27 Oktober 2012

Kembali ke Sabah

Sabah Tempat Bermain
Kehidupan sebagai pelajar universiti berwarna-warni dan sarat dengan peristiwa yang mengasyikkan apabila dikenang. Penceritaan peristiwa suka duka dan susah senang itu memerlukan wadah khas. Dalam catatan ini saya hanya mengimbas peristiwa dan orang yang ada kaitan dengan Sabah.

Selepas minggu suai kenal, saya bertemu dengan seorang rakan yang bersama-sama saya ke Sabah pada tahun 1971, bersama-sama mengikut Mohd. Nor meninggalkan Apas Balung dan bersama-sama tinggal di rumah kecil milik Badan Kebajikan Islam di Kota Kinabalu. Dia ialah Abdul Majid bin Ali dari Semanggol, Perak. Dia bertugas sebagai juruteknik bangunan di Bahagian Pembangunan USM. Abdul Majidlah kawan bukan pelajar yang paling rapat dengan saya ketika di kampus itu.

Saya memberitahu Abdul Majid bahawa Mohd. Nor pernah datang ke Maktab Perguruan Gaya pada tahun 1974. Dalam pertemuan singkat dan tawar itu, Mohd. Nor menyatakan dirinya sudah berkahwin dengan wanita tempatan dari Inanam. Mereka mempunyai syarikat pembinaan sendiri.

Majid bertanya “Pernahkah Isa bertemu dengan Abu Bakar?”

Saya menyatakan bahawa, pada suatu malam dalam bulan Disember 1974, saya menonton pertunjukan bangsawan terbuka di Felda Sendayan, kira-kira tiga kilometer dari rumah saya. Saya terkejut apabila pihak penganjur mengumumkan bahawa “Mohd. Isa bin Abd. Razak dari Kampung Jimah Baru dikehendaki bertemu dengan Encik Kamarudin bin Ibrahim di pintu pagar dewan”. Rupa-rupanya orang kampung saya itu membawa Abu Bakar yang baru tiba dari Pontian, Johor. Saya terharu kerana dikunjungi oleh rakan yang sanggup menghadapi kesusahan bersama-sama selepas kami meninggalkan Apas Balung dahulu.

Abdul Majid pula menceritakan bahawa Said dan Abdul Rahim menjadi tenaga pengajar di Institut Kemahiran MARA Sungai Petani. Pada suatu masa cuti hujung minggu, kami ke Sungai Petani dengan motosikalnya. Kami singgah di sebuah pasar (kedai) mini. Tauke kedai itu begitu gembira apabila melihat kami. Rupa-rupanya Said bukan sahaja sudah bergelar jurutunjuk institut, bahkan sudah menjadi tauke dan adik ipar kepada Abdul Rahim. Sayangnya, sehingga saya meninggalkan USM, saya tidak pernah bertemu dengan Abdul Rahim.

Pada 1 Disember 1976, saya menggunakan skuter rakan serumah untuk ke Pendang, Kedah. Seperti yang dijanjikan dalam surat, Jusoh Saad menunggu saya di pekan itu. Dari Pendang, kami berskuter ke Kampung Charok Kudong. Keesokannya, selepas bersolat Hari Raya Aidiladha, saya mengikut Jusoh ke rumah tunangnya di sebuah kampung dalam Daerah Yan. Sementara menunggu bakal ibu mentua dan tunangnya menyediakan makanan tengah hari, kami berbual-bual di beranda. Antara tajuk perbualan kami termasuklah perjalanan saya ke Ranau dan Pitas selepas bermalam di rumahnya di Tenom. Kemudian kami mengingat-ingat beberapa peristiwa di maktab, termasuk hubungan akrab Jusoh dengan Siti.

Saya berkata, “Kalau dulu sungguh-sungguh hang beritahu, hang tidak ada apa-apa dengan Siti, tentu saya pun sudah bertunang macam hang.”

“Heh, aku dah habak dulu. Sekarang sudah terlewat, Isa!”

Selepas makan tengah hari, dalam perjalanan pulang ke Kampung Charok Kudong, kami singgah di Pondok (Madrasah) Pak Man, di Bukit Besar. Jusoh memperkenalkan saya kepada seorang ustaz di pondok itu. Kemudian kami naik ke sebuah rumah kecil yang sememangnya bertaraf pondok. Kami berbual dengan seorang ibu. Anak gadis si ibu menghidangkan minuman. Jusoh menyuruh saya menjadikan tukang hidang minuman itu sebagai pengganti Siti. Saya menganggap Jusoh melawak. Oleh itu saya hanya diam.

