29 Disember 2012

Antara Suasana dalam Majlis Penyampaian HSPM 2010/2011


Penyanyi ini memperoleh peluang untuk mendendangkan lagu dalam majlis penyampaian HSPM 2010/2011. Dia pilihan terbaik untuk majlis ini?
 Citra ini adalah antara suasana dalam majlis penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011 di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 28 Disember 2012. Isu yang ditimbulkan ialah penyanyi bertutur dalam bahasa Inggeris. Selain itu, suasana ini dapat juga dianalisis dari segi Islam, kecenderungan penganjur untuk mengamalkan Islam yang syumul, dasar kebudayaan kebangsaan dan sebagainya.

*******

Novel karya Pelita di Dalam Kaca ini memenangi HSPM 2010/2011.
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mentua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (Al-Nur, 24: 31)

(1) Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman; (2) iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; (3) dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. (Al-Mukminun, 23: 1 -- 3)

28 Disember 2012

Semakan Pemansuhan Nama Bahasa Malaysia


Ketetapan utama Muzakarah Munsyi Dewan di Institut Aminudin Baki pada 28 November hingga 1 Disember 2012 ialah harapan agar nama bahasa Melayu digunakan dalam semua keadaan dan bukannya nama bahasa Malaysia. Ketetapan ini dan ketetapan lain dijangka akan disampaikan kepada Timbalan Perdana Menteri pada petang ini, Jumaat, 28 Disember 2012, selepas berlangsungnya penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011 di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Ketetapan yang hampir sama dibuat dalam Konvensyen Pendidikan Bahasa Melayu Kali Ke-19 pada 20 – 22 Mac 2012 di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur. Ketetapan itu berbunyi, “Penggunaan nama mata pelajaran Bahasa Malaysia mesti diubah kepada Bahasa Melayu seperti yang tercatat dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.” Jikalau ketetapan ini sudah disampaikan kepada pihak yang berkenaan, ketetapan Muzakarah Munsyi Dewan dapatlah dianggap sebagai menyokong ketetapan konvensyen itu sekali gus berupa peringatan kepada pihak yang berkenaan agar melaksanakan ketetapan itu.

Dalam pada itu, saya tertanya-tanya sama ada kedua-dua ketetapan itu memang perlu atau berupa usaha bertindih. Saya berkata demikian kerana saya pernah terbaca kenyataan bahawa Jawatankuasa Memartabatkan Bahasa Melayu yang bermesyuarat pada 11 Mei 2011bersetuju menerima istilah bahasa Melayu supaya dikekalkan”. Mesyuarat itu dipengerusikan oleh YAB Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin, Menteri Pelajaran Malaysia dan Timbalan Perdana Menteri. Jikalau tidak silap, saya membaca kenyataan itu dalam Facebook Profesor Dr. Abdullah Hassan. Sayangnya saya sudah lupa tarikh penyiaran maklumat itu dan gagal pula untuk mencapainya semula.

Jikalau kenyataan yang saya baca itu benar, ketetapan konvensyen dan muzakarah sewajarnya dimulakan dengan kenyataan bahawa Timbalan Perdana Menteri sudah bersetuju agar nama bahasa Melayu dikekalkan. Ketetapan yang dikemukakan sewajarnya berupaya sokongan terhadap persetujuan itu. Seterusnya dinyatakan harapan agar kerajaan mengeluarkan arahan bagi memansuhkan arahan Kabinet pada bulan Jun 2007 tentang penukaran nama bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia. Baik juga dinyatakan harapan agar pemansuhan itu dihebohkan melalui media sebagaimana menghebohkan arahan Kabinet pada bulan Jun 2007 itu.

Keputusan Jawatankuasa Memartabatkan Bahasa Melayu yang bermesyuarat pada 11 Mei 2011 itu mungkin pernah dihebohkan oleh media. Rasanya saya yang ketinggalan komuter. Apabila saya fikir-fikirkan peserta konvensyen dan muzakarah juga ketinggalan komuter. Alasannya sudah saya nyatakan dalam perenggan yang di atas. Kini saya tertanya-tanya pula, benarkah Jawatankuasa Memartabatkan Bahasa Melayu yang bermesyuarat pada 11 Mei 2011 “bersetuju menerima istilah bahasa Melayu supaya dikekalkan”?

24 Disember 2012

Kebetulan atau Suratan?

Mohd Isa Abd Razak: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Perkataan “kebetulan” tidak sesuai digunakan oleh orang Islam kerana apa-apa yang berlaku adalah suratan. Saya mohon ustaz berikan hujah/nas yang menyokong pandangan ini. Saya ucapkan terima kasih atas sambutan ustaz. (23 Disember 2012)

19 Disember 2012

Kembalikan Huruf ĕ

Citra yang di atas dapatan tinjauan mudah yang saya lakukan melalui blog ini pada tahun 2011. Keputusannya, 80% pengguna bahasa Melayu mengatakan bahawa pengembalian huruf ĕ kepada sistem ejaan Rumi kini adalah wajar.

18 Disember 2012

Jom dan Usrah

Langit petang mendung. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Air laut pasang penuh. Tuk Ngah dan Abdul Fattah duduk di bangku konkrit yang menghadap ke laut. Mereka menikmati pisang goreng yang dibeli di warung di tepi jalan.

Abdul Fattah bertanya, “Bolehkah kita sambung perbincangan di dalam kereta tadi, atuk?”

Tuk Ngah menjawab, “Tunggu sebentar, Abdul Fattah. Kita habiskan dahulu pisang goreng ini sambil menikmati elusan bayu, deburan ombak dan keindahan alam di tepi pantai.”

Sesudah selesai menikmati pisang goreng, minum teh bungkus dan mengucapkan alhamdulillah, Tuk Ngah bersuara, “Sekarang kita sambung perbincangan tentang perkataan jom. Fattah ulang perkara terakhir yang kita bincangkan semasa di dalam kereta tadi.”

14 Disember 2012

Ukhuwah dan Air Mata

Awal pagi itu Rusa merahku melompat-lompat di atas jalan batu kelikir. Jalan itu menjadi laluan utama lori balak. Aku memaksa Rusaku melalui jalan itu sebagai jalan pintas untuk ke Kampung Minawo. Jarak kampung itu dari rumah sewaku cuma sepuluh kilometer. Jikalau aku melalui jalan yang bertar, jaraknya hampir dua kali ganda.

Rusaku menamatkan larian di jalan yang berlopak-lopak. Kini aku dan dua orang anakku sudah berada di simpang ke Kampung Minawo Dari simpang itu hingga ke Pusat Latihan Dakwah, jalannya bertar. Jalan itu memudahkan orang Tionghua pergi ke kuil di atas bukit. Jalan itu juga memudahkan perjalanan orang yang berkemampuan untuk bersantai di persantaian yang terletak di lereng bukit tidak jauh dari kuil.

10 Disember 2012

Penjodoh Bilangan untuk Rebung

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat dan Kamus Pelajar Edisi Kedua, rebung ialah anak buluh yang masih lembut. Ada peribahasa “melentur buluh biarlah waktu rebung” yang bermaksud mengajar anak biarlah ketika dia masih kecil. Berdasarkan takrif kamus dan sifat rebung yang dapat dilentur seperti yang digunakan dalam peribahasa, ketinggian rebung dapatlah dianggarkan dari sekaki hingga melebihi tinggi manusia. Walau bagaimanapun, ketinggian rebung yang dibuat sayur lazimnya antara enam inci hingga dua kaki.

Rebung yang dibuat sayur, juga yang sudah tidak sesuai disayur, ada batang, ada pucuk tirus dan ada daun kecil yang tirus juga di hujung kelopak. Kelopak ada miang dan membaluti batang. Sebahagian batang lembut yang berkelopak itulah yang dijadikan sayur sesudah dibuang kelopak dan bahagian yang keras.

06 Disember 2012

Diftong dan Vokal Berganding

Diftong ialah gabungan dua bunyi vokal yang disebut dalam satu suku kata akibat perubahan kedudukan lidah. Takrif ini diberikan oleh Kamus Linguistik terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Contoh yang diberikan ialah [ai] dalam pandai dan [au] dalam pulau.

03 Disember 2012

Kawan Mereka Penguasa

Penguasa negara rakan kenalan mereka
penguasa negeri handai taulan mereka
penguasa tempatan karib ikrab mereka
penguasa perbadanan teman rapat mereka
penguasa syarikat sahabat setia mereka
penguasa persatuan ialah mereka.

Berkawan dengan penguasa keperluan mereka
kerana penguasa pembuka peluang perintis jalan
kerana penguasa nama terjulang mewah makan
kerana penguasa pemberi bintang bergemerlapan.

Kawan mereka penguasa bertunjang wibawa
sumber ilham tema karya pembakar cita
rendah hati tinggi budi sungguh cendekia
juara rakyat johan gagasan alim agama
gunung berlian bukan tandingan jasa.

Mereka berdoa sepenuh hati
“ya Allah yang Rabbi
lindungan penguasa kami daripada pemfitnah
yang lakunya sudah dibuktikan sumpah laknat
nafsunya bergelojak mahu merampas amanah
daripada penguasa kami yang ikhlas berkhidmat
mengutamakan pencapaian mendahulukan rakyat
memikul amanat menatang minyak penuh di dulang
membela nasib bangsa kecemerlangan dijulang
syiar-Mu bergemerlapan dalam pelbagai acara
sambung-menyambung dari kampung ke antarabangsa.”

Mereka menafikan bahawa mereka bersiasah
dengan ungkapan, “kami hanya menyatakan kebenaran
demi masa depan demi agama penguasa kini kita kekalkan
hasrat murni jangan sesekali kaupersendakan
wahai suku-sakat anak buah bapa syaitan!”

Mereka menafikan bicara siasah dalam buku wajah
mereka berkata, “kecuali siasah
perharian diri bergerak dan berlari ke sana ke mari
risau rimas lemas suka ceria sepanjang hari
cetusan minda renungan kendiri
wawasan bahasa: baku, santun, berjati diri
dan pelbagai lagi ada di sini.”

Kata mereka, “kecuali siasah
luahkan perasaan lahirkan fikiran
ceriterakan kasih keluarga berlimpahan
nukilkan perihal kegigihan meneruskan perkhidmatan
serlahkan bakti kepada negeri dan watan
titipkan doa kepada Allah al-Rahman
di buku wajah beribu rakan.”

Kata mereka, “buku wajah bukan wadah siasah
BERSIH itu penyepah sampah
unjuk rasa demi bahasa bukan budaya ummah
membesarkan kisah pengharam jadah dikutuki Allah.”

Mereka pendukung gagasan rakyat didahulukan
penyerlah kebaikan pelan induk pendidikan
promoter kepatuhan kepada penguasa berterusan
kata mereka, “buku wajahku bukan laman bicara siasah
bukan!”

Port Dickson
4 Disember 2012

02 Disember 2012

Sabah Tempat Bermain: Pendahuluan

Sabah Tempat Bermain


Bismillahirrahmanirrahim. Segala puji bagi Allah sarwa sekalian alam. Salam dan selawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahualaihiwasallam.

Himpunan catatan kenang-kenangan Sabah Tempat Bermain ini meliputi tempoh lebih kurang 10 tahun, iaitu dari bulan September tahun 1971 hingga bulan Disember 1984. Tempoh dari bulan Jun 1976 hingga bulan April 1979 tidak dikira. Pada masa itu saya belajar di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Peristiwa pilihan di USM saya serapkan dalam catatan tertentu yang latar belakangnya tetap Sabah.

Himpunan catatan ini disusun berdasarkan urutan masa dan berasaskan tempat saya bertugas. Walau bagaimanapun, kandungan beberapa catatan disorot ke belakang demi menjaga tumpuan dan liputan sesuatu tajuk. Sorotan ke belakang sama ada secara terus atau dengan teknik tertentu saya lakukan demi keutuhan urutan penceritaan.

Susunan setiap catatan ialah satu atau beberapa peristiwa dalam lingkungan tajuk. Saya berusaha menggambarkan peristiwa, tempat, suasana, perasaan dan sebagainya. Ada gambaran itu saya rincikan untuk menimbulkan kesan dan perutusan. Penentuan kesan dan perutusan itu saya serahkan kepada daya rasa dan budi daya pembaca.

Saya berusaha untuk membina urutan sebab-akibat atau plot bagi setiap catatan. Rasanya, usaha itu berjaya bagi beberapa catatan sehingga berkemungkinan dianggap sebagai cerpen. Bagi catatan tertentu, saya akui bahawa usaha itu kurang berjaya. Saya berharap pembaca dapat menerima kekurangan itu sesuai dengan penggunaan perkataan catatan atau nukilan yang lebih mirip kepada lakaran.

Saya mengehadkan panjang setiap catatan. Secara purata, panjang catatan dalam himpunan ini kira-kira 1,300 patah perkataan. Kepanjangan yang terkawal ini saya harap dapat membantu pembaca yang kebanyakannya sibuk agar dapat berhenti setelah membaca satu atau beberapa catatan dan menyambung pembacaan pada masa lapang yang lain.

Semua catatan dalam buku ini berasaskan peristiwa sebenar. Nama orang, tempat dan sebagainya semuanya benar. Namun, demi keberkesanan penyampaian, kebanyakan gambaran peristiwa saya kreatifkan. Hal ini bermakna ada tokok tambah, khususnya gambaran suasana dan dialog. Nama orang, tempat dan masa kejadian yang saya sudah lupa atau tidak pasti, saya perikan secara umum seperti “seorang anak Saroh”, “di suatu tempat” dan “pada hujung tahun”. Saya sengaja meninggalkan beberapa peristiwa atas beberapa sebab seperti untuk menjaga kelancaran catatan, mengelakkan timbulnya persoalan kewilayahan dan agar tidak melanggar peruntukan Akta Rahsia Rasmi.

Saya sudah berusaha untuk meninggalkan apa-apa yang dapat dianggap sebagai pendedahan aib. Juga, apabila dalam sesuatu peristiwa ada pertentangan pendirian antara saya dengan orang perseorangan atau kumpulan, saya berusaha untuk memberikan gambaran yang seimbang. Walau bagaimanapun, gambaran dalam catatan tertentu ada kemungkinan dapat menyinggung perasaan sesiapa. Jikalau hal itu berlaku, saya memohon kemaafan daripada mereka yang berkenaan.

Semua catatan dalam buku ini pernah disiarkan dalam blog saya. Pada peringkat awal, penyiarannya tidak berurutan. Catatan yang disiarkan itu saya anggap sebagai kelainan permulaan. Semua kelainan permulaan itu disemak berkali-kali dan dimurnikan. Dalam usaha penyemakan dan pemurnian, saya menerima pandangan rakan-rakan buku wajah. Kepada mereka yang sudi memberikan maklumat dan cadangan penambahbaikan, saya ucapkan terima kasih yang setinggi-tingginya.

Saya mengakui bahawa wacana catatan ini belum cukup utuh. Hal itu terjadi kerana sebahagian bahan seperti gambar, penerbitan maktab dan surat yang saya simpan di rumah ibu musnah dalam kebakaran pada 17 Jun 1988. Selain itu, kekangan tertentu, termasuk kewangan, menyebabkan saya tidak “turun ke gelanggang” untuk melakukan penentusahan. Insya-Allah, sekiranya buku ini mendapat sambutan dan ada cadangan untuk penerbitan edisi kedua, saya bersedia untuk melakukan penambahbaikan dan pemurnian.

Ketika menghasilkan buku ini, isteri dan anak bongsu saya terpaksa mengurus diri masing-masing. Kecuali bagi kes tertentu seperti untuk ke hospital pada tengah malam, mereka berusaha tidak mengganggu tumpuan perhatian saya. Saya menghargai keprihatinan mereka. Saya rakamkan ucapan terima kasih dan kasih sayang kepada mereka.

Sesungguhnya, tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah. Ampuni hamba atas kelalaian dan kemungkinan timbulnya sifat mazmumah berikutan penerbitan buku ini. Wallahuaklam. Wassalam.

Tentang Penulis

Masukan ini ialah lampiran 2 himpunan catatan kenang-kenangan “Sabah Tempat Bermain”.


Mohd Isa bin Abd Razak pernah dikenali dengan nama pena Rasmi Safar, Isa Razak, Cikgu Isa dan beberapa nama pena lain secara bermusim, khususnya dalam komunikasi maya. Dia lahir pada tahun 1952 di Kampung Permatang Pasir, Linggi, Negeri Sembilan. Dia menghabiskan usia mudanya di luar Negeri Sembilan, iaitu dua tahun di Kedah, tiga tahun di Pulau Pinang dan hampir 30 tahun di Sabah.

Citra Pilihan

Masukan ini ialah lampiran 1 himpunan catatan kenang-kenangan "Sabah Tempat Bermain".
Gambar 1: Pasport antarabangsa penulis yang pertama. Pasport ini dibuat semasa penulis belajar di Institut Kemahiran MARA, Alor Setar. Rujuk bab 1.

Muzakarah Munsyi Dewan 2012


Prof. Dr. Haji Awang Sariyan
Muzakarah Munsyi Dewan diadakan di Institut Aminudin Baki, Genting Highland dari 28 November hingga 1 Disember 2009. Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Tuan Profesor Dr. Haji Awang bin Sariyan merasmikan muzakarah itu. Selepas menyampaikan ucap utama, beliau menerima Anugerah Wira Cendekia Bahasa. Wakil Munsyi Dewan mengalungkan selempang Wira Cendekia Bahasa kepada beliau dan menyampaikan cenderamata senaskhah mashaf al-Quran beserta terjemahan dan catatan tajwid dan sepersalinan pakaian kebangsaan yang lengkap dengan kain songket.

30 November 2012

Puisi: Sabah Tempat Bermain

Sabah Tempat Bermain

1
Sabah Negeri di Bawah Bayu
pepohon hijau berdaun rimbun
berpasak bumi Gunung Kinabalu
turus belianmu tahan beratus tahun.

Hadiah Terbesar

Sabah Tempat Bermain

Tembadau (Bos javanicus lowi)
Walaupun sekolah dan maktab bercuti, berita pertukaran saya tetap tersebar. Berita itu sampai juga ke telinga Tuan Syed Mokhtar. Kami berbincang di warung maktab. Dia mencadangkan agar saya menyewa rumahnya di Seremban. Dia memberikan alamat mentuanya yang memegang kunci rumah itu. Saya memang hendak menyewa rumah yang berhampiran dengan MPRM. Saya akan melihat rumah beliau sebelum membuat keputusan. Tuan Syed juga mengajak saya berburu buat kali terakhir di Sukau. Saya bersetuju.

28 November 2012

Pulang Berlima

Sabah Tempat Bermain
1983: Ayah dan Kakak
Saya dan isteri berdua tidak sampai setahun. Pada 18 Januari 1982, si sulung lahir. Kami bertiga. Kami bertiga kira-kira setahun dua bulan. Mulai 11 Mac 1983, anak kedua saya lahir. Kami berempat. Kami berempat hanya setahun 19 hari. Mulai 31 Mac 1984, anak ketiga saya lahir. Kami berlima. Dalam kalangan kami, hanya saya lelaki.

Pada bulan ketujuh ketika kali pertama isteri saya berbadan dua, saya menghantarnya ke Ranau. Kami menaiki kapal terbang dari Sandakan ke Kota Kinabalu. Oleh sebab ada kejadian tanah runtuh di Kundasang, saya menyewa sebuah teksi dan teksi itu melalui Tambunan untuk ke Ranau. Pemandu teksi mengenakan tambang tambahan sepuluh peratus daripada dua ratus ringgit yang dipersetujui kerana saya meminta dia menghantar kami terus ke Kampung Libang.

Ceritera Pembunuh yang Kecundang

Sudah berulang kali bayangmu dibunuhnya
engkau tetap hidup dalam keranda mindanya
sesekali kaukuak pintu lalu kaucakar kalbunya
darah pun memercik berkolam di matanya.

Dia dungu cinta, kaulah pemula lakonan bersiri
dengan pantun wangi berlatar irama Melayu asli
dengan hamburan rindu berharuman setiap hari
dengan lidah tinta biru engkau berperi.

Kauhadiahkan cermin kangen di langit terbentang
berserta angin ingin dari bendang setiap petang
membadai jiwa pemuda desa mabuk kepayang.

Engkaulah tengkujuh penamat lakonan semusim itu
kaucabut turus kasih sesudah kukuh bertugu
tanpa segan silu kaumainkan lagu buruk siku.

Bahawa dia pembalas kasih, kaulupakan
bahawa dia perindu sayang, kaulalaikan
bahawa dia penagih cinta, kauabaikan.

Berulang kali lakonan bersirimu tertayang
engkau hidup dalam hatinya pagi dan petang
berulang kali dimatikannya punca kuasa penayang
engkau tetap bangun menguak keranda usang.

Dia beristigfar memohon perlindungan Allah
menghayati firman kepada Muhammad Rasulullah
jikalau benar kamu mengasihi-Nya maka ikutilah
jalan kekasihnya agar kamu dikasihi Allah
mengampunkan dosamu yang sudah-sudah
kisah kecundang pembunuhan pasti mengenyah
apabila kauyakin akan al-Rahman al-Rahim hanya Dialah.

Mohd Isa bin Abd. Razak
Port Dickson, 28 November 2012

27 November 2012

Seminar Jawi dan Kempen Membaca

Sabah Tempat Bermain
Pada 13 Mei 1984, Persatuan Bahasa Melayu (PBM) maktab kami menganjurkan seminar kecil tulisan Jawi. Seminar itu membincangkan kertas kerja saya yang bertajuk “Tulisan Jawi sebagai Jiwa Bahasa Melayu”. Pembahas ialah Ketua Jabatan Bahasa, Encik Abu Bakar bin Mohamad. Perasmi ialah Naib Pengetua, Tuan Haji Muhammad bin Arshad. Beliau mewakili Pengetua Maktab Perguruan Sandakan, Tuan Haji Tajudin bin Hussein.

26 November 2012

Rezeki Mata

Sabah Tempat Bermain
Kenderaan yang paling kerap kami gunakan dalam kegiatan berburu ialah kereta salun saya. Hanya sekali kami menggunakan jip kecil pacuan empat roda dan kami pulang dengan tangan kosong. Ada dua kali kami menggunakan pikap dan kedua-dua kali itu kami pulang dengan tangan kosong juga. Ada sekali kami menggunakan lori dan dua kali kenderaan pacuan empat roda.

Kegiatan di Ranau

Sabah Tempat Bermain
Apabila bercuti di Ranau, jarang-jarang amat saya duduk-duduk di rumah. Jikalau musim bersawah atau menuai, saya ke bendang untuk membantu mentua dan ipar-ipar. Isteri saya kerap ikut serta. Apabila bukan musim bersawah, saya ke sawah juga. Saya membersihkan kebun mentua di “pulau” sawah itu. Kerja yang mengasyikkan saya ialah menggemburkan tanah dan membuang akar lalang. Saya menanam ubi dan keladi di kawasan yang sudah dibersihkan.
1981: MIAR, Saifuddin dan Hamzah di Mangkapoh
Kadang-kadang saya berjalan-jalan di kebun getah dan hutan di atas bukit tidak jauh dari rumah mentua. Mula-mula ipar lelaki atau anak Tuan Haji Daud menemani saya. Kemudiannya, beberapa kali pula saya ke hutan di perbukitan itu bersendirian. Lazimnya kami membawa pulang pucuk paku. Ada dua kali Pak Cik Abdul Mumin mengajak saya ke kebunnya yang agak jauh. Dia memperkenalkan pohon tuhau. Beberapa batang pohon tuhau itu saya tanam di sebelah rumah mentua. Pohon tuhau itu membiak dan masih ada ketika saya pulang ke Ranau pada tahun 2010.

24 November 2012

Berburu, Memukat dan Menjala

Sabah Tempat Bermain

Saya berkebun kecil-kecilan di belakang pangsapuri. Isteri saya kerap berada di kebun itu. Kami menyusun batas dan tanam-tanaman dengan cara yang dapat membendung hakisan dan mengekalkan struktur tanah di lereng bukit. Rumput di atas tebing kami jaga bagi mengelakkan tanah runtuh. Tanam-tanaman seperti peria, petola dan timun menjadi.

23 November 2012

Usul Mesyuarat dalam Bahasa Inggeris

Beberapa tahun sebelum saya bersara, institut kami mengadakan mesyuarat pengurusan di sebuah hotel. Ketua kami mengemukakan usul agar pada masa akan datang mesyuarat itu dilaksanakan dalam bahasa Inggeris. Menurut beliau, penguasaan bahasa Inggeris semakin penting sejak negara kita melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Beliau berharap, mesyuarat itu dapat menjadi wadah bagi anggota mesyuarat memahirkan diri dalam bahasa Inggeris.

17 November 2012

Batang Gaharu Buruk (Kemas Kini)

Sabah Tempat Bermain

1982: Shamad, Haji Liwangsa, MIAR
Pada pertengahan tahun 1982, Shamad, Ramli dan saya mengikut rakan kami, Tanalol Haji Liwangsa, memukat ikan di Danau Botong. Danau itu terletak di kampung Tanalol, iaitu Kampung Sentosa Jaya, kira-kira 100 kilometer dari Sandakan. Kami ke sana dengan keretanya.

16 November 2012

Jalan di Sa ... na! (Kemas Kini)

Sabah Tempat Bermain
Pada penggal ketiga tahun 1981, saya dan Ramli Yusop ditugaskan untuk menyelia praktikum guru KDC di Ranau. Seorang guru bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Paus. Sekolah itu terletak di pedalaman. Simpang ke sekolah itu terletak di antara Telupid dengan Pekan Ranau dan jaraknya dari Pekan Ranau kira-kira 62 kilometer.

15 November 2012

Mendirikan Masjid

Sabah Tempat Bermain
KK, 1981: Ibu dan Anak
Di sekolah, tiga kali saya mengalami cuti hujung tahun dan saya nikmati sepenuhnya. Tiada urusan sekolah. Saya tidak pulang ke Negeri Sembilan kerana isi dompet tidak seberapa. Sebahagian isi dompet yang tidak seberapa itu saya kirimkan kepada ibu. Tindakan itu lebih baik berbanding dengan mengayakan syarikat pengangkutan, khususnya syarikat penerbangan yang mengenakan tambang yang tinggi pada masa itu.

Di maktab, cuti hujung tahun penuh dengan kegiatan. Apabila guru pelatih biasa pulang, guru KDC tiba. Mereka lebih ramai daripada guru pelatih biasa. Ruang asrama tidak mencukupi. Ada antara mereka tinggal di luar kampus. Mereka membawa kerja kursus untuk dikumpul dan diperiksa. Kuliah padat, termasuk hari Sabtu dan malam. Beban tugas pensyarah juga berganda.

14 November 2012

Urusan Rasmi dalam Bahasa Melayu

Sabah Tempat Bermain
Selain bertunang, kembali merokok dan dilambung ombak, satu lagi peristiwa penting yang saya alami pada tahun 1980 ialah pertemuan khas untuk membincangkan tuntutan Persatuan Bahasa Cina (PBC) maktab kami. Peristiwa itu berlaku selepas saya pulang dari Pitas dan merupakan rentetan peristiwa sebelumnya.

Pada suatu hari, Penasihat PBC, Encik Chin Shi Cin memberitahu saya bahawa pelajar-pelajarnya akan mengemukakan tulisan dalam bahasa Cina untuk Inti Sari, iaitu majalah maktab. Selaku Penasihat Sidang Pengarang Inti Sari, saya menyatakan bahawa penulisan deskriptif dan kreatif dalam bahasa Cina untuk majalah itu memang dibenarkan. Walau bagaimanapun, laporan tahunan rasmi seperti laporan kegiatan PBC dan kumpulan Program Pendidikan Awal Kanak-kanak (PPAK) Pengajian Cina (PC) hendak ditulis dalam bahasa Melayu. Encik Chin berjanji akan menyampaikan pandangan saya itu kepada para pelajarnya.

11 November 2012

Bertugas di Luar

Sabah Tempat Bermain
Bertugas di luar bermaksud bertugas di luar ibu pejabat. Menurut Perintah Am Bab B yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 1974, ibu pejabat ialah satu lingkungan kawasan yang dikira dari pejabat atau tempat seseorang itu biasa melaporkan diri untuk bertugas. Yang dimaksudkan lingkungan kawasan pula ialah kawasan sejauh 15 batu apabila menggunakan jalan raya, atau 10 batu apabila melalui jalan tanah yang boleh dilalui oleh kenderaan bermotor, atau lima batu apabila melalui jalan basikal atau sungai. Takrif ini mungkin berubah dari semasa ke semasa.

10 November 2012

Cita-cita, Kerjaya dan Citra Diri

Sabah Tempat Bermain
Sebelum saya bertunang, saya menerima sepucuk surat daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur. DBP menawarkan jawatan Pegawai Penyelidik Bahasa, Sastera dan Penerbitan di DBP Cawangan Sabah kepada saya. Saya diminta untuk melaporkan diri kepada Pengarah DBP Cawangan Sabah di Kota Kinabalu secepat yang mungkin.

Saya menulis surat kepada DBP. Saya menyatakan bahawa saya menerima tawaran itu tetapi belum boleh melaporkan diri kerana terikat untuk meneruskan perkhidmatan yang sedia ada. Saya memohon jasa baik DBP agar menghantar surat kepada pihak yang berkenaan bagi melepaskan saya daripada ikatan itu. DBP menunaikan permintaan saya dan menghantar surat rayuan agar Kementerian Pelajaran Malaysia melepaskan saya daripada ikatan syarat latihan di maktab dan sebagai penerima dermasiswa. Salinan surat rayuan itu dikirimkan kepada saya. Setelah beberapa minggu tiada jawapan, DBP mengirimkan sepucuk surat ulangan. Kementerian Pelajaran Malaysia membalas surat itu dengan menyatakan bahawa tenaga saya masih diperlukan. Pelepasan tidak dibenarkan.

09 November 2012

Menandatangani Perjanjian

Sabah Tempat Bermain
Betty dan Shamad, 2012
Shamad berasal dari Kuala Terengganu. Selepas menamatkan latihan perguruan di sebuah maktab di Semenanjung, dia ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Mat Saleh. Di situ dia bertemu dengan gadis Kadazan dari Penampang bernama Betty. Betty guru sekolah rendah. Dia memeluk agama Islam dan berkahwin dengan Shamad.

Pada bulan Januari 1980, Shamad ditukarkan ke Maktab Perguruan Sandakan. Ketika itu dia sudah mempunyai tiga orang anak. Oleh sebab Betty belum mendapat surat pertukaran, dia ke Sandakan seorang diri. Selepas melaporkan diri, dia bertanya kami tentang rumah sewa. Rakan-rakan saya mengatakan bahawa rumah sewa yang berhampiran dengan maktab sukar diperoleh. Pada waktu tiada kuliah, saya mengajak dia ke tempat kediaman saya yang terletak kira-kira sepelaung dari kelompok bangunan akademik.

07 November 2012

Pensyarah Permulaan

Sabah Tempat Bermain
Di Sandakan, saya, Mohamad Daud, Melah dan Abdul Jabar tinggal di hotel yang sama. Saya sebilik sendirian. Mohamad dan keluarga sebilik pula. Petang itu kami bersiar-siar di bandar. Keesokannya, hari Ahad. Kami melawati rakan kami di Sekolah Menengah Kebangsaan Tiong Hua. Kami makan tengah hari di rumahnya.

Pada hari Isnin, Mohamad dan keluarganya mengikut saya ke Maktab Perguruan Sandakan. Pemandu teksi memberitahu bahawa jalan yang kami lalui ialah Jalan Labuk. Katanya, jalan itu menuju ke Lapangan Terbang Sandakan dan boleh sampai ke Batu 32. Di sana ada simpang untuk ke Telupid dan Tawau.

04 November 2012

Puisi: Hujan Kenangan

Bibit kenangan terbenam
dalam kolam hati suram
di lembah jiwa gersang.

Sesudah berdasawarsa
tengkujuh pun tiba
hujan turun dengan lebatnya.

Kolam hati banjir
bibit kenangan mengalir
tumbuh dalam kotak fikir.

Hanya beberapa saat
bibit kenangan merimbun
hanyut dalam banjir kilat.

Kenangan subur berbunga
menyerlahkan warna
menebarkan wanginya.

Kilat menyambar
hujan kenangan terbakar
hangus dalam lubuk akal
seorang pendekar.

Mohd Isa bin Abd. Razak
Port Dickson
4 November 2012

03 November 2012

Puisi: Mengepak Pergi

1
Di daerah tanah rata
puteri Brunei dan Kedayan
berpakaian kemas, bertudung sopan
menjaga perlakuan dan pertuturan.

Antara mereka ada dayang
ayu, keibuan dan penyayang
senyumannya sedekah
teragih kepada pemuda berfikrah
melayan hati menurut fitrah.

Pada hari yang dinanti
pemuda menerima puisi:
Ya adib, ya akhi
syukran jazilan atas perhatian
bunga tidak seharum mana
sudah ditanda sang kumbang desa
ukhti tiada upaya mengubah suratan-Nya.

2
O tanah datar
biarkan daku mengepak pergi
membawa diri ke daerah terluas negeri ini
sayu diiringi gema bait puisi
yang ternukil di asrama puteri.

Aku meneruskan kembara
tekal memugar iman
terus menebarkan pengetahuan
pasrah pada suratan.

Aku sendirian lagi
memijak rumput di bumi
merenung bintang di langit tinggi
dengan cita dan citra tersendiri
mengharap ihsan cinta Ilahi.

Mohd Isa bin Abd. Razak
Port Dickson, 3 November 2012

Mengepak Pergi

Sabah Tempat Bermain
Tingkatan enam di SMK Majakir pada tahun 1979 ialah ambilan pertama dan hanya satu kelas. Kebanyakan pelajarnya dari Pantai Barat Negeri Sabah. Ada juga sebilangan pelajar dari Pantai Timur seperti Tawau dan Semporna.

Teknik penyampaian yang kerap saya gunakan di kelas itu ialah forum, perbincangan dalam kumpulan dan soal jawab. Selain itu, sebagai guru muda yang belum terdedah dengan teknik pembelajaran yang pelbagai, saya terus menggunakan teknik lama, iaitu syarahan dan pencatatan nota. Tumpuan perhatian pelajar tinggi. Mereka giat bertanya. Perlakuan lencongan tiada sama sekali.

02 November 2012

Ustaz Sangkut

Pada hari Jumaat, 27 April 1979, saya mula bertugas sebagai guru sandaran siswazah terlatih. Tugas saya ialah mengajarkan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu untuk tingkatan lima dan Bahasa Melayu Kertas 2 (Kesusasteraan Melayu) untuk tingkatan enam. Pada hari itu saya sempat berkenal-kenalan dengan pelajar tingkatan lima. Tingkatan enam pula pertama kali diadakan di sekolah itu. Pihak sekolah masih mendaftarkan kemasukan pelajar dari seluruh Sabah.

31 Oktober 2012

Pulang ke Papar

Sabah Tempat Bermain
Rakan yang pasti masih di SMK Majakir ialah Mohamad Daud. Hanya dia yang berterusan berutus surat dengan saya. Dia sudah berpindah dari rumah sewa di Kampung Sungai Padang ke sebuah rumah guru dalam kawasan sekolah. Menurut Mohamad, SMK mengalami berbagai-bagai perubahan. Saya berharap perubahan itu termasuklah kewujudan surau.

30 Oktober 2012

Puisi: Membersihkan Halaman

Halaman ini halaman kita
tempat kita bersama-sama
menyemai benih pepohon bertunjang iman
menanam bibit pepohon berbunga bahasa
kita bajai dengan takwa daripada hati
kita airi dengan ukhuwah yang suci.

Halaman ini halaman kita
tempat kita bersama-sama
tegak menjunjung langit Ilahi
segak mengagungkan bahasa pertiwi
kita suburkan dengan cetusan minda sihat
kita rimbunkan dengan setia kawan pekat.

Halaman ini halaman kita
wajah kita, maruah kita
bukan pentas sandiwara bukan arena lagha
bukan padang dusta bukan gelanggang dosa
halaman kita menolak citra kacau
halaman kita menolak gumaman racau.

Kita manusia alpa
lupa halaman terbuka terbiar
rumpai, semalu, dedalu meliar
kini halaman sudah seperti belukar
menjadi rumah serangga
tempat persinggahan ular!

Mari kita bersihkan halaman ini
kita cabut rumpai dan semalu berduri
kita buang dedalu yang menyakiti
kita pagari dengan tetapan tersembunyi
kita pasang papan tanda
halaman ini untuk insan berwajah asli.

Mari kita bersihkan halaman ini
kita hapuskan laluan ular berbisa
kita bakar sarang serangga
kita pasang papan tanda kedua
kita larang makhluk lidah bercabang
bersilat kata di halaman kita.

Halaman ini halaman kita
wajah kita, maruah kita, tanggungjawab kita
sesudah dibersihkan kita jaga setiap masa
rakan yang sudi dan ikhlas bertandang
kita sambut dengan rasa gembira
bunga dan buah kita nikmati bersama-sama.

Mohd Isa bin Abd Razak
Port Dickson, 5 April 2011

29 Oktober 2012

Sandakan, 1980 – 1984

Sabah Tempat Bermain
Haji Shamad @Ahmad Nurawi Abas
Dalam seminggu dua lagi, saya akan mengakhiri catatan peristiwa di Papar pada tahun 1979. Selepas itu, insya-Allah, saya akan menulis catatan kenang-kenangan semasa di Maktab Perguruan Sandakan (MPS) dari bulan Januari tahun 1980 hingga bulan Disember tahun 1984. Catatan sejak saya tiba di Labuan pada 20 September 1971 hingga saya meninggalkan Sandakan pada bulan Disember 1984, saya namakan “Sabah Tempat Bermain”. Kenang-kenangan selama lebih 19 tahun di Bukit Langsat tidak termasuk dalam catatan itu. Jikalau masih ada umur dan upaya, kenang-kenangan itu, insya-Allah, saya nukilkan dalam siri yang tersendiri.

Dalam lampiran 1 terdapat seni kata lagu “Maktab Perguruan Sandakan”. Saya masih boleh menyanyikan lagu itu. Tuan/puan, khususnya mantan pensyarah dan bekas pelajar MPS, masih mampu menyanyikan lagu rasmi maktab kita?

Haji Tanalol Haji Liwangsa
Usaha mengingat peristiwa lama lebih mudah apabila kita merenung gambar, majalah, sijil atau benda lain. Benda-benda itu memang pernah ada. Pada tahun 1985, sebelum saya berpindah ke rumah sewa di Desa Rasah, Seremban, saya tinggal di rumah ibu saya. Benda-benda itu dan barangan peribadi lain, termasuk dokumen dan cenderamata nostalgik, tersimpan dalam almari dan laci meja yang sudah ada sejak saya awal remaja. Almari dan meja itu serta kesemua kandungannya menjadi abu apabila rumah ibu saya terbakar pada tahun 1986. Jadi, rasanya wajar saya memohon bantuan rakan mantan pensyarah dan bekas pelajar MPS agar memberikan sambutan yang sewajarnya untuk memudahkan saya mengingat manusia dan peristiwa di MPS. Gambar, seperti yang dimuat naik oleh Tuan Haji Tanalol, halaman majalah maktab, apa-apa benda lain dan pelengkapan lampiran 2 juga akan membantu saya menghidupkan kenang-kenangan.

Sambutan tuan/puan saya ucapkan terima kasih yang setinggi-tingginya. Mudah-mudahan Allah membalas jasa baik tuan/puan.

1983, di rumah panjang berhampiran Gua Niah, Sarawak.
Lampiran 1
Maktab Perguruan Sandakan

MPS itulah nama maktab kami
melahirkan pendidik bangsa
beriman, tenang dan berdedikasi
penuh yakin menabur jasa.

Ilmu dipelajari
Bekalan masa depan
dengan jiwa dan semangat berani
tabah menghadapi cabaran.

Itulah Maktab Perguruan Sandakan
berjasa kepada negara
ramai pendidik telah dilahirkan
bagai lampu dalam gelita.

Lampiran 2
Di Facebook.

27 Oktober 2012

Kembali ke Sabah

Sabah Tempat Bermain
Kehidupan sebagai pelajar universiti berwarna-warni dan sarat dengan peristiwa yang mengasyikkan apabila dikenang. Penceritaan peristiwa suka duka dan susah senang itu memerlukan wadah khas. Dalam catatan ini saya hanya mengimbas peristiwa dan orang yang ada kaitan dengan Sabah.

Selepas minggu suai kenal, saya bertemu dengan seorang rakan yang bersama-sama saya ke Sabah pada tahun 1971, bersama-sama mengikut Mohd. Nor meninggalkan Apas Balung dan bersama-sama tinggal di rumah kecil milik Badan Kebajikan Islam di Kota Kinabalu. Dia ialah Abdul Majid bin Ali dari Semanggol, Perak. Dia bertugas sebagai juruteknik bangunan di Bahagian Pembangunan USM. Abdul Majidlah kawan bukan pelajar yang paling rapat dengan saya ketika di kampus itu.

26 Oktober 2012

Keputusan Peperiksaan

Sabah Tempat Bermain
Pada tahun baharu orang mencipta azam baharu atau sekurang-kurangnya memperbaharui azam lama. Lazimnya saya mengikut aliran itu. Pada 1976 keadaan berbeza. Saya tidak mempunyai azam baharu. Azam lama yang terpenting, iaitu untuk menyerlahkan diri dalam bidang kewartawanan dan penulisan yang sudah saya tangguhkan pada tahun 1975, kekal tertangguh. Azam untuk belajar dan mengambil peperiksaan STP sudah dilaksanakan. Azam untuk menjadi guru terbaik tidak saya baharui. Saya membiarkan diri saya yang pernah digelar sebagai penyapu baharu berubah sesuai dengan keadaan semasa.

24 Oktober 2012

Kembara Berskuter ke Pitas

Sabah Tempat Bermain
SRK Pinggan-pinggan
Jalan dari Kota Belud hingga ke Kota Marudu berturap tetapi ada turapan pecah dan rosak. Pemanduan skuter agak sukar tetapi tidaklah sesukar pemanduan di Jalan Tamparuli-Ranau. Kami singgah di Kota Marudu. Di situ ada beberapa buah gerai tetapi tiada orang berniaga. Kami pergi ke sebuah rumah dan bertanya seorang lelaki muda tentang kedudukan gerai yang menjual makanan di kawasan itu.

23 Oktober 2012

Kembara Berskuter ke Ranau

Sabah Tempat Bermain

1980, MIAR dan Ustaz Mat Isa
di Taman Negara Kinabalu
Ada orang mengatakan bahawa Mat gila-gila bahasa. Saya pula melihat dirinya sebagai insan yang istimewa. Dia lasak, pemberani dan periang. Saya mengajaknya untuk melakukan pengembaraan berskuter kerana keistimewaannya itu. Tubuh lasak dan semangat beraninya penting bagi menghadapi apa-apa cabaran di perjalanan. Sifat riangnya pula penting kerana saya suka akan orang yang riang apabila dalam keletihan atau kesusahan. Selain itu, dia boleh memandu skuter.

Mat memandu skuter pecut hijau itu dari Papar hingga ke Putatan. Dari situ saya menjadi pemandu pula. Kami melintasi Kota Kinabalu, masuk ke Jalan Tuaran dan terus ke Tamparuli. Kami berhenti sebentar di muka jambatan konkrit yang panjang dan tiada pengadang. Jambatan yang dibina oleh British pada tahun lima puluhan itu hanya boleh dilalui oleh sebuah kenderaan beroda empat pada suatu masa. Perut jabatan yang merentangi Sungai Tamparuli itu hampir mencecah air yang jernih dan mengalir deras. Selepas memastikan tiada kereta dari arah hadapan dan menarik nafas panjang, saya memandu skuter perlahan-lahan dengan gear dua. Saya berasa lega apabila kami selamat melalui jambatan istimewa itu.

22 Oktober 2012

Tapai Seman

Mereka memperaga tutur si comel
berbahasa satu suku kata, sepatah-sepatah
menggumam, mengomel atau melatah
sebagai hidangan rakan sehalaman serumah
persis tapai seman atau nasi mentah.

Mereka menyemai kata-kata terpangkas
berserta ungkapan basahan keras
diperkaya dengan singkatan sembarangan
di kebun bahasa warisan.

21 Oktober 2012

Kembara Berskuter Bersendirian

Sabah Tempat Bermain

Tenom 1950-an. Ada gambar Tenom 1975?
Pada pertengahan bulan Disember 1975, saya melakukan pengembaraan dengan skuter pecut hijau itu. Perjalanan pertama saya ke Keningau. Jalan ke sana melalui Tambunan tetapi saya tidak bercadang untuk bermalam di situ. Saya merancang untuk bermalam di rumah rakan saya di Keningau. Selepas itu saya merancang untuk meneruskan perjalanan ke Tenom dan bermalam di rumah seorang rakan lagi.

18 Oktober 2012

Skuter Pecut Hijau (Edisi Kedua)

Sabah Tempat Bermain


Sebulan selepas Nordin pindah ke rumah Cikgu Said Bakar, saya pula berpindah ke sebuah rumah dua tingkat di Kampung Sungai Padang. Rumah di tepi jalan raya menuju ke Kampung Kuala itu kira-kira sekilometer dari sekolah. Saya menyewa aras bawah. Aras atas digunakan oleh tuan rumah tetapi dia tidak tinggal di situ. Dia dan isterinya datang sekali-sekala. Adakalanya mereka bermalam di aras atas itu.

16 Oktober 2012

Kata Gelaran Sang


Sang Semut
 Menurut Ismail Dahaman dalam buku Bahasa Kita (1997) dan Nik Safiah Karim dalam buku Bimbingan Pelajar Bahasa Kita Jilid 2 (2003), dalam bahasa Melayu kini sang digunakan untuk haiwan tanpa mengira saiz. Contohnya, Sang Gajah (binatang besar), Sang Rangkak (berdasarkan gaya pergerakan), Sang Arnab (binatang kecil), Sang Helang (burung, unggas) dan Sang Semut (serangga). Mereka juga mengatakan bahawa sang pernah digunakan dalam masyarakat Melayu zaman dahulu untuk merujuki manusia seperti Sang Sapurba, Sang Nila Utama dan Sang Rajuna Tapa. Nik Safiah turut mencatatkan bahawa sang digunakan juga untuk benda yang dihormati, iaitu Sang Saka Merah Putih (bendera Republik Indonesia) dan Sang Suria (matahari – sumber cahaya).

Nik Safiah tidak menyatakan sama ada boleh atau tidak penggunaan sang diteruskan dalam bahasa Melayu kini. Sebaliknya, Ismail Dahaman berpendapat, pemberian gelaran sang kepada manusia dalam bahasa Melayu kini sebagai kejanggalan. Istilah lain bagi kejanggalan ialah kesilapan. Dalam kajian bahasa, kejanggalan atau kesilapan bermaksud ketidakcekapan atau ketidaksempurnaan seseorang berbahasa. Hal ini bermaksud, Ismail Dahaman beranggapan penggunaan sang untuk manusia dalam bahasa Melayu kini sebagai kesilapan. Beliau menulis:

“Dalam perkembangan bahasa Melayu kini, kita tidak pernah menyaksikan kata-kata nama orang atau yang merujuk kepada manusia diberikan gelaran sang. Tentulah kita berasa janggal kalau ada orang menggunakan kata sang untuk manusia seperti Sang Ahmad, Sang Arumugam, Sang Ah Ming, Sang Fatimah, dan Sang Ketua Pejabat. Sekiranya penggunaan sedemikian bermaksud untuk gelaran olok-olokan, kata gelaran si boleh digunakan.”

Dalam pedagogi bahasa, antara kesilapan contoh termasuklah memancung timun. Ungkapan yang tepat ialah memotong atau menghiris timun. Begitulah juga halnya dengan penggunaan ungkapan Sang Ibu. Berdasarkan pandangan Ismail Dahaman dalam petikan yang di atas dan bab “Penggunaan Kata Nama Gelaran Si” dalam buku yang sama, sekiranya ibu dalam ungkapan itu sememangnya ibu yang sebenar dan menepati fitrah ibu, ungkapan Si Ibu boleh kita gunakan sebagai pilihan perkataan yang lazim, iaitu ibu.

Walau bagaimanapun, dalam karya kreatif adakalanya perkataan atau ungkapan sengaja digunakan dengan cara yang dianggap menyalahi kebiasaan. Ungkapan sang pemimpin atau sang penguasa pernah digunakan dalam karya sastera, termasuk dalam puisi “Biarkan Suara Batinmu yang Berbicara” karya Kembara Bahasa. Antara bait puisi itu termasuklah yang di bawah:

Biarkanlah suara batinmu yang berbicara
bukan kerana terpaksa tunduk kepada sang penguasa
atau kerana perdaya emas perak berjuta
kerana dikau menanggung amanah kepada Yang Esa.

Jikalau sang penguasa itu dirujukkan kepada Kamal Ataturk, sukar untuk kita pastikan sama ada penggunanya tepat ataupun tidak. Namun penulis kreatif memang mempunyai lesen berkarya. Mereka boleh menggunakan ungkapan yang mereka fikirkan sesuai.

Jikalau ungkapan sang pemimpin itu dirujukkan kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, saya yakin ahli PAS akan berasa kesal. Jikalau ungkapan itu dirujukkan kepada Nabi Muhammad SAW, kita mesti menyanggah tindakan Si Penulis. Sebaliknya, katakan ungkapan sang pemimpin dirujukkan kepada orang tertentu yang tetap mengangkat sumpah laknat walaupun sudah ditazkirahkan bahawa perbuatan itu tiada dalam Islam dan mempunyai implikasi yang amat dahsyat. Rasanya penggunaan ungkapan itu untuk mereka tepat. Sesuailah juga rasanya seseorang itu digelar sang penguasa sekiranya dia mengatakan ulama tersohor sebagai bapa syaitan atau tidak segan silu mengharamjadahkan rakyat.

Demikianlah juga halnya dengan ungkapan Sang Ibu. Ada kemungkinan penggunaannya sesuai dalam sesuatu cerita. Sebagai contoh, dalam satu satira, Sang Ibu berbelanja sakan di luar negara termasuk menghabiskan puluhan juta ringgit hanya untuk sebentuk perhiasan jari sedangkan orang kampungnya tidak makan petang sekiranya tidak mengais pada waktu pagi.

Seperkara lagi, Nik Safiah menulis, “Perhatikan bahawa ejaan gelaran ini dibuat dalam huruf besar, kerana semuanya merupakan kata nama khas.” Ismail Dahaman juga menggunakan huruf besar bagi kata sang seperti Sang Pipit, Sang Hanuman dan Sang Adi Putera. Hal yang jelas, kata sang ialah kata nama am seperti encik, haji dan puan. Kata-kata itu ditulis dengan menggunakan huruf besar apabila digabungkan dengan nama khas seperti Encik Mamat, Encik Google, Haji Ibrahim dan Puan Hariani. Kata sang atau si yang diikuti oleh kata nama am dan rujukan umum (am) tetap menggunakan huruf kecil. Contohnya si anu, si dia, si pembeli, si penulis, sang penguasa dan sang pemimpin.

Perbincangan ini menunjukkan bahawa bukan mudah untuk menentukan ketepatan penggunaan kata kerana bahasa berkembang dan pengguna bahasa begitu berdaya cipta. Demikian juga halnya dengan penggunaan kata sang. Penggunaan ungkapan itu untuk haiwan dan benda tidak dipersoalkan. Namun, penggunaannya untuk manusia seperti yang pernah digunakan pada zaman dahulu boleh diteruskan apabila kena konteksnya.

Wallahuaklam. Wassalam.

15 Oktober 2012

Pelajar Kelas Peralihan

Sabah Tempat Bermain


Pada mulanya saya berasa tugas untuk menulis rancangan pelajaran harian yang lengkap seperti yang disediakan oleh guru pelatih maktab, berat. Hari berganti hari, minggu pertama berakhir. Minggu kedua dan minggu-minggu seterusnya tiba. Pada bulan Mac, saya berasa tugas itu semakin mudah.

Rancangan pelajaran harian ialah sejenis karangan berformat. Karangan berformat yang seakan-akan rancangan pelajaran harian ialah minit mesyuarat. Apabila kita teliti, skrip sandiwara radio, berita untuk akhbar dan kertas cadangan projek juga tergolong dalam karangan berformat. Saya meminati bidang penulisan dan kewartawanan. Saya menyukai kerja karang-mengarang. Sudah tentu saya juga menyukai kerja menulis rancangan pelajaran harian. Kerja itu menyebabkan saya menjadi asyik seperti pelukis leka melakar potret, pemain badminton seronok memukul bulu tangkis dan bayi lelan dalam ayunan.

14 Oktober 2012

Penyapu Baharu

Sabah Tempat Bermain
Jawatan saya di SMK Majakir ialah jawatan sementara. Hal itu tercatat dalam surat pelantikan yang ditandatangani oleh Encik A. Kow Ying Kong bagi pihak Pengarah Pelajaran Sabah. Perenggan pertama surat yang bertarikh 17 Disember 1974 itu berbunyi “Saya menawarkan kepada tuan jawatan sebagai Pegawai Perkhidmatan Pelajaran untuk sementara dan tidak melebihi enam bulan dalam kategori C2 mulai 6 Januari 1975.” Kategori C2 bermaksud mereka yang mempunyai kelayakan asas Sijil Pelajaran Malaysia atau yang setaraf dengannya.

12 Oktober 2012

Azam di SMK Majakir

Sabah Tempat Bermain

Pekan Papar terletak kira-kira 50 kilometer dari Kota Kinabalu. Pada tahun 1975, jalan raya ke Papar hanya satu, iaitu jalan yang kini dinamakan Jalan Papar Lama. Jalan baharu melalui Beringis belum ada. Jalan utama dari Kota Kinabalu ke Papar ialah melalui Kepayan, Putatan, Kem Lok Kawi dan seterusnya melintasi rel kereta api. Jalan di kiri selepas lintasan itu menuju ke Kota Kinabalu, iaitu melalui Kampung Limbanak, tempat saya mengajar pada tahun 1972, dan Donggongon. Jalan itu kini dinamakan Jalan Pintas Penampang.

11 Oktober 2012

Cakap Kayu Semasa Praktikum

Sabah Tempat Bermain


Bahagian utama latihan perguruan ialah latih amal atau praktikum di sekolah. Ketika saya berada maktab itu, istilah praktikum belum digunakan. Ungkapan yang digunakan ialah latihan mengajar. Ungkapan itu masih digunakan pada tahun 80-an di samping istilah praktikum. Mulai awal tahun 90-an istilah praktikum digunakan secara meluas. Kini istilah praktikum semakin popular. Penggunaan ungkapan latihan mengajar kedengaran sesekali sahaja.