Memaparkan catatan dengan label Praktikum. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Praktikum. Papar semua catatan

01 Ogos 2009

Pengisian Kurikulum BM (KBT1): Kemahiran Berfikir

Masukan yang berkaitan: 1. Latar Kurikulum BM 2. Panduan Praktikum SR 3. PK BM: Nilai Murni 4. RP Tahunan/Semester 5. Format RPH BM 6. Format RPH dan Penggunaan Lajur Catatan 7. Empat Kejanggalan dalam RPH 8. Aktiviti Pemulihan Semasa Praktikum 9. Pengajaran Berpasangan 10. Gementar pada Hari Pertama 11. Saya Tidak Pandai, Cikgu 12. Catatan Pascapemerhatian 13. Renungan Pascapemerhatian


Aspek terpenting kemahiran bernilai tambah (KBT) ialah kemahiran berfikir (KB). KB bukan sekadar berada di tempat pertama dalam senarai KBT tetapi tersenarai di bawah aspek perancangan dalam borang penilaian praktikum. Ertinya, jika KB tidak dirancang dalam setiap sesi pengajaran, maka pelaksanaan pengajaran itu dapat dianggap cacat.

Walaupun KB tidak tersenarai di bawah aspek pelaksanaan, ada dua aspek di bawah amalan refleksi, iaitu pemikiran reflektif dan catatan reflektif, amat berkaitan dengan KB. Tegasnya, KB mesti diserapkan dalam setiap sesi pengajaran Bahasa Melayu.

Aspek kemahiran berfikir yang tercatat dalam Huraian Sukatan Pelajaran (HSP) Sekolah Rendah adalah seperti yang berikut:

1. Mencirikan
2. Mengelaskan, mengumpulkan, mengkategorikan
3. Membuat kaitan dan perhubungan
4. Membanding dan membeza
5. Menyusun atur
6. Mengenal pasti kenyataan benar atau palsu
7. Membezakan fakta dengan pendapat
8. Menganalisis
9. Mengesan kecondongan pendapat
10. Mengenal pasti sebab akibat
11. Meramal
12. Mensintesis
13. Mengitlak
14. Membuat analogi
15. Membuat inferens
16. Membuat kesimpulan
17. Menginterpretasi, mentafsir
18. Mengenal pasti idea utama dan idea sokongan
19. Menilai
20. Menjana idea
21. Merumus, meringkas
22. Membuat keputusan
23. Menyelesaikan masalah

HSP menegaskan, untuk membolehkan murid menguasai KB, guru perlu menggunakan alat untuk berfikir dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Antara alat untuk berfikir itu termasuklah penyusun grafik, soalan (bertumpu, bercapah, dan lingkaran soalan) dan peta minda. Alat untuk berfikir CoRT1 seperti dalam rajah yang di bawah juga perlu dimanfaatkan.

30 Julai 2009

Pengisian Kurikulum BM: Nilai Murni

Aspek kedua dalam senarai pengisian kurikulum Bahasa Melayu sekolah rendah ialah nilai. Semasa praktikum, aspek ini mesti diberi keutamaan yang lebih atas dua sebab.

Yang pertama, penerapan nilai tercatat dua kali dalam borang penilaian praktikum, iaitu dalam bahagian perancangan dan dalam bahagian pelaksanaan. Ertinya, wajarannya tinggi berbanding dengan aspek pengisian kurikulum yang lain. Yang kedua, penulisan objektif afektif hendaklah berdasarkan nilai murni. Jadi, tanpa nilai murni sebahagian daripada objektif pembelajaran pasti tidak akan tercapai. Oleh hal demikian, guru Bahasa Melayu mesti menyerapkan nilai murni dalam setiap pelajaran.

Sukatan pelajaran mencatatkan bahawa penerapan nilai murni dalam pendidikan Bahasa Melayu adalah untuk melahirkan insan yang baik serta memiliki akhlak mulia. Selain itu, penghayatan dan amalan nilai murni bertujuan untuk membentuk generasi muda yang berhemah tinggi dan berperibadi mulia.

Pemahaman dan kesedaran tentang nilai murni masyarakat Malaysia perlu dipupuk sama ada secara langsung atau tidak langsung, selaras dengan nilai sejagat. Tegasnya, usaha guru menerapkan nilai murni di sekolah merupakan amalan menghayati Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Jadi, sudah sewajarnya aspek ini dilaksanakan dengan segala kesungguhan.

Selain itu, penekanan terhadap nilai murni selaras dengan hasrat Wawasan 2020 untuk membentuk generasi baharu dengan acuan kita sendiri, iaitu generasi yang sarat dengan nilai murni. Hal ini menjadi asas pertimbangan penyemak kurikulum yang menghasilkan kurikulum semakan pada tahun 2003. Kini, di bawah gagasan Satu Malaysia, penekanan terhadap nilai murni di sekolah rendah menjadi bertambah penting. Apabila kita teliti, nilai murni di sekolah rendah terangkum dalam lapan nilai Satu Malaysia.

Di bawah ini disenaraikan 17 nilai murni dengan sedikit ulasannya.

1. Baik Hati … sikap mengambil berat terhadap perasaan dan kebajikan orang lain secara ikhlas yang dapat dilihat dengan menilai tindak tanduk seseorang terhadap orang lain.

2. Berdikari … kebolehan dan kesanggupan melakukan sesuatu tanpa bergantung pada orang lain yang terjelma juga melalui rasa tanggungjawab, berupaya bertindak sendiri, jaya diri dan yakin pada diri sendiri.

3. Hemah Tinggi … budi pekerti dan tingkah laku yang mulia dan lemah lembut serta budi bahasa yang patut diamalkan oleh seseorang dalam hubungannya dengan anggota masyarakat yang lain; terjelma melalui kesopanan, mengakui kesalahan diri, dan ramah mesra.

4. Hormat-menghormati … menghargai dan memuliakan seseorang dan institusi sosial dengan memberikan layanan yang sopan; antara lain terjelma melalui ketaatan terhadap ibu bapa, orang yang lebih tua, guru, rakan, jiran tetangga, dan pemimpin; dan terjelma juga melalui hormat kepada raja dan negara, patuh kepada undang-undang dan menghargai maruah diri.

5. Kasih Sayang … perasaan cinta, kasih dan sayang yang mendalam dan berkekalan yang lahir daripada hati yang rela terhadap sesuatu; termasuk sayang/cinta akan nyawa, alam sekitar, negara dan keamanan.

6. Keadilan … perlakuan, pertuturan dan keputusan yang saksama serta tidak berat sebelah; termasuk juga saksama.

7. Kebebasan … dapat melakukan sesuatu tanpa batasan asalkan kebebasan itu tertakluk pada peraturan dan undang-undang agama, masyarakat dan negara; terjelma melalui kebebasan di sisi undang-undang dan kebebasan dalam sistem demokrasi.

8. Keberanian … kesanggupan seseorang untuk menghadapi cabaran dengan yakin dan tabah hati; termasuk berani tanpa membuta tuli, berani kerana benar, berani mempertahankan pendirian, dan berani bertanggungjawab.

9. Kebersihan Fizikal dan Mental … kebersihan diri dan kebersihan persekitaran; terjelma melalui pertuturan, kelakuan, pemikiran dan amalan kerohanian.

10. Kejujuran … sikap dan perlakuan yang menunjukkan niat baik, amanah dan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan; termasuk amanah, bercakap benar, dan ikhlas.

11. Kerajinan … usaha secara berterusan yang penuh dengan semangat ketekunan dan dedikasi dalam melakukan sesuatu perkara; terjelma melalui kecekalan, daya usaha, dedikasi, gigih dan tekun.

12. Kerjasama … usaha yang baik dan membina yang dilakukan secara bersama-sama pada peringkat individu, komuniti, masyarakat atau negara untuk mencapai sesuatu matlamat; termasuk persaudaraan, tanggungjawab bersama, gotong-royong, toleransi, kebaikan bersama dan perpaduan.

13. Kesederhanaan … sikap tidak keterlaluan dalam membuat pertimbangan dan tindakan sama ada dalam pemikiran, pertuturan atau perlakuan supaya sesuai dengan norma dan nilai masyarakat; secara umum sederhana dalam mempertimbangkan kepentingan diri dan kepentingan orang lain.

14. Kesyukuran … perasaan dan perlakuan yang dilahirkan secara ikhlas atas nikmat dan kesenangan yang diperoleh; termasuk berterima kasih, mengenang budi, dan menghargai seseorang/sesuatu--fokus utama ialah kesyukuran kepada Tuhan.

15. Patriotisme … semangat cinta akan negara, taat setia kepada raja dan sanggup berkorban demi negara.

16. Rasional … dapat berfikir dengan berdasarkan alasan dan bukti yang nyata dan dapat melakukan tindakan yang wajar tanpa dipengaruhi oleh perasaan; termasuk mampu membuat pertimbangan, berfikir logik dan bersifat terbuka.

17. Semangat Bermasyarakat … kesediaan melakukan sesuatu berdasarkan semangat kekitaan seperti bermuafakat, kejiranan dan peka tentang isu sosial dan masyarakat.

Sebenarnya, penerapan nilai murni berlaku secara berterusan dalam hidup kita sama ada dalam masyarakat, di rumah, mahupun di sekolah. Di sekolah pula penyerapan nilai murni dapat berlaku di luar dan di dalam bilik darjah. Penerapan nilai murni di dalam bilik darjah dilakukan secara lebih terancang, siap dengan objektif afektifnya, dan dilaksanakan dengan teknik-teknik tertentu.

Cara termudah untuk menyerapkan nilai murni adalah dengan menyatakan atau meneguhkan nilai yang berkenaan kepada murid. Misalnya, ketika beraktiviti dalam kumpulan seorang murid menunjukkan toleransi (seperti menarik diri) demi kepentingan kumpulannya. Antara ulasan yang dapat diberikan oleh guru kepada kelas pada masa yang sesuai (seperti selepas pembentangan oleh kumpulan itu) ialah menyatakan situasi toleransi (subnilai kerjasama) murid itu dan meminta murid-murid lain mencontohi tindakannya. Jika berkesempatan hal ini dapat dikaitkan dengan situasi lain seperti ketika berkhidmat dalam angkatan tentera.

Satu cara lain yang lebih lazim untuk menerapkan nilai-nilai murni adalah dengan menggunakan bahan-bahan bacaan yang sarat dengan nilai murni. Antara bahan yang sesuai ialah peribahasa dan cerita teladan. Satu daripada aktiviti susulan selepas aktiviti bacaan ialah murid menyatakan atau mengulas nilai murni itu. Paling tidak, guru menyatakan pengajaran sesuatu cerita. Sebagai contoh, selepas menceritakan kisah “Gagak dengan Takar”, dinyatakan subnilai kerajinan, iaitu kecekalan dan daya usaha gagak membuahkan kejayaan atau dengan peribahasa “usaha tangga kejayaan.” Walau bagaimanapun, tentulah lebih baik lagi jika nilai itu dinyatakan oleh murid sendiri kepada kelas atau kumpulannya.

Sesungguhnya guru mempunyai peluang yang sangat banyak untuk menerapkan nilai murni semasa berinteraksi dengan murid di dalam bilik darjah. Sebenarnya, sistem bahasa itu sendiri mengutamakan nilai murni seperti kesantunan berbahasa. Ketika mengajarkan bahan yang mengandungi maklumat pula, kemahiran murid untuk menyampaikan maklumat itu perlu dititikberatkan. Pendeknya hampir kesemua aktiviti di dalam bilik darjah dapat dimanipulasi untuk menerapkan nilai murni sama ada dengan cara meminta murid menjadikan perkara baik sebagai teladan atau meminta mereka menjadikan perkara buruk sebagai sempadan. Yang penting guru mesti menyedari akan kewujudan nilai itu, menyerlahkannya kepada kelas dan memberikan peneguhan kepada murid untuk mengamalkan nilai itu. Pendek kata, penerapan nilai murni mudah dan memang sentiasa dapat dilaksanakan.

19 Julai 2009

Rancangan Pengajaran Tahunan/Semester

Rancangan pengajaran tahunan/semester (RPT/S) contoh yang disediakan ini adalah sebagai panduan sahaja. Rancangan ini boleh diubah suai agar lebih menepati keperluan setempat dan semasa. Yang penting unsur-unsur yang terdapat dalam contoh ini perlu ada.

Unsur pertama ialah unit dan minggu. Unit dapat diambil sepenuhnya atau berdasarkan buku teks. Minggu ditetapkan oleh guru sendiri. Satu unit lazimnya dilaksanakan satu hingga dua minggu sahaja.

Unsur kedua ialah tema dan tajuk. Seperti unit, tema dan tajuk juga dapat diambil sepenuhnya atau diubah suai daripada buku teks dan buku aktiviti. Tema lazimnya satu dan sebaik-baiknya diikuti dengan subtema. Contohnya, tema alam sekitar diikuti dengan subtema kebersihan. Tajuk pula boleh satu atau lebih daripada satu. Hal ini bergantung pada pelbagai faktor seperti peruntukan masa, kemudahan sumber, kebolehan murid dan kecekapan guru. Yang penting tajuk itu hendaklah berdasarkan tema yang sama.

Unsur ketiga ialah hasil pembelajaran (HP) dan huraian hasil pembelajaran (HHP) berdasarkan aras yang dapat dipetik sepenuhnya daripada Huraian Sukatan Pelajaran dan disesuaikan juga dengan cadangan HP dan HHP yang terdapat dalam buku teks. Sebaik-baiknya setiap unit mengandungi kemahiran mendengar dan/atau kemahiran bertutur, kemahiran membaca, dan kemahiran menulis. Tidak menjadi masalah sekiranya lajur HP dipisahkan daripada lajur HHP.

Unsur keempat ialah cadangan aktiviti. Perkataan cadangan sengaja digunakan seperti yang terdapat dalam Huraian Sukatan Pelajaran. Hal ini bermaksud aktiviti yang dicadangkan itu boleh diubah suai seperti digugurkan, ditambah atau digantikan dengan aktiviti yang hampir sama.

Penulisan aktiviti itu juga bersifat umum dan dapat dipecahkan kepada beberapa aktiviti kecil. Aktiviti boleh diambil dan disesuaikan atau dirumuskan daripada cadangan aktiviti yang terdapat dalam Huraian Sukatan Pelajaran, buku teks dan buku aktiviti. Yang penting, setiap aktiviti hendaklah berupa penjelasan kemahiran bagi aras yang berkenaan. Tiada ketetapan tentang jumlah aktiviti. Namun, sebagai panduan, sekurang-kurangnya satu aktiviti dapat dibina daripada satu aras kemahiran. Purata enam aktiviti bagi satu minggu dianggap memadai.

Unsur kelima ialah sistem bahasa dan pengisian kurikulum. Sistem bahasa bukan sahaja mesti diajarkan pada setiap minggu malah pada setiap kali pengajaran. Oleh itu, dua atau lebih sistem bahasa wajarlah dicatat dalam lajur yang berkenaan untuk setiap minggu.

Bagi pengisian kurikulum, nilai murni dan kemahiran bernilai tambah (KBT) mestilah dirancang untuk setiap minggu. Bagi KBT pula, kemahiran berfikir juga hendaklah dirancang untuk setiap minggu. Sebaik-baiknya dirancangkan empat pengisian kurikulum dalam seminggu.

Selain nilai murni dan kemahiran berfikir, dua lagi pengisian kurikulum lagi dapat dipilih atas kebijaksanaan guru asalkan sesuai dengan aktiviti yang disediakan. Subtajuk pengisian kurikulum di bawah KBT dianggap satu pengisian kurikulum. Jika suka, lajur sistem bahasa boleh dipisahkan daripada lajur pengisian kurikulum.

RPT-S Bahasa Melayu SR Ed 2009

22 Jun 2009

Aktiviti Pemulihan Semasa Praktikum

Oleh Mohd Firdaus bin Haji Abd Salam
Institut Perguruan Keningau, Sabah

Dalam borang penilaian praktikum tidak terdapat penilaian aspek pemulihan. Ketidakjelasan ini dikhuatiri memberi implikasi terhadap pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Misalnya, aktiviti pemulihan mungkin kurang diberi penekanan semasa bimbingan oleh pensyarah atau guru pembimbing, dan pelaksanaannya di bilik darjah kurang terancang dan kabur. Hal ini turut menggambarkan seolah-olah aktiviti pemulihan kurang penting. Akhirnya kita akan temukan guru pelatih (GP) cemerlang tetapi tidak mampu menguasai dan melaksana aktiviti pemulihan semasa praktikum atau di sekolah kelak.

Salah satu konsep 5P dalam strategi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu ialah pemulihan. Dalam konteks KBSR, program pemulihan merupakan langkah-langkah khusus yang dijalankan untuk membantu murid-murid yang menghadapi masalah pembelajaran tertentu dalam kemahiran asas 3M. Mereka patut dipulihkan sebaik sahaja masalah yang dihadapi itu dapat dikesan dan ditentukan oleh guru darjah atau guru mata pelajaran.

Program pemulihan disediakan untuk membantu murid menguasai kemahiran asas yang belum dapat dikuasai dalam tempoh yang ditetapkan. Bahan untuk program ini terdiri daripada kad, carta, bahan maujud, alat permainan, dan lain-lain yang boleh digunakan secara berperingkat-peringkat daripada yang mudah kepada yang sukar. Pelaksanaan program ini mengikut kadar kemampuan murid menguasai sesuatu kemahiran (Huraian Sukatan Pelajaran SR). Oleh itu, program pemulihan ialah satu rancangan pembelajaran yang disediakan untuk membantu murid-murid yang menghadapi masalah atau kesukaran pembelajaran dalam menguasai sesuatu kemahiran.

Keperluan aktiviti pemulihan juga sangat bergantung pada keperluan murid. Sekiranya terdapat murid yang dikenal pasti memerlukan aktiviti pemulihan, GP perlu menyediakan aktiviti pemulihan yang perlu dicatatkan dalam rancangan pengajaran harian (RPH). Berdasarkan pengalaman penulis, lazimnya GP tidak menyediakan aktiviti pemulihan walaupun ada murid yang memerlukannya. Senario ini dikhuatiri akan berterusan apabila GP ditempatkan di sekolah. Akhirnya pemulihan dalam bilik darjah tidak berlaku. Murid yang tidak menguasai 3M akan meningkat.