Pada awal tahun 1977 saya menghadapi masalah kewangan. Wang simpanan saya sudah amat berkurangan. Wang itu saya gunakan untuk membayar yuran pengajian, sewa rumah, makan minum, tambang-menambang dan keperluan harian lain sebagai mahasiswa. Dermasiswa Persekutuan sudah diluluskan tetapi belum diterima. Honorarium penulisan daripada akhbar Bintang/Mingguan Timur dan Berita Harian/Minggu tidak seberapa. Saya mencatu perbelanjaan, tidak lebih dua ringgit sehari. Peruntukan makan tengah hari hanya lapan puluh sen. Ayam goreng saya nikmati baunya sahaja. Sirap bandung menjadi rezeki mata sahaja. Saya yakin, kesukaran itu sementara. Dermasiswa pasti diterima. Beberapa karya yang sudah saya hantar kepada akhbar, saya jangka akan disiarkan dan, walaupun lambat, honorarium akan saya terima juga.

MIAR 1978,
Pengkaji Dikir Rebana
Pada masa itulah Allah menurunkan belas kasihannya yang tidak pernah saya impikan. Rakan serumah dengan saya semasa di Papar, Mohamad Daud, mengirimkan wang yang secukupnya untuk perbelanjaan saya dengan pos berdaftar. Catatannya dalam surat itu sangat ringkas: “Assalamualaikum. Saya tahu saudara memerlukan ini. Terimalah sumbangan ikhlas daripada saya.” Saya tidak pernah meminta apa-apa daripadanya dan tidak pernah membayangkan kepada sesiapa akan kesukaran kewangan yang saya hadapi. Saya bersyukur. Sedikit air suam keluar daripada takungannya dan meleleh di pipi seorang mahasiswa yang kurus, bermata terperosok, berpipi cekung dan berambut panjang.

Pada malam 11 November 1977, rezeki yang ditangguhkan datang. Saya menerima hadiah Sastera Nasional bernilai tujuh ratus lima puluh ringgit daripada Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk Hussein Onn. Majlis penyampaian hadiah diadakan di Rumah Malaysia, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Wang itu cukup untuk makan minum saya yang sederhana sebagai mahasiswa selama enam bulan.

Keesokannya, saya singgah di rumah Abang Seman di Taman Seputeh. Abang Seman yang bertugas sebagai Guru Bahasa Melayu di Universiti Malaya tidak ada di rumah. Anak keduanya, Adibah juga tiada di rumah. Kak Eton dan anaknya, Iskandar dan Azhar, begitu gembira menyambut kedatangan saya. Sambil menikmati jus jambu batu yang dikisar oleh Kak Eton, kami berbual tentang perkembangan diri, keluarga dan kisah di Sabah, termasuk kehidupan saya sebagai penumpang Rumah Kebajikan Islam dan buruh binaan.

*******
Semasa saya berada di perpustakaan USM, saya kerap terlihat Amin bin Arif dan seorang mahasiswi. Pemilik pertama skuter pecut hijau yang saya wariskan kepada Mohamad Daud itu belajar semeja dan bersebelahan dengan mahasiswi itu. Kami bertegur sapa biasa sahaja. Selain itu, ada beberapa kali saya bertemu dan berbual dengan seorang lagi anak watan Sabah, iaitu Hashim bin Jeffrey. Dia adalah antara penerima Hadiah Sastera Nasional bagi karya terbitan tahun 1974. Dia Setiausaha Kelab Sastera USM. Saya mengambil alih jawatan itu daripadanya pada semester kedua saya di universiti.

Di kampus yang dikenali sebagai Minden itu, saya pernah bertemu dengan mantan pensyarah saya di Maktab Perguruan Gaya, Encik Ismail Abas. Beliau ialah pelajar luar kampus dan mengikuti kuliah di kampus pada masa cuti. Pada masa itu beliau bertugas sebagai pegawai penyelidik di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah.

Pada tahun pertama, iaitu sesi 1976/1977, saya tinggal serumah dengan Saleh Lebar. Rumah sewa kami yang dicarikan oleh Abdul Majid ialah rumah kayu beratap nipah di tepi pantai Kampung Batu Uban. Oleh sebab saya sudah biasa memanggilnya Pok Leh semasa di Papar, di Pulau Pinang pun saya memanggilnya Pok Leh. Rakan serumah kami, Wan Muhammad bin Wan Abdullah, memanggilnya Pok Leh juga. Kami guru dan terikat untuk meneruskan perkhidmatan sebagai guru dengan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Ketika saya berada dalam semester akhir sesi 1978/1979, saya mengadakan perbincangan dengan Pok Leh, Wan Muhammad dan beberapa orang rakan guru tentang masa hadapan kami. Keputusannya, kami akan meneruskan perkhidmatan sebagai guru. Kami tiada pilihan lain kerana kami belum menyempurnakan perkhidmatan lima tahun sebagai guru lepasan maktab perguruan. Selain itu, sebagai penerima Dermasiswa Persekutuan, kami mesti berkhidmat dengan Kerajaan Persekutuan selama tujuh tahun. Keadaan Pok Leh berbeza. Dia guru kontrak dan ada sedikit lagi baki kontrak dengan Kerajaan Sabah yang mesti disempurnakan.

Pok Leh membuat keputusan nekad. Dia tidak akan kembali ke Sabah. Dia sanggup kehilangan ganjaran, senioriti dan membayar ganti rugi kepada Kerajaan Sabah kerana memungkiri perjanjian. Hal itu wajar kerana dia sudah berkahwin dengan orang Terengganu dan isterinya bekerja.

Mula-mula saya terfikir juga untuk mengikut jejak langkah Pok Leh. Sesudah saya berfikir beberapa kali, saya merumuskan bahawa kedudukan beliau berbeza daripada kedudukan saya. Walaupun saya belum menandatangani perjanjian sebagai guru kontrak, tetapi saya sudah menandatangani perjanjian untuk berkhidmat di Sabah selama lima tahun. Perkhidmatan itulah balasan saya kepada Kerajaan Sabah kerana melatih saya di Maktab Perguruan Gaya. Hal itu saya beritahu rakan akrab saya Awang Hambali bin Haji Awang Hamdan.

Awang Hambali ialah Presiden Persatuan Mahasiswa Islam. Anak jati Sarawak itu pernah bermalam di rumah ibu saya di Negeri Sembilan. Mulai hujung bulan November 1978 hingga awal Januari 1979 dia, saya dan beberapa orang rakan lagi menjadikan Surau Desa Siswa C sebagai asrama. Surau itu kami jadikan tempat utama untuk menggerakkan kegiatan Bulan Dakwah Se-Malaysia peringkat USM. Borak atau usikan tentang usaha untuk mencari pasangan memang sebahagian daripada warna-warni hidup kami sebagai orang bujang yang sudah dewasa. Sementelahan, beberapa orang rakan kami di surau itu sudah ada pasangan dan sudah merancang untuk melangsungkan perkahwinan apabila bergelar siswazah. Mereka kerap mengusik saya.

Pada suatu hari, Awang Hambali mencadangkan agar saya menjadikan seorang penggiat biro hal ehwal wanita sebagai teman. Saya memang mengenali mahasiswi itu. Saya kerap berpapasan dengannya tetapi kami tidak pernah bertegur sapa. Dia orang Kajang, bakal guru dan akan menamatkan pengajian pada masa yang sama dengan saya. Saya memang berkenan dengannya. Hal utama, dia mesti sanggup mengikut saya ke Sabah. Saya serahkan tugas untuk mendapatkan maklumat itu kepada Awang. Beberapa hari kemudian, Awang memberitahu saya bahawa ibu mahasiswi itu tidak membenarkan anaknya ke Sabah.

Pada hari Ahad, 30 Mei 1976 saya berangkat dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu menuju ke Kuala Lumpur dan kemudiannya berkereta api ke Pulau Pinang seorang diri. Hampir tiga tahun kemudian, iaitu pada 25 April 1979, saya bertolak pula dari Lapangan Terbang Subang ke Kota Kinabalu seorang diri juga. Umur saya pada masa itu sudah menjangkau 27 tahun.

Bersambung: (24) Pulang ke Papar

Tiada ulasan: