsafah, malah termasuk sastera, puisi dan sejarah. Anuar Manshor, “Pengglobalan Karya Malaysia melalui Penterjemahan”, Pelita Bahasa, Ogos 2009, halaman 14.

  15. (1) Dalam binaan frasa nama, ada frasa yang mengandung makna yang sama yang digunakan bagi merujuk kepada frasa nama di hadapannya. (2) Daripada definisi tersebut, frasa aposisi mempunyai rujukan yang sama, yang mengandung hubungan makna. (3) Yang berikut ialah beberapa ayat contoh yang mengandung binaan aposisi. Ahmad Khair Mohd. Nor, “Aposisi dalam Ayat”, Pelita Bahasa, Ogos 2009, halaman 20.

Mengandungi

  1. Baja ini mengandungi campuran mineral, seperti nitrogen, fosforus dana kalium serta unsur mikro yang lain. “Istilah Makanan dan Pemakanan”, Pelita Bahasa, Julai 2009, halaman 22.

  2. DNS banyak mengandungi istilah klasik. Rohaidah Haron, “Dialek Identiti Bahasa dan Budaya yang Dilupakan”, Dewan Bahasa, Julai 2009, halaman 8.

  3. Kesemua terjemahan nama kata-kata ini mengandungi kata-kata yang bermaksud budi luhur, menyelamatkan orang dan kesejahteraan abadi. Goh Sang Seong, “Mesej Sosiobudaya dalam Terjemahan Perniagaan Cina”, Dewan Bahasa, Julai 2009, halaman 55.

  4. Al-Quran banyak mengandungi ilmu dan rahsia yang tersembunyi yang perlu dibongkar dan dikupas oleh manusia. Ritah Yahaya, “Bicara Bahasa: Tradisi Kecemerlangan Ilmu”, Dewan Bahasa, Ogos 2009, halaman 5.

  5. (1) Antaranya termasuklah kesukaran untuk mengenal pasti dokumen yang mungkin mengandungi pendapat dan saranan penterjemah tentang cara dan kaedah menterjemah. (2) Dalam hal ini, Za‘ba menerangkan bahawa “memindahkan bahasa itu ialah suatu jenis menterjemah jua sesuatu karangan diubah perkataannya dikarangkan dengan perkataan lain tetapi mengandungi maksud yang sama seperti yang asal itu juga”. (3) Begitu juga jika teks asal mengandungi unsur humor atau jenaka, maka perlu dipastikan bahawa terjemahan yang dihasilkan juga mempunyai unsur humor dan jenaka. Haslina Haroon, “Nasihat Za‘ba dalam Menterjemah”, Dewan Bahasa, Ogos 2009, halaman 6 – 8.

  6. Penemuan kamus yang mengandungi 482 entri dalam bahasa Melayu dan dicatatkan maknanya dalam bahasa Mandarin itu membuktikan peranan bahasa Melayu penting sebagai bahasa yang perlu dipelajari oleh rakyat China, khususnya dalam urusan komunikasi, perdagangan dan hubungan diplomatik antara kedua-dua-dua buah negara pada masa itu. Hasrina Baharum, “Bahasa Negeri Melaka di China”, Dewan Bahasa, Ogos 2009, halaman 16.

  7. Rajah 1 ialah halaman EBMT yang mengandungi input dan output yang tidak menggunakan pengesanan kata nama khas. Radiah Yusoff, “Penterjemah dalam Talian”, Dewan Bahasa, Ogos 2009, halaman 29.

  8. Umumnya, kamus ialah sebuah buku rujukan yang mengandungi senarai perkataan yang tersusun secara sistematik dan mengikut urutan abjad, iaitu daripada huruf A hingga huruf Z. S. Nathesan, “Kamus Etimologi”, Dewan Bahasa, Ogos 2009, halaman 32.

  9. Prinsip ini menentukan struktur yang mengandungi bentuk ayat dasar yang diperlukan dalam membentuk asas makna ayat dalam sesuatu sistem bahasa, dan menjadi pegangan asas dalam pengkajian bahasa. Raja Masittah Raja Ariffin, “Hubungan Sintagmatik dan Paradigmatik”, Dewan Bahasa, Ogos 2009, halaman 36.

  10. Keindahan susunan setiap baris dengan diksi yang terpilih mengandungi makna yang tersurat dan tersirat, hanya mampu ditangani dan dibongkar rahsia dan maksudnya oleh mereka yang bijaksana dan berfikiran kreatif dan kritis. Zalila Isa, “PEN. Aktif Melaksanakan Wawasannya”, Dewan Sastera, September 2009, halaman 51.

Cakera Padat Video

Pengguna bahasa Melayu mungkin pernah menggunakan ungkapan *video cakera padat bagi VCD (video compact disc). Ungkapan ini sebenarnya silap. Ungkapan yang betul ialah cakera padat video. Ungkapan ini tercatat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat dan selari pula dengan jawapan pihak Khidmat Nasihat Bahasa (KNB) pada 26 September 2008.

Kita mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Tan C L kerana mengetengahkan perkara ini dalam blognya. Klik di sini.

16 Julai 2009

Salarom Bah

Salarom mungkin nama orang, ikan atau pokok. Perkara ini masih berupa andaian. Yang pasti Salarom ialah nama sebuah kampung kecil dan terpencil di Sabah. Salarom juga ialah tajuk novel karya Emin Madi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2008.

Novel Salarom mengatasi 46 manuskrip novel yang menyertai Sayembara Mengarang novel Sempena 50 Tahun Merdeka. Novel ini memenangi hadiah ketiga. Tiada hadiah pertama dan kedua dalam sayembara itu.

Antara keistimewaan novel ini ialah penyerlahan warna-warni tempatan melalui dialek umum Sabah. Antara dialek umum yang terdapat dalam novel ini ialah perkataan bah seperti yang terpapar dalam senarai yang di bawah. Makna yang hampir sama dengan bah dalam dialog yang berkenaan tercatat dalam tanda kurung yang terakhir selepas setiap dialog.

1. “Bah, onsoi no!” (Baguslah). (Kata Ketua Kampung (KK) Ampungit kepada anak buahnya, Ompohol.) (ha)

2. “Bah, jangan lupa ketibaan Yang Berhormat itu kira-kira pukul 11.00 pagi.” (Kata KK Ampungit kepada Ompohol) (ha)

3. “Eh, kau bah Toni, ya aku baru juga sampai.” (Kata Hezwin, 57 tahun, kepada rakannya, Cikgu Antoni.) (pula)

4. “Tidak susah bah kami di sini YB, semua ada.” (Kata KK Ampungit kepada YB Ahfang, Wakil Rakyat Nabawan.) (tuan)

5. “Bah saudara-saudara, kita mulakan mesyuarat.” (Kata KK Ampungit kepada ahli mesyuarat.) (baiklah.)

6. “Bah, Orom, cadangan kau itu memang bagus.” (Kata KK Ampungit kepada anak buahnya, Orom.) (ha, betul juga)

7. “Bah begini, YB, orang kampung … tak setuju!” (Kata KK Ampungit kepada YB Ahfang) (?)

8. “Urusan belum siap bah.” (Kata seorang kontraktor bumiputera kelas F kepada Ahuar, orang penting Kampung Salarom.) (lagi, tuan)

9. “Bah, bagus tu. Berapa luas tanah kau ada?” (Kata Ahuar kepada kontraktor bumiputera kelas F) (ha)

10. “Bah, panggil mereka masuk!” (Kata YB Ahfang kepada Pemimpin Kemajuan Rakyat [PKR]) (baiklah, ok)

11. “Eh, Si Antoni bah ni!” (Kata Hezwin kepada Antoni) (pula)

12. “Eh, kau bah ni Using, aku ingat tiada orang!” (Kata Antoni kepada Using.) (pula)

13. “Bah, onsoi!” (Bagus.) (Kata Ampaku kepada Hezwin.) (ya, ha)

14. “Eh tiada apa-apa bah, itu bos!” (Kata Orom kepada Hezwin.) (lah, la)

15. “Oh ya, ini bah, PM sudah telefon saya.” (Kata Datuk Seri Ketua Menteri kepada YB Ahfang melalui telefon.) (ha)

16. “Tetapi saya tidak tau bah apa mau cakap. Kalau pelawat biasa-biasa bolehlah, tetapi ini Perdana menteri.” (Kata KK Ampungit kepada hadirin.) (lah)

17. “Bah onsoi, onsoi!” (Bagus, bagus.) (Kata KK Ampungit kepada hadirin.) (ya, ha)

18. “Bah baguslah, kamu pulang pun ngam-ngam ada acara penting di kampung.” (Kata KK Ampungit kepada pemuda Damus dan Ampat.) (ha)

Rumusan
(1) Kata bah diucapkan oleh pelbagai golongan dalam masyarakat seperti Ketua Menteri, Yang Berhormat, ketua kampung dan orang biasa.
(2) Kata bah berfungsi sebagai penegas atau penyedap tutur kata.
(3) Kata bah digunakan dalam pelbagai konteks tidak rasmi dan agak rasmi.
(4) Kata bah mempunyai makna yang pelbagai berdasarkan konteks.
(5) Kata bah merupakan sebahagian daripada cara menyerlahkan warna-warni tempatan dalam karya sastera.

Kamus Dewan edisi kelima wajar menambah masukan bah V dengan makna dan ayat contoh yang di atas.

14 Julai 2009

Peribahasa dan Pantun “Mengandung”

Masukan terdahulu:
Novel dan Blog “Mengandung”

1. Harum semerbak mengandung mala. (Jasa yang dipuji-puji, tetapi jasa itu diperoleh dengan jalan yang curang. mala = air bangkai yang telah busuk.)

2. Putih mengandung awan, kelambaja mengandung hujan. (Sesuatu yang belum pasti. kelambaja = awan hitam.)

3. Bagai panas mengandung hujan. (Tertawa dalam kesusahan.)

Sumber: Kamus Istimewa Peribahasa Melayu.

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang dua;
Hancurlah badan dikandung tanah,
Budilah baik dikenang juga.
(Tanah mengandung badan hingga hancur.)

Asam jawa pokok di hutan,
Dibawa orang tanam ke desa;
Selagi nyawa dikandung badan,
Tidaklah hamba berputus asa.
(Badan mengandung nyawa.)

Sumber: Kurik Kundi Merah Saga.

13 Julai 2009

Menunggu 2012: Petikan Ulasan Blog

Di bawah ini adalah sebahagian daripada ulasan blog tentang pemansuhan PPSMI mulai 2012 untuk rekod dan rujukan.
  1. Ini semua adalah kemenangan bagi semua pejuang, baik orang perseorangan atau organisasi. Tanpa sekalian suara dan sumbangan barangkali sampai hari ini BM itu terus terhina di atas bumi tanah airnya sendiri. Alhamdulillah. Berwaspadalah terus, dan jangan lalai dan berasa selesa seperti pada masa lalu. Blog DesaKota: Bahasa Melayu Melawan Balik; Hari Ini Hari Kemenangan?, 8 Julai 2009.
  2. Dalam mengimbas kembali pengkhianatan terhadap BM pada tahun 2002, saya tidak pasti akan tertebuskah dosa mereka terhadap BM dengan pemansuhan tertunda ini. Maruah BM bukan saja tercalar malah diinjak-injak oleh bangsa sendiri. Bila tahun 2012 muncul, kita akan kembali ke era 1960-an di mana bermulanya penggunaan BM untuk mengajar sains dan matematik (ilmu hisab). Betapa ruginya kita terpaksa memulakan semula sesuatu yang telah jalani 49 tahun yang lalu. Bergerak mundur ke belakang memerlukan rundingan dengan UNESCO yang sejak awal lagi pada tahun 2002 mengehendaki bahasa Ibunda digunakan untuk mengajar semua subjek pendidikan. Blog Wacana Seni: “Jenayah” terhadap Bahasa Melayu, 8 Julai 2009.
  3. Berita pemansuhan PPSMI secara berperingkat-peringkat untuk sekolah rendah dan menengah sahaja kurang menggembirakan saya. Saya khuatir akan ada lagi helah lain untuk melambat-lambatkan pemansuhan itu secara total. Mudah-mudahan kekhuatiran saya itu tidak menjadi kenyataan. Blog Sambung-menyambung: Petikan E-Mel tentang Pemansuhan PPSMI, 8 Julai 2009.
  4. Kepada teman-teman, janganlah menjadikan 'kejayaan atau kemenangan' (belum pasti sebenarnya) sebagai medan untuk kita mendabik dada dan menyerang mereka yang dianggap tidak bersama. Blog sayapmahati: Mari Berlapang Dada, 9 Julai 2009.
  5. Sesungguhnya kita tidak dapat mengelak daripada terus berasa curiga. Namun jauh di sudut hati ini, wujud pula satu kerisauan apabila mendapati maklum balas daripada banyak pihak menunjukkan 'kita' sudah berpuas hati dengan keputusan KPM ini. Seolah-olah PPSMI dimansuhkan mulai hari ini, sedangkan ia hanya akan berlaku 3 tahun lagi! Adakah kita tidak sedar atau buat-buat tidak sedar bahawasanya keputusan pemansuhan PPSMI itu ditunda lagi? Kita bergembira pada sesuatu yang belum pasti. Blog Marni: Wahai Tan Sri, Mengapa Perlu 3 Tahun? 9 Julai 2009.
  6. 4. GMP penuh berharap agar perubahan ini berlaku bukan sahaja di peringkat sekolah rendah atau sekolah menengah sahaja malah meliputi semua peringkat pendidikan termasuk peringkat universiti. Blog Budaya dan Bahasa: Kenyataan Media Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), 9 Julai 2009.
  7. TIDAK mengapalah kalau mereka akan mengadakan pesta sambutan kerana kegembiraan mendengar pengumuman itu. Tetapi saya tidak. Saya tidak akan pun berasa gembira dan tidak pun punya niat untuk menyatakan kegembiraan itu walau dengan cara apa pun. Blog Tanah-Air-Api-Angin: Gembira, Gembiralah, 10 Julai 2009.
  8. Cikgu Ha berhenti mengambil nafas. “Adapun hamba lebih suka PPSMI dimansuhkan pada tahun yang bakal menjelang. Tidak perlu berlengah sehingga tiga tahun. Titah tersebut tiada serinya. Muslihat apa yang cuba dimainkan?” Blog Salam Ya Hamim: Titah Yang Tiada Serinya: Cikgu Ha, 10 Julai 2009.

Novel dan Blog “Mengandung”

Memanglah mengandung itu maksudnya hamil. Namun, Profesor Dr. Haji Awang Sariyan dalam bukunya Tuntunan Bahasa pernah mengingatkan pengguna bahasa Melayu bahawa mengandung ialah perkataan asal dan tergolong dalam kata kerja transitif. Kata kerja transitif memerlukan objek. Mari kita perhatikan dua ayat yang di bawah.

1. Wanita itu mengandung anak.
2. Wanita itu mengandung.

Ayat 1 ialah ayat asal. Mengandung ialah kata kerja transitif yang diikuti oleh objek anak. Menurut Profesor Dr. Haji Awang Sariyan, “Oleh sebab sudah jelas bahawa yang dikandung oleh wanita yang hamil ialah anak, maka frasa mengandung anak diringkaskan sahaja menjadi mengandung. Untuk makna hamil ini, kata kerja yang asalnya transitif bertukar menjadi tak transitif, iaitu tidak memerlukan objek.”

Ada pengguna bahasa Melayu mempersoalkan penggunaan perkataan mengandung dalam ayat yang di bawah.

3. Novel itu mengandung 20 bab.
4. Blog itu mengandung bahasa rojak.

Pengguna bahasa Melayu itu membetulkan ayat di atas menjadi ayat 5 dan 6 seperti yang di bawah.

5. Novel itu mengandungi 20 bab.
6. Blog itu mengandungi bahasa rojak.

Menurut Profesor Dr. Haji Awang Sariyan, perbuatan membetulkan ayat 3 dan 4 menjadi ayat 5 dan 6 ialah pembetulan berlebih-lebihan (hiperkoreksi). Perbuatan itu umpama tikus membaiki labu.

Majalah Pelita Bahasa keluaran Mac, April, Mei, Jun dan Julai 2009 mengetengahkan perkataan mengandung. Kita menjangka pengetengahan ini disengajakan sebagai mengingatkan pengguna bahasa Melayu bahawa perkataan mengandung itu memang boleh digunakan seperti dalam ayat yang di bawah.

  1. Sebagai kata tunggal, akronim mungkin mengandung satu kata atau lebih.
  2. Batu bersurat itu mengandung 28 baris, dipercayai dibina oleh ketua tentera Jawa yang menyerang kerajaan Sriwijaya di Sumatera.
  3. Kata pendahuluannya mengandung perintah atau perisytiharan supaya raja dan orang besar yakin dan berpegang teguh pada ajaran Islam dan Rasulullah.
  4. Bidalan, pepatah, perbilangan dan perumpamaan merupakan peribahasa kerana mengandung sifat peribahasa yang disebutkan.
  5. Ensiklopedia Bahasa Melayu mengandung banyak maklumat penting bahasa Melayu, khususnya yang digunakan di Malaysia.
  6. Keseluruhannya, ensiklopedia ini mengandung 32 tajuk utama yang disusun mengikut urutan sejarah perkembangan bahasa Melayu di Malaysia.
  7. Penerbitan buku tatabahasa tersebut sebelum edisi ketiga pada tahun 2008 tidak mengandung subgolongan kata itu.
  8. Ayat 8 dan ayat 9 mengandung contoh kata adverba yang menerangkan kata nama dan frasa sendi nama.

Data yang dikemas kini di sini.

11 Julai 2009

Penulisan Teks Ucapan: Mengekalkan Tumpuan Perhatian Pendengar

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

(Petikan teknik penulisan teks ucapan rasmi ini dapat dimanfaatkan oleh para penulis, termasuk penulis blog.)

Ucapan untuk didengar oleh khalayak. Khalayak dianugerahi sepasang telinga, iaitu satu kiri dan satu kanan. Sepasang telinga itu dapat ditadah secara serentak untuk menerima apa-apa yang diucapkan dan seterusnya untuk diproses oleh otak dan untuk diserap oleh hati. Apabila khalayak tersenyum pada tempatnya, ketawa kecil pada tempatnya dan mengangguk-angguk pada tempatnya, itu sebahagian daripada tanda bahawa tumpuan perhatian mereka sudah ditawan oleh keistimewaan ucapan kita.

Sepasang telinga itu mungkin juga mempunyai fungsi yang berlainan. Telinga kanan dapat berfungsi menerima mesej dan telinga kiri melakukan fungsi yang bertentangan, iaitu menjadi jalan keluar mesej itu. Antara sebab hal ini terjadi ialah ucapan yang kita tulis itu kurang sedap didengar oleh telinga. Tegasnya, penulis teks ucapan kurang upaya membantu pengucap memikat dan mengekalkan tumpuan pendengaran khalayak.

Kita dapat membantu pengucap memikat dan mengekalkan tumpuan perhatian khalayak dengan dua cara. Cara pertama ialah menghidangkan isi yang bernas, berkualiti dan terkini. Cara yang kedua ialah menggunakan gaya bahasa yang sesuai untuk pendengaran. Jika kita memanfaatkan kedua-dua cara ini, insya-Allah, kita dapat membantu pengucap memikat dan mengekalkan tumpuan perhatian khalayak.

Cara yang kedua mungkin kurang mendapat perhatian kita kerana lazimnya kita menulis untuk dibaca, bukan untuk didengar. Sebagai penulis teks ucapan rasmi, kita perlu memanfaatkan penggunaan gaya bahasa yang sesuai untuk pendengaran. Kita perlu menggunakan, menggarap dan memanipulasi gaya bahasa untuk pendengaran. Kita perlu menggunakan gaya bahasa untuk pendengaran dalam teks ucapan rasmi kita dengan bersungguh-sungguh dan sebaik-baik yang mungkin. Dengan cara ini, insya-Allah, kita dapat membantu pengucap memikat dan mengekalkan tumpuan perhatian pendengar.

Secara umumnya, bahasa yang sesuai untuk pendengaran ialah bahasa yang baku, tepat, indah dan berkesan. Apabila kita menggunakan bahasa baku, pendengar akan memahami ucapan kita. Apabila kita menggunakan bahasa yang tepat, mereka lebih memahami ucapan kita. Apabila kita menggunakan bahasa yang indah, mereka akan terpegun mendengar ucapan kita. Apabila kita menggunakan bahasa yang berkesan, mereka akan memberikan reaksi yang bersesuaian dengan ucapan kita. Mereka tersenyum, ketawa kecil, mengangguk-angguk dan bertepuk sebagai tanda mereka memahami, merasai, menikmati, menghayati dan menghargai ucapan kita. Situasi ini menunjukkan mereka menghargai pengucap. Secara tidak disedari sebenarnya mereka juga menghargai penulis teks ucapan itu.

Sebagai contoh, dari segi penggunaan bahasa baku – iaitu baku dari segi penggunaan perkataan, baku dari segi penggunaan ungkapan, dan baku dari segi struktur ayat – memungkinkan komunikasi melalui pendengaran berjalan dengan lancar dan berkesan. Sebaliknya, penggunaan bahasa yang tidak baku – yang perkataan-perkataannya hanya difahami oleh kelompok atau pengguna dialek, yang susunan ungkapannya lintang-pukang, dan yang binaan ayatnya bercelaru – menyebabkan komunikasi kurang berkesan atau terhalang.

Satu contoh lagi, dari segi penggunaan bahasa yang indah – bahasa yang sedap didengar oleh telinga, bahasa yang ada rentak irama, dan bahasa yang puitis – memungkinkan khalayak mendengar ucapan kita dengan teliti perkataan demi perkataan, ayat demi ayat dan perenggan demi perenggan hingga ucapan kita selesai dan mereka sambut pula dengan tepukan yang bergemuruh. Sesungguhnya, secara tidak langsung, tepukan gemuruh dapat dikongsi bersama oleh penulis teks ucapan.

Panduan yang berikut perlu dimanfaatkan oleh penulis teks ucapan untuk memikat dan mengekalkan tumpuan perhatian pendengar.

  1. Memperbanyak penggunaan perenggan deduktif.
  2. Mempelbagaikan penggunaan perenggan, iaitu ada banyak perenggan deduktif, ada sedikit perenggan induktif dan ada sedikit sahaja perenggan eklektik.
  3. Mengelakkan penggunaan perenggan yang kacau atau tidak dapat dikenal pasti sistem penyusunannya.
  4. Menggunakan ayat yang jelas subjek dan predikatnya.
  5. Mematuhi format penulisan teks ucapan rasmi.
  6. Menggunakan teknik pengulangan tema, frasa dan perkataan.
  7. Memperbanyak pengulangan tiga serangkai seperti “demi pensyarah IPTS, demi staf IPTS dan demi pelajar IPTS”, “pensyarah yang berilmu, berkemahiran dan berdedikasi”, dan “antara ilmu, kemahiran dan sikap”.
  8. Menggunakan teknik peralihan yang jelas seperti “seterusnya marilah sama-sama kita renungi satu faktor lagi” sebagai menggantikan “satu faktor lagi” dan “untuk mengatasi masalah disiplin yang kritikal seperti yang saya huraikan tadi” sebagai menggantikan “untuk mengatasi masalah itu”.
  9. Mengelakkan penggunaan kata ganti seperti ini dan itu, dan menggantikannya dengan frasa seperti “faktor keikhlasan guru ini” untuk “faktor ini” dan “kelima-lima faktor yang saya nyatakan tadi” untuk “kelima-lima faktor itu”.
  10. Menggunakan perkataan atau frasa yang menunjukkan urutan.
  11. Menggunakan kata ganti diri yang dapat mengintimkan pengucap dengan pendengar seperti saya, kita, dan anda. (Hati-hati menggunakan kata ganti ini.)
  12. Menggunakan mutiara kata seperti madah pujangga, lidah pendeta, peribahasa dan simpulan bahasa.
  13. Menggunakan kata ulama, hadis dan ayat al-Quran untuk menyokong hujah.
  14. Menggunakan penanda wacana.
  15. Menggunakan contoh yang dapat menghidupkan suasana seperti anekdot ringkas yang melucukan tetapi mempunyai maksud yang mendalam seperti “haram makan ayam yang tidak disembelih” dan “mencuci kaki lima kali sehari”.

10 Julai 2009

Ucapan Salam – Salam Keagamaan

Masukan yang berkaitan
(1)
Ejaan Insya-Allah dan Lain-lain
(2) (a) Panduan Menulis E-Mel (b) Dahului e-mel dengan salam.
(3)
Ucapan Salam – Panduan Pelita Bahasa
(4) Ucapan Salam – Ungkapan Popular di Internet
(5) Ucapan Salam – Salam Berbasaan

Kategori salam yang kedua ialah salam keagamaan, iaitu salam yang berlandaskan ajaran agama Islam. Pengucap dan penerimanya ialah penganut agama Islam sahaja.

Ada beberapa banyak ucapan salam contoh terakam dalam al-Quran. Antaranya adalah seperti yang di bawah:
  • Allah mengucapkan bisalāmin (dengan selamat/salam) kepada Nabi Noh. (Surah Hud, ayat ke-48)
  • Malaikat mengucapkan salamun‘alaikum (selamat atas kamu) kepada orang yang beriman. (Surah al-Ra‘d, ayat yang ke-24)
  • Nabi Ibrahim mengucapkan salāmun (selamat) kepada ayahnya. (Surah Maryam ayat ke-47)
  • Rasulullah SAW mengucapkan salamun‘alaikum (selamat atas kamu) atas kedatangan orang yang menyatakan iman. (Surah al-An‘am ayat yang ke-54)
Berdasarkan salam contoh di atas, mengucapkan salam dengan sepatah perkataan “salam” sahaja boleh diamalkan. Namun, dalam komunikasi lisan, ucapan ini jarang kedengaran. Sebaliknya, dalam penulisan, ucapan “salam” sahaja mudah kita temukan dalam e-mel, e-grup dan dalam ruangan ulasan di blog.

Dua perkara penting dalam tatacara salam keagamaan ialah cara mengucapkannya dan cara menjawabnya. Susunan ucapan daripada yang baik kepada yang lebih baik ialah assalamualaikum, assalamualaikum warahmatullah dan assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Peraturan menjawabnya pula terdapat dalam Surah al-Nisa’, ayat yang ke-86, maksudnya, “Dan apabila kamu diberi penghormatan dengan suatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka jawablah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah (dengan cara yang sama).”

Hamka dalam Tafsir Al-Azhar menyatakan, apabila kita menerima ucapan assalamualaikum, maka balaslah dengan waalaikumussalam warahmatullah. Kalau kita menerima ucapan assalamualaikum warahmatullah, maka balaslah dengan ucapan waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Namun, berdasarkan firman Allah tadi, kita juga boleh membalas ucapan itu dengan ucapan yang sama. Misalnya, apabila seseorang mengucapkan assalamualaikum, boleh kita menjawabnya dengan waalaikumussalam sahaja.

Tatacara lengkap berkaitan dengan ucapan salam terdapat dalam beberapa sumber. Antara sumber yang dapat menjadi rujukan kita ialah tafsir al-Quran seperti Tafsir Al-Azhar dan koleksi hadis seperti Riadhus Shalihin. Di Internet, antara sumber yang dapat kita manfaatkan ialah Wikipedia Bahasa Melayu di bawah kata masukan “assalamualaikum”.

09 Julai 2009

Ucapan Salam – Salam Berbasaan

Masukan yang berkaitan
(1) Ejaan Insya-Allah dan Lain-lain
(2) (a) Panduan Menulis E-Mel (b) Dahului e-mel dengan salam.
(3) Ucapan Salam – Panduan Pelita Bahasa
(4) Ucapan Salam – Ungkapan Popular di Internet

Komunikasi di Internet ialah komunikasi biasa, iaitu tidak terlalu formal. Jadi, penggunaan perkataan salam dan 25 ungkapan ucapan salam yang popular di Internet itu termasuk dalam kategori umum. Hal ini dapat dipadankan dengan takrif kedua entri salam dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (KDEK), iaitu salam ialah pemberian atau pernyataan hormat. Kita boleh menamakan salam ini sebagai salam berbasaan, iaitu salam untuk bermanis mulut atau memperlihatkan sopan santun.

Semua pengguna bahasa Melayu tanpa mengira bangsa dan agama bebas menghulurkan dan menyambut salam berbasaan. Sebagai contoh, Tuan Haji Mat Junoh boleh mengucapkan salam sejahtera kepada Encik Lui Lai Nam, Dr. Govindasamy, Encik Peter Lajingah, Encik Hara Shintaro dan sebagainya. Puan Chong Mui Lan pula boleh mengucapkan salam hormat kepada Puan Hajah Siti Khadijah, Datuk Chua Kim Hing, Puan Vijayaletchumy, Puan Jovinia dan sebagainya. Penerima salam bebas untuk menjawab salam itu dengan ungkapan yang sama atau dengan cara yang lain seperti anggukan dan senyuman. Tegasnya, salam berbasaan tidak terikat dengan tatacara salam yang satu lagi, iaitu yang berasaskan agama Islam.

Dalam komunikasi lisan kita dapati pengguna bahasa Melayu tidak berminat mengucapkan salam dengan satu patah perkataan “salam” sahaja. Namun, dalam komunikasi bertulis, “salam” sahaja kerap kita temukan. Sebanyak hampir 40 juta perkataan “salam” yang tersebar di Internet membuktikan hal ini.

Ada pendapat mengatakan penggunaan perkataan “salam” sahaja dalam penulisan tidak wajar. Ketidakwajaran itu termasuklah apabila kita menulis e-mel dan mencatat ulasan dalam ruangan ulasan blog. Pendapat ini boleh kita abaikan bagi salam berbasaan, malah salam keagamaan juga. Insya-Allah, apabila ada kesempatan, hal ini akan dibincangkan.

08 Julai 2009

Hanya Sulap

Tiada upayaku membina mahligai
bertembok bergapura berbalai-balai
atau sebuah portal citra ilmu
seperti varsiti terbuka sifumu.

Tiada upayaku melukis cinta
bernama novel penimba air mata
atau hanya kisah kasih bersiri
seperti karya sang puteri.

Tiada upayaku menintakan dakwah
dengan wacana utuh bernama khutbah
atau hanya menyalin sabda Nabi
seperti catatan jauhari.

Tiada upayaku melagukan nyanyian
mendalang wira dengan puteri bunian
apalagi bergurindam berseloka
seperti lirik iman mutiara.

Aku membina sulap di rimba
bertonggak tempoyan beratap rumbia
aku menghidangkan sayur pahit
dari kebun kecil di lereng bukit
aku menuangkan air suam
daripada telaga hati yang suram.

Aku belum mampu menitiskan madu
daripada sulapku ini, ya akhi.

Mohd Isa bin Abd Razak
Seremban
18 Mei 2009

Berita Harian, 6 Jun 2009

Petikan E-Mel tentang Pemansuhan PPSMI

Petikan e-mel yang diterima:

Tuan pastinya sudah maklum bahawa PPSMI akan dimansuhkan pada tahun 2012. Berita ini membawa rahmat kepada saya kerana selepas ini saya dapat menumpukan perhatian terhadap pembelajaran sepenuhnya tanpa gusar akan kelemahan penguasaan bahasa Inggeris saya.

Walaupun bahasa Inggeris bukan lagi menjadi bahasa pengantara Sains dan Matematik, saya akan tetap terus berusaha membaiki tahap penguasaan bahasa Inggeris saya.

Petikan balasan e-mel:

Berita pemansuhan PPSMI secara berperingkat-peringkat untuk sekolah rendah dan menengah sahaja kurang menggembirakan saya. Saya khuatir akan ada lagi helah lain untuk melambat-lambatkan pemansuhan itu secara total. Mudah-mudahan kekhuatiran saya itu tidak menjadi kenyataan.

Eloklah saudara terus berusaha menguasai bahasa Inggeris tetapi bukannya menyokong dasar PPSMI.

Kerajaan Teruskan PPSMI hingga 2012

Kerajaan membuat keputusan untuk meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) hingga tahun 2012. Timbalan Perdana Menteri (TPM) Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan keputusan kerajaan itu hari.

Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Meteri Pelajaran berkata, PPSMI akan dilaksanakan dalam bahasa Melayu secara berperingkat-peringkat mulai tahun 2012 untuk sekolah rendah dan menengah sahaja.

Para pemerhati menjangka kerajaan akan menyemak semula keputusan ini jika kekal berkuasa selepas pilihan raya umum yang akan datang.

Ucapan Salam – Ungkapan Popular di Internet

Masukan yang berkaitan
(1)
Ejaan Insya-Allah dan Lain-lain
(2) (a) Panduan Menulis E-Mel (b) Dahului e-mel dengan salam
(3) Ucapan Salam – Panduan Pelita Bahasa

Pandangan Puan Aziah ini memang wajar. Hal ini dikatakan demikian kerana banyak ucapan salam yang dapat menjadi pilihan kita. Hakikatnya, pengguna bahasa Melayu sudah pun melakukan pilihan. Carian dengan Google menunjukkan bahawa mereka begitu kreatif mencipta ungkapan untuk ucapan salam. Sebanyak 25 ungkapan yang kerap digunakan adalah seperti dalam senarai yang di bawah. Angka dalam tanda kurung ialah jumlah ungkapan itu yang dapat dikesan oleh Google.

1. salam sejahtera (1,020,000)
2. kirim salam (256,000)
3. salam hormat (242,000)
4. salam untuk semua (206,000)
5. salam damai (189,000)
6. salam sayang (126,000)
7. salam perjuangan (111,000)
8. salam manis (97,000)
9. salam Aidilfitri (92,000)
10. salam rindu (71,200)
11. salam cinta (62,400)
12. salam kasih (59,200)
13. salam perpisahan (47,600)
14. salam bahagia (47,400)
15. salam persaudaraan (46,400)
16. salam ceria (43,000)
17. salam mesra (40,400)
18. salam merdeka (23,900)
19. salam maaf (18,800)
20. salam untukmu (13,600)
21. salam takzim (9,940)
22. salam pertemuan (9,850)
23. salam kasih sayang (9,460)
24. salam muhibah (7,580)
25. salam ingatan (3,290)

Ungkapan yang paling popular ialah salam sejahtera. Kekerapan penggunaannya di Internet jauh mengatasi 24 ungkapan yang lain. Hal ini mungkin disebabkan oleh makna ungkapan ini yang tidak terlalu terikat dengan konteks. Dengan perkataan lain ungkapan salam sejahtera bersifat umum dan dapat digunakan dalam situasi yang pelbagai.

Namun demikian, carian dengan Google juga menunjukkan bahawa penggunaan perkataan “salam” dengan variasi ejaan “salaam” mengatasi penggunaan ungkapan salam sejahtera. Keputusan carian menunjukkan terdapat hampir 40 juta perkataan “salam” tersebar di Internet.

07 Julai 2009

Ucapan Salam - Panduan Pelita Bahasa

Ruangan soal jawab bahasa majalah Pelita Bahasa keluaran Ogos 2007, menyiarkan pertanyaan seorang pembaca tentang maksud empat ugkapan yang berkaitan dengan salam. Penjelasan pengelola ruangan itu, Puan Aziah Tajudin, adalah seperti yang di bawah.

1. Salam sejahtera membawa maksud semoga aman, tenteram, senang atau makmur dan terpelihara daripada bencana dan kesusahan.

2. Salam bahagia pula membawa maksud semoga berbahagia, iaitu senang, aman, damai dan gembira.

3. Salam hormat pula digunakan untuk menunjukkan rasa hormat atau untuk menyatakan bahawa kita memandang tinggi terhadap orang yang diberi ucapan itu.

4. Salam muhibah pula membawa maksud bahawa kita menunjukkan rasa persahabatan dan kemesraan dan hubungan yang melambangkan kasih sayang.

Seterusnya Puan Aziah menyatakan, terpulanglah kepada individu untuk memilih ucapan salam yang sesuai, termasuk ketika mengendalikan majlis tertentu.

Sepinggan Rojak

Dia terhantar ke sini
demi sepinggan rojak
kegemaran orang banyak.

Apabila dia mula mengunyah
sehelai rambut menggelisah
dalam pinggan rojak basah.

Rambut itu dipinggirkannya sahaja
dia meneruskan kunyahan tanpa selera.

Kini matanya terbeliak
di dalam pinggan seekor kacoak
berlumuran kuah rojak.

Dari langit-langit rumah
ada suara mendesah:
“Jangan gelisah
ramuan itu dicuci sudah
digarami, dilumuri rempah
makanlah!”

Dia meneruskan kunyahan
dengan seribu rasa enggan
penuh kepayahan.

Dia terpandang pula
objek yang luar biasa
pada baki rojak utara.
Apabila diamati-amatinya
memang cebisan ekor celurut
rojak menggelodak dalam perut.

Dari langit-langit rumah
ada suara ramah tuan rumah:
“Cencangan halus celurut itu
perencah utama hidanganku.”

Rojak mamak terus dihabiskan
rasa mual ditahan-tahan
muntah di sini, janganlah jangan.

Sebelum dia melangkah pergi
dilihat pinggan rojak tadi
masih penuh berisi
persis belum disentuhi!

Mohd Isa bin Abd Razak
Seremban
25 April 2009

06 Julai 2009

Sistem Tulisan Titik Timbul (Braille)

Braille ialah sejenis sistem tulisan untuk golongan tunanetra dengan menggunakan titik timbul. Sistem ini dicipta oleh seorang Perancis yang bernama Louise Braille (1809 – 1852). Beliau yang buta akibat kemalangan ketika berusia tiga tahun, berjaya mencipta tulisan Braille pada tahun 1821 dan menyempurnakannya pada tahun 1834.

Mulai tahun 1868, Dr. Thomas Rhodes Armitage (1824 – 1890) dari Britain dan tiga orang rakannya mengembangkan sistem Braille melalui satu organisasi. Pada tahun 1871, organisasi itu berkembang sebagai Royal National College for the Blind.

Pada tahun 1951, David Abraham dari Amerika Syarikat mencipta mesin taip Braille yang dikenali sebagai Braille Perkins. Mesin taip ini mempunyai enam penekan untuk menghasilkan enam titik timbul. Pada bulan Oktober tahun 2008, Perkins School for the Blind and American Printing House for the Blind mengumumkan penciptaan mesin Braille Perkins generasi baharu. Kini tulisan Braille digunakan di seluruh dunia dan diterima pakai oleh hampir semua bahasa, termasuk bahasa Melayu.

Sumber: (1) Abdullah Yusoff, “Belajar Bahasa Melalui Titik Timbul”, Pelita Bahasa, Januari 2009, halaman 30 – 33. (2) Wikipedia: Braille. Wikipedia BM: Braille.

Pelian: Nama dan Harga

Orang Melayu di Semenanjung menamakan ikan ini kelah. Kaki pancing menggelarinya raja ikan air tawar. Dalam bahasa Inggeris nama umumnya ialah mahseer yang bermaksud tiger among fish. Nama ini dikatakan berasal dari India dan hampir sama maknanya dengan raja ikan.

Kelah atau mahseer tergolong dalam genus Tor. Genus Tor yang lazim ialah Tor spp., Tor tambroides dan Tor tambra. Wikipedia mencatatkan lebih 20 genus Tor. Maklumat ringkas tentang kelah terdapat juga dalam Wikipedia Bahasa Melayu.

Di Semenanjung, satu blog mencatatkan, harga kelah hidup pada bulan Februari 2009 adalah antara RM10.00 hingga RM500.00 (lima ratus ringgit sahaja). Kelah hidup yang berharga RM10.00 seekor bersaiz tiga inci, iaitu lebih kurang sebesar anak seluang. Kelah hidup yang berharga RM500.00 seekor bersaiz 16 inci atau beratnya dianggarkan lebih sedikit sekilo. Jadi, sekilo kelah yang sudah tidak bernyawa berharga lebih kurang RM300.00.

Di Sarawak, kelah dikenali dengan nama emperau. Tidak lama dahulu akhbar perdana pernah melaporkan bahawa harga emperau ialah antara RM350.00 hingga RM380.00 sekilogram.

Di Sabah, kelah dikenali dengan nama pelian. Harganya di kawasan pedalaman dianggarkan lebih kurang RM30.00 sekilogram. Jadi harga kelah di Semenanjung dan emperau di Sarawak terlalu mahal apabila dibandingkan dengan harga pelian di Sabah.

Pada tahun 2004, saya pernah membeli pelian hidup di tamu Tenom. Beratnya lebih kurang setengah kilogram. Harganya RM10.00 (sepuluh ringgit sahaja). Antara tahun 1989 hingga tahun 2007, saya sudah membeli beberapa banyak pelian di tamu Tenom. Saya menganggarkan harganya lebih kurang RM25.00 sekilogram.

Dalam tempoh yang sama saya dan keluarga sudah menghadam berpuluh kilogram pelian yang dibeli di tamu Keningau. Saya menganggarkan harganya lebih kurang RM30.00 sekilogram – sedikit lebih mahal daripada harga di tamu Tenom. Semua harga itu dianggarkan sahaja kerana di tamu Keningau dan Tenom pelian dijual seekor atau secucuk. Timbangan tidak digunakan kerana semua penjual itu ialah orang kampung yang tidak memiliki alat untuk menimbang.

Kali pertama saya membeli pelian adalah pada tahun 1981. Orang kampung yang baru memperolehnya daripada sebatang sungai di kawasan pedalaman Ranau menawarkan pelian seberat kira-kira dua kilogram itu kepada saya dengan harga RM5.00 (lima ringgit sahaja). Peristiwa itu tidak mungkin berulang.

Inilah catatan pertama saya tentang pelian. Oleh sebab dari tahun 1989 hingga akhir tahun 2002 saya pernah gila-gila memburu pelian, mungkin ada catatan lain pada masa hadapan.

Citra menarik pelian (carian dengan kata “mahseer”):
pelian keemasan
pelian keperakan
pelian Sabah

04 Julai 2009

Bolehkah “Bagi” dan “Untuk” Bertukar Ganti?

Sari Rencana

1. Kata sendi untuk boleh bertukar ganti dengan bagi jika fungsinya ialah menunjukkan kegunaan sesuatu. Ayat contoh: Bantuan kemanusiaan bagi (untuk) mangsa peperangan itu sedang diusahakan.

2. Kata sendi untuk tidak boleh bertukar ganti dengan bagi jika fungsinya ialah menunjukkan bahagian yang diperuntukkan. Ayat contoh: Cincin berlian itu untukmu (*bagimu), sayang!

Muhammed Salehudin Aman, “Bolehkah Bagi dan Untuk Silih Berganti?”, Dewan Siswa, Julai 2009, halaman 20 – 21.

Masukan terdahulu: (1) Frasa “Oleh Sebab” Baku (2) Penanda Jamak (3) Bentuk Klitik (4) “Terbesar Sekali" Lewah (5) Daku dan Dikau (6) Sekalian, Sekali-kali dan Sekali-sekali.

03 Julai 2009

Panduan Menulis E-Mel

1. Dahului e-mel dengan salam.
2. Ikuti salam dengan doa.
3. Mohon maaf kepada penerima kerana e-mel kita mungkin mengganggu editor yang sibuk.
4. Ucapkan terima kasih kepada penerima sebagai penutup.

Puan Ainon Mohd mengemukakan panduan ini dalam blognya. Catatan asal beliau di sini. Beliau menujukan panduan ini kepada individu yang ingin menghubungi editor syarikat penerbitannya. Oleh sebab Puan Ainon ialah majikan kepada editor yang berkenaan, bakal penulis dan pencari kerja perlulah mematuhi panduan ini.

Biasanya penulis e-mel mengabaikan panduan kedua dan ketiga. Pengabaian itu disengajakan dalam komunikasi rasmi dengan jabatan kerajaan. Namun, apabila sesuatu panduan dikemukakan oleh pemilik atau pengurusan tertinggi sesebuah organisasi, panduan itu mesti dipatuhi.

Sebenarnya, semua penulis e-mel perlu memanfaatkan panduan ini. Golongan yang paling perlu memanfaatkannya ialah guru. Dalam kalangan guru pula, guru Bahasa Melayulah yang mesti memanfaatkan panduan ini. Apabila golongan guru, khususnya guru Bahasa Melayu, sudah biasa dengan amalan yang baik, pasti mereka cenderung menyampaikan amalan yang baik itu kepada anak didik mereka.

Panduan ini dapat ditambah. Antaranya termasuklah penggunaan bahasa. Secara umum, penulis e-mel wajar menggunakan bahasa Melayu tinggi dan mementingkan kesantunan berbahasa.

Pada tahun 2008, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerbitkan risalah Panduan Singkatan Khidmat Pesanan Ringkas Bahasa Melayu. Setakat yang diketahui, DBP belum menyediakan risalah panduan menulis e-mel. Mungkin pihak DBP sudah merancang atau dalam proses untuk menerbitkan risalah yang berkenaan. Buat sementara waktu, risalah Panduan Singkatan Khidmat Pesanan Ringkas itu eloklah kita teliti untuk memperoleh idea bagi memantapkan penulis e-mel kita.

02 Julai 2009

Benarkah Awang Memandai-mandai?

“Atuk, papan tanda tandas masjid kita ini sudah patut ditukar,” kata Awang memulakan perbualan.

Tuk Lamin yang bertenggong di atas anak tangga kelima masih diam. Dia memerhatikan papan tanda tandas lelaki yang masih elok sambil membetulkan kedudukan kakinya pada anak tangga keempat. Awang yang duduk pada anak tangga ketiga mendongak. Dilihatnya kerut pada wajah Tuk Lamin bertambah. Atuk sedang berfikir, kata hatinya. Dia menunggu sambutan Tuk Lamin terhadap pandangannya.

“Sebab apa perlu ditukar? Sebab papan tanda itu dalam tulisan Jawi?” tanya Tuk Lamin. Suaranya agak keras.

“Bukan ...,” Awang tidak dapat menghabiskan kata-katanya kerana Tuk Lamin mencelah.

“Budak-budak sekarang tidak berapa pandai membaca tulisan Jawi,” gerutu Tuk Lamin.

Awang diam. Dia mendongak. Dilihatnya muka Tuk Lamin menghala ke arah tanah perkuburan yang terletak bersebelahan dengan masjid, di sebelah kanan mereka. Mungkin atuk bergurau. Sebab itu dia memandang ke arah lain, katanya dalam hati.

Angin semilir petang mengelus tubuh mereka. Suasana sepi. Wajah Tuk Lamin masih menghala ke tanah perkuburan. Matanya bergerak dari satu batu nesan kepada satu batu nesan yang lain. Pandangan Awang pun bertukar-tukar antara batu nesan di tanah perkuburan dengan papan tanda tandas. Otaknya ligat merencanakan sambutan terbaik terhadap rungutan Tuk Lamin.

Kemudian, dengan suara yang jelas dan teratur Awang berkata, “Bukan begitu, atuk. Tulisan Jawi memang sesuai untuk papan tanda di masjid. Kami, murid-murid sekolah memang menyokong penggunaan tulisan Jawi. Cuma kami harap tulisan Jawi itu biarlah ....”

Kalimat Awang dipotong oleh Tuk Lamin, “Kamu mahu dimasukkan juga tulisan Rumi?”

“Bukan begitu, atuk. Ejaan Jawi itu silap.”

“Kamu jangan memandai-mandai, Awang. Sejak atuk kecil lagi ejaan itulah yang digunakan. Sudah dua kali papan tanda itu ditukar, ejaannya tetap sama.”

Maklumat lanjut terdapat dalam majalah Pelita Bahasa, Julai 2009.

01 Julai 2009

PPSMI Merugikan Negara – MB Johor

Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Ingeris (PPSMI) amat merugikan negara, kata Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Abdul Ghani Othman, merangkap Pengerusi Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA).

Beliau berkata demikian dalam ucapannya kepada peserta Kolokium PPSMI di Shah Alam pada 27 Jun lalu. Ucapan beliau disampaikan oleh Pengarah Eksekutif PEMBINA, Datuk Abdul Raof Hussin.

Menurut Datuk Haji Abdul Ghani, kajian PEMBINA menunjukkan PPSMI menimbulkan petaka berganda kepada murid-murid Melayu dan juga bukan Melayu, di bandar dan juga di luar bandar.

“Kita perlu menerima hakikat bahawa pelaksanaan PPSMI akan menyebabkan hilangnya identiti bangsa dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa ilmu,” katanya.

Teks ucapan beliau dapat diakses di sini.

Petikan Makalah: Unsur Pinjaman Sanskrit-Arab Memperkaya BM

Pada abad kelapan belas dan kesembilan belas masyarakat Eropah, termasuk orang Inggeris, meminjam istilah dan ungkapan ilmiah secara besar-besaran daripada bahasa Yunani dan Latin. Kini dianggarkan lebih sembilan puluh peratus istilah perubatan bahasa Inggeris dipinjam daripada kedua-dua bahasa itu.

Pada abad ke-20 negara Dunia Ketiga pula meminjam unsur bahasa asing secara besar-besaran, terutamanya daripada bahasa Inggeris. Antara negara itu termasuklah Jepun. Dalam satu seminar, seorang pengkaji menyatakan, orang Jepun tidak berasa malu meminjam istilah daripada bahasa Inggeris. Pendeknya, peminjaman apa-apa unsur bahasa asing oleh sesuatu bahasa ialah perkara biasa. Malah, peminjaman bersistem dianggap satu tanda kemodenan dan kedinamikan bahasa. Demikian jugalah halnya dengan bahasa Melayu.

Bahasa Melayu meminjam unsur bahasa asing sesuai dengan perjalanan sejarah. Peminjaman unsur oleh bahasa Melayu berlaku hasil pertembungan orang Melayu dengan orang asing. Orang Melayu meminjam unsur bahasa Sanskrit daripada orang India, unsur bahasa Arab daripada orang Timur Tengah dan unsur bahasa Inggeris daripada orang Eropah.

Inilah tiga bahasa yang menjadi sumber pinjaman bahasa Melayu secara besar-besaran. Secara kecil-kecilan pula, bahasa Melayu meminjam unsur beberapa bahasa lain seperti Parsi, Cina, Tamil, Portugis dan Belanda. Malah bahasa Melayu juga meminjam unsur bahasa serumpun seperti bahasa Jawa. Walau bagaimanapun, makalah ini membincangkan peminjaman unsur daripada bahasa Sanskrit dan bahasa Arab sahaja.

….

Perbincangan ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu bukanlah meminjam bahasa asing atau tatabahasanya. Yang dipinjam hanyalah unsur bahasa itu. Peminjaman unsur yang ketara daripada bahasa Sanskrit ialah kosa kata dan imbuhan. Daripada bahasa Arab pula bahasa Melayu meminjam tulisan, bunyi, kosa kata, imbuhan dan ungkapan.

Unsur yang dipinjam itu disesuaikan dengan sifat bahasa Melayu. Dengan perkataan lain, peminjaman itu tidak menyebabkan bahasa Melayu menjadi bahasa rojak. Tegasnya, bahasa Melayu tetap asli. Peminjaman unsur bahasa Sanskrit dan bahasa Arab itu menjadikan bahasa Melayu bertambah kaya dan mantap.

Dipetik daripada makalah “Bahasa Pinjaman yang Memperkaya Bahasa Melayu” oleh Mohd Isa Abd Razak dalam Dewan Bahasa, Julai 2009, halaman 20 – 23.