Memaparkan catatan dengan label Coretan: Flora-Fauna. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Coretan: Flora-Fauna. Papar semua catatan

22 September 2012

Ikan Sabah



Pelian (Kelah)
Ambil galah di kebun durian,
Abang hendak menjolok tarap;
Di sini kelah di sana pelian,
Dipanggang enak dikukus sedap.

Karuk/Korik (Puyu/Betuk)
Ada kayu di hujung caruk,
Untuk emak menjolok jering;
Di sini puyu di sana karuk,
Amat enak dipindang kering.

 
Pangal (Haruan)
Redupan sena di tanah tuan,
Laluan kanda waktu petang;
Pangal di sana, di sini haruan,
Lauk bonda dalam pantang.

Sopong (Baung Akar)

Kuih kelepung kuih bakar,
Ramuan emak dari desa;
Ikan sopong baung akar,
Dimasak lemak pasti perisa.



Rolou (Belut)

Elok perangai juga santunnya,
Anak sahabat bernama Milah;
Belut sungai, rolou Dusunnya,
Dapat mengubat penyakit lelah.



Salarong (Patin)


Kita ke sawah kutip cendawan,
Sebakul sarat jual di tamu;
Patin buah salarong Nabawan,
Ikan darat sajian tetamu.


Lembungau (Jelawat)


Si jururawat membeli jerangau,
Rebusan akarnya mesti ditelan;
Ikan jelawat itulah lembungau,
Ada lubuknya di Sungai Pegalan.

Saraweh (Selimang)


Sejenis kuih bernama lemang,
Kalau dibiarkan rentung jadinya;
Ikan saraweh persis selimang,
Sukar dimakan banyak tulangnya.

Rokot (Sapu-sapu)
Lembah di Sugut sudah bertuan,
Banyak rerama di hutan paya;
Ikan rokot menahu batuan,
Bahan utama bosou Mahaya.

Port Dickson
22 September 2012

Puisi: Nenek Sabah

26 Ogos 2012

Ikan Puyu Si Ikan Karuk, Dipindang Kering

Senduduk Ungu Kekal Sahabat
Pada suatu hari Sabtu, saya ke Pasar Tani Rembau. Seorang lelaki yang berusia empat puluhan tercongok di suatu sudut pasar itu. Lelaki kurus dan berpakaian lusuh itu menghadap dua buah baldi dan beberapa biji botol plastik yang berisi ikan puyu hidup sebagai bahan dagangannya. Lama saya melihat dia bersendirian di situ.

17 Mac 2011

Senduduk Ungu Kekal Sahabat


Senduduk ungu (Melastoma malabathricum) ialah jenis senduduk yang paling mudah kita temukan. Pokok renek ini tumbuh meliar di tanah terbiar, kebun, ladang dan belukar.

Senduduk ungu turut mewarnai zaman kanak-kanak saya. Yang terpenting, selepas memakan buahnya, lidah saya berwarna hitam. Warna itu bersememeh di bibir. Namun, dari semasa ke semasa, saya tetap memakan buahnya yang sudah masak.

Pada akhir tahun lima puluhan dan awal tahun enam puluhan, kudapan yang saya kenal hampir kesemuanya berasal daripada kebun, ladang, belukar dan hutan. Antara kudapan itu termasuklah buah kemunting, buah lemba, buah mata pelanduk, buah pokok nasi-nasi, buah letup-letup dan buah senduduk ungu. Antara buah-buah itu pula, buah yang terkerap menjadi mamahan saya ialah buah senduduk ungu.