Kebimbangan ini pernah disuarakan oleh pelbagai pihak. Jabatan Pendidikan Khas pada tahun 2000 mendapati bahawa 10-15% murid sekolah rendah tidak menguasai 3M. PIPP (2005) mencatatkan 4.4% pelajar sekolah rendah tidak menguasai 3M dan 0.8% pelajar di sekolah menengah menghadapi masalah yang sama.

Pelaksanaan program KIA2M yang bermula pada tahun 2006 merupakan salah satu langkah nasional yang bertujuan membendung masalah ini. Mewujudkan program latihan perguruan bagi GP pemulihan khas di IPG juga diharap mampu membantu mengatasi masalah tersebut.

Justeru, aktiviti pemulihan dalam bilik darjah KBSR wajar diberi perhatian semula. Tanpa menidakkan program-program latihan yang sedia ada, lompang yang dikenal pasti melalui praktikum di IPG mungkin difikirkan semula. Hal ini perlu difikirkan dengan serius oleh pendidik guru dan guru pelatih.

Cadangan yang praktikal seperti memasukkan aspek pemulihan dalam borang penilaian praktikum perlu difikirkan. Dengan demikian kita mungkin dapat membentengi diri kita daripada memikul dosa apabila guru pelatih yang kita hasilkan gagal mencelikhurufkan murid mereka.

20 Jun 2009

Gementar pada Hari Pertama

Refleksi Praktikum oleh Juritah Gilong

Hari yang dinantikan telah pun tiba. Kini saya sudah melaporkan diri untuk menjalani praktikum di sebuah sekolah rendah kira-kira 60 kilometer dari institut kami. Saya akan berada di sekolah ini selama tiga bulan.

Pada hari pertama menjejakkan kaki di sekolah ini, saya berasa gementar kerana berada dalam situasi baharu. Kegementaran itu menjadi-jadi apabila kehadiran kami disambut sinis oleh pihak sekolah. Dikatakan bahawa kami dikehendaki melaporkan diri lebih awal, bukannya pada hari itu.

Mengapa perkara ini harus terjadi? Mungkinkah terdapat masalah penghantaran maklumat? Saya dan rakan terkasima seketika dengan kata-kata pihak sekolah itu. Namun hal ini dijernihkan oleh ketua kumpulan yang menjelaskan tempoh sebenar kami menjalani praktikum.

Pada hari tersebut juga kami bersama-sama mengikuti perhimpunan rasmi sekolah. Kami diminta memperkenalkan diri di hadapan hampir 50 orang guru dan seramai lebih kurang 1,800 orang murid. Gementarnya saya!

Sepanjang menjalani praktikum fasa kedua di sekolah saya mengalami banyak peristiwa suka dan duka. Pengalaman itu menambah kematangan saya. Cabaran dan rintangan yang saya lalui itu mengajar saya supaya lebih professional dalam setiap tindakan.

Semasa praktikum fasa kedua ini, saya memperoleh berbagai-bagai perkara daripada pensyarah pembimbing dan guru pembimbing. Antaranya, rancangan pengajaran semester dan rancangan pengajaran harian perlu mengikut format baharu iaitu mesti memasukkan unsur kemahiran berfikir dan pengisian kurikulum. Selain itu, saya menyedari bahawa kertas soalan peperiksaan Bahasa Melayu UPSR berformat baharu.

Seperkara yang sangat penting bagi saya ialah cara mendekati pelajar. Saya bertanya guru kelas dan guru-guru yang mengajar di kelas tersebut. Maklumat yang diperoleh memudahkan saya memahami karenah murid yang saya ajar sekiranya berlaku sesuatu perkara yang tidak di ingini.

Baik saya coretkan sedikit pengalaman pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di kelas Tahun Lima Hijau. Kelas ini terdiri daripada 30 orang murid iaitu sebanyak sepuluh orang murid perempuan dan dua puluh orang murid lelaki. Pengalaman mengajar mereka adalah satu cabaran besar bagi saya.

Murid-murid kelas ini aktif tetapi aras kecerdasan mereka rendah. Kebanyakan guru yang masuk di kelas ini tidak tahan mengajar mereka kerana mereka tidak menumpukan perhatian terhadap pengajaran dan pembelajaran guru.

Pada mulanya saya begitu gementar. Guru lama pun tidak dapat mengawal mereka, apatah lagi saya yang hanya sekadar bergelar guru pelatih. Walau apa pun yang terjadi, saya terpaksa berhadapan dengan mereka dan mengajarkan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Pendidikan Seni kepada mereka.

Pada kali pertama saya masuk dan mengajar di Kelas 5 Gemilang ini, semua murid diam. Kelas terkawal. Hati saya berkata, murid di kelas ini tidaklah seperti apa yang saya sangka. Mereka kelihatan baik-baik belaka. Namun dari sehari ke sehari, sikap sebenar mereka terserlah. Benarlah apa yang dikatakan oleh kebanyakan guru yang masuk mengajar di kelas ini. Jelas pada saya bahawa hampir semua murid lelaki tidak pandai menghormati guru dan suka menyakat pelajar lain.

Seterusnya, saya ingin mencoretkan sedikit kekuatan saya semasa praktikum. Antara kekuatan saya ialah saya berjaya menggunakan teknik baharu dalam pengajaran dan pembelajaran. Contohnya saya menggunakan teknik meja bulat dalam pengajaran saya. Teknik ini berjaya dilaksanakan walaupun kali pertama saya jalankan. Walau bagaimanapun, menurut pensyarah pembimbing, saya perlu memahami prinsip teknik meja bulat supaya pelaksanaannya lebih berkesan.

Selain itu, dalam praktikum fasa ini, saya sudah boleh menerapkan nilai murni semasa pengajaran dan pembelajaran. Saya juga mampu menerapkan unsur kemahiran berfikir semasa aktiviti dijalankan.

Apa yang lebih bermakna bagi saya ialah saya berjaya “mencuri” masa yang singkat bagi dua orang murid yang agak lemah dalam bacaan. Saya menyuruh mereka datang ke bilik bimbingan dan kaunseling untuk meningkatkan bacaan mereka. Saya meyediakan buku bacaan yang saya beli sendiri untuk kegunaan mereka. Buku itu saya beri pinjam kepada mereka dan pada setiap waktu rehat atau 30 minit selepas tamat persekolahan mereka akan datang berjumpa dengan saya.

Dari sini, saya dapat mengesan tahap peningkatan bacaan murid. Kedua-dua orang pelajar ini mempunyai semangat yang tinggi untuk mengatasi masalah mereka. Sesungguhnya saya amat bangga dan terharu dengan semangat yang mereka tunjukkan. Kadang kala saya kecewa dengan tanggapan sebilangan guru yang menggelar mereka dengan perkataan yang tidak sepatutnya.

Ada juga guru beranggapan mereka ini memang tidak dapat dipulihkan. Walhal, apa yang saya perhatikan kedua-dua pelajar ini juga ingin berjaya seperti rakan-rakan sebaya mereka yang lain.

Seperti insan lain yang bergelar guru pelatih, saya juga tidak ketinggalan mengalami masalah dalam pengajaran dan pembelajaran. Masalah yang timbul ini kadang kala hampir mematahkan semangat saya. Maafkan saya kerana mengatakan sedemikian. Hal ini bukan sahaja mengganggu murid yang lain untuk belajar tetapi menyebabkan saya selalu terhenti meneruskan pengajaran hanya kerana mahu mengawal kelas. Apa yang mampu saya lakukan ialah memerhati kelakuan pelajar berkenaan dengan harapan mereka faham dengan makna renungan saya itu. Tidak masuk akal bukan?

Antara kelemahan yang ketara saya lakukan ialah arahan yang saya beri kurang tegas walaupun penerangan yang saya beri amat jelas. Disebabkan arahan saya yang kurang tegas, sebilangan pelajar lelaki sering mengambil kesempatan bermain di dalam kelas semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Mereka juga sering menimbulkan suasana bising yang kadang kala mengundang pergaduhan kecil.

Saya selalu berfikir kenapa mereka tidak faham teguran yang saya beri. Saya tidak kisah sangat sekiranya mereka bising ketika membuat kerja tetapi yang mengecewakan saya ialah sebilangan besar murid-murid kelas ini malas menyiapkan tugasan yang saya beri. Mereka tidak mahu berfikir untuk mencari jawapan. Mereka mahu saya memberikan jawapan terus.

Selain itu, saya juga sering mengalami masalah dalam pengurusan masa. Hal ini berpunca daripada murid-murid. Mereka sering lewat masuk ke dalam kelas terutamanya selepas mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Pendidikan Agama Islam dan Moral serta selepas waktu rehat. Kadang kala saya terpaksa menunggu 20 minit untuk memulakan pengajaran dan pembelajaran hanya kerana kelewatan yang dilakukan oleh mereka.

Pensyarah, guru pembimbing, rakan sebaya dan pengurus sekolah memang terlalu banyak membimbing saya. Saya bersyukur kerana mendapat bimbingan daripada pensyarah pembimbing yang banyak pengalaman. Beliau membimbing saya dengan begitu bersungguh-sungguh terutamanya dari segi penulisan refleksi dan strategi pengajaran dan pembelajaran. Selain itu beliau juga sering memberikan buah fikiran dalam pemilihan bahan bantu mengajar.

Guru pembimbing pula sering memberikan cadangan bagaimana hendak mengawal kelas. Menurut beliau pemberian peneguhan positif dan negatif perlu wujud di dalam kelas supaya murid-murid sedar akan kesilapan yang mereka lakukan.

Selain itu, saya juga berbesar hati dengan guru-guru di sekolah ini kerana mereka sering memberi tunjuk ajar dan memberi pinjam buku rujukan, terutama bagi mata pelajaran Bahasa Melayu untuk penulisan.

Bimbingan dan dorongan daripada rakan sebaya juga memberi kesan yang sungguh besar maknanya bagi saya. Antara topik yang menjadi bahan perbincangan saya ialah teknik yang sesuai dan penyediaan rancangan pengajaran harian yang mantap.

Saya juga senang hati berurusan dengan pentadbir sekolah. Kecekapan pihak sekolah dapat mempercepat pengumpulan bahan yang kami perlukan dalam pembinaan portfolio. Selain itu, saya juga dapat menggunakan kemudahan pusat sumber dalam peminjaman bahan rujukan.

Secara keseluruhannya, pengalaman mengajar di sekolah ini amat besar maknanya bagi saya yang baru mengorak langkah untuk menjadi guru. Sesungguhnya apa yang saya tulis ini adalah hanya sebuah santapan minda buat kita semua. Maafkan saya seandainya apa-apa yang saya utarakan di sini mengguris perasaan sesetengah pihak.

Nota
Cikgu Juritah kini mengajar di kawasan pedalaman - lebih empat jam berkereta dari ibu kota dan tiga jam menaiki bot.

05 Mac 2009

Empat Kejanggalan dalam Rancangan Pengajaran Harian (RPH)

1. Ada pelajar mengadakan ujian dalam langkah pertama. Ujian itu bertujuan untuk mengukur pencapaian objektif pembelajaran yang pertama. Tegasnya, mereka merancang untuk mencapai satu daripada beberapa objektif pembelajaran dalam langkah pertama. Hal ini janggal kerana lazimnya ujian untuk mengukur pencapaian objektif pembelajaran dilaksanakan pada langkah terakhir, iaitu sebelum sesi penutup. Jikalau pelajar menggunakan frasa “Pada akhir pelajaran pelajar akan dapat …” yang menonjolkan bahawa objektif akan dinilai pada akhir pelajaran, perbuatan mengukur pencapaian objektif pembelajaran dalam langkah pertama bukan sahaja luar biasa tetapi bertentangan dengan maksud frasa ini.

2. Ada pelajar mengadakan ujian untuk mengukur objektif pembelajaran selepas mendedahkan bahan pembelajaran. Mereka melaksanakan ujian itu dalam mana-mana langkah selepas langkah pertama. Mereka tidak merancang apa-apa aktiviti yang dapat dikategorikan sebagai latihan selepas mendedahkan bahan pembelajaran dan sebelum melaksanakan ujian. Hal ini janggal kerana tanpa sesi latihan murid akan menghadapi masalah untuk menguasai pengetahuan atau kemahiran yang didedahkan itu.

3. Ada pelajar mendedahkan bahan pembelajaran tanpa mengadakan sesi latihan dan ujian untuk mengesan penguasaan murid. Bahan pembelajaran itu berupa sisipan. Bahan pembelajaran itu kurang atau tidak berkaitan sama sekali dengan mana-mana langkah sebelum atau selepasnya. Ada ketikanya kejanggalan ini berlaku sebelum langkah terakhir dan langkah yang janggal ini tidak berkaitan dengan mana-mana objektif pembelajaran.

4. Ada pelajar mengadakan ujian untuk mengesan penguasaan murid dalam langkah terakhir sedangkan usaha untuk mengesan penguasaan murid terhadap pengetahuan atau kemahiran dalam langkah terakhir itu tidak tersenarai dalam objektif pembelajaran. Adakalanya ujian itu tidak berkaitan dengan sesi pendedahan dan latihan sebelumnya. Keadaan ini merupakan kejanggalan yang luar biasa. Bandingannya, seseorang di Seremban berkata dia hendak pergi ke Shah Alam. “Sejam lagi sampailah saya ke sana,” katanya. Sejam kemudian dia berada di Melaka, bukannya di Shah Alam. Adakalanya pula, ujian itu memang berkaitan dengan bahan dalam sesi pendedahan dan latihan. Keadaan ini boleh dibetulkan. Pelajar hanya perlu menulis objektif bagi langkah ini walaupun sudah terlewat.

5. Daripada 10 orang pelajar, mereka yang merancang langkah janggal seperti contoh di atas ialah dua atau tiga orang. Dengan perkataan lain, lebih kurang 30% pelajar tidak berupaya membina langkah pengajaran yang utuh strukturnya.

03 Februari 2009

Panduan Praktikum Sekolah Rendah

Pada tahun 2007, Institut Perguruan Keningau, Sabah (IPKS) menerbitkan buku Panduan Penyeliaan Praktikum. Buku setebal 265 halaman itu diedarkan secara percuma kepada warga IPKS, khususnya pensyarah pembimbing praktikum.

Buku itu mengandungi 18 bab. Bab 1 menggariskan panduan pelaksanaan praktikum bagi semua program praktikum Bahagian Pendidikan Guru (BPG) di institut pendidikan guru Malaysia (IPGM). Bab 2 memberikan garis panduan tentang disiplin guru pelatih dan peraturan praktikum yang bertujuan memperjelas peranan dan tanggungjawab guru pelatih semasa menjalani praktikum.

Bab 3 hingga bab 16 memberikan tumpuan pada mata pelajaran. Dalam setiap bab terdapat panduan bimbingan dan penyeliaan mata pelajaran yang berkenaan. Setiap bab berfokus pada penyediaan rancangan pengajaran harian (RPH) serta kaedah pengajaran dan pembelajaran. Panduan dan fokus itu bertujuan memudahkan pensyarah penyelia, guru pembimbing dan guru pelatih membuat rujukan semasa praktikum.

Selain itu, buku panduan ini juga menjelaskan pelaksanaan kokurikulum semasa praktikum. Perkara ini dibincangkan dalam bab 17. Bahan rujukan ringkas pula termuat dalam bab 18. Dalam bab ini terdapat penerangan tentang portfolio, penulisan jurnal, kemahiran berfikir, nilai murni, pencerapan klinikal, amalan refleksi, guru sebagai mentor dan pengajaran berpasangan.

Setakat yang diketahui, buku panduan praktikum yang kemas kini dan menyeluruh untuk kegunaan IPGM belum terdapat di pasaran. Jikalau buku ini dimurnikan dan dikemas kini, buku ini dapat menjadi rujukan warga IPGM di negara kita – bukan sekadar untuk rujukan warga IPKS sahaja.

Tambahan pada 11 Februari 2012


Buku ini ialah edisi permulaan. Hal ini bermaksud ada banyak perkara masih perlu dimurnikan. Mudah-mudahan sudah ada edisi baharu. Edisi baharu penting sebab perubahan berlaku dari semasa ke semasa. Yang tahu hal itu “orang dalam”. Kini saya “orang luar”.

Kandungan

Kata Alu-aluan ... iv
Sekapur Sirih ... v
Kata Pengantar ... vi - vii
Bab 1 Pengenalan Praktikum … 1 -15
Bab 2 Pengurusan Pelajar Semasa Praktikum … 16 - 22
Bab 3 Bahasa Melayu Sekolah Rendah … 23 - 51
Bab 4 Bahasa Inggeris … 52 - 61
Bab 5 Sains … 62 - 96
Bab 6 Matematik … 97 - 113
Bab 7 Pendidikan Islam KBSR … 114 - 122
Bab 8 Pendidikan Islam j-QAF … 123 - 131
Bab 9 Bahasa Arab … 132 - 139
Bab 10 Kemahiran Hidup … 140 - 146
Bab 11 Kajian Tempatan … 147 - 163
Bab 12 Pendidikan Jasmani … 164 - 171
Bab 13 Pendidikan Muzik … 172 - 177
Bab 14 Pendidikan Seni … 178 - 193
Bab 15 Prasekolah … 194 - 213
Bab 16 Bimbingan dan Kaunseling … 214 - 225
Bab 17 Pelaksanaan Kokurikulum … 226 - 235
Bab 18 Rujukan Pantas … 236 - 257
Senarai Penulis … 258 - 260
Jawatankuasa Penerbitan … 261

Rujukan Pantas
Bab ini mengandungi sumber rujukan ringkas tentang beberapa perkara penting dalam praktikum, iaitu
(b) Portfolio
(c) Penulisan Jurnal
(d) Kemahiran Berfikir
(e) Nilai Murni
(f) Pencerapan Klinikal
(g) Amalan Refleksi
(h) Guru Sebagai Mentor
(i) Pengajaran Berpasangan

Sumber utama kandungan bab ini ialah buku panduan rasmi praktikum yang disediakan oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kementerian Pelajaran Malaysia. Walau bagaimanapun kandungan bab ini tidak bermaksud menggantikan buku panduan itu atas beberapa sebab. Yang pertama, kandungan bab ini bersifat terpilih, ringkas dan telah diubah suai. Yang kedua, kandungan buku panduan praktikum BPG dikemas kini dari semasa ke semasa dan pembaca hendaklah sentiasa merujuki buku panduan edisi yang terkini. Namun demikian, pembaca akan mendapati kandungan bab ini sangat berguna. Hal ini demikian kerana bab ini dimuatkan juga dengan beberapa dapatan baharu hasil dua bengkel praktikum yang berlangsung pada tahun 2006.

01 Februari 2009

Renungan Pascapemerhatian: Pemilihan Perkataan

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

Masukan terdahulu:
Pengajaran Berpasangan
Pengajaran Berpasangan: Catatan Pascapemerhatian

Pemilihan dan penyusuan perkataan yang dilakukan oleh kedua-dua orang guru pelatih ini menunjukkan bahawa mereka mengaplikasikan pengisian kurikulum dari segi ilmu, iaitu bidang kajian tempatan. Pengetahuan tentang nama buah-buahan termasuk dalam bidang kajian tempatan.

Masalahnya ialah buah-buahan tempatan dicampurkan dengan buah-buahan import. Untuk kelas pemulihan, gunakan buah-buahan tempatan sahaja. Sebaik-baiknya gunakan buah-buahan yang terdapat dalam pasaran tempatan.

Pemilihan dan penyusunan perkataan dari sudut pengisian kurikulum yang dinyatakan tadi dapat juga dinamakan pemilihan dan penyusunan dari segi semantik atau sosiolinguistik. Selain itu, pemilihan dan penyusunan perkataan dapat juga dilihat dari sudut fonetik atau senang-sukar penyebutan perkataan itu. Misalnya, vokal e taling seperti dalam perkataan epal lebih sukar disebut berbanding e pepet seperti dalam perkataan emak yang lebih lazim pada telinga kanak-kanak di negara kita.

Mencampuradukkan perkataan ini dalam satu sesi pengajaran pemulihan ternyata menjadikan penyampaian bertambah rumit. Setiap vokal itu perlu diajarkan secara khusus dalam satu dua sesi, diikuti dengan pengajaran kedua-dua vokal itu dalam satu dua sesi yang lain.

Selain vokal, penggunaan diftong dalam perkataan-perkataan yang dipilih perlu difikirkan kewajarannya. Jika pemilihan perkataan yang mengandungi diftong itu hanya akan merumitkan penyampaian, tangguhkan penggunaan perkataan itu untuk sesi yang lain.

Pemilihan dan penyusunan perkataan dapat juga dilihat dari sudut morfologi. Kedua-dua orang guru pelatih ini menggunakan kata nama maujud. Pilihan mereka tepat. Mereka juga memilih kata tunggal. Pilihan mereka bijak.

Sayangnya, pilihan mereka dari segi struktur perkataan tidak terkawal sedangkan inilah aspek terpenting dalam pemilihan perkataan untuk pemulihan khas. Mungkin mereka tidak menyedari hal ini. Tegasnya, mereka tidak mempunyai kriteria yang jelas dari segi pemilihan perkataan semasa melakukan perancangan.

Kedua-dua orang guru pelatih ini menggunakan perkataan yang mempunyai dua dan tiga suku kata. Dari segi jumlah suku kata, pilihan mereka dapat diterima. Hal ini dikatakan demikian kerana, pada pandangan mata kasar, murid-murid mereka sudah celik huruf iaitu dapat membaca perkataan mudah yang mempunyai dua suku kata terbuka seperti bapa, bola dan labu.

Jumlah empat pola suku kata (V, VK, KV, KVK) dapat dianggap munasabah sekiranya mereka tidak memilih e taling dan diftong. Hal ini dapat dilakukan dengan memilih nama buah-buahan tempatan yang tidak mengandungi e taling dan diftong.

Mereka juga memilih tiga perkataan yang mengandungi konsonan bergabung (digraf) ng. Hal ini meningkatkan lagi kerumitan struktur perkataan yang digunakan.

Analisis perkataan yang digunakan dalam pengajaran ini adalah seperti yang di bawah. Mereka melakukan susunan ini secara rawak.

tembikai: KVK-KV-KV, tiga suku kata: tertutup-terbuka-terbuka, ada diftong ai
anggur: VK-KVK, dua suku kata: tertutup-tertutup, ada huruf gabungan (digraf) ng
pisang: KV-KVK, dua suku kata: terbuka-tertutup, ada huruf gabungan ng
ceri: KV-KV, dua suku kata: terbuka-terbuka, ada e taling
limau: KV-KV, dua suku kata: terbuka-terbuka, ada diftong au
mangga: KVK-KV, dua suku kata: tertutup-terbuka, ada huruf gabungan ng
betik: KV-KVK, dua suku kata: terbuka-tertutup
epal: V-KVK, dua suku kata: terbuka-tertutup, ada e taling
oren: V-KVK, dua suku kata: terbuka-tertutup, ada e taling

Saya menyediakan set perkataan yang mungkin dapat menggantikan set perkataan di atas. Walau bagaimanapun, pilihan saya tidak semestinya terbaik. Hal ini disebabkan saya belum memahami situasi sekolah, profil pelajar dan hal-hal yang berkaitan dengan masalah pembelajaran mereka. Yang arif tentang hal ini tentulah guru mereka, termasuk kedua-dua orang guru pelatih yang mengambil alih buat sementara waktu sebahagian daripada tugas guru mereka.

Dalam senarai di bawah, hanya perkataan betik yang saya kekalkan. Set perkataan ini mengandungi dua dan tiga suku kata juga. Terdapat tiga pola suku kata sahaja (VK, KV, KVK), tiada e taling, tiada diftong, dan tiada huruf gabungan. Susunan berdasarkan struktur yang mudah didahulukan dan struktur tersukar dikemudiankan. Senang-sukar ini masih dapat dipersoalkan, tetapi yang penting saya menggunakan sesuatu asas (bukan secara rawak).

duku: KV-KV, dua suku kata: terbuka-terbuka
betik: KV-KVK, dua suku kata: terbuka-tertutup
jambu: KVK-KV, dua suku kata: tertutup-terbuka
tarap: KV-KVK, dua suku kata: terbuka-tertutup
kelapa: KV-KV-KV, tiga suku kata: terbuka-terbuka-terbuka
durian*: KV-KV-VK, tiga suku kata: terbuka-terbuka-tertutup
pulasan: KV-KV-KVK, tiga suku kata: terbuka-terbuka-tertutup
rambutan: KVK-KV-KVK, tiga suku kata: tertutup-terbuka-tertutup
cempedak: KVK-KV-KVK, tiga suku kata: tertutup-terbuka-tertutup

Dalam senarai di atas, hanya perkataan durian mengandungi pola suku kata VK yang menyebabkan jumlah pola suku kata menjadi tiga. Jika pola suku kata hendak dikurangkan, perkataan durian dapat digantikan dengan perkataan lain seperti ciku (KV-KV), sukun (KV-KVK), dan delima (KV-KV-KV).

Buah-buahan itu dapat dilukis, dimuat turun gambarnya daripada Internet, difotokopi daripada bahan bercetak, dipotong dan tampal daripada cakera padat, dan dapat juga dibeli di pasar tempatan. Pemilihan perkataan hanya kerana gambarnya terdapat dalam sebuah buku, perlu dielakkan.

Pilihan manakah yang terbaik? Saya pilih benda maujud kerana ada kemungkinan saya berpeluang menikmatinya selepas sesi pengajaran berpasangan itu. Tuan percaya?

Pengajaran Berpasangan: Catatan Pascapemerhatian

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

Masukan terdahulu: Pengajaran Berpasangan.

Dalam sesi pascapemerhatian, kedua-dua orang guru pelatih mengemukakan dapatan mereka daripada sesi pengajaran. Rumusan penjelasan mereka adalah seperti yang berikut:

Melalui sesi pengajaran ini mereka lebih memahami masalah pembelajaran murid. Mereka menyatakan Diana mudah lupa. Dia menulis huruf terbalik dan kerap tertinggal huruf n. Pilus pula dapat membaca suku kata tetapi meninggalkan suku kata tertentu dan tidak dapat menyebut huruf r. Pilus juga kerap tertinggal huruf n ketika menulis. Selain itu, Pilus cepat bosan semasa beraktiviti.

Steve memperlihatkan peningkatan prestasi tetapi masih tetap bermasalah menyebut huruf h. Rosmah merangkak membaca dan kelihatan ragu-ragu dan takut-takut. Augustine dan Aduka cepat bosan kerana menganggap diri mereka sudah pandai. Hairi menghadapi masalah emosi.

Kedua-dua orang guru pelatih ini nampaknya mengetahui latar belakang seorang murid dengan mendalam. Empati mereka terhadap murid itu ketara tetapi mereka belum berkemampuan melakukan sesuatu tindakan yang konkrit. Kes seorang murid lagi disentuh dan mereka bercadang melakukan tindakan susulan.

Berbincang tentang profil murid, mereka menimbulkan kerahsiaan data. Diringkaskan, profil memang perlu diwujudkan dan datanya (termasuk yang berupa kisah/anekdot) perlu ditambah dari semasa ke semasa. Isu khusus murid wajar dicatat dalam jurnal.

Data yang lengkap akan memudahkan pensyarah pembimbing memahami situasi yang ada sebelum mengemukakan sebarang pandangan. Profil lengkap itu juga akan menyebabkan guru pelatih lebih memahami persekitaran dan murid-murid mereka.

Kedua-dua orang guru pelatih ini menyatakan bahawa bahan bantu belajar mereka hari ini kurang. Bahan yang terdapat di bilik khas pemulihan tidak dapat digunakan.

Mereka mengakui bahawa kad perkataan yang ada perlu dimanipulasi dari segi penggunaannya dengan cara menunjukkan suku kata pertama, diikuti oleh suku kedua dan seterusnya.

Mereka juga sedar bahawa penggunaan warna pada suku kata perlu dilakukan secara menyeluruh dan konsisten. Misalnya, suku kata yang mempunyai vokal a diwarnakan dengan warna merah, suku kata yang mempunyai vokal i diwarnakan dengan warna kuning; begitu seterusnya. Jikalau kedua-dua atau ketiga-tiga suku kata itu mempunyai vokal yang sama, suku kata-suku kata itu dapat dibezakan dengan huruf tebal dan condong.

Kedua-dua orang guru pelatih ini bertambah sedar bahawa mereka perlu lebih intim dengan murid-murid mereka. Mereka nampaknya memahami kepentingan perubahan spontan terutama dalam langkah ketiga dan keempat. Kepentingan meningkatkan empati dan keintiman merupakan perkara terpenting yang mereka pelajari pada hari ini.

Selain itu, mereka merumuskan bahawa guru bukan penghukum. Guru perlu memahami pelbagai perkara berkaitan muridnya sebelum melakukan sesuatu tindakan, terutama yang bersifat melabel atau menghukum. Saya berasa amat lega dengan pemahaman mereka terhadap isu ini.

Kedua-dua orang guru pelatih ini menyedari bahawa masalah murid mereka bukanlah dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan dua atau semasa mereka berpraktikum. Jadi mereka perlu bersabar.

Pemahaman mendalam terhadap aspek pendidikan pemulihan diperlukan dan perancangan teliti dalam jangka panjang amat dituntut. Jika mereka tidak dapat melakukannya semasa praktikum, mereka mesti melakukan hal itu setelah menjadi guru terlatih nanti. Antara tindakan segera yang perlu mereka lakukan ialah memahami prinsip pengajaran pemulihan dan pelaksanaan pengajaran kumpulan berdasarkan kebolehan.

Antara prinsip yang sempat dibincangkan dalam sesi ini ialah “pengajaran pemulihan tidak patut dimulakan jika faktor fizikal yang menjadi punca masalah dan perlu dirawat terlebih tetapi masih belum dirawat lagi”. Prinsip ini dikaitkan dengan seorang murid yang menghasilkan ePal dan seorang murid lagi yang menulis huruf terbalik.

Nampaknya kedua-dua orang guru pelatih ini memahami maksud pengajaran kumpulan pelbagai kebolehan yang lazim disebut kaedah stesen. Mungkin mereka pernah mengamalkan kaedah stesen – bukan sekadar memahaminya untuk tujuan menjawab soalan peperiksaan.

21 Januari 2009

Format RPH Bahasa Melayu

Lajur 1, 2, 3 dan 4 sebenarnya bersambung. Pemecahan dilakukan untuk menyesuaikan penyiarannya di blog ini.

Format RPH ini dicipta berdasarkan contoh yang dikemukakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum. Untuk keperluan praktikum, beberapa ubah suaian dilakukan. Antaranya ialah lajur khas untuk langkah dan masa diwujudkan dan ruangan refleksi diadakan. Format yang diberikan di sini ialah bahagian badan sahaja. Pembaca boleh merujuki buku Panduan Penyeliaan Praktikum Institut Perguruan Keningau (2007) untuk memperoleh contoh lengkap.

Kemas kini pada 27 September 2009. Masukan yang berkaitan dengan catatan ini:
1. Latar Kurikulum Bahasa Melayu
2. Panduan Praktikum Sekolah Rendah
3. Rancangan Pengajaran Tahunan/Semester
4. Format RPH Bahasa Melayu
5. Format RPH dan Penggunaan Lajur Catatan
6. Empat Kejanggalan dalam Rancangan Pengajaran Harian (RPH)
7. Aktiviti Pemulihan Semasa Praktikum
8. Rancangan Pengajaran Harian (RPH) Contoh
9. Pengisian Kurikulum BM: Nilai Murni
10. Pengisian Kurikulum BM (KBT1): Kemahiran Berfikir

Nota pada 9 Julai 2012

Saya mendapati masukan ini tergolong dalam lima catatan popular dan sudah dicapai 1062 kali.

Saya mengucapkan terima kasih kepada pengunjung yang sudi singgah di sini. Di samping itu, saya berharap pengunjung hendaklah menganggap masukan ini sebagai panduan sahaja. Ubah suaian perlu dilakukan dengan berdasarkan kehendak institusi dan keperluan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Jikalau pengunjung ada idea tentang ubah suaian, sudilah kiranya dicatatkan idea itu dalam ruangan ulasan.

Format RPH dan Penggunaan Lajur Catatan

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak
http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/

Tulisan ini ialah sambungan masukan pada 13 Januari 2009 yang bertajuk “Latar Kurikulum Bahasa Melayu”.

Jabatan Pengajian Melayu pernah menerima pakai format RPH seperti dalam masukan di atas. (Klik di sini jika tidak kelihatan.)

Sekurang-kurangnya satu aspek sistem bahasa dan empat aspek pengisian kurikulum mesti diajarkan atau diserapkan dalam setiap sesi pengajaran.

Bagi elemen pengisian kurikulum, nilai dan kemahiran berfikir mesti ada dalam setiap sesi pengajaran. Dua aspek lagi boleh dipilih sendiri oleh guru pelatih dengan syarat satu daripadanya hendaklah daripada kumpulan kemahiran bernilai tambah.

Tiga perkara mesti dicatatkan dalam lajur ini.

Catatan pertama dan terpenting adalah tentang pencapaian objektif. Catatkan frasa pencapaian objektif 1, pencapaian objektif 2 dan sebagainya dalam langkah yang berkenaan. Catatan ini akan memudahkan guru pelatih, pensyarah penyelia dan guru pembimbing mengesan bahagian RPH yang bertujuan mengesan objektif pembelajaran.

Catatan kedua adalah tentang pelaksanaan sistem bahasa. Catatkan aspek sistem bahasa yang dilaksanakan secara ringkas. Contohnya, imbuhan beR- dan ayat majmuk gabungan.

Catatan ketiga adalah tentang pengisian kurikulum. Catatkan aspek pengisian kurikulum yang berkenaan secara jelas tetapi ringkas. Contohnya,

Nilai: Kebersihan mental dan fizikal.
Kemahiran Berfikir: Membandingkan dan membezakan sekolah yang bersih dengan yang kotor.
Ilmu: Sains: Kepentingan menjaga kebersihan untuk mengelak merebaknya penyakit.
Kemahiran Masa Depan: Pelajar dapat membuat ramalan akibat bersih dan kotor.

Ketiga-tiga catatan ini menepati penekanan kurikulum dan kandungan kurikulum.

Catatan tentang perkara yang lain ialah pilihan. Pilih perkara yang penting dan istimewa sahaja untuk dicatatkan dalam lajur ini agar tumpuan semua pihak tidak tersasar daripada tiga perkara tadi.

Contoh perkara tambahan yang dapat dianggap penting dan istimewa untuk dicatatkan ialah penggunaan kaedah seperti kaedah stesen, penggunaan teknik seperti kerusi panas, dan penggunaan bahan pembelajaran seperti klip video dalam Power Point.

Rumusannya, guru pelatih perlu menjelmakan kehendak kurikulum dalam RPH. Guru pelatih juga perlu mengutamakan perkara penting seperti objektif.

Nota
Tulisan ini dipetik daripada kertas kerja yang dibentangkan dalam satu seminar di Kota Kinabalu pada 31 Oktober 2007.

19 Januari 2009

Saya Tidak Pandai, Cikgu

Oleh Traccie Sahni

Wanis. Dialah murid yang saya bimbing secara individu semasa praktikum.

Apabila guru pembimbing mencadangkan agar saya membimbing murid tahun empat itu, saya tergamam. Dia tidak boleh membaca. Saya risau dan tertanya-tanya. Mampukah saya memulihkannya?

Saya pernah mengajar di Kuala Lumpur selama tiga tahun. Mengapakah rasa risau dan ragu masih ada untuk menghadapi cabaran ini? Mungkin kerana saya hanyalah guru pelatih. Namun, demi memperoleh pengalaman semasa latihan, cabaran itu saya terima.

Wanis ialah murid Tahun Empat Emas. Pembelajarannya tersekat kerana masalah ekonomi keluarga.

Dia menghidangkan saya tangisan pada kali pertama bertemu dengannya. Ketika itu saya mengajarkan Bahasa Melayu di kelasnya. Saya masih ingat, dia menangis terus-terusan semasa saya mengajar. Kemudian saya ketahui, rupa-rupanya dia takut akan saya. Dia memang tidak dapat menyiapkan tugasan yang saya berikan.

Selepas mengajar, saya memanggilnya. Dan mulai hari itu saya memahami masalahnya. Ayat pertama yang menyebabkan saya sebak dan simpati ialah apabila dia berkata, "Saya tidak pandai, Cikgu."

Patutlah dia berkata begitu. Dia memang tidak boleh membaca. Pada ketika itu jugalah saya mengetahui bahawa Wanislah murid yang dicadangkan oleh guru pembimbing saya untuk dipulihkan.

Keesokan harinya, saya memanggil Wanis ke bilik pemulihan. Saya mengenal pasti daerah kelemahannya. Saya mendapati dia tidak bermasalah mengenal dan membunyikan huruf besar dan huruf kecil. Cuma, dia gagal mengenal pasti huruf vokal.

Sebagai langkah pertama, saya mengajarnya mengenali huruf vokal. Saya melatih tubinya menyebut huruf berulang kali. Latih tubi itu berbantukan bahan binaan saya sendiri. Antaranya ialah kad huruf dan bahan berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi.

Wanis akhirnya dapat menghafal kesemua huruf vokal. Dia dapat menyebut huruf vokal dengan lancar dan betul tanpa bimbingan.

Sebagai peneguhan, saya menyediakan buku latihan untuk Wanis dan memberikan "nota ringkas" kepadanya untuk ulang kaji di rumah.

Keesokan harinya, saya melatih tubi Wanis membunyikan suku kata KV seperti ba, be, bi, bo, bu. Seperti biasa, saya membimbingnya terlebih dahulu sehinggalah saya yakin dia boleh membunyikannya dan membaca suku kata tersebut. Penggunaan bahan bantu belajar seperti kad suku kata dan kad gambar serta penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi sangat membantu Wanis menguasai kemahiran pada hari itu.

Sudah dua hari dia berada dalam bimbingan saya. Namun dia masih mempunyai sikap malu. Dia kurang bercakap. Untuk mewujudkan rasa selesa, saya mengajaknya berbual. Adakalanya saya bergurau dengannya supaya hubungan kami lebih akrab.

Saya dapat melihat perubahan sikap Wanis dari semasa ke semasa. Dia sudah mula berani memberikan senyuman dan menyapa saya apabila terserempak di mana-mana sahaja. Apabila melalui kelas pemulihan, dia juga berani melambai-lambaikan tangan kepada saya.

Saya mendapati Wanis sentiasa mengulang kaji suku kata yang sudah diajar. Jadi, dia dapat mengeja dan menyebut dengan baik setiap suku kata yang sudah diajarkan.

Adakalanya saya menguji Wanis menggunakan kemahiran yang susah sedikit. Saya gabungkan suku-suku kata seperti ba-ba, bi-bi, bo-bo dan bu-bu. Nyata penguasaannya lambat. Namun saya gembira kerana dia akhirnya dapat membaca suku kata yang telah digabungkan itu.

Apabila saya dapati Wanis sudah menguasai suku kata yang bermula dengan huruf b, saya beralih pula kepada suku kata yang bermula dengan huruf c seperti ca, ce, ci cu dan co.

Selepas sahaja Wanis menguasai bacaan suku kata itu, saya gabungkan dua suku kata bagi satu perkataan. Pada masa yang sama, saya menyelitkan juga suku kata yang bermula dengan huruf b yang sudah dipelajari seperti perkataan baca, cuba, caca, cici, cucu, cacu dan sebagainya.

Saya kerap membekalkan nota ringkas dan juga latihan sebagai aktiviti pengukuhan di rumah. Saya mendapat tahu Wanis mempunyai seorang kakak sepupu yang boleh membantunya di rumah. Dengan bantuan kakak sepupunya itu dan dengan semangat dan usaha Wanis sendiri, dia mula menguasai kemahiran mengeja dan membaca.

Masa berlalu dan akhirnya saya selesai mengajarnya kesemua suku kata KV.

Kemahiran demi kemahiran semakin dikuasainya. Tiada yang lebih menggembirakan apabila akhirnya saya mendapati dia menguasai kemahiran asas mengeja dan membaca.

Saya sangat berpuas hati dan gembira dengan perubahan Wanis. Daripada seorang yang langsung tidak tahu membaca, kini dia sudah dapat menguasai bacaan perkataan KV + KV dan perkataan KVK serta sudah mampu membaca petikan yang ringkas.

Saya sentiasa memberi semangat kepadanya supaya terus berusaha untuk menguasai ejaan dan bacaan. Saya juga sangat gembira kerana Wanis memberitahu saya bahawa ibu bapanya juga sentiasa mengikuti perkembangan pelajarannya.

Selain meminta Wanis membaca, saya juga melatihnya menulis perkataan. Saya menyebut nama benda atau beberapa perkataan dan memintanya mengeja dan menulis perkataan itu dalam buku.

Sesiapa sahaja tentu berasa gembira apabila berjaya membimbing murid melangkah ke satu tangga yang lebih baik berbanding sebelumnya. Wanis kini sudah mampu dan semakin lancar membaca petikan ringkas atau cerita yang ada perkataan KV + KV. Kini dia mula mampu membaca perkataan KV + KV + KV.

Kelmarin, Wanis terpaksa saya tinggalkan kerana sesi praktikum sudah pun selesai. Saat berpisah, dia mencium tangan saya dan memeluk saya. Saya menahan air mata.

Saya masih menghubungi mantan guru pembimbing dan bertanya perkembangan Wanis. Saya berharap ketiadaan saya, tidak menjejaskan pembelajaran Wanis. Pasti ada guru lain yang dapat meneruskan bimbingan yang saya terokai.

Saya yakin Wanis bukanlah murid yang lemah. Jikalau tiada masalah kewangan, dia mungkin mampu menjadi murid yang pintar. Sedekad dua akan datang dia mungkin akan membentangkan hasil kajiannya tentang masalah pembelajaran membaca di sekolah kurang murid di kawasan pedalaman seperti Terian, Abuan dan Pantai Boring.

Nota
Catatan ini ialah gubahan semula catatan pendek dalam jurnal praktikum. Catatan ini disunting oleh mentor guru pelatih. Diharap guru pelatih institut pendidikan guru dan peserta kursus pemulihan khas dapat memanfaatkan catatan ini.

13 Januari 2009

Latar Kurikulum Bahasa Melayu

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak
http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/

Sukatan Pelajaran BM Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) (2003) dan Sukatan Pelajaran BM Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) (2000) menegaskan penekanan kurikulum Bahasa Melayu ialah nilai murni dan semangat patriotik. Penekanan ini menggambarkan hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Hasrat KPM ialah hasrat negara. Hasrat negara bertunjangkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). FPK bertunjangkan Rukun Negara. Rukun Negara bertujuan untuk memupuk dan meningkatkan perpaduan. Pelbagai dasar negara seperti Wawasan 2020 dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) berkaitan dengan FPK dan Rukun Negara.


Rajah 1: Penekanan Kurikulum Bahasa Melayu

Rajah 1 menggambarkan lima ciri insan yang mengamalkan nilai murni dan semangat patriotik, iaitu berfikir, berilmu pengetahuan luas, beretika tinggi, bijaksana dan menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) dengan berkesan. Kita bertanggungjawab mendidik mereka agar mereka memiliki dan menghayati kelima-lima ciri ini. Apabila kita berjaya menunaikan tanggungjawab ini, insya-Allah, anak didik kita akan mampu berperanan sebagai warganegara maju dan masyarakat berilmu.


Rajah 2: Kandungan Kurikulum Bahasa Melayu

Seterusnya, guru pelatih juga mesti memahami kandungan kurikulum Bahasa Melayu. Rajah 2 menggambar kandungan (organisasi) kurikulum Bahasa Melayu sekolah rendah dan sekolah menengah. Fokusnya ialah hasil pembelajaran (HP). HP ialah pernyataan yang ditafsirkan daripada objektif kurikulum. HP terdiri daripada HP teras, HP gabungan dan elemen pengisian kurikulum.


Rajah 3: Pengisian Kurikulum Bahasa Melayu

Selain itu, guru pelatih juga mesti memahami pengisian kurikulum. Rajah 3 menggambarkan pengisian kurikulum Bahasa Melayu sekolah rendah dan sekolah menengah. Sukatan Pelajaran BM KBSR (2003) mencatatkan:

“Pengisian kurikulum terdiri daripada elemen yang menggabungkan perkembangan terkini dalam pendidikan yang meliputi aspek ilmu, nilai, kewarganegaraan, peraturan sosiobudaya, dan kemahiran bernilai tambah, iaitu kemahiran berfikir, kemahiran belajar cara belajar, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, kajian masa depan, kecerdasan pelbagai, pembelajaran konstruktivisme, dan kontekstual. Semua elemen ini dapat diaplikasikan oleh murid dalam dunia pekerjaan. Di samping itu, pendidikan nilai, kewarganegaraan, dan patriotisme diberi penekanan selaras dengan matlamat negara membangunkan masyarakat madani.”

Guru pelatih mesti mencatat penekanan kurikulum, kandungan kurikulum dan pengisian kurikulum dengan jelas dalam rancangan pelajaran harian (RPH). Untuk memastikan kehendak kurikulum itu ketara dalam (RPH), guru pelatih mesti mematuhi format RPH yang disediakan oleh pihak institut. Perkara ini akan dibincangkan di bawah tajuk “Format RPH dan Penggunaan Lajur Catatan” dalam blog ini.

Nota
Tulisan ini dipetik daripada kertas kerja yang dibentangkan dalam satu seminar di Kota Kinabalu pada 31 Oktober 2007.

09 Januari 2009

Pengajaran Berpasangan

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak
http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/

“Seorang-seorang, tidak seronoklah!” Jadi, mari kita bermain bersama-sama. Mari kita bermain berpasangan. Kita berpasangan semasa bermain badminton, kita berpasangan semasa bermain tenis, dan kita berpasangan semasa bermain congkak. Penyanyi juga berpasangan atau berduet semasa menyanyi. Seronoknya berpasangan!

Para pendidik kita ambil berat manfaat berpasangan. Maka wujudlah kaedah pengelolaan kelas secara berpasangan. Bukan setakat itu sahaja, dalam pengajaran juga ada pengajaran berpasangan. Pengajaran berpasangan ialah satu strategi yang melibatkan dua orang pelajar merancang pengajaran dan pembelajaran, memerhati pengajaran rakan sebaya dan memberi maklum balas tentang persediaan dan penyampaian pelajaran semasa praktikum.

Dalam kalangan guru pelatih institut perguruan, pengajaran berpasangan bertujuan meningkatkan keberkesanan latihan semasa praktikum. Kerjasama itu dilakukan secara terancang. Rasionalnya ialah pemikiran dan usaha berdua lebih baik daripada pemikiran dan usaha bersendirian.

Secara umum, pengajaran berpasangan melibatkan usaha sebelum, semasa dan selepas pengajaran. Sebelum pengajaran, pasangan itu berbincang bersama-sama. Mereka membincangkan pelbagai perkara seperti kaedah yang akan digunakan, pengelolaan kelas, teknik yang sesuai untuk sesi itu dan strategi untuk mengaktifkan murid. Seterusnya, mereka menulis rancangan pelajaran harian dan membina bahan bantu belajar bersama-sama. Natijahnya, perancangan secara berpasangan memungkinkan mereka meningkatkan kreativiti dan meneroka perkara-perkara yang rumit dan mencabar untuk sesi pengajaran.

Semasa sesi pengajaran, seorang daripada mereka bertindak selaku pemerhati. Pemerhati perlu melakukan pemerhatian dengan teliti, menilai situasi yang diperhatikan dan membuat catatan sebagai asas perbincangan selepas pengajaran. Hasil perbincangan itu dapat dimanfaatkan untuk pengajaran seterusnya sama ada secara individu atau berpasangan. Ringkasnya pengajaran berpasangan perlu mematuhi pola rancang-perhati-bincang untuk menjamin keberkesanannya.

Terdapat tiga jenis interaksi pengajaran berpasangan. Yang pertama ialah secara tandem. Tandem ialah kata pinjaman daripada bahasa Inggeris yang bermaksud “menunggang bersama-sama” seperti menunggang kuda dan basikal. Jika kita menunggang kuda, lazimnya seorang menjadi pemacu (penunggang aktif) dan seorang lagi pembonceng (penunggang pasif). Hal ini sama dengan menunggang basikal. Namun, ada basikal yang mempunyai pedal yang berasingan untuk penunggangnya. Dalam kes ini kedua-dua penunggang aktif. Namun penunggang di hadapan lebih aktif kerana perlu menentukan haluan. Sesuai dengan maksud asal perkataan itu, tandem dalam praktikum bermaksud proses perancangan dan pengajaran dilakukan bersama-sama. Seorang daripada anggota pasangan itu perlu bertindak selaku ketua.

Pada prinsipnya, pengajaran berpasangan secara tandem memerlukan penglibatan kedua-dua orang guru pelatih semasa sesi pengajaran. Kemungkinan pertama ialah pelaksanaannya dibahagi kepada dua, iaitu separuh masa pertama dikendalikan oleh seorang guru pelatih dan seorang lagi menjadi pemerhati. Pada separuh masa kedua mereka bertukar peranan. Kemungkinan kedua ialah mereka bergilir-gilir melaksanakan langkah-langkah pengajaran itu. Dengan perkataan lain, mereka bergilir-gilir menjadi guru dan pemerhati.

Satu atau dua langkah tertentu dapat juga dilakukan secara serentak. Sebagai contoh, penglibatan kedua-dua anggota secara serentak sebagai pengajar atau fasilitator dapat dilakukan semasa aktiviti kumpulan pelbagai kebolehan dengan menggunakan kaedah stesen. Secara bersama-sama, mereka dapat juga mengadakan aktiviti kumpulan berdasarkan kebolehan yang berfokuskan penulisan. Dalam hal ini, proses pemerhatian mungkin terganggu.

Ada pendapat mengatakan bahawa pengajaran berpasangan secara tandem dapat juga dilakukan dengan cara seorang bertindak selaku guru dan seorang lagi bertindak selaku pembantu guru. Pembantu hanya melaksanakan kerja-kerja bantuan. Dia tidak melaksanakan pengajaran secara terus. Antara tugas pembantu termasuklah mengagih dan mengutip semula bahan bantu belajar, mengoperasi alat-alat, melakukan tunjuk cara, membimbing kelompok, dan membimbing individu. Masalahnya, cara ini menipiskan kemungkinan pembantu melakukan pemerhatian. Oleh itu, cara ini tidak digalakkan.

Jenis interaksi pengajaran berpasangan yang kedua ialah secara “berpasukan”. Dengan cara ini keseluruhan perancangan dilakukan bersama-sama tetapi pelaksanaannya dilakukan secara berasingan.

Jenis interaksi yang ketiga ialah secara “individu” yang bermaksud hanya perbincangan semasa perancangan dilakukan bersama-sama. Penyediaan rancangan sebenar, seperti rancangan pelajaran harian dan bahan bantu belajar, dan pengajarannya dilakukan secara berasingan. Interaksi “berpasukan” dan “individu” memang dapat dilakukan kerana masih bermanfaat untuk guru pelatih. Keberkesanannya kurang kerana tiada unsur pemerhatian. Dengan sendirinya perbincangan berasaskan data pemerhatian tidak dapat dilakukan. Perbincangan selepas pengajaran akan berupa laporan lisan sahaja.

Guru pelatih yang baik sepatutnya bersedia mencuba ketiga-tiga jenis interaksi pengajaran berpasangan itu. Untuk pembiasaan, mulakan dengan jenis “individu”, diikuti jenis “berpasukan”, dan diikuti dengan jenis tandem. Apabila keseronokan dan manfaat ternyata daripada jenis tandem, banyakkan pengajaran berpasangan jenis tandem.

Lazimnya, semasa praktikum guru pelatih dikehendaki melaksanakan pengajaran berpasangan pada peringkat awal latihan sahaja. Pada saya, pengajaran berpasangan wajar diteruskan sepanjang praktikum. Jikalau ada masalah, guru pelatih dapat memilih interaksi “individu” atau “berpasukan”. Namun kekerapan pengajaran berpasangan itu perlu disesuaikan dengan pelbagai faktor. Antaranya ialah jenis kursus dan mata pelajaran pengkhususan guru pelatih.

Kita perlu sentiasa ingat bahawa guru pelatih bertemu dan dibimbing oleh guru pembimbing mungkin berselang minggu. Mereka bertemu dan dibimbing oleh pensyarah penyelia pula berselang minggu atau dua minggu sekali. Tegasnya, bimbingan dan perbincangan dengan guru pembimbing dan pensyarah penyelia berlaku sekali-sekala sahaja. Jikalau guru pembimbing dan pensyarah penyelia itu terkategori dalam kumpulan orang yang sibuk, guru pelatih akan menerima bimbingan yang minimum atau kurang. Sebaliknya, guru pelatih dapat memanfaatkan pandangan, cadangan, dan bantuan rakan sebaya hampir setiap hari. Pendek kata, peluang menambah ilmu pengetahuan dan meningkatkan kemahiran yang berada di hadapan mata mesti dimanfaatkan.

Perlu diingat, pengajaran berpasangan sangat digalakkan semasa sesi pengajaran makro sebagai sebahagian daripada kurikulum latihan perguruan. Secara am, guru pelatih sudah menyaksikan rakan-rakan mereka mengajar secara berpasangan semasa sesi pengajaran mikro/makro. Namun, lazimnya, hanya beberapa orang guru pelatih berpeluang melaksanakan sesi itu. Dengan perkataan lain, ada guru pelatih hanya berpeluang melaksanakan pengajaran berpasangan semasa praktikum. Lazimnya pada peringkat awal praktikum mereka menggunakan strategi pengajaran berpasangan yang mudah, iaitu cara “individu” dan “berpasukan”. Untuk memastikan mereka mengalami pengajaran berpasangan secara tandem, wajar sangatlah pengajaran berpasangan diteruskan semasa praktikum pada peringkat atau fasa seterusnya.

Saya berkesempatan melakukan tinjauan pelaksanaan praktikum peringkat awal dari sudut pandangan guru pelatih. Tinjauan itu menunjukkan min pengajaran berpasangan ialah 48%. Ini bermakna tahap keyakinan guru pelatih untuk melaksanakan pengajaran berpasangan amat rendah. Hal ini membayangkan mereka kurang komited melaksanakan pengajaran berpasangan semasa praktikum peringkat pertama. Jadi, tanpa meneruskan strategi ini pada peringkat atau fasa seterusnya, strategi ini kurang membantu keberkesanan latihan.

Setelah mengetahui keistimewaan pengajaran berpasangan, dapatlah kita simpulkan bahawa pengajaran berpasangan menyeronokkan. Hal ini dikatakan demikian kerana berpasangan itu sendiri menyeronokkan. “Seorang-seorang, tidak seronoklah!” Jadi, manfaatkan strategi pengajaran berpasangan sebanyak yang mungkin dan dalam semua peringkat latihan